Jumaat, Mei 19, 2006

Mari kita doakan.

Ya Allah, aku bersyukur. Hari yang berlalu dalam kehidupanku. Ya Allah, nadi kehidupanku bergerak, detik demi detik. Pantasnya detik-detik itu, aku tidak percaya sudah 24 tahun berlalu ia. Aku tahu dan sedar, 24 tahun bukanlah singkat. Panjangkan umur ini agar dapat aku dambakan pengabdian kepadaMU. Aku memohon kekuatan demi kekuatan daripadaMU ya Rabb.

Lalu aku mendengar dalam mimpiku, "duhai jiwa yang kerdil. Kembalilah menjadi diri kamu!"
Apa maknanya? Aku sedang mencari makna dan pengertian. Pesanan keramat ini akan digali rahsianya. Aku melihat dunia sekeliling. Aku mempunyai sahabat-sahabat, rakan sekerja, rakan sepengajian, rakan sepermainan, dan rakan sepergaduhan. Rakan sepengajian dan sepergaduhan cukup membahagiakan. Rakan sepermainan cukup meletihkan, kerana bermain mengeluarkan peluh dan keringat. Rakan sehati sejiwa? Belum ketemu semula. Kerana sehati sejiwa itu cukup besar maknanya. Tidak perlu ditemukan lagi rakan sehati sejiwa, kerana parut luka hati dan jiwa belum tanggal.

Dan coretan ini, adalah teman tanpa perasaan yang boleh menjelmakan perasaan. Coretan ini adalah teman yang paling setia, ia menerima dan menyerap segala suka duka kehidupan orang yang menulisnya. (Aku meniru dan meminjam kata-kata penuh makna Anne Frank dan Zlata yang terkenal dengan diari kehidupan mereka.)

Terima kasih buat Muzam, adik Nor Asiah (adikku di MRSM KT), MyMesra Team (PETRONAS Dagangan) yang telah mengucapkan "SELAMAT HARI LAHIR" kepadaku. -:)
Buat kalian, ketahuilah, aku sudah hidup 24 tahun lamanya.

Khamis, Mei 18, 2006

Laman Al-Quran Online

Klik untuk buka Laman AQO

Laman ini diusahakan untuk manfaat semua, kerana nabi pernah bersabda: "(Antara) yang terbaik di kalangan kamu ialah mereka yang belajar al-Quran dan mengajarkannya."
Sila klik gambar di atas untuk membuka laman Al-Quran Online.

Rabu, Mei 17, 2006

Selamat Hari Ibu, Belia & Guru.

Saya sempat lagi menyiapkan folio atau kajian tempatan sejarah perjuangan nasionalisme ke arah kemerdekaan. Bukanlah bermakna saya ingin menonjolkan kehebatan mereka, bukan pula bermakna saya menyokong mereka. Folio itu sekadar kajian awal sebelum saya kemukakan pula hujah balas yang selayaknya sebagai menampakkan hala tuju dan fikrah saya. Perlu ditegaskan, bahawa saya tidak bersama-sama mereka dalam memperjuangkan idealisme, jika saya hidup pada zaman tersebut.

Ini pula coretan ringkas saya buat tatapan pembaca Mimbar Pusat Islam, dihadiahkan kepada ketua editor MPI. Bulan Mei, kita meraikan tiga hari yang cukup signifikan: Hari Ibu, Hari Belia dan Hari Guru. Ketiga-tiga hari yang bermakna ini disambut dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat sebagai cara menghargai peranan yang dimainkan oleh setiap golongan.

Golongan ibu selaku golongan yang dimuliakan dalam Islam. Islam mengiktiraf jasa dan pengorbanan ibu sehingga disebut secara khusus di dalam al-Quran. Ketinggian nilai seorang ibu disebut oleh Allah dalam ayat 14 surah Luqman, ayat 15 surah al-Ahqaaf dalam konteks kesusahannya mengandung. Ibu merupakan pengasuh dan pendidik yang lebih rapat serta menghabiskan masa yang lebih banyak bersama-sama anak. Sejak dari alam rahim sehinggalah anak itu membesar, ibu memainkan peranan yang lebih berbanding seorang bapa. Justeru, di dalam Islam ibu merupakan orang yang pertama selaku pemula generasi baru harus diletakkan pada tempat yang selayaknya. Mari kita renung firman Allah dalam surah al-Ahqaaf, mafhumnya: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan..."

Guru pula merupakan golongan yang berperanan membentuk nusa bangsa. Ketinggian tamadun bangsa terletak pada tahap ketinggian ilmu sesuatu bangsa. Bangsa yang dihormati dan dikagumi tamadunnya memiliki kelebihan ilmu. Perkara ini diceritakan oleh Allah dalam ayat 38-40 surah An-Naml. Ketinggian ilmu hanya dapat dicapai apabila terdapat golongan yang menjadi pengajar (mu'allim), mendidik tanpa jemu dan penuh ikhlas. Guru yang mengajar mencurahkan bakti yang bukan sedikit. Selain menyampaikan ilmu di dalam sillabus pengajaran, guru juga terpaksa melayan kerenah pelajar-pelajar. Jika seorang guru mempunyai 30 orang pelajar, dia terpaksa memahami 30 ragam dan fiil pelajarnya. Seorang guru mestilah dihormati selagi ilmu yang dicurahkan tidak bertentangan dengan syarak. Justeru guru yang baik bukan sahaja bertindak selaku muaddib malah menjadi murabbi yang berjaya membentuk acuan sikap dan tingkah laku pelajar-pelajar. Saya suka merumuskan puisi Allahyaham SN Usman Awang bertajuk Guru oh Guru, dalam karya ini beliau mengungkapkan apa jua kejayaan yang dicapai oleh seseorang, semuanya bermula daripada seorang guru.

Golongan belia merupakan golongan majoriti yang mendominasi populasi rakyat Malaysia. Belia didefinisikan sebagai mereka yang berumur di antara 15 hingga 40 tahun. Selaku golongan terbanyak, belia memainkan peranan ke arah pembangunan negara. Belia sering dikaitkan dengan semangat kerja yang tinggi, berkarisma, semangat juang yang kental dan seumpamanya. Belia merupakan tonggak kepada keterusan tampuk kepimpinan kerana belialah yang akan menggantikan pemimpin masyarakat yang akan pergi. Belia yang berkualiti, bebas daripada anasir jahat seperti dadah, budaya hedonisme, kongsi gelap dan kegiatan jenayah lain perlu dihasilkan. Kelompok belia ini mempunyai kesedaran untuk mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara.

Sebagai kesimpulan, ketiga-tiga golongan yang dibincangkan di atas mempunyai fungsi dan peranan masing-masing. Mereka menjadi aset yang berguna kepada negara. Sumber manusia yang berkualiti bermula daripada seorang ibu, dikembang dan dicanai oleh guru kemudian kelangsungannya pula diteruskan oleh golongan belia yang terdidik. Setiap sumbangan yang baik akan diganjarkan kebaikan oleh Allah S.W.T sesuai dengan firman-Nya

Klik untuk buka Laman Al-Quran Online

yang bermaksud:

Dan ditanya pula kepada orang-orang yang bertakwa: "Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?" Mereka menjawab: "Kebaikan". Orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi dan memanglah negeri akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertaqwa.


Masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Ibu, Selamat Hari Belia dan Selamat Hari Guru.

Jumaat, Mei 12, 2006

Modal Insan 1


Apabila saya biacarakan Modal Insan hanya nama yang Islamik, saya fikir diucapkan dengan penuh penelitian. Sebelum saya berkata, saya menekuni dengan berhati-hati teks ucapan penuh perbentangan cadangan Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9). Ucapan penuh PM dapat dibaca dalam majalah MASA (April 2006) muka surat 6 hingga 21. Enam belas halaman bercetak semuanya.

Maka suka saya selitkan bahagian modal insan yang diucapkan oleh YAB PM kita seperti berikut: Sekiranya kita ingin melangkah ke era ekonomi berpaksikan pengetahuan, jika kita mahu menjadi negara maju dan kekal pada tahap tersebut, pembangunan modal insan harus dipertingkatkan. (Langkau beberapa baris) Tiga strategi utama untuk melahirkan modal insan kelas pertama akan dilaksanakan. Pertama:Meningkatkan keupayaan dan penguasaan ilmu pengetahuan. Kedua: Memperkukuh keupayaan Sains, R&D dan Inovasi. Ketiga: Memupuk masyarakat berbudaya dan memiliki kekuatan moral.

Pasca ucapan RMK9 nampaknya sudah berlaku perkara sebaliknya.

1. Isu pengucapan kata-kata kesat di kalangan pemimpin kerajaan yang tidak menggambarkan strategi modal insan diberi penekanan.
tetapi dalam isu pengucapan kata-kata kurang sopan di kalangan pemimpin pembangkang, tetapi diselesaikan dengan permohonan maaf secara terbuka. Malah parti pembangkang secara bersama menolak keceluparan ucapan yang dibuat oleh ahli mereka. Maka dalam hal ini, mengapa PM selaku yang digelar ulul-amri tidak berbuat demikian secara terbuka pula? Strategi ketiga sudah dilanggar.

2. Di manakah kekuatan moral seorang pemimpin jika mencampuri urusan pihak berkuasa demi kepentingan perniagaan peribadi? Saya merujuk kepada kes Datuk Said. Tidakkah perkara ini kontradiksi yang jelas, jauh menyimpang daripada strategi pembangunan modal insan yang ketiga? Bagaimana masyarakat akan berbudaya dan bermoral jika pemimpin sendiri tidak bermoral?

3. Peletakan jawatan oleh Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BNBBC) menunjukkan strategi ketiga yang digariskan sekali lagi ditongsampahkan. Memang benar, dasar adalah dasar yang itulah yang harus diikuti. Tetapi jika dasar sudah melangkau prinsip, apakah pada ketika itu dasar wajib ditaati? Kita ambil contoh ketaatan kepada ibu bapa. Kita diajar mentaati ibu bapa selagi arahan seorang ibu tidak bertentangan dengan syarak.
Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau dengan fikiran sihatmu tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh).... (Luqman: 15). Begitu juga pemimpin. Ketaatan kepada ulul-amri hanya terbatas kepada perkara-perkara yang haq sahaja. Jika salah dan bertentangan dengan kehendak syarak, ia tidak wajib ditaati.

4. Perkataan modal insan sangat tidak cocok. Adalah lebih baik sekiranya istilah sumber manusia digunakan. Insan itu kalimah arab yang digunakan sebagai menampakkan Islamiknya istilah yang digunakan. Walhal perancangan ke arah pembangunan modal insan adalah sebaliknya.

Kita masih belum mengetahui perkara-perkara yang akan berlaku seterusnya khususnya yang berkaitan strategi ketiga yang disebutkan di atas. Dua perkara pertama tidak mahu diolah kerana saya melihat ruang memperbanyak pakar tempatan amat terbatas. Masih terdapat kepakaran luar yang diguna walhal saintis tempatan juga hebat-hebat. Saya juga berharap agar penyelidikan yang dibuat tidak sekadar menjadikan pensyarah di universiti syok sendiri. Syok sendiri dan merasa kepuasan sendiri-sendiri dengan memenangi anugerah penyelidikan tanpa dapat dikomersialkan. Saya sesungguhnya amat kagum dengan tahap patriot yang dimiliki oleh sebilangan saintis Malaysia yang tidak sanggup menjual teknologi mereka kepada pihak luar meski mereka ditawar ganjaran yang lumayan. Soalnya, sampai bila mereka mesti melonggokkan hasil penyeldikan dalam koleksi buku-buku penyelidikan di dalam almari atau rak buku?

Jumaat, Mei 05, 2006

Modal Insan


Apa itu modal insan? Apakah ini juga istilah seperti mana perkataan Islamik untuk menggambarkan gaya pemerintahan yang Islamik pula?

Saya pun tidak faham, mengapa diguna modal Insan? Walhal dalam prinsip modal insan yang tiga itu, disebut moral yang baik sebagai tunjang. Di mana dibuangkan akhlak Islam? Apakah kerana modal insan itu dilaksana di negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama, lantas akhlak Islam dikesampingkan?

Inikah modal insan? Modal insankah itu? Ada sebuah cerita, ceritanya macam pernah saya dengar dan baca serta perhatikan di negara saya. Ya, sebuah negara dunia ketiga di Afrika agaknya. Seingat saya, cerita ini berlaku di Afrika, macam pernah berlaku di negara saya?

Inikah modal insan?

1. Pemimpin mengutamakan kroni dalam pemberian hak. Maka berlegarlah projek pembangunan dalam kalangan mereka. Yang kaya menjadi kaya, yang miskin jatuh papa kedana.

2. Pemimpin dan beberapa pelaksana dasar di jabatan kerajaan melengahkan kerja, kononnya inilah birokrasi. Birokrasi yang hanya di'tayar'kan dengan pelincir 'ong'. Hulur bawah meja atau 'pos' ong dalam akaun bank secara dalam talian. Maka bertambah-tambah kos perkhidmatan dan barangan. Maka itulah yang dikatakan kesan penswastaan. Yang tidak swasta pun sama juga, tidak ada wang, jangan sembang kemas. kalau ada duit, cakap tak kemas atau kerja cincai, halai-balai pun tetap dikatakan ok.

3. Inikah modal insan? Hari-hari penuh sesak dengan lagu dan hiburan. Modal insan macam mana ni? Emak dan bapak tidak solat, maka ditanya kepada anak, "Kenapa tak solat?" Jawab anak, 'Macam mana nak solat? Emak bapak tak solat.' Tapi ditanya pula 'Kenapa pandai nyanyi? Apakah ibu bapa penyanyi?' Dijawab, 'Tidak!" Nah, kalau bab menyanyi ibu bapa tak perlu pandai nyanyi untuk hasilkan seorang anak yang menjadi penyanyi atau artis. Inikah modal insan?

4. Tahap kegilaan manusia di negara itu (Afrika) sudah pada tahap tepu. Umpama air gula yang sudah pekat. Ditambah gula sudah tidak larut lagi walau dikacau dalam air bersuhu 150 darjah Celcius. Amat tepu. Hingga berlapis-lapis gula di bawah. Maka berapa ramai manusia yang baik-baik dapat meneruskan agenda kebaikan walhal nisbah manusia yang mahu kebaikan kepada manusia yang mahukan keseronokan dan kefasadan ialah 1:50.

Modal insan, bukan hanya sekadar sebutan di mulut, kerana pelaksanaan dan perancangan mesti selari dengan al-Quran. Saya bimbang modal insan hanya slogan yang nampak Islamik walhal pelaksanaannya tidak Islamik. Saya mengata pada pemimpin dan orang-orang di Afrika. Jika ada berlaku di sini, sama-samalah kita fikir dan renungkan.