Khamis, April 28, 2011

Aku bukan Yusuf

Malam yang malang itu kami merancang untuk duduk sebentar selepas Isyak membincang soal kerja. Itu hal biasa apabila dia menjadi pewaris kerja-kerja saya yang terbengkalai. Memang begitu adatnya apabila kita memiliki waktu terbatas untuk kerja yang menggunung. Maafkan aku. Bukan sengaja berbuat begitu, sahabatku.

Dalam perjalanan dia menelefon barangkali sudah tidak betah menunggu. Aku khabarkan keadaanku sedang memandu. Aku mengambil lorong sehala dan berhenti di gigi jalan setentang pejabat DBKL Cawangan Batu. Aku lihat dia meninjau kenderaan yang lewat di hadapannya. Aku berjalan menyusur gigi jalan di atas deretan penutup longkang. Dua tiga langkah menapak, dia belum perasan kehadiranku. Aku lambai ke arahnya layak sang pemimpin merai penyokong. Dua kali lambai, tiba-tiba… “Plump!!!”

Aku sudah berada di dalam longkang. Sepontan aku gagahkan diri naik semula seperti kadet tentera memanjat tembok. Dada sesak. Tulang keting kiri berdarah. Aku dapati dua sumber terbit darah. Kedua-dua seliparku lekat dalam longkang yang berlecak. Sahabatku dengan pantas meminjam lampu picit jaga DBKL yang berkawal di pintu utama pejabat. Dia menyuluh ke dalam longkang kemudian menaikkan seliparku dengan kayu batang penyapu yang entah dari mana diambilnya. Aku bangun dan duduk menstabilkan pernafasan. Darah terus mengalir. “Cuci kaki kemudian kita ke klinik.” Cadang sabahatku.

Aku hanya menapak ke klinik swasta tidak jauh dari tempat kejadian. Tidak jauh. 300 meter sahaja. Ramai pesakit sedang menunggu. Tetapi atas ihsan petugas klinik, aku dipanggil dahulu. Sewaktu itu mukaku pucat dan pernafasan tidak teratur. Semacam ada sesuatu yang berat berperang sebalik tulang dada kanan. Apabila di selak baju Melayu, bahagian dada itu lebam. “Surface injury.” Kata doktor Melayu yang menangani masalahku. Dia memeriksa pernafasan dan mengarah aku bernafas seperti biasa. Biasa bagaimana lagi? Aku tidak faham. Memang pernafasan biasa itu sudah jadi luar biasa. Aku diminta ke bilik kedua dan berbaring kemudian diberi gula-gula. “Ini gula-gula berglukosa. Kemam sampai habis. Nanti saya semak semula pernafasan kamu.” Sambil berbaring, misi membersih luka dan membalut kaki kiri.

Kira-kira setengah jam berbaring, baharulah rasa sesak dada hilang. Syukurlah. Saya jatuh dalam keadaan sedikit sahaja cederanya. Tiada tulang-tulang patah. Tiada perkara yang memudaratkan dalam lopak longkang. Tiada harta benda seperti dompet dan telefon bimbit serta kunci yang jatuh. Cuma saya bayangkan, betapa dalam keadaan genting itu, siapakah lagi yang menyelamatkan saya jika bukan DIA? Saya bukan Yusuf bin Yaakub alaihissalam yang disambut Jibril ketika dicampak oleh saudara-saudaranya yang bersepuluh (Bunyamin tiada dalam peristiwa itu) ke dalam perigi. Jika begitu, pasti saya hanya jatuh semata-mata tanpa sebarang kecederaan. “Syukur Ya Allah. Engkau mengenakan musibah kecil buat hambaMU sebagai kaffarah dosa-dosaku.” Tenungku kemudian.

Sahabatku atas dasar kasihan membatalkan perancangan asal berguru denganku pada malam itu. Sehingga saya menulis coretan ini, luka masih merah dan belum berkuping. Tasyahhud akhir saya pun tidak sempurna isti’latnya. Saya masih menyapu air madu sebagai memastikan kesembuhannya. Dan langkah masih lemah apalagi jika mahu berlari.

Jumaat, April 22, 2011

Baton pun dilepaskan

Hari ini hari terakhir saya di syarikat X. Alhamdulillah, saya berhenti dengan pengalaman kerja yang bukan sedikit. MInggu hadapan saya bercuti seminggu sebelum memulakan kerjaya baru bermula 3 Mei 2011. Bermula 15 Mac adalah fasa kritikal dalam kerja apabila saya terpaksa menghabiskan kebanyakan masa di pejabat. Pernah Pengurus Projek menemani saya sampai jam 5 pagi di pejabat. Setidak-tidaknya mereka memberi sokongan padu kepada saya menyiapkan tugasan. Jadi soal tidak cukup rehat dan sebagainya bukan alasan saya berhenti. Lebih utama ialah saya memikirkan, “Lebih baik jika saya mempunyai satu kerjaya setara beban kerjanya dengan sedikit kenaikan gaji.” Maka syarikat Y telah memenuhi keperluan itu.

Kepada rakan-rakan dalam projek Z, teruskan usaha kalian. Jangan putus asa. Apa yang anda usahakan hari ini adalah apa yang akan dimanfaatkan orang terbanyak. Saya telah tinggalkan legasi yang difikir boleh meneruskan kerja-kerja saya yang tertangguh. Jika tidak bersepuluh, lima orang daripada mereka sudah memadai. Asal sahaja mereka berusaha dan sentiasa berfikiran positif. Sambutlah baton yang saya lepaskan dengan minda terbuka.

Ahad, April 17, 2011

Fiqh Jumaat siri 1

“Kita akan belajar Fiqah Jumaat mengikut Mazhab Imam al-Syafie. Mengapa?” tanya Ustaz.

Tiada yang menjawab sehingga ustaz menyambung kuliah, “Dalam Enakmen Pentadbiran Agama Negeri, 13 buah negeri di Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan menggunakan Mazhab Syafie. Hanya Perlis tidak menggazetkan penggunaan Mazhab Syafie.”

Seterusnya kami larut dalam pengajian. Menurut Ustaz, dalam Mazhab Syafie sendiri terdapat dua qaul (pendapat) iaitu: Pertama qaul syadid ketika Imam Syafie di Baghdad. Qaul Syadid ini menyamai pendapat Imam Abu Hanifah dalam hal bilangan yang wajib sehingga solat Jumaat dapat ditunaikan iaitu empat orang. Kedua qaul jadid (pendapat yang terkemudian) yang mengatakan jumlah yang perlu ada supaya di solat Jumaat dapat ditunaikan ialah 40 orang yang bermastautin dalam sesebuah qaryah.

Kata ustaz lagi, “Kita juga akan belajar fiqh Jumaat Imam Syafie dan usul Fiqh Imam Syafie. Apa makna usul fiqh? Mengapa perlu?”
Kami pun tidak dapat menjawab soalan ini.

Pada zaman ini kita lihat di KL sendiri Masjid KLCC. Apakah ada qaryah di kawasan itu? Apakah ada 40 orang yang bermukim dalam qaryah di sekitar KLCC? Begitu juga dengan Masjid Besi Putrajaya. Jawabnya tidak ada. Maka usul fiqh digunakan bagi membolehkan pembinaan masjid ini untuk didirikan solat Jumaat di dalamnya.

Contoh lain adalah pembinaan dua masjid yang berhampiran seperti Masjid Negara dan Masjid Bukit Aman. Jarak antara dua masjid itu dekat-dekat. Bagaimana dua masjid dibina dalam lingkungan yang dekat seperti ini? Ini juga menggunakan usul fiqh dalam perbahasan/musyawarah alim ulama sehingga masjid-masjid ini dibina dan didirikan solat Jumaat di dalamnya.

Pengenalan

Hari Jumaat merupakan Penghulu Hari dalam Islam. Pada hari Jumaat Adam diciptakan, dimasukkan ke dalam syurga, dikeluarkan dari syurga dan dihantar ke bumi. Hari Jumaat hari pertama Adam menjalani kehidupan sebagai Abu al-Basyar di dunia.

Pada zaman jahiliyah, penamaan hari mengikut bilangan iaitu al-Ahad (Ahad) yang bermaksud yang pertama. Diikuti al-Ithnani (Isnin – kedua), al-Thulathaa-u (yang ketiga – Selasa), al-Arbi’aa (keempat – Rabu), al-Khamis (yang kelima – Khamis), Al-‘Aruuba (yang terang benderang), al-Sabt (Sabtu). Maka mengikut sistem penamaan hari dalam Islam, Rasulullah menukar hari al-‘Aruuba menjadi al-Jumu’ah setelah mendapat perintah dari Allah pada tahun ke-12 kenabian. Ketika ini syariat menunaikan solat Jumaat diturunkan. Baginda Rasullah menghantar surat kepada sahabat di Madinah agar mengguna pakai syariat ini. Namun begitu, di Makkah sendiri solat Jumaat tidak ditunaikan kerana pada waktu itu tekanan musyrikin Makkah berada pada kemuncak. Atas dasar keselamatan nyawa kaum Muslimin Makkah, nabi menangguhkan pelaksanaan solat Jumaat di Makkah pada ketika itu. Begitu juga di Habsyah bilangan umat Islam masih terlalu sedikit iaitu 36 orang. Berdasarkan situasi ini, ulama mazhab bersepakat bahawa solat Jumaat boleh ditangguhkan sekiranya melibatkan ancaman nyawa seperti berlaku peperangan, perintah darurat, pemberontakan dan seumpamanya.

Dalam sirah nabawi, Baginda S.A.W menunaikan solat Jumaat pertama di perkampungan Bani Salim pada tanggal 12 Rabiul Awwal ketika mula-mula sampai di Madinah.

*********
Bersambung siri-siri akan datang. Insya-Allah.

Nota kuliah Maghrib, Ustaz Azhar Yahya. Masjid al-Hidayah Sentul, Jalan Sentul Pasar, 17 April 2011 bersamaan 14 Jamadil Awal 1432H. Kitab Fiqah Jumaat.

Khamis, April 07, 2011

Watak Datuk Nikah Kahwin muncul kembali

Saya masih ingat ketika sekolah rendah ayah rajin membeli Utusan Malaysia. Kes yang hangat ketika itu melibatkan satu tuduhan khalwat Mat Sabu (Abang Mat). Apabila saya membaca cerita itu timbul persoalan dalam diri, “Bagaimana hal ini melibatkan seorang pemimpin Islam? Parti Islam pula.” Tiada jawapan yang saya terima. Apabila saya mempunyai kebebasan untuk memilih akhbar iaitu sebaik sahaja saya ditakdirkan belajar di Kelantan, saya mula memilih akhbar selain Utusan. Maka soalan saya beberapa tahun sebelumnya terjawab setelah saya membaca Harakah. Tahulah saya memang ketika itu akhbar pembangkang tidak banyak diedar di kawasan-kawasan kuat UMNO. Hulu Terengganu hanya dilimpah akhbar Harakah setelah berlaku kes DSAI pusingan pertama pada tahun 1998. Sekarang, Utusan bukan lagi wacana yang baik bagi kami. Kami memilih untuk tidak membaca Utusan dek kuatnya dasar perkauman yang dimainkan akhbar ini. Kini kami lebih gemar membeli Sinar Harian, Harakah atau Siasah.

Hari ini kita melihat satu lagi perkembangan dalam politik yang amat menyedihkan. Beberapa minggu lepas saya lontarkan idea supaya syarikat penyedia perkhidmatan internet (ISP) perkasakan perisian penapisan kandungan (content filter). Nampaknya apa yang saya lontarkan dalam akhbar itu sudah menjadi sampah. Hari ini kita lihat orang yang menyebar kandungan lucah bagi makusd politik sudah mendapat imuniti. Mereka yang mengaku secara terbuka tidak dipanggil untuk disiasat. Walhal perkara itu suatu kesalahan yang berat menurut undang-undang sedia ada. Apakah ini undang-undang bikinan yang hanya boleh diguna pakai untuk sesetengah pihak dan boleh diberi keistimewaan untuk sesetengah pihak lain? Mungkin kita akan teringat situasi ini seperti satu adegan dalam filem Musang Berjanggut. Satu wataknya, Datuk Nikah Kahwin berkata, “Tapi tidak mengapa. Undang-undang dalam negeri ini kanda yang bikin. Itu semua boleh padam.” Inilah yang sedang berlaku.


Kita sedang menyaksikan suatu suasana yang tidak adil pada penggubal dasar. Ada suatu kumpulan yang inteleknya tinggi. Mereka menyediakan sebahagian waktu dalam perkhidmatan untuk menggariskan dasar. Kemudiannya cadangan mereka diangkat ke peringkat yang lebih tinggi dalam parlimen. Sehingga diwartakan sebagai undang-undang. Tidakkah ini suatu pembodohan? Mereka yang bertungkus-lumus mengerah idea membuat suatu dasar yang sepatutnya dipatuhi tetapi akhirnya dibakulsampahkan oleh pemimpin. Silalah Rujuk Seksyen 233 (2) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 di laman web SKMM. Lihatlah sendiri bagaimana hal ini membuktikan kita ada akta sekadar akta. Dan kadang-kadang akta yang memihak kerana sudah ada orang yang diberi imuniti terhadapnya untuk maksud politik.

Ahad, April 03, 2011

Khasiat 44 kali al-Fatihah

“Peristiwa ini berlaku pada tahun 1987 di Pondok Paku. Seorang budak baru masuk belajar pondok. Dia tidak tahu doa tahlil. Suatu hari ketika dijemput majlis tahlil, senior-senior mengarahnya mengetuai tahlil. Dia hanya membaca al-Fatihah (secara perlahan) ketika berdoa. Akibat tidak tahan menadah doa tuan rumah marah dan menepuk lantai. Dia amin di lantai bukan di muka. Dengan kuasa Allah, tangan tuan rumah itu melekat di lantai.”


“Masing-masing yang hadir mula cemas. Tuan Guru Hj. Abbas bertanya kepada pelajar tersebut, apa yang dibaca dalam doa? Pelajar itu menjawab, al-Fatihah. Pelajar itu berkata lebih 40 kali Fatihah yang dibacanya.”


“Maka Tuan Guru Hj. Abbas pun menyuruh seseorang mengambil air. Lalu dijampinya dengan bacaan al-Fatihah sebanyak tujuh kali. Air itu disiram ke atas tangan yang melekat sehingga akhirnya kembali seperti biasa.”


Nota: Cerita ini dipetik daripada Tuan Asmawi Tuan Umar.

Komen saya


Jika saya membaca cerita di atas, saya pun kena ulang beberapa kali untuk mendapat poin. Jadi beginilah. Untuk memudahkan cerita, khasiat al-Fatihah 44 kali ialah segala hajat yang diminta akan dimakbul dengan izin Allah. Barangkali ketika tuan rumah itu marah-marah menepuk lantai, si pembaca doa itu tergerak hatinya mengharapkan akan berlaku sesuatu pada tuan rumah itu. Mungkin terdetik dalam hatinya, ‘kalau tangan itu melekat...’ Itu hanya telahan saya. Saya tidak tahulah apa sebenarnya yang dihajatkan pembaca doa itu menghadapi amarah tuan rumah ketika itu.

Cerita Imam Muda

“Saya membentang kertas kerja program realiti Imam Muda kepada RTM. Kertas kerja dalam bahasa Inggeris selama satu jam. Pada akhir sesi pembentangan, panel penilai RTM berkata mereka tidak dapat meluluskannya kerana sudah ada program realiti sendiri.”


“Kemudian saya bentangkan proposal yang sama di TV9 selama 1 jam 45 minit. Mereka pun senada dengan RTM. Sebab TV9 pun sudah ada Akademi al-Quran. Dua kali ditolak menyebabkan saya ditempelak sebagai orang gila. Cakap berapi-api tetapi tiada sesuatu pun yang dapat direalisasikan. Saya pun pada tahap ini agak tertekan juga. Tetapi saya yakin, jika saya menolong agama Allah, pasti akan dibantu.”


“Saya cuba lagi bentangkan kertas kerja yang sama di Astro. Panel penilai Melayu di Astro juga skeptikal. Mereka tidak berminat langsung. Mereka kata Astro sudah ada AF, Raja Lawak. Saya minta kebenaran mereka untuk berjumpa dengan ketua jabatan. Maka dapatlah saya jumpa dengan ketua jabatan yang didatangkan khas dari India. Dia mendengar dengan minat sehingga akhirnya berkata, “Good!” Siap Tanya lagi apakah Imam ini sama seperti Sami? Saya kata peranan Imam lebih daripada itu. Maka dia meluluskan kertas kerja saya. Hari ini Imam Muda yang saya cadangkan mendapat rating teringgi mengalahkan rating Akademi al-Quran. IM mendapat 3.7 juta penonton.”


Nota: Cerita ini dipetik daripada Tuan Asmawi Tuan Umar.


Ulasan saya.

Soal skeptikal orang Melayu kepada program berbentuk agama ini sudah lama. Saya pernah baca kritikan seorang budak nakal tentang IM, katanya program ini agenda Yahudi (dalam konteks Broadcasting) untuk menghancurkan orang Islam. Dia ulas dengan hanya menggunakan perkataan MUDA dari sudut terminologi bahasa Hebrew. Memang suatu yang amat menyedihkan. Orang kalau sudah tidak sukakan sesuatu, akan dicipta pelabagai benda untuk menunjukkan perkara itu tidak betul.