Ahad, Mac 06, 2011

Dunia kelam di padang kawad

Jumaat, saya menghadiri Mesyuarat Tahunan ke-2 Persatuan Aktivis E-Sastera Malaysia (E-Sastera) di TTDI. Untuk makluman, NGO baharu ini berusia dua tahun dalam rekod pendaftar persatuan (ROS). Mula bergerak di alam siber dengan mempelopori sastera siber di Malaysia pada tahun hampir sepuluh tahun bermula dengan community zero. Sehingga kini e-sastera menyediakan hampir 20 komuniti sastera siber yang boleh dilayari menggunakan alamat URL www.esastera.com. Untuk mendaftar sebagai ahli komuniti secara percuma, pengunjung boleh menekan butang masuk komuniti kemudian tekan butang daftar. Untuk menjadi ahli NGO E-Sastera, anda boleh berhubung terus dengan Setiausaha Agung E-Sastera saudara Dahrie (emel: deewaqaf@gmail.com). AGM bermula jam 9.00 malam dan tamat jam 11.45 malam. Pada akhir AGM, saya diberi peluang membuat satu cabutan bertuah. Nama yang terpilih mendapat tajaan tiket perjalanan pergi balik ke Palembang pada 12 dan 13 Mac 2011. Apa yang pasti, nama yang terpilih itu bukan nama saya. -:D

Jam 11.45 malam saya bertolak ke Palong Negeri Sembilan. Dalam keadaan kesihatan yang tidak bagus, saya berhenti rehat dan tidur di R&R Seremban pada jam 1.00 pagi. Saya tidur dalam kereta sehingga jam 5.00 pagi. Kemudian mandi dan solat Subuh. Saya membeli lozen (Strepsil) untuk melegakan sakit tekak. Jam 7.00 pagi saya bergerak ke Palong. Pada jam 8.00 pagi saya berhenti di Masjid Tanjung Ipoh, Kuala Pilah. Berhenti kira-kira setengah jam. Kabus masih tebal ketika itu. Saya teruskan perlajalanan ke Bahau seterusnya masuk ke Palong. Saya tiba di kampung adik ipar pada jam 9.15 pagi. Walhal majlis walimah bermula secara rasmi pada jam 12.30 tengah hari. Perjalanan sejauh 169 km ini memang amat mengujakan. Kos tol dari Plaza Tol Sungai Besi ke Seremban RM7.20. Petrol RM20.00. Ini disebabkan saya tidak pecut laju-laju. Jam 2.45 petang, saya kembali ke KL menggunakan Lebuhraya LEKAS (keluar di Kajang) kemudian menghantar adik ke UPM. Adik saya pada mulanya mahu ke Gemas dengan bas tetapi tersalah naik bas ke Melaka. Terpaksalah dia mengambil bas henti-henti ke Gemas dari Tampin. Dalam perancangan awal, saya jangka tidak dapat ikut serta kerana jadual yang belum pasti. Jarak Palong ke UPM sejauh 149 km sahaja. Pada jam 6.30 petang, saya tiba di Sentul setelah menempuh perjalanan sejauh 175 km.

Malamnya saya tidur mati kesan pengambilan dua biji panadol pada jam 2.30 petang ditambah letih memandu. Pagi itu saya sedar jam 4.00 pagi. Selepas Subuh saya gagahkan diri menghadiri latihan kawad sempena Majlis Perasmian Imam Muda Qaryah (IMQ) anjuran JAWI. Latihan bertempat di tempat letak kereta Zon A sebelah kolam. Seramai kira-kira 500 orang peserta IMQ hadir. Kami diberi baju korporat IMQ berwarna hijau putih. Saya makan seperti biasa dan mengikut latihan kawad sesi pagi sehingga akhirnya. Pada penghujung sesi latihan, saya rasa tidak dapat bertoleransi dengan terik mentari. Sekejap-sekejap rasa loya. Saya tahan tetapi rasa hendak muntah itu datang dan pergi dua tiga kali. Kemudian saya mula batuk-batuk dan akhirnya tidak dapat berdiri lagi. Kelihatan saya menjadi kabur. Saya terpaksa keluar baris. Pegawai pelatih mengarahkan saya membuka kasut dan stokin. Tiada air mineral dibekalkan. Saya tidak kisah. Dua minit duduk berlunjur saya bangun dan gerakkan kaki dan tangan. Tujuannya untuk mengerakkan darah dalam badan. Lima minit kemudian, baharu saya rasa darah penuh semula dalam tengkorak. Latihan kawad tamat tepat jam 12.00 tengah hari.



Lagu Tema IMQ

Imam Muda
Bersedia menyebar syiar Islam
Yang suci untuk semua
Satu tekad satu semangat
Membentuk insane cemerlang
Dengan berhikmah
Julang tinggi amanah agama
Menuju keredhaan Ilahi
Mari bersama Imam Muda Qaryah
Demi agama bangsa juga negara.