Memaparkan catatan dengan label al-Quran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label al-Quran. Papar semua catatan

Sabtu, Oktober 29, 2011

Usia adalah panjang waktu sedang amal adalah lestari waktu

Subuh hari ini Sheikh Solah mula perkenal cara baharu dalam pengajian. Setiap orang perlu membaca satu ayat kemudian mengeluarkan (takhrij) hukum tajwid. “Saya harap dengan kaedah pengajaran baharu ini jumlah kehadiran tidak berkurang.”

Setelah selesai membaca secara talaqqi beramai-ramai, kaedah baharu dijalankan. Pelajar kedua, “Ini dibaca dengung. Tapi saya tidak tahu hukumnya.” Pelajar ketiga pula membaca dengan betul. Tetapi langsung tidak dapat menjelaskan hukum tajwid. Penjelasannya mudah. Setiap orang hanya perlu sebut begini, “Mad asli dibaca dua harakat.” Atau, “Izhar halqi tidak dengung.” Dan seterusnya. Tidak perlu dihuraikan dengan panjang lebar. Sampai kepada pelajar ketiga sheikh terpaksa berhenti sejenak. Kelihatan seorang dua pelajar berundur. “Barangkali mereka ada urusan kerja.” Saya bersangka baik terhadap mereka.

Bagi ayat keempat hingga enam sheikh menunjukkan cara takhrij hukum tajwid yang dikehendaki. “Jadi saya minta tuan-tuan buat kerja rumah dengan membaca lima ayat sehari. Nyatakan hukum tajwid. Tidak banyak sebenarnya. Sebahagian hukum tajwid akan berulang-ulang dalam setiap ayat atau dalam ayat berikutnya.”

Betapa inilah yang kadang-kadang menjadikan orang tidak sabar belajar al-Quran. Mungkin disebabkan rasa malu. Atau mungkin juga disebabkan ego. Tetapi dalam kesusahan dan kesabaran menahan rasa malu dan membuang ego adalah pahala yang besar di sisi-NYA. Tidakkah disebut dalam hadis nabi yang bermaksud, “Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar al-Quran dan mengajar kepada orang lain.”? (Versi Arab: Khairukum man ta’alama al-Quran wa-‘allamahu). Maka setiap pelajar diberi masa dua minggu memandangkan Sabtu depan kelas tiada sempena Hari Raya ‘Id al-Adha.

Saya masih ingat kaedah pengajian seperti ini yang saya lalui ketika berusia sembilan tahun. Ayah mengajak saya bertalaqqi setiap malam Selasa di masjid bersama-sama pelajar dewasa. Dan sehingga sekarang pun, mana-mana pengajian al-Quran yang saya hadir untuk kategori dewasa melibatkan orang-orang veteran. Soalnya di mana orang muda belia? Dalam 40 orang pelajar di sini, kurang lima orang yang berusia bawah 30 tahun. Saya pun tertanya-tanya bagaimana kaedah yang sepatutnya untuk menarik minat belia mengikut pengajian seperti ini? Apakah mereka masih menunggu waktu senja? A Samad Said pernah menulis begini, “Usia adalah panjang waktu sedang amal adalah lestari waktu.” Maksudnya alangkah baiknya jika kita bermula dari usia muda untuk melakukan sebanyak mungkin kebajikan. Sementara kita masih gagah. Sementara lidah belum terlalu ‘liat’. Sementara pendengaran masih jelas. Sementara mata masih terang.

Mungkin ada yang bertanya, “Mengapa jika saya sudah dapat membaca dengan betul (tanpa mengetahui hukum tajwid), masih dikira tidak bagus?” Baiklah. Kita tanyakan semula kepada orang itu, “Tahu hukum tajwid adalah kualiti bacaan berpandukan ilmu. Baca semata-mata disebabkan mendengar bacaan orang lain adalah ikut-ikutan (taqlid buta).” Tentu sahaja nilai ganjaran di sisi-NYA berbeza untuk dua golongan yang ini. Orang yang membaca dengan mengetahui hukum tajwid tentulah lebih baik daripada orang yang dapat membaca dengan lancar tanpa mengetahui hukum tajwid. Jom!



Isnin, Jun 06, 2011

Mengambil matan al-Quran dari Syeikh Solah

Surau al-Islah Taman Kajang Mewah merupakan surau Jumaat berdekatan Syeksyen 7 Bandar Baru Bangi. Khutbah Jumaatnya dibaca dengan dwi bahasa sama ada Bahasa Melayu + Arab atau Bahasa Melayu + Inggeris. Untuk bahasa kedua, hanya rumusan khutbah yang dinyatakan untuk memahamkan jemaah luar negara.


Kuliah ilmu di surau ini juga aktif. Yang menjadi pilihan saya ialah kelas al-Quran secara Talaqi bersama Syeikh Solah Muhammad Zaki Muhammad Ibrahim. Beliau bertutur dalam bahasa Arab dan diterjemah oleh seorang ustaz lain. Pada 4 Jun 2011, saya mencatat nama sebagai pelajar lelaki yang keempat puluh. Saya baharu sahaja mengikut kelas ini secara rasmi. Kelas al-Quran ini diadakan setiap Sabtu selepas Subuh dan tamat sekitar jam 8 pagi.


Kelas pertama ini saya kira masih bertuah kerana Syeikh baharu sahaja memulakan bab awal iaitu sifat-sifat huruf. Kami diberi pendedahan sifat-sifat huruf bermula dengan hamzah, alif, ba, ta dan tha. Lima huruf terawal. Dalam bahasa Arab, terdapat 28 huruf tetapi dalam al-Quran huruf-huruf hijaiyyah ada 29. Tentu sekali yang baharu saya sedar, kita belajar muqaddam ketika kecil iaitu huruf lam alif dimasukkan dalam senarai huruf hijaiyyah hanya untuk menunjukkan bentuknya. Hal ini kerana huruf itu gabungan lam dan alif. Baharu saya tahu, dalam al-Quran alif dan hamzah adalah dua huruf berbeza dari segi sifat. Setiap huruf mempunyai sekurang-kurangnya lima sifat dan sebanyak-banyaknya tujuh sifat. Sifat huruf ada 17, dengan lima sifat mempunyai lawan masing-masing seperti syaddah (lawannya rakhawah), tafkhim (lawannya tarhiq), al-Infitah (lawannya Itbaq) – ini baru tiga yang dipelajari. Sifat-sifat lain hams, qalqalah, tawassut (sifat pertengahan antara syaddah dengan rakhawah) dan lain-lain.


Sebagai contoh, sifat alif yang mengandungi kedua-dua sifat berlawanan iaitu tafkhim dan tarhiq. Tafkhim (tebal) iaitu dibaca dengan tebal apabila huruf sebelum alif berbaris di atas (fathah) melibatkan 7 huruf (kha, ra, shod, dhodh, tho, zho dan qaaf) dan kalimah lafz al-Jalalah (Allah). Kami akhiri pengajian dengan mengambil matan ayat al-Quran bermula ayat pertama Juzuk kedua.



Jumaat, Mei 13, 2011

Belajar seni suara: Sikah

Pada Ahad lepas kami melepasi modul kelima IMQ. Untuk bahagian al-Quran peserta dikehendaki tasmi’ bacaan surah Al-‘Asr hingga Adh-Dhuha dan tiga minggu dari sekarang kami akan diuji hafalan surah al-Insan. Manakala bahagian tarannum pula, kami diajar lagu Sikah. “Cuba ikut,” gesa mu’allim kami. Saya mengulang dan cuba meniru bacaan sang guru. Tetapi guru itu berkata, “Tidak menjadi. Itu lagu Rass.” Betapa pun saya mencuba tiga kali berikutnya, tetap juga lagu Rass yang saya bawa. “Suara enta ‘besar’, tidak sesuai dengan lagu Sikah.”

Qari yang terkenal dengan lagu Sikah ialah Sheikh Abdul Basit. Jika ditinjau dalam klip video you tube, agak sukar juga untuk menemukan contoh bacaan murattal yang biasa dibawa dalam solat. Cuma sesekali sahaja (jika bernasib baik) kita dapat mendengar bacaan secara murattal Sheikh Abdul Basit dalam IKIM.fm. Yang sempat saya dengar ialah sebelum Subuh Selasa lepas. Pada ketika coretan ini ditulis, audio bacaan al-Quran belum dimuatkan dalam galeri audio laman web IKIM.fm. Burdah-burdahnya (SIkah) tidaklah sukar. Pun begitu ia perlu latihan yang lebih lama jika saya mahu menguasainya. Bagaimana burdah-burdah Sikah? Jom dengar bacaan secara murattal yang di bawah. Sila klik pada gambar untuk dengar.

Contoh bacaan al-Fatihah lagu Sikah secara Murattal.




Rabu, Januari 26, 2011

Al-Quran Online




Laman web Quran Explorer (http://quranexplorer.com/quran/) menyediakan kemudahan capaian ayat al-Quran secara online. Ia dilengkapkan alat bantu dengar (audio) ayat al-Quran oleh sepuluh (10) orang pembaca - Abdul Baasit, As-Sudays Shraym, Khalil Husari, Mahmood al-Bana, Mishari-Rashid, Saad al-Ghamdi, Salah Bukhatir, Sheikh Ahmed Ajmi, Sheikh Minshawi dan Sheikh Al-Huzaifi. Manakala bahasa terjemahan yang disediakan lapan bahasa termasuk Bahasa Melayu (Malaysia), bahasa Indonesia, Bahasa Inggeris, Belanda, Perancis, Turki, Urdu. Dua bahasa terjemahan beraudio iaitu bahasa Inggeris dan Urdu.

Dari segi tulisan, pengguna boleh memilih skrip resam Uthmani atau Indonesia Pakistan. Ikon CD antara butang terjemahan dan audio diguna sebagai mengaktif panduan tajwid. Dari segi qiraat, laman ini khusus untuk Qiraat Hafsh iaitu bacaan yang biasa kita dengar dan praktikkan di Malaysia. Kita mempunyai dua pilihan sama ada mahu membaca sendiri atau jika tidak pasti untuk menyebut kalimah tertentu, bolehlah diaktifkan butang audio player di penjuru kiri bawah. Paparan terbaik laman web ini adalah Internet Explorer.



Sabtu, Julai 24, 2010

Alif Lam Mim.


Ayat pertama surah al-Baqarah. Sepakat ulama mengatakan, “Hanya Allah mengetahui makna sebenar kalimah ini.”


Dalam bahasa Arab, tiada pertuturan yang menggunakan singkatan huruf-huruf atau hanya satu huruf. Terdapat beberapa pendapat lain tentang kalimah Alif Laam Miim.

  1. Huruf-huruf ini adalah sebahagian daripada perkara yang diketahui oleh Allah sahaja. Inilah pendapat Abu Bakr Ash-Shidiq, Umar al-Khattab, Usman Bin Affan, Ali bin Abi Talib dan Abdullah bin Mas’ud.
  2. Huruf-huruf ini merupakan nama surah dalam al-Quran. Menurut pendapat Zaid bin Abdul Rahman al-Aslam dengan merujuk kepada hadis Imam Bukhari. Imam Bukhari menukilkan satu hadis bahawa dalam solat fardhu Subuh hari Jumaat Nabi membaca Alif Lam Mim as-Sajadah dan ad-Dahr (al-Insaan).
  3. Huruf-huruf ini merupakan nama dari nama-nama Allah Yang Agung. Inilah pendapat Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma.


Sebagai mengambil jalan selamat, sepakat ulama menyerahkan kepada Allah. DIAlah yang lebih berhak mengetahui makna sebenar. Inilah yang dilakukan oleh golongan rasikh iaitu golongan yang memantapkan kefahaman dalam ilmu seperti yang disebut dalam surah aali-‘Imraan. Mafhum ayat, “…dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikir.” (7: aali-Imran)

--------------
Nota Kuliah Subuh, Ust. Wan Nasir, 24 Jul 2010, Masjid al-Hidayah, Sentul. Tafsir Al-Quran.

Jumaat, Mac 19, 2010

Dekatkah kita dengan al-Quran?

Imam Nawawi menyebut perkara pertama dalam kitab Thibyan berkaitan kelebihan membaca al-Quran. Sepotong ayat al-Quran menceritakan bahawa orang yang membaca al-Quran akan diberi kelebihan oleh Allah. Antara kelebihan pembaca al-Quran ialah cahaya di wajahnya. Cahaya ini hanya akan dapat dilihat oleh orang-orang yang baik dan dekat dengan Allah.


Dalam mensyarahkan kelebihan tersebut, Imam Nawawi menukilkan hadis dari Usman Bin Affan radhiallaahu ‘anhu yang bermaksud, "Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya (al-Quran) kepada orang lain." Kemudian dinukilkan satu lagi hadis dari saidatina ‘Aisyah radhiallaahu ‘anha yang bermaksud, "Orang yang mahir membaca al-Quran ditempatkan bersama malaikat yang mulia. Orang yang membaca al-Quran dalam keadaan tergagap-gagap (yarta’ ta’) akan diberi dua pahala."


Dari ayat al-Quran yang dibawa pada awal perbincangan kemudian disusuli dua hadis dapatlah kita ketahui bahawa amat banyak kelebihan yang diberi kepada pembaca al-Quran. Orang yang malas membaca al-Quran memberi alasan tidak mempunyai waktu, keras lidah, rabun mata, tidak pandai dan sebagainya. Apakah orang yang dapat membaca al-Quran setiap hari diberi masa oleh Allah sejam atau dua jam lebih daripada orang yang tidak memiliki masa? Apakah DIA Tuhan yang sama yang mengeraskan lidah, dan tidakkah DIA juga Tuhan yang berkuasa melembutkan lidah orang yang membaca al-Quran? Tidakkah DIA Tuhan yang memberikan mata, DIA jugalah yang berkuasa mencerahkan semula mata orang yang membaca al-Quran? Orang yang matanya melihat al-Quran akan dijaga oleh Allah dan tidak akan dibutakan. Kelebihan melihat ayat al-Quran ialah diberikan pahala. Kelebihan membaca al-Quran adalah ganjaran 10 pahala bagi setiap huruf. Betapa permurahnya DIA menjanjikan kebaikan buat hamba-hamba-NYA.


Bagaimana orang yang tergagap-gagap membaca al-Quran diberi dua pahala? Golongan ini akan mendapat pahala jika dia berusaha belajar memperelok bacaannya. Orang yang kurang mahir membaca al-Quran tidak perlu malu mencari guru al-Quran. Manakah lebih dahsyat rasa malu itu berbanding malu di hadapan Allah di akhirat? Orang yang malu di akhirat akan luruh daging mukanya. Kalau malu di dunia, masih ada perkara yang boleh dibuat seperti menutup muka atau kalau berani menyaman semula orang yang mengaibkan kita. Apakah yang akan kita jawab jika Allah bertanya, "Kenapa di dunia dahulu kamu tidak pernah membaca al-Quran?" Sebelum sempat pun soalan itu ditanya, apakah pula jawapan kita untuk soalan malaikat di barzakh? Sebelum kita berhadapan dengan soalan di barzakh atau akhirat, marilah kita jawab sekarang. "Kita malas atau liat membaca al-Quran kerana kita EGO dengan al-Quran."



Isnin, Ogos 24, 2009

Cabaran menjadi penghafal al-Quran


Malam itu seperti biasa, dua puluh rakaat solat sunat Taraweh didirikan. Memang berbeza sekali pembawaan imam sesuai dengan maksud taraweh itu sendiri iaitu istirehat. Kalau bersembahyang di sesetengah tempat, kadang-kadang Imam membaca seperti mengejar waktu. Maka termengah-mengah makmum mengikutnya. Sampai ada yang berpeluh-peluh. Tetapi di sini, kami dapat bersolat dengan tenang. Imam yang memimpin solat sunat taraweh membaca dua atau tiga ayat sahaja selepas membaca surah al-Fatihah. Ada tempatnya jika ayat itu panjang, maka dibacakan satu ayat sahaja. Bacaan juga tartil.


Imam satu memimpin sepuluh rakaat pertama. Bacaannya baik.
Tiba ayat 52, dia menyudahkan dengan kalimah terakhir ayat 53. Justeru ayat 53 ditinggalkannya. Dia langkau satu ayat. Kemudian pada ayat 55, dia tertinggal kalimah ‘Yaa Musaa’.
Selesai sepuluh rakaat, imam dua menggantikan imam satu seperti biasa.


Imam dua memulakan bacaan dengan baik juga.
Tiba ayat 65 dan 66. Pada awalnya dia membaca dalam rakaat pertama. Pabila masuk rakaat kedua, tiba-tiba dia membaca ayat 66 kemudian diikuti ayat 65. Kemudian rukuk. Untuk rakaat berikutnya dia terus membaca ayat 68. Ayat penting yang menjadi intipati surah sehingga disebabkan ayat itu diletakkan nama surah yang terpanjang dalam al-Quran yang mulia ini; tidak dibaca.


Imam pertama mungkin keliru kerana ayat-ayat 52, 53 dan 56 terdapat kalimah yang sama, iaitu ‘la’allakum’. Ayat 52 dan 56 diakhiri dengan kalimah yang sama iaitu ‘tasykuruuna’ manakala ayat 53 diakhiri dengan kalimah ‘tahtaduuna’.


Dan saya memahami keadaan ini. Inilah cabaran orang yang menghafal al-Quran. Ia suatu yang normal kerana sebagai manusia, kita sering lupa. Tidakkah insan itu sendiri terbit dari kalimah nasia yang bermaksud lupa? Sebagai kesimpulan, jika anda mendapati kesilapan mana-mana Imam bertaraf al-Hafiz, janganlah sekali-kali memperkecilkan mereka kecuali jika anda lebih baik hafalannya daripada mereka. Dan faktanya, Imam-imam yang ditauliahkan memimpin kami lebih baik hafalannya.