Pagi tadi saya berniat untuk memuatkan satu entri berkaitan ucapan kepada diri sendiri. Tetapi entah bagaimana apabila saya siap mengarangnya, apabila mahu pralihat coretan itu saya tidak dapat melihatnya. Saya tulis suatu keluhan betapa saya ini mungkin tersendiri dalam dunia saya. Maklum sahaja hari ulang tahun kelahiran ke-29, dan setiap hari ulang tahun kelahiran biasanya dirai dengan setidak-tidaknya ucapan daripada orang-orang yang rapat dengan kita.
Disebabkan saya tidak dapat ucapan tersebut, saya buka emel yang diguna untuk facebook. Baharulah saya gumam sendirian, ‘Ada baiknya entri tadi tidak berjaya disiarkan. Rupa-rupanya yang saya keluhkesahkan ada dalam facebook. Laman sesawang sosial ini tidak dapat dibuka di pejabat kerana polisi pihak atasan. Maka saya hanya membaca dari kotak emel tanpa dapat memberi respon. Hanya setelah saya tiba di rumah sekitar jam 10 malam, baharulah saya dapat membalas ucapan sahabat-sahabat. Mereka ialah cikgu Zayu Hisyam (Penulis), Puan Hanisah Othman (Penulis), Ustazah Alana (ahli e-Sastera), Kaptem Muzaiham (Sahabat terapat), admin Kemudi Selangor (Penulis), Admin BDN (komuniti forum Bincang), Wan Rafsyam (kawan sekolah menengah), Hasmae (kawan sekolah menengah), Zul (bekas rakan sepejabat), Puan Ruslina (Ahli e-Sastera), HJ. Jiwarasa (Penggemar buku, ahli Goodreads Malaysia), Hilmi, Harris dan Syukri (rakan serumah sewa). Kemudian tidak lama selepas itu saya terima kiriman SMS daripada isteri dan adik-adik. Tujuh orang adik saya menggunakan telefon bimbit, enam daripada mereka memberi ucapan dan doa. Adik-adik saya tidak ada dalam senarai kenalan facebook saya - Kemudian terima juga SMS dari Roslan Jomel, penulis terkenal Sarawak.
Maka saya pun bernostalgia betapa dalam tiga tahun ini, dua kali disambut di pejabat saya dahulu. Rakan sekerja berpakat sesama mereka membelikan kek untuk meraikan hari jadi saya setiap tahun (2009, 2010). Biasanya di pejabat, sesi makan-makan diadakan setengah jam sebelum waktu pejabat berakhir. Itulah serba sedikit sambutan hari lahir saya. Hari ulang tahun mula menjadi lebih bermakna dengan dirai kawan-kawan setelah saya melangkah ke alam pekerjaan. Semasa kecil-kecil, tiadalah sambutan yang istimewa dibuat. Mungkin itulah budaya yang ada di pedalaman. Cuma budaya ini kadang-kadang saya tidak setuju apabila kita terikut-ikut dengan cara orang Barat. Mengapa perlu kita letakkan lilin di atas kek. Kemudian bertafakur membuat hajat dan seterusnya meniup lilin itu? Apakah kita tidak ada acuan sendiri? Ada. Bagi sesiapa yang mahu sahaja. Misalnya orang-orang yang kuat berpegang dengan nilai Islam akan menjemput sahabat handai ke majlis doa selamat. Tiada lilin atas kek. Tiada nyanyian “Selamat Hari Jadi” atau “Allah Selamatkan Kamu”. Yang ada hanya majlis kesyukuran dengan membaca surah Yasin dan doa selamat. Maka nilai itu kembali mula dihayati sedikit demi sedikit dalam bentuk yang lain. Contohnya ucapan-ucapan dan doa yang diberi oleh mereka yang disebutkan di atas.
Semoga kalian juga mendapat kebaikan daripada doa yang disampaikan. Itulah yang saya belajar. Jika kita mendoakan sesuatu kebaikan kepada orang lain, kebaikan itu akan kembali kepada kita juga. Jika kita mendoakan keburukan terhadap seseorang, boleh jadi kita akan menjadi orang yang paling zalim di sisi Allah.
Jika anda membaca entri ini, saya alu-alukan ucapan anda di ruangan komen. Ini sunat saja. Saya tetap hargainya.