Isnin, Februari 13, 2012

Pendaftaran koperasi sebagai Pengguna Perniagaan di portal kerajaan

Pendaftaran koperasi sebagai pemaju perumahan secara online dengan KPKT.


Khamis, Februari 09, 2012

Terima kasih

1.
Terima kasih buat saudara Faizal kerana sudi menerbitkan tulisan saya di majalah online kelolaan beliau. Tulisan tersebut boleh dicapai di sini.

2.
Terima kasih buat isteriku kerana sudi menyunting foto ini. Semoga dalam perantauan ini ia mengubat rinduku.



Isnin, Januari 30, 2012

Sesi pemanas badan dari kamar rekayasaku

Nah! Saya curah sedikit aliran idea dalam sekuel RSM dahulu. Dan saya pasti ada yang sudah tidak sabar dan bertanya, "Bila sekuel RSM akan siap?" Atau, "Mengapa terlalu lama?"




“ Ha! Engkau scan tesis pelajar senior?” sergah Azli.
Kerja-kerja menyalin manuskrip Munir tergendala, “Jangan tuduh-tuduh. Elok-elok nikdap di ruang tamu, cari dosa percuma pula.”
Azli membela diri, “Aku tidak tuduh, aku tanya.”
“Kau tahu? Ini versi cetak manuskrip lama tinggalan abangku. Bila aku pindahkan bahan ini dalam format grafik, mudah sahaja aku tukarkan ke format teks.”
Azli bertanya kembali, “Boleh?”
“Ya. Tetapi usah kau buat untuk menciplak desertasi pengkaji lain di universiti.” Dia memberi amaran kepada Azli.
Dia membuka perisian OmniPage lalu menunjuknya kepada Azli. “Aku sengaja buat dua salinan. Satu versi sebagai rujukan sendiri. Versi kedua sebagai akan diserah kepada penulis kedua.”
“Kenapa dua versi?”
“Versi kedua dengan tambahan khas. Penjana tidler berbalik,” dia nampak Azli kebingungan.
“Istilah Inggerisnya?”
“Reverse tidler generator.”
“Aku tahu engkau kurang faham fungsinya, ‘kan?”
“Sejujurnya aku tidak celik IT seperti engkau.” Azli menunggu responnya.
“Dengan kata lain penulis kedua tidak boleh mengedit salinan soft-copy untuk apa-apa tujuan.” Dia menyatakan tujuan utama penjana tidler berbalik.
Azli masih tidak berpuas hati. “Tetapi bagaimana?”
“Begini,”. dia membuka fail kedua sebelum menyambung “cuba engkau edit mana-mana perkataan.”
“Baiklah. Aku mahu padam perkataan kasa. Perkataan ini tidak sesuai dalam konteks ayat.”
Dia lihat Azli teruja sehingga menjerit, “Hah! Kasa menjadi.....




SKIP.



Berfikir memang meletihkan. Dia berbaring di sofa sambil tangannya memegang sebahagian bab yang dicetak. Keletihan menjadi asbab dia menjadi culas. Dan akhirnya dia terlelap.
*** ***
“Yim, mari sini dik.” Munir lengkap dengan pakaian serba putih memanggilnya.
Kabus masih tebal. Hembus nafasnya memasap. Suasana sunyi dan sejuk sehingga menikam segala. Dia rasa seperti tulang-temulang ingin reput. Gigi atas dan bawah saling meningkah. Lagunya tidak terkalahkan dekang. Memang si tukang malam masih rajin mengerjakan sarangnya. Dia memeluk tubuh. Harapnya sedikit haba memberi keselesaan. Lamiding dilihatnya seperti menggamit sesuatu. Daun-daun berguguran. Sesekali angin bertiup menerbangkan dedaun kering.
“Ayuh. Aku mahu memelukmu.” Suara Munir membelah hening padang yang sebenarnya tanah perkuburan.
Dia mengatur khittah perlahan-lahan dalam gigil. Hanya dia yang merasa ketakutan itu. Adrenalin semakin membuak. Geletar dan sejuk menjadi ramuan hebat sehingga dia litak. Kadang-kadang dia seperti mahu terkencing.
“Usah kau takut.” Munir mendepang tangan.

Isnin, Januari 16, 2012

Senaman paling ekonomik tanpa peralatan gim

Encik Ahmad seorang pekerja di pejabat. Senario kerja zaman sekarang ialah serba serbi tidak berpeluh. Sejak mula memakai baju Encik Ahmad mengguna deodorant anti-peluh. Masuk kereta dia mengguna pendingin hawa. Pejabat Encik Ahmad di tingkat enam. Dia mengguna lif. Masuk pejabat, pejabat berpendingin hawa. Waktu makan tengah hari, Encik Ahmad minum minuman sejuk. Masuk sebelah petang duduk menghadap dokumen-dokumen di meja. Boleh kata dalam sehari tidak lebih dari dua ratus langkah kakinya. Sedar tidak sedar, selepas setahun bekerja perut Encik Ahmad mula boroi.


Encik Ahmad seorang yang sentiasa sibuk. Dia tidak punya banyak waktu untuk beriadah. Dalam jadual kehidupan senaman adalah perkara terakhir. Setiap kali dia berazam untuk bersenam, ada sahaja peluang kehidupan lain yang mendesak. Suatu hari Encik Ahmad bertemu sahabat lamanya Encik Baha. Encik Baha lebih kurang sama latar belakangnya dengan Encik Ahmad. Latar kerjaya dan tahap kesibukan hamper serupa. Encik Baha memiliki fizikal yang mantap. Perutnya tidak boroi. “Baha, bagaimana engkau dapat maintain?” Tanya Encik Ahmad sambil mengusap perut seperti ibu mengandung tiga bulan.


“Aku buat senaman High Impact Afterburn. Buat senaman dalam rumah saja. Tiada peralatan gim pun. ” Jawab Baha selamba.


“Habis kalau tiada perkakas gim, engkau guna apa?” Ahmad kehairanan.
“Aku guna peranti masa (timer) dan kain pelikat.” Baha dapat melihat Ahmad seperti hendak gelak.


“Apa engkau fikir aku berlawak?”


Encik Ahmad pun mendengar lanjut cerita Baha. Menurut Baha senaman HIAB terdiri daripada gabungan enam pergerakan mudah. Setiap gerakan mengambil masa tiga puluh saat. Gerakan pertama ialah lompat dan lonjak. “Lompat dan lonjak dalam bahasa Inggeris ialah jump-up. Kita lompat sambil tangan dikuak ke atas hala belakang macam budak-budak baru grad melompat.”


“Kedua kita buat push-up. Tapi tidak statik. Lepas tegakkan tangan (Up), kita anjak kaki ke kanan. Kemudian tekan lagi ke bawah. Bila tolak badan ke atas, kalih pula ke kiri. Dalam 30 saat kita boleh buat sekitar sepuluh hingga 12 kali push-Up.”
“Ketiga kita bangun dan pasang kekuda. Ambil kain pelikat dan tarik kuat biar kain selari dengan dada. Gerakkan kain ke pinggang dan tolak ke kedudukan asal beberapa kali. Ingat! Kain mesti ditarik tegang.”


“Keempat kita buat gerakan seperti pacat. Mula-mula kita sedia dalam keadaan tenang seperti Push-Up. Sorong kaki sehingga rapat ke tangan. Buat dengan selaju mungkin.”


“Kelima kita berdiri dan pegang kain seperti keadaan ketiga. Tapi kali ini kita tolak ke dari paras dada ke atas. Ulang gerakan atas bawah beberapa kali yang boleh dalam masa 30 saat.”


“Dan keenam kita buat sit-Up.”


“Habis sit-Up, rehat 45 saat dan ulang semula enam pergerakan ini dua kali lagi.”
Ahmad hanya melihat rakaman video Baha melakukan senaman HIAB dalam telefon bimbit HTC. “Engkau agak berapa gerakan nadi aku selepas selesai senaman ni?” Baha bertanya.
“Kalau macam ini, aku fikir seperti orang habis bermain satu set perlawanan badminton atau seperti pelari pecut.” Jawab Ahmad.


Baha mengabsah tekaan Ahmad, “Sepanjang yang aku buat, nadi aku 162 kali seminit.”

Ahad, Januari 15, 2012

Berani biar bertempat. Bersikaplah dengan betul.


Setelah pulang dari Gemas pada 3 Januari lalu, kepingan penutup (untuk akses tangki minyak) kereta tidak berfungsi seperti biasa. Apabila tuas ditarik, semacam tidak ada daya daripada cangkuk V untuk menolak penutup keluar. Justeru terpaksalah saya meminta bantuan Jurupam menarik tuas kemudian saya menolak hujung kepingan penutup untuk membukanya.

Saya merujuk kedai aksesori kereta. Setelah menyemak inventori juruteknik bertugas memaklumkan cangkuk V tersebut berharga RM15 termasuk bayaran pemasangan. Saya lihat juruteknik tersebut berusaha mencabut cangkuk V. Pun begitu kelihatan amat sukar. Dalam pada itu, saya dapati kedudukan (projection) kepingan segi empat penutup beralih beberapa darjah (sekitar 10 darjah) ke atas. “Encik, bagaimana kalau dibetulkan projectionnya? Saya fikir cangkuk V tidak berfungsi kerana kedudukannya.” Juruteknik tersebut menerima cadangan saya. Dia menyerpih penutup tersebut ke bawah sedikit sehingga kembali kepada kedudukan asal. “Ya. Jika begini, tidak perlu kita ganti cangkuk V ini. Saya bayar servis encik sahaja.” Demikian pada asalnya memang saya menyangka kerosakan cangkuk V tanpa membuat penelitian lanjut. “Kamu bayarlah berapa pun. Sukarela.” Saya pun berikan sekeping not hijau kepada beliau untuk kerja-kerjanya selama 10 minit.

Kadang-kadang kita membuat andaian kerana persepsi yang salah. Kita nampak seperti kita melakukan suatu perkara yang betul. Tetapi hakikat adalah sebaliknya. Apakah tindakan kita berasas ilmu atau dorongan nafsu? Atau apakah tindakan kita disebabkan kita mahu meraih simpati massa sekaligus membentuk persepsi massa kitalah yang perjuangkan suatu yang betul? Sebagai contoh, pihak yang membantah keputusan Istibdal Madarasah Salihiah. Pernahkah mereka berhadapan secara langsung dengan pihak Mufti Kedah? Tidakkah mereka sejarah silam ketika sebuah masjid di Langgar juga diroboh dan dibina semula di tapak lain dengan kaedah Istibdal? Tapak asal masjid Langgar, Kedah itu dibina Kompleks Al-Bukhari. Di dalamnya terdapat gedung beli belah Giants. Mengapa pihak yang membantah terus menggunakan media massa untuk membantah keputusan fatwa? Mufti Kedah yang saya kenal masih mempunyai sikap yang sama. Beliau pernah bertanya, “Kenapa pihak yang menentang fatwa Istibdal Madrasah Salihiah tidak merujuk kami untuk berbincang?” Walhal apabila YDPA mendengar penerangan Mufti, baginda dengan tegas berkata, “Jika itu keputusan Muzakarah Mufi, pertahankan.”

Apakah sikap Dato’ Mufti yang saya maksudkan? Suatu hari ketika beliau masih menjadi Pengetua (Mudir) INSANIAH (sekarang sudah dinaik taraf menjadi kolej universiti), beliau dijemput menyampaikan ceramah di Pusat Islam USM. Kebetulan malam itu saya mengimami solat fardhu Isyak. Selesai solat dia datang kepada saya bertanya satu kemusykilan tentang saya. “Enta belajar sekolah tahfiz?” Saya jawab, “Tidak. Sekolah biasa-biasa sahaja.” Beliau tidak merujuk orang lain untuk mengetahui darihal saya. Tidakkah ini suatu sikap yang betul? Apabila suatu perkara berkaitan agama kita perlu merujuk kepada ahli agama. Kita tidak perlu meraih sokongan publik melalui akhbar. Tentu keadaan akan menjadi lebih buruk. Selepas YDPA bertitah, “Pertahankan.” Maka siapa lagi yang berani melakukan hal yang bertentangan dengan titah tersebut?