Sabtu, Ogos 23, 2008

Selamat datang Ya Ramadhan

Setelah menduduki peperiksaan untuk Skim 14 jawatan JPA pada April lalu, saya dimaklumkan dua daripada jawatan tersebut tidak berjaya. Bermakna baki 12 jawatan lain masih bermakna dan laku sehingga April 2013. Kemudian, syukur ke hadrat Ilahi kerana pada esok (23 ogos 2008) saya dipanggil menduduki peperiksaan Pegawai Tadbir dan Peg. Penguatkuasa. Saya juga tidak pasti apakah nasib saya, kerana sekarang ini syarat pengambilan diketatkan lagi. Justeru saya memohon maaf kepada mana-mana pihak yang memerlukan buah fikiran saya pada tarikh tersebut.


Saya juga meminta maaf kepada semua. Sesetengah artikel terpaksa dipadamkan. Memang dipadam dengan tujuan menjaga keselamatan diri. Saya bukan sehebat RPK yang sanggup berhadapan dengan tindakan undang-undang. Ya. Jika saya dikenakan sesuatu, nama komuniti siber ini turut terheret sama. Saya amat faham hal ini. Setakat yang saya tulis, baharu satu weblog saya dibekukan. Itu pun, saya fikir gara-gara kritikan saya (artikel berbahasa Inggeris) terhadap satu buku kecil yang mengandungi penyelewengan, ditulis oleh gerakan machinery. Saya scan ayat al-Quran yang diselewengkan itu, tetapi kemudiannya dipadam dari entry (bukan saya yang memadamnya kerana weblog dibekukan). Sekurang-kurangnya saya bersyukur, telah dapat menyatakan satu kebenaran.



Sedikit khabar gembira lewat petang 23 Ogos setelah pulang dari Pusat Peperiksaan PTD.


Hadiah Karya Kencana


Dengan sukacitanya dimaklumkan bahawa Panel Penilai Hadiah Karya Kencana telah memilih dan merperakukan makalah berjudul “Bioteknologi Bakal Jana Ekonomi Negara” yang disiarkan dalam Dewan Ekonomi Disember 2005 sebagai penerima Hadiah Karya Kencana kategori Ekonomi dan Perniagaan.

Komen: Alhamdulillah, segala puji bagi-Nya.





Tulisan ini memang agak membosankan. Sebelum anda bosan, izinkan saya mengucapkan beberapa perkara:





Á Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Ramadhan tahun ini biasa-biasa sahaja. Sekiranya saya mencapai peringkat tsabat (lancar) dalam ujian beberapa bulan dahulu, mungkin saya akan menjadi seseorang yang penting seperti mana zaman-zaman muda saya di universiti.


Á Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-51. Semoga jiwa kita merdeka. Semoga rohani kita merdeka. Semoga jasad dan pemikiran kita merdeka. Semoga ulama kita juga merdeka menyebarluaskan ilmu.


Dan mungkin inilah kali terakhir laman saya meriah sehingga saya coretkan sesuatu yang baharu menjelang Syawal.



Rabu, Ogos 20, 2008

Maaf. Kisah ini macam betul.


Diceritakan kepada saya oleh seorang kawan kepada kawannya Sayfool. Suatu hari Sayfool pergi berjumpa seorang jurunikah yang diuwar-uwarkan kononnya menjawat jawatan Imam masjid. Maka tujuan Sayfool berjumpa ‘imam’ tersebut, di masjid pula adalah semata-mata untuk menyatakan sesuatu. Suatu kebenaran. Itulah kata Sayfool.


Maka peganglah dia senaskhah al-Quran dengan tangan kirinya sambil membaca teks. Teks tersebut merupakan penyata kebenaran. Kemudian datang bersama Sayfool itu dikatakan ayahnya. Tetapi sehingga kini belumlah dapat diketahui betulnya. Sebabnya mudah. Ketika Sayfool belajar di sebuah IPTS di Bangi, yang kemudiannya dia tidak berjaya menamatkan pelajarannya di sana, belumlah pernah kawan tersebut melihat kelibat ayah Sayfool.


Kemudian daripada peristiwa bersejarah itu, maka berbanggalah Sayfool dengan keberaniannya menyatakan suatu kebenaran. Walhal kebenaran itu sudah diragui dan perlu dibuktikan pula di mahmakah yang memang ‘dipercayai’. Awas! Mahmakah di sini masih boleh ‘dipercayai’ bukan dipercayai. Itu pun disebabkan kes tersebut tidak akan dikendalikan secara terus oleh orang nombor satu mahmakah.
Susah juga saya hendak mengesahkan mahmakah yang mana, tetapi saya pasti tuan-tuan sendiri sudah maklum.


Keesokan harinya, Sayfool berjumpa seorang lagi pengarah jabatan agama. Tetapi Sayfool keluar melalui pintu belakang kemudian di’lari’kan dengan kereta proton. Menurut laporan akhbar, wartawan yang menunggu di hadapan pejabat untuk mendapat maklumat tentang perkara itu hampa. Menurut kawan kepada kawan Sayfool itu, dia mahu memberitahu satu rahsia. Dikisahkan Sayfool tidak dapat tidur selepas pulang daripada majlis. Sayfool didatangi mimpi ngeri, tetapi Sayfool tidak boleh berundur lagi.


* * *


Maka saya pun keliru menjadi bertambah keliru. Kawan kepada kawan Sayfool mahu cuci tangan sahaja. Dia tidak dapat meyakinkan saya seperti mana Sayfool dan gengnya gagal meyakinkan saya bahawa dia adalah mangsa tanpa rela. Tetapi kawan kepada kawan Sayfool kata, “Jangan terkejut jika suatu hari nanti, Sayfool menjadi orang kuat parti ArmNo itu.”

Saya hanya geleng. Memang saya tidak berani campur urusan politik. Politik adalah tipu daya alias bencana. Bencana bermaksud fitnah. Berjinak dengan politik bermakna saya sengaja menjerumus diri kepada fitnah. Dan saya betul-betul meminta maaf, sekiranya kisah Sayfool ini ada kene-mengena dengan kes politik. Saya memang langsung tidak kenal Sayfool kecuali diberitahu oleh kawan kepada kawannya. Kata pencerita itu, “Sayfool memang ditendang daripada pengajian.”

Rabu, Ogos 13, 2008

Menunggu 23 Ogos 2008


Bulan Ogos tahun ini disusuli peristiwa besar dalam negara. Di samping sambutan tahun kemerdekaan yang ke-51, ambang merdeka bakal menyaksikan pertandingan menguasai kawasan Parlimen Permatang Pauh. Satu perkara yang patut dipuji di sini ialah kesediaan Dr. Wan Azizah meletak jawatan seperti yang dikatanya. Semestinya ia sangat sukar dan belum tentu dapat dibuat oleh orang lain apabila berjanji sanggup letak jawatan. Pada awalnya, diuwar-uwarkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di Kulim. Tetapi hal itu pastinya menjadi isu kritikal apabila pihak lawannya mendakwa beliau mahu membina empayar monarki politik Malaysia. Siapa pun yang bertanding, seperti kata Tun Dr. M, BN belum (baca: tidak) mempunyai calon yang mampu menyaingi kredibiliti Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Malahan di dalam blognya, Tun Dr. M juga semacam memperaku tuduhan terbaru adalah plot sama seperti yang dibuatnya dahulu. Secara tersirat, dapatlah difahami bahawa tuduhan itu benar-benar konpirasi. Ya, konspirasi sebenar alaf ini yang mencalit arang ke seluruh muka umat Melayu dan Islam di Malaysia.




Saya seperti dahulu, tidak terlalu ingin melayan politik kerana orang Malaysia lebih suka berpolitik daripada melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin. Bukan semua. Tetapi yang sedikit itulah menyebabkan kehidupan rakyat marhain seperti saya terjepit dan terus dihantui kebimbangan. Apakah keselesaannya menjadi seorang penganggur terhormat dan kemudian jika mempunyai kerja, mendapat gaji yang sangat kecil? Margin gaji dan keinginan (nafsu) berbelanja sangat luwes. Justeru saya terpaksa menjadi seperti kebanyakan marhaen, wang gaji hanya cukup-cukup untuk membayar pinjaman pelajaran, wang petrol, makan minum. Tidak ada daripada pendapatan itu dapat disimpan untuk tujuan perkahwinan misalnya! Saya tidak pasti, bilakah agaknya saya akan menjadi lebih dewasa. Hakikatnya, saya tidak berani bercinta. Apa gunanya bercinta jika tidak dapat member jaminan anda dapat menanggung nafkah seorang wanita bergelar isteri? Menjadi saya atau tidak menjadi saya, sama sahaja. Yang penting saya mesti meneruskan kehidupan mengikut kadar-Nya. Usah kalian bersimpati dengan nasib saya. Doakan semoga saya beroleh keputusan yang bagus dalam peperiksaan PTD minggu hadapan (23 Ogos).

Jumaat, Ogos 08, 2008

Sebabak

Akhirnya perbicaraan terpilih dilakukan juga.

Yang pasti, mereka sedang menipu.

Mungkin selepas ini, skrip drama sebabak itu akan bertukar.

Diedit juga secara tergesa-gesa.

Kemudian pengarah drama berkata, "Oh, skrip salah. Buat shooting lain".

Maka berbodohlah mereka mereka-reka skrip baharu.