Rabu, Julai 12, 2006

Pelajar tak cukup

Pelajar yang ditawarkan ke USM Kejuruteraan seramai 799, namun hanya 676 yang mendaftarkan diri. Kekosongan ruang yang ditinggalkan menyebabkan Dekan Pusat Pengajian diberi kuasa menerima permohonan di luar bidang kuasa UPU. Yang saya betul-betul pasti, setakat ini yang saya tahu, 40 kekosongan di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE).


Permohonan terus melalui Dekan PPKEE boleh dibuat dengan menulis surat permohonan. Lepasan matrikulasi KPM atau yang setaraf, mempunyai PNGK 3.00 dan ke atas, layak membuat permohonan. Sebar-sebarkan kepada saudara mara anda, jika ada.

Berikut coretan dalam Mimbar Pusat Islam Julai 2006.

-------------

Warga Pusat Islam mengucapkan ahlan wasahlan wamarhaban bikum, dan tahniah kepada semua pelajar baru sidang 2006/07. Sememangnya amanah kemahasiswaan yang dipikul oleh anda merupakan agenda yang penuh dengan cabaran dan liku-liku. Selamat menjalani kehidupan sebagai pelajar bergelar mahasiswa bagi memartabatkan ketinggian nilai ilmu pengetahuan dalam bidang masing-masing.

Perubahan alam bagi menekuni bidang ilmu di universiti jauh berbeza berbanding dengan zaman-zaman persekolahan yang lalu. Justeru, cara dan pendekatan belajar mahasiswa/i juga harus berubah. Jika dahulu pelajar-pelajar berhadapan dengan konsep menerima lebih banyak daripada mencari, maka sekarang mahasiswa/i perlu menggali sendiri ilmu-ilmu sebagai menguatkan pemahaman dalam pembelajaran di dewan kuliah. Proses pencarian itu termasuklah bertanya kepada pensyarah, perbincangan dalam kumpulan, atau meminjam sumber-sumber rujukan di perpustakaan dan maklumat di internet.

Sebagai pelajar muslim, kebergantungan kepada Allah amat penting. Keghairahan menuntut ilmu tidak seharusnya melalaikan kita daripada memanjatkan kesyukuran kepada Allah. Maka niat belajar perlu diperbetulkan semata-mata kerana Allah, bukan kerana sekeping ijazah untuk dibangga-banggakan. Wacana minda mahasiswa muslim berbeza daripada pelajar bukan Islam. Ketinggian nilai ilmu yang dikuasai oleh ilmuan Islam akan menaikkan penghormatan orang bukan Islam terhadap agama Islam. Jika perkara ini difahami, mahasiswa/i Islam akan menunjukkan sikap dan watak yang selaras dengan tuntutan syariat Islam sepanjang proses menuntut ilmu.

Mahasiswa/i Islam perlu memiliki wawasan yang jelas. Hala tuju pendidikan ditetapkan sejak awal, dan boleh diguna bagi memartabatkan budaya ilmu di universiti. Penglibatan dalam aktiviti-aktiviti sampingan tidak seharusnya menjadi de factor yang merencatkan pencapaian dalam akademik. Memang tidak dinafikan, ilmu-ilmu pengurusan dalam aktiviti berpersatuan merupakan nilai tambah kepada ilmu-ilmu formal dalam bidang pengkhususan masing-masing di pusat pengajian. Justeru perancangan yang rapi mestilah dibuat supaya aktiviti berkaitan akademik dan luar seimbang, serta tidak mengganggu proses pembelajaran.

Dalam pada kita diperkenalkan dengan istilah ‘modal insan’ dalam Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9), mahasiswa/i merupakan salah satu golongan yang termasuk dalam kerangka sumber manusia ini. Alangkah hebatnya, jika modal insan itu dihayati dalam erti kata mahasiswa/i muslim mengekalkan jati diri muslim tanpa terpengaruh dengan stail dan budaya luar. Golongan yang menjadi harapan bangsa, agama, dan negara tidak seharusnya dicemari oleh anasir-ansir yang buruk. Mahasiswa/i seelok-eloknya memperbaiki padangan sesetengah masyarakat yang memandang serong ekoran penglibatan sebahagian mereka dalam aktiviti yang tidak sihat.

Ayuh! Kita gembeleng tenaga dan fikiran untuk memartabatkan nilai ilmu kerana manusia yang berilmu tidak sama dengan mereka yang jahil.



“..katakanlah (wahai Muhammad): Apakah sama orang yang mengetahui (berilmu) dengan orang yang tidak mengetahui (jahil)? Sesunggunya orang-orang yang mengambil peringatan itu adalah orang-orang yang mahu berfikir.”
(Az-Zumar: 9)

Tiada ulasan: