Memaparkan catatan dengan label csr. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label csr. Papar semua catatan

Isnin, April 26, 2010

Lawatan ke Rumah Solehah


Anak kecil yang ditinggalkan itu sudah dihurung semut. Ada tangan yang menyambutnya penuh hiba dan kasihan. Sehingga kini, ibu yang membuangnya tidak pernah diketahui. Anak kecil itu sudah besar tetapi dalam keadaan tidak sempurna. Namanya diabadikan pada sebuah rumah perlindungan kanak-kanak yang diberi nama Rumah Solehah. Itulah kisah yang berlaku pada tahun 1998 dahulu. Puan Wan Hava dan arwah suaminya menubuhkan sebuah rumah perlindungan untuk anak-anak terbiar yang menjadi mangsa keadaan. Kes Solehah meskipun agak terpencil dan istimewa berbanding niat asal mereka iaitu menyediakan tempat perlindungan bagi anak-anak pembawa Virus Kurang Daya Tahan Badan/Imun (HIV).

Dalam usia 61 tahun, Puan Hava yang lebih selesa dipanggil Mak Wan masih kelihatan sihat berkat usaha beliau menumpahkan kasih sayang kepada kanak-kanak HIV. Kunjungan kami ke Rumah Solehah di No. 2, Jalan Budiman 11, Taman Mulia, Bandar Tun Razak, Cheras disambut mesra oleh pengurus Puan Diah. Kami tiba 45 minit lebih awal dari jadual janji temu. Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sumbangan sebuah institusi kewangan antarabangsa yang beroperasi di tanah air berada di hadapan pintu rumah. Bahkan sewa bulanan rumah perlindungan itu sendiri menurut Mak Wan, telah dibiayai oleh pihak berkenaan.

Apalah yang difahami oleh anak-anak kecil tentang kehidupan? Mereka pun tidak pernah tahu bahawa pada masa hadapan, lorong kehidupan mereka amat berliku. Di hadapan mereka adalah risiko kematian yang bakal merenggut bila-bila masa. Mereka sekadar ingin bergembira menikmati kehidupan mereka yang singkat. Apa yang didahagai hanyalah perhatian dan belaian kasih sayang sesama manusia. Kehadiran kami sedikit sebanyak menceriakan hidup mereka. Ada yang meminta kami mendukung dan bermain-main. Malah ada yang menangis kerana berebut giliran untuk didampingi. Ahli rombangan kami yang tidak sebegitu ramai ini seringkali tidak menang tangan melayani keletah mereka.

Rumah perlindungan ini menyediakan suasana aman buat mereka. Setiap hari mereka perlu menghabiskan dos ubat-ubatan sebagai ikhtiar memanjangkan hayat (prolong life). Setiap tiga bulan, mereka perlu menjalani sesi ujian perubatan di hospital. Di sana, doktor akan memeriksa perkembangan dan tumbesaran kanak-kanak malang ini. Ketika sihat, mereka kelihatan seperti kanak-kanak normal. Mereka riang, cergas berlari dan bermain seperti kanak-kanak lain seusia mereka. Tetapi, tika mereka diserang penyakit hatta demam yang ringan sekalipun,tubuh mereka akan lemah longlai. Meskipun stigma masyarakat terhadap kanak-kanak ini tidak setebal saat awal penubuhannya, masih ada pelawat yang tidak berani bergaul mesra mendukung atau membelai mereka. Walhal sekadar sentuhan (body contact) tidak akan menyebabkan virus HIV merebak.

Anak-anak yang sudah mencapai peringkat persekolahan dihantar ke sekolah. Memang bukan sedikit konflik jiwa yang terpaksa mereka hadapi ketika di sekolah. Adakalanya mereka dipinggir, dicela, dijauhi malah pernah ada ketika pihak-pihak tertentu menghalang mereka dari bersekolah dengan alasan kekhuatiran yang tidak bertempat. Kanak-kanak malang ini tidak berdosa, malah mereka sendiri tidak tahu menahu bagaimana dan kenapa mereka dijangkiti virus yang masih belum ditemui penawarnya itu. Tetapi yang pasti kanak-kanak malang ini lahir dan mewarisi virus tersebut hasil dosa dan noda yang dicari oleh orang-orang tua mereka sendiri. Pelacuran, perzinaan, hubungan sejenis dan penagihan najis dadah pastinya antara punca. Hasilnya lahirlah anak-anak malang ini yang dilahirkan berpenyakit, terbiar menderita malah oleh ibu bapa dan waris mereka sendiri.

Sesi kami pagi itu dimulakan dengan aktiviti memperkenalkan anak-anak HIV ini dengan konsep asas Islam. Rukun Islam, Rukun Iman, konsep kesyukuran dipupuk melalui aktiviti nasyid. Selain itu kami juga bersama-sama membimbing mereka melalui aktiviti mewarna, mencari perkataan tersembunyi berkaitan perkara asas dalam Islam dan membuat lukisan pasir. Sesi bermesra dengan penghuni Rumah Solehah tamat pada jam 2.00 petang selepas makan tengah hari. Sebelum kami melangkah pulang, beberapa orang penghuni bertanya, “Abang boleh datang hari Ahad?” Saya bertanya, “Kenapa?” Lalu dijawabnya, “Saja, untuk bermain-main. Main apa-apalah.”

Mana-mana pihak yang ingin menyumbang bakti, bolehlah menghubungi pengasas Rumah Solehah, Puan Wan Hava (Mak Wan) di talian 03-917 21533. Taman Mulia terletak berhampiran stesen LRT Bandar Tun Razak. Menurut Mak Wan, “Banyak pihak telah memberi sumbangan material, kini apa yang mereka perlukan ialah peluang menikmati kehidupan sebagai kanak-kanak. Sebagai kanak-kanak, mereka perlukan perhatian, belaian dan kasih sayang.” Sinar mata anak-anak tersebut mengiringi kepulangan kami dengan harapan kami akan kembali.


Sisipan Berita.
Sukarelawan-sukarelawan Unit CSR & RSA syarikat tempat aku bekerja telah mengadakan kunjungan ke Rumah Solehah pada 24 April 2010. 9.45 pagi - 2.00 petang.

Sabtu, Februari 06, 2010

Tangguh lagi....



Ditunda pula: 6 Mac 2010, Sg. Congkak, Hulu Langat.
Apa itu Befrienders?

Sabtu, Oktober 24, 2009

Berkunjung ke Darul Wardah, Rumah Perlindungan Wanita.



Berbaju hitam. Tidak nampak muka pun, ok. -:)


Kunjungan ke Rumah Darul Wardah, Kg. Jalan Kebun, Selangor memakan masa satu jam. Kami tiba sekitar jam 10.00 pagi. Seramai 34 staff menyertai program ini terdiri daripada tujuh orang lelaki dan 27 orang wanita. Jarak dari pejabat di Jalan Sentul lebih kurang 40 km.


Ketibaan disambut oleh sukarelawan Darul Wardah (DARWA) dengan senyum manis dan rasa terharu. Rumah perlindungan ini banyak mendapat permohonan wanita-wanita yang teraniaya. Menurut Ustazah Haslina (saya kurang pasti nama sebenar), semenjak Disember sehingga kini terdapat 984 permohonan diterima. Penghuni rumah perlindungan ini dididik dengan ilmu fardhu 'ain, al-Quran dan agama di samping sokongan moral untuk terus tabah meneruskan kehidupan. Kos operasi rumah perlindungan ini sekitar RM30 000 sebulan. Usaha kecil ini dilaksanakan sebagai langkah menyelamatkan akidah anak-anak yang bakal lahir. Jika dibandingkan dengan rumah perlindungan golongan ini yang dibuat oleh badan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam, anak-anak terpaksa diserahkan kepada pihak mereka. Secara tidak langsung akidah mereka tidak terjamin.


Setelah ucapan ringkas pengerusi merangkap pengurus program – En. Aidi dan ucapan aluan pihak DARWA, majlis dimulakan dengan sesi sarapan pagi kemudian diikuti dengan program gotong-royong mencantikkan landskap. Pengunjung lelaki ditugaskan membersih halaman rumah dan menanam beberapa jenis pokok; ubi kayu, cekur manis, pandan, cili api, kesum, serai dan limau nipis. Manakala pengunjung wanita beramah mesra dengan penghuni dan anak-anak di dalam rumah. -:) Sememangnya pengisian program seperti ini memberi makna buat semua. Tepat jam 12.45 gotong-royong selesai dan diikuti majlis penutup. En. Fareez – Ketua Jabatan Sumber Manusia SWS Sdn Bhd menyampaikan sumbangan kewangan daripada syarikat kepada pihak DARWA. Majlis turut dihadiri oleh Ustaz Farid Wajdi dan isteri. Program tamat jam 1300.


Nota: Kepada mana-mana pihak yang berminat menyumbang bantuan kewangan, bolehlah merujuk nombor akaun yang tertera di weblog DARWA


Ahad, Ogos 16, 2009

Kunjungan ke rumah anak yatim Rohingya


Krisis kemanusiaan bangsa Rohingya di Myammar adalah disebabkan perbezaan agama. Bangsa Rohingya menduduki wilayah Arakan, iaitu sebuah wilayah yang dahulunya makmur dengan pendudukan orang Islam. Sebelum berlaku krisis kemanusiaan, sekolah agama, masjid, pengajian pondok dan sistem ekonomi umat Islam Rohingya berjalan dengan baik. Suatu ketika, seorang sami Buddha bermimpi bahawa dia melihat dalam mimpinya bangsa Rohingya menguasai pusat ekonomi di bandar-bandar besar di Myammar. Mimpi itu disampaikan kepada menteri dan lantaran itu terdapat perancangan politik untuk melemahkan orang Islam Rohingya. Antara kekejaman yang dilakukan ke atas mereka ialah dirampas tanah-tanah pertanian dan ternakan serta kampung-kampung. Selain itu mereka juga dikenakan cukai yang tidak munasabah. Orang Islam Rohingya yang ingin menjalankan urus niaga walau hanya mahu menjual seekor lembu mesti mendapat surat khas daripada penguasa. Mana-mana orang yang menjadi tetamu wajib mendapat surat kebenaran menjadi tetamu, dan jika tertangkap dalam keadaan tidak bersurat, tuan rumah dan tetamu akan dipenjarakan. Orang-orang Islam Rohingya tidak boleh menjual hasil pertanian secara terus kepada muslim yang lain, kecuali menjualnya terlebih dahulu kepada peraih Buddha. Peraih-peraih ini mengenakan harga paling rendah, tetapi menukarkan belian dengan membekalkan keperluan muslim Rohingya dengan harga yang tinggi.

Tekanan-tekanan seperti ini membuatkan mereka tidak tahan dan menjadi pelarian. Sebanyak kira-kira satu juta pelarian muslim Rohingya ke Arab Saudi, 700 ribu orang di Pakistan dan Thailand dan 80 ribu orang di Malaysia. Namun begitu, realiti hari ini pun menunjukkan bangsa Rohingya menguasai bidang ekonomi di Myammar. Orang-orang Rohingya yang kaya, memiliki gedung-gedung perdagangan di bandar besar dapat bertahan dengan cara melayani kehendak kerajaan seperti menyalurkan sumber kewangan untuk pembangunan Myammar. Hanya yang benar-benar tidak mampu dengan karenah pemerintah memilih cara untuk mencari kehidupan lain di luar negara. Persoalan sekarang apakah benar bantuan pihak-pihak berautoriti ke atas hal ehwal pelarian Rohingya di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu baik? Apakah ada perkara yang tidak diketahui umum? Suatu hari, seorang bapa menerima bantuan pihak ini bagi membolehkan anaknya bersekolah. Lalu anak itu dihantar ke sekolah Kristian di Kuala Lumpur. Suatu hari dia bermimpi menyembelih anaknya itu. Lalu dia pun melawat sekolah anaknya. Kebetulan dia berjumpa seorang pekerja Indonesia dan pekerja itu bertanya, “Bagaimana kamu boleh menghantar anak ke sini? Anak kamu sedang bersembahyang (ikut cara Kristian).” Sedarlah dia bahawa itulah makna mimpinya. Dia tidak mengambil masa yang panjang untuk menyelesaikan hal ini. Akhirnya dia manghantar anaknya ke sekolah tahfiz. Begitu juga dengan nasib umat Islam Rohingya yang dihantar ke Eropah. Mereka terpaksa menerima kenyataan bahawa anak-anak mereka disekolahkan di sekolah-sekolah Kristian, sekali gus menjadikan mereka tidak kenal lagi Islam. Banyak di kalangan mereka yang telah dihantar kesal dan berpesan kepada sanudara-saudara seislam mereka di Malaysia agar tidak melakukan kesilapan seperti mereka.

Sekolah Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Aitam dan Rumah Anak Yatim Rohingya di Selayang diasaskan sebagai usaha menyelamatkan anak-anak yang masih bersih. Mereka dahulunya berpeleseran meminta sedekah atau menghabiskan waktu di pusat permainan komputer atau terjebak dalam sindiket yang menjadikan mereka pengemis. Pusat ini wujud empat tahun dahulu. Pada awalnya terdapat seramai hampir 100 orang tetapi terpaksa dikecilkan kerana masalah kewangan. Kini jumlah anak-anak yatim Rohingya yang menginap di sini hanya 33 orang di samping beberapa orang ustaz. Memandangkan sumber kewangan yang rumit, pusat jagaan anak yatim ini menyediakan opsyen hafaz al-Quran sahaja. Pada masa hadapan, pengelolanya mahu membuka kelas pengajian agama yang lain memandangkan sebahagian pelajar tidak mampu menghafal.


----------###---------
Catatan sempena kunjungan ke Rumah Anak Yatim Rohingya dan Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Aitam, Taman Wilayah, Selayang. 16 Ogos 2009, 9.00 pagi – 2.00 petang.

Ahad, Julai 26, 2009

Sesekali ber-CSR.



Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) hari ini disertai kira-kira 42 orang termasuk koordinator program ke Muzium Negara. Peserta terdiri daripada 20 orang kakitangan syarikat di bawah Kumpulan SKALI, serta 21 remaja peringkat sekolah menengah yang menyertari program ESP khususnya bimbingan pendidikan.


Kebetulan pada waktu lawatan ini diadakan, Pameran Darurat sedang berlangsung sehingga 30 Ogos 2009. Selain mengunjungi Pameran Darurat, kami juga berpelauang mengunjungi Pameran Bunga dan Pameran Asean. Banyak perkara baharu yang dipelajari sepanjang lawatan ini. Lawatan tamat jam 5.30 petang.

Ahad, Mei 31, 2009

Pasca Kursus Kefahaman dan Penghayatan Fardhu Ain 2009

Kursus Kefahaman Islam dan Penghayatan Fardhu Ain yang dianjurkan oleh Masjid Al-Hidayah Sentul sungguh memberangsangkan. Penyertaan adalah melebihi target asal (100 orang) iaitu 120 orang. Peserta-peserta program terdiri dari kalangan pelajar SM(L) Methodist, SM (L) Las Salle dan SMK Bandar Baru Sentul. Namun begitu terdapat juga permintaan daripada ahli kariah masjid agar program dibuka kepada anak-anak remaja yang sedang bercuti. Akibat kelonggaran yang dipertimbangkan itu, pertambahan peserta meningkat sebanyak 40 orang pada hari pertama program (walk-in registration). Konsultan program iaitu Unit CSR & CSA, SKALI Web Services Sdn Bhd terpaksa membuat beberapa pengubahsuaian agar dapat dimanfaatkan oleh penyertaan lebih ramai peserta.

Saya selaku urus setia program juga bertindak sebagai fasilitator bagi melicinkan perjalanan program. Memang tidak jauh bezanya rencam remaja bandar dengan remaja di luar bandar dalam hal penghayatan kepada aspek fardhu ain. Beberapa sesi kaji selidik dalam modul program yang dijalankan menunjukkan tiada di kalangan peserta ingat semua sifat 20 puluh. Sesetengah peserta pula apabila ditanya, “Siapakah yang lebih anda percaya?” Jawapan yang diberi adalah rakan sebaya. Mereka beralasan bahawa ibu bapa tidak memahami jiwa mereka, sibuk dengan kerja, tiada ruang berbincang dengan ibu bapa, ibu dan bapa juga mempunyai masalah di rumah dan hanya rakan dapat memahami keseronokan yang diinginkan. Saya menyedarkan mereka, bahawa dalam dunia ini adalah sukar untuk mencari teman menangis. “Apakah sekiranya ditangkap dan ada kalangan rakan mereka terlepas, mereka akan melawat kamu di penjara?” soal saya. “Apakah kalau sekiranya anda terlantar di wad, kawan anda yang bersama-sama bergelak ketawa akan menunggu di wad sepanjang hari?” Demikian beberapa soalan untuk mengajak mereka berfikir bahawa menyalahkan ibu bapa sahaja adalah tidak wajar. Saya memberi contoh, seorang rakan saya menulis surat kepada ibu bapanya untuk berkongsi masalah. Malah ada juga yang menulis catatan diari dan sengaja membiarkan diari itu dibaca oleh ibu atau bapa. Seteruk mana pun persepsi remaja (dalam konteks ini remaja yang bermasalah), terhadap kedua ibu bapa, mereka tidak seharusnya membelakangi ibu dan bapa.


Dari segi pelaksanaan program, pihak masjid telah mengorak langkah baharu untuk mendepani massa. Pengimarahan masjid sedang dikembangkan untuk dimanfaatkan demi kebaikan masyarakat di sekitarnya. Malahan kami juga mendapat maklum balas positif agar usaha seumpama ini dikembangkan ke masjid-masjid di tempat lain. Seorang guru pengiring yang sempat berbual dengan pengarah program mencadangkan kumpulan kami mengadakan program sedemikian di masjid berhampiran sekolah beliau. Ya, semoga diberi peluang dan kekuatan kepada kami untuk menyahutnya. Saya juga sangat menghargai pandangan pihak-pihak yang perihatin dengan keadaan semasa golongan remaja hari ini. Bagi mereka, usaha murni ini haruslah diteruskan memandangkan kini terlalu banyak anasir buruk yang melandai alam remaja. Permasalahan mereka wajar ditangani dengan kerjasama semua pihak. Usahlah ada di kalangan kita menuding jari kepada pihak lain tanpa memberi alternatif kepada teguran yang dibuat. Masalah yang amat kritikal (realiti masyarakat) biasa ditemui ialah lebih banyak orang suka mengkritik daripada mengemukakan penyelesaian. Akhirnya semua pihak rugi dengan hanya berpolemik untuk memenangkan pihak masing-masing. Benarlah, dalam dunia ini kerja yang paling mudah dilakukan ialah mengkritik. Kritik dan kritik. Saya tidak melihat semua kritikan tidak berasas, tetapi jika kritikan itu berasa sekali pun, nah kemukakan juga penyelesaiannya. Kita semua diberi akal untuk sama-sama memikirkan hal yang baik dan berguna.


Sama ada anda bersetuju atau membantah pendapat saya, terpulanglah kepada diri masing-masing. Yang penting, mulakanlah sesuatu dari diri kita.


Naimisa, Softlakes Sdn. Bhd, Sentul, KL. 31052009, 1830.