Jumaat, Julai 14, 2006

Bila hati berkaca



Semalam, tengah hari.
Mendapat panggilan daripada sebuah bilik di premis operasi Kumpulan karangkraf. Nombornya sudah disimpan di dalam direktori telefon bimbitku.

Dari suara pemanggil, aku sudah kenal empunya diri. Dia bertanya tentang alamatku. Aku katakan alamat di Terengganu itu boleh juga, tetapi alamat di USM lebih baik kerana terus sampai kepada saya. Maka ditanya 0.13 di hadapan alamat surat menyuratku. Aku katakan itu nombor bilikku. Itu bilik penginapan, bukan bilik dalam ruang Pejabat Am.

Khabar gembira. Aku sudah jangka.
"Tahniah! 'Menjana Generasi Celik Agama' telah dipilih," katanya.
Dia, lelaki berkaca mata. Seorang yang dipanggil ustaz di kalangan rakan sepejabatnya di Shah Alam itu.
"Terima kasih." Balasku.

Dia bertanya lagi mekanisma tuntutan hadiah. Dia memberi dua opsyen. Pertama, datang sendiri ke pejabat di Shah Alam. Kedua, pos.
"Kalau nak pergi, jauh sangat. Dulu saya dah pergi." Memang sukar nak dapat pelepasan dalam keadaan sekarang.

Dan tadi...
Ah! biarlah. Aku tiada mood apabila hatiku berkaca, tidak seperti semalam yang ceria. Ini bukan kes hati, ini kes luar biasa. Tunggukan sambungan 'Bila Hati Berkaca' dalam coretan 'Kes Luar Biasa' suatu ketika nanti....

Tunggu...........!

Rabu, Julai 12, 2006

Pelajar tak cukup

Pelajar yang ditawarkan ke USM Kejuruteraan seramai 799, namun hanya 676 yang mendaftarkan diri. Kekosongan ruang yang ditinggalkan menyebabkan Dekan Pusat Pengajian diberi kuasa menerima permohonan di luar bidang kuasa UPU. Yang saya betul-betul pasti, setakat ini yang saya tahu, 40 kekosongan di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE).


Permohonan terus melalui Dekan PPKEE boleh dibuat dengan menulis surat permohonan. Lepasan matrikulasi KPM atau yang setaraf, mempunyai PNGK 3.00 dan ke atas, layak membuat permohonan. Sebar-sebarkan kepada saudara mara anda, jika ada.

Berikut coretan dalam Mimbar Pusat Islam Julai 2006.

-------------

Warga Pusat Islam mengucapkan ahlan wasahlan wamarhaban bikum, dan tahniah kepada semua pelajar baru sidang 2006/07. Sememangnya amanah kemahasiswaan yang dipikul oleh anda merupakan agenda yang penuh dengan cabaran dan liku-liku. Selamat menjalani kehidupan sebagai pelajar bergelar mahasiswa bagi memartabatkan ketinggian nilai ilmu pengetahuan dalam bidang masing-masing.

Perubahan alam bagi menekuni bidang ilmu di universiti jauh berbeza berbanding dengan zaman-zaman persekolahan yang lalu. Justeru, cara dan pendekatan belajar mahasiswa/i juga harus berubah. Jika dahulu pelajar-pelajar berhadapan dengan konsep menerima lebih banyak daripada mencari, maka sekarang mahasiswa/i perlu menggali sendiri ilmu-ilmu sebagai menguatkan pemahaman dalam pembelajaran di dewan kuliah. Proses pencarian itu termasuklah bertanya kepada pensyarah, perbincangan dalam kumpulan, atau meminjam sumber-sumber rujukan di perpustakaan dan maklumat di internet.

Sebagai pelajar muslim, kebergantungan kepada Allah amat penting. Keghairahan menuntut ilmu tidak seharusnya melalaikan kita daripada memanjatkan kesyukuran kepada Allah. Maka niat belajar perlu diperbetulkan semata-mata kerana Allah, bukan kerana sekeping ijazah untuk dibangga-banggakan. Wacana minda mahasiswa muslim berbeza daripada pelajar bukan Islam. Ketinggian nilai ilmu yang dikuasai oleh ilmuan Islam akan menaikkan penghormatan orang bukan Islam terhadap agama Islam. Jika perkara ini difahami, mahasiswa/i Islam akan menunjukkan sikap dan watak yang selaras dengan tuntutan syariat Islam sepanjang proses menuntut ilmu.

Mahasiswa/i Islam perlu memiliki wawasan yang jelas. Hala tuju pendidikan ditetapkan sejak awal, dan boleh diguna bagi memartabatkan budaya ilmu di universiti. Penglibatan dalam aktiviti-aktiviti sampingan tidak seharusnya menjadi de factor yang merencatkan pencapaian dalam akademik. Memang tidak dinafikan, ilmu-ilmu pengurusan dalam aktiviti berpersatuan merupakan nilai tambah kepada ilmu-ilmu formal dalam bidang pengkhususan masing-masing di pusat pengajian. Justeru perancangan yang rapi mestilah dibuat supaya aktiviti berkaitan akademik dan luar seimbang, serta tidak mengganggu proses pembelajaran.

Dalam pada kita diperkenalkan dengan istilah ‘modal insan’ dalam Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9), mahasiswa/i merupakan salah satu golongan yang termasuk dalam kerangka sumber manusia ini. Alangkah hebatnya, jika modal insan itu dihayati dalam erti kata mahasiswa/i muslim mengekalkan jati diri muslim tanpa terpengaruh dengan stail dan budaya luar. Golongan yang menjadi harapan bangsa, agama, dan negara tidak seharusnya dicemari oleh anasir-ansir yang buruk. Mahasiswa/i seelok-eloknya memperbaiki padangan sesetengah masyarakat yang memandang serong ekoran penglibatan sebahagian mereka dalam aktiviti yang tidak sihat.

Ayuh! Kita gembeleng tenaga dan fikiran untuk memartabatkan nilai ilmu kerana manusia yang berilmu tidak sama dengan mereka yang jahil.



“..katakanlah (wahai Muhammad): Apakah sama orang yang mengetahui (berilmu) dengan orang yang tidak mengetahui (jahil)? Sesunggunya orang-orang yang mengambil peringatan itu adalah orang-orang yang mahu berfikir.”
(Az-Zumar: 9)

Selasa, Julai 04, 2006

Dunia terbalik


Sebelum meninggalkan kampus buat seketika,.....

Karya ini dihasilkan sebagai menyatakan bahawa keadaan dunia yang terbalik. Terbaliknya dunia sehingga orang-orang yang menzalimi dirinya sendiri dengan melanggar perintah Allah tidak mahu ditegur.
Seringkali kita terdengar ayat, ”Iman di dalam hati. Bukan pada pakaian atau penampilan diri.” Sehingga kadang-kadang kita kasihan, apabila artis yang berskirt singkat lagi ketat mengucapkan ’alhamdulillah’ sebagai tanda syukur apabila mencapai kejayaan. Sehingga kita bimbang melihat apabila pemimpin wanita, mengucapkan, ’tanda beriman bukan pada tudung.’ Walhal tudung dan pakaian yang menutup aurat itu manifestasi keimanan kepada Allah dan RasulNya.

Kepercayaan iman di dalam hati, dan tidak bersangkut paut dengan tingkah laku luaran dari segi pengucapan, perbuatan atau memberikan sokongan adalah kepercayaan golongan Murjiah. Golongan ini secara terang terkeluar daripada arus pemikiran akidah Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ).

Dunia sudah terbalik! Terdapat juga gerakan halus untuk menonjolkan pesalah-pesalah dengan menggunakan pakaian yang menunjukkan simbol agama. Syiar berpakaian ini menjadi taktik dan strategi musuh Islam untuk memburukkan golongan pendokong Islam yang tulen. Gimik yang dibuat telah banyak kita lihat. Sebagai contoh, pesalah yang dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan merogol, dipaksakan kepadanya memakai kopiah. Ini penghinaan yang total kepada pencinta agama (adakah anda sensitif terhadapnya?).

Senario semasa juga menunjukkan ramai juga di kalangan remaja dan belia Muslim ’menyorokkan’ diri di sebalik kopiah dan tudung yang dipakai. Kecelaruan identiti ini seolah-olah memakai tudung dan kopiah itu menjadi adat, bukannya pemakaian yang melambangkan tahap keimanan seseorang kepada ajaran agama. Satu lagi contoh yang barangkali memualkan, iaitu watak yang digarap oleh HM Tuah dalam novel Hati Ini Untuk Siapa? Seorang lelaki yang mempunyai penampilan sebagai ahli ibadah, tetapi dalam masa yang sama curang dan berzina.

Perkara seperti ini walaupun jarang-jarang berlaku, menjadi amat sensasi lebih-lebih lagi apabila digunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Lantas mereka dengan mudah mengambil jalan singkat, ”buat apa tutup aurat? Orang yang bertudung itu tidak semestinya baik!” Betapa buruk dan celaka orang-orang yang berfikiran demikian. Dalam keadaan dia tidak mahu tunduk dan patuh kepada perintah Allah, dia memperkecil-kecilkan pula orang membuat kebaikan dan mempertikaikan hasanah yang dilakukan oleh mereka yang betul-betul mahu mematuhi perintah Ilahi.

Mesej utama dalam karya ’Topeng Kebaikan’ ialah pendedahan kepada pembaca sikap-sikap manusia munafik. Mereka kadang-kadang dilihat mempunyai kefahaman yang jelas dalam hal-hal agama. Namun, demi kepentingan diri, mereka sanggup menyembunyikan kebenaran, malah menentang kebenaran yang cuba dibawa oleh orang lain. Mengapa kita harus berpura-pura dalam membuat kebaikan? Walhal sebijak mana pun cara yang diguna untuk menyebunyikan kejahatan daripada pengetahuan manusia, Allah sekali-kali tidak leka. DIA sentiasa tahu apa yang dizahirkan dan sebaliknya.

Justeru, saya mengajak saudara/i memikirkan satu perkara. ’Jangan jadikan diri kita sebagai agen yang mengelirukan orang lain tentang Islam yang sebenar’. Penampilan kita mestilah penampilan yang menepati tuntutan syariat. Jangan nanti ada di kalangan bukan Islam bertanya, ”Inikah orang Islam? Tidak mahu berpeleseran di taman rekreasi berdua-duaan? Tidak segan silu melakukan mungkar secara terang-terangan?”

Atau ”Inikah Islam? Berpakaian sama seperti cara kami berpakaian? Malah lebih teruk daripada kami?” (Walhal ketika itu, mereka telah menang untuk menumpaskan malah melumpuh akidah umat Islam). ”Dan tidak sekali-kali akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehingga kamu mengikut cara hidup (millah) mereka...” (120: Al-Baqarah). Dalam ayat lain, Allah berfirman, mafhumnya, ”....dan mereka tidak putus asa untuk memerangi kamu sehingga kamu berpaling daripada agama kamu (murtad).....” (217: al-Baqarah).

Jangan jadikan kita sebagai produk-produk agenda Yahudi dan Nasrani, kerana ia akan melemahkan kekuatan Islam. Jika kita mahu mengikut dan melakukan anjuran agama, lakukanlah dengan betul dan betul-betul. Kita bersedih dan merintih, melihat remaja-remaja Islam kini, yang melakukan maksiat secara berleluasa. Statistik kerosakan remaja Islam meningkat dan terus meningkat. Bilakah akan menguncup? Bilakah masa remaja-remaja Islam kemblai menghayati kehidupan beragama? Saya sudah buntu dan mati akal, mengapa mereka yang berkuasa tidak memikirkan cara untuk menyekat penularan perkara ini? Walhal mereka (pemimpin yang berkuasa) tahu, jika dilaksanakan hukum-hukum Allah, jaminan keamanan akan datang.

Karya ini? Sila klik dan baca Topeng Kebaikan di laman esasterawan saya.

Ahad, Julai 02, 2006

Jawapan buat Salam al-Ma'aji.

Wa’alaikumussalam sahabatku Salam Al-Ma’aji.
Aku sudah lama tidak mendengar khabar beritamu. Tiba-tiba engkau muncul dengan persoalan yang berat pada fikiranku. Betapa engkau lebih peka berbanding dengan diriku yang alpa ini.

Sahabatku Al-Ma’aji.

Pertama sekali, aku ingin mengucapkan ribuan kemaafan kerana lambat membalas warkahmu. Aku amat sibuk dengan urusanku. Aku amat teruja melihat kelibat rakan-rakanku yang sibuk berbicara tentang bola sepak seperti katamu. Aku malu pada diriku.

Kedua, apakah betul katamu tentang Kumpulan 11 itu? Selain kerajaan yang tidak memberi perhatian, kami sebenarnya membuat kerja juga. Baru-baru ini, aku sempat menurunkan tandatangan yang dikutip oleh wakil ABIM. Ya, NGO yang menjalankan usaha sama mengutip sejuta tandatangan ummat Islam Malaysia selain PAS, JIM, TERAS dan beberapa NGO lagi yang sayangkan Islam. Sungguh, hati ini mendidih. Pilu dan hiba terhadap kebiadaban mereka. Tandatangan itu akan diserahkan kepada Dato’ Seri Mufti, dari Perak. Memorandum bantahan sejuta umat Islam Malaysia ini apakah akan berkesan?

Berkesan atau sebaliknya, yang penting aku telah menjalankan tugasku sebagai mukmin semampunya. Aku tiada kuasa melainkan menunjukkan protes sekecil ini. Nanti bila tiba musim pilihanraya, tahulah aku siapa pemimpin yang mesti aku pilih. Kita membaca al-Quran, maka pemilihan ketua dan pemimpin itu amat penting. Aku tidak mahu nanti menjadi orang yang menyesal tidak sudah. Aku titipkan ayat yang diingat olehku, maksud ayat 166 dan 167 surah al-baqarah lebih kurang seperti ini. (Sila buka al-Quran tafsir jika kamu sangsi denganku). Aku yakin ia hampir betul dengan apa yang aku ingat.

“Ketika ketua-ketua yang menjadi ikutan itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutinya, (pada waktu itu) mereka telah melihat betapa ngerinya azab seksa. Pada ketika itu hubungan mereka telah terputus. Dan berkatalah orang yang menjadi pengikut; ‘Alangkah eloknya kalau kami dikembalikan semula ke dunia, maka (dengan itu) kami dapat berlepas diri daripada mereka (pemimpin) sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami!’. Demikianlah Allah perlihatkan kepada mereka amalan-amalan mereka (mendatangkan penyesalan yang amat sangat), dan mereka tidak dapat keluar daripada neraka.”

Dahulu aku pun memangkah calon parti nasionalis. Tapi aku ingin berubah, mahu memilih calon ISLAMIS pula pada pilihanraya ke-12 nanti. Aku tidak mahu menyesal di sana nanti, menangis air mata darah pun ketika itu, tidak ada guna lagi. Aku pasti tidak dapat kembali ke dunia untuk mengundi lagi atau melakukan amal kebajikan yang lain.

Sahabatku,

Bercakap tentang Mufti, aku amat kasihan kepadanya. Terbaru isu pluralisme yang dibimbanginya. Beliau mencadangkan agar kerajaan menilai semula budaya kongsi raya, kerana perkara ini berkait soal akidah. Berkongsi raya itu samalah seperti kamu sebagai mukmin mengiktiraf Tuhan selain daripada Allah yang menjadi anutan mereka. Beliau masih tegar, dan tetap pendirian menyatakan kebenaran. Aku tahu, Dato’ Mufti juga tidak senang duduk meski nanti dia akan dipecat. Ini kes ketiga, kontroversi yang dibuat oleh beliau. Cuma dia masih kekal, kerana Tuanku Sultan Perak baik, dan mahu beliau memegang jawatan itu lagi. Aku pasti, dia akan bertahan lagi, kerana PM tiada asas untuk memecat beliau.

Sahabatku al-Ma’aji,

Aku juga amat bimbang dengan keadaan remaja Islam, muda-mudi, belia Islam di Malaysia ini. Aku tidak faham. Mengapa penagih dadah di negara ini juga diberi keistimewaan subsidi dadah? Kata mereka dadah sintetik? Ya, bukan dadah betul, tapi itu kan tetap dadah? Apakah melampau jika aku menuduh, ada perniagaan terancang yang menguntungkan pihak tertentu di sebalik perkara ini? Hingga ada juga penagih yang tidak berpuas hati, kerana doktor yang membekalkan dadah ini kemudiannya membuat duit juga, menjual pada harga yang lebih tinggi. Itu belum lagi dikira budaya hedonisme yang berlaku.

Sahabatku,

Walau pun sekarang ini, stesen TV swasta di tempatku seperti Ansar Channel, kemudian sedikit rancangan realiti TV berbentuk agama dibuat, namun masih belum dapat mengatasi program hiburan yang ada di stetsen TV yang lain. Manusia yang masyuk dengan hiburan telah mengaburi agenda perkembangan Islam untuk membina generasi yang Islamik. Tidakkah kamu pernah katakan kepadaku, permulaan generasi bermula daripada ibu bapa. Bagaimana jika ibu bapa sudah minat kepada hiburan? Apakah itu dapat menjana generasi Islamik? Tidak guna aku menyalahkan ibu bapa, kerana persekitaran sudah tepu dengan hiburan. Tekan sahaja TV, dengar orang menyanyi. Keluar sahaja ke stadium, atau padang rakyat, atau dewan serba guna sudah terdengar bunyian alat muzik.

Jika pergi ke majlis keraian bersama pemimpin masyarakat arus perdana, mesti ada artis. Artis sudah ada aura untuk menarik peminat-peminat mendengar ceramah politik. Hingga artis pun sudah dihadiahkan produk-produk sebagai strategi promosi. Tak pasal-pasal artis dapat barang yang mahal-mahal secara percuma! Aku (dan macam kamu juga!) bilalah dapat merasa perkara yang percuma itu? Mungkin kita kena jadi artis atau model juga? (Hahahaha! Gila!) Tapi aku tidak akan terjebak dengan semua itu. Ibu bapaku amat menitikberatkan soal agama. Jangan kerana sedikit wang, kita membelakangi nilai agama. Itu pesan bondaku yang masih diingat. Kejap dalam otakku.

Al-Ma’aji,

Sekarang ini, khabarnya sudah hampir bulan Julai. Aku akan mendapat seorang kawan baru. Tetapi dia tidak akan berada di dalam. Rumahnya di luar. Cuma mungkin aku bertuah apabila kawan baru ini seorang qari. Dapatlah aku mencedok ilmu Tarannum daripadanya. Aku amat bertuah. Duduk di bilik yang ada privacy, jauh dari kebingitan desasiswa, tempat penginapan pelajar-pelajar lain. Ehhh? Aku belajar lagi ke? Aku ingat itu soalan yang tak perlu ditanya. Bagiku mencari ilmu proses sepanjang hayat. Sama ada secara formal atau tidak, aku mesti sentiasa belajar dan belajar. Kalau sudah bekerja pun, tidakkah kita masih perlu mempelajari sesuatu yang baru?

Aku sudah tidak sabar untuk mengakhiri zaman belajarku (mati?). Hahaha! Aku bergurau sahaja. Aku pun tidak tahu kenapa. Kadang-kadang tekanan demi tekanan dalam hidup membuatkan aku terasa seperti mahu mati. Apa pun, aku tidak akan membuat kerja bodoh untuk melawan hukum Allah. Tidakkah ayat terakhir surah al-Baqarah mengatakan bahawa segala ujian yang didatangkan kepada kita itu mampu ditanggung oleh kita? Apa pun, aku tidak tertekan sangat. Aku mencoret, dan setiap coretanku ada pembaca setianya. Merekalah peniup semangat untukku terus hidup. Di samping rakan-rakan seperjuanganku. Perjuangan kami, sudah tidak sama seperti kami sama-sama belajar.

Mereka sudah bekerja. Maka membuat program bersama pada hujung minggu adalah suatu perkara yang menyeronokkan. Ketika itu juga, semangat hidup kembali segar. Bukanlah maksudku, hidupku membosankan. Sebab bosan tidak ada dalam kamus kehidupanku. Jika aku rasa ‘kosong’ sahaja hidup, aku mencari teman yang paling setia. Teman ini berjaya mengamankan keresahanku. Temanku ini memberi kedamaian. Siapa lagi? Jika bukan naskhah bertulisan seperti tulisan Jawi itu? Tutur kata’nya’ dalam bahasa Arab yang tidak difahami. Tapi aku faham sikit-sikit maknanya. Jika aku mahu memahami lebih dalam, aku ambil yang ada tafsirnya.

Al-ma’aji.

Maafkan aku. Tidak banyak perkara yang dijawab sebagai respon kepada analisis kerapuhan sosial di nagaraku. Kamu juga bijak dan rajin membaca. Bacalah (aku tahu kamu sudah maklum) akhbar-akhbar alternatif di negaraku jika mahu mengetahui perkara yang tidak diberi liputan dalam media massa arus perdana.

Aku sudah mengantuk. Banyak kerja lain yang masih belum beres. Jumpa lagi.

Yang benar,

-N.A.I.M-

Taman Selesa, Nibong Tebal.