9 pagi 4 September, isteri saya mengadu sakit. Kami ke kilnik desa membuat semakan klinikal. Menurut jururawat masyarakat (JM) yang mengendali isteri saya, “Bukaannya baharu 1 cm. Jika sakit itu datang dengan kerap dalam masa setengah jam, silalah ke hospital.” Selepas solat Maghrib, isteri saya mengadu sakit. Dalam 10 minit, tiga kali rasa sakit datang dan hilang. Tetapi pembalut bayi dalam rahim belum tembus. Biasanya orang melihat tanda air ketuban sebagai tempoh hampir bersalin. “Tetapi kalau sakit berulang-ulang, itu pun tanda kelahiran makin hampir.” Kami tiba di hospital besar Kuala Terengganu (HSNZ) jam 9.30 malam. Jam 11.30 malam, jururawat bertugas memberitahu bukaan peranakan 5 cm. Jam 12.05 malam, isteri saya disorong ke dewan bersalin. Jam 3.11 pagi 5 September, lahir sudah putera sulung kami. Uminya bersalin normal. Si kecil dengan berat 3.43 kg hanya menangis selepas satu minit setengah dia menghirup udara di luar rahim uminya. Dia keluar awal sembilan hari dari jangkaan JM. Pun begitu, matanya masih terkatup. Setelah diazankan, saya diminta keluar dari Dewan Bersalin. Jam 5 pagi baharulah selesai dijahit. Alhamdulillah.
Keesokan harinya, jam 6.30 petang anak dan isteri dibenarkan pulang. Hari ketiga, selesai proses pendaftaran. Nama diberi Ahmad Razin Itqan. Hari keempat, JM bertugas minta dibuat ujian darah. “Paras normal SBC untuk bayi seberat ini 205. Tapi SBC anak encik sudah 238. Saya bagi surat rujukan, dan sila ke hospital (HSNZ) dengan segera.” Pendek cerita, “Kadang-kadang kita mesti meraikan pendapat orang tua.” Itu komen saya apabila JM bertugas pada hari kelima memberitahu, “Ini berisiko. Sebab emaknya darah O.” Cerita panjangnya datuk kepada anak saya mahu kami mencuba ubat tradisional. Diberi minum susu kambing. Emak saudara isteri saya pula kata, “Cari perdu lalang. Rebus dan beri airnya kepada bayi.” Bebel mertua saya, “Itulah. Awal-awal tidak didedahkan kepada cahaya matahari.” Oleh sebab enggan menghantar ke wad pada hari keempat, kami mencuba ubatan biasa. Memberi anggur hitam dan susu kambing. Tetapi ujian klinikal pada hari kelima (Jumaat), SBC bertambah 30 lagi. “Kena masuk wad juga.” Kemudian ada lagi petua lain yang kami dengan, “Mandi air bunga melur.” Penjual anggur hitam pula menyarankan ubatan homeopathy. Baharu saya tahu ada klinik Homeopathy Wanita dan Kanak-kanak berdekatan Loji Air Losong.
Wad PICU untuk demam kuning ketika dikunjungi pertama kali padat. Ada kira-kira 40 orang bayi yang mengalami masalah serupa. Pada 10/9 jumlahnya meningkat menjadi 56 orang. Anak kecil itu menjalani terapi cahaya (lampu dipasang atas dan bawah) selama 2 hari. “Kasihan uminya terpaksa meninggalkan pembaringan untuk menyusu.” Rupa-rupanya apabila tidak menyusu, sesetengah ibu akan rasa sakit dadanya. Sesetengahnya pula susu keluar secara automatik. Saya ada membaca artikel kesihatan bahawa susu yang tidak dikeluarkan (jika ibu dapat menyusu) berkemungkinan menjadi racun dan penyebab kepada barah payudara. Kata bidan kampung, “Kuning ini disebabkan pangambilan vitamin B kompleks.” Takwil isteri saya, “Bagaimana bidan tahu?” Saya jawab, “Ada ahli keluarga bidan bekerja sebagai jururawat. Entahlah betul atau tidak perkara ini secara saintifik.” Kakak saya kata, “Kuning disebabkan faktor pemakanan ibu. Seeloknya, ibu tidak memakan benda-benda panas seperti lada hitam atau ubat jamu.” Tetapi doktor mengatakan begini, “Demam ini disebabkan sirkulasi kuman dalam darah akibat bayi kurang membuang air besar. Di samping protein dalam darah yang rendah.” Tanya isteri saya, “Jika begitu, apa kaitannya darah jenis O?” JM bertugas menjawab, “Ibu berdarah O mempunyai protein dalam susu yang rendah.”
Apabila PICU menjadi penuh begitu, saya dihambat keperluan untuk bergegas agar bayi kami pulang lebih awal. Jam 9 pagi 11 September, saya terpaksa desak jururawat dalam PICU dan doktor yang mengedali kes anak kami. Maklum sahaja, saya perlu kembali ke pejabat pada 12 September. “Kasihan misi yang melayan karenah pelanggan-pelanggan. Tapi kita sebagai pelanggan terpaksa juga kerana sebab-sebab tertentu.” Dan disebabkan desakan itu, maka selesailah semua urusan jam 6.30 petang. Pulang ke rumah, saya berehat dua jam. Jam 12 tengah malam 12 September, baharulah saya bertolak ke tempat kerja. Alhamdulillah, selamat tiba di pejabat jam 8.00 pagi. “Lewat satu jam.” Perjalanan sejauh 471 km melalui LPT fasa 2 (Ajil – Bukit Besi 44 km), kemudian melalui jalan tidak bertol (Kuantan – KL).
2 ulasan:
mabruk atas kelahiran anak sulung En. Naim...nama pun sedap..semoga menjadi anak soleh
Tahniah naim..sudah bergelar ayah!...cantik betul nama anak, Razin Itqan.
Allahualam la pasai apa, tapi kakak kepada kawan saya juga, anaknya mengalami masalah yang sama, kuning sehingga mencacat bacaan yang membimbangkan. Kata jururawat yang bertugas, mungkin disebabkan pengambilan jamu yang menjadi amalan ibunya sewaktu mengandung... Allahualam..
Catat Ulasan