Selasa, Julai 04, 2006

Dunia terbalik


Sebelum meninggalkan kampus buat seketika,.....

Karya ini dihasilkan sebagai menyatakan bahawa keadaan dunia yang terbalik. Terbaliknya dunia sehingga orang-orang yang menzalimi dirinya sendiri dengan melanggar perintah Allah tidak mahu ditegur.
Seringkali kita terdengar ayat, ”Iman di dalam hati. Bukan pada pakaian atau penampilan diri.” Sehingga kadang-kadang kita kasihan, apabila artis yang berskirt singkat lagi ketat mengucapkan ’alhamdulillah’ sebagai tanda syukur apabila mencapai kejayaan. Sehingga kita bimbang melihat apabila pemimpin wanita, mengucapkan, ’tanda beriman bukan pada tudung.’ Walhal tudung dan pakaian yang menutup aurat itu manifestasi keimanan kepada Allah dan RasulNya.

Kepercayaan iman di dalam hati, dan tidak bersangkut paut dengan tingkah laku luaran dari segi pengucapan, perbuatan atau memberikan sokongan adalah kepercayaan golongan Murjiah. Golongan ini secara terang terkeluar daripada arus pemikiran akidah Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ).

Dunia sudah terbalik! Terdapat juga gerakan halus untuk menonjolkan pesalah-pesalah dengan menggunakan pakaian yang menunjukkan simbol agama. Syiar berpakaian ini menjadi taktik dan strategi musuh Islam untuk memburukkan golongan pendokong Islam yang tulen. Gimik yang dibuat telah banyak kita lihat. Sebagai contoh, pesalah yang dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan merogol, dipaksakan kepadanya memakai kopiah. Ini penghinaan yang total kepada pencinta agama (adakah anda sensitif terhadapnya?).

Senario semasa juga menunjukkan ramai juga di kalangan remaja dan belia Muslim ’menyorokkan’ diri di sebalik kopiah dan tudung yang dipakai. Kecelaruan identiti ini seolah-olah memakai tudung dan kopiah itu menjadi adat, bukannya pemakaian yang melambangkan tahap keimanan seseorang kepada ajaran agama. Satu lagi contoh yang barangkali memualkan, iaitu watak yang digarap oleh HM Tuah dalam novel Hati Ini Untuk Siapa? Seorang lelaki yang mempunyai penampilan sebagai ahli ibadah, tetapi dalam masa yang sama curang dan berzina.

Perkara seperti ini walaupun jarang-jarang berlaku, menjadi amat sensasi lebih-lebih lagi apabila digunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Lantas mereka dengan mudah mengambil jalan singkat, ”buat apa tutup aurat? Orang yang bertudung itu tidak semestinya baik!” Betapa buruk dan celaka orang-orang yang berfikiran demikian. Dalam keadaan dia tidak mahu tunduk dan patuh kepada perintah Allah, dia memperkecil-kecilkan pula orang membuat kebaikan dan mempertikaikan hasanah yang dilakukan oleh mereka yang betul-betul mahu mematuhi perintah Ilahi.

Mesej utama dalam karya ’Topeng Kebaikan’ ialah pendedahan kepada pembaca sikap-sikap manusia munafik. Mereka kadang-kadang dilihat mempunyai kefahaman yang jelas dalam hal-hal agama. Namun, demi kepentingan diri, mereka sanggup menyembunyikan kebenaran, malah menentang kebenaran yang cuba dibawa oleh orang lain. Mengapa kita harus berpura-pura dalam membuat kebaikan? Walhal sebijak mana pun cara yang diguna untuk menyebunyikan kejahatan daripada pengetahuan manusia, Allah sekali-kali tidak leka. DIA sentiasa tahu apa yang dizahirkan dan sebaliknya.

Justeru, saya mengajak saudara/i memikirkan satu perkara. ’Jangan jadikan diri kita sebagai agen yang mengelirukan orang lain tentang Islam yang sebenar’. Penampilan kita mestilah penampilan yang menepati tuntutan syariat. Jangan nanti ada di kalangan bukan Islam bertanya, ”Inikah orang Islam? Tidak mahu berpeleseran di taman rekreasi berdua-duaan? Tidak segan silu melakukan mungkar secara terang-terangan?”

Atau ”Inikah Islam? Berpakaian sama seperti cara kami berpakaian? Malah lebih teruk daripada kami?” (Walhal ketika itu, mereka telah menang untuk menumpaskan malah melumpuh akidah umat Islam). ”Dan tidak sekali-kali akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehingga kamu mengikut cara hidup (millah) mereka...” (120: Al-Baqarah). Dalam ayat lain, Allah berfirman, mafhumnya, ”....dan mereka tidak putus asa untuk memerangi kamu sehingga kamu berpaling daripada agama kamu (murtad).....” (217: al-Baqarah).

Jangan jadikan kita sebagai produk-produk agenda Yahudi dan Nasrani, kerana ia akan melemahkan kekuatan Islam. Jika kita mahu mengikut dan melakukan anjuran agama, lakukanlah dengan betul dan betul-betul. Kita bersedih dan merintih, melihat remaja-remaja Islam kini, yang melakukan maksiat secara berleluasa. Statistik kerosakan remaja Islam meningkat dan terus meningkat. Bilakah akan menguncup? Bilakah masa remaja-remaja Islam kemblai menghayati kehidupan beragama? Saya sudah buntu dan mati akal, mengapa mereka yang berkuasa tidak memikirkan cara untuk menyekat penularan perkara ini? Walhal mereka (pemimpin yang berkuasa) tahu, jika dilaksanakan hukum-hukum Allah, jaminan keamanan akan datang.

Karya ini? Sila klik dan baca Topeng Kebaikan di laman esasterawan saya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

typing error maaaaaa.....
HM Tuah dalam novel Hati Ini Untuk Siapa?

'Hatimu untuk siapa' yg betul.