Menyorot pemikiran Ahadiat Akashah (Dewan Sastera, Oktober 2006, muka surat 43) tentang novel pop, beliau menukilkan sebagaimana berikut, “saya melihat ramai remaja yang bangga sambil membawa ke sana-sini novel saya dan tidak malu membaca novel Melayu. Setidak-tidaknya ini gula-gula awal untuk menanamkan ketagihan memabaca remaja! Pastinya suatu hari nanti mereka akan mencari pembacaan yang lebih baik, lebih berat, lebih berbentuk ilmiah atau kata lainnya lebih sastera.”
Sasterawan Negara (SN) Profesor Emeritus Dato’ Shahnon Ahmad merumuskan novel pop sebagai karya yang digarap serba pantas, serba langsung, dan serba menyeronokkan bagi mencapai matlamat penyudah yang menggembirakan atau happy-endingnya. Karya ini hanya membicarakan soal-soal cinta, mempertikaikan cinta penuh dengan aksi fizik dan penuh sensasi. (Dewan Sastera, Oktober 2006, muka surat 21). Persoalan nilai estetika dalam novel popular tidak dititikberatkan kerana tema naratifnya berkaitan cinta muda mudi yang sedang galak dengan zaman remaja. Novel popular digarap dalam bentuk yang bersahaja dan santai tanpa memaksa pembaca berfikir dengan kritis bagi merungkai sesuatu gagasan idea atau falsafah yang berat-berat dan serius.
Saya bersetuju dengan pandangan ini dengan syarat terdapat anjakan paradigma pembaca untuk menambah ilmu pengetahuan. Satu hal yang perlu difahami, apabila sesuatu perkara menjadi tabiat dalam kata lain sudah diserang ‘ketagihan’, adalah sukar untuk mengubahnya melainkan dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Secara psikologi, minat membaca dengan bertatih membaca bahan bacaan ringan amat dibimbangi akan menutup minda fikir pembaca untuk merobah selera pembacaan. Maka tidak hairanlah wacana minda yang berat-berat seperti yang dihadam dalam majalah MASSA misalnya tidak bertahan bagi tempoh yang lama. Sebaliknya, majalah-majalah hiburan yang membincangkan soal remeh temeh berkaitan dunia artis tumbuh dan berkembang dengan baik. Begitu juga nasib yang melanda dunia sastera khususnya genre novel.
Persetujuan saya selaras dengan perkembangan tahap pembacaan yang dialami. Saya tidak menafikan, bahawa proses pembacaan saya dalam bidang sastera juga bermula daripada pembacaan novel ringan atau popular. Persoalan yang dibincangkan dalam novel ini tentunya berkitar seputar soal-soal cinta remaja, tetapi bukan semua novel popular itu boleh dianggap sampah. Ada juga penulis-penulis novel popular yang mengangkat persoalan nilai dan falsafah kehidupan, atau mengungkap kajian-kajian serta naratif kehidupan yang serba kompleks. Cuma ciri-ciri kompleks itu tidak digarap dalam langgam penceritaan yang bertindih-tindih dengan stail sastera yang tinggi. Proses menghadam novel picisan ini juga tidaklah sukar, kerana jalan ceritanya mudah dijangka di samping tidak memerlukan kerahan minda untuk menafsir pemaknaan kandungan, jalan cerita atau mesej yang hendak disampaikan.
Saya tertarik dengan ulasan pembentang kertas kerja, Encik Mohamad Daud Mohamad dalam program Akademi Sastera Siber 2006 (ASS 2006) di Kota Bharu. Menurut beliau, pemaknaan terhadap sastera adalah perlu dengan penulis-penulis novel memberi penekanan dalam aspek kajian. Beliau memberi contoh naskhah The Memoir of Geisha yang dihasilkan setelah dikaji hampir sepuluh tahun tentang dunia Geisha di Jepun. Selain itu, beliau juga kagum dengan karya Ahadiat Akashah berjudul Rempit. Novel ini ditulis setelah penulis bergelumang dengan dunia Mat Rempit, menyelidik selok belok, permasalahan dan impak gejala rempit di Malaysia. Namun begitu, apakah olahan yang berterus-terang seperti ini baik untuk perkembangan minda anak-anak muda? Dari satu sudut, hal ini mungkin baik kerana memperlihatkan ketelitian dan keberanian penulis mengangkat tema rempit. Dari sudut yang lain pula, ia membawa pengaruh negatif apabila karya ini diangkat dalam bentuk filem adaptasi, yang memperlihatkan secara lebih dekat kebobrokan masyarakat. Sudah tentu, pembikinan filem akan menjadikan karya yang baik menjadi sebaliknya, kerana filem lebih mudah diikuti, lantas ramai pula yang akan terpengaruh untuk menyelami dunia rempit secara real.
Anjakan paradigma amat perlu bagi menjana dan mancanai minat membaca. Menukar selera daripada menekuni bahan bacaan ringan kepada yang berat dan sarat dengan falsafah sebenarnya sukar. Hanya kesedaran pembaca untuk mencari sesuatu di sebalik pembacaan boleh mengubah anjakan paradigma ini. Bahan bacaan yang berat memerlukan kerahan otak, tentunya meletihkan. Idea-idea yang dipersembahkan kadang-kadang meyukarkan pembaca untuk memahaminya tidak seperti bahan bacaan ringan yang bersifat ‘selapis’, tidak ‘sesak’ dengan fakta, dan kurang keperluan analisis pembaca. Membaca karya yang berat memerlukan kesabaran dan kesungguhan kerana darjah ‘kesantaian’ yang rendah. Hal ini jauh berbeza apabila menatap bahan bacaan ringan. Mandala minda pembaca tidak disuguhkan dengan kerahan untuk mentakwil atau merungkai persoalan yang bersimpang-siur sifatnya.
Anjakan Paradigma.
Tinjauan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tentang permasalahan membaca telah didokumentasikan (Dewan Masyarakat, September 1998, muka surat 15). Tiga faktor utama yang dinyatakan ialah:
1. Tradisi membaca belum wujud. Membaca belum dibudayakan dalam masyarakat.
2. Media elektronik mencabar pemusatan fikiran anggota masyarakat untuk membaca.
3. Sikap sambil lewa terhadap aspek pembacaan yang memerlukan kesabaran dan penelitian.
Membaca dalam Islam berkait rapat dengan proses pencarian ilmu. Kepentingan membaca amat ditekankan di dalam Islam. Sebagai bukti, wahyu pertama di dalam Al-Quran bermula dengan kalimah iqra’ yang bermaksud bacalah. Membaca amat sinonim dengan proses pembelajaran. Melalui pembacaan, seseorang memperoleh maklumat untuk ditapis sebagai pengetahuan, kemudian diperhalusi dalam bentuk ilmu apabila diselidiki dihayati dan dipraktikkan dalam kehidupan. Tidak semua yang dibaca akan menjadi ilmu, sebaliknya kekal sebagai pengetahuan. Maka tidaklah salah sekiranya kita menjadi warga yang kaya dengan pengetahuan atau informasi selaras dengan hasrat membina masyarakat berminda kelas pertama.
Jika di dalam konteks makanan, kita diperintahkan untuk mencari yang halal dan berlualiti. Begitu juga halnya dengan pembacaan. Ilmu daripada pembacaan merupakan salah satu juzuk rezeki kepada manusia. Rezeki yang maha luas, tidak diskrit dalam ruang lingkup harta benda, pakaian, dan makan minum sahaja, malah merangkumi ilham, ilmu dan hikmah. Perkara yang dibaca akan mempengaruhi pemikiran seseorang. Hal ini menunjukkan peri pentingnya pemilihan bahan bacaan yang bermutu. Bukanlah bermakna kita tidak perlu membaca bahan bacaan ringan, tetapi jadikanlah bahan seperti itu sebagai selingan dalam tabiat membaca ketika memberi prioriti terhadap bahan bacaan berat.
Justeru kita juga dituntut untuk mencari bahan bacaan yang baik dan berkualiti untuk perkembangan minda. Senario yang melanda minda pembaca khususnya di Malaysia amat membimbangkan. Penerbit-penerbit buku lebih gemar memfokuskan bahan bacaan ringan yang menyeronokkan. Tidak hairanlah, majalah hiburan dan pornografi lebih banyak dan laku berbanding dengan majalah ilmiah. Anjakan paradigma sangat penting sebagai momentum kesedaran khalayak pembaca untuk menentukan bahan bacaan yang perlu dibaca selaras dengan cita-cita pembangunan modal insan dalam kerangka Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Penerbit buku dan majalah juga perlu menilai tanggungjawab sosial mereka dengan tidak terlalu ghairah mencari keuntungan di sebalik senario pembacaan rakyat Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan