Sejarah merupakan suatu peristiwa lampau yang dirujuk oleh sesetengah pihak untuk menentukan tindakan. Istilah ‘jangan biar sejarah berulang’ akrab dengan suatu hal buruk yang tidak mahu berlaku semula. Hanya sedikit daripada manusia yang berfikir sebaliknya. Beginilah yang terjadi kepada ummah ini apabila lebih gemar bernostalgia kegemilangan lampau. Soalnya, bilakah kita mahu mengembalikan kegemilangan tersebut? Apakah kita hanya mahu gembira dengan kejayaan ilmuan Islam dan tamadunnya tanpa berbuat apa-apa?
Sedar atau tidak di negara terdapat sebuah institusi khusus yang memfokus aspek pemikiran oksidental. Tetapi saya tidaklah merujuk merujuk kepada IKON yang mengkaji peradaban Barat itu. Sejarah yang dibukukan dan diajar di sekolah-sekolah misalnya mengajar kita penentang Inggeris sebagai pemberontak dan penderhaka. Kita tidak jumpa dalam buku teks sejarah di sekolah mengatakan tokoh-tokoh seperti Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Dato’ Bahaman dan seangkatan dengannya sebagai pejuang sebenar. Yang dikisahkan adalah penentangan mereka. Cuma menjadi tugas guru (jika guru subjek Sejarah itu bijaksana) membuat interpretasi bagi menjelaskan tentangan mereka sebagai pembelaan sebenar kepada anak bangsa.
Bagaimana jika kita menjadi berbeza dalam erti kata bukan oksidental? Sejarah itu dicerna mengikut mandala fikir kita sebagai manusia dijajah. Apakah hasrat sebenar kita melakukan usaha membebaskan diri? Misalnya ini dan ini.
Atau suatu lagi cara yang lebih sensasi. Saya yakin apabila saya sebut sensasi, pembaca amat maklum tentangnya. Sejujurnya saya pun takut hendak menulis terang-terangan kerana kes itu sedang dalam prosiding mahkamah. Dan itulah yang menjadikan penafsiran sejarah itu kelihatan haru biru sekarang ini. Sebagai membalas cara sensasi itu, justeru seorang profesor sejarah mendakwa Malaysia bukan tanah jajahan. Jika begitu, parlimen kita wajar membincang soal membatalkan 31 Ogos sebagai Hari Kemerdekaan. Kemudian daripada itu bolehlah mereka berunding dengan British untuk keluar dari kumpulan negara Commonwealth.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan