Khamis, November 11, 2010

Peluh sudah menjadi salju

UPSR 2010.


Hampir 50 ribu calon UPSR 2010 mendapat 5A. Tahniah diucapkan kepada mereka. Salah seorangnya adik saya, Nur Hafizah. Saya menduduki peperiksaan ini pada tahun 1993 1994, dan menjadi orang pertama mendapat keputusan penuh, 4A ketika itu. Tahun ini, sekolah di pedalaman tempat kami belajar berjaya menonjolkan dua orang mendapat 5A dan dua orang mendapat 4A 1B. Hal ini dikira pencapaian yang memuaskan dengan status sekolah sebagai sekolah pedalaman. Terubat juga lelah cikgu-cikgu menyapu tar terlebih setiap pagi ke sekolah.


Bertuahnya menjadi adik di hujung-hujung.


Nur Hafizah, anak ke-10. Di bawahnya ada dua orang lagi adik perempuan. Ketika dia ber-UPSR, abang-abang dan kakak-kakaknya sudah berkerjaya. Sebagai dorongan, kami awal-awal lagi membuka ‘tender’ untuk setiap A yang akan diraih. Hal ini termasuk juga ayah. Yang menariknya, ada yang menawarkan pakej percutian (ala-ala Cuti-cuti Malaysia) di negeri sebelah Selatan Malaysia. Seorang lagi menawarkan usaha menyerapnya masuk ke Maktab Sains, tetapi itu bukanlah tender asalnya. Itu hanya kebetulan. Saya? Bila saya bertanya lalu Nur Hafizah menjawab, “Berilah apa-apa yang abang nak bagi.” Saya memang mengambil sikap tidak menyatakan apa-apa janji sedari awal yang lain-lain ‘membuka tender’. Yang pasti, saya juga akan memberi hadiah sebagai apresiasi terhadap kejayaan cemerlang ini.

Sudah pasti penat ayah dibayar.


Yang pasti, kejayaan ini akan menjadikan ayah dan bonda hilang lelah mencari rezeki. Akhir-akhir ini setelah ayah bersara daripada jawatan sampingannya sebagai Guru KAFA Yayasan Islam Terengganu, ditambah pula beban hutang baharu projek penanaman semula; bonda banyak membantu ayah di ladang. Betapa hebatnya bonda. Pertolongan itu saya kira pengorbanan tulus bonda meringankan kerja-kerja ayah. Walhal kalau diambil kira, kerja sebagai suri rumah sepenuh masa pun tidak pernah menjadikan bonda mempunyai rehat yang banyak. Tetapi bonda tidak kisah. Asal sahaja dia dapat meringankan kerja-kerja ayah. Sudah pasti juga terbayar segala pesan bonda kepada anak-anak. Meski ada kalanya kami menjadi degil dan lebih gemar bermain daripada mengadap buku.


Kejayaan perlu sentiasa didorong


Saya masih ingat, waktu seusia Nur Hafizah dahulu ayah akan menemani saya mengulang kaji pelajaran jika sudah melewati jam 10 malam. Kadang-kadang emak akan duduk di sisi sambil melipat kain baju. Waktu itu jika ada beberapa perkara yang tidak saya faham, saya boleh bertanya ibu atau ayah. Jika mereka tahu atau mempunyai idea, jawapan akan diberi. Zaman berlalu dan beberapa subjek bahari diperkenal. Subjek baharu ini pula diajar dalam bahasa Inggeris. Maka Nur Hafizah tidak lagi boleh bertanya soalan matematik yang mudah kepada emak dan ayah kerana mereka tidak dapat memahami bahasa Inggeris. Betapa emak dan ayah pernah menyatakan kekesalan dalam hal ini. Sebagai alternatif, ayah tidak kedekut menyatakan persetujuan dalam mesyuarat PIBG (ayah sebagai AJK PIBG), menyarankan kelas tuisyen diadakan. Betapa kerana kelas ini penting, ada sekali Nur Hafizah tidak diajak ketika kami sekeluarga mempunyai agenda di luar. Ya, tidak silap saya ketika rombongan menghantar kakaknya masuk universiti. Begitu disiplin yang diserap kepada kami anak-anak ayah dan ibu.

4 ulasan:

Kay berkata...

salam

eh naim amik UPSR 1993?
sama umur ke kita ni?

tahniah utk Nur Hafizah... :)

Naim berkata...

wasalam, Kay, salah taip.

Saya muda setahun. 1994. :D

Afida Anuar berkata...

Ohh kita sebaya naim;)

Tahniah buat adik Naim... alhamdulillah...

Teringat juga waktu dulu-dulu. Waktu PMR, SPM...kalau saya bangun tuk study waktu dinihari, ayah pasti bangun menemani sambil beliau menunaikan solat sunat tahajud hajat..salah satu cara beliau mendorong kami untuk terus berusaha dan berjaya..Alhamdulillah.

Naim berkata...

Fida, -:)

Terima kasih atas ucapan.

OOo...pengalaman hidup anda memang hebat.