Selasa, November 30, 2010

Kan sudah kena. Padan muka aku.




RM600.00, harap-harap dapat diskaun. Insya-Allah.


50% discount for traffic summons on again


By SARBAN SINGH and CHITRA S NATHAN

newsdesk@thestar.com.my


SEREMBAN: The on-off discount for traffic offenders is on again, with those who settle their traffic tickets within two weeks from today getting a 50% discount.


Those who settle their dues after the two-week period but by the end of the month will be entitled to a 30% discount.After that, offenders will be required to pay the full amount of the summonses issued to them.


The move is to get offenders to pay their summonses and reduce the backlog before the government starts blacklisting offenders from Feb 28.


Kemas kini pada 01 Dis 2010; jam 0915.

Isnin, November 29, 2010

Cerita-cerita: Nostalgia dan lain-lainnya


Cerita 1


Ibu bapa orang yang paling memahami diri kita. Tetapi kadang-kadang selaku anak, kita jarang-jarang cakna kesulitan ibu bapa. Sehingga kini banyak perkara yang cuba saya lakukan demi ‘membalas’ pengorbanan mereka. Saya sentiasa sedar, pengorbanan itu tidak dapat dibalas sampai bila-bila. Ketika saya terlantar di wad ketika berusia 9 tahun, ayah dengan susah payahnya berulang-alik sejauh 60 kilometer dari kampung ke Hospital Besar Kuala Terengganu. Ketika saya mengalami sendiri lelah berteksi dari Kuala Terengganu ke Kuala Berang, kemudian bervan dari Kuala Berang ke kampung dengan masa menunggu sahaja tidak pernah kurang dari satu jam, baharulah saya mengerti getirnya. Getir berulang alik setiap dua hari sehingga terpaksa melupakan kerja pada hari-hari menjenguk saya di hospital. Belum lagi dikira kos perjalanan dan makan minum sepanjang tempoh lawatan itu. Belum lagi dicampur kegundahan hati meninggalkan anak kepada kakitangan hospital. Tika itu bulan puasa, dan saya ditahan di wad selama tiga minggu.


Waktu itu saya disyaki mengalami masalah buah pinggang kerana gemar memakan makanan ringan. Setiap hari saya dibekalkan 30 sen. Dua puluh sen saya guna untuk membeli makanan ringan dan bakinya saya simpan. Sehinggalah suatu hari ayah perasan mata saya sembab seperti orang tidur bertiarap. Pembantu perubatan di Klinik Desa Tengkawang mengesyorkan kes saya dirujuk ke Hospital Besar Kuala Terengganu. Di wad, saya diberi minum air kosong pada kadar yang banyak melebihi kadar biasa dua gelas sehari yang saya minum sebelum itu. Bermakna saya tidak berpuasa seperti orang lain. Seminggu sebelum raya, saya keluar dari wad. Pesan doktor, “Kurangkan makan makanan ringan. Kurangkan minuman bergas.” Sehingga kini, saya hanya kuat pantang minuman bergas, tetapi kadang-kadang gatal tangan juga memakan makanan ringan. Gatal itu kerana menumpang orang lain makan, bukan disebabkan saya membeli makanan ringan itu sendiri. Ada kemungkinan sekali atau dua kali dalam sebulan saya memakan makanan ringan.


Cerita 2


Jam 2.30 pagi, 27 November 2010. Saya terima panggilan Ust. Hj. Shukri Osman, kakitangan di Pusat Islam USM Kejuruteraan. Beliau memaklumkan saya dua hal. Pertama bosnya akan datang. Kedua rasa belah bahaginya untuk hadir ke majlis kenduri saya. Jam 1.00 petang lebih dia menelefon lagi mengkhabarkan kedudukannya di Jerteh. Dan akhirnya dia sampai ke teratak (berusia 30 tahun) ayah jam 1.45 petang. Begitulah sungguh-sungguh dia bersama isteri dan anak lelakinya Abrar (dua tahun dua bulan) berkereta dari Bandar Baharu, Kedah. Ustaz Shukri menunjukkan contoh yang baik kepada saya kerana dia masih berkereta lama seperti dia masih bujang dahulu walaupun pada kedudukannya kini sudah mampu memiliki kereta yang lebih baik. Saya tabik pada sifat qana’ah yang beliau amalkan itu.


Kami bersembang seketika kerana beliau mahu beredar untuk bermalam di Pasir Mas, Kelantan. Menyampaikan hadiahnya dan tanda ingatan seorang lagi rakan sejawatnya Ust. Shahroni Ibrahim. Ketika itu juga Ust. Hj. Shukri menghubungi bosnya. Ketika itu Ust. Yusof berada di Chalok, Setiu. Beliau bertolak dari Alor Setar selepas Subuh. Ustaz Yusof tiba bersama semua ahli keluarga beliau kecuali anak sulungnya pada jam 3.30 petang. Banyak perkembangan terbaharu yang dikongsi. Pertambahan kakitangan Pusat Islam, projek sukarelawan membantu mangsa banjir di Kedah, perkembangan staf-staf Pusat Islam ketika saya berkhidmat di sana (khidmat biasa bukan staf), perihal anak beliau yang sudah menjadi usahawan ternak dan tentu sekali beberapa orang rakan saya yang terus berada di kampus kejuruteraan.


Betapa orang yang hebat melakukan perkara yang hebat juga. Berada jauh di Kedah untuk meraikan bekas seorang anak buah dan sahabat adalah perkara hebat. Meski setelah meninggalkan alma mater, saya belum meluangkan masa menjenguknya semula, masih ada ikatan hati yang belum berpisah. Betapa ketika saya menyatakan rasa terharu, lalu dijawab oleh Ust. Yusof, “Khidmat enta lebih besar daripada apa yang saya lakukan hari ini (memenuhi jemputan walimah).” Saya sentiasa doakan semoga kehidupan mereka dirahmati-NYA. “Allaahumma ahsin li-man ahsana ilayya – Ya Allah, berbuat baiklah kepada sesiapa yang berbuat baik kepadaku.”


Cerita 3


Apabila ibu mendapat tahu saya gulana memikirkan soal wang kenduri, dia mengamankan saya, “Emak tidak kisah pasal wang. Biarlah apa kata adik beradik yang lain.” Ya. Kalau diikutkan ‘skema’ sampai umur saya empat puluh tahun pun, belum tentu wang untuk sebuah majlis jamuan perkahwinan saya cukup. Dengan kadar waktu menyimpan wang yang terbatas (36 bulan), syukurlah saya hanya mampu kumpulkan wang untuk membeli barang hantaran dan maskahwin. Kenapa? Tentulah disebabkan saya tega tidak mahu meminjam wang dari bank untuk kahwin. Saya betul-betul tidak meminjam wang dari bank. Pun begitu, sebagai anak hal ini tidak harus dibiarkan begitu saja. Ada rasa serba salah sehinggalah saya kira dapat mengembalikan semula kos perbelanjaan kenduri kahwin itu. Dan saya memantapkan azam mencabar diri sendiri melunaskan cita-cita dan harapan saya itu dengan menulis. “Ya Rabbi yassir wa laa tu’assir.


Cerita 4


Dan sehingga kini, saya sedar betapa dalam setiap detik Allah sentiasa menjaga diri saya walaupun sesekali saya lalai menjaga hak saya terhadap-NYA. Sungguh zalim hamba-MU ini Ya Tuhan.


Isnin, November 22, 2010

Buku inspirasi haji yang menarik


Penerbit: Rijal Media.
Pengulas: Naimisa Yusof.


“Tulislah apa yang terbit dari hati.”


Demikian kata-kata inspirasi yang membuatkan sesebuah penulisan mempunyai ‘magnet’. Menulis dari hati melahirkan ekspresi yang luhur, jujur dan tidak terselindung dengan suatu hal yang tidak baik seperti mahu menunjuk-nunjuk kepandaian.

Mungkin kita tercari-cari bahan bacaan yang mampu memberi motivasi langsung untuk melakukan seuatu hal. Misalnya haji. Buku Kusaksikan keajaiban Tanah Suci tulisan wartawan Roslan Hamid adalah antara pilihan yang tepat. Lihat sahaja gaya penulisan saudara Roslan Hamid dalam koleksi Dilema Seorang Wartawan Muslim atau siri-siri penulisan dalam kolum akhbar tempat dia sedang bertugas.

Buku kecil ini adalah catatan pengalaman peribadi beliau menunaikan haji bermula dari persiapan haji - mengumpul wang, berkursus sehinggalah bergelar haji. Penulis juga melontarkan idea dan persoalan berkaitan falsafah haji yang perlu dihayati. Menunaikan Rukun Islam kelima ini bukan sekadar mengorbankan wang ringgit, masa dan tenaga bahkan perlu diinsafi natijah kepada diri. Orang-orang kaya memang diberi kelebihan wang untuk menunaikan haji berulang kali. Tetapi haruskah begitu? Dan apakah dengan itu orang miskin menjadi kurang bernasib baik tidak berkesempatan menjadi tetamu Allah di Makkah?

Penulis berkongsi pengalaman peribadi secara bersahaja dan mungkin akan dialami oleh bakal haji. Selaku pembaca, olahan dalam buku ini sangat memberansangkan. Ada nilai inspirasi tersendiri. Misalnya sesetengah orang berpendapat haji perlu ditunaikan apabila urusan anak-anak beres. Atau setelah semua anak dewasa. Penulis memberi contoh benar pengalaman beliau menunaikan haji bersama isteri ketika anak bongsu mereka berusia tiga tahun. Yang pasti buku ini tidak menyajikan panduan haji kerana sifatnya (motif penulisan) sebagai stimulus bagi menggerakkan minda dan tindakan pembaca untuk sama-sama menanam niat menyahut seruan Allah.

Setelah membaca buku ini, saya dapati stigma baru dalam minda untuk mengubah persepsi terhadap pelaksanaan haji. Terima kasih dan syabas kepada penulisnya. Semoga Allah memberi kekuatan kepadanya untuk menghasilkan buku-buku inspirasi dalam aspek yang lain pula. Insya-Allah.

Sabtu, November 20, 2010

Syukur: Acara bedah karya RSM lancar



Bedah karya Rahsia Sebuah Manuskrip oleh Naimisa Yusof
MPH Midvalley, KL.

Pengenalan


“Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?”
(surah al-Qamar: 17)


Hands Andersen (1805-1875) dari Odense Denmark, penulis cerita klasik kanak-kanak yang terkenal dengan cerita Ugly Duckling menukilkan, "Most of what I have written is a reflection of myself. Every character is from myself."

(Oxford Children's Encyclopedia 8 - Biography, Oxford University Press, edisi kemas kini 2004, halaman 10)


Rahsia Sebuah Manuskrip: Sebuah karya eksperimen


Manuskrip novel ini mengambil masa yang panjang (dan hal ini tidak harus berlaku pada mana-mana penulis sebetulnya), kira-kira tiga tahun.


Penulisan novel berasaskan imaginasi, sejarah benar dan fakta-fakta yang dicedok daripada jurnal-jurnal sains. Bagi melancarkan penulisan, idea digarap menggunakan teknik andalan peristiwa. Seperti sesetengah orang berpendapat bahawa Salina adalah peristiwa yang dekat dengan penulisnya SN Dato’ A Samad Said (SN DASS).

Jika kita membaca Salina oleh SN DASS, Ranjau Sepanjang Jalan (SN Shahnon Ahmad), Daerah Beta (Azizi Abdullah), Laskar Pelangi (Andrea Hirata) atau Matahari di Atas Gili (Lintang Sugianto) [sekadar menyebut beberapa karya] – ada milieu yang diolah penulis-penulisnya. Sebab itu sepanjang jalur cerita Rahsia Sebuah Manuskrip diselitkan kisah-kisah masyarakatnya. Sebahagiannya berkembang seiring dengan suasana sosial di tempat itu sendiri.


Sudut pandang orang ketiga digunakan dan dilontar sama ada oleh Munir, ahli keluarga atau temannya. Kritikan terhadap sosial diwakilkan melalui pandangan watak-watak utama dan sampingan.


Sebagai satu usaha menempatkan bahasa Melayu di tempat yang selayaknya, dialog yang ditulis sepenuhnya baku. Tiada dialek kenegerian malahan boleh dianggap luar biasa (surreal) kerana perbualan kanak-kanak juga ditulis menggunakan Bahasa Melayu Tinggi.


Watak dan perwatakan


Watak utama Munir, Hannan. Sepanjang-panjang cerita diselitkan watak tambahan yang kadang-kadang tidak perlu.


“Tetapi mungkin ada eksperimen tersendiri yang cuba dijalankan pengarang, sehingga sekecil-kecil watak yang tidak begitu perlu dalam membantu jalan cerita (tidak diperdalam dan dikembangkan sewajarnya kerana memang tidak diperlukan), turut disebut nama mereka satu-persatu dalam novel ini.”

(Pn. Najibah Abu Bakar, Goodreads Malaysia)


Pembaca yang mencari kepuasan membaca dengan cara menghayati perwatakan watak utama mungkin kecewa. Hal ini kerana aspek perwatakan tidak ditekankan. Malahan konflik utama watak utama sengaja dikaburkan sehingga akhirnya dikejutkan dengan kesudahan yang tidak dijangka.


Sinopsis


Di sebalik deretan kertas kuning dan berhabuk. Tidak ada siapa peduli. Sebuah manuskrip yang sukar ditafsirkan, kompleks dan penuh dengan nada-nada cinta. Setiap helaian padat dengan catatan cerita suka dan duka.


Setelah sekian lama manuskrip itu dipandang sepi, baru detik ini ada yang menyedari hadiran manuskrip tersebut. Sebuah manuskip yang bakal mengungkai rahsia sekian lama terpendam. Mungkinkah hajat Munisa Kamil terlaksana? Adakah cinta berputik di hati Munir dan Hannan mekar atau gugur sebelum berkembang? Bersama-sama kta menyelami kemelut cinta yang melanda dalam RAHSIA SEBUAH MANUSKRIP.


"Dibeleknya beberapa halaman. Sekeping poskad lama jatuh. Imej Jabal Nur tersergam indah melatari sisi bergambar. Tulisan jawinya cantik.

“Selamat maju jaya. Aku akan terus di sini. Impianku menjadi pensyarah Bahasa Arab semakin pasti. Doakan keamananku."


Penutup


Semoga karya kecil ini menjadi catatan sejarah zaman ‘kegemilangan’ dasar penswastaan. Juga sejarah sekumpulan kecil manusia pedalaman yang lingkaran hidupnya penuh dengan rasa rendah diri. Nantikan sequel Rahsia Sebuah Manuskrip ini, insya-Allah.


Sisipan sequel Rahsia Sebuah Manuskrip.

ENTAH. Amat seni perasaan itu. Bertembung mata dengan pensyarah baharu itu menimbulkan tanda tanya. Dia sendiri sukar menghurai rasa hati itu setepatnya. Sekembali dari kuliah terakhir hari itu, dia bersantai dengan sahabat baiknya.

Dia menyampaikan kegusarannya, “Zu, aku perasan pensyarah baharu itu memandang aku semacam sahaja.”

“Perasaan engkau sahaja. Dia tenung bukan mengambal. Dia tidak telan orang!” Zuhaida menggayakan tangan kanannya seolah-olah ular menelan mangsa.

Dia cuba membetulkan persepsi Zuhaida. “Bukan begitu. Aku tidak rasa apa-apa. Jauh hendak rasa bersalah. Cuma pelik.”

Zauhaida maju beberapa langkah. Dia melabuhkan punggung di atas kerusi kayu di hadapan mereka. Zuhaida mengetatkan tali kasut kanan. Angin tasik bertiup tenang. Beberapa ekor bangau melayah singgah di atas tanah berbentuk pulau di tengah-tengah tasik. Air tasik memancut dari kincir pam pengudaraan. Sungguh mengasyikkan pemandangan itu. Pulau buatan ini tidak terlalu kotor airnya. Jika airnya statik, pastilah akan berlaku pencemaran. Dan akhirnya mengalami proses eutrofikasi.

Papan tanda kayu jati berukir kelarai bunga berembang di sebelah kiri mereka. Dia berlama-lama menghadap ke arah papan tanda itu.
“Agaknya begitulah Dr. Hannan memandang kamu.” Zuhaida membenam keasyikannya tatkala melihat dia asyik memerhati ukiran papan tanda tersebut.
Dia menyanggah, “Sama tetapi tidak serupa. Kayu jamadat. Orang bernyawa, punya hati dan perasaan.”


[Petikan dari Bab 7]


Naimisa Yusof, 20112010, Sentul, KL.

Isnin, November 15, 2010

Sama-sama kita renung.


Bahagian 3




Bahagian 5




Bahagian 6



Masa depan negara terletak pada kesediaan dan kesedaran kita untuk berubah. Tidak perlu bimbang pada apa jua ketakutan terancang yang ditimbul oleh mereka yang mahu mengekalkan kuasa.

Ahad, November 14, 2010

Mutiara kitab Fiqh al-Manhaji Imam Asy-Syafi'e

Had pandangan seorang lelaki terhadap bakal tunang/isteri.

Seorang lelaki diharuskan melihat muka dan tapak tangan wanita yang ingin dinikahinya. Melihat rupa adalah sebagai memandang keelokan rupanya. Hikmah melihat tapak tangan depan dan belakang supaya diketahui kelembutan dan kesuburan wanita itu.

Dalam hal ini, jika si lelaki tidak berpuas hati dengan sekadar melihat muka dan tapak tangan; bolehlah dia menghantar seorang wakil perempuan untuk melihat betis wanita itu. Hal ini kerana Rasulullah pernah menghantar Ummu Sulaim untuk melihat seorang perempuan yang ingin dikahwini baginda dengan sabdanya, “Lihatlah kedua-dua betingnya (betis).”

Adat meminang

Setelah berpuas hati, bolehlah lelaki menyatakan hasrat untuk meminang wanita tersebut. Meminang seorang yang bukan mahram (wanita ajnabi) bolehlah dinyatakan secara terus terang jika wanita itu mempunyai keadaan berikut.
• Wanita anak dara.
• Belum menjadi tunang orang lain.
• Bukan isteri orang.

Pernyataan terus terang misalnya, “Saya mahu kahwin dengan kamu.” Atau, “Saya mahu menyunting kamu sebagai suri hati saya.”
• Meminang wanita-wanita selain itu hendaklah dibuat secara kiasan jika melibatkan;
• Wanita dalam iddah baain iaitu iddah disebabkan cerai dengan talak tiga.
• Wanita dalam iddah yang kematian suami.
Lafaz ta’yir (kias) dinyatakan seperti, “Awak sudah lama menyendiri, tidak sunyi?”

Haram meminang wanita berikut:

• Wanita yang telah menjadi tunang orang lain atau telah memberi komitmen (persetujuan) kepada seorang lelaki lain untuk bertunang ketika si lelaki tersebut merisiknya.
• Wanita dalam iddah raj’ie iaitu wanita yang dicerai dengan talak satu atau dua.

Jika berlaku kes lelaki kedua meminang seorang perempuan dan dia (perempuan) menerima, kemudian mereka berkahwin. Ulama As-Syafi’iyyah berpendapat akad nikah tersebut sah, tetapi si lelaki menanggung dosa kerana perbuatannya.

Bahana Hikmat Pelalau

Ada satu kes seorang lelaki was-was dalam memilih wanita yang akan menjadi isterinya. Pertama kali setelah melihat wanita tersebut dia bersetuju. Tetapi akhirnya timbul perasaan syak sehingga dia membatalkan hasrat menyunting wanita tersebut. Ada kes seorang lelaki menolak lebih sepuluh orang wanita yang pada awalnya dia rasa tertarik. Kes ini dipanggil pelalau. Istilah sastera lama ada menyebut hikmat pelalau iaitu jampi serapah untuk menyekat perkahwinan atau untuk memenangi hati gadis kepunyaan orang lain[1]. Sihir ini menyebabkan si lelaki yang dijampi menjadi tidak mantap hatinya untuk menerima seseorang wanita meski wanita itu sudah cukup syarat.

Bagi kes pelalau ini, mengikut perubatan Islam mangsa hendaklah banyak mengamalkan zikir ayat 115 surah al-Mukminuun.

Seseorang wanita yang dirisik boleh diketahui kebaikan dan keaibannya melalui orang-orang yang rapat dengannya. Menyatakan keaiban seorang wanita (jika ditanya) oleh lelaki bakal tunangnya tidak termasuk dalam dosa mengumpat yang diharamkan.

Nota kuliah Maghrib, Ust. Abdul Manaf, Kitab Fiqh al-Manhaji, tulisan Imam Syafi’e. 13 Nov 2010, Masjid al-Hidayah, Sentul, KL.

Nota kaki
[1]Kamus Dewan Edisi Keempat, Dewan Bahasa dan Pustaka, halaman 873.

Sabtu, November 13, 2010

Menerima nasihat itu susah

“Wahai anakku yang disayangi, memberi nasihat itu mudah. Tetapi menerima nasihat itu susah kerana kebanyakan orang suka mengikut nafsu.” (Imam al-Ghazali[1])

Dalam tasawwuf, nasihat diertikan sebagai iraadatu al-khair li ghairi iaitu ‘berkehendak akan kebaikan kepada yang lain’. Jaafar Bin Maghram pernah diminta nasihat oleh Maimun, “Berilah kepadaku nasihat apa yang aku tidak suka.” Hal ini bermakna nasihat yang baik berbentuk teguran yang akan menyebabkan penambahbaikan (islah) kepada sesuatu perkara yang dilihat pincang. Tentu sahaja nasihat seperti ini amat berat untuk diterima oleh orang yang mendewakan nafsu dalam dirinya.

Diri manusia ada seketul daging dipanggil al-qalb (hati). Tasawwuf mengatakan hati sebagai shoohib al-qaraar. Apa itu shoohib al-qaraar? Setiap diri memiliki sisi baik dan buruk. Yang baik adalah akal. Akal dibantu ilmu syariat. Yang buruk adalah nafsu. Nafsu disokong iblis dan syaitan. Hatilah yang mengendali sesuatu tindakan manusia setelah menilai kehendak akal dan nafsu. Apabila akal tidak dikalahkan nafsu, maka perkara baik akan diputuskan oleh hati. Baiklah natijah tindakan seseorang. Tetapi sebaliknya jika kem nafsu dan syaitan beraja, natijahnya jahatlah tindakan seseorang.

Justeru disebabkan manusia lebih cenderung mengikut nafsu, hendaklah dia mendidik nafsu. Bagimana hendak didik nafsu? Mendidik nafsu bermula dengan maqam taubat, sebelum berpindah kepada maqam khauf dan rajaa, seterusnya maqam qana’ah dan maqam yang lebih tinggi. Maqam taubat ini ialah kembali kepada Allah dengan bertadzallul di hadapan Allah. Tadzallul ertinya menghina diri dalam munajat kita kepada Allah dengan menyatakan semua dosa yang pernah dilakukan. Ada kisah ulama silam duduk dalam maqam taubat ini bertahun-tahun lamanya.

Apakah kesan maqam taubat? Bagaimana kita hendak tahu maqam taubat telah dicapai? Jawabnya apabila kita merasa benci jika melihat maksiat. Jika kita masih suka melihat maksiat, maknanya maqam taubat belum kita lulus.


Nota.

[1]Kitab Ayyuha al-Walad, Imam al-Ghazali.

Kuliah Maghrib Uts. Noor Hafizi, 9 November 2010, Masjid al-Hidayah, Sentul, KL.

Khamis, November 11, 2010

Acara buku saya.

Insyaallah, novel “RAHSIA SEBUAH MANUSKRIP” juga turut akan dibedah oleh penulisnya, Naimisa Yusof.


Anda dijemput bertemu penulis secara LIVE!

Bertempat di MPH Mid Valley, KL, pada 20 November 2010 (Sabtu), jam 2:00 hingga 4:00 petang.


Saya dengan rendah hati menjemput rakan-rakan yang berkelapangan mengikuti Acara Bedah Buku ini.


Laporan acara di sini

Peluh sudah menjadi salju

UPSR 2010.


Hampir 50 ribu calon UPSR 2010 mendapat 5A. Tahniah diucapkan kepada mereka. Salah seorangnya adik saya, Nur Hafizah. Saya menduduki peperiksaan ini pada tahun 1993 1994, dan menjadi orang pertama mendapat keputusan penuh, 4A ketika itu. Tahun ini, sekolah di pedalaman tempat kami belajar berjaya menonjolkan dua orang mendapat 5A dan dua orang mendapat 4A 1B. Hal ini dikira pencapaian yang memuaskan dengan status sekolah sebagai sekolah pedalaman. Terubat juga lelah cikgu-cikgu menyapu tar terlebih setiap pagi ke sekolah.


Bertuahnya menjadi adik di hujung-hujung.


Nur Hafizah, anak ke-10. Di bawahnya ada dua orang lagi adik perempuan. Ketika dia ber-UPSR, abang-abang dan kakak-kakaknya sudah berkerjaya. Sebagai dorongan, kami awal-awal lagi membuka ‘tender’ untuk setiap A yang akan diraih. Hal ini termasuk juga ayah. Yang menariknya, ada yang menawarkan pakej percutian (ala-ala Cuti-cuti Malaysia) di negeri sebelah Selatan Malaysia. Seorang lagi menawarkan usaha menyerapnya masuk ke Maktab Sains, tetapi itu bukanlah tender asalnya. Itu hanya kebetulan. Saya? Bila saya bertanya lalu Nur Hafizah menjawab, “Berilah apa-apa yang abang nak bagi.” Saya memang mengambil sikap tidak menyatakan apa-apa janji sedari awal yang lain-lain ‘membuka tender’. Yang pasti, saya juga akan memberi hadiah sebagai apresiasi terhadap kejayaan cemerlang ini.

Sudah pasti penat ayah dibayar.


Yang pasti, kejayaan ini akan menjadikan ayah dan bonda hilang lelah mencari rezeki. Akhir-akhir ini setelah ayah bersara daripada jawatan sampingannya sebagai Guru KAFA Yayasan Islam Terengganu, ditambah pula beban hutang baharu projek penanaman semula; bonda banyak membantu ayah di ladang. Betapa hebatnya bonda. Pertolongan itu saya kira pengorbanan tulus bonda meringankan kerja-kerja ayah. Walhal kalau diambil kira, kerja sebagai suri rumah sepenuh masa pun tidak pernah menjadikan bonda mempunyai rehat yang banyak. Tetapi bonda tidak kisah. Asal sahaja dia dapat meringankan kerja-kerja ayah. Sudah pasti juga terbayar segala pesan bonda kepada anak-anak. Meski ada kalanya kami menjadi degil dan lebih gemar bermain daripada mengadap buku.


Kejayaan perlu sentiasa didorong


Saya masih ingat, waktu seusia Nur Hafizah dahulu ayah akan menemani saya mengulang kaji pelajaran jika sudah melewati jam 10 malam. Kadang-kadang emak akan duduk di sisi sambil melipat kain baju. Waktu itu jika ada beberapa perkara yang tidak saya faham, saya boleh bertanya ibu atau ayah. Jika mereka tahu atau mempunyai idea, jawapan akan diberi. Zaman berlalu dan beberapa subjek bahari diperkenal. Subjek baharu ini pula diajar dalam bahasa Inggeris. Maka Nur Hafizah tidak lagi boleh bertanya soalan matematik yang mudah kepada emak dan ayah kerana mereka tidak dapat memahami bahasa Inggeris. Betapa emak dan ayah pernah menyatakan kekesalan dalam hal ini. Sebagai alternatif, ayah tidak kedekut menyatakan persetujuan dalam mesyuarat PIBG (ayah sebagai AJK PIBG), menyarankan kelas tuisyen diadakan. Betapa kerana kelas ini penting, ada sekali Nur Hafizah tidak diajak ketika kami sekeluarga mempunyai agenda di luar. Ya, tidak silap saya ketika rombongan menghantar kakaknya masuk universiti. Begitu disiplin yang diserap kepada kami anak-anak ayah dan ibu.

Isnin, November 08, 2010

Belajar sifat manusia dahulu

Mari kita kaji sifat-sifat manusia zaman dahulu sehingga kita dapat mengikut mereka. Sabda Nabi S.A.W, “Sebaik-baik kurun adalah kurunku.”


Hebatnya sahabat-sahabat, apabila diajak turun berjuang di medan Badar, mereka sanggup. Meski kekuatan mereka amat kecil berbanding dengan kekuatan musuh. 313 orang berhadapan dengan 1000, tentulah dengan nisbah 1 orang tentera Muslim melawan tiga orang tentera Musyrik. Pada awalnya, diadakan mubarakah iaitu seorang tentera Muslim mara untuk berhadapan dengan tiga orang tentera musuh. Tentera Muslim yang pertama ini berjaya menewaskan musuh yang pertama dan kedua. Apabila berhadapan dengan musuh ketiga, dia juga berjaya menusuk rusuk musuh dan mati. Tetapi dia sendiri cedera juga. Tentera Muslim ini akhirnya syahid dua hari sesudah Perang Badar. Setelah itu baharulah tentera-tentera lain berhadap-hadapan secara keseluruhan. Dalam perang ini, nabi berdoa kepada Allah dengan sungguh-sungguh sehingga basah serban di bahunya. Andai kata tentera Muslim tewas, tentulah tiada lagi orang yang akan menegakkan Islam di muka bumi.


Apakah rahsia kekuatan sahabat-sahabat? Mengapa mereka sanggup mengorban jiwa raga untuk Islam?


Pertama, ayat 2 surah al-Anfal. Mafhum ayat, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.” (al-Anfal:2)
Tetapi dalam ayat lain (ar-Ra’du:28) Allah berfirman, (mafhumnya) - “Tidakkah dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.”

Apakah berlaku berselisihan dalam hal ini? Sebenarnya tiada sebarang percanggahan antara kedua-dua ayat ini. Ayat dalam surah Ar-Ra’d merupakan peringkat pertama (tahap paling bawah) keadaan seorang hamba terhadap Penciptanya. Pada tahap yang lebih tinggi, seorang yang beriman menjadi gementar hatinya kerana tidak dapat merasa aman melainkan jika melaksana semua perintah dan menjauh segala larangan Allah. Bermakna pada peringkat ini, seseorang tidak boleh duduk diam melainkan dalam dirinya ada usaha untuk menzahirkan tuntutan Allah. Betapa hari ini kita lihat, ada orang langsung tidak kisah terhadap ayat-ayat al-Quran. Apabila melakukan sesuatu, agama menjadi rujukan kedua selepas nafsu.


Kedua, ayat 124 surah at-Tawbah. Mafhum ayat, “Dan apabila diturunkan sesuatu surah (dari Al-Quran) maka di antara mereka (yang munafik) ada yang bertanya (secara mengejek): Siapakah di antara kamu yang imannya bertambah disebabkan oleh surah ini? Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira (dengan turunnya).” (at-Tawbah:124)

Ayat ini turut dalam keadaan orang musyrik mempersenda orang-orang beriman. Mereka bertanya, “Apakah dengan penurunan sesuatu ayat al-Quran menjadikan iman seseorang bertambah?” Maka Allah menceritakan kejelekan sikap mereka di dalam al-Quran.
Menurut bekas Mufti Sabah dalam kitab Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, untuk menambah iman seseorang perlu:


  1. Kenal Tuhan. Awal-awal agama adalah mengenal Allah. Bagaimana hendak kenal Allah? Apakah perlu kenal dzat Allah? Untuk mengenal Allah, lihatlah kepada af’aal Allah. Iaitu kekuasaan dan kebesaran Allah dalam ciptaan-NYA. Kita sekali-kali tidak boleh berfikir tentang dzat Allah (takyif/membagaimana Allah), kerana Allah Tuhan yang tidak sama dengan apa jua yang terlintas dalam fikiran manusia. Hal ini sesuai dengan sifat Allah yang ‘Bersalahan (tidak sama) dengan segala sesuatu.’

  2. Kenal diri. Sesiapa yang kenal dirinya, maka dia mengenal Tuhannya. Renung diri kita. Dari mana kita datang? Apa tujuan kita diciptakan? Ke mana kita akan pergi sesudah mati? Betapa dalam diri manusia yang asalnya dari setitis mani yang hina, mengalami peringkat penciptaan dalam tiga kegelapan, ditambah Allah dengan pancaindera. Kemudian dikeluar ke bumi dengan kelebihan akal untuk berfikir dan kekuatan menguasai makhluk-makhluk lain di alam semesta. Renunglah ke dalam diri, setiap hari lebih 100000 kali jantung berdenyut tanpa perlu mengguna bateri. Elektron dalam sinaps manusia bergerak dengan kelajuan 400 km/jam. Dan setiap lima saat mata kita berkedip tanpa kita sedari. Sedarkah kita dalam badan kita ada penapis paling lasak iaitu buah pinggang? Dan hebatnya susu dicipta hasil campuran air mani dan darah. Hebatnya Allah!

  3. Kenal Rasul. Allah menurunkan syariat dengan mengutus rasul. Ada 313 orang rasul tetapi yang wajib kita tahu hanya 25 orang. Selain rasul Allah mengutus 124 ribu (sesetengah pendapat ulama 125 ribu) orang nabi.

Catatan: Rumusan Kuliah Jumaat, 05 Nov 2010, 9.00 - 10.30 pagi. Kolej Darul Quran, Kubang Lembek, Manir. Sambungan kuliah ini pada Jumaat berikutnya. Tetapi saya tidak berpeluang mengikutinya minggu depan.

Rabu, November 03, 2010

Putrajaya lagi

Dan esok ke Putrajaya lagi. 8 Nov pun ke Putrajaya lagi. Selagi tidak selesai projek dengan satu kementerian ini, begitulah. Perlu berulang-alik mengdakan mesyuarat melapor perkembangan projek. Dan khabarnya ada seorang yang saya kenal juga baru berpindah tempat kerja ke Putrajaya. Amir namanya.

Tercipta satu sejarah


Dan inilah sejarahnya.

Selasa, November 02, 2010

Betulkah caj dikira berasas baki berkurangan?



Lihatlah bagaimana asas pengiraan yang merugikan peminjam. Ujrah 1 persen untuk generasi saya hanya boleh dimanfaatkan pada Jun 2011. Di bawah adalah contoh pengiraan berasas baki berkurangan. Dan bayaran tambahan 50 peratus lebih rendah daripada pengiraan yang sedang digunakan pihak PTPTN.

Dilema 95 atau 97



Dilema; kalau benda ini betul secara saintifik, apakah nanti terpaksa beralih kepada RON97? Harga RON97 sudah meningkat lagi 5 sen. RM2.15 bermula 2 Nov 2010.

Isnin, November 01, 2010

Ada semua baru meriah



Bonda ketika memberi kata putus, "Kalau hendak buat kenduri, biarlah semua ada di rumah."


Maka cadangan asal membuat bekwoh berselang sehari ketika raya puasa dahulu pun dilambatkan sedikit. Kata emak lagi, "Bukan sengaja lengah-lengah. Tidak meriah kalau tiada semua orang. Adik-adik dah masuk kerja pada hari raya kelima."


Maka sebab itu, ijab kabul kami pada 04 Syawal kemudian kenduri di sebelah perempuan. Keesokannya adik-adik saya yang berkerja luar negeri sudah pulang ke tempat kerja. Malahan yang seorang itupun siap bertolak pada malam itu juga bersama bakal ibu mertua dan jejaka pilihannya.

Ok, jemputlah kepada semua sahabat yang berkelapangan. Jika mahu kad istimewa, silalah emel alamat anda kepada hanafi.mohamad[at]gmail.com.