26 Januari 2009. Petangnya berlaku gerhana matahari. Paginya saya bertolak dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu, kerana urusan keluarga yang amat penting. Justeru saya terpaksa membatalkan perancangan ke Masjid Negara pada hari itu. Saya selesaikan solat fardhu di perhentian rehat bas ekspress di Kuantan. Apabila tiba di Kuala Terengganu, saya mengambil kesempatan menunaikan solat sunat gerhana matahari di surau terminal. Saya tiba jam 5.30 petang, dan tentunya sudah terlewat daripada agenda di masjid putih Kuala Terengganu. Tidak salah jika saya menunaikan solat sunat itu sendirian. Solat sunat ini berbezaa daripada solat sunat yang lain. Dua rakaat, tetapi dibaca surah al-Fatihah diikuti ayat lazim, kemudian rukuk dan iktidal sebanyak dua kali dalam satu rakaat. Bermakna selepas iktidal, diulangi bacaan al-Fatihah dan ayat lazim seterusnya rukuk, iktidal dan sujud untuk rakaat tersebut. Dalam kitab kuning, dicatatkan cara menunaikan solat sunat ini tetapi tidak upaya dilakukan oleh kita di akhir zaman. Iaitu tempoh rukuk, iktidal, sujud, duduk di antara dua sujud sama panjang dengan panjang bacaan ayat yang dibaca selepas al-Fatihah. Dalam sejarah akhir zaman, solat sunat gerhana yang dilakukan oleh imam Makkah pada tahun 50-an membuktikan hanya sekitar empat hingga lima orang mamkmum yang mampu bertahan bersama-sama imam; menunaikan solat sunat gerhana mengikut kaifiat yang asal.
Apabila saya turun ke kedai untuk mendapat akhbar, tiba-tiba seorang peniaga bertanya dengan keadaan hairan. Seolah-olah dia lupa dunianya. Semacam dia tidak mendengar sebarang berita atau membaca akhbar darihal gerhana matahari. Lantas dia bertanya, “Kenapa lain macam sahaja petang ni?”
Saya puisikan insiden itu. Ya, tataplah nukilanku yang tidak seberapa ini.
Manusia dan gerhana.
Sempena peristiwa gerhana matahari pada sore 26 Januari 2009
Kala bulan mencelah mentari
kelihatan bentuk cincinnya
gerhana tanda kekuasaan
Al-Khaliq Penguasa mayapada
Bukan meratap kematian Ibrahim
bukan juga petanda walang
duhai buangkan kepercayaan karutmu
Bumi nan terang menjadi mendung
sinar mentari tidak segalak
dan secerah paginya
masih ada yang leka
atau kebingungan
kiamatkah ini?
apa sebenarnya berlaku?
Dia…
terpinga-pinga mengikut yang lain
dikhabarkan “mentari dihalang bulan.”
Oh, umur dunia masih panjang!
mengurut dada merafakkan kemujuran
Dalam debar kalut pun lenyap
(Naimisa, 31012009, Sentul, KL)
Nota kaki:
Pada zaman nabi, anak baginda Ibrahim mati. Kebetulan pada waktu itu berlaku gerhana. Maka nabi bersabda menyangkal pendapat orang ramai bahawa gerhana berlaku kerana meratap kematian anak baginda itu.