Selasa, Oktober 04, 2011

Cerita Pekerja Asing di Malaysia


Minggu lepas saya bercuti panjang kira-kira seminggu. Sepanjang ketiadaan itu, rakan serumah diamanahkan menjaga kenderaan saya. Dia, saya benarkan menggunakan jentera itu berulang-alik ke sekolah agama persendirian. Sekolah agama swasta itu tempat beliau mengajar saban tahun sejak empat tahun lalu. Betapa baik budi sahabat ini menghantar kenderaan itu ke tempat cuci. Apabila saya kembali pada hari Sabtu, kenderaan itu tetap juga kotor ‘dikerjakan’ burung-burung yang entah menginap di mana. Silap saya juga tidak mengingatkan sahabat itu agar diletakkan kenderaan di kawasan lapang, bukan di bawah teduhan pokok.

Masuk kerja pada malam Ahad (1 Okt) dan siangnya (2 Okt). Kemudian jadual kerja saya masih lagi kosong untuk tiga hari berikutnya. Mengenangkan kenderaan comot di bahagian cermin dan sebahagian atapnya, saya pergi ke kedai cuci kenderaan. Sambil menunggu saya dengar perbualan dua orang wanita. “Kenapa dia tidak bekerja dengan kakak?” “Dia sudah dapat kerja lain.” Yang membahasakan kakak itu bertanya wanita kedua, “Engkau kerja di sini ok?” “Baik-baik saja. Lima puluh ringgit sehari. Jam 9 hingga 6 petang.” “Wah! Mahal juga tauke bayar.” “Tapi pasport aku tauke pegang. Sebab itu aku tidak dapat kerja dengan kakak.”

Saya fikir betapa mungkin ini sudah rezeki mereka di sini. Kerja di kedai makan sebagai pembantu kedai. Kedai makan Islam. Aku fikir tauke kedai makan ini berasal dari Thai juga jika diselidik dari segi dialek percakapannya. Dan dua orang wanita yang bercakap itu asalnya dari Indonesia. Tetapi tentulah yang membahasakan kakak itu sudah menjadi peniaga berjaya di sini. Masakan tidak? Dia datang dengan MPV. Cuma saya terfikir begini, “Berapa agaknya bayaran pembantu kedai makan Melayu di sekitar ibu kota ini?” Maksud saya anak tempatan kita. Dan majikannya pula orang tempatan juga. Dan sudah tentu saya tidak ada jawapannya sebab tidak pernah bertanya secara langsung hal ini kepada sesiapa pun yang berkenaan.

Maka tidak hairan kalau kita dengar warga asing yang memburuh di negara ini kadang-kadang lebih lumayan pendapatannya. Yang pernah saya dengar cakap-cakap buruh kasar asing ini, mereka dibayar sehingga RM150 sehari! Ini fakta pada tahun 2008. Pekerja asing di Malaysia telah menghantar pulang sebanyak RM9.124 bilion ke negara asal (istilah ekonominya remittance) mereka sejak Januari 2008 hingga akhir Jun 2008. Hal ini bermakna secara purata sebanyak RM152 juta wang dihantar kepada keluarga setiap bulan. Peningkatan sebanyak RM52 juta sebulan jika dibanding dengan statistik tahun 1996. Bagaimana dengan 2010?

Inilah petikan asal yang saya jumpa dalam portal Jabatan Perangkaan[a]. Saya biarkan sahaja tanpa menterjemahnya. Fakta ini dikemas kini pada 02/09/2010. “In the quarter under review (April - June 2010), the net payments on current transfers remained at RM5.6 billion. The remittances abroad by foreign workers formed the biggest component of the current transfers. Year-on-year, current transfers recorded a wider net outlay by RM1.7 billion (43.6 per cent) from -RM3.9 billion a year ago.”

“Half yearly, the net payments broadened by RM3.1 billion (38.8 per cent) to -RM11.1 billion from -RM8.0 billion recorded in the same corresponding period 2009.” Jadual Statistik [b]

Dalam perenggan bahasa Inggeris di atas, tidak dinyatakan secara konkrit nilai sebenar untuk remittance sahaja. Manakala fakta berikut saya peroleh dalam Laporan oleh Vijayakumari Kanapathy, seorang Perunding Bebas. Wang yang dihantar ke negara asal oleh buruh asing di Malaysia meningkat secara marginal dari RM32.2 bilion pada tahun 2006 hingga RM24.1 bilion pada tahun 2008. Angka ini masih stabil meski berlaku kelembapan ekonomi pada tahun 2009 dengan nilai RM19.8 bilion untuk tempoh sembilan bulan pertama. Rujuk Jadual 4.[c] Apakah setelah melihat fakta ini, kita boleh mengeluh begini - "Malaysia adalah 'syurga' bagi pekerja asing."

Rujukan
[a]Laman web Jabatan Perangkaan Malaysia

[b]Jadual Statistik

[c]Vijayakumari Kanapathy, Impact of the Economic Crisis on International Migration in Asia a Year After: Country Report for Malaysia

2 ulasan:

Afida Anuar berkata...

Saya pun tak pernah bertanya naim, tapi yang pasti memang sedikit. Bak kata orang, kera di hutan di susukan, anak di rumah kelaparan. Eh betul guna peribahasa ni?

Naim berkata...

Fida, boleh dah ganti en. Karam dalam hal membudayakan peribahasa. -:D