Subuh hari ini Sheikh Solah mula perkenal cara baharu dalam pengajian. Setiap orang perlu membaca satu ayat kemudian mengeluarkan (takhrij) hukum tajwid. “Saya harap dengan kaedah pengajaran baharu ini jumlah kehadiran tidak berkurang.”
Setelah selesai membaca secara talaqqi beramai-ramai, kaedah baharu dijalankan. Pelajar kedua, “Ini dibaca dengung. Tapi saya tidak tahu hukumnya.” Pelajar ketiga pula membaca dengan betul. Tetapi langsung tidak dapat menjelaskan hukum tajwid. Penjelasannya mudah. Setiap orang hanya perlu sebut begini, “Mad asli dibaca dua harakat.” Atau, “Izhar halqi tidak dengung.” Dan seterusnya. Tidak perlu dihuraikan dengan panjang lebar. Sampai kepada pelajar ketiga sheikh terpaksa berhenti sejenak. Kelihatan seorang dua pelajar berundur. “Barangkali mereka ada urusan kerja.” Saya bersangka baik terhadap mereka.
Bagi ayat keempat hingga enam sheikh menunjukkan cara takhrij hukum tajwid yang dikehendaki. “Jadi saya minta tuan-tuan buat kerja rumah dengan membaca lima ayat sehari. Nyatakan hukum tajwid. Tidak banyak sebenarnya. Sebahagian hukum tajwid akan berulang-ulang dalam setiap ayat atau dalam ayat berikutnya.”
Betapa inilah yang kadang-kadang menjadikan orang tidak sabar belajar al-Quran. Mungkin disebabkan rasa malu. Atau mungkin juga disebabkan ego. Tetapi dalam kesusahan dan kesabaran menahan rasa malu dan membuang ego adalah pahala yang besar di sisi-NYA. Tidakkah disebut dalam hadis nabi yang bermaksud, “Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar al-Quran dan mengajar kepada orang lain.”? (Versi Arab: Khairukum man ta’alama al-Quran wa-‘allamahu). Maka setiap pelajar diberi masa dua minggu memandangkan Sabtu depan kelas tiada sempena Hari Raya ‘Id al-Adha.
Saya masih ingat kaedah pengajian seperti ini yang saya lalui ketika berusia sembilan tahun. Ayah mengajak saya bertalaqqi setiap malam Selasa di masjid bersama-sama pelajar dewasa. Dan sehingga sekarang pun, mana-mana pengajian al-Quran yang saya hadir untuk kategori dewasa melibatkan orang-orang veteran. Soalnya di mana orang muda belia? Dalam 40 orang pelajar di sini, kurang lima orang yang berusia bawah 30 tahun. Saya pun tertanya-tanya bagaimana kaedah yang sepatutnya untuk menarik minat belia mengikut pengajian seperti ini? Apakah mereka masih menunggu waktu senja? A Samad Said pernah menulis begini, “Usia adalah panjang waktu sedang amal adalah lestari waktu.” Maksudnya alangkah baiknya jika kita bermula dari usia muda untuk melakukan sebanyak mungkin kebajikan. Sementara kita masih gagah. Sementara lidah belum terlalu ‘liat’. Sementara pendengaran masih jelas. Sementara mata masih terang.
Mungkin ada yang bertanya, “Mengapa jika saya sudah dapat membaca dengan betul (tanpa mengetahui hukum tajwid), masih dikira tidak bagus?” Baiklah. Kita tanyakan semula kepada orang itu, “Tahu hukum tajwid adalah kualiti bacaan berpandukan ilmu. Baca semata-mata disebabkan mendengar bacaan orang lain adalah ikut-ikutan (taqlid buta).” Tentu sahaja nilai ganjaran di sisi-NYA berbeza untuk dua golongan yang ini. Orang yang membaca dengan mengetahui hukum tajwid tentulah lebih baik daripada orang yang dapat membaca dengan lancar tanpa mengetahui hukum tajwid. Jom!