Semua orang sedang berfikir bagaimana hendak mengembang wang dalam keadaan sekarang. Bagaimana keadaan sekarang yang ruwet menurut persepsi saya? Orang ramai seperti saya sudah mula terasa beban kewangan apabila minyak petrol RON97 meningkat 20 sen lagi. Ia sudah menjadi RM1 lebih mahal berbanding dengan RON95. Saya percaya hampir 70 peratus pengguna RON97 memilih untuk mengguna RON95 kerana terpaksa. Mereka tiada pilihan kerana bajet untukpetrol akan menjejaskan perbelanjaan lain.
Kalau kita lihat tabungan hari tua bagi mereka yang bekerja iaitu KWSP atau caruman sukarela bagi mereka yang bekerja sendiri, kita akan dapati terdapat dua akaun iaitu akaun 1 dan 2. Kebelakangan ini kita tidak sedar bahawa melalui akaun 1 KWSP, wang tersebut boleh dikembangkan pada kadar yang lebih baik berbanding dividen tahunan KWSP. Secara purata, dividen KWSP hanya 5.4 peratus setahun[a]. Bagaimana duit dalam akaun 1 KWSP dapat dibiakkan dengan lebih banyak? Mungkin kita tidak tahu terdapat instrument pelaburan unit amanah yang boleh dibuat melalui akaun 1 KWSP. Pada masa ini, terdapat 570 dana amanah daripada 39 buah firma dana di Malaysia[b]. Prestasi dana amanah KWSP mencatat keuntungan antara 17.8 hingga 21.5 peratus setahun[c]. Dan tentulah menjadi suatu tugas yang rumit untuk memilih dana amanah yang kompeten dan berdaya maju.
Sepupu saya menunjukkan pelaburan dalam dana amanah melalui CWA (CIMB Wealthy Advisor) dengan memilih dana amanah patuh syariah yang diurus oleh CIMB Islamic Bank. Keuntungan yang diperoleh beliau pada tahun 2010 melalui dana ini ialah 15.4%, hampir 3 kali ganda dividen tahunan KWSP. Sepanjang pengamatan saya, Public Mutual menawarkan lebih daripada sepuluh dana amanah patuh syariah dan kesemuanya mempunyai prestasi yang memberangsangkan[d]. Syarat utama pelaburan dalam dana amanah ini ialah akaun 1 anda mempunyai simpanan asas sekurang-kurangnya RM5000.00[e]. Anda hanya perlu membawa salinan kad pengenalan dan penyata KWSP apabila berurusan dengan pengurus dana amanah. Borang yang diisi akan dimajukan kepada pihak KWSP dan dilaburkan. Wang tersebut tidak dikeluarkan daripada akaun 1 KWSP tetapi tetap disalurkan untuk pelaburan dana amanah. Pulangan pelaburan akan dimasukkan setiap tahun.
Hal ini bermakna mereka yang memanfaatkan akaun 1 untuk melabur dalam unit amanah akan mendapat dua bayaran iaitu dividen tahunan KWSP dan keuntungan dana amanah. Begitulah wang mereka berkembang biak sehingga mereka dapat menggunakannya selepas persaraan kelak.
Rujukan:
a. Berita Harian, 3 Mei 2011, halaman 23.
b. Ibid.
c. Ibid.
d. http://www.publicmutual.com.my/application/fund/fundprice.aspx
e. Berita Harian, 3 Mei 2011, halaman 23.
Nota: Tulisan ini panduan umum penulis. Penulis tidak bertanggungjawab ke atas sebarang bentuk pelaburan yang akan dibuat setelah anda membaca tulisan ini. Jika anda berminat, berhadapanlah dengan mana-mana pengurus dana amanah yang anda percaya. Penulis bukan pengurus dana amanah ketika artikel ini dicoret. Harap maklum.
4 ulasan:
Tq atas artikel berguna ini. :)
Wahid, sama-sama.
salam... nak tanyer,,,adakah pelaburan yg di uruskan cwa ni halal? hal ini kerana saya ade berurusan dengan cwa untuk pelaburan saya yg juga merge bersama AIA... adakah halal ape yg saya lakukan..mungkin anta boleh membantu saya.. iA
Tanpa Nama,
Wasalam.
Soalan anda terlalu umum. Jadi jawapan saya anda kena lihat jenis dana amanah yang anda pilih. Jika dana amanah Islam, ia sememangnya patuh syariah kerana setiap bank yang menawar produk Islam mempunyai panel syariah yang tersendiri. Jika panel syariah yang mengesahkan produk itu patuh syariah, kita sebagai pengguna sudah terlepas tanggungjawab untuk menyelidik dengan lebih teliti status halalnya. Jika ragu2 juga (kerana anda mungkin seorang yang warak), maka lebih baik anda tidak membuat pelaburan melaluinya.
Sekian, terima kasih.
Catat Ulasan