Sabtu, November 11, 2006

Langkah-langkah awal.

Beberapa hari sebelum menghantar sinopsis untuk penulisan Jibunsyi, SifuPTS sudah menghantar contoh format penulisan sinopsis terlebih dahulu. Namun tidak dapat dimuat turun kerana masalah peti emel @hotmail dot com. Akibatnya aku rasa serba salah kerana menunda kerja yang sepetutnya disiapkan segera.
Aku terfikir, mungkin seorang kakak yang telah mengikuti kursus di PTS dapat membantuku. Dalam pada terfikir-fikir itu, aku berharap dapat berchatting dengan beliau melalui YM. Tapi masalahnya, aku bimbang kalau-kalau dia tidak beronline pada ketika aku sedang beronline. Tambah lagi, aku tidak tahu ID YM kakak itu. Mungkin ini satu keajaiban dengan keyakinan yang ada padaku. Apabila seseorang terfikir atau berfikir sesuatu perkara penting dan berkait langsung dengan seseorang, dia telah menghantar gelombang ke otak orang yang difikirkannya. Inilah yang saya peroleh daripada pembacaan teori keajaiban diri dalam buku HM Tuah.
Syukur, kakak itu tergerak menambah ID YM-ku, dan kebetulan aku aktif dalam talian maya YM. Aku lantas meminta beliau menghantar contoh format setelah menceritakan masalah yang dihadapi. Kakak ini memang mudah memberi kerjasama. Dia menghantar contoh format penulisan serta satu contoh tambahan penulisan buku yang sedang dalam proses (in progress writing). Maka dapatlah aku menghantar sinopsis jibunsyi yang diperlukan oleh SifuPTS. Dua hari selepas dihantar, aku menerima SMS daripada SifuPTS dan beliau memintaku menghadiri Penulisan Jibunsyi dan Teori Penulisan Islami menggunakan Surah Yusuf. Maka hari ini, aku berada di KL untuk menghadiri kursus tersebut.

* * * *
Tidak perlu saya sebutkan siapa kakak itu sebetulnya. Aku tahu, bahawa dia sangat suka untuk tidak mahu dikenali, walaupun dia sendiri menulis malah sudah menyiapkan sebuah Jibunsyi. Semoga Allah membalas jasa baik kakak itu yang menolongku menunjukkan jalan ke tempat kursus dan memperkenalkan juga aku kepada seorang rakan penulis.

* * * *
Setelah tamat kursus hari ini (11 Nov 2006), aku menghubungi Amirulreza yang kini seorang wartawan. (Ketika entri ini ditaip, aku berada di pejabat beliau di Menara Plaza IGB, jam 8.30 malam). Aku bermalam di rumah abang kepada Amirulreza yang berdekatan Stesen LRT Sentul Timur. Esok aku akan mengikuti kursus bahagian kedua setelah seharian menimba ilmu berkaitan Kaedah KJ. Pendedahan senario pemasaran buku dan strategi pemasaran juga didedahkan. Hebat! Aku melihat strategi PTS dalam bidang pemasaran amat bagus.

* * * *
Semasa turun, seorang kenalan baruku En. Shamsuddin;Buku Beliau yang pertama menawarkan bantuan. Aku menerima pelawaan beliau, kebetulan beliau juga mahu ke tempat yang ditujuiku. Sebelum itu, dia naik semula ke dewan kuliah untuk bertemu SifuPTS. Pada ketika itu, aku berbual-bual dengan Masli Nor, yang makalahnya tersiar dalam kolum karyawan Dewan Sastera 2006. Itulah penulisan beliau yang pertama tersiar selepas menjadi penulis sejak tahun 1979, khususnya di Dewan Sastera. Itu pun katanya setelah menghantar sekian banyak makalah. (Aku pula, baru setahun jagung menulis sudah rasa ‘bengang’ apabila artikelku untuk majalah yang sama tidak tersiar). Apabila membuat perbandingan ini, barulah kembali warasku menerima hakikat yang perlu aku tahu.

* * * *
Aku ditanya tentang penulisan. Aku khabarkan bahawa beberapa penulisanku sudah tersiar. Aku sebutkan satu cerpen yang tersiar di sebuah akhbar (terpaksa dirahsiakan).
Lantas, dia bertanya “Dah buat claim?”
“BH bayar honorium juga?” aku macam tidak percaya.
“Ya, akan bayar. Tapi lambat sedikit kerana kamu penulis baru,” dia menceritakan pengalaman yang dilalui.
Maka melalui pengalaman itu, aku telah mengetahui cara-cara untuk memastikan bayaran honorium itu lebih cepat. Aku juga dimaklum bahawa karya yang tersiar (Cerpen dan puisi) tetap akan diberi honorium. Syukur.
Bagaimana? Beliau mencadangkan aku membuat salinan fotostat bagi kedua-dua karyaku yang telah tersiar. Kemudian memintaku menulis surat kepada pihak yang berkenaan. Menurutnya, oleh sebab nama penulis baru belum berada dalam sistem data bahagian kewangan, maka ia mengambil masa untuk dimasukkan.

* * * *
Sudah letih menaip.
Aku koma.
Mana bantal?
Di pejabat ini tiada bantal!

Jumaat, November 10, 2006

Mengertilah adikku.

AKU menyusur lorong kecil di tepi surau Kampung Ki. Sebelah jalan sana, kebun getah milik ibu, dkerjakan oleh seorang tua yang sudah bongkok-bongkok. Adam dan dua tiga orang kawannya berlarian riang di bawah terik mentari.
“Adam! Balik mandi,” jeritanku membuatkan Adam berhenti.
“Amen, aku balik dulu,” Adam memberitahu kawannya.

Beginilah kehidupan hari-hari lewat cuti sekolah. Aku pula berada di rumah buat sementara menghabiskan waktu cuti semester. Masih panjang cutiku – satu minggu. Menunggu Adam mandi dan bersiap-siap, aku merenung jendela dengan pandangan kosong. Adam yang masih galak dengan dunia kanak-kanak melompat-lompat tanpa tuala. Titis air dari badannya membasahi lantai kayu.
“Nah, lap badan Adam,” aku mencampak tuala kepada Adam.
“Adam, esok sekolah tak?”
“Sekolah,” Adam membalas.
“Kerja rumah dah siap?” Aku menyelidik lanjut.
“Belum. Nanti Adam buatlah.” Adam mencari akal bagi mengelak daripada dimarah.

Aku tanya Ani. Ani memaklumkan sudah beres. Aku tanya pula Anas. Anas geleng-geleng. Tanya Saidah, juga sama. Tanya Rafiah, dia diam mencuka.
Sudah beratus kali ayah dan ibu berleter. Leteran ibu kurang didengar, tetapi sekali ayah bersuara malah dehem ayah pun sudah difahami. Masing-masing cepat-cepat capai buku dan membaca. Jika terasa malas, dibuat-buat juga membaca. Pandai sungguh mereka berlakon. Aku pun naik bengang dengan sikap adik-adikku. Kadang-kadang ayah menyalahkan emak kerana tidak melarang mereka bermain-main. Emak pertahankan diri. Kata emak: sudah berbuih mulutnya menyuruh mereka membaca. Jika cakap emak tidak didengar, cakapku pun sementelahlah lagi. Aku masuk ke bilik bacaanku menyambung bacaan.

* * * * * * * *

Ayah pulang dari ladang. Deru enjin motorsikal buruk ayah kedengaran dari jalan bawah. Masing-masing masih leka. Ani, Anas, Saidah dan Rafiah masih girang bermain sambut-sambut tudung botol. Ayah mencabut kasut but yang panjangnya sampai ke lutut. Ayah tepuk-tepuk dan menonggeng kasut but. Dua tiga ekor pacat kekenyangan jatuh. Darah dari tempat gigitan pacat membasahi seluar lusuh ayah. Ayah kutip daun senduduk, ditenyehnya di tempat yang berdarah.

“Ani! Adam! Saidah! …… Anas!.....Rafiah! berhenti main. Ambik buku.” Ayah mengarah lambat-lambat. Lelahnya masih belum reda.
“Mari….mari duduk depan ayah.” Ayah melambai-lambai tangan kekarnya.
Ibu membawa sedulang air teh O dan sepinggan pisang goreng. Emak duduk melayan ayah.
“Ayah tidak pandai. Ayah tidak ada harta yang banyak. Ayah tidak mahu anak-anak ayah jadi susah macam ayah.” Kata ayah sebagai motivasi buat kami terus belajar.
“Hanya pelajaran yang dapat memberi jaminan buat kalian,” tambah ayah lagi.
Ayah amat menitikberatkan akademik kami. Biar bergolok gadai, biar habis gelang dan rantai emas ayah sanggup laburkan demi pendidikan kami.
“Jangan jadi macam ayah. Lihatlah. Kerja berat dengan tulang empat kerat. Gaji tidak seberapa.” Ayah tunjukkan parut di lengan. Parut itu tanda tujahan mata sabit yang patah ketika mengait kelapa sawit. Pedihnya hanya ayah seorang yang tahu. Ayah tuding pacat-pacat di atas tanah yang menggelumpur dalam abu. Ayah selak hujung kaki seluar, menunjukkan bekas gigitan pacat.

“Ayah sanggup gadai nyawa untuk besarkan kamu. Ayah bukan mengungkit. Ayah mahu kamu sedar, susahnya menjadi buruh ladang seperti ayah.” Aku tidak tidak dapat membendung air mata.

* * * * * * * *

Teramat pilu dan sedih mengenangkan pengorbanan ayah. Aku teringat cerita ayah tentang ular sawa di belukar. Suatu pagi ketika mengerjakan ladang, ayah terlangkah ular sawa. Syukur, ular sawa itu tidak menyedari kehadiran ayah. Aku teringat cerita ayah tentang tandan ‘gila’. Buah sawit seberat 30 kilogram menyusur jatuh meniti galah. Hampir-hampir menimpa ayah. Syukur ayah tangkas melompat dan mengelak. Aku terkenang cerita ayah bertukang di Empangan Kenyir. Demi wang lebih, ayah sanggup bertukang membina chalet terapung di kawasan peranginan itu. Kata ayah, ada kawan-kawannya yang hampir terperangkap air pusar. Air itu dipercayai berpenunggu. Aku ingat pula kisah ayah ditipu penjual komputer. Demi memastikan kami tidak buta teknologi, ayah berhabis ratusan ringgit untuk membeli komputer. Malang. Komputer tidak sampai, yang diterima hanyalah berpuluh kepingan cekera keras.

* * * * * * * *

“Jadi orang yang tidak pandai begitulah. Mudah diperbodohkan. Mudah ditipu. Mudah dipergunakan. Mudah dikerah macam lembu dicucuk hidung!” rona wajah ayah mula merah. Ayah juga sebak menyatakan semua kepahitan itu.
Aku tidak segan silu menangis teresak-esak di hadapan ayah dan adik-adik. Sungguh memilukan. Kasihan ayah. Adik-adik yang melihatku turut sama merembeskan air mata syahdu.
“Ayah! Kami minta maaf. Mak! Kami minta maaf.” Aku mendakap ibu seeratnya.
“Mak! Adam janji akan dengar cakap mak,” Adam peluk emak.
Aku mendapatkan ayah, menyalaminya dan memohon maaf daripada ayah. Adik-adikku yang lain turut serta. Kami tidak hiraukan lagi busuk peluh ayah. Kami tidak endahkan pakaian ayah yang sarat dengan asin peluh.

“Pelajaran itu penting nak,” ayah menyambung syarahnya.
“Kalau kamu tercicir, ayah bersalah pada kamu. Zaman sekarang tidak sama dengan zaman ayah,” aku dapati ayah sekali-kali tidak menyalahkan datuk dan nenek kerana keadaannya hari ini.
“Zaman ayah dan emak telah berlalu. Biarkan berlalu. Zaman anak-anak emak, semua orang kena pandai. Kalau bodoh, orang pandang sebelah mata.” Emak mencelah. Tangan lembut emak membelai rambut Adam.

* * * * * * * *

Sebelum pulang ke asrama, aku menulis catatan buat Adam.

Assalamualaikum,

Ke hadapan adikku Adam yang disayangi.
Seminggu lalu kita menangis dengan sendu keinsafan. Semoga air mata itu jadi saksi keikhlasan. Keikhlasan kita menyedari kealpaan kita selama ini. Dunia kanak-kanak memang menyeronokkan. Tidak salah jika Adam mahu menghayatinya. Tapi Adam perlu ingat, tiga bulan dari sekarang Adam akan menghadapi peperiksaan UPSR. Abang tahu, Adam tentu mempunyai alasan kononnya masa masih panjang. Pejam celik, pejam celik berlalulah waktu tiga bulan itu.
Abang berharap Adam mengerti. Hasrat dan harapan emak ayah untuk melihat Adam berjaya seperti abang. Abang juga seperti Adam. Degil dan periang. Setiap hari mahu berseronok, berlarian, bermain-main dengan kawan-kawan. Tetapi syukur, abang tidak terlalu leka dengan dunia itu. Abang disedarkan dengan cara yang sama seperti yang kita lalui tempoh hari. Maka abang berharap, detik itu menjadi titik mula buat Adam supaya bersungguh-sungguh mengulangkaji. Jangan berpuas hati dengan keputusan 3A 2B yang Adam dapat dalam peperiksaan dulu. Selepas ini Adam akan menghadapi peperiksaan percubaan, seterusnya peperiksaaan UPSR yang sebenar.
Abang doakan semoga Adam berjaya mendapat 5A. Jangan lupa banyakkan solat sunat hajat. Mengaji al-Quran selepas Subuh seperti biasa. Jangan lupa cium tangan emak dan ayah sebelum ke sekolah. Jangan lupa minta restu emak ayah sebelum menjawab soalan peperiksaan.

Yang benar,
Abang.


Aku melipat kemas surat itu. Kusisipkan dalam buku teks Sains milik Adam. Mudah-mudahan Adam mengerti.

---Sekian---

Tulisan ini membuatkan aku menitiskan air mata kehibaan. Sungguh! Aku kadang-kadang rasa bersalah pada ayah dan bonda tercinta.
Demi cinta buat ayah bonda, aku nukilkan sebagai bukti kenangan itu kejap, tak mungkin kulupa buat selama-lamanya.
Semoga aku diberi kekuatan oleh ILahi buat menaburbakti buat kalian, di hari-hari tuamu, ketika usia dan tanggungjawabku bertambah. Rabbi Yusahhil
!

Selasa, November 07, 2006

Respon


Menyorot pemikiran Ahadiat Akashah (Dewan Sastera, Oktober 2006, muka surat 43) tentang novel pop, beliau menukilkan sebagaimana berikut, “saya melihat ramai remaja yang bangga sambil membawa ke sana-sini novel saya dan tidak malu membaca novel Melayu. Setidak-tidaknya ini gula-gula awal untuk menanamkan ketagihan memabaca remaja! Pastinya suatu hari nanti mereka akan mencari pembacaan yang lebih baik, lebih berat, lebih berbentuk ilmiah atau kata lainnya lebih sastera.”

Sasterawan Negara (SN) Profesor Emeritus Dato’ Shahnon Ahmad merumuskan novel pop sebagai karya yang digarap serba pantas, serba langsung, dan serba menyeronokkan bagi mencapai matlamat penyudah yang menggembirakan atau happy-endingnya. Karya ini hanya membicarakan soal-soal cinta, mempertikaikan cinta penuh dengan aksi fizik dan penuh sensasi. (Dewan Sastera, Oktober 2006, muka surat 21). Persoalan nilai estetika dalam novel popular tidak dititikberatkan kerana tema naratifnya berkaitan cinta muda mudi yang sedang galak dengan zaman remaja. Novel popular digarap dalam bentuk yang bersahaja dan santai tanpa memaksa pembaca berfikir dengan kritis bagi merungkai sesuatu gagasan idea atau falsafah yang berat-berat dan serius.

Saya bersetuju dengan pandangan ini dengan syarat terdapat anjakan paradigma pembaca untuk menambah ilmu pengetahuan. Satu hal yang perlu difahami, apabila sesuatu perkara menjadi tabiat dalam kata lain sudah diserang ‘ketagihan’, adalah sukar untuk mengubahnya melainkan dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Secara psikologi, minat membaca dengan bertatih membaca bahan bacaan ringan amat dibimbangi akan menutup minda fikir pembaca untuk merobah selera pembacaan. Maka tidak hairanlah wacana minda yang berat-berat seperti yang dihadam dalam majalah MASSA misalnya tidak bertahan bagi tempoh yang lama. Sebaliknya, majalah-majalah hiburan yang membincangkan soal remeh temeh berkaitan dunia artis tumbuh dan berkembang dengan baik. Begitu juga nasib yang melanda dunia sastera khususnya genre novel.

Persetujuan saya selaras dengan perkembangan tahap pembacaan yang dialami. Saya tidak menafikan, bahawa proses pembacaan saya dalam bidang sastera juga bermula daripada pembacaan novel ringan atau popular. Persoalan yang dibincangkan dalam novel ini tentunya berkitar seputar soal-soal cinta remaja, tetapi bukan semua novel popular itu boleh dianggap sampah. Ada juga penulis-penulis novel popular yang mengangkat persoalan nilai dan falsafah kehidupan, atau mengungkap kajian-kajian serta naratif kehidupan yang serba kompleks. Cuma ciri-ciri kompleks itu tidak digarap dalam langgam penceritaan yang bertindih-tindih dengan stail sastera yang tinggi. Proses menghadam novel picisan ini juga tidaklah sukar, kerana jalan ceritanya mudah dijangka di samping tidak memerlukan kerahan minda untuk menafsir pemaknaan kandungan, jalan cerita atau mesej yang hendak disampaikan.

Saya tertarik dengan ulasan pembentang kertas kerja, Encik Mohamad Daud Mohamad dalam program Akademi Sastera Siber 2006 (ASS 2006) di Kota Bharu. Menurut beliau, pemaknaan terhadap sastera adalah perlu dengan penulis-penulis novel memberi penekanan dalam aspek kajian. Beliau memberi contoh naskhah The Memoir of Geisha yang dihasilkan setelah dikaji hampir sepuluh tahun tentang dunia Geisha di Jepun. Selain itu, beliau juga kagum dengan karya Ahadiat Akashah berjudul Rempit. Novel ini ditulis setelah penulis bergelumang dengan dunia Mat Rempit, menyelidik selok belok, permasalahan dan impak gejala rempit di Malaysia. Namun begitu, apakah olahan yang berterus-terang seperti ini baik untuk perkembangan minda anak-anak muda? Dari satu sudut, hal ini mungkin baik kerana memperlihatkan ketelitian dan keberanian penulis mengangkat tema rempit. Dari sudut yang lain pula, ia membawa pengaruh negatif apabila karya ini diangkat dalam bentuk filem adaptasi, yang memperlihatkan secara lebih dekat kebobrokan masyarakat. Sudah tentu, pembikinan filem akan menjadikan karya yang baik menjadi sebaliknya, kerana filem lebih mudah diikuti, lantas ramai pula yang akan terpengaruh untuk menyelami dunia rempit secara real.

Anjakan paradigma amat perlu bagi menjana dan mancanai minat membaca. Menukar selera daripada menekuni bahan bacaan ringan kepada yang berat dan sarat dengan falsafah sebenarnya sukar. Hanya kesedaran pembaca untuk mencari sesuatu di sebalik pembacaan boleh mengubah anjakan paradigma ini. Bahan bacaan yang berat memerlukan kerahan otak, tentunya meletihkan. Idea-idea yang dipersembahkan kadang-kadang meyukarkan pembaca untuk memahaminya tidak seperti bahan bacaan ringan yang bersifat ‘selapis’, tidak ‘sesak’ dengan fakta, dan kurang keperluan analisis pembaca. Membaca karya yang berat memerlukan kesabaran dan kesungguhan kerana darjah ‘kesantaian’ yang rendah. Hal ini jauh berbeza apabila menatap bahan bacaan ringan. Mandala minda pembaca tidak disuguhkan dengan kerahan untuk mentakwil atau merungkai persoalan yang bersimpang-siur sifatnya.

Anjakan Paradigma.

Tinjauan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tentang permasalahan membaca telah didokumentasikan (Dewan Masyarakat, September 1998, muka surat 15). Tiga faktor utama yang dinyatakan ialah:
1. Tradisi membaca belum wujud. Membaca belum dibudayakan dalam masyarakat.
2. Media elektronik mencabar pemusatan fikiran anggota masyarakat untuk membaca.
3. Sikap sambil lewa terhadap aspek pembacaan yang memerlukan kesabaran dan penelitian.


Membaca dalam Islam berkait rapat dengan proses pencarian ilmu. Kepentingan membaca amat ditekankan di dalam Islam. Sebagai bukti, wahyu pertama di dalam Al-Quran bermula dengan kalimah iqra’ yang bermaksud bacalah. Membaca amat sinonim dengan proses pembelajaran. Melalui pembacaan, seseorang memperoleh maklumat untuk ditapis sebagai pengetahuan, kemudian diperhalusi dalam bentuk ilmu apabila diselidiki dihayati dan dipraktikkan dalam kehidupan. Tidak semua yang dibaca akan menjadi ilmu, sebaliknya kekal sebagai pengetahuan. Maka tidaklah salah sekiranya kita menjadi warga yang kaya dengan pengetahuan atau informasi selaras dengan hasrat membina masyarakat berminda kelas pertama.

Jika di dalam konteks makanan, kita diperintahkan untuk mencari yang halal dan berlualiti. Begitu juga halnya dengan pembacaan. Ilmu daripada pembacaan merupakan salah satu juzuk rezeki kepada manusia. Rezeki yang maha luas, tidak diskrit dalam ruang lingkup harta benda, pakaian, dan makan minum sahaja, malah merangkumi ilham, ilmu dan hikmah. Perkara yang dibaca akan mempengaruhi pemikiran seseorang. Hal ini menunjukkan peri pentingnya pemilihan bahan bacaan yang bermutu. Bukanlah bermakna kita tidak perlu membaca bahan bacaan ringan, tetapi jadikanlah bahan seperti itu sebagai selingan dalam tabiat membaca ketika memberi prioriti terhadap bahan bacaan berat.

Justeru kita juga dituntut untuk mencari bahan bacaan yang baik dan berkualiti untuk perkembangan minda. Senario yang melanda minda pembaca khususnya di Malaysia amat membimbangkan. Penerbit-penerbit buku lebih gemar memfokuskan bahan bacaan ringan yang menyeronokkan. Tidak hairanlah, majalah hiburan dan pornografi lebih banyak dan laku berbanding dengan majalah ilmiah. Anjakan paradigma sangat penting sebagai momentum kesedaran khalayak pembaca untuk menentukan bahan bacaan yang perlu dibaca selaras dengan cita-cita pembangunan modal insan dalam kerangka Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Penerbit buku dan majalah juga perlu menilai tanggungjawab sosial mereka dengan tidak terlalu ghairah mencari keuntungan di sebalik senario pembacaan rakyat Malaysia.