Banyak perkara yang berlegar dan berselirat dalam kepala. Tetapi tidak semua dapat dicatatkan. Samalah halnya dengan sensitiviti seorang pemegang buku berjudul Masuk Barisan. Tiba-tiba sahaja saya dijengah satu komentar bersahaja seseorang. Komen itu pula datang tika roh kami berkelana di alam arwah. Seingat saya, pengomen itu beruas hati dengan mesej-mesej ringkas yang termuat dalam Masuk Barisan. Saya membalas, “Pun begitu, judul buku itu sendiri mempengaruhi pembeli. Walaupun tiada doktrin politik, buku ini tetap tidak digemar pembaca. Tengok Masuk Barisan pun, mereka benci.” Mengapa benci? Apakah kerana bencinya mereka kepada BN? Walhal ketika buku itu mula-mula diterbitkan, ada dua Barisan. Pertama Barisan Nasional. Kedua Barisan Alternatif.
Saya masih menyimpan sebilangan stok buku Masuk Barisan sejak 2006 lagi. Empat tahun lamanya stok itu dalam inventori. Boleh dikatakan itu stok beku. Saya pun tidak pasti bagaimana mencairkan stok buku ini dengan kata lain ada orang membelinya. Masuk Barisan (MB) ditulis sebagai menyahut seruan Dasar Buku Negara (DBN) memperkaya bahan bacaan bermutu. Konsep blook diguna pakai, iaitu memindahkan sebahagian entri weblog ke dalam buku. Konsep blook sudah diterima dan berkembang. Jiwa Kacau, Masuk Barisan (Jiwa Kacau 2), Gangguan Tekstual, Budak Kayu, Sindiket Soljah, Salah Lorong, Ayah Kita BOS antaranya. Apa yang hendak dihairankan? Kebanyakan novelis berjaya mempopularkan novel cetakan keras kerana memiliki pengikut di alam siber. Mereka paparkan bab demi bab novel berdikit-dikit. Tidak semua orang yang mengikuti novel online berjaya membaca setiap patah perkataan. Tetapi apabila khalayak berpuas hati dengan penulis, maka mereka akan pasti menyokong pula usaha pembukuan novel online tadi.
Jadi apa masalahnya dengan MB? Apakah ia masalah persepsi? Orang takut membelinya kerana terlalu benci kepada Barisan? Barisan mana? Apakah khalayak terfikir atau berfikir MB mengandungi doktrin politik? Itulah sebahagian daripada respon yang saya peroleh dalam lena tadi. Saya pun tidak pasti dan bertanya sendiri, ‘Kenapa sekarang kerungsingan memasarkan MB masuk dalam igauan saya? Kenapa tidak dahulu?’ Walhal saya semacam sudah mahu melupakan terus soal jualannya. Hari-hari sebelum tidur, saya memandang satu kotak. Kotak itulah memuatkan stok MB yang beku itu. Bermakna memang bilangannya puluhan naskhah juga. Apakah ada yang sanggup membeli lagi? Dan orang juga membagaimanakan harganya. “Bagaimana harga MB sedikit mahal?” Kalau saya jawab, “Orang merokok tidak pun rasa mahal harga rokok walaupun teah naik harga.”
Dan tentulah yang terlebih faham jawapan aneh itu menangkap sisi makna lain yang saya lontarkan. Apa kaitan rokok dengan tabiat membaca? Saya fikir adalah berbaloi juga MB berharga RM23.00 kerana penyumbang kandungannya 23 orang. Setiap penyumbang menyediakan bukan sahaja kandungan malah modal cetak. Tetapi mahukah orang membelinya? Siapa yang sanggup? Jika ada, saya sanggup pula menjualnya. Kos pengeposan RM3.50 (naik 50 sen selepas pengumuman Model Ekonomi Baru) biarlah saya tanggung. Harganya saya ulang RM23.00 sahaja.
Jual beli buku MB boleh dipanjangkan lagi. Emelkan saya melalui hanafi.mohamad[at]gmail.com
3 ulasan:
Sdr Hanafi: Tunggu kemasukan RM 23.00 ke akaun Sdr. Nanti baru kirimkan senaskhah buku itu kepada alamat saya.
Tuan Marsli NO :: Alhamdulillah... baiklah. -:) Terima kasih.
Selamat yach ats bukumu yang telah terbit...........
Catat Ulasan