Sabtu, Disember 31, 2005

Musaffir 4




Siapakah atsar dalam kehidupan bagi anda? Atsar disebutkan dalam al-Quran sebagai orang yang boleh melebihkan saudaranya apabila mempunyai tahap toleransi yang tinggi. Sifat atsar disebut dalam Al-Quran pada surah Al-Hasyr iaitu melebihkan sahabatnya dalam hal yang di dalamnya (perkara yang diberi) itu ada kepentingan untuk diri sendiri. Peristiwa terbaik yang dapat dikongsi adalah ketika detik-detik terakhir dalam peperangan ketika menentang musyrikin Mekah. Diriwayatkan dalam satu hadis, ketika hampir syahid mereka saling menolak air yang dihulurkan. Lantaran ketika itu semua orang dalam keadaan dahaga. Apabila menyambut air, terdengar sahabat yang lain meminta air lalu dihulurkan. Begitulah keadaannya sehingga air itu kembali semula ke tangan orang pertama yang menghulurkannya. Semuanya syahid tanpa meminum air tersebut. Lantas, atsar bagiku sekarang sudah berpangkat kapten dalam pasukan Angkatan Tentera. Dia mewarisi perjuangan yang sudah sebati dalam darah bapanya. Aku tumpang bangga.

Namun begitu, keakraban kami tidaklah pula berpanjangan sehingga berkembang dalam dimensi kehidupan yang lebih dewasa. Katanya aku tidak layak untuk menjadi sebahagian daripada kelaurganya. Teringat dulu, aku pernah berseloroh untuk menyunting bunga di taman larangan dalam halaman rumahnya. Dek kerana dialah abang sulung yang pertama membantah, aku diamkan sahaja. Biarlah, kita tidak perlu sampai berkeluarga nampaknya. (Ha, ha, ha. Aku gelak dalam nafas sukar dan muka yang memerah.) Padan muka! Aku tahu betapa itulah perkara yang amat berat untuk disampaikan kepadanya. Akhirnya tidak ada lagi nada kecindan berbaur kekeluargaan yang dicakapkan kepadanya. Aku akan tumpukan agenda diri kepada kerjaya dahulu, lewat 30 usiaku baru kan berinjak ke alam yang menjadi simbol kedewasaan. Aku sudah tetap dengan pendirian ini. Tidak perlu terhegeh-hegeh memikirkan soal kehidupan dalam dimensi baru sebelum aku mencapai agenda diri yang sebenar. Maknanya ada enam tahun lagi untuk memerhati dan menilai seorang calon buat mendamping diri. Kata ibu, "Ingat, kamu nak hidup tu bukan seperti membela anak kucing. Juga bukannya mudah seperti makan kacang."

Apabila selesai menunaikan solat fardhu Subuh, duduk-duduk membaca Ma'thurat. Amalan doa himpunan nabi yang dianjurkan pembacaannya oleh as-Syahid Hassan al-Banna. Apabila hari semakin cerah, surau ditutup pada jam 7.00 pagi. Bertolak ke menara DBP dari stesen Puduraya bolehlah dibuat dengan menaiki teksi. Terdapat dua jenis perkhidmatan teksi iaitu bermeter dan tidak bermetar. Jika anda menaiki teksi berneter, maknanya anda akan membayar kadar untuk perjalanan seorang. Manakala teksi tidak bermeter pula akan mengenakan caj pada kadar sebuah kereta atau empat orang. Pertama kali mengunjungi Menara DBP, aku menggunakan teksi tidak bermeter, bayarannya RM12. Kali kedua, aku mengambil teksi bermeter dan bayarannya RM3.80. Pengalaman ini mengajarku sesuatu iaitu dalam apa jua hal, kajilah dahulu jika terdapat lebih daripada satu opsyen. Dalam perancangan mesti ada plan keselamatan andai kata perancangan pertama tidak berjaya. Alternatif kedua akan mengurangkan tahap kekecewaan, maka tidaklah dikatakan sebagai orang gagal secara mutlak. Pengurusan dalam merancang sentiasa dibuat dalam perkara-perkara yang melibatkan hal-hal yang besar.

Jam 8.45 pagi 16 Disember 2005 kakiku melangkah masuk ke premis DBP melalui Koperasi DBP di bahagian bawah. Perkara pertama yang dilihat ialah Jurnal Bahasa. Semua belian terus di koperasi ini diberi diskaun 10%. Tidak lupa diajukan pertanyaan tentang novel Korban Kasih atas permintaan seorang sahabat. Novel yang dibacaku pada tahun 1993 lagi, ketika darjah lima. Novel bertemakan kekeluargaan yang amat menarik, diolah sehingga babak-babak ceritanya berjaya mengalirkan air mata pembaca sepertiku. Novel ini hanya dijual oleh Dawama iaitu rakan kongsi DBP (konsesi) yang menjual buku-buku DBP pada harga RM8. Menurut pegawai yang bertugas lagi, sekarang Dawama sedang mengadakan pameran jualan penghabisan stok dan menawarkan harga yang menarik. Seperti kunjungan pertama dahulu, aku terus ke pos pengawal untuk mendapatkan pas pelawat. Apabila dinyatakan tujuan, pengawal bertugas memaklumkan pas pelawat tidak perlu diambil kerana majlis rasmi. Jam 9.30 Timbalan Menteri Penerangan selaku wakil ketuanya tiba. Bermulalah aturcara Majlis Pelancaran Siaran Citra DBP.

Sekian.

Khamis, Disember 29, 2005

Musaffir 3

Jam 12 tengah malam, suasana di tempat yang menjadi Platform bas ekspres sudah lengang. Pekerja MZE mula menjalankan tugas membersih sampah, tukang sapu mula mengumpul sampah yang penuh di dalam tong-tong sampah. Plastik beg yang baru diganti, manakala sampah yang berlonggok-longgok dikumpulkan untuk dibuang. Terdapat juga pengumpul tin-tin minuman berkarbonat menjalankan kerja mereka. Aku mengira pak tua itu menjual semula tin tersebut di Pusat Kitar Semula. Jaga bertugas mula berjalan dan meronda kewasan memastikan keselamatan beberapa orang penumpang yang masih tinggal. Kedai-kedai juga telah ditutup, paling akhir ditutup adalah pada jam 12.45. Yang tinggal hanya pemandu teksi dan ‘pemburu’ penumpang yang menawarkan tiket bas yang masih berbaki. Keadaan yang lengang memaksa penulis turun ke bawah, membawa diri ke tepi jalan yang masih meriah dengan hilai tawa pemandu teksi. Terpaksa pula melepak di tepi jalan sambil mengira kenderaan yang lalu lalang, terpaksa juga menghadap asap-asap bas yang kotor. Kedai mamak yang beroperasi 24 jam masih hidup, pelanggan keluar dan masuk.

Sebelah kedai mamak itu terdapat premis yang menyediakan perkhidmatan rumah tumpangan. Malangnya rumah tumpangan tanpa bilik air untuk mandi, memang patutlah kerana di sebelah rumah tumpangan itu terdapat premis lain menawarkan perkhidmatan menyimpan beg dan mandi. Yang pasti, semuanya milik tauke yang sama – perniagaan restoran, rumah tumpangan serta servis mandi dan menyimpan beg. Apabila mata dikuasai rasa mengantuk, penulis mencuba buat kali terakhir menghantar mesej pendek (SMS) kepada sahabat. Jam 2.30 pagi, sahabat yang masih belum tidur memberi sedikit harapan dalam keadaan yang diketahuinya tidak akan mengubah nasibku. Ketika membalas mesejku, dia memaklumkan sedang mengikuti telesidang (media conference), membincangkan projek yang baru dilancarkan oleh syarikat tempat dia bekerja. Ibu pejabatnya berpangkalan di Texas US. Hendak tidak hendak terpaksa juga mengikut masa piawai ibu pejabat untuk membuat mesyuarat secara dalam talian. Memandangkan terlalu banyak perkara yang dibincangkan, dia hanya pulang ke rumah pada jam 6 pagi. Jam 6.15 pagi aku memaklumkan bahawa tidak ada perkara yang boleh diubah lagi.

Baju yang lengkap tanpa bergosok telah dipakai lengkap, siap dengan tali leher dan cermin mata baru. Jam 5 pagi, aku membeli perkhidmatan mandi dengan caj RM3. Itu pun dikira bernasib baik kerana mempunyai tuala sendiri, penyedia perkhidmatan hanya memberi sebuku sabun kecil bersaiz kotak mancis. Itulah kos mandi yang pertama seumpamanya yang dibayar sepanjang hidup. Solat Subuh di surau di perhentian Puduraya juga. Pagi Jumaat, imamnya membaca surah As-Sajadah dan al-Insaan. Biarpun penat berdiri seperti askar yang berkawal di pintu utama kem tentera, berdiri lama untuk solat tidaklah pula dirasakan. Sudah biasa berdiri begitu lama dalam solat Subuh pagi Jumaat. Jika aku menjadi imam solat, pasti masa berdiri lebih lama kerana gaya pembacaan yang tartil dan sedikit bersahaja. Mengapa perlu kecoh-kecoh untuk menghabiskan bacaan? Tidakkah itu akan mencacatkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran? Subuh itu di antara ketika jemaahnya yang paling ramai, ramailah sehingga mengalahkan bilangan jemaah di kampus. Kalau di kampus, kedudukan Pusat Islam agak jauh dari desasiswa. Jumlah orang yang hadir untuk solat Subuh berjamaah paling ramai pun 15 orang, ini tidak diambil kira suasana fajar Ramadhan. Tidaklah pula dapat mengalahkan kegawatan fajar Jumaat di Pulau Melaka yang bilangannya lebih 40 saf, dan bilangan jemaahnya lebih 300 orang; lelaki dan perempuan, muslimin muslimat.

Apakah perkara yang paling mengesankan pada dinihari 16 Dis 2005? Pada jam sekitar 3 pagi, seorang lelaki datang memperkenalkan dirinya. Kami berjabat tangan, dan saling memperkenalkan nama. Orang yang tidak diundang itu pada firasatku dalam lingkungan 30-an atau hampir 30 tahun. “Adik, abang takutlah nak balik sorang-sorang ni. Ikut abang balik nak tak?” Baru lima minit berbual, begitu mudah dia membuat pelawaan untuk balik ke rumahnya di Bangsar. “Ala, tak payah lah. Saya kena pergi lepas Subuh lagi esok. Lagi pun orang DBP dah janji nak jemput saya di sini.” Terpaksa juga menggunakan helah supaya aku tidak tersilap langkah menerima jemputannya. Pelbagai perkara yang menarik disebutkan jika aku pergi ke rumahnya. Boleh mandi. Boleh gosok baju. Boleh tidur. Boleh kenal rumahnya. Aku pula terfikir, apabila dia menyebut “Takutlah balik sorang-sorang. Kat rumah abang tak ada orang, kawan-kawan semua balik kampung,” sebagai taktik memberi pertolongan yang tersirat niat buruk. Jika lelaki yang cakap macam tu, maknanya dia bukan lelaki yang betul-betul lelaki! Mesti ada silap di mana-mana dalam perwatakan dan citarasanya, tidak seperti lelaki biasa-biasa. Awas! Helah-helah yang diberi dan ketegasanku dengan pendirian untuk tidak menerima pertolongan orang yang tidak dikenal akhirnya menyelamatkanku. Dia akhirnya mengalah juga. Alhamdulillah, syukur. DIA menyelamatkan aku dari malapetaka manusia, yang aku kira mempunyai kecenderungan songsang. Bagaimana aku boleh mengagak? Lihat ke dalam mata, maka kamu akan menembusi mata zahirnya dan tersingkap mata hatinya. Jadi mengapa kadang-kadang banyak orang tidak boleh bertentangan mata denganku apabila bercakap.

Pesan ibu, jangan mudah percaya kepada orang yang tidak pernah kamu kenal akal budinya. Jangan mudah terpesona dengan perwatakan seseorang dengan hanya sekali imbas. Jangan pula pandangan mata yang sebentar cuma menipu pandangan mata hati kamu terhadap seseorang. Sebelum mengatakan seseorang itu baik atau sebaliknya, kajilah dan ujilah dia terlebih dahulu dengan sesuatu perkara yang memuaskan hati kamu. Bersahabatlah dahulu dengan akrab, supaya kamu betul-betul dapat menilai erti persahabatan itu. Apakah persahabatan yang terjalin itu dikeranakan kepentingan dirinya sahaja atau tidak? Kata ibu lagi, kawan ketawa mudah dicari, kawan berduka satu dalam seribu, mungkin satu dalam sejuta. Jika kertas putih luasnya satu meter persegi, anggaplah satu persejuta umpama setitik dakwat dari mata pena yang berdiameter 0.001 milimeter. Lansung tidak ternampak oleh mata kasar walaupun dibantu dengan kaca mata yang tidak berapa kuasanya. Justeru, jika mendapat seorang kawan yang baik jangan mudah-mudah membelakangkannya. Jangan mudah-mudah melupakannya begitu sahaja walau sudah terpisah oleh ruang dan masa kehidupan yang sentiasa beredar. Sedar atau tidak, aku sebenarnya sudah memilik baru seorang kawan seperti ini. Kawan yang boleh berbicara dengan bebas persoalan hidup yang berat-berat dan membebankan. Setiap kali mendengar perkara berat, dialah yang mengembirakan hatiku, memberi semangat dan kekuatan untuk terus bangkit dan mara! Siapa dia?

bersambung....

Selasa, Disember 27, 2005

Musaffir 2


Mengambil iktibar daripada peristiwa hampir disamun itu, terfikir juga perkara di sebalik kejadian serta faktor penarik dan penolaknya. Faktor penarik berpunca daripada kesilapan mangsa yang tidak berhati-hati sehingga secara tidak sedar memberi ruang kepada penjenayah melakukan jenayah. Faktor penolak pula bertitik tolak daripada desakan hidup penjenayah yang tidak mempunyai pekerjaan tetap. Jika mereka bekerja pun, gaji yang diperoleh tidak berbaloi untuk menampung keperluan hidup dengan kos tinggi. Analisis ke atas kes yang melibatkan mangsa ragut menunjukkan modus operandi peragut hampir sama iaitu mensasarkan wanita yang berjalan sendirian dengan beg tergalas di bahu. Tempat dan keadaan pula merangkumi ruang pelajan kaki di jalan-jalan sesak atau tempat sunyi dan lorong-lorong yang tersembunyi daripada pandangan umum. Maka sebelum menjadi mangsa ragut, perkara ini perlu diberi perhatian agar kita tidak menarik perhatian penjenayah menjadikan kita sebagai sasarannya.

Jika begitu, apakah wanita yang menggunakan beg duit yang dilipat dan meletakkannya di dalam saku tidak terlepas? Penulis pernah terserempak dengan mangsa samun yang melibatkan wanita yang menggunakan dompet lipat. Walaupun tidak disamun, namun mangsa dihampiri sekumpulan penjenayah yang mengugut mangsa untuk menyerahkan sebahagian wang yang berada di dalam dompetnya. Maka hal ini berbalik semula kepada tindakan wanita yang berjalan secara bersendirian. Perkara begini, jika melibatkan lelaki pun, pasti tidak terlepas atau mengelak diri. Silap-silap waktu jika melawan, akan dipukul oleh kumpulan penyamun. Kesimpulan kepada semua perkara yang disebut di atas ialah jangan beri peluang kepada penjenayah untuk membabitkan diri kita dalam kegiatan jahat mereka. Berhati-hati dan rancang perjalanan anda sebaik-baiknya dengan memikirkan langkah-langkah yang dapat mencegah perkara yang tidak diingini.

Beberapa minggu lalu, penulis berkelana semula ke kota metropolis KL. Perjalanan bermula dari Terengganu kerana bercuti selama seminggu di kampung. Sebelum berlepas, perjalanan sudah dimaklumkan kepada seorang sahabat. Beliau yang bermastautin dan bekerja di KL memberi jaminan tempat berteduh buat melelapkan mata untuk malamnya. Siapa sangka rupa-rupanya dia terlupa perkara itu? Penulis menghubungi pula beberapa orang rakan yang lain, namun kehendakNYA semua panggilan tidak dijawab! Kecewa atau tidak, suka atau terpaksa penulis terpaksa mengambil risiko bermalam di hentian Puduraya. Bermula malam, ‘berpeleseran’ di tempat menunggu di terminal bas yang membingitkan telinga. Selepas selesai solat, jam 9 malam, surau di tingkat satu perhentian bas ini telah ditutup. Maka melilaulah seketika di ruang menunggu, jika ditanya maka penulis memaklumkan hendak ke Pulau Pinang pada jam 1 pagi. Tempat duduk juga sentiasa berubah-ubah, tujuannya untuk tidak menjadi perhatian mata-mata orang yang disyaki berpotensi menjadi penyamun. Selain itu berkalih tempat kerana mengelak peminta-peminta sedekah yang berjalan perlahan-lahan di antara tempat menunggu. Di perhentian Puduraya terdapat 26 Platform, disediakan untuk penumpang meletak beg dan duduk.

Sambil membaca, mata tidak leka mengawal pergerakan peminta sedekah. Juga tidak lupa meninjau-ninjau orang-orang yang mencurigakan. Ada ketika perempaun melambai tangan sambil tersenyum manja. MasyaAllah betul-betul mencabar keimanan juga. Ketika itu aku sedang duduk berhampiran tangga di tepi lif yang digunakan untuk ke tingkat empat. Tingkat empat perhentian Puduraya menempatkan kaunter check-in ke Hotel Puduraya. Hotel ini menawarkan kadar yang paling rendah yang pernah dijumpa olehku iaitu RM88 semalam, atau RM35 sejam (hourly rate). Tidaklah diketahui pula bagaimana terma hourly rate itu, kerana penulis tidak pernah bertanya pihak hotel. Sesekali terhibur juga melihat gelagat ‘pemburu’ penumpang dan insiden berebut penumpang yang berlaku di antara penjual tikel bas. Iktibarnya, jika anda lelaki sepertiku, janganlah galak mata melihat wanita dengan sewenang-wenangnya di perhentian bas Puduraya ini.

bersambung....

Isnin, Disember 26, 2005

Musaffir 1


Melangkah kaki ke kota metropolis seperti Kuala Lumpur merupakan perkara yang amat membimbangkan. Ketika membuat lawatan sambil belajar bersama rakan sekelas pada tahun 1994, rombongan penulis dan rakan-rakan serta empat orang guru pengiring diraikan oleh Tan Sri Elias Omar. Apabila orang bertanya, “Dari mana?” Kami akan menjawab, “Sekolah Tapah.” Mereka akan bertanya lagi, “Sekolah Tapah di Perak?” Orang hanya mengetahui Tapah hanya di Perak, jarang sekali orang mendengar Tapah di kawasan pedalaman daerah Hulu Terengganu yang tidak mendapat liputan rangkaian telefon mudah alih Maxis. Pun begitu, Tapah kini sudah gah dengan pencawang telefon yang memancar perhubungan satelit untuk Maxis. Malangnya kampong bersebelahan seperti FELCRA Bukit Kapah tidak mendapat liputan talian Maxis. Pelik juga sistem coverage yang disediakan oleh pihak Maxis ini.

Kemudian, kali keduanya melangkah kaki ke Kuala Lumpur bersama seorang rakan selepas menamatkan Nadwah Kepimpinan Islam 1998 (NKI) di SMAP Labu, Negeri Sembilan sejurus selepas kes tergempar Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Penulis masih ingat ketika menghadiri Majlis Penutup NKI, Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak yang menjadi Menteri Pendidikan (sekarang ‘Pendidikan’ ditukar menjadi ‘Pelajaran’) mengulas kedudukan DSAI sebagai orang kuat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Perjalanan dari Seremban menaiki keretapi menggunakan perkhidmatan KTMB-Putra LRT ke Kuala Lumpur. Penulis menumpang bermalam di rumah Dato’ Yusof Haslam A.M.N, prosedur filem terkenal. Kemudian daripada itu menjejakkan kaki ke sana bersama-sama rakan seperjuangan dalam klik alumni USM Kejuruteraan sempena pertemuan semula (reunion) pada pertengahan tahun 2005.

Semua perjalanan yang dicatatkan merupakan perjalanan yang santai kerana disertai rakan-rakan seperjuangan. Keselamatan diri tidakkah menjadi persoalan utama, masalah seperti penyeluk saku, penyamun jalanan, dan peragut langsung tidak menjadi agenda untuk difikirkan. Namun begitu apabila membuat perjalanan solo ke bandaraya yang sesak dengan pelbagai jenis manusia menjadikan penulis belajar dunia survival yang tersendiri. Musaffir diri secara bersendirian bermula pada 18 dan 19 Mac 2005, ketika menghadiri Kursus Baca dan Hafal Al-Quran (BHA) di Hotel Cititel, Mid Valley. Kemudian pada 1 Jun 2005 ke sebuah bandar yang berjiran dengan Kuala Lumpur iaitu Shah Alam. Kemudian meninjau tempat transit untuk ke Kuantan pada 8 Sept 2005, iaitu destinasi berkumpul peserta Bengkel Penulisan BBSN di Menara DBP, di Jalan Dewan Bahasa dan Pustaka. Selepas itu merantau lagi pada 15 dan 16 Dis 2005, sempena Majlis Pelancaran Siaran Citra DBP. Pada majlis tersebut penulis diraikan sebagai pemenang Pertandingan Menulis Resensi Buku DBP peringkat IPTA 2005.

Musaffir diri secara bersendirian semestinya menjadikan perjalanan tidak dijamin selamat secara mutlak. Pelbagai agenda keselamatan diri yang difikirkan termasuk jaminan tempat berteduh apabila ditakdirkan bermalam dahulu sebelum pergi ke tempat tujuan. Penulis akan memastikan tempat berteduh dan tidur dengan selamat, atau bermalam sahaja sebagai orang jalanan (homeless people). Bercakap tentang keselamatan, pada kali kedua iaitu pada dinihari 9 Sept 2005 penulis diuji dengan karenah penyamun jalanan. Ketika itu penulis dalam perjalanan menuju ke Masjid Jamek yang berhampiran dengan Stesen Puduraya. Berjalan menggalas beg mendaki gunung yang sarat dengan pakaian dan keperluan untuk program selama empat hari di Kuantan, penyamun itu mengekori penulis secara beriringan sambil meminta wang. Hanya Allah sahaja yang tahu degup jantung penulis pada ketika itu. Fikiran-fikiran negative menerjah masuk tidak putus-putus, muka berubah menjadi pucat, debaran dan rasa gemuruh yang tidak dapat digambarkan lagi keadaannya.

Kami berjalan secara beriringan, penulis berusaha menunjukkan muka selamba dengan menghadiahkan senyuman. Seolah-olah yang berjalan di tepi penulis adalah kawan biasa, padahal dalam hati doa dipanjatkan kepada Allah moga-moga dijauhkan dari kejahatannya. Tangan dimasukkan ke dalam kedua-dua poket seluar, sebagai menjaga keselamatan dompet dan kamera digital yang dipinjam daripada seorang kawan. Zikir dan doa ta’awwuz tidak putus-putus dibaca di dalam hati. Penyamun itu nampaknya terkesan juga dengan sedikit ‘keberanian’ yang ditunjukkan oleh penulis. Sambil tersenyum penulis melihatnya, memberitahu tiada duit.

-Jika aku keluarkan dompet, bagaimana jika tiba-tiba dia merampasnya dan terus menghilangkan diri? Tentu tidak larat untukku mengejarnya dengan beban beg lima kilogram di belakang.
-Jika penyamun jalanan itu mengeluarkan pisau kecil dan meletakkan di sisi rusukku, apa yang harus dibuat?
-Jika berlaku apa-apa, siapa yang dapat menolongku? Tiada sesiapa yang berada dekat dengan kami pada ketika itu.

“Ala dik…seringgit, seringgit! Takkan seringgit pun tak ada.” Dia meminta lagi sambil tangannya dihulurkan. Bajunya tidaklah compang camping seperti penagih dadah, tetapi di sebalik penampilan yang agak kemas itu rupanya dia menjadi penyangak jalanan. Tidak sangka sungguh. Dalam dialek Indianya, dia berbahasa Melayu meminta dan terus meminta. “Dik, cukup untuk abang minum segelas air pun tak apa.”

Keadaan tawar-menawar berlanjutan sehinggalah kami menghampiri keunter pembelian tiket Star LRT Masjid Jamek. Lima minit kami berjalan beriringan, sambil mengiring dia meminta wang. Aku pula tidak putus-putus membaca doa dan zikir kepada Allah. Akhirnya dia mengalah dan pergi meninggalkanku begitu sahaja dengan hampa. Alhamdulillah, syukur. Aku selamat. Selamat sampai ke masjid Jamek dan menunaikan solat fardhu Subuh. Dalam sujudku, kesyukuran yang tidak terhingga dirafakkan ke hadrat Ilahi, Rabb sekalian alam.

Bersambung....

Ahad, Disember 25, 2005

Sebalik kes


Beberapa tahun lalu penulis pernah membaca novel Escapism, sebuah naratif cinta tiga segi. Apabila lelaki yang menghadapi dilema untuk membuat pilihan, dia mengejutkan semua pihak. Semua wanita yang dikaitkan dengannya tidak diterima supaya keputusannya itu adil, tidak ada yang rasa gembira di sebalik duka orang lain atau sebaliknya. Nampaknya siri Escapism pada falsafah teori dan pengamalannya berlaku di Malaysia lewat penghujung tahun 2005.

Tersebut kisah yang menggemparkan seluruh rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi yang beragama Islam. Tentunya kes melibatkan pihak keselamatan ke atas tahanan. Jika tahanan disoal siasat dan keadaan yang mengaibkan itu tidak tersebar oleh pihak tertentu (walau apa pun tujuannya), pasti kita mengetahui cerita gempar sebalik tirai besi itu. Kronologi penyiasatan bermula dengan mengaitkan mangsa adalah warga negara asing yang merupakan gergasi ekonomi Asia. Terpaksalah menteri yang berkaitan hal ehwal keselamatan dalam negeri bergegas ke sana memohon maaf dan membuat penjelasan. Kita telah rugi, rugi wang untuk membayar lawatan mengejut. Rugi juga masa menteri yang terlibat untuk menyediakan laporan untuk dibuat rundingan dengan negara rakan niaga terbabit.

Lebih menggemparkan lagi, tiba-tiba wanita yang dikatakan asalnya berbangsa Cina bertukar menjadi wanita Melayu. Sedih dan pilu lagi, wanita Melayu tersebut membuka tudungnya untuk membuktikan dia adalah mangsa tahanan dalam kes ini. Benarkah wanita Melayu merupakan suspek utama, bukan Cina seperti dakwaan asal yang dikemukakan oleh ahli Parlimen DAP? Saya melihat unsur escapisme diamalkan dalam mereka fakta dan membuktikan kes tersebut sehingga ada orang yang sanggup menggadaikan maruah dan prinsip kehormatan dirinya. Siapa tidak mahu? Jika anda dibayar apabila sanggup menjadi saksi, apakah habuan lumayan itu akan diketepikan? Terguris hati, sesak minda memikirkan hal ini. Inilah realiti dalam dunia sekarang. Wang boleh menjadi matlamat hidup biar prinisip dan maruah diri tergadai. Kini kes tersebut didiamkan sahaja, tanpa liputan yang meluas dari media lagi.

Tidakkah ada dalam satu masa tujuh muka yang seakan-akan sama? Maka tidak mustahil wanita Melayu yang berani membuat pengakuan adalah orang lain yang mukanya seiras mangsa sebenar.