Ahad, September 25, 2011

Cantik tetapi bisa membunuh




PUTRAJAYA - Kerajaan melarang pembekalan atau penjualan "seeds growing kits" yang dikenali sebagai Seven Colour Crystal Ball (SCCB) di pasaran atau barangan seumpamanya berkuatkuasa esok, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas menerima aduan daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) berhubung beberapa kes pembedahan besar melibatkan kanak-kanak berumur satu hingga lima tahun, dipercayai akibat tertelan SCCB.


SCCB yang turut dikenali dengan pelbagai nama seperti Jelly Ball, Crystal Jelly, Baby Jelly, Baby Crystal dan Crystal Soil serta berwarna-warni digunakan untuk membantu pertumbuhan pokok atau sebagai hiasan dalam pasu, katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Beliau berkata sebanyak tujuh pembedahan dilakukan di HKL dan satu kes di HUKM sejak April sehingga kini dengan kes terbaru di HKL melibatkan kanak-kanak 12 bulan yang dibedah pada Selasa lepas.


Katanya berdasarkan laporan pembedahan, HKL mendapati barangan seumpama itu boleh menyebabkan usus kanak-kanak tersumbat kerana saiznya yang kecil dan mudah ditelan.


Menurutnya kanak-kanak yang tertelan SCCB akan mengalami simptom dan implikasi seperti muntah, demam, sembelit, perut kembung, sakit perut, usus tersumbat serta usus bocor.- Bernama


Baca lagi:


  1. PENJELASAN PELAKSANAAN PERINTAH LARANGAN PEMBEKALAN SEVEN COLOUR CRYSTAL BALL
  2. Warta Kerajaan Persekutuan
  3. PERINTAH LARANGAN PEMBEKALAN SEVEN COLOUR CRYSTAL BALL

1 ulasan:

Afida Anuar berkata...

opismate ramai juga yang guna benda ni tuk buat hiasan atas meja...