1. Aduhai (antologi cerpen) oleh Fatimah Busu
2. Antologi Esei Kepuisian ‘Barulah Puas Hatiku’ oleh LEO A.W.S
3. Travelers Tales Turkey by James Villers Jr.
4. Dari Salina ke Langit Petang oleh SN A Samad Said
5. Cinta Fansuri oleh SN A Samad Said
6. Ilham di Tepi Tasik oleh SN A Samad Said
7. Perindu Pelangi oleh Siti Munirah A. Rashid
8. Yuda di Padang Maya oleh Xarine
9. Hadist-hadist Perubatan: Pengantar Kepada Petua Tradisional
oleh Hanafi Rahman
10. Menara oleh Isa Kamari
11. Daerah Beta oleh Azizi Abdullah
12. Beruk oleh Azizi Abdullah
13. Suriati oleh Azizi Abdullah
14. Revolusi yang Tertangguh oleh SN Shahnon Ahmad
15. Bahlut oleh Faisal Tehrani
16. Memoir Tragedi Memali oleh Riduan Mohamad Nor
17. Adab kepada al-Quran oleh Ramadhan Hakim
18. Hostel: Momento Cinta oleh Grup penulis eSastera.com
19. Al-Fatihah Petunjuk Jalan Lurus oleh Emran Ahmad
20. Merpati Menari di Padang Embun oleh Zanazanzaly
21. Tanpamu di Sisi oleh Puteri Andalas
22. Impuls/Roh oleh Sri Rahayu Mohd Yusop
23. Dayung Sudah di Tangan oleh Norziati Mohd Rosman
24. Silir Daksina oleh Nizar Parman
25. Fort Margherita oleh Nor Azah Abd Aziz
26. Cerita Terpanggil-panggil Penglipur Semakin Melara
oleh Nor Azah Abd Aziz
27. Namaku Epal Kuning oleh Roslan Jomel
28. Tokoh-tokoh besar Gerakan Islam oleh Saari Sungib
29. Tuhan Manusia oleh Faisal Tehrani
30. Laskar Pelangi oleh Andrea Hirata
Jumaat, Ogos 06, 2010
Sebahagian dari 50 buku 2010
Rahsia Kurma Jordan River

Pendedahan ini dibuat oleh akhbar Berita Harian Singapura. Fakta Jordan River yang perlu diketahui:
- Bercetak jenama "Jordan River" itu sebenarnya bukan dari Jordan tetapi dihasilkan di negara Israel .
- Ia ditanam di satu kawasan luas di bahagian timur Isreal yang bersempadan dengan Palestin.
- Ia dipunyai oleh seorang Yahudi yang kaya dan ramai pekerjanya berbangsa Yahudi dan hasil penjualan kurma itu digunakan untuk tabung orang-orang Yahudi.
- Diimport serta dikotakkan di Singapura tetapi diedarkan di Malaysia.
Khamis, Ogos 05, 2010
Rabu, Ogos 04, 2010
Harga sawit merudum

Harga sawit setan terkini boleh disemak di sini.Untuk buah tandan segar (BTS), boleh semak dalam jadual MPOB Daily FFB Reference Price Summary By Region; klik pada bulan terkini.
Aku balik minggu lepas. Bonda maklumkan memang sekarang musim sukar. Buah sawit tidak banyak. Dan harga setan kelapa sawit juga tidak memberangsangkan. Kata bonda, "Bulan lepas ayah dapat RM400 sahaja."
Bermakna setan kelapa sawit dibayar kepada peserta FELCRA di Hulu Terengganu itu lebih kurang RM570 setan. Wang yang dibayar itu setelah ditolak 30 peratus sebagai bayaran pinjaman penanaman semula kelapa sawit.
Lagi ceritaku tentang nasib peneroka FELCRA.
Dengki pada pelajar
Kawanku bertanya, "Kenapa?"
Aku jawab, "Umur 16 dan 18 tahun sudah boleh kahwin."
Kawan aku balas, "Orang kahwin umur yang lebih tua daripada itu pun banyak kes cerai berai..."
Aku diam. Koma.
Isnin, Ogos 02, 2010
Insiden
Aku baru beredar dari Kolej ke-13 UPM setelah menghantar sedikit buah-buahan kepada adik. Ketika ingin keluar ke Plaza Tol Sungai Besi, kebetulan aku berada di hadapan sekali. Lampu hijau. Tiba-tiba enjin menderum kuat. Aku cuba menukar semula gear. Masih tidak berhasil. Sedangkan kenderaan di belakang sudah membunyikan hon bertubi-tubi. ‘Maaflah. Masalah. Bukan sengaja.’ Bentak hatiku.
Aku tekan butang isyarat kecemasan. Kemudian berhenti di tepi lorong tidak jauh dari pondok jurutol. Di situ aku cuba berkali-kali untuk memastikan kotak gear tidak rosak. Lima minit aku mencuba jaya. Dengan kelajuan minimum aku beranikan diri bergerak ke Perhentian Serdang. Lama aku berfikir. Apa sebabnya masalah ini berlaku? Aku esemes pada adikku, bertanyakan masalah ini. Dia jawab berserta perkataan ‘haha..’ di akhir mesejnya. “Ish….geram! Orang bermasalah sempat lagi dia gelak-gelak.”
Dia cadangkan beberapa perkara; minyak gear kering atau mungkin hendak rosak dan sila pusing-pusing perhentian Serdang dua tiga kali. Cadangan ketiga itu buat aku menggeleng. Mungkin adikku fikir perhentian Serdang sebesar R&R Temerloh. Aku berhenti terus sahaja berfikir untuk tidur di situ. Tika itu jam 11.00 malam. Aku renung semula perjalanan sepanjang hari, bermula dari rumah, terus ke SMK Padang Merdeka, Kuala Terengganu. Kemudian ke Kompleks Seri Iman. Seterusnya ke Tok Jembal. Berhenti rehat di rumah kawanku selama satu jam setengah. Jam 12.30 bergerak dari Tok Jembal, Kuala Terengganu ke SMK Padang Merdeka semula. Jam 1.05 petang terus memecut ke Kuala Lumpur menyusur Jalan Pantai sebelum ke persimpangan Bukit Kor. Jam 2.30 petang berhenti solat di Masjid Kg. Landas, Hulu Terengganu.
Jam 2.45 petang bergerak lagi dan berhenti di stesen Petronas Muktafi Billah Shah, Dungun. Petrol di stesen ini habis. Maka terpaksa tukar rancangan mengisi petrol di Shell Bandar Cheneh Baharu. Jam 4.00 petang baru melepasi Plaza Tol Jabor. Jam 7.15 tiba di Plaza Karak. Agak lambat kerana hujan lebat dan ada kerja selenggara jalan. Ketika di kawasan selenggara jalan sahaja terpaksa menunggu hampir setengah jam bersiput-siput; dua lorong disatukan - (20 km/j pun tidak lepas). Jam 8 berhenti solat dan makan di UIAM. Jam 9.10 tiba di Sentul. Rakan yang menumpang turun mengambil keretanya di masjid. Dia hantar adiknya ke UiTM Shah Alam pula. Aku teruskan perjalanan ke UPM. Jam 10.05 malam aku tiba di UPM.
Ketika dalam kawasan UPM itulah masalah gear bermula. Jadi susah pula. Dalam pada berehat di Hentian Serdang aku fikirkan, “Kalau betul gear rosak, maknanya tersarlah bajet bulananku. Dan pastilah suatu yang mendukacitakan.” Kemudian aku dapat ilham bahawa sebesar-besar masalah pada manusia kecil pada-NYA. Aku lihat lampu surau bercahaya. Lantas aku berwuduk dan solat hajat. Aku percaya keajaiban doa. Keajaiban doa sudah banyak diceritakan kepadaku. Terakhir aku dengar keajaiban doa daripada Puteri Andalas dan Ramlee Awang Murshid. ‘Ya, mengapa dalam keadaan kita gelisah – kita lupa pada Tuhan yang Maha Kuasa?’
Dalam munajatku, aku beristighfar. Memohon agar DIA permudahkan perjalananku. Aku mohon DIA selamatkan perjalananku. “Ya Allah. Hamba-MU yang kerdil lagi hina ini memohon ampunan-MU. Engkau Maha Tahu aku tidak punya wang (tiada bajet) jika terpaksa membaiki kenderaanku. Kumohon Engkau kembalikan fungsi asal kenderaanku, Ya Rabb.” Hampir empat puluh minit saya berehat di situ. Dengan harapan apabila kenderaan tersebut ‘rehat’ dan enjinnya pun sejuk sedikit – dibantu dengan keajaiban yang dikurnia-NYA, mudah-mudahan fungsinya kembali normal.
“Bismillahirrahmanirrahim.”
Masalah mekanikal tadi sudah tiada. Subhanallah! Aku menangis mengenangkan pertolongan-NYA ini. Jam 12.30 pagi aku tiba di rumah sewaku.
Jumaat, Julai 30, 2010
Lain padang lain belalang
Pada peringkat ini, mana-mana yang cacat perlu dibaiki. Istilahnya BUG Fixing.
Demikian adanya portal ini setakat ini.
Mozilla

Chrome

Internet Explorer

-----------
Dan ini baharu satu peratus (0.01%) daripada keseluruhan pembangunan portal ini.
Khamis, Julai 29, 2010
Hidup mesti gembira
DIA tidak sekali-kali zalim kepada hamba-NYA, tidak seperti manusia bisa sahaja berlaku zalim kepada manusia lain.
Gaji dua bulan
Rabu, Julai 28, 2010
Bilakah perubahan jadi realiti?
STAR 9 Mei 2010 memuatkan satu artikel orang kuat akhbar berkenaan tentang Melayu. Menurut penulis itu, jumlah orang Cina di Malaysia semakin berkurangan. Sebagai contoh, di Pulau Pinang Melayu meningkat kepada 42 peratus manakala Cina menurun kepada 40.9 peratus (daripada 43 peratus pada tahun 2005). Penduduk Pulau Pinang seramai 1.6 juta. Jika Melayu bijak berpolitik, aka nada KM Melayu di Pulau Pinang. Dalam tulisan yang sama, diramalkan bahawa Melayu di Malaysia akan meningkat kepada 72.1 peratus manakala bangsa Cina hanya tinggal 18.6 peratus pada tahun 2035. Kita tinggalkan analisa berbau perkauman di sini. Biarlah masa yang menentukan betul atau salah ramalan ini.
Hari ini, dalam politik realiti kita dimomokkan dengan kehilangan kuasa Melayu sekiranya tidak lagi berpegang teguh mendokong perjuangan parti teras Melayu. Media mula memainkan isu betapa Melayu akan hilang di Malaysia jika pemerintahan diberi kepada kelompok lain seperti PAS dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat (PR). Isu perpaduan menjadi duri dalam daging PAS sehingga memperlihat kekalutan di segenap penjuru. Orang-orang yang tidak faham permainan politik akan mabuk dan keliru dengan isu ini. Akhirnya mereka dengan mudah menyimpan persepsi negatif kepada PAS (dan PR) dalam memperjuang agenda mereka.
Perlu diketahui, bahawa dalam medium bermaklumat pihak kerajaan masih menguasai massa di pedalaman kerana media satelit (tivi) dikuasai mereka. Orang-orang pedalaman tidak memperoleh maklumat yang seimbang tentang parti lain selain BN. Malahan orang-orang di pedalaman tidak gemar membeli akhbar lebih-lebih lagi dalam keadaan harga barang yang semakin meningkat. Saya berani mengatakan tidak lebih dari lima peratus orang-orang di pedalaman membeli akhbar. Inilah realiti yang harus disedari. Bermakna sesuatu perlu digerakkan untuk menyampaikan maklumat berkaitan perjuangan mana-mana parti dengan mengadakan sesi penerangan. Dan inilah yang menjadi masalah utama kepada parti politik dalam PR.
Selasa, Julai 27, 2010
Internet Thoyyibah, Jom pakat-pakat guna

Dapatkan langganan Internet Thoyyibah di sini.
KOTA BHARU, 26 Julai: Menyedari golongan remaja bebas menggunakan laman pornografi, kerajaan Kelantan telah mendahului negeri-negeri lain termasuk kerajaan Pusat dalam menapis bahan berkenaan di internet.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri, Dr Mohamed Fadzli Hassan, memberitahu kerajaan Kelantan telah mengadakan kerjasama dengan Jaring bagi mewujudkan ‘internet thoyyibah’.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kerajaan Pusat akan mewujudkan perisai baru bagi menapis laman pornografi di internet.
Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan menjadikan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed bagi menapis bahan pornografi di internet sebagai perisai baru.
Mengulas kenyataan menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim, Fadzli seterusnya berkata, menyedari laman tidak sihat itu akan mempengaruhi masyarakat khususnya remaja, kerajaan negeri telah memperkenalkan ‘internet thoyyibah’ untuk tujuan itu.
“Sebanyak 20 syarikat yang terdiri anak-anak syarikat kerajaan negeri telah bekerjasama bagi menjayakan hasrat ini.
“Sehingga kini telah ada masyarakat kita yang menggunakan kaedah ini termasuk di sektor awam,” ujarnya.
Jelasnya, laman tidak sihat itu bukan sahaja haram di sisi Islam, sebaliknya akan memberi kesan yang buruk kepada masyarakat terutama berlakunya jenayah seksual.
Sabtu, Julai 24, 2010
Nailah: Sayap Utamanya ditangkap.
NAILAH, nama mirip isteri Usman bin Affan setelah kematian kedua-dua puteri Rasulullah. Nailah tidak pernah apati terhadap subjek yang diajarnya. Sebab itu kehadirannya penuh. Inilah kali pertama Nailah terpaksa meninggalkan kelas.
Usai menyampaikan kuliah, dia memanggil Uzma. Rakan terapat Nailah. Uzma ditemani Fatimah membuntutinya ke pejabat.
“Silalah duduk.” Dia mempelawa Uzma dan Fatimah.
Kedua-dua pelajar itu dengan sopan duduk di sofa.
Dia terus kepada mauduk yang ingin dibicarakan, “Kamu tahu masalah Nailah?”
Uzma dan Fatimah terperangah. Mereka berpandangan. Uzma mencuit Fatimah. Fatimah membalas semula cuilan Uzma. “Suaminya ditahan. Kononnya cuba menyeludup senjata ke Gaza.”
Dia membeliak mata.
“Benarkah tuduhan itu?”
Uzma teragak-agak menjawab, “Dia baru sahaja kembali setelah menyerah makanan dan ubatan kepada sepupunya di Gaza. Dia mengguna terowong bawah tanah.”
Dia menggetap bibir. Geram. Kesal.
“Polisi seperti inilah yang merugikan umat Islam. Sepatutnya polis di Mesir ini bertolak ansur. Lainlah kalau suami Nailah ditahan pihak Israel.” Hujahnya.
Tekanan ke atas Gaza sangat hebat. Ratusan terowong bawah tanah dimusnah pihak keselamatan. Lebih dahsyat tembok dibina sehingga menghalang terowong yang dibina. Lebih menyanyat lagi tika lubang tikus seperti tanggapan Israel diletup dengan gas beracun. Ada juga kes kematian akibat renjatan elektrik. Siapa lagi yang menahan perangkap ini? Kejam! Menurut rekod rasmi, 141 orang terbunuh sejak 2007. 116 orang daripada mereka mati dua tahun kebelakangan.
Fatimah mencelah, “Inilah akibat jika dicucuk hidung. Terlalu menjaga adikuasa. Bimbang kalau-kalau ekonomi negara disekat kuasa besar.”
Mereka sedia maklum dasar luar negara. Bersekutu dengan negara yang di belakang tabirnya pendokong Zionisme.
Tiba-tiba alunan nasyid Merah Saga menyusup masuk dalam jemala minda. Dia bertanya sendiri, ‘Bila Palestin kan aman?’ Dia tiada jawapan pasti. Sama seperti puluhan tahun rakyat Palestin menunggunya. Sebahagiannya syahid.
----------------
Nota: Sedutan (excerpt) dari novel yang sedang dalam bikinan. Mohon tidak dicuplik oleh mana-mana pihak.
Alif Lam Mim.
Ayat pertama surah al-Baqarah. Sepakat ulama mengatakan, “Hanya Allah mengetahui makna sebenar kalimah ini.”
Dalam bahasa Arab, tiada pertuturan yang menggunakan singkatan huruf-huruf atau hanya satu huruf. Terdapat beberapa pendapat lain tentang kalimah Alif Laam Miim.
- Huruf-huruf ini adalah sebahagian daripada perkara yang diketahui oleh Allah sahaja. Inilah pendapat Abu Bakr Ash-Shidiq, Umar al-Khattab, Usman Bin Affan, Ali bin Abi Talib dan Abdullah bin Mas’ud.
- Huruf-huruf ini merupakan nama surah dalam al-Quran. Menurut pendapat Zaid bin Abdul Rahman al-Aslam dengan merujuk kepada hadis Imam Bukhari. Imam Bukhari menukilkan satu hadis bahawa dalam solat fardhu Subuh hari Jumaat Nabi membaca Alif Lam Mim as-Sajadah dan ad-Dahr (al-Insaan).
- Huruf-huruf ini merupakan nama dari nama-nama Allah Yang Agung. Inilah pendapat Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma.
Sebagai mengambil jalan selamat, sepakat ulama menyerahkan kepada Allah. DIAlah yang lebih berhak mengetahui makna sebenar. Inilah yang dilakukan oleh golongan rasikh iaitu golongan yang memantapkan kefahaman dalam ilmu seperti yang disebut dalam surah aali-‘Imraan. Mafhum ayat, “…dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikir.” (7: aali-Imran)
--------------
Nota Kuliah Subuh, Ust. Wan Nasir, 24 Jul 2010, Masjid al-Hidayah, Sentul. Tafsir Al-Quran.
Selasa, Julai 20, 2010
Saat terakhir Umar al-Khattab
Disebut dalam Kitab agama Yahudi bahawa, “Suatu waktu akan ada seorang raja orang Islam yang akan menakluk Baitul Maqdis (Palestin) dengan menaiki keldai.”
Apabila peluasan wilayah Islam berlaku pada zaman Umar Al-Khattab, amirul mukminin ini telah ke Palestin dengan menunggang keldai. Orang Yahudi melihat perkara tersebut sebagai satu kebenaran seperti yang tercatat dalam kitab mereka.
Disebut dalam Sahih Bukhari bahawa khalifah Umar al-Khattab berdoa, “AllahummarZuqni Syahadatan fii sabiilika, waj ‘al mauti fii bilaadi rasuulika.” Yang bermaksud, “Ya Allah berikanlah kepadaku syahid dalam jalan-MU dan jadikan matiku di negeri Rasul-MU (Muhammad S.A.W).”
Doa ini dimakbul Allah apabila beliau ditikam ketika sedang menunaikan solat Subuh. Pembunuh khalifah Umar bernama Abu Lu’luah. Beliau membunuh khalifah kerana tidak berpuas hati dengan kharaj. Pada zaman pemerintahan Umar terdapat dua jenis kharaj (cukai) iaitu kharaj kepala dan tanah. Kharaj tanah oleh orang bukan Islam kembali kepada kemanfaatan orang bukan Islam juga. Abu Lu’luah berpendapat bahawa sistem tersebut tidak adil kepadanya.
Dalam konteks semasa, cukai pendapatan perlu dibayar dan manfaatnya diambil oleh semua orang sama ada Islam atau tidak. Bagi orang Islam yang menunaikan zakat, mereka dikecualikan membayar cukai pendapatan. Tetapi zakat dimanfaatkan kepada orang Islam semata-mata. Bermakna orang Islam mendapat bahagian daripada zakat dan cukai pendapatan yang turut dibayar oleh orang bukan Islam. Maka betapa dalam Islam, jika dilaksanakan kharaj (iaitu cukai tanah) yang diusahakan oleh orang Islam hasil tersebut tidak boleh dimanfaatkan oleh orang bukan Islam. Pasti perkara ini lebih adil untuk semua sama ada Islam atau bukan.
Umar meninggalkan hutang 86 ribu dirham. Itulah wang yang diguna untuk membantu urusan rakyat yang dipimpinnya. Dia tidak menggunakan wang untuk membeli harta benda. Malahan beliau dikatakan cukup berhati-hati dalam pentadbiran sehingga pernah diberitakan bimbang kalau-kalau ada seekor kambing yang tergelincir. {{Kalau pemimpin kita hari ini teliti seperti Umar al-Khattab, nescaya tidak ada jalan raya yang berlopak-lopak.}}
Umar menamakan enam sahabat yang akan menggantikan beliau. Mereka ialah;
1. Usman bin Affan.
2. Ali Bin Abi Thalib.
3. Abdul Rahman bin Auf.
4. Thalhah bin Ubaidillah.
5. Zubir bin Awwam.
6. Saad bin Abi Waqash.
Namun begitu Thalhah, Zubir dan Saad menarik diri. Maka ketiga-tiga orang yang tinggal berbincang sesama sendiri. Abdul Rahman Bin Auf telah secara sukarela menarik diri dan menjadi orang tengah untuk menilai kelayakan Usman dan Ali.
Akhirnya setelah dibuat pertimbangan yang saksama, Usman bin Affan dipilih sebagai pengganti Umar al-Khattab. Apabila Usman bin Affan dilantik, Ali bin Abi Talib menjadi orang yang pertama member bai’ah (ikrar taat setia).
----------------------
Nota kuliah Maghrib, Ust. Azhar Yahya, Masjid al-Hidayah, Sentul, 18 Julai 2010.
Sabtu, Julai 17, 2010
Petrol kami RM2.60 sen
Pak Ya sudah pening. Dia dikatakan tangkai jering. Dituduh lintah darat. Dicop macam-macam. Setiap hujung minggu Pak Ya ke stesen petrol di pekan. Jaraknya kira-kira 18 kilometer. Orang kampung Pak Ya kerjanya mengusahakan ladang kelapa sawit, menoreh getah dan pekerja kilang. Yang berladang mahupun yang bekerja di kilang mengguna motorsikal. Tetapi motorsikal mereka tidak lulus untuk merayap di jalan raya persekutuan. Maklum sahaja, motorsikal pun bukan macam motorsikal lagi. Jika dibawa ke Pusat Pemeriksaan PUSPAKOM sah tidak lulus. Maka tidak ada keperluan bagi mereka memperbaharu cukai jalan atau membayar insurans. Motorsikal ini cukup lasak dan tidaklah lembik seperti motorsikal yang meluncur di atas jalan raya yang licin.
Jika hati Pak Ya dulu bercahaya, kini sudah sebam gara-gara perasaan tidak puas hati pelanggan-pelanggannya. Pak Majid pernah membentaknya, “Apalah engkau ni, suka-suka hati saja naikkan harga. RM2.60 ni dah tinggi.”
Demikian halnya dengan harga petrol di kawasan pedalaman. Tika harga pasaran RM1.80, rata-rata peruncit menjual dengan harga RM2.40 seliter. Masakan tidak. Kalau setiap kali diborong dua gelen petrol, apabila dipindah ke dalam botol pasti ada sebahagian yang hilang. Hilang dalam bentuk wap. Semua orang tahu.
Maka dijawabnya kepada Pak Majid dan mereka yang sewaktu dengannya, “Kalau begitu pergilah ke pekan. Beli di stesen petrol.”
“Hahaha! Engkau nak suruh aku disaman poliskah?” Pak Majid mengilai.
Pa Ya mengilas cemuhan Pak Majid, “Hairan aku. Takkan engkau tidak dengar berita dalam tivi? Semua orang sudah maklum harga petrol naik lagi.”
“Ah! Berita sekarang kalau hendak dengar naik meluat aku. Mereka bergaduh berpolitik kita ini tetap susah macam ini.” Bidas Pak Majid.
“Berita tivi tak dengar. Surat khabar tak beli. Padanlah engkau macam katak bawah tempurung. Apa guna ada tivi?” Marah Pak Ya.
“Hiburan.” Balas Pak Majid.
Berita tidak upaya menjadi unsur hiburan. Berita tidak lebih dari sekadar propaganda murahan. Tidak sudah-sudah menembak pihak lawan.
“Jika diambil peduli bukanlah dapat menambahbaikkan kehidupan kita.” Bebel Pak Majid betele-tele.







