Sabtu, Mei 29, 2010

Petua dari "Garam penghulu lauk-pauk."

Dalam hadis nabi, ada disebutkan tentang garam. “Garam penghulu kepada lauk-pauk.”
Betapa garam asalnya dari laut, apabila disejatkan menghasilkan kristal garam. Unsur tanah terdapat di dalamnya kerana dasar laut juga adalah tanah. Sebab itu garam juga diperoleh dari bukit dan dikenal sebagai garam bukit.

Kegunaan garam

  1. Membuang busuk ikan. Ikan apabila sudah lama terdedah di darat akan menjadi busuk. Untuk menghilangkan hanyir ini, ikan diredam dalam air garam.
  2. Merendam kerang supaya hilang tahinya. Dalam kaedah perubatan Islam, sesuatu perkara yang buruk diubat dengan asalnya. Kerang berasal dari laut, dan garam digunakan untuk meneutralkan keburukannya (tahi).
  3. Mengurang tahap kemasinan ikan masin. Ikan kering yang terlalu masin boleh dikurangkan kadar kemasinannya dengan merendam dalam air garam juga.
  4. Mengubat ghout. Ghout disebabkan pemakanan makanan laut yang berlebihan. Orang yang tinggal berhampiran pantai boleh menanam badan dalam pasir laut. Bagi mereka yang tinggal di bandar, garam kasar digoreng dan didemahkan di tempat sakit ketika garam masih panas.
  5. Merawat cirit-birit. Direa boleh diubat dengan meminum air yang dicampur sedikit garam.
  6. Merawat mabuk perjalanan. Sesetengah orang akan mengalami mabuk perjalanan setelah melepasi tempoh tertentu. Untuk merawat mabuk perjalanan, garam dicampur madu dan air dan diminum sebelum memulakan permusafiran.
  7. Garam diguna untuk merawat kegatalan. Air yang dicampur garam disapukan pada kulit yang gatal.
  8. Menambah imuniti badan akibat perubahan hawa/angin. Hal ini berlaku di sesetengah tempat di negeri Arab. Misalnya pelajar Malaysia yang berkunjung ke Arab akan mengalami alahan terhadap hawa/angin tempat baharu. Air garam diminum sebagai ubatnya.
  9. Menghilangkan penat kerana kerja berat. Amalan orang-orang Melayu tradisional yang bertani, bersawah atau bertukang ialah meminum air sejuk yang dicampur garam.
  10. Mengelak sihir/gangguan jin bagi mereka yang bermalam di hutan. Garam adalah sumpahan jin. Garam yang dijampi dengan Al-Fatihah (sekali) dan ayat al-Kursi (ayat 255 surah al-Baqarah – 7 kali) ditabur di sekeliling khemah.
  11. Mengelak gangguan syaitan/jin kepada bayi. Ada ketikanya bayi menangis waktu malam disebabkan dia nampak syaitan, bukan kerana lapar. Untuk mengatasi masalah ini, garam dicampur dengan bawang merah, bawang putih dan lada hitam. Campuran itu diletak dalam gelas/cawan/bekas yang terbuka. Bekas itu diletakkan di bahagian kepala bayi.
  12. Mengelak panahan iblis bagi lelaki yang beristeri kerana bekerja di kawasan hutan. Petua Melayu tradisional apabila ke hutan mereka akan terserempak dengan jin yang menjelma sebagai perempuan bogel di sungai. Akibatnya mereka teringat-ingat kepada jelmaan makhluk itu sehingga mengabaikan isterinya. Cara mengatasinya sama seperti yang dinyatakan dalam nota 10.
  13. Mengubat orang yang diganggu jin. Bagi orang dewasa yang dikhianati (disihir) cara mengubatnya ialah dengan meletakkan garam yang dijampi dengan al-Fatihah di perdu lidah. Perdu lidah ialah bahagian bawah lidah yang apabila diangkat akan nampak urat hijau lidah.

Petua perubatan Islam, Kuliah Magrib Ust. Hanafi Bin Abd. Rahman, 28 Mei 2010. Masjid al-Hidayah, Sentul, KL.

Khamis, Mei 27, 2010

Warkah buat Dato' Seri

Dato' Seri,


Sebagai orang muda yang dangkal ilmu politik dan cetek agama, saya mewakili sebahagian suara hati anak-anak muda. Seorang pemimpin besar seperti Dato' Seri seharusnya mempunyai tunjang yang satu atas nama agama. Saya percaya dalam diri Dato' Seri masih ada detak dan denyut Islam.


Dato' Seri,


Saya maklum Dato' Seri mempunyai ramai penasihat agama. Sekalian majlis Mufti, ketua pengarah agensi dan jabatan agama di bawah naungan Dato' Seri. Dan Dato' Seri pada bila-bila masa sahaja boleh merujuk mereka andai Dato' Seri terlupa ayat al-Quran tentangnya.


Dato' Seri,


Dalam demokrasi, kita mendengar suara rakyat. Antara rakyat dengan Tuhan, mana yang lebih besar? Justeru saya berharap, Dato' Seri tidak mendengar rakyat sebaliknya tunduk dan patuh pada kalam Tuhan. Jika haram yang difirmakan-NYA, maka haramlah ia. Tidak perlu menunggu pendapat rakyat seperti saya. Suara kami tidak ada apa-apa. Suara kami jika menyebabkan Dato' Seri membuat hal yang tepat dengan hukum Tuhan, tetap tidak melepaskan Dato' Seri dari azab Tuhan.


Dato' Seri,


Semoga Dato' Seri terjaga dari kelalaian. Semoga masih ada ruang taubat buat Dato' Seri.

Ahad, Mei 16, 2010

Lazat makanan




Lazat memecah selera
kunci rasa jelira
setiap kali mulut mengunyah
dan liur masih tawar

Lazat cuma sekelip mata
pabila melewati halkum

Flamming Steamboat, Bandar Sunway.
14 Mei 2010. 9.00 - 11.00 malam.

Ahad, Mei 09, 2010

Bengkel Asas Penulisan Novel Islami (GISB)


Sumber: Facebook GISB.


8 Mei 2010. Saya menjejak kaki ke Astana Karya (GISB), Kota Damansara. Bengkel penulisan novel dikelolakan sendiri oleh Editor Perolehan (Novel) iaitu Tuan Hj. Zakaria Sungib. Bengkel bermula jam 9.00 pagi dan tamat jam 4 petang.

Bengkel dijalankan sebagai langkah menerangkan dasar editorial GISB berkaitan novel Islami. Selain itu memudahkan pihak GISB mengenal pasti bakal penulis yang berpotensi. Dari segi ruang dan peluang, buat masa ini segmen novel Islami kendalian GISB sangat luas. Menurut Tuan Hj. Zakaria, “GISB baharu mengorak menerbitkan novel Islami dan setakat ini 18 judul sudah diterbitkan.” Senario semasa peminat novel di Malaysia menunjukkan novel Islami mempunyai sambutan yang menggalakkan. Dan adalah berbaloi RM20.00 dilaburkan untuk menyertai bengkel ini. Pada pendapat saya, ia mencapai objektif pihak penganjur dan memenuhi objektif saya sebagai peserta. Perkara teknikal seperti royalti dan perjanjian penerbit juga dimaklumkan.

Menyertai bengkel satu hal, dan menulis satu hal yang lain pula. “Bengkel penulisan bolehlah dianalogikan seperti orang belajar berenang. Jika pelajar tidak terjun ke air, bagaimana dia akan mahir berenang?” Maksud saya ini.

Pihak GISB akan menganjurkan lagi penulisan ini pada masa hadapan. Sebarang pertanyaan bolehlah diajukan kepada Tuan Hj. Zakaria Sungib melalui emel zakaria@galeriilmu.com.my

Jumaat, Mei 07, 2010

Masuk Barisan


Banyak perkara yang berlegar dan berselirat dalam kepala. Tetapi tidak semua dapat dicatatkan. Samalah halnya dengan sensitiviti seorang pemegang buku berjudul Masuk Barisan. Tiba-tiba sahaja saya dijengah satu komentar bersahaja seseorang. Komen itu pula datang tika roh kami berkelana di alam arwah. Seingat saya, pengomen itu beruas hati dengan mesej-mesej ringkas yang termuat dalam Masuk Barisan. Saya membalas, “Pun begitu, judul buku itu sendiri mempengaruhi pembeli. Walaupun tiada doktrin politik, buku ini tetap tidak digemar pembaca. Tengok Masuk Barisan pun, mereka benci.” Mengapa benci? Apakah kerana bencinya mereka kepada BN? Walhal ketika buku itu mula-mula diterbitkan, ada dua Barisan. Pertama Barisan Nasional. Kedua Barisan Alternatif.


Saya masih menyimpan sebilangan stok buku Masuk Barisan sejak 2006 lagi. Empat tahun lamanya stok itu dalam inventori. Boleh dikatakan itu stok beku. Saya pun tidak pasti bagaimana mencairkan stok buku ini dengan kata lain ada orang membelinya. Masuk Barisan (MB) ditulis sebagai menyahut seruan Dasar Buku Negara (DBN) memperkaya bahan bacaan bermutu. Konsep blook diguna pakai, iaitu memindahkan sebahagian entri weblog ke dalam buku. Konsep blook sudah diterima dan berkembang. Jiwa Kacau, Masuk Barisan (Jiwa Kacau 2), Gangguan Tekstual, Budak Kayu, Sindiket Soljah, Salah Lorong, Ayah Kita BOS antaranya. Apa yang hendak dihairankan? Kebanyakan novelis berjaya mempopularkan novel cetakan keras kerana memiliki pengikut di alam siber. Mereka paparkan bab demi bab novel berdikit-dikit. Tidak semua orang yang mengikuti novel online berjaya membaca setiap patah perkataan. Tetapi apabila khalayak berpuas hati dengan penulis, maka mereka akan pasti menyokong pula usaha pembukuan novel online tadi.


Jadi apa masalahnya dengan MB? Apakah ia masalah persepsi? Orang takut membelinya kerana terlalu benci kepada Barisan? Barisan mana? Apakah khalayak terfikir atau berfikir MB mengandungi doktrin politik? Itulah sebahagian daripada respon yang saya peroleh dalam lena tadi. Saya pun tidak pasti dan bertanya sendiri, ‘Kenapa sekarang kerungsingan memasarkan MB masuk dalam igauan saya? Kenapa tidak dahulu?’ Walhal saya semacam sudah mahu melupakan terus soal jualannya. Hari-hari sebelum tidur, saya memandang satu kotak. Kotak itulah memuatkan stok MB yang beku itu. Bermakna memang bilangannya puluhan naskhah juga. Apakah ada yang sanggup membeli lagi? Dan orang juga membagaimanakan harganya. “Bagaimana harga MB sedikit mahal?” Kalau saya jawab, “Orang merokok tidak pun rasa mahal harga rokok walaupun teah naik harga.”


Dan tentulah yang terlebih faham jawapan aneh itu menangkap sisi makna lain yang saya lontarkan. Apa kaitan rokok dengan tabiat membaca? Saya fikir adalah berbaloi juga MB berharga RM23.00 kerana penyumbang kandungannya 23 orang. Setiap penyumbang menyediakan bukan sahaja kandungan malah modal cetak. Tetapi mahukah orang membelinya? Siapa yang sanggup? Jika ada, saya sanggup pula menjualnya. Kos pengeposan RM3.50 (naik 50 sen selepas pengumuman Model Ekonomi Baru) biarlah saya tanggung. Harganya saya ulang RM23.00 sahaja.


Jual beli buku MB boleh dipanjangkan lagi. Emelkan saya melalui hanafi.mohamad[at]gmail.com

Ahad, Mei 02, 2010

Iddah wanita hamil dan kematian suami

Iddah bagi seorang wanita;
  1. Kematian suami - empat bulan sepuluh hari.

  2. Mengandung – sehingga melahirkan anak.



Bagaimana jika seorang wanita kematian suami dan dalam masa yang sama dia mengandung?
Menurut Ibnu 'Abbas radhiallahu 'anhu, "ambillah mana-mana tempoh yang lebih panjang." Hal ini bermakna, jika wanita itu baharu mengandung dua bulan – maka iddahnya ialah sehingga dia melahirkan anak. Jika wanita itu hamil lapan bulan, maka iddahnya empat bulan sepuluh hari. Tidak boleh dikira tempoh seperti dalam (2) di atas iaitu sebulan.

Sabtu, Mei 01, 2010

Ini sudah melampau

Apabila orang yang disyaki mempunyai niat jenayah, apa pendapat anda? Seseorang yang ditanya menjawab, "Dia wajar disiasat lebih-lebih lagi melibatkan tokoh besar."

Dalam kecelaruan kita menangisi kes arwah adik Aminurrashid Hamzah, kita digemparkan hal seperti ini.



Saya dengar-dengar dialog kedai kopi seperti ini. "Arwah tu budak-budak lagi. Polis yang rasa bersalah cepat-cepat meletakkan parang dalam kereta. Khabarnya arwah anak orang kaya dan berpengaruh juga. Ayahnya orang nombor dua penting dalam syarikat pembuatan kereta nasional."

"Ya, Allah. Peliharakanlah Tuan Guru kami dari kejahatan manusia yang berniat jahat kepadanya."