Selasa, Oktober 18, 2011

Cerita Jalan Teknokrat 2

Minggu sudah adalah minggu terakhir saya mengunjungi kompleks kerajaan di Putrajaya. Blok bangunan agensi berdekatan masjid Presint 2. Mulai hari ini saya ditugaskan di sebuah agensi kerajaan di Cyberjaya. Skop tugas meliputi perkara sulit kerana berinteraksi dengan pangkalan data. “Cuma anda perlu tandatangan OSA dan saya harap kamu amanah dengan kerja.” Demikian kata-kata pegawai agensi tersebut. Tidak ada apa yang menarik bagi saya melainkan saya berupaya menambah pengetahuan teknikal baharu dalam bidang .NET. Ini sebenarnya sebahagian daripada aplikasi kerajaan elektronik untuk mengurangkan penggunaan kertas. Saya ditempatkan di sini kerana memang suka kerja-kerja yang teliti.

Pun begitu teliti itu tentulah melibatkan banyak hal yang dilihat oleh sesetengah orang sebagai cerewet. Pada pendapat saya, perkara itu biasa. Jika tidak teliti, bagaimana kita dapat menyediakan aplikasi yang memudahkan setiap orang berurusan dengannya? Antara objektif aplikasi e-kerajaan ialah untuk mengurangkan karenah biroksi di samping memberi ruang kepada ketelusan. Selain itu sistem perkhidmatan elektronik diharap dapat menjadikan sesuatu urusan lebih cepat. Bak kata orang IT, “Semua di hujung jari anda.” Atau kata lain, “Dengan satu klik sahaja.” Sepanjang ‘pertapaan’ ini, sebahagian daripada tugas saya ialah membangun aplikasi baharu untuk beberapa perkhidmatan dalam e-kerajaan. Sebahagian daripada sistem sedia ada perlu ditambah baik.

Sebalik semua keadaan ideal seperti yang diceritakan di atas, kita tidak boleh lupa kepada satu perkara. Tidak ada yang sempurna. Apakah impikasi di sebalik ‘kekurangan’ ini? Kita menyediakan sistem canggih. Kemudian kita menghadapi kekangan seperti kegagalan sistem. Pernahkah anda mengisi mana-mana borang di laman web, kemudian data yang dihantar tiba-tiba hilang? Atau anda cuba memuat turun borang tiba-tiba tetingkap perayau memberitahu, “Page cannot be resolved” Atau “Page cannot be found”. Atau jika tidak melibatkan server, tiba-tiba sambungan internet anda terputus. Pada masa-masa tertentu terlalu banyak pengunjung menyebabkan kesesakan trafik jaringan (network congested). Untuk mengatasi masalah ini pihak yang memantau laman web menetapkan capaian serentak sehingga hanya 1000 dalam satu-satu masa. Istilah teknikalnya, concurrent users. Maka tidak hairan kalau sebuah agensi penyedia permohonan biasiswa menetapkan hari-hari tertentu untuk universiti tertentu membuat permohonan.

Kita tidak perlu salah faham dengan konsep capaian serentak untuk sekadar melihat laman web dengan menggunakan aplikasi sistem tertentu. Maka kita tidak perlu hairan jika pada 29 April 2011, seramai lima juta lebih (5 398 731) orang melayari laman web yang memaparkan majlis perkahwinan Putera William serantak! Kita juga perlu realistik dengan keupayaan pembangunan teknologi IT di negara ini masih jauh berbanding dengan negara-negara lain. Dalam tinjauan bebas, dirumuskan bahawa pembangunan teknologi IT di Indonesia jauh lebih baik. India juga berada pada tahap yang membanggakan sehingga banyak tempat dalam firma di zon MSC (Cyberjaya) menggunakan pengaturcara negara tersebut.

Pernahkah anda menggunakan sistem bayaran elektronik (online banking)? Dalam senarai transaksi pihak bank statusnya berjaya. Kemudian anda memaklumkan kepada pihak yang menerima bayaran, “Saya telah buat bayaran.” Tiba-tiba anda menerima panggilan mengatakan, “Maaf encik. Sila hantar bukti bayaran melalui emel atau faks.” Tentu anda sangat kecewa kan? Kenapa? Inilah sebahagian daripada cabaran membangunkan sistem aplikasi e-bayaran. Kata kuncinya ialah database synchronization. Mungkin disebabkan capaian internet, kadar permindahan data, atau integrasi pelayan-pelayan (server), trafik jaringan atau sistem separa automatik. Saya amat tertarik dengan perkara terakhir ini. Iaitu sistem separa automatik. Hal ini disebabkan tidak semua aplikasi sistem elektronik dibangunkan dengan piawai yang sama. Tentulah sukar dan hampir mustahil untuk membuat integrasi antara sistem. Contohnya sistem bayaran PTPTN di bank dengan sistem maklumat bayaran balik PTPTN.

Anda tentu pernah membayar PTPTN di kaunter bank. Kemudian pihak PTPTN menetapkan kita melihat status bayaran dalam E-FES (url: http://epay.ptptn.gov.my/loan/ptptnlogin.jsp) selepas tiga hari bayaran dibuat. Tetapi kadang-kadang selepas lima hari bayaran dibuat, baharulah anda dapati bayaran terkini untuk bulan semasa tertera dalam E-FES. Saya pernah alami perkara ini dan sentiasa pula ‘menggasak’ webmaster PTPTN dengan satu emel. Yang penting, saya mahu tidak ada kegagalan sistem yang akhirnya menyebabkan duit saya hangus sedangkan hutang PTPTN saya tidak berkurang. Kenapa? Saya mula terfikir, kenapa pihak bank tidak membuka satu perjawatan khusus untuk menugaskan satu kumpulan Pengurus Pangkalan Data (kalau tidak ke tahap Database Administrator alias DBA pun, Penolong Pengurus Pangkalan Data sudah memadai). Mereka ini akan fokus dalam kerja mengemaskini pangkalan data dan membuat simulasi sistem supaya integrasi sistem yang separa automatik dapat dilengkapkan. Tugas mereka hanyalah memasukkan data. Jika kadar tiga hari bekerja boleh berlarutan sehingga lima atau enam hari, tentulah hal itu menunjukkan sumber tenaga sedia ada tidak cukup.

Mereka tidak perlu tahu cerita-cerita lain selain yang bersangkutan dengan enjin pangkalan data dan masukkan data. Kalau begitu, teruklah! Tentu sekali kerjanya membosankan. Pada pendapat saya bosan atau tidak kepada kerja terletak pada sikap individu. “Orang yang sapu sampah tepi jalan pun ada masalah kerja.” Betul? Jika kerja tukang sapu itu mudah, tentu mereka tidak mengeluh marahkan orang yang membuang sampah. Tetapi sedar atau tidak sedar, ada sesetengah manusia amat menghargai kerja meski hanya menyapu sampah. Anda mungkin pernah baca bagaimana seorang pemuda ditawar jawatan yang lebih selesa, berkerja dalam pejabat berhawa dingin. Pemuda ini ditawar jawatan tersebut kerana orang yang menawar kerja itu fikir, “Kamu perlu jawatan itu kerana jasa ayah kamu.” Tetapi pemuda tersebut menjawab, “Saya gembira dengan sumbangan saya.”

1 ulasan:

Afida Anuar berkata...

after all it all about technology naim.... nothing perfect. Kadang2 ada yang menyusahkan. Depends.

Wahhh...jalan teknokrat 2 yer?saya di persiaran Apec;)