Khamis, September 30, 2010

Seriuskah usahawan kita?

Dalam kepala seorang usahawan ada satu paradigm ketergesaan. Pantang ada peluang, pasti dimanfaatkan. Peluang bagi seorang usahawan adalah keuntungan. Sebab itu saya menjadi letih apabila melayan karenah bekas bos kilang produk makanan kesihatan dahulu. Masakan tidak? Jika di awal bulan sebagai seorang Pengurus Pengeluaran, saya membuat unjuran sekian banyak aktiviti pembuatan di kilang. Tiba-tiba pada pertengahan bulan, volum pembuatan perlu ditambah beberapa peratus. Dan tentulah rutin normal pembuatan perlu diubah. Masa kerja dan penggunaan bahan mentah pun perlu dinilai semula. Dan kadang-kadang terpaksa juga pulang sekitar jam 2 atau 3 pagi. Akhirnya saya fikir saya bukanlah orang yang kompeten untuk terus bersabar melayan ragam pengurusan bekas bos saya itu.

Tadi saya menelefon seorang usahawan real estate property di Kuala Terengganu. Saya hubungi nombor telefon yang tertera dalam laman webnya. Tetapi dia tidak menjawab panggilan itu. Saya susuli maksud panggilan dengan esemes. Selepas tiga jam tidak mendapat respon, akhirnya dia menjawab esemes saya. “Mahukah?” Saya balas, “Maaf. Sudah dapat tempat lain.” Begitulah sikap sesetengan usahawan Melayu yang kita ada. Sebahagian mereka berniaga dalam keadaan bersungguh-sungguh tetapi kadang-kadang culas. Memang patut pun usahawan tadi itu terlepas sedikit wang yang sepatutnya akan mengalir ke akaun perusahaannya. Zaman teknologi bukan lagi zaman untuk usahawan Melayu berfikir negatif dengan mengandaikan panggilan yang dibuat tidak penting, salah dail, atau main-main.


Saya fikir kalau saya menelefon seorang usahawan bukan Bumiputera, pasti dia akan menelefon semula jika tidak sempat menjawab panggilan. Usahawan bukan Bumiputera akan menyediakan satu fenomena terdesak dengan mengatakan, “Encik, memang ini yang terakhir. Yang lain semua sudah penuh. Rugi kalau tidak confirm sekarang.” Demikian kadang-kadang kerana unsur terdesak itu secara psikologi pelanggan akan sanggup meski peniaga menawarkan harga yang tinggi sedikit. Dan biasanya pelanggan yang terpedaya akan terkena.


Berapa banyak Durian Mas?

Ada satu kisah dalam al-Quran ketika nabi Ibrahim memohon kepada Allah menunjukkan bukti kekuasaan-NYA menghidup akan benda yang telah mati, lalu Allah bertanya, “Apakah kamu tidak beriman (mempercayainya)?”


Lantas Nabi Ibrahim menjawab, “Bahkan, tetapi aku ingin memantapkan lagi keyakinanku.”


Maka Allah pun memerintahkan Nabi Ibrahim mencincang burung dan meletakkan daging-daging itu di empat bukit. Sehingga akhirnya Allah kembalikan semula dalam bentuk yang hidup dengan mencantum semua daging yang dipisah-pisahkan itu. Inilah sejarah yang tersebut dalam ayat 260 surah al-Baqarah.


Maka apabila saya memberitahu kepada sesetengah orang SK Durian Mas, rata-rata mereka menyangka dan lebih kenal Durian Mas di Dungun. Dan sebagai menguatkan kepercayaan mereka, ada baiknya saya paparkan nama-nama sekolah yang ada perkataan Durian Mas di Terengganu. Dan semoga mereka pun berpuas hati.


Saya pun tidak pasti kenapa dalam negara kita ada banyak nama tempat yang sama. Misalnya Bidor terdapat Perak dan Hulu Terengganu. Tapah pun ada di Perak dan Hulu Terengganu. Pasir Puteh ada di Kelantan dan Ipoh. Langgar ada di Kelantan dan Kedah. Batu Hampar ada di Kedah dan Kuala Terengganu. Kampung Durian Mas ada di Dungun dan Manir, kedua-duanya di Terengganu. Sekadar menyebut beberapa tempat.





Diedit semula dari keputusan carian di laman web Direktori Sekolah Malaysia.



Selasa, September 28, 2010

Banner web portal ini macam menarik.



Kenapa? Cuba perhati betul-betul.

Stuxnet: Bersediakah pihak keselamatan siber kita?

Saya memiliki kegemaran mengunjungi perpustakaan jika sesekali pulang bercuti. Terbaharu, di Perpustakaan Daerah Hulu Terengganu, Kuala Berang sudah dilengkapkan kemudahan capaian internet tanpa wayar (WiFi Zone) di ruang legarnya. Pengunjung yang membawa laptop tidak perlu masuk ke dalam perpustakaan. Ada dua pusat akses (access point) internet terbuka yang boleh dicapai iaitu perpustakaan dan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM). Yang saya cuba, PKM lebih mudah disambungkan.

Baru-baru ini saya berpeluang mengunjungi perpustakaan negeri berhadapan Pusat Dagangan Terengganu (TTC). Mendaftar sebagai ahli dengan bayaran RM2 dan kad keahlian elektronik siap dalam masa tidak sampai lima minit. Kaunter pendaftaran menghadap matahari naik dan cahaya yang menembusi cermin di bumbung perpustakaan memancar terus pada komputer. Saya maklumkan petugas di kaunter, “Skrin komputer cepat rosak jika terdedah secara langsung kepada cahaya matahari.”


Ya, meski di dalam perpustakaan itu dipasang pendingin hawa. Meski yang terkena cahaya itu bahagian belakang skrin. Jangka hayat skrin komputer akan menjadi lebih panjang jika tidak terdedah kepada pancaran cahaya matahari. Saya cadangkan pihak perpustakaan memasang tabir untuk menghalang cahaya tersebut. Terpulanglah kepada mereka untuk menerima atau menolak saranan itu. Setelah meminjam empat buah buku untuk tempoh 28 hari, saya ke tingkat tiga. Unit multimedia menyediakan kemudahan internet kepada ahli-ahli perpustakaan yang berdaftar. Tidak banyak perkara yang dapat dibuat kerana terdapat sekatan seperti capaian ke laman blogger.com. Walhasil saya tidak dapat luluskan (approve) satu komentar pembaca entri weblog ini pada saat itu.


Saya percaya, hari ini ada satu terma gangguan internet yang termasuk di dalamnya weblog-weblog persendirian dan akhbar elektronik aliran bukan perdana. Media baharu ini cukup dibimbangi kerana sifatnya yang lebih terbuka mendedahkan kepincangan mana-mana pihak. Bagi pengendali blog berpartisan, tentulah agenda parti masing-masing dimuatkan dalam weblog atau akhbar mereka. Dan inilah yang berlaku kepada hampir keseluruhan kakitangan kerajaan. Tidak banyak akses kepada media bukan kerajaan yang dapat diakses di pejabat. Jika ada, pemantauan dibuat dan mungkin mereka akan diberi amaran. Dalam dunia langit terbuka, kawalan seperti itu sebenarnya tidak bagus. Ia semacam menghalang proses menakul maklumat. Tidakkah manusia diberi dua telinga? Jika dalam dunia ini manusia hanya perlu mendengar hanya satu sumber, cukuplah bagi manusia satu telinga.


Belakangan ini juga, gangguan internet yang melanda persekitaran siber ialah aktiviti menggodam. Jumlah gangguan siber yang dilaporkan ke Pusat Bantuan Cyber999 meningkat sebanyak 92 peratus kepada 4390 kes sepanjang lapan bulan. Selain itu satu virus yang dinamakan Stuxnet telah menyerang tujuh buah negara dengan Iran menjadi mangsa terbaharu pada minggu lepas. Virus Stuxnet telah melumpuhkan 45000 sistem industri di tujuh buah negara berkenaan. Di Iran sahaja, 30000 alamat IP sudah dijangkiti. Dan apakah pihak keselamatan siber Malaysia bersedia menghadapi kemungkinan ancaman pepijat Stuxnet ini?

Ahad, September 19, 2010

Raya 2010


Semua ahli keluarga kecuali kakak yang sulung. Betapa bukan sedikit keringat dan air mata sehingga kami membesar seperti ini. Terima kasih ayah dan bonda.

Segala puji untuk-NYA.


Ini dua keping foto. Anda sendiri bisa memahaminya. Alhamdulillah.



Yang kanan sedang bertugas di Sekolah Kebangsaan Durian Mas, Kuala Terengganu.

Ahad, September 05, 2010

Ramadhan 7: Hadiah raya sebelum pulang 9 Sept

4 September, syarikatku menganjurkan program CSR di Masjid al-Hidayah Sentul. Aku dapat hulurkan bantuan sekadar yang patut sehingga jam 3 petang sahaja. Pada sebelah pagi, kami bergotong-royong menyediakan masakan berbuka puasa. Dan mengikut tentatif program, bermula selepas solat Asar majlis meraikan Anak Yatim dan Fakir Miskin bermula. Pun begitu, aku terpaksa mengundur diri kerana mendapat undangan berbuka puasa di rumah pengasas e-Sastera di pinggir Taman Tun Dr. Ismail (TTDI).

Rumah Dr. Irwan bersebelahan tanah Pak Lah (Tun), tetapi bekas PM itu tidak mendiami tanah tersebut setelah diberikan rumah oleh kerajaan semasa beliau menjadi ketua utama kerajaan. Khabarnya rumah itu sentiasa dihadiri pegawai polis. Dan khabarnya lagi, rumah itu menjadi tempat persembuyian Saiful Bukhari ketika awal-awal kesnya meletup melibatkan DSAI. Jadi boleh dikatakan kawasan rumah Dr. Irwan itu kawasan ‘selamat’.

Pada malam selepas bersolat Isyak, kami sama-sama menunaikan solat sunat Taraweh. Aku mengimami solat ini. Selepas solat ketika sesi moreh, Dr. Irwan mengumumkan statusku. Dan beliau membuat satu kejutan. “Kami ingin menyampaikan satu hadiah dan sedikit duit raya kepada Naimisa.” Ujar beliau.

Ya Allah! Memang DIA lebih mengetahui gerak hatiku seawal bertolak, iaitu aku berhajat mendapatkan sebuah buku (tentulah dengan membelinya). Hasrat itu diilhamkan-NYA pula dalam bentuk lain. Syukur. Alhamdulillah. Kebanyakan ahli eSastera (kerana mereka jauh-jauh) berkata, “Diam diam sahaja Naim.” Bukan sengaja, bagiku kalau dijemput pun, sekadar menjemput kosong. Aku tidak fikir mereka dapat hadir kerana masing-masing tentulah punya agenda raya yang tersendiri. Lagi pula, tidak ramai ahli eSastera yang pernah bersua denganku tinggal di Terengganu kecuali seorang.

Buku ini bagiku suatu yang bagus kerana mendapat sentuhan Khusus Tuan Guru Nik Abdul Aziz, iaitu pandangan sisi beliau hasil temubual setpolnya (Setpol sebelum Setpol yang baharu ini). Dari segi kandungan dan susun atur perkataannya serta matan-matan hadis dan doa yang dimasukkan sangat meyakinkan. Bagi saya buku yang bagus mestilah buku yang memiliki fakta yang tepat di samping ketelitian pada susun atur huruf dan ejaannya. Dengan itu pembaca tidak terganggu oleh langgam bahasa yang berbelit-belit atau kesalahan ejaan di sana sini. Yang menariknya dalam buku ini ditambah satu terapi ED (mati pucuk) melalui kaedah solat yang terbukti dari segi saintifik.

Allahumma ahsin li man ahsana ilayya (Ya Allah! Berbuat baiklah kepada sesiapa yang berbuat baik kepadaku)
Selamat Berhari Raya, Maaf Salah Silap.


Jumaat, September 03, 2010

Hebatkah manusia dengan ilmu terbatas ini?


Sebelum manusia diciptakan, Allah sudah mencipta alam ini dan melantik makhluk lain sebagai pentadbirnya. Makhluk lain itu pada sesetengah pendapat ialah dinasour, dan sifat mereka saling menumpahkan darah dan membuat kemusnahan. Inilah yang disoal oleh malaikat seperti yang terdapat dalam ayat 30, surah al-Baqarah.

Allah lebih lama dahulu menyimpan dalam khazanah ilmu-NYA bahawa dahulu bumi dan langit bersatu kemudian dipisahkan. Pemisahan suatu benda yang padu dan luas tidak mungkin terjadi dengan hanya letupan seperti mercun bawang. Tentulah letupan itu lebih besar dan mungkin mengatasi kekuatan nuklear. Maka pada tahun 1974, apabila lahir seorang manusia yang dipinjamkan kecerdikan oleh Allah, dia pun memperkenal satu teori yang dinama Big Bang. Ya, dia hanya memperkenal kerana Allah lebih lama menyimpan ilmu ini di Lauh Mahfuz sebelum manusia mengetahuinya. Allah Maha Kenal dan Maha Tahu bahawa pemisahan langit dan bumi itu dengan meletupkan kedua-duanya. Firman Allah yang bermaksud, "Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya?.."(al-Anbiyaa:30)

Tetapi hari ini manusia itu dilaporkan menjadi angkuh dengan ilmu yang dipinjam Allah kepadanya. Inilah yang dilapor oleh Michael Holden Michael Holden wartawan Reuters.
God did not create the universe and the "Big Bang" was an inevitable consequence of the laws of physics, the eminent British theoretical physicist Stephen Hawking argues in a new book.
By Michael Holden Michael Holden – Thu Sep 2, 9:08 am ET

Saudaraku,
Kita bertuah dan rasa syukur kerana kita dipilih oleh-NYA menikmati nikmat Islam dan Iman. Maka sebijak mana pun kita, ilmu kita tidak lebih dari sekadar setitis air dari lautan. Celuplah jarum ke laut, dan angkatlah. Titisan terakhir dari jarum itulah jumlah ilmu yang dimiliki manusia seluruhnya berbanding dengan ilmu di sisi Allah. Rujuk ayat 109, surah al-Kahfi. Semoga hati kita pun bergetar seperti mana bergegar Arasy Allah dengan laknat Malaikat apabila terdapat manusia angkuh mengungkapkan suatu yang bersalahan dengan sifat kesempurnaan Allah Yang Maha Mencipta.

Dan semalam, kami turut merasai keharuan kerana imam solat taraweh teresak-esak ketika membaca beberapa ayat dari surah Al-Fussilat.

Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya tidak patut kamu kufur kepada Tuhan yang menciptakan bumi dalam dua masa dan kamu adakan sekutu-sekutu bagi-Nya! Yang demikian (sifatNya dan kekuasaan-Nya) ialah Allah Tuhan sekalian alam. (9)

Dan Dia menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya (tersergam tinggi) di atasnya, serta Dia melimpahkan berkat padanya dan Dia menentukan ada pada-Nya bahan-bahan keperluan hidup penduduknya, sekadar yang menyamai hajat yang diminta dan dikehendaki oleh keadaan mereka; (semuanya itu berlaku) dalam empat masa. (10)

Kemudian Dia menunjukkan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Dia berfirman kepadanya (langit) dan kepada bumi: Turutlah kamu berdua akan perintah-Ku, samada dengan sukarela atau dengan paksa! Keduanya menjawab: Kami berdua sedia menurut patuh dengan sukarela; (11)

Lalu Dia menjadikannya tujuh langit, dalam dua masa dan Dia memberitahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluannya masing-masing dan Kami hiasi langit yang dekat (pada pandangan mata penduduk bumi) dengan bintang-bintang yang bersinar cemerlang serta memelihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui. (12)

Oleh itu, kalau mereka (yang musyrik) berpaling (daripada mengesakan Allah dan menurut jalan yang lurus), maka katakanlah (wahai Muhammad): Aku memberi amaran kepada kamu dengan (azab yang dahsyat, iaitu) petir, seperti petir yang telah menyambar kaum Aad dan kaum Thamud! (13)

(Mereka ditimpa azab itu) kerana semasa mereka didatangi Rasul-rasul (memberikan berbagai penjelasan) mengenai keadaan hidup mereka di dunia dan di akhirat (sambil melarang mereka): Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, mereka menjawab: Jika Tuhan kami hendak (mengutus Rasul-rasul) tentulah Dia akan menurunkan malaikat; oleh itu sesungguhnya kami kufur ingkar akan apa yang (kamu katakan): Kamu diutus membawanya! (14)

Adapun kaum Aad, maka mereka berlaku sombong takbur di muka bumi tanpa alasan yang benar, serta berkata: Siapakah yang lebih kuat dari kami? Dan (mengapa mereka bersikap demikian?) Tidakkah mereka memerhatikan bahawa Allah yang menciptakan mereka (dari tiada kepada ada) adalah lebih besar kekuatan-Nya dari mereka? Dan sememangnya mereka sengaja mengingkari tanda-tanda kekuatan Kami (sedang mereka sedia mengetahuinya). (15)

Lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut yang kencang dalam beberapa hari yang nahas malang, kerana Kami hendak merasakan mereka azab seksa yang menghina dalam kehidupan dunia dan sesungguhnya azab seksa hari akhirat lebih besar kehinaannya; sedang mereka tidak diberikan pertolongan (menghindarkan azab itu). (16)

Adapun kaum Thamud, maka Kami beri petunjuk kepadanya, lalu mereka mengutamakan kesesatan dari hidayat petunjuk lantas mereka disambar oleh petir azab yang menghina dengan sebab apa yang mereka telah lakukan. (17)

Dan Kami selamatkan orang-orang yang beriman serta mereka tetap bertakwa. (18)

Dan (ingatlah) hari dihimpun musuh-musuh Allah untuk dibawa ke Neraka, lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanannya masing-masing. (19)

Sehingga apabila mereka sampai ke Neraka, (maka) pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan mereka menjadi saksi terhadap mereka, mengenai apa yang mereka telah kerjakan. (20)

Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami? Kulit-kulit badan mereka menjawab: Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata, telah menjadikan kami dapat berkata-kata dan Dialah yang menciptakan kamu pada mulanya dan kepadaNyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan). (21)

Dan semasa kamu berselindung (ketika melakukan dosa di dunia dahulu) bukanlah kerana kamu bimbangkan pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan kamu menjadi saksi terhadap perbuatan-perbuatan kamu yang berdosa itu, akan tetapi kerana kamu menyangka bahawa Allah tidak mengetahui kebanyakan dosa yang kamu lakukan (secara bersembunyi itu). (22)

Dan sangkaan kamu yang demikian, yang kamu sangka terhadap Tuhan kamu, itulah yang telah membinasakan kamu; (dengan sangkaan kamu yang salah itu) maka menjadilah kamu dari orang-orang yang rugi! (23)


Khamis, September 02, 2010

Saman ekor: Antara kerja betul vs kesalahan betul

Ini yang dilaporkan dalam berita.


Seorang pegawai di sebuah syarikat milik kerajaan pula terkejut motosikalnya di saman di Pulau Pinang beberapa kali. Sedangkan dia tidak pernah sampai ke Pulau Pinang dengan motosikal.


Lagi pun jarak Kota Bharu dengan Pulau Pinang lebih 300 km. Lebih malang lagi 10 saman diterima pegawai terbabit. Apabila dia mengadu kepada polis dan JPJ, kata mereka masih lagi dalam siasatan.


Dan ini pula cerita lisan rakan serumah sewa saya.
“Ayah aku guna kereta buruk saja. Dia dapat saman ekor di satu tempat di KL. Pada hal kereta itu tidak pernah dipandu di KL. Maka semasa hendak ‘membayar’ saman itu, dia jemput pegawai polis untuk melihat sendiri keretanya.”


Dan menurutnya, pegawai polis itu bengang dengan insiden itu (rasa aib sendiri) dan seperti merasakan kebodohan tindakan yang dibuat oleh pihak mereka.


Kita tidak bantah kalau peraturan yang diperkenal itu diurus dengan berhemat, cekap dan tidak menyusahkan. Kita tidak bangkang kalau saman yang dikenakan itu disebabkan kesalahan itu betul-betul dilakukan. Tetapi kita akan marah kalau hal seperti yang berlaku dalam dua cerita di atas. Dan apakah hanya dua insiden itu sahaja? Mestilah banyak lagi kan? Umpamanya alat perangkap had laju yang mengesan kelajuan beberapa kali lebih laju daripada kelajuan sebenar, kelewatan menghantar notis saman sehingga lima atau enam bulan selepas daripada kesalahan dibuat dan seumpamanya.

Inilah faktanya.

Rabu, September 01, 2010

Oh Malaysiaku.



Inilah buku fakta tentang Malaysia, dinyatakan secara terbuka oleh CIA - milik adikuasa dunia AS.

Dan lihatlah apa yang ditulis CIA tentang pemerdagangan manusia di Malaysia?

current situation: Malaysia is a destination and, to a lesser extent, a source and transit country for women and children trafficked for the purpose of commercial sexual exploitation, and men, women, and children for forced labor; Malaysia is mainly a destination country for men, women, and children who migrate willingly from South and Southeast Asia to work, some of whom are subjected to conditions of involuntary servitude by Malaysian employers in the domestic, agricultural, construction, plantation, and industrial sectors; to a lesser extent, some Malaysian women, primarily of Chinese ethnicity, are trafficked abroad for commercial sexual exploitation

tier rating: Tier 3 - the Government of Malaysia does not fully comply with the minimum standards for the elimination of trafficking and is not making significant efforts to do so, despite some progress in enforcing the 2007 comprehensive anti-trafficking law; it has yet to fully address labor trafficking in Malaysia; there are credible allegations of involvement of Malaysian immigration officials in trafficking and extorting Burmese refugees; the government did not develop mechanisms to effectively screen victims of trafficking in vulnerable groups and condones the confiscation of passports of migrant workers by employers (2009)


Itu belum lagi fakta tentang pertahanan negara, misalnya. Saya yakin mereka tidak sekadar tahu setakat ini.