Ahad, April 17, 2011

Fiqh Jumaat siri 1

“Kita akan belajar Fiqah Jumaat mengikut Mazhab Imam al-Syafie. Mengapa?” tanya Ustaz.

Tiada yang menjawab sehingga ustaz menyambung kuliah, “Dalam Enakmen Pentadbiran Agama Negeri, 13 buah negeri di Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan menggunakan Mazhab Syafie. Hanya Perlis tidak menggazetkan penggunaan Mazhab Syafie.”

Seterusnya kami larut dalam pengajian. Menurut Ustaz, dalam Mazhab Syafie sendiri terdapat dua qaul (pendapat) iaitu: Pertama qaul syadid ketika Imam Syafie di Baghdad. Qaul Syadid ini menyamai pendapat Imam Abu Hanifah dalam hal bilangan yang wajib sehingga solat Jumaat dapat ditunaikan iaitu empat orang. Kedua qaul jadid (pendapat yang terkemudian) yang mengatakan jumlah yang perlu ada supaya di solat Jumaat dapat ditunaikan ialah 40 orang yang bermastautin dalam sesebuah qaryah.

Kata ustaz lagi, “Kita juga akan belajar fiqh Jumaat Imam Syafie dan usul Fiqh Imam Syafie. Apa makna usul fiqh? Mengapa perlu?”
Kami pun tidak dapat menjawab soalan ini.

Pada zaman ini kita lihat di KL sendiri Masjid KLCC. Apakah ada qaryah di kawasan itu? Apakah ada 40 orang yang bermukim dalam qaryah di sekitar KLCC? Begitu juga dengan Masjid Besi Putrajaya. Jawabnya tidak ada. Maka usul fiqh digunakan bagi membolehkan pembinaan masjid ini untuk didirikan solat Jumaat di dalamnya.

Contoh lain adalah pembinaan dua masjid yang berhampiran seperti Masjid Negara dan Masjid Bukit Aman. Jarak antara dua masjid itu dekat-dekat. Bagaimana dua masjid dibina dalam lingkungan yang dekat seperti ini? Ini juga menggunakan usul fiqh dalam perbahasan/musyawarah alim ulama sehingga masjid-masjid ini dibina dan didirikan solat Jumaat di dalamnya.

Pengenalan

Hari Jumaat merupakan Penghulu Hari dalam Islam. Pada hari Jumaat Adam diciptakan, dimasukkan ke dalam syurga, dikeluarkan dari syurga dan dihantar ke bumi. Hari Jumaat hari pertama Adam menjalani kehidupan sebagai Abu al-Basyar di dunia.

Pada zaman jahiliyah, penamaan hari mengikut bilangan iaitu al-Ahad (Ahad) yang bermaksud yang pertama. Diikuti al-Ithnani (Isnin – kedua), al-Thulathaa-u (yang ketiga – Selasa), al-Arbi’aa (keempat – Rabu), al-Khamis (yang kelima – Khamis), Al-‘Aruuba (yang terang benderang), al-Sabt (Sabtu). Maka mengikut sistem penamaan hari dalam Islam, Rasulullah menukar hari al-‘Aruuba menjadi al-Jumu’ah setelah mendapat perintah dari Allah pada tahun ke-12 kenabian. Ketika ini syariat menunaikan solat Jumaat diturunkan. Baginda Rasullah menghantar surat kepada sahabat di Madinah agar mengguna pakai syariat ini. Namun begitu, di Makkah sendiri solat Jumaat tidak ditunaikan kerana pada waktu itu tekanan musyrikin Makkah berada pada kemuncak. Atas dasar keselamatan nyawa kaum Muslimin Makkah, nabi menangguhkan pelaksanaan solat Jumaat di Makkah pada ketika itu. Begitu juga di Habsyah bilangan umat Islam masih terlalu sedikit iaitu 36 orang. Berdasarkan situasi ini, ulama mazhab bersepakat bahawa solat Jumaat boleh ditangguhkan sekiranya melibatkan ancaman nyawa seperti berlaku peperangan, perintah darurat, pemberontakan dan seumpamanya.

Dalam sirah nabawi, Baginda S.A.W menunaikan solat Jumaat pertama di perkampungan Bani Salim pada tanggal 12 Rabiul Awwal ketika mula-mula sampai di Madinah.

*********
Bersambung siri-siri akan datang. Insya-Allah.

Nota kuliah Maghrib, Ustaz Azhar Yahya. Masjid al-Hidayah Sentul, Jalan Sentul Pasar, 17 April 2011 bersamaan 14 Jamadil Awal 1432H. Kitab Fiqah Jumaat.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

..'Seterusnya kami larut dalam pengajian. Menurut Ustaz, dalam Mazhab Syafie sendiri terdapat dua qaul (pendapat) iaitu: Pertama qaul syadid ketika Imam Syafie di Baghdad. ....

saya mohon buat sedikit pembetulan : Qaul Jadid bukannya Qaul Syadid.

# nota yang baik. teruskan usaha baik tuan untuk berkongsi ilmu, tak semua org berpeluang pergi masjid / surau