Khamis, April 29, 2010

Apa muslihatnya?

Ada seorang blogger memaparkan kisah seorang kanak-kanak yang sakit dan memerlukan bantuan kewangan.
Maka saya pun terfikir untuk membantu.

Saya mendapat emel berikut.


Dan saya cuba pindahkan sedikit wang ke akaun itu. Apa yang terjadi?

"Sorry. Unauthenticated account." Begini lebih kurang mesej di skrin mesin ATM.

Rabu, April 28, 2010

Tutup setelah gali



Pun begitu, aku pun tidak tahu kenapa ada nilai yang bertambah. Aku pun tidak faham, kenapa ada RM57.93, kenapa RM56.93? Kenapa RM57.07? Yang pasti, aku sudah tidak memperoleh caj 1 peratus seperti yang diberitahu pegawai berkenaan.

Bagaimana jika...






... mereka memahami HIV mengalir dalam diri mereka?

Selasa, April 27, 2010

Jangan marah saya.



Statistik enjin carian Yahoo Malaysia, 27 April 2010, jam 12.30 tengah hari.

Jika mahu marah, marahlah pada penyedia enjin carian di internet.
Saya hanya paparkan semula apa yang saya lihat.
Wah, yang kesepuluh itu nampak macam menarik.
Setuju tak?

Isnin, April 26, 2010

Lawatan ke Rumah Solehah


Anak kecil yang ditinggalkan itu sudah dihurung semut. Ada tangan yang menyambutnya penuh hiba dan kasihan. Sehingga kini, ibu yang membuangnya tidak pernah diketahui. Anak kecil itu sudah besar tetapi dalam keadaan tidak sempurna. Namanya diabadikan pada sebuah rumah perlindungan kanak-kanak yang diberi nama Rumah Solehah. Itulah kisah yang berlaku pada tahun 1998 dahulu. Puan Wan Hava dan arwah suaminya menubuhkan sebuah rumah perlindungan untuk anak-anak terbiar yang menjadi mangsa keadaan. Kes Solehah meskipun agak terpencil dan istimewa berbanding niat asal mereka iaitu menyediakan tempat perlindungan bagi anak-anak pembawa Virus Kurang Daya Tahan Badan/Imun (HIV).

Dalam usia 61 tahun, Puan Hava yang lebih selesa dipanggil Mak Wan masih kelihatan sihat berkat usaha beliau menumpahkan kasih sayang kepada kanak-kanak HIV. Kunjungan kami ke Rumah Solehah di No. 2, Jalan Budiman 11, Taman Mulia, Bandar Tun Razak, Cheras disambut mesra oleh pengurus Puan Diah. Kami tiba 45 minit lebih awal dari jadual janji temu. Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sumbangan sebuah institusi kewangan antarabangsa yang beroperasi di tanah air berada di hadapan pintu rumah. Bahkan sewa bulanan rumah perlindungan itu sendiri menurut Mak Wan, telah dibiayai oleh pihak berkenaan.

Apalah yang difahami oleh anak-anak kecil tentang kehidupan? Mereka pun tidak pernah tahu bahawa pada masa hadapan, lorong kehidupan mereka amat berliku. Di hadapan mereka adalah risiko kematian yang bakal merenggut bila-bila masa. Mereka sekadar ingin bergembira menikmati kehidupan mereka yang singkat. Apa yang didahagai hanyalah perhatian dan belaian kasih sayang sesama manusia. Kehadiran kami sedikit sebanyak menceriakan hidup mereka. Ada yang meminta kami mendukung dan bermain-main. Malah ada yang menangis kerana berebut giliran untuk didampingi. Ahli rombangan kami yang tidak sebegitu ramai ini seringkali tidak menang tangan melayani keletah mereka.

Rumah perlindungan ini menyediakan suasana aman buat mereka. Setiap hari mereka perlu menghabiskan dos ubat-ubatan sebagai ikhtiar memanjangkan hayat (prolong life). Setiap tiga bulan, mereka perlu menjalani sesi ujian perubatan di hospital. Di sana, doktor akan memeriksa perkembangan dan tumbesaran kanak-kanak malang ini. Ketika sihat, mereka kelihatan seperti kanak-kanak normal. Mereka riang, cergas berlari dan bermain seperti kanak-kanak lain seusia mereka. Tetapi, tika mereka diserang penyakit hatta demam yang ringan sekalipun,tubuh mereka akan lemah longlai. Meskipun stigma masyarakat terhadap kanak-kanak ini tidak setebal saat awal penubuhannya, masih ada pelawat yang tidak berani bergaul mesra mendukung atau membelai mereka. Walhal sekadar sentuhan (body contact) tidak akan menyebabkan virus HIV merebak.

Anak-anak yang sudah mencapai peringkat persekolahan dihantar ke sekolah. Memang bukan sedikit konflik jiwa yang terpaksa mereka hadapi ketika di sekolah. Adakalanya mereka dipinggir, dicela, dijauhi malah pernah ada ketika pihak-pihak tertentu menghalang mereka dari bersekolah dengan alasan kekhuatiran yang tidak bertempat. Kanak-kanak malang ini tidak berdosa, malah mereka sendiri tidak tahu menahu bagaimana dan kenapa mereka dijangkiti virus yang masih belum ditemui penawarnya itu. Tetapi yang pasti kanak-kanak malang ini lahir dan mewarisi virus tersebut hasil dosa dan noda yang dicari oleh orang-orang tua mereka sendiri. Pelacuran, perzinaan, hubungan sejenis dan penagihan najis dadah pastinya antara punca. Hasilnya lahirlah anak-anak malang ini yang dilahirkan berpenyakit, terbiar menderita malah oleh ibu bapa dan waris mereka sendiri.

Sesi kami pagi itu dimulakan dengan aktiviti memperkenalkan anak-anak HIV ini dengan konsep asas Islam. Rukun Islam, Rukun Iman, konsep kesyukuran dipupuk melalui aktiviti nasyid. Selain itu kami juga bersama-sama membimbing mereka melalui aktiviti mewarna, mencari perkataan tersembunyi berkaitan perkara asas dalam Islam dan membuat lukisan pasir. Sesi bermesra dengan penghuni Rumah Solehah tamat pada jam 2.00 petang selepas makan tengah hari. Sebelum kami melangkah pulang, beberapa orang penghuni bertanya, “Abang boleh datang hari Ahad?” Saya bertanya, “Kenapa?” Lalu dijawabnya, “Saja, untuk bermain-main. Main apa-apalah.”

Mana-mana pihak yang ingin menyumbang bakti, bolehlah menghubungi pengasas Rumah Solehah, Puan Wan Hava (Mak Wan) di talian 03-917 21533. Taman Mulia terletak berhampiran stesen LRT Bandar Tun Razak. Menurut Mak Wan, “Banyak pihak telah memberi sumbangan material, kini apa yang mereka perlukan ialah peluang menikmati kehidupan sebagai kanak-kanak. Sebagai kanak-kanak, mereka perlukan perhatian, belaian dan kasih sayang.” Sinar mata anak-anak tersebut mengiringi kepulangan kami dengan harapan kami akan kembali.


Sisipan Berita.
Sukarelawan-sukarelawan Unit CSR & RSA syarikat tempat aku bekerja telah mengadakan kunjungan ke Rumah Solehah pada 24 April 2010. 9.45 pagi - 2.00 petang.

Perubatan Islam dari kisah Nabi Adam

Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud, “Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman: Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar.” (al-Baqarah: 31)

Apabila Allah mengeluarkan nabi Adam dari syurga, dia dipisahkan daripada isterinya selama empat puluh tahun. Bagaimana mereka berkomunikasi pada waktu itu? Bagaimana mereka akhirya dapat bertemu di sebuah tempat yang kemudiannya dinamakan Arafah? Ulama menyebut bahawa komunikasi yang berlaku di antara Adam dan Hawa adalah dalam bentuk ilham. Dalam dunia moden, orang-orang yang mempunyai pertalian seperti suami isteri, anak dengan ibu/bapa boleh berkomunikasi tanpa menggunakan peralatan moden. Sesetengan ahli psikologi mengatakan hal ini sebagai gerak hati. Sebahagian yang lain berpendapat gelombang alpha akan terbentuk sehingga orang yang difikirkan oleh seseorang yang lain menjadi teringat-ingat kepadanya. Misalnya Si A teringat kepada Si B, maka gelombang alpha akan mengalir dari otak Si A dan bertembung dengan gelombang alpha si B. Sebab itu kadang-kadang wujud dialog seperti, “Entahlah. Saya semacam teringat-ingat pada kamu. Sebab itu saya menghubungi kamu.”

Satu hal yang pasti gerak hati dan cetusan gelombang alpha yang menerbitkan rindu hakikatnya adalah ilham yang didatangkan oleh Allah. Anda boleh membuat uji kaji sendiri dengan memikirkan seseorang (sahabat/ayah/ibu/adik/suami/isteri), tetapi tidak dengan cara menghubunginya melalui emel/telefon. Biarkan ingatan anda itu berlalu sendirinya. Kemudian setelah itu, tunggulah dengan harapan agar orang yang anda fikir itu menghubungi anda.

Apabila bertemu dan melihat Hawa dalam keadaan sihat, maka datang keinginan nabi Adam untuk menjimak isterinya. Allah mensyaratkan Adam melakukan tawaf di Makkah. Ketika itu belum ada tapak Ka’abah, tetapi nabi Adam tawaf (mengelilingi) sebuah bukit. Kemudian nabi Adam diarah bermalam di Muzdalifah dan kemudian dia singgah di Mina. Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyebut Nabi Adam dikurniakan 21 orang anak iaitu sebelas orang lelaki dan sepuluh orang perempuan. Setiap mereka dilahirkan secara berpasangan iaitu lelaki dan perempuan kecuali yang terakhir. Manakala Abdullah Kassan dalam kitab Qashah al-Anbiyaa (Kisah Nabi-nabi) mengatakan anak nabi Adam seramai 240 orang. Hawa melahirkan anak sebanyak 120 kali.

Melahirkan anak adalah suatu hal yang merumitkan manusia. Hari ini amat mustahil seorang wanita dalam melahirkan anak tanpa bantuan bidan. Namun bagaimana halnya dengan Hawa? Berbalik kepada ayat 31 surah al-Baqarah, Allah mengilhamkan Nabi Adam agar isterinya sentiasa sihat dan pulih seperti sedia kala setelah bersalin. Disebutkan dalam kitab perubatan Islam, nabi Adam menyediakan lima jenis ramuan untuk mengubati Hawa.
1.Susu kambing, susu unta, madu, habbatus sauda, tin/kurma dicampur dan diminum.
2.Air, inai, habbatus sauda dan sejenis tanah (murru al-Barraa) dicampur untuk mengubat luka bersalin.
3.Halba dan daun inai ditabur pada batu yang dipanaskan. Batu ini didemahkan dengan cara Hawa duduk di atas batu. Amalan ini samalah seperti amalan bertungku zaman moden.
4.Lemak kambing, lemak unta dan inai dipanaskan untuk mendapat minyak. Minyak ini diurut untuk memulihkan semula urat-urat dan mengembalikan fungsi otot.
5.Celak yang diperbuat dari sejenis batu khas.

Jika dilihat dari senarai di atas, tiga daripadanya mempunyai inai. Dalam kajian perubatan moden, inai (bahasa Arab; al-Hinaa) didapati boleh membantut pertumbuhan sel kanser. Rebusan daun inai boleh diminum seperti mana kita mereneh teh/kopi. Selain itu, inai juga diguna sebagai menghilangkan lenguh sendi dengan cara merebus daun. Air rebusan inai diguna untuk mandi.
--------------------------------------------------------------


Nota Kuliah Maghrib, Ust. Hanafi Bin Abdul Rahman, 23 April 2010, Masjid al-Hidayah, Sentul.

Ahad, April 25, 2010

Baca@LRT #Kinokuniya, KLCC.



Jam 11.00 di stesen LRT KL Sentral. Semacam tiada apa-apa yang berlaku. Walhal hari ini, jam 11.30 nanti ulat buku akan berkumpul di Kinokuniya, KLCC. Saya menaiki tren yang agak selesa. Tidak sesesak hari-hari kerja atau waktu puncak. Memang tidak kelihatan suasana seperti yang berlaku sebelum ini. Tidak kelihatan mana-mana orang memegang buku atau membaca di dalam tren. Saya keluar di stesen KLCC semacam acara itu tidak wujud juga. Pada jam 11.25, saya menaiki lif ke tingkat 4. Baharulah ada tanda-tanda program pertemuan ulat buku berlaku. Kotak lutsinar yang disediakan di tepi pintu sudah hampir penuh. Saya masukkan sebuah novel yang pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan di dalamya.


Kelihatan editor Dewan Bahasa, En. Zaidi Ismail. Puan Zaiton (DBP), Azzah (penulis novel kanak-kanak), Rebecca Ilham (penulis), Huda Engku (Jurulatih Khalifah Institute) dan beberapa sosok lain yang tidak saya kenal. Sekitar jam 12.00 tengah hari, baharulah orang kuat BACA@LRT tiba bersama SN Dato’ A Samad Said dan isteri, Prof. Abdullah Hassan dan Puan Ainon. Setelah sesi bergambar di hadapan Kinokuniya dan bertukar buku, kami bergerak ke medan selera berdekatan di tingkat 4. Seramai kira-kira 36 orang sahaja yang menyertai acara makan bersama. Beberapa orang yang lain telah pulang lebih awal.

Saya sebelah Prof. Abdullah.


“Makan tengah hari ini ditaja.” Demikian umum pihak urus setia program.
Dan majlis bersurai sekitar jam 1.50 petang. Terima kasih juga buat Brother One kerana belanja pencuci mulut.

Sabtu, April 24, 2010

Jumaat, April 23, 2010

Bila saya menulis nota bunuh diri

Kadang-kadang dalam merenung ke dalam diri, terutama ketika tertekan; manusia sampai kepada puncak meminta kematian. Apakah dengan mati, masalah akan selesai? Apakah mati itu kita sudah pasti akan bersantai di alam barzakh sana? Sudah cukupkah bekalan untuk berhadapan dengan soalan munkar nakir? Sudah mulazamahkah kita dengan al-Quran sehingga al-Quran itu menjelma sebagai pemuda yang akan menemani kita di kubur? Sudahkah? Memang menjadi fitrah manusia, apabila tidak sabar menanggapi tekanan hidup, matilah yang difikirkannya. Pertama, anak Nabi Adam seperti yang diceritakan dalam surah al-Maidah juga memilih mati sebagai penyelesaian. Apabila seorang saudara kandung anak nabi Adam itu merasakan masalahnya tidak dapat diselesai mengikut nafsunya, dia sanggup membunuh. Dan dia betul-betul menjadi pembunuh pertama dalam sejarah peradaban manusia.

Firman Allah yang bermaksud, “Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil) dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): Sesungguhnya aku akan membunuhmu! (Habil) menjawab: Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa. Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam. Sesungguhnya aku mahu supaya engkau kembali dengan (membawa) dosa (membunuhku) dan dosamu sendiri. Maka dengan itu menjadilah engkau dari ahli Neraka dan itulah dia balasan orang-orang yang zalim. Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga dia tergamak) membunuh saudaranya, lalu dia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi. Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?. Kerana itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang menyesal.” (al-Maidah: 27-31)

Kedua, badai yang melanda kehidupan puteri 'Imran iaitu Maryam. Apabila dia mengasingkan diri dari masyarakat, suatu hari dia bersungut. Peristiwa ini dirakam Allah seperti berikut, “(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!” (Maryam: 23)

Maka apabila saya menuliskan sesuatu yang kononnya menggambarkan saya terfikir untuk membunuh diri, sebahagian orang memarahi saya. Saya tidak fikir itu kemarahan melulu sebaliknya sebagai nasihat agar saya tidak melakukan perkara yang bodoh. Dan saya juga tidak mahu mengakui diri saya cukup kuat sehingga dapat lepas daripada fitrah (kelemahan diri) yang sedia ada dalam setiap jiwa manusia. Kalau manusia sehebat Maryam pun, terlintas menghendaki kematian tatkala dilanda masalah, siapalah saya yang kerdil ini? Dan itulah sebenarnya (dengan menulis), saya dapat meresap sebahagian daripada kecamukan diri sehingga saya tidak menjadi sewel. Saya seorang yang tidak pandai berceloteh panjang untuk memaksa sesiapa sahaja mendengar masalah. Saya hanya pandai menulis, setekat inilah. Mungkin nanti, kalau saya sudah beristeri – dialah tempat terbaik untuk saya kongsikan masalah saya pula. -;)

Pesan saya, jangan sesiapapun cuba membunuh diri. Itulah jalan singkat ke NERAKA.

Khamis, April 22, 2010

Sebalik 'Taman Masalah'

Barangkali kerana manusia sudah tidak bijak mengurus masalah, manusia memilih mati sebagai penyelesaian. Menurut kenyataan akhbar seperti dilaporkan Bernama, 113 kes bunuh diri pada bulan Julai hingga Disember 2007. Bermakna purata 18 kes sebulan. Jika kita meninjau data terkini di weblog Daftar Bunuh Diri Kebangsaan Malaysia (NSRM), terdapat 418 kes sepanjang 2010. Dengan mengandaikan data tersebut setakat bulan Mac 2010, hal ini bermaksud terdapat peningkatan dua kali ganda. Bagi suku tahun pertama 2010, kira-kira 34 orang membunuh diri sebulan.

Masalah bak penyeri kehidupan. Seri seringklai dikaitkan dengan sesuatu yang bercahaya. Kerana itu, kita lihat cahaya sendiri adakala cerah atau sebaliknya malap. Saya bicarakan hal ini sebagai muhasabah diri sendiri. Tatkala saya dilanda masalah belum digaji
dua bulan, memanglah kehidupan mandom. Semacam setiap hari adalah mimpi ngeri. Pegawai bank telefon mengingatkan bayaran ansuran pinjaman. Sekejap-sekejap tuan rumah bertanya soal duit sewa.

Perhatikan sahaja dialog ini, "Bang, nasi bujang sahaja."
Ya, tidak salah memakan nasi bujang dengan mempamer muka kasihan. Lalu pelayan kedai makan akan
membawakan saya sepinggan nasi, sebiji telur dadar, tiga hiris timun, semangkuk sup kosong dan segelas air suam. Cukuplah RM2 semalam. Dan itulah satu-satu kalinya saya makan nasi. Yang lain, saya bersarapan sebelah pagi.


Anda tidak perlu kasihankan saya. Ini realiti yang saya masih mampu hadapi. Saya bersyukur kerana Allah masih memberi kekuatan kepada saya menghadapinya. Ya Rabb, kurafakkan kesyukuran kehadratmu kerana Engkau menyediakan rakan-rakan yang membantu dan memberi semangat kepadaku untuk menghadapi keadaan ini. "Semalam aku makan. Dan seorang sahabat membayar untukku sedangkan kami tidak makan semeja. Hanya Engkau yang mampu membalas kebaikan itu selayaknya."

Mudah-mudahan kita diberi kekuatan IMAN. Sekuat manapun ujian, itu tanda Allah sayang pada kita. Ingatlah kita pada pesan Nabi Yaakub kepada anak-anaknya, "Jangan putus asa dari RAHMAT ALLAH."

Taman masalah


Judul: Taman masalah

(mengenang gelisah jiwa menanti gaji dua bulan)



Sekusut manapun akalmu
masih ada bunga
mewangi setaman masalah


lupakah kamu pesan nenda
"Masalah menguji kebijaksanaan."

-----------------------------
Naimisa, 22/04/2010

Rabu, April 21, 2010

Padang tidak rata.

Sekarang kita sibuk dengan beberapa isu kepimpinan. Mereka saling menyerang peribadi pihak yang bertentangan. Seorang tidak bertindak defensif malah bergerak dengan membicarakan agenda yang mahu dilakukan. Manakala sebelah pihak lagi menyerang sambil juga menaburkan janji-janji manis. Hakikatnya sistem yang sepatutnya sudah dilanggar. Bagaimana sebuah pilihan raya kecil boleh menjadi lebih hebat bajetnya berbanding sebuah pilihan raya umum? Apakah ia sekadar gimik untuk memancing undi? Perkara seperti ini tidak wajar berlaku. Setiap pihak yang bertanding perlu mengishtihar bajet mereka dan tidak melepasi had-had tertentu.

Lihat sahaja beberapa orang yang awalnya mencalonkan diri, kemudian menarik diri pula. Lihat pula sesetengah pemimpin yang keluar parti dan mendakwa ramai pengikut-pengikut melakukan hal yang sama. Ada yang keluar kerana tidak mendapat perkara yang dihajatkan. Jawatan yang terpaksa dilupakan menjadikannya goyah dengan perjuangan. Sesetengah pula mengada-ngada keluar kerana mahukan publisiti murahan. Tidakkah ini suatu yang aneh? Tidakkah mustahil tiada ganjaran di sebalik semua itu? Cuma tidaklah dapat dibuktikan dengan kukuh bahawa ada permainan wang di sebaliknya. Kempen pilihan raya kali ini lebih malah melampau had yang sepatutnya. Wajarkah kerana berbeda pendapat, sekeping gambar yang asalnya baik diolah (superimposed) sehingga kelihatan mengaibkan? Sudah banyak gambar superimposed ini dibuktikan autanya.

Baik di pihak kerajaan negeri (Pakatan Rakyat) mahupun pembangkang (BN), kedua-dua pihak harus berkempen di atas padang yang rata. Tiada serangan peribadi. Tiada provokasi samseng jalanan. Tiada penggunaan stesen TV melainkan kedua-dua pihak diberi hak berada di dalamnya secara langsung. Ada kata-kata pujangga yang baik untuk dihayati, “Bila menuding kepada orang, ingatlah empat jari lagi menuju ke arah kita.” Bermakna, tidak boleh tidak suatu hal yang mengaibkan dengan sendirinya akan membawa kepada aib sendiri dibongkar. Tetapi masalah sekarang kata saya, “Padang tidak rata.”


Selamat mengundi dan membuat pilihan yang betul diucapkan kepada semua pengundi Hulu Selangor.

Khamis, April 15, 2010

Ayyuha al-Walad: Pengenalan

Imam al-Ghazali menggambarkan kecintaan khusus kepada salah seorang pelajarnya. Beliau merakamkan nasihat-nasihat agama yang diringkaskan dalam kitab Ayyuha al-Walad (Aduhai Anak). Dalam Islam, ilmu yang wajib dipelajari bagi setiap diri (fardhu 'ain) ada tiga; ushuluddin (aqidah), fiqh (ibadat) dan tasawuf (tazkiah an-nafsi, ilmu membersih jiwa). Nas yang dirujuk sebagai menguatkan hal ini ialah ayat dua surah Al-Jumu'ah. Firman Allah yang bermaksud, “Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”

Dalam ayat ini Allah menggunakan kalimah yuzakkihim (kata dasar: zaka) yang bermaksud menyucikan. Ada hal (menyucikan) yang diguna dalam konteks yang baik dan begitulah sebaliknya. Dalam satu ayat lain, Allah menggunakan kalimah zaka yang menunjukkan perbuatan mensucikan diri itu tidak baik. Firman Allah yang bermaksud, “..maka janganlah kamu (memuji-muji) mensucikan diri kamu (suci bersih dari dosa). Dialah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertakwa.” (an-Najm: 32)

Sandaran kedua untuk mengelaskan ilmu yang wajib dipelajari setiap muslim ialah hadis kedua dalam sususan Matan 40, susunan Imam Nawawi. Hadis yang panjang ini menceritakan kehadiran Jibril alaihissalam bertanya nabi tentang Islam, Iman dan Ihsan. Pada akhir hadis itu nabi bersabda, “..dia Jibril, datang kepadamu mengajarkan Islam, iman dan ihsan.” Mendidik jiwa amat sukar sebenarnya. Kadang-kadang kita merasakan diri sudah ikhlas beribadah. Walhal sebenarnya kita masih belum benar-benar ikhlas. Diceritakan ada seorang ulama saban hari bersolat di saf pertama. Suatu hari dia solat di saf kedua dan rasa malu. Lalu dia pun berusaha untuk mendapat saf pertama semula pada hari berikutnya. Demikian dia beribadat (solat saf pertama) selama 30 tahun. Apabila dia menyedari masih belum mencapai taraf ikhlas, ulama tersebut mengqadhakkan solatnya selama 30 tahun yang dikerjakan itu.

Dewasa ini banyak orang yang belajar ilmu tasawuf yang aneh-aneh. Timbul dalam masyarakat kita orang yang mendakwa al-Quran sebagai makhluk. Ada orang yang mengajar terjemahan al-Quran secara harfiah sehingga menyamakan Allah dengan makhluk. Sebagai contohnya dalam ayat, “..tangan Allah di atas tangan-tangan mereka.” Mereka (yang sesat itu) berpandangan, tangan itu seperti tangan manusia. Jumhur ulama Salaf dan Khalaf berpendapat zahir ayat tidak merujuk kepada makna sebenar. Ulama Salaf berkata, “Terpulanglah kepada Allah untuk menakwilkan makna tangan itu.” Ulama Khalaf berpendapat, “Tangan itu sebagai simbolik kekuasaan Allah di sebalik kudrat manusia yang terbatas.”

Dan inilah kepentingan mempelajari jurus ilmu tazkiah an-nafsi agar manusia dapat beramal dengan betul dan dalam keadaan yang betul pula. Hal ini kerana ia berkaitan dengan ikhlas, harap (rajaa'), takut (khauf), taqwa, fanaa' billah (hina dina di hadapan Allah) dan seumpamanya.

______________________________________

Ringkasan kuliah maghrib Ust. Norhafizi. 13 April 2010, Kitab Ayyuha al-Walad, Imam Al-Ghazali.

Isnin, April 12, 2010

Cinta lawan dusta




CINTA ADALAH FITRAH
DUSTA ADALAH AKALAN





Mahu bermadah?

Cerita air lebih dan gelas pendek




“Gelas ini mampu menampung 500 mililiter,” lapor seorang kuli.
“Ya?” seorang bos dengan lagak terkejut. Dia sengaja mahu menduga.
“Ya, maksimum!” tegas kuli itu.
“Saya mahu berikan tambahan sekali ganda.” Bicara bos dengan sombong.
“Gelasnya tidak ditukar?”
Matanya cerlun laksana helang mencari mangsa. “Syaratnya gelas tidak ditukar.”
Kuli-kuli berbincang sesama mereka.
“Jika begitu, apa guna air yang lebih?”

Itu kisah klasik zaman-zaman dahulu. Waktu Jepun memerintah. Memang tiada lebihan peralatan yang dapat dibekalkan kepada pekerja. Majikan tidak boleh tidak terpaksa menjerut kulinya dengan perkara yang mustahil. Zaman moden ini kita dengar satu cerita yang hampir-hampir sama.

“Kakitangan kerajaan perlu bersetuju dengan kenaikan gaji.” Suatu kenyataan akhbar yang cukup 'memikat'.
Tunggu. Betulkah mengujakan?
“Tetapi dengan syarat, tuan-tuan mesti bersetuju dengan GST.”
“Aduh! Ini kisah air dan gelas pendek yang berulang, dan sengaja diulang-ulang.” Aku kata.

Selasa, April 06, 2010

Tuankah pembela kami?





Tuan

terima kasih

telah kau gunungkan kesombongan

di bawah robohan ini


-------------Tragedi di negeri Johor darul UMNO.

Isnin, April 05, 2010

Kelayakan Imam dalam solat

Perkara 239 - 243, KItab Bahrul Mazi Juzuk 3, karangan Idris al-Marbawi. Pada bab “Siapa yang lebih berhak menjadi Imam?” [Maa Jaa-a Man Ahaqqu Bi Imaamati]

Hadis yang dipilih oleh Imam Tirmizi ini panjang. Satu hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibnu Mas’ud. Pada permulaan hadis itu dinyatakan bahawa hendaklah diutamakan (dikehadapankan) orang yang pandai al-Quran (qaari). Dan inilah pendapat yang dipegang oleh Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad Bin Hanbal dan sebahagian ashaab dalam mazhab Syafie. Adapun Imam Syafie dan Imam Malik Bin Anas berpendapat bahawa orang yang lebih faham sunnah (alim dalam fiqh) lebih utama.


Hal ini tidak bermakna pendapat Imam Syafie bertentangan dengan maksud hadis nabi itu. Hujah Imam Syafie ialah sepanjang hayat nabi, Abu Bakr ash-Shidiq dilantik menjadi imam sedangkan ramai lagi sahabat yang lain lebih alim al-Quran (qaari). Dalam solat, orang yang lebih faham fiqah sahaja mampu menyelesaikan kekeliruan berbanding dengan qaari.

Imam Nawawi tidak sependapat dengan Imam Syafie. Dia berpendapat bahawa syarat pandai al-Quran perlu diutamakan sama ada seseorang itu faqih atau tidak. Ulama-ulama mujtahid mazhab Syafie berkata qaari yang disebut dalam hadis itu adalah qaari pada zaman nabi iaitu mereka juga arif dalam fiqh. Imam Khatib Syabini mentakwil hujah Imam Nawawi dengan menyatakan bahawa qaari pada zaman nabi berbeza dengan zaman selepasnya. Sahabat-sahabat memang kebanyakannya qaari tetapi dalam waktu yang sama mereka juga menguasai fiqh.

Pengarang kitab seterusnya membincangkan kelayakan seseorang jika sama-sama faham sunnah, siapakah yang lebih layak menjadi imam? Jika sama-sama faham sunnah, orang yang lebih dahulu berhijrah diutamakan. Pada zaman nabi, orang Muhajirin lebih diutamakan menjadi imam berbanding dengan orang Anshar. Dalam konteks semasa, hijrah tidak lagi berlaku menepati hadis “Tiada hijrah selepas pembukaan Makkah.” – Hijrah itu bolehlah diandalkan dengan penghijrahan dari negeri kafir ke negeri muslim atau masa seseorang bertukar daripada seorang kafir menjadi muslim.

Pengarang kitab seterusnya membincangkan, “Jika sama-sama faham sunnah, sama-sama berhijrah, siapakah yang lebih layak?” Jawabnya ialah pilihlah yang lebih tua. Berikutnya jika sama juga? Pilihlah orang yang lebih wara’. Kerana orang wara’ meninggalkan perkara syubhah. Antara orang wara’ dengan orang zuhud, siapakah yang lebih layak? Jawabnya orang zuhud lebih layak menjadi imam berbanding orang wara’ kerana orang zuhud mengambil dunia seadanya. Zuhud bukanlah bermakna membuang dunia, tetapi mereka memanfaatkan dunia dengan agama.


Nota kuliah Maghrib, Ust. Raihan Bin Abdul Aziz, Masjid al-Hidayah, Sentul. Jalan Sentul Pasar, KL. 2 April 2010.

Khamis, April 01, 2010

Sistem; berjaya atau tidak?

Inilah yang dinamakan sistem.
Ini contoh sistem penjejakan pos untuk novel Rahsia Sebuah manuskrip.




Berjaya atau tidak bergantung kepada KEJUJURAN & PENGURUSAN YANG EFISIEN.