Isnin, Oktober 05, 2009

Menyah penjana malware dari cakera boleh alih

Setelah saya dapat menyelamatkan sebahagian fail dalam pendrive tempoh hari, saya terlupa bahawa laptop belum dibersihkan. Maka sekali lagi saya menghadapi masalah. Aplikasi yglaan.exe dalam koleksi permainan flash menjana semula Flashy.exe dan menjangkiti cakera mudah alih tersebut. Apabila saya membuang folder baharu yang dijana, secara automatik flashy.exe menyembunyikan folder-folder asal. Maka dapatlah saya lihat data seperti yang ditunjukkan di bawah.



Maknanya yglaan.exe masih lagi aktif dan menjadi halimunan. Ia menjana Flashy.exe yang baru setiap kali anaknya itu cuba dipadam. Saya semacam bermain sorok-sorok pula. Macam tagline iklan chipsmore, 'sekejap ada, sekejap tiada'. Seorang sahabat saya bertanya dan mencadangkan satu penyelesaian. Dia mencadangkan saya membuang yglaan.exe menggunakan arahan dalam command windows (cmd). Langkah-langkah berikut dicadangkannya.



  1. Buka command promp windows. >> Start > Run :: taip cmd dan klik OK.

  2. Kemudian, cakera boleh pindah (pendrive) dipasang.

  3. Taip arahan F:

  4. Kemudian tekan butang Enter.

  5. Taip arahan attrib

  6. Ulang langkah 4. Fail-fail yang diragui akan memiliki singkatan SHR di sebelah kiri.

  7. Taip arahan attrib -S -H -R

  8. Kemudian taip del ; arahan untuk memadam penjana malware atau virus; autorun.inf dan yglaan.exe Contoh arahan: del yglaan.exe

  9. Kemudian pisahkan pendrive daripada PC. Dan pasang semula

  10. Ulang langkah dua (2) hingga enam (6) sebagai pengesahan bahawa semua aplikasi berkaitan malware atau virus dipadam.

  11. Layar persekitaran pendrive dalam tentingkap yang baru.

  12. Dari menu bar, pergi ke Tools > Folder Option > View. Aktifkan ruangan butang Show hidden files and folders.

  13. Kemudian, right-click atas folder yang ditunjukkan > Properties. Dan buangkan pilihan attribute Read-only dan Hidden. > Apply, kemudian tekan OK. Pastikan radio button di-uncheck.




Arahan supaya diperlihat folder/fail yang disorok.


Mengubah semula Attribute folder yang diubah oleh malware.

Terima kasih pada yang sudi mengajar saya, Cik Ida, Knowledge Engineering Dept. SWS Sdn Bhd.


Jumaat, Oktober 02, 2009

Ayat 4 surah al-Ahqaf

Ada satu perkara baru yang saya suka kongsi. Bagaimana kaedah bacaan ayat empat surah al-Ahqaf? Seorang sahabat saya menulisnya di sini. Beliau pelajar sarjana kejuruteraan Mekanikal, suami kepada seorang isteri lulusan agama di universiti Jordan.

Sorotan tentang ACT Malaysia

Sepuluh tahun lalu, apabila kuasa besar AS mendesak Indonesia memberi autonomi kepada Irian Jaya dan Timor Timor (sekarang dinamakan Timur Leste), Indonesia hanya melepaskan Timor Timor. Sejarah awal kemasukan Timor Timor sebagai sebahagian Republik Indonesia dikatakan sebagai 'annex' iaitu kemasukan secara salah. Pada tahun 1946, apabila AS yang menjadi penjajah Kepulauan Filipina sekian lama sejak 1898, Mindanao juga di'annex' ke dalam Filipina. Pada tahun 1900, kependudukan orang Islam di Mindanao adalah 90%, tetapi pada hari ini jumlah mereka mengecil sehingga 25% sahaja. Perjuangan Muslim Mindanao mendapat kuasa autonomi seperti Timor Timor tidak pula mendapat sokongan AS. Tidakkah kedua-dua wilayah ini mempunyai sejarah yang sama (annexed)? Maka perlulah diketahui bahawa Timor Timor bersetuju menjadikan Kristian sebagai agama rasmi, manakala Mindanao tidak. Kerana perbezaan itu, AS tidak mendesak kerajaan Filipina untuk melepaskan Mindanao sebagaimana yang dibuat terhadap kerajaan Indonesia.

Saya baharu sahaja mengikuti sesi penerangan daripada ACT Malaysia berkenaan usaha bantuan kemanusiaan mereka kepada umat Islam Mindanao. Mengikut Datuk Mustafa Kamal, program bantuan berikutnya adalah Qurban for Solidarity and Humanity (QSH).

Rabu, September 30, 2009

Apabila gajet anda diserang Flashy.exe



Semalam saya membuat sedikit kerja rumah. Bermakna saya menggunakan laptop tanpa sambungan ke alam maya. Kerja itu pun tidak memerlukan saya menggunakan internet. Saya teliti beberapa bahagian daripada manuskrip itu dan memuktamadkannya. Laptop saya pertama kali dibawa pulang ke rumah ketika cuti raya tempoh hari. Dan adik saya menyelongkar sebahagian daripada permainan Flash di dalamnya. Saya pun tidak pernah ada kesempatan bermain dengan permainan ini.


Pagi tadi saya memindahkan cakera boleh alih (pendrive) ke komputer di pejabat. Alamak! Ada satu folder bernama Flashy, dan sebenarnya aplikasi perisian jahat (malware). Flashy.exe ini setelah saya semak kemudian cuba memadamkannya secara automatik muncul semula dalam pendrive itu. Kemudian beberapa folder lain dalam pendrive itu menjadi aplikasi yang berasingan, dan sainznya menjadi sama seperti saiz folder Flashy tersebut. Bermakna, folder yang memuatkan foto-foto saya yang besarnya melebihi dua Megabait (Mb) pun menjadi kecil sekitar 75.6 kb. Apabila folder-folder ini cuba dibuka, ia akan dibuka secara berasingan juga. Macam mana ya? Katalah pendrive saya itu huruf direktorinya F, maka folder Gambar menjadi G, dan begitulah seterusnya bagi folder-folder lain. Jika pendrive itu tidak terjejas, apabila diklik pada folder baru, ia dibuka dalam tetingkap yang sama. Saya minta bantuan seorang rakan lain, kononnya dapatlah dibuang Flashy.exe itu. Dia pun menyaring menggunakan perisian antivirus di dalam komputernya. Saya minta orang di sebelahnya sebagai semakan dua kali (double-check). Jika betul semua aplikasi jahat di dalam pendrive itu dibuang, maka apabila dicucuk ke komputer lain, tiada lagi penjanaan automatik perisian tersebut. Menurut saringan kawan saya tadi, terdapat aplikasi baru yang menyamai jumlah folder sedia ada di dalam pendrive ditambah dengan folder Flashy yang baru. Saya minta dia buang semua. Setelah disemak menggunakan komputer rakan kedua, semua folder itu hilang. Alamak! Saya sedikit kecewa kerana data yang hilang itu merupakan karya-karya saya bermula tahun 2005 lagi. Dan tentulah bukan sedikit. 90 peratus daripadanya saya belum alihkan ke mana-mana tempat sebagai langkah berjaga-jaga (backup).


Saya kembali ke meja dengan kekesalan yang amat sangat. Bagaimana jika semua data itu betul-betul hilang? Jika dilihat di komputer rakan yang kedua tadi, seolah-olah pendrive saya diformat semula. Lemah sebentar semangat saya. Laa haula wa laa quwwata illa billah! Dalam hati saya berdoa moga-moga saya masih dapat kembali semua data dalam pendrive itu. Sampai ke meja semula, saya sambungkan pendrive itu. Hah! Semua data muncul semula bersekali dengan malware Flashy. Syukurlah. Saya buka satu demi satu folder yang dijangkiti perisian jahat tersebut. Saya pindah semua kandungannya ke dalam komputer. Yang tinggal hanya folder yang dijangkiti Falshy.exe. Setelah itu barulah saya arahkan supaya diformat pendrive. Malangnya Flashy.exe dibina dengan fungsi menghalang tindakan format. Seorang kawan saya yang lain kata, "Itu bukan virus. Ia aplikasi jahat - malware." Maknanya bukan speasis pepijat macam tojan atau worms. "Perisian itu termasuk dalam kategori spyware. Boleh menjana sistem untuk mencuri data," tambah kawan saya itu lagi. Semacam pengintip pula benda alah ini. Saya fikir tentu sahaja adik saya tersilap menekan mana-mana ikon Flash dalam laptop saya sehingga ia membiak dan berjangkit pada pendrive saya.

Perisian antivirus memang tidak dapat membunuh anasir jahat perisian itu. Kata kawan saya, mesti guna Remover Tools. Saya bagitahu dia, saya tidak jumpa perisian remedi yang dicadangkannya. Yang berbayar ada. saya pun tidak tahu di mana hendak mendapatkan Remover Tools yang percuma. Maka dia memberikannya kepada saya. "Nah, ambil ni.". Bila saya install dalam komputer, baharulah dapat di'bunuh' Flashy.exe dalam pendrive itu.

Sisi ilmu. Ini saya salin dan tampalkan penerangan ringkas berkaitan Flashy.exe. Saya tidak terjemah kerana bimbang tidak sampai maksud sebenar. Maklum sahaja ayat itu sedikit teknikal.

First of all let’s see what exactly is flashy.exe. It’s a type of backdoor trojan for Windows Platform that tries to take control of the infected system. It runs a telnet server on the infected computer. It also changes the administrator password to “hacked”.





It disables folder options, sets hidden files to true and hides the file extensions.


Selasa, September 29, 2009

Wajarkah suntikan vaksin kanser pangkal rahim

Pelajar mati selepas disuntik vaksin kanser.

Apabila saya dengar kos suntikan (RM1200/pelajar); disuntik tiga dos, saya amat tidak setuju.

Isnin, September 28, 2009

Istiqamah


Kata ustaz saya, menjelang Ramadhan umpama kita memasuki sebuah madrasah (persekolahan) takwa. Nantinya kita akan belajar untuk mendidik jiwa sebagai hamba. Kita yang barangkali tidak serumit orang lain menghadapi kehidupan akan merasainya. Ramadan menjadi medan orang kaya merasai laparnya si miskin. Orang yang kurang sabar, dididik dirinya menjadi seorang penyabar. Orang yang banyak bercakap dan memperihalkan yang tidak elok, setidak-tidaknya menjadi kurang aktif memperkatakan hal itu kerana nafsu dipasung. Kerana itu, lemahlah kekuatan nafsu ammarah yang senantiasa mendorong dirinya ke arah kejahatan. Orang yang selama di luar bulan Ramadan, tidak pernah bertudung, akan bertudung juga walau masih kelihatan jambul di depan atau terbit sedikit di belakang. Orang yang tidak pernah solat, rajin pula mengerjakan solat taraweh walau pun masih liat mengerjakan solat lima waktu. Demikianlah halnya dengan Ramadan. Masjid akan dikunjungi dengan kerap dan seramai mungkin manusia yang mengejar kelebihan beramal. Kemudian masjid akan lengang semula setelah Stawal menjelma. Demikianlah kandungan khutbah yang saya dengar beberapa hari lalu dalam suasana kita menyambut lebaran.

Bagi yang berjaya memulakan kehidupan baharu setelah Ramadan, tahniah diucapkan. Bagi yang masih gagal, semoga terus berharap agar masih dipanjang umur bertemu semula dengan Ramadan 1431 H. Berjaya mendapat matlamat Ramadan bererti kita menjana dan meningkatkan nilai ketaqwaan dalam diri. Semaksimum mungkin kita cuba meninggalkan hal-hal yang menjerumus diri ke lembah dosa. Maka jadilah kita umpama sang lebah. Lebah dalam hayatnya singgah di atas bunga. Selain menjadi agen pendebungaan, lebah mempunyai tugas khusus mengumpul madu. Dikerjakan dengan tekun sehingga madu yang diproses dalam badannya, dikeluar semula ke dalam sarang. Kemudian manusia mengambil manfaat khasiat perubatan yang terkandung di dalam madu itu. Lebah tidak sekali-kali walau sedetik singgah ke tempat yang kotor. Manusia yang hidupnya sekejap berubah ke aras kebaikan, tetapi kembali dengan tabiat buruk samalah seperti langau. Langau atau lalat hijau, boleh sahaja singgah di atas najis atau kuih yang manis. Bermakna dia suka yang baik dan buruk. Dan sejenis makhluk lagi tidak pernah sukakan yang baik. Sepanjang hayatnya, najis bagaikan minyak wangi. Dia tekun mengurai najis sehingga tidak lagi berupa najis yang menjijikkan. Itulah kumbang najis.



Mengapa Allah jadikan tiga jenis makhluk ini? Adakah ia suatu yang sia-sia? Tidakkah kita berfikir, sikap dan sifat makhluk ini ada pada manusia? Yang manakah akan dipilih oleh kita? Tentunya orang banyak berkata, “Saya mahu menjadi sang lebah.” Ayuh, untuk menjadi sang lebah bermaksud kita harus terus istiqamah melaksanakan ketaatan yang dilatih sepanjang Ramadan. Bermakna harus berterusan melakukan amal kebajikan seperti ketika berada dalam bulan Ramadan. Solat sunat, bacaan al-Quran, solat berjemaah, bersedekah, memberi makan kepada anak-anak yatim, menjaga lidah, mata, dan fikiran yang sihat wajar diteruskan. Jika yang cuba-cuba berpakaian sopan kerana menghormati bulan Ramadan, kemudian kembali tidak menghiraukan etika berpakaian menutur syariat, nyata sekali anda sudah gagal. Jika ada yang cuba mengkahatamkan al-Quran, kemudian tidak menyentuhnya di bulan-bulan berikutnya, anda juga gagal! Jika kerana tidak mahu pahala puasa berkurang, maka mata, hati dan lidah anda dijaga; kemudian menjadi jalang, liar dan lancang semula – anda juga gagal. Justeru hanya satu perkataan yang perlu dipegang – istiqamah. Istiqamahlah dengan kebaikan sepanjang Ramadan, bukan hanya dilaksana semata-mata kerana menghormati kemuliaan bulan itu, tetapi sebagai tanpa tahap ketaqwaan kita sudah meningkat.


Rabu, September 16, 2009

Penggodam perlu menguji kepakaran mereka

AKTA 588, AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA 1998


Seksyen 263(2) berbunyi,
"Seorang pemegang lesen hendaklah, apabila diminta secara bertulis oleh Suruhanjaya atau mana-mana pihak berkuasa lain, membantu Suruhanjaya atau pihak berkuasa lain itu setakat yang semunasabahnya perlu dalam mencegah pelakuan atau cubaan pelakuan sesuatu kesalahan di bawah mana-mana undang-undang bertulis Malaysia atau selainnya dalam menguatkuasakan undang-undang Malaysia, termasuklah, tetapi tidak terhad kepada, pelindungan hasil awam dan pemeliharaan pertahanan negara."


Sebelum ini ada segelintir umat Islam Malaysia yang sensitif dengan kewujudan satu weblog yang menyesatkan. Pemiliknya sudah dihadapkan ke mahkamah kerana mengaku dirinya sebagai rasul kepada umat Melayu. Sefaham saya, apabila Seksyen 263(2) ingin digunakan, pihak yang akan dirujuk dalam kes ini adalah JAKIM. "Tentu sahaja JAKIM bersetuju memutuskan kandungan weblog itu bahaya dan mengancam akidah umat Islam," kata saya kepada seorang rakan.

Saya katakan kepada rakan itu, "Tunggu sekurang-kurangnya seminggu lagi."
Dan benarlah yang saya katakan, ada sekumpulan manusia yang menggelar diri sebagai Geng 26, Cybertrooper berjaya menggodam weblog tersebut.
Semoga usaha kecil itu dinilai besar di sisi-NYA.

Selasa, September 15, 2009

Rancang perjalanan


Kami akan bertolak dari KL pada malam Sabtu (18 Sept. 2009), selepas taraweh.

Melalui LPT.
Ada dua laluan dengan perbezaan hanya RM5.00 sebagai bayaran tol.

Peta KL - Kuala Berang melalui Lebuhraya Pantai TImur (LPT)

Selamat beraya.
Kepada semua pemandu, pandu dengan berhemah.

Ahad, September 13, 2009

Petua musafir

Salam.

Saya mengucapkan selamat bermusafir kepada semua.
Senario yang biasa.

  1. Pernah terjadi kemalangan iaitu orang yang melaggar mendakwa tidak nampak objek yang dilanggar.

  2. Pernah terjadi orang memandu pada waktu malam nampak dua jalan walhal dia berada dalam lorong yang sama. Satu jalan pada matanya dua.

  3. Pernah terjadi, kita sudah berhati-hati lagi cermat. Orang lain pula melanggar kenderaan kita dari belakang.


Petua ini insya-Allah berguna buat pedoman kita yang bermusafir di malam hari. Ingat, kita bukan hanya berinteraksi dengan alam manusia. Ada alam lain yang kita percaya.
Inilah petua bagi musafir yang diajar oleh Ustaz Abd. Aziz Arof kepada saya.

Tadarus sampai ke penghujung

Semalam, masuk 23 hb. Malam ganjil. Imam Nawawi ditunjukkan Allah tanda lailatul Qadar ketika berusia tujuh tahun. Tanda malam seribu bulan itu dijelmakan dengan cahaya sepenuh rumah. Itulah kelebihan yang Allah kurniakan kepada ulama besar itu. Menurut perkiraan yang digariskan dalam kitab lama, jika satu Ramadhan jatuh pada hari Sabtu, kemungkinan lailatul Qadar adalah pada 21 atau 23 Ramadan. Wallahu’alam.

Semalam saya ikuti tadarus al-Quran di masjid. Kami perlu selesaikan sebelum malam Selasa. Kami sampai ke juzuk 27, bermakna sama ada malam ini atau esok kami perlu habiskan dua juzuk dalam satu malam. Seorang yang saya hormati dalam kumpulan tadarus itu berusia dalam lingkungan 70 tahun. Dia mengikuti pengajian secara talaqqi dengan Tn. Hj. Hassan Azhari. Dan inilah pertama kali dalam hidup saya mendapat pedoman yang lebih mantap bagi memahirkan lagi bacaan. Dengan kata lain, jika saya baca di hadapan orang biasa, tidak nampak sebutan itu tidak betul. Tetapi apabila dibaca ayat yang sama di hadapannya, terdapat sedikit kesalahan. Syukur. Itulah rahmat yang tidak ternilai harganya buat diri yang kerdil ini. Alhamdulillah.
Seorang ahli membaca ayat 31 surah an-Najmi.




Maksudnya;


Dan Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; (diciptakan semuanya itu) untuk membalas orang-orang yang berbuat jahat menurut apa yang mereka lakukan dan membalas orang-orang yang berbuat baik dengan balasan yang sebaik-baiknya.
(31)


Dan dibetulkan bacaannya oleh pakcik itu dengan berkata, kalimah asaa-uu, dibaca dengan kadar satu harakat. Walhal tanda hazaf terletak pada huruf alif, bukan wau. Saya betulkan semula, tetapi pandangan beliau lebih diutamakan. Jadi sebagai menghormatinya, saya beralah. Sepanjang pengetahuan saya, kalimah tadi dibaca dengan dua harakat. Mari kita semak bacaan ayat ini di sini. Saya coretkan hal ini kerana percaya yang betul. Bukan untuk menafikan ketinggian ilmu seseorang yang lebih baik daripada saya. Pernah sekali seorang anak murid (cerita zaman dahulu), perasan kesilapan tuan gurunya. Dia menegur dengan hasrat agar dia dilihat sebagai memiliki kefahaman yang lebih baik daripada tuan gurunya. Disebabkan itu, dia bermimpi bahawa kesilapan tuan guru itu umpama seekor anjng dalam lautan nan luas. Apakah seekor anjing dalam laut yang luas berupaya menukarkan air laut keseluruhannya menjadi air najis? Atau kitabuat bandingan yang lebih dekat dengan kita, apakah tahi cicak yang kecil berupaya menukar air kolah (21 kaki padu) di masjid menjadi najis?


Itulah. Barangkali kerana sifat manusia itu lemah, mungkin disebabkan kesilapan mata yang melihat; maka pakcik itu lihat tanda hazaf di atas huruf ‘wau’. Semoga Allah mengampuninya. Jom kita semak bacaan ayat 31 surah An-Najmi di sini.

Rabu, September 09, 2009

Terima kasih Marsli NO


Sepanjang saya memperkenalkan diri sebagai Naimisa Yusof, tidak ramai yang tahu atau perasan nama sebenar saya. Dan saya tidak boleh menyalahkan sesiapa. Tidak penting nama saya diingat dalam keadaan saya tidak menyumbang apa-apa yang signifikan demi untuk perembangan sastera. Tetapi satu hal yang saya sangat hargai ialah jika terdapat seorang pengamat yang peka dan cakna. Dua hari lalu, saya terima pesanan ringkas alias esemes (SMS) daripada saudara Marsli NO, seorang penulis mapan. Saya jadi keliru sendiri kerana banyak juga karya saya tidak mendapat perhatian editor. Ya, mungkin sahaja mutu karya saya belum mencapai piawai yang ditetapkan. Keliru itu barangkali kerana ada secebis rasa kecewa. Tetapi apabila saudara Marsli NO dapat mengingat nama betul saya, bukan nama samaran yang biasa digunakan – itu saya kira sebagai satu bentuk penghargaan yang bukan kecil nilainya. Tahniah dan moga tidak jemu bersajak! Saya akan petakan pesanan ini dalam minda sebagai azimat. Menulis memang memerlukan kecekalan. Tulis dan teruslah menulis. Semoga Allah membalas kebaikan saudara Marsli NO atas dorongan beliau terhadap saya. Saya masih bertatih dalam dunia yang penuh asing ini.
Dan di bawah karya terbaharu saya yang disiarkan di akhbar perdana – Berita Minggu, 06 September 2009.


Alhamdulillah!
Nota: Tidak dibenar diulangsiarkan karya ini kecuali dengan izin.

Projek Antologi Puisi



Anda berminat? Sila rujuk entri 17 Ogos 2009 ini.

Selasa, September 08, 2009

Ahad, September 06, 2009

Semoga ada perkembangan


Mudah-mudahan ada perkembangan positif. -:) Klik imej di atas untuk mengetahuinya.

Jumaat, September 04, 2009

Perihal keinginan

Kemahuan dan kemampuan. Dua hal yang saling bertentangan dalam diri. Kemahuan lebih menjurus kepada anjuran nafsu manakala kemampuan melibatkan soal-soal tanggungjawab dan material termasuk upaya diri. Dari segi adat, orang muda memang mampu mengerjakan solat sunat Taraweh sebanyak 20 rakaat, tetapi kebanyakan mereka mahu setakat lapan rakaat sahaja. Seorang pekerja dengan gaji sekitar RM2000.00, tetapi dia mahu mengguna kereta berjenama antarabangsa seperti Toyota atau Honda atau BMW. Seorang lelaki punya isteri yang baik, tetapi masih mahukan lebih daripada itu; dia terjebak dalam kancah skandal di luar.

Maka benarlah kemahuan itu isi dengan kuku nafsu. Jika manusia diberi sebukit emas, maka dia akan mencari satu bukit emas lagi. Kemahuan dapat dikekang dengan sifat qana'ah iaitu rasa cukup dengan yang sedikit di samping tidak terlalu bakhil menterjemahkan nikmat-nikmat yang diberi. Seringkali disalahertikan bahawa zuhud itu mestilah seseorang berterampil dalam keadaan yang selekeh. Jika memakai pakaian, tidak dirapikan dengan baik. Jika berkenderaan, memakai kenderaan yang biasa-biasa sahaja. Sebab itu hari ini kita lihat orang biasa mempertikai seorang ustaz atau pendakwah apabila memakai kereta yang hebat. Apakah bagi mereka tidak layak memakai kereta seperti ahli korporat sedangkan mereka mampu memilikinya? Mereka tidak pernah pun meminta kita membayar ansuran kereta itu! Saya kesal kerana ada sesetengah orang tidak mahu mengikut kuliah agama penceramah tertentu hanya kerana ustaz itu dikatakan tidak zuhud. Kononnya ustaz itu sudah menjadi orang yang mengejar keduniaan dengan mempamer kemewahan. Saya katakan, mereka mendapat semua nikmat ini hasil daripada royalti yang dibayar atas harta intelek yang mereka miliki.

Apakah sebenarnya yang dibekalkan sejak azali ke dalam jiwa manusia? Kemahuan boleh dikelaskan sebagai keinginan. Keinginan yang lebih dalam dan membuak-buak dikenal sebagai syahwat. Kamus Dewan hanya mendefinasikan syahwat sebagai “keinginan (untuk melakukan persetubuhan), nafsu bersetubuh, keberahian.” Bermakna itu puncak tertinggi dalam segala keinginan manusia? Manakala al-Quran menyatakan terdapat hal-hal lain yang menyukakan syahwat manusia iaitu dalam konteks syahwat itu sebagai nafsu yang cenderung kepada sesuatu yang menyukakan, menggembirakan, membahagiakan dan dipandang lebih baik apabila dibanding dengan orang lain yang kurang bernasib baik. Ayat 14 surah Aali-'Imran menceritakan secara jelas perkara-perkara tersebut; mafhum ayat ini adalah seperti berikut - "..Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman.." Pun begitu, semua ini dingatkan kepada kita adalah ujian Allah buat hamba-hamba-Nya di dunia.

Tidaklah salah memenuhi keinginan ini tetapi menjadi kesalahan apabila melebihi keutamaan terhadap Allah dan rasul-Nya. Firman Allah yang bermaksud, "Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)."
(At-Taubah: ayat 24)


Memang tidak dinafikan bahawa dalam dunia ini, terdapat juga golongan agamawan yang terpesona dengan dunia. Mereka menjadikan jawatan sebagai tujuan sehingga membelakangkan amanah ilmu yang mereka miliki. Merekalah golongan ulama yang berdamping dengan umara (pemerintah) dan tunduk mengikut telunjuk pemerintah. Merekalah ulama jahat yang menjadikan kita orang-orang awam sebagai mangsa keadaan.

Sepanjang hidup, saya sudah bertemu golongan ini. Dahulu sebelum dia menjadi seorang yang rapat dengan ahli politik, memang pun pandangannya tulus ikhlas. Tetapi apabila dia mendapat jawatan , kedengaran pula yang aneh-aneh semacam mahu mempertahan kesalahan pemimpin walau pun nyata hal itu bertentangan ilmu agama yang dimilikinya. Saya pasti, anda juga seorang pengamat seperti saya. Anda juga mungkin mendapati si fulan si fulan dalam kategori yang saya maksudkan ini. Tidaklah perlulah disebut secara spesifik demi kebaikan semua pihak. Semoga suatu hari mereka insaf dengan kesalahan yang sedang dilalui dan mengubah haluan, insya-Allah.



Khamis, September 03, 2009

Yang naik dan meningkat








Soalan cepu emas: Bila kadar iman kita akan meningkat?

Rabu, September 02, 2009

Karyaku dalam artikel popular web Indonesia


Ini karya saya tahun 2005. -:)

Terjemahan Bahasa Melayu dalam Google



Anda boleh ke laman ini untuk membuat terjemahan dari mana-mana bahasa ke dalam bahasa Melayu atau sebaliknya.

Selasa, September 01, 2009

Sesekali bercuti

Saya pulang menumpang seorang sahabat. Malam itu saya dan dia bergilir-gilir memandu. Dia memandu terlebih dahulu selama tiga jam. Apabila melepasi plaza tol Kuantan, saya mengambil alih pemanduan. Jam menunjukkan 2.30 pagi. Saya belum tidur sedari tadi, jam 10.00 malam ketika kami bertolak dari masjid al-Hidayah, Sentul.


Saya seperti biasa mengambil alih tempat sahabat itu atas dasar percayanya. Dia yakin saya boleh memandu dalam keadaan baik. Memanglah ia suatu yang sukar lebih-lebih lagi jika saya tidak biasa menjadi manusia kelawar. Dalam rekod, saya memang tidak pernah berjaga sehingga larut malam kecuali akan tidur terlebih dahulu dua hingga tiga jam. Entah mengapa pada malam itu saya mendapat satu kekuatan luar biasa. Saya tidak tidur sepanjang malam. Kami tiba di kawasan hutan yang sunyi dengan kabus tebal. Ini menjadikan perjalanan amat perlahan, sekitar 60 kilometer sejam. Kadang-kadang terpaksa pula mengelap cermin hadapan dan menggunakan lampu rendah. Jika menggunakan lampu tinggi, cahayanya diserap kabus dan menjadi lebih kabur. Sesekali kenderaan terpaksa diperlahankan kerana binatang ternakan tidur di atas jalan raya.


Jam 4.00 pagi, kami tiba di Kuala Berang. Syukurlah terdapat satu stesen minyak yang masih dibuka. Setelah mengisi petrol, kami meneruskan perjalanan ke rumah saya. Rumah saya 18 km jauhnya dari pekan Kuala Berang. Tiba di suatu kawasan kebun, seekor babi melintas. Kelam kabut juga babi itu melarikan diri, terpaksa pula saya membunyikan hon. Memang babi betul! Hendak melintas tidak cermat. Hentam keromo sahaja. Kalau lembu atau kerbau, haiwan speasis ini melintas dengan tertib dan perlahan-lahan. Tidak kalut-kalut macam babi. Dan disebabkan sifat babi yang kalut itu, kadang-kadang mengundang rasa terkejut pemandu, sehingga menjadi panik dan tidak fokus pada pemanduan. Dan itu juga menjadikan momentum pelanggaran (sama ada pemandu merempuhnya) atau babi itu yang merempuh kenderaan – sangat besar. Biasanya kesan remuk pertembungan antara babi dengan kenderaan sangat dahsyat. Kecualilah jika anda memandu sebuah lori.

Saya tiba di rumah tepat jam 5.00 pagi. Oo...memang perlahan sungguh saya memandu. Maklum sahaja, kawasan gelap dan penuh dengan haiwan ternak di kiri kanan jalan. Saya tidak berani memandu laju seperti di lebuhraya yang membenarkan pemandu memecut 110 km/j. Itu pun kadang-kadang terlebih pecut – 120 – 140 km/j. Semua orang belum jaga kecuali bonda. Bonda sangat tidak menyangka saya sampai seawal itu dan bersama-sama dua orang sahabat. Mereka dijemput bersahur bersama-sama. Bubur jagung, roti, cempedak goreng dan nasi. “Menu seperti berbuka puasa pula.” Kata sahabat saya. Setelah makan, kami ke masjid bersubuh secara berjamaah. Kemudian setelah itu mereka berdua pulang ke rumah masing-masing.


Saya hanya tidur pada jam 7.30 sehingga 8.30 pagi. Jam 9.00 pagi saya mengikut keluarga ke Mydin, Kuala Terengganu. Semua kami, 12 orang (sembilan orang adik-adik saya, ayah dan bonda) menaiki dua buah kenderaan milik adik-adik yang telah bekerja. Kami membeli keperluan menyambut hari raya tidak lama lagi. Ini kali pertama saya menyertai acara seperti ini. Bil sahaja sepanjang satu hasta (ukuran tangan saya lah), dan mencecah hampir RM650.00. Hah! Memang membeli-belah betul. Betul-betul membeli-belah. Masing-masing yang sudah bekerja menghulur sedikit seorang, bonda tidak diberi peluang menyumbang banyak; sekadar dua keping not lima puluh ringgit. Selebihnya ditaja oleh kami. Disebabkan ini, saya pun memilih sepasang baju Melayu, sehelai baju kemeja dan kain sepasang untuk dibuat baju kurung. Baju kurung? Ya. Kain baju untuk bonda jahitkan kepada seseorang yang bakal menjadi sebahagian daripada keluarga kami. Sebelum ini pun, bonda sudah siap menjahit untuk salah seorang daripada mereka – seorang ustazah lulusan Jordan. Malahan, memang setiap tahun bonda akan menjahit sendiri baju raya anak-anak dan cucunya.


Saya kembali semula ke Kuala Lumpur pada 31 Ogos 2009. Memang sambutan kemderdekaan pada tahun ini tidak semeriah tahun lepas. Tidak banyak kenderaan yang dipasang bendera kecil seperti tahun-tahun sebelum ini. Baguslah, itu dapat menjimat duit. Sambutan kemerdekaan bukan pada kibaran bendera semata-mata. Yang lebih penting, kita menghargai nilai kemerdekaan dalam jiwa dan nubari kita masing-masing. Bersyukurlah dengan nikmat kemerdekaan ini.

Jumaat, Ogos 28, 2009

Apa guna laman web canggih?

Hari ini saya membuat satu carian penting.
Tetapi saya hampa.

Kemudian untuk tidak menghampakan lagi, saya bertanya pada Google.

Dan inilah yang saya jumpa.


Kadar zakat fitrah 2009 : RM7.00

PUTRAJAYA 19 Ogos - Kadar zakat fitrah di Wilayah Persekutuan bagi Ramadan tahun ini dinaikkan daripada RM5.20 kepada RM7. Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali berkata, faktor kenaikan itu adalah berdasarkan perkembangan semasa. Sama seperti di Selangor, zakat fitrah di Wilayah Persekutuan juga RM7.


Pada pendapat saya, maklumat yang sepatutnya berada di laman web pihak yang berautoriti perlulah sentiasa dikemaskini dari masa ke masa. Jika tidak, apa gunanya laman web yang canggih-canggih itu? (Jika tiada maklumat yang sepatutnya ia ada).


Khamis, Ogos 27, 2009

Al-Fatihah buat Senator Prof. Datuk Dr. Ismail Salleh


Foto dipetik dari makalah Jejak-jejak Jaya tulisan Hashimah Hashim.

Al-Fatihah, semoga rohnya dirahmati Allah.

Ini seorang tokoh ekonomi yang saya kagumi. Beliau kembali ke rahmatullah pada 27 Ogos 2009.

Baca sejarah hidup Senator Prof. Datuk Dr. Ismail Salleh di sini

Selasa, Ogos 25, 2009

Panduan solat taraweh belum dibetulkan?


Dan setiap malam kita biasanya menunaikan solat sunat Taraweh sebagai suatu ruang mengejar redha Ilahi. Terpulanglah kepada kita untuk menunaikan solat sunat ini mengikut kemampuan dan kemahuan diri. Orang-orang Makkah menunaikan solat sunat Taraweh dua puluh rakaat. Mereka juga bertawaf sebanyak 16 pusingan. Maka Imam Malik berpendapat bahawa orang Madinah boleh menyamai amalan orang Makkah dengan menunaikan solat sunat Taraweh sebanyak 36 rakaat. Di Malaysia, kita berpegang pada pendapat Imam As-Syafie iaitu menunaikan sama ada lapan rakaat atau dua puluh rakaat.


Soalan saya, betulkah panduan solat sunat taraweh yang kita guna?

Bilal pula, apabila menyebut "Al-Badru al-Munir Muhammadin," disambut oleh makmum dengan, "Shalluu 'alaihi." Iaitu dengan makna makmum menjawab, "Selawatlah kamu semua kepadanya." Tidakkah ini aneh? Bagaimana makmum yang ramai menyuruh seorang bilal berselawat kepada nabi menggunakan kata ganti nama banyak untuk seorang bilal? Sepatutnya, bilal menyeru begini, "Al-Badru al-Munir Muhammadin Shalluu 'alaihi." Kemudian makmun pun berselawatlah kepada nabi, "Allaahumma Shalli 'alaa Muhammad."
Orang Arab yang mengikut kita bertaraweh pasti akan senyum.

Isnin, Ogos 24, 2009

Cabaran menjadi penghafal al-Quran


Malam itu seperti biasa, dua puluh rakaat solat sunat Taraweh didirikan. Memang berbeza sekali pembawaan imam sesuai dengan maksud taraweh itu sendiri iaitu istirehat. Kalau bersembahyang di sesetengah tempat, kadang-kadang Imam membaca seperti mengejar waktu. Maka termengah-mengah makmum mengikutnya. Sampai ada yang berpeluh-peluh. Tetapi di sini, kami dapat bersolat dengan tenang. Imam yang memimpin solat sunat taraweh membaca dua atau tiga ayat sahaja selepas membaca surah al-Fatihah. Ada tempatnya jika ayat itu panjang, maka dibacakan satu ayat sahaja. Bacaan juga tartil.


Imam satu memimpin sepuluh rakaat pertama. Bacaannya baik.
Tiba ayat 52, dia menyudahkan dengan kalimah terakhir ayat 53. Justeru ayat 53 ditinggalkannya. Dia langkau satu ayat. Kemudian pada ayat 55, dia tertinggal kalimah ‘Yaa Musaa’.
Selesai sepuluh rakaat, imam dua menggantikan imam satu seperti biasa.


Imam dua memulakan bacaan dengan baik juga.
Tiba ayat 65 dan 66. Pada awalnya dia membaca dalam rakaat pertama. Pabila masuk rakaat kedua, tiba-tiba dia membaca ayat 66 kemudian diikuti ayat 65. Kemudian rukuk. Untuk rakaat berikutnya dia terus membaca ayat 68. Ayat penting yang menjadi intipati surah sehingga disebabkan ayat itu diletakkan nama surah yang terpanjang dalam al-Quran yang mulia ini; tidak dibaca.


Imam pertama mungkin keliru kerana ayat-ayat 52, 53 dan 56 terdapat kalimah yang sama, iaitu ‘la’allakum’. Ayat 52 dan 56 diakhiri dengan kalimah yang sama iaitu ‘tasykuruuna’ manakala ayat 53 diakhiri dengan kalimah ‘tahtaduuna’.


Dan saya memahami keadaan ini. Inilah cabaran orang yang menghafal al-Quran. Ia suatu yang normal kerana sebagai manusia, kita sering lupa. Tidakkah insan itu sendiri terbit dari kalimah nasia yang bermaksud lupa? Sebagai kesimpulan, jika anda mendapati kesilapan mana-mana Imam bertaraf al-Hafiz, janganlah sekali-kali memperkecilkan mereka kecuali jika anda lebih baik hafalannya daripada mereka. Dan faktanya, Imam-imam yang ditauliahkan memimpin kami lebih baik hafalannya.



Jumaat, Ogos 21, 2009

Deklamasi Peludah Bahasa





Rakaman di Paloh Inn, Kota Bharu. 31 Julai 2009.
Dipetik dari blog Salman Sulaiman.
Lagi Isu PPSMI

Tinjauan pendapat pilihan raya kecil Permatang Pasir


Ya.

Menarik!

Selain kerja, apa lagi yang dicari?


Jurutera sistem mereka bentuk dan mengkoordinasi projek yang kompleks dipanggil sistem. Projek yang besar biasanya dipecahkan kepada sistem yang lebih kecil dan mengkhusus. Sebagai contoh, dalam projek penghasilan resin, terdapat beberapa bahagian penting bermula dari proses pemilihan bahan mentah, tindak balas kimia (kimia proses), proses pengasingan produk sampingan, bahagian buangan lebihan proses, penetapan pemangkin, sistem penukaran haba, pengumpulan (assembly part), pengesahan kualiti, pembungkusan dan penghantaran. Resin dihasilkan dalam palet kecil atau mengikut spesifikasi tertentu yang dikehendaki pelanggan.

Jurutera sistem bertanggungjawab mengawal selia setiap bahagian dalam kitaran sistem sekiranya dia berada pada kedudukan yang paling tinggi (senior) atau menjadi ketua/pengurus besar dalam jabatannya. Tidak boleh tidak, dia perlu memahami setiap bahagian yang berintegrasi dalam kitar hayat produk yang dihasilkan termasuklah prosedur piawai melibatkan mesin dan operator. Boleh jadi seorang sistem jurutera hanya menjaga satu bahagian kecil dengan hanya memerhati data-data di monitor kawalan. Dia hanya perlu memastikan nilai-nilai yang dikawal tidak berada di luar julat yang boleh diterima. Sekiranya terdapat data yang lari, maka dia terpaksa mencari punca kerosakan (divert error) dan menetapkan semula parameter atau pemboleh ubah dalam sistem sehingga nilai-nilai sensitif itu kembali normal. Katakanlah jika nilai suhu dalam sistem PID menunjukkan kenaikan sehingga dua atau tiga peratus, maka dia perlu memeriksa semula penukar haba (heat exchanger). Mungkin terdapat kerosakan di dalamnya atau sistem pendingin hawa di dalam persekitaran kerja tidak cukup baik. Atau mungkin juga, jika dalam sistem yang menggunakan hidrogen cecair sebagai katalis penyejukan, bahan tersebut sudah berkurangan. Selain daripada kemungkinan-kemungkinan itu, tidak lain tidak bukan meter haba pada sistem PID telah rosak dan perlu diganti dengan yang baharu.

Jurutera sistem menggunakan analisis sistem untuk membuat diagram bagi keseluruhan sistem. Mereka menggunakan komputer dan metod matematik seperti aljabar (algebra), teori kebarangkalian yang kompleks seperti persamaan pemindahan Fourier, statistik, kamiran dan lain-lain bagi membolehkannya menukar diagram ke dalam bentuk persamaan matematik. Jurutera sistem membangunkan model teoritikal yang akan membantunya membuat pilihan reka bentuk terbaik. Model-model ini boleh diuji dengan menggunakan perisian komputer yang berkaitan. Dalam penghasilan resin, data-data seperti amaun bahan mentah, hasil tindak balas, produk sampingan, kehilangan (nilai susut) diambil kira bagi menentukan target pembuatannya. Ya, sudah tentu bagi proses kimia, kira-kiranya tidak semudah 4 = 5 + 2 – 3. Barangkali spersamaan sistem menjadi amat kompleks seperti z = 3(x kuasa tiga) + 0.5 y – 12 (x/y) dan ditambah pula dengan faktor-faktor penukaran haba, kadar susut jisim, ralat operator dan sebagainya.

Perkara yang lebih mencabar ialah menentukan kemunasabahan hasil pada skala pengilangan tetapi dijalankan uji kaji pada skala makmal (pilot plant). Inilah yang amat mencabar kredibiliti dan keupayaan seseorang jurutera sistem. Tidak kurang pula hebatnya cabaran jika jurutera sistem diminta meningkatkan skala pengeluaran sekali ganda lebih banyak daripada biasa. Ya, mungkin kita tidak tahu apa-apa yang berlaku kepada jurutera sistem di kilang gula apabila diminta oleh bos mereka menambahbaih sistem sehingga mampu menghasil lebih banyak gula daripada kadar biasa. Dan kita pun hanya sekadar menjadi orang yang hairan dan bertanya, “Kenapa isu gula menjadi besar apabila tiba musim perayaan?” Lebih-lebih perayaan melibatkan orang-orang Islam di negera kita!

Apakah menjadi seorang jurutera sistem ini menyeronokkan? Hal ini sering difikirkan oleh seseorang, iaitu menjalankan kerja di samping mendapat kepuasan dan keseronokan dalam kerja. Bekerja dengan menghadap mesin setiap hari memanglah suatu yang kurang seronok. Kadang-kadang punca sebahagian jurutera sistem berhenti kerja disebabkan masalah kepuasan kerja. Mungkin jiwanya tidak cocok dengan persekitran berinteraksi dengan mesin. Dan dia mahu mencari kerja yang lebih baik yang membolehkannya bercakap lebih banyak dengan orang.


-#-#-#-
Coretan rasa seorang jurutera sistem yang tidak punya nama. Saya sebenarnya tidak layak lagi bekerja sebagai jurutera sistem. “Ok, saya mahu beratur bagi memeriksa suhu badan. Semalam bacaan mesin 3.63...masih selamat daripada dikuarantin. Alhamdulillah!

Rabu, Ogos 19, 2009

Lentera Mustika; novel evergreen



Gambar di atas diambil di sini


Lentera Mustika. Lentera bermaksud lampu (yang bertutup dengan kaca dan lain-lain).


Membaca buku ini sebetulnya memberi kesan tersendiri, banyak sisi ilmu yang dipermudahkan. Setidak-tidaknya saya ingat satu dua pantun yang ditulis di dalamnya. Tidak salah atau keterlaluan jika saya katakan karya ini bersifat evergreen. Gaya pengolahannya menarik di samping pembahagian bab demi bab yang penuh dengan kesinambungan dan kejutan. Pastinya mungkin inilah kelebihan sebuah novel yang ditulis secara bersiri dan dipersembahkan dalam majalah bulanan seperti Aniqah. Kisahnya berkait seorang pensyarah sastera Prof. Madya Ainur Mustika; seorang professional yang termasuk dalam kalangan andartu. Kisah cintanya diolah dengan tidak terlalu mengikut konsep naratif cinta biasa dalam novel popular atau novel cinta remaja.

Dia memang diminati oleh beberapa orang pemuda. Seorang rakan sejawat di sebuah uniersitas Indonesia Syed Amirul Hakim, Zul Farhan bekas pelajar dan Rozario, juga bekas pelajar. Suatu hari dia menemani Dahlia menguruskan urusan pembelian rumah. Sejak detik itulah dia mula mengenali Emir Johan. Lelaki ini sebenarnya seorang dua setelah kematian isterinya dalam kemalangan jalan raya. Dia mempunyai seorang anak susuan bernama Eli Jazlina atau E-jay. Kebetulan pula dia mempunyai minat yang mendalam terhadap sastera. Kesamaan citarasa ini menjadikan mereka dekat dan memiliki pemikiran yang sama terutama dalam bidang kesusasteraan. Ketika Ainur Mustika dan Badariah menyertai persidangan sastera antarabangsa di Beijing, Emir Johan menghulur bantuan kewangan sebagai sokongannya. Pun begitu, dia tidak sekali-kali mensyaratkan apa-apa sebagai imbal balas. Ainur Mustika menghadapi dilema, serba salah dibuatnya.

Saya tidak akan resensikan novel ini seperti biasa-biasa saya tulis untuk novel lain. Mengapa saya kata boleh mengingat satu pantun? Pertama sekali tentulah kerana ilmunya. Walau pun pantun itu ringkas, tetapi pembayangnya membuat saya tertanya-tanya. Ada satu pantun yang dicipta melibatkan pandan. Dan dikatakan pandan itu berduri. Ya, saya tidak pernah jumpa speasis pandan berduri, dan kerana itulah otak saya bergerak untuk mencari-cari benarkah ada satu speasis pandan berduri? Bukan sekadar pandan itu sebetulnya, tetapi dua baris terakhir dalam rangkap pantun itu yang masuk ke dalam diri.

Hendaklah baik memilih pandan,
Di dalam pandan ada duri,
Hendaklah baik membela badan,
Di dalam badan ada diri.

Novel ini boleh dikelaskan sebagai novel Islami kerana pendekatannya. Dalam memperihalkan perhubungan antara Ainur Mustika dengan lelaki-lelaki yang meminatinya, digarap dengan penuh santun. Malahan ada juga penyelesaian mengikut kaedah Islam yang dititipkan seperti persoalan walimah, wasiat, harta sepencarian, hibah dan pusaka. Benarlah jika dikatakan tema berat dan besar telah berjaya diketengahkan dengan baik, ringkas dan mudah difahami.

Selain daripada itu, terdapat satu lagi tema penting yang dimasukkan dalam Lentera Mustika ini. Memang kebanyakan daripada kita tidak peka terhadapnya. Namun begitu, di tangan bekas peguam ini perkara itu dirungkai dengan baik sekali. Sisi perundangan yang ditekankan dalam novel ini mengajak pembaca memahami aspek harta intelek untuk karya khususnya karya tradisional. Jarang-jarang penulis mengangkat persoalan ini di mana-mana. Sehingga sedikit persoalan yang dibangkitkan ini, menggerakkan pula minda saya mendapatkan sebuah lagi buku yang menghurai dengan panjang lebar tentang hak cipta.

Berbalik kepada jalan cerita novel ini, akhirnya Ainur Mustika berkahwin dengan Emir Johan. Tetapi pengakhirannya tergantung pada detik mereka mengecapi kebahagian yang dikejutkan dengan berita penyakit Emir Johan. Penulis tidak menggantung keadaan itu di sini. Bagi saya tidak ada masalah kerana beberapa hal yang ingin disampaikan sudah berjaya masuk ke dalam pemikiran pembaca. Kebergantungan itu boleh jadi sebagai titik yang mempunyai potensi untuk dikembangkan lagi dalam novel lain pula. Kemungkinan juga, akan terdapat kembar kepada novel ini yang akan membincangkan persoalan kehidupan ibu tunggal. Misalnya.

Dan sekali lagi saya tegaskan, karya ini layak dikelaskan sebagai karya evergreen dan tidak sia-sia anda memilikinya.


Isnin, Ogos 17, 2009

Kenangan Ogos 2009


Sesekali diberi peluang beraksi....

Bergambar bersama YB.


Zaman yang perlu berhati-hati.
59 angka korban sehingga kini.....
5 juta dijangka akan terjejas di Malaysia sahaja.

Ahad, Ogos 16, 2009

Kunjungan ke rumah anak yatim Rohingya


Krisis kemanusiaan bangsa Rohingya di Myammar adalah disebabkan perbezaan agama. Bangsa Rohingya menduduki wilayah Arakan, iaitu sebuah wilayah yang dahulunya makmur dengan pendudukan orang Islam. Sebelum berlaku krisis kemanusiaan, sekolah agama, masjid, pengajian pondok dan sistem ekonomi umat Islam Rohingya berjalan dengan baik. Suatu ketika, seorang sami Buddha bermimpi bahawa dia melihat dalam mimpinya bangsa Rohingya menguasai pusat ekonomi di bandar-bandar besar di Myammar. Mimpi itu disampaikan kepada menteri dan lantaran itu terdapat perancangan politik untuk melemahkan orang Islam Rohingya. Antara kekejaman yang dilakukan ke atas mereka ialah dirampas tanah-tanah pertanian dan ternakan serta kampung-kampung. Selain itu mereka juga dikenakan cukai yang tidak munasabah. Orang Islam Rohingya yang ingin menjalankan urus niaga walau hanya mahu menjual seekor lembu mesti mendapat surat khas daripada penguasa. Mana-mana orang yang menjadi tetamu wajib mendapat surat kebenaran menjadi tetamu, dan jika tertangkap dalam keadaan tidak bersurat, tuan rumah dan tetamu akan dipenjarakan. Orang-orang Islam Rohingya tidak boleh menjual hasil pertanian secara terus kepada muslim yang lain, kecuali menjualnya terlebih dahulu kepada peraih Buddha. Peraih-peraih ini mengenakan harga paling rendah, tetapi menukarkan belian dengan membekalkan keperluan muslim Rohingya dengan harga yang tinggi.

Tekanan-tekanan seperti ini membuatkan mereka tidak tahan dan menjadi pelarian. Sebanyak kira-kira satu juta pelarian muslim Rohingya ke Arab Saudi, 700 ribu orang di Pakistan dan Thailand dan 80 ribu orang di Malaysia. Namun begitu, realiti hari ini pun menunjukkan bangsa Rohingya menguasai bidang ekonomi di Myammar. Orang-orang Rohingya yang kaya, memiliki gedung-gedung perdagangan di bandar besar dapat bertahan dengan cara melayani kehendak kerajaan seperti menyalurkan sumber kewangan untuk pembangunan Myammar. Hanya yang benar-benar tidak mampu dengan karenah pemerintah memilih cara untuk mencari kehidupan lain di luar negara. Persoalan sekarang apakah benar bantuan pihak-pihak berautoriti ke atas hal ehwal pelarian Rohingya di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu baik? Apakah ada perkara yang tidak diketahui umum? Suatu hari, seorang bapa menerima bantuan pihak ini bagi membolehkan anaknya bersekolah. Lalu anak itu dihantar ke sekolah Kristian di Kuala Lumpur. Suatu hari dia bermimpi menyembelih anaknya itu. Lalu dia pun melawat sekolah anaknya. Kebetulan dia berjumpa seorang pekerja Indonesia dan pekerja itu bertanya, “Bagaimana kamu boleh menghantar anak ke sini? Anak kamu sedang bersembahyang (ikut cara Kristian).” Sedarlah dia bahawa itulah makna mimpinya. Dia tidak mengambil masa yang panjang untuk menyelesaikan hal ini. Akhirnya dia manghantar anaknya ke sekolah tahfiz. Begitu juga dengan nasib umat Islam Rohingya yang dihantar ke Eropah. Mereka terpaksa menerima kenyataan bahawa anak-anak mereka disekolahkan di sekolah-sekolah Kristian, sekali gus menjadikan mereka tidak kenal lagi Islam. Banyak di kalangan mereka yang telah dihantar kesal dan berpesan kepada sanudara-saudara seislam mereka di Malaysia agar tidak melakukan kesilapan seperti mereka.

Sekolah Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Aitam dan Rumah Anak Yatim Rohingya di Selayang diasaskan sebagai usaha menyelamatkan anak-anak yang masih bersih. Mereka dahulunya berpeleseran meminta sedekah atau menghabiskan waktu di pusat permainan komputer atau terjebak dalam sindiket yang menjadikan mereka pengemis. Pusat ini wujud empat tahun dahulu. Pada awalnya terdapat seramai hampir 100 orang tetapi terpaksa dikecilkan kerana masalah kewangan. Kini jumlah anak-anak yatim Rohingya yang menginap di sini hanya 33 orang di samping beberapa orang ustaz. Memandangkan sumber kewangan yang rumit, pusat jagaan anak yatim ini menyediakan opsyen hafaz al-Quran sahaja. Pada masa hadapan, pengelolanya mahu membuka kelas pengajian agama yang lain memandangkan sebahagian pelajar tidak mampu menghafal.


----------###---------
Catatan sempena kunjungan ke Rumah Anak Yatim Rohingya dan Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Aitam, Taman Wilayah, Selayang. 16 Ogos 2009, 9.00 pagi – 2.00 petang.

Jumaat, Ogos 14, 2009

Indeks pencegahan H1N1: Malaysia ketiga terburuk?





Sumber: Sinar Harian, 14 Ogos 2009, halaman N2.

*Data dalam kolum empat dan lima adalah olahan penulis sendiri.
**Indeks pencegahan yang ditunjukkan adalah penilaian penulis secara peribadi. Mungkin betul dan mungkin juga silap kerana statistik di atas akan sentiasa berubah dari masa ke masa.
*** Angka-angka di dalam jadual di atas hanya sah sehingga detik 9.00 pagi, 14 Ogos 2009, dan tidak boleh dijadikan rujukan yang konkrit.


Sepuluh negara dengan kes kematian tertinggi menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan kesembilan dunia. Sementara nisbah kes kematian berbanding dengan jumlah kes positif H1N1 pula adalah 2.26 peratus. Manakala indeks pencegahan pula menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan ketujuh. Hal ini bermakna kadar penularan dan pengawalan serta pemulihan kes-kes H1NI di Malaysia berada di tahap ketiga paling teruk di dunia. Mengapa berlaku demikian?

Dan angka di atas berubah menjadi 56 lewat berita jam 3.30 petang...

Khamis, Ogos 13, 2009

Ustaz Asri Rabbani.... Al-Fatihah.


Saya terima SMS daripada seorang sahabat tentang pemergian Ust. Asri Ibrahim.
Semoga Allah merahmati rohnya, dan ditempatkan di kalangan hamba-Nya yang soleh.

Buku yang sedang dibaca


Selain ujanailmu, saya juga berpuas hati dengan khidmat pemilik blog ini.
Urusniaga mudah. Di laman web ini, anda boleh mencari buku-buku lama pada harga menarik. Yang penting, buku lebih murah daripada biasa.

Rabu, Ogos 12, 2009

Rehlah


Rehlah.
Merentas hutan.
Khemah ibadah.

Laporan bergambar di sini

Motivasi hutang

Berbaju Melayu tercabut butang
hati gembira jadi redup
usah ditangis pada hutang
kelak pudar semangat hidup


Kesimpulan: Bayarlah hutang anda kerana memudahkan pelajar-pelajar lain pula untuk meminjam.

Selasa, Ogos 11, 2009

Maafkan saya. Maafkan kami juga.

Saya lupa, bahawa sesuatu hal yang besar perlulah disertakan dengan maklumat yang betul. Terlebih dahulu, sahabat saya sudah meminta maaf kepada saya. Begitu juga saya pun mahu memohon maaf jika terdapat sesiapa yang keliru sebagai mana saya keliru; sehingga hadir ke majlis Menjelang 75 tahun SN A Samad Said. Saya memang bersalah kerana tidak menyemak dengan teliti tentang majlis itu walau pun saya berpendapat sepatutnya diuwar-uwarkan lebih awal di blog Tuan Helmi. Bersalah juga kerana saya lupa menjenguk laman sesawang rasmi Wira Bukit sehingga hanya berhenti setakat mencari maklumat di weblog Tuan Helmi. Saya juga terlupa sebenarnya untuk bertanya terus kepada SN A Samad Said melalui nombor telefon bimbitnya. Bukanlah niat saya juga sahabat saya itu untuk mengelirukan mana-mana pihak. Saya juga terlupa untuk mencari bantuan menggunakan mana-mana enjin carian. Sebelum ini, saya menulis seperti mana maklumat yang saya peroleh tentang masanya sebelah pagi. Dan hari ini saya betulkan semula entri tersebut di samping entri tambahan ini. MAAF, saya dan sahabat saya bukan sengaja mahu menyusahkan sesiapa.

Perbincangan Al-Fatihah (2)

Surah al-Fatihah disepakati mengandungi tujuh ayat. Dalam kalangan imam mazhab yang empat, hanya As-Syafie mengatakan bahawa basmalah adalah termasuk dalam bilangan ayat dari surah Al-Fatihah. Manakala imam-imam lain berpendapat bahawa basmalah tidak termasuk ayat-ayat pembuka al-Quran ini. Mereka membahagikan ayat terakhir mengikut pendapat Syafi’eyyah kepada dua ayat, iaitu Siraatha al-ladziina an-‘amta ‘alaihim sebagai ayat keenam dan sambungannya sehinga akhir sebagai ayat ketujuh. Inilah surah yang di dalamnya terdapat 156 huruf, termasuk 14 huruf syaddah (bertanda sabdu). Hendaklah dibaca dengan jelas sebutan syaddahnya.

Jika bacaan syaddah ditiadakan misalnya pada kalimah iyyaaka menjadi iyaaka maksudnya berubah daripada ‘kepada Engkau (Allah)’ menjadi ‘kepada matahari’. Juseru sudah berubah pula makna ayat dan mencacatkan bacaannya. Begitu juga apabila menukar baris sesuatu huruf seperti membaca dengan baris kathrah (bawah) pada kalimah an-‘amta menjadi an’amti maka maksudnya berubah menjadi ‘Engkau (perempuan) yang mengurniakan’ atau mengubah baris taa fathah kepada dhammah (depan) menjadi an-‘amtu; yang bermaksud ‘yang aku kurniakan’. Barangsiapa yang membaca dengan salah secara segaja, batal bacaannya dan haram. Terdapat juga orang yang telor membaca kalimah na’budu menjadi na’buda. Orang yang telor sehingga bacaannya menjadi salah dimaafkan dan hukumnya terpakai untuk dirinya sahaja. Golongan ini tidak layak menjadi imam solat. Pun begitu, hendaklah dia bersungguh-sungguh belajar memperbaiki bacaannya. Menyebut al-hamdu dengan menebalkannya (tidak nipis dan berangin seperti sepatutnya) atau menyebut kaf bukan qaf pada kaimah mustaqiim – hal ini terdapat perselisihan pendapat. Ulama mustaqdimiin (terawal) menyatakan dibolehkan, manakala ulama mutaakhhiriin berpendapat sebaliknya.

Bagi mereka yang tahu tetapi sengaja membaca secara salah, misalnya di dalam ayat iyyaaka (yakni dibaca iyaaka) sesetengah ulama menghukumkannya sebagai haram malah boleh jatuh kepada kafir. Kerana bacaannya disengajakan dalam keadaan dia tahu.

Membaca bacaan atau zikir asing walaupun di luar solat bacaan itu disunatkan membatalkan bacaan Fatihah. Hendaklah diulang semula bacaan Fatihah dari awal. Contohnya seseorang itu bersin lalu menyambutnya dengan menyebut alhamdulillah, batal bacaan Fatihahnya. Tetapi jika bacaan zikir itu bersangkutan dengan solat, seperti bacaan sujud tilawah, bacaannya tidak batal. Sebagai contoh, saya masuk solat Subuh (Jumaat), dan membaca al-Fatihah. Setelah sampai ayat kelima, imam sujud tilawah. Maka saya perlu sujud, membaca zikir ketika sujud (sajada wajhiya liladzi khalaqahu washawwarahu washaqqa sam-‘ahu wabasharahu bihaulihi fatabaarakAllahu ahsanul khaaliqiin – tiga kali), kemudian apabila bangkit semula, saya perlu menyambung ayat keenam dan ketujuh. Begitu juga bagi orang yang menjawab amin sedangan dia membaca surah al-Fatihah, hendaklah dia menyambung ayat seterusnya. Begitu juga jika seorang makmum membaca ‘balaa wa ana ‘alaa dzaalika min asy-syaahidiin’ apabila imam selesai membaca surah At-Tin. Bacaan Fatihahnya tidak dikira batal.

Selain itu, bacaan Fatihah juga perlu dipastikan secara mu’awalat (berturutan), tidak diselangi dengan waqaf yang lama. (Tambahan pencatat: Masa purata bacaan surah Fatihah secara tartil ialah 40 – 45 saat). Cukuplah selang waktu di antara satu ayat kepada ayat berikutnya sekadar waktu menarik nafas. Hal ini terkecuali bagi mereka yang lelah yang terpaksa mengambil masa lebih lama untuk bernafas; atau sela waktu itu disebabkan batuk atau menguap. Pun begitu, tidaklah boleh sekiranya dibaca secara saktah, iaitu membaca secara tergesa-gesa dengan hanya berhenti satu-satu ayat dan menyambung ayat berikutnya dengan nafas yang sama.


(Rumusan Kuliah Maghrib, Ustaz Abdul Aziz Arof, 09 Ogos 2009, Kitab Fathul Mu’in, Masjid Al-Hidayah, Sentul, KL)

Siri berikutnya bersambung selepas raya 'Idul Fitri

Mesej pencegahan H1N1


Klik gambar di atas jika tidak jelas.

Isnin, Ogos 10, 2009

Sedang membaca....bermula 6 Ogos 2009

Lentera Mustika Lentera Mustika by Nisah Haji Haron



Tidak pernah saya buku yang mengandungi pantun, kemudian saya ingat pula pantun itu..... Hmm..... sebelum ini beberapa novel yang banyak pantun seperti Warisnya Kalbu atau Sangheetha, tidak pula ada satu pantun tertentu yang lekat di kepala saya. Menarik tu...Nanti akan diresensikan setelah tamat baca, InsyaAllah.

View all my reviews >>

Puasa.


Imam Malik berpendapat bahawa pada malam pertama Ramadhan hendaklah seseorang berniat untuk berpuasa keseluruhan bulan. Boleh jadi dia terlupa untuk berniat sebelum fajar pada hari-hari berikutnya. Niat yang disarankan itu berbunyi, “Nawaitu shauma fardha Ramadhana haa-dzihi as-Sanati kullahu liLLAAH.” – “Sahaja aku berpuasa fardhu Ramadan tahun ini keseluruhannya kerana Allah.” Imam As-Syafie berkata, pendapat ini perlu diraikan dan dilakukan di samping berniat juga dengan niat harian. Bermakna tidaklah menjadi kesalahan jika suatu hari seseorang yang berpegang pada pendapat Imam Syafie terlupa berniat sebelum fajar jika dia sudah berniat untuk keseluruhan bulan pada malam pertama.


Mengikut pendapat Imam Syafie, setiap malam sebelum terbit fajar hendaklah diniatkan puasa seperti berikut, “Sahaja aku puasa fardhu Ramadhan esok hari pada tahun ini kerana Allah.” Tetapi bagi imam-imam mahzab lain (Abu Hanifah, Maliki dan Hanbali) tidak mensyaratkan hal itu sebagai salah satu syarat sah puasa. Demikianlah ketelitian Imam Syafie di samping tidak membantah pendapat Imam-imam yang lain kerana semuanya membawa dalil yang kuat untuk mengeluarkan sesuatu perkara.


(Rumusan Kuliah Subuh, 08 Ogos 2009. Ustaz Abdul Aziz Arof, Kitab Hidayatus Salikin, muka surat 140, Masjid al-Hidayah)

Iklan: Program Ceramah Ambang Ramadhan akan diadakan di Masjid Al-Hidayah, Sentul pada 13 Ogos 2009 (Khamis). Penceramah: Ust. Mohd Nazri Bin Chik, Ketua Jab. Syariah, BIMB. Waktu: Lepas solat Maghrib.

Sumber Foto: BIMB

Bolehkah diganti solat sunat?


Suatu hari nabi menerima kunjungan kaum Abul Qais yang mahu memeluk Islam. Baginda baru sahaja selesai menunaikan fardhu Zuhur. Urusan itu penting lalu baginda menyegerakannya tanpa terlebih dahulu menunaikan solat sunat selepas Zohor. Selesai urusan itu, baginda menunaikan solat sunat selepas solat Fardhu ‘Asar.

Dari Abdullah bin ‘Abbas radiallahu ‘anhuma, beliau berkata, “Aku mendengar bukan hanya dari seorang sahabat; antaranya Umar al-Khattab bahawa suatu hari bimbang akan nabi Muhammad urusan pengislaman suatu kaum. Dan baginda menunaikan solat sunat dua rakaat selepas ‘Asar.” (Sila rujuk hadis ke -28, kitab Muqtashar Hadith (Ringkasan Hadis) Imam Tirmidzi).

Hadis yang dikeluarkan oleh Imam Tirmidzi ini hasan sahih. Imam Nawawi rahimahullah ‘alaihi berkata bahawa hadis ini juga diriwayatkan oleh ‘Aisyah, Ummu Salamah, Maimunah, Anas bin Malik dan lain-lain. Konsep menggantikan solat sunat di luar waktu dibolehkan dengan syarat tidak sengaja meninggalkannya. Dan meninggalkannya pula dengan sebab melakukan pekerjaan yang lebih penting. Persoalan yang timbul, adakah ada solat Qadha? Apakah ada niat “Ushalli fardha Az-Zuhri qadhaa-an…..” Memanglah tiada. Kerana tidak pun disyaratkan dalam niat menyebut tunai (adaa-an). Dalam niat hanya qasad (ushalli – sahaja aku solat), ta’radh (fardha/sunnata; kategori solat sama ada fardhu atau sunat) dan ta’yin (iaitu menyebut nama solat; contohnya Zohor). Pun begitu, perlulah difahami apabila solat ditunaikan di luar waktu, secara automatik dikira sebagai solat qadha’, bukan lagi solat tunai.


(Rumusan Kuliah Maghrib, 07 Ogos 2009, Ustaz Raihan Bin Abdul Aziz, Masjid al-Hidayah, kitab Muqtashar Hadith (Ringkasan Hadis) Imam Tirmidzi Sentul, KL)

Jumaat, Ogos 07, 2009

Kamus pun boleh 'bercakap'.


Untuk contoh di atas, saya mahu mendengar perbezaan cara menyebut perkataan launch mengikut piawai antarabangsa yang ditetapkan. Ya, dapatlah saya tahu perbezaan cara menyebutnya.

Saya seorang yang kurang pandai Bahasa Inggeris.
Untuk mengatasi masalah ini, saya suka merujuk kamus sama ada Kamus BI - BM DBP atau kamus Inggeris ini. Kamus yang satu ini punya kelebihan kerana memaparkan perkataan Inggeris mengikut piawai AS atau Britain. Jadi bolehlah saya mendengar perbezaan sebutan sesuatu perkataan jika terdapat dalam daftar kata kedua-dua negara. Pun begitu, ada juga sesetengah perkataan yang hanya dimiliki oleh satu negara, England misalnya.
Contoh: omnipotent (only England word).
Makna: Having unlimited power or authority
e.g With Internal Security Act, a minister has omnipotent to detaine anyone who is believed in promoting feelings of ill-will and hostility.

Khamis, Ogos 06, 2009

Menjelang 75 Tahun SN A Samad Said

Empat tahun dahulu....(gambar dirakam oleh eSastera.Com)



Tahun 2009.



Satu majlis Menjelang 75 Tahun Sasterawan Negara (Rakyat) Dato' Dr. A. Samad Said, akan diadakan di bangunan lama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sabtu, 08 Ogos 2009. Laporannya di Wira Bukit dan Blog Enche Saya terima maklumat ke majlis ini dari sahabat saya ini.

Ahad, Ogos 02, 2009

Adakah benar; saya syok sendiri?

Mungkin suatu hari, 30 tahun nanti, kalau anda tengok semula, kenang semula apa yang anda tulis atau deklamasikan dahulu, anda mungkin berkata, 'Gila sungguh aku!' Dan mungkin juga anda tertawa sendiri.

Gambar 01/08/2009, Paloh Inn, Kota Bharu. AKSES 4.

Dan itulah, dalam foto itu saya membaca puisi sendiri yang disiar di Majalah Tunas Cipta, Ogos 2009. Alahai! Syok sendiri pula.

Dan kerana beraksi itu, adik saya menyatakan kemujurannya kerana saya tidak sempat menyertai demo di KL. Saya balas semula mesejnya, "Kalau saya pergi demo, apakah saya akan merusuh?"