Memaparkan catatan dengan label isu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label isu. Papar semua catatan

Ahad, September 25, 2011

Cantik tetapi bisa membunuh




PUTRAJAYA - Kerajaan melarang pembekalan atau penjualan "seeds growing kits" yang dikenali sebagai Seven Colour Crystal Ball (SCCB) di pasaran atau barangan seumpamanya berkuatkuasa esok, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas menerima aduan daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) berhubung beberapa kes pembedahan besar melibatkan kanak-kanak berumur satu hingga lima tahun, dipercayai akibat tertelan SCCB.


SCCB yang turut dikenali dengan pelbagai nama seperti Jelly Ball, Crystal Jelly, Baby Jelly, Baby Crystal dan Crystal Soil serta berwarna-warni digunakan untuk membantu pertumbuhan pokok atau sebagai hiasan dalam pasu, katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Beliau berkata sebanyak tujuh pembedahan dilakukan di HKL dan satu kes di HUKM sejak April sehingga kini dengan kes terbaru di HKL melibatkan kanak-kanak 12 bulan yang dibedah pada Selasa lepas.


Katanya berdasarkan laporan pembedahan, HKL mendapati barangan seumpama itu boleh menyebabkan usus kanak-kanak tersumbat kerana saiznya yang kecil dan mudah ditelan.


Menurutnya kanak-kanak yang tertelan SCCB akan mengalami simptom dan implikasi seperti muntah, demam, sembelit, perut kembung, sakit perut, usus tersumbat serta usus bocor.- Bernama


Baca lagi:


  1. PENJELASAN PELAKSANAAN PERINTAH LARANGAN PEMBEKALAN SEVEN COLOUR CRYSTAL BALL
  2. Warta Kerajaan Persekutuan
  3. PERINTAH LARANGAN PEMBEKALAN SEVEN COLOUR CRYSTAL BALL

Khamis, April 07, 2011

Watak Datuk Nikah Kahwin muncul kembali

Saya masih ingat ketika sekolah rendah ayah rajin membeli Utusan Malaysia. Kes yang hangat ketika itu melibatkan satu tuduhan khalwat Mat Sabu (Abang Mat). Apabila saya membaca cerita itu timbul persoalan dalam diri, “Bagaimana hal ini melibatkan seorang pemimpin Islam? Parti Islam pula.” Tiada jawapan yang saya terima. Apabila saya mempunyai kebebasan untuk memilih akhbar iaitu sebaik sahaja saya ditakdirkan belajar di Kelantan, saya mula memilih akhbar selain Utusan. Maka soalan saya beberapa tahun sebelumnya terjawab setelah saya membaca Harakah. Tahulah saya memang ketika itu akhbar pembangkang tidak banyak diedar di kawasan-kawasan kuat UMNO. Hulu Terengganu hanya dilimpah akhbar Harakah setelah berlaku kes DSAI pusingan pertama pada tahun 1998. Sekarang, Utusan bukan lagi wacana yang baik bagi kami. Kami memilih untuk tidak membaca Utusan dek kuatnya dasar perkauman yang dimainkan akhbar ini. Kini kami lebih gemar membeli Sinar Harian, Harakah atau Siasah.

Hari ini kita melihat satu lagi perkembangan dalam politik yang amat menyedihkan. Beberapa minggu lepas saya lontarkan idea supaya syarikat penyedia perkhidmatan internet (ISP) perkasakan perisian penapisan kandungan (content filter). Nampaknya apa yang saya lontarkan dalam akhbar itu sudah menjadi sampah. Hari ini kita lihat orang yang menyebar kandungan lucah bagi makusd politik sudah mendapat imuniti. Mereka yang mengaku secara terbuka tidak dipanggil untuk disiasat. Walhal perkara itu suatu kesalahan yang berat menurut undang-undang sedia ada. Apakah ini undang-undang bikinan yang hanya boleh diguna pakai untuk sesetengah pihak dan boleh diberi keistimewaan untuk sesetengah pihak lain? Mungkin kita akan teringat situasi ini seperti satu adegan dalam filem Musang Berjanggut. Satu wataknya, Datuk Nikah Kahwin berkata, “Tapi tidak mengapa. Undang-undang dalam negeri ini kanda yang bikin. Itu semua boleh padam.” Inilah yang sedang berlaku.


Kita sedang menyaksikan suatu suasana yang tidak adil pada penggubal dasar. Ada suatu kumpulan yang inteleknya tinggi. Mereka menyediakan sebahagian waktu dalam perkhidmatan untuk menggariskan dasar. Kemudiannya cadangan mereka diangkat ke peringkat yang lebih tinggi dalam parlimen. Sehingga diwartakan sebagai undang-undang. Tidakkah ini suatu pembodohan? Mereka yang bertungkus-lumus mengerah idea membuat suatu dasar yang sepatutnya dipatuhi tetapi akhirnya dibakulsampahkan oleh pemimpin. Silalah Rujuk Seksyen 233 (2) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 di laman web SKMM. Lihatlah sendiri bagaimana hal ini membuktikan kita ada akta sekadar akta. Dan kadang-kadang akta yang memihak kerana sudah ada orang yang diberi imuniti terhadapnya untuk maksud politik.

Khamis, Februari 17, 2011

Sempena Maulid ar-Rasul: Nota 2

Hari kelahiran nabi disambut pertama kali pada zaman Sultan Salehuddin al-Ayyubi. Beliau telah mengadakan sayembara penulisa syair dengan tema syair berkisar nabi. Ramai penulis yang turut serta menulis syair memuji Rasulullah. Dan yang mendapat tempat pertama mempunyai laqad al-Barzanji. Hasil tulisan al-Barzanji ini akhirnya diguna oleh umat Islam selepas itu. Apabila sampai ke Malaysia, al-Barzanji lebih diserap dalam daftar kata Bahasa Melayu sebagai berzanji yang membawa makna perbuatan membaca syair al-Barzanji. Pada ketika sambutan pertama itu, syair itu dibaca secara beramai-ramai sambil meraikan kemenangan tentera Sultan Salehuddin al-Ayubi dalam satu peperangan.

Tahukah anda? Hari ini ada sebuah buku yang dikarang dalam Bahasa Melayu tentang Rasulullah? Buku ini ditulis dengan langgam bahasa Melayu yang mudah. Tidak bersifat kearaban walaupun diterjemah dari sumber Arab. Menurut editor PTS Ustaz Zahiruddin Zabidi, “Gaya bahasa yang mudah dipilih supaya pembaca tidak jemu membaca. Kadang-kadang apabila gaya bahasanya kearaban, peratusan rasa seronok membaca amat rendah.”

Mutakhir ini kita biasa lihat sambutan dalam bentuk perarakan sambil menaikkan cogan kata memuji nabi atau suatu perhimpunan. Perhimpunan itu pada peringkat kebangsaan disambut dengan menganugerahkan hadiah kepada tokoh-tokoh yang berjasa kepada Islam. Pada tahun ini ada sedikit kelainan iaitu seorang penerima anugerah merupakan seorang pelajar PMR berbangsa Cina non-muslim. Adik itu mendapat A dalam subjek Bahasa Arab Komunikasi. Hadiahnya RM20000.00. Saya terfikir-fikir juga. Kalau benar anugerah itu mahu disampai kepada orang bukan Melayu, mengapa tidak dipilih satu sosok berbangsa Cina dan Muslim? Contohnya pendakwah Islam yang dahulunya bukan Islam. Kita boleh pilih mereka daripada PERKIM atau MACMA. Tetapi akhirnya dalam diam saya berkata dalam diri, “Mudah-mudahan suatu hari nanti pelajar itu menerima hidayah-NYA.” Soal pemilihan tidak wajar lagi dipersoal kerana panel yang dilantik telah selesai menjalan tugas. Majlis juga telah selesai. Kita berlapang dada walaupun ada sedikit rasa tidak puas hati.

Nota: Catatan ini sebahagiannya diperoleh dari kuliah Maghrib Ust. Zaharuddin Zabidi, 16 Feb 2011, Masjid al-Hidayah, Sentul.

Isnin, Februari 07, 2011

Kalut di Mesir, akan kalutkah Malaysia?

Kemuncak kemarahan rakyat Mesir tidak dapat ditahan lagi. Bakal ahli keluarga saya yang belajar perubatan di Ain Shams University terpaksa bergegas pulang. Begitu juga seorang sepupu isteri saya yang mengambil jurusan perubatan di sana.

Inilah yang terjadi setelah proses demokrasi dimanipulasi sehingga kemenangan Ikhwan Muslimin dinafikan. Situasi ini sama seperti HAMAS di Palestin dengan perbezaan Ikhwan Muslimin mendapat tempat dalam Majilis al-Shura (menyamai parlimen di Malaysia). Sekatan terhadap wakil yang dipilih untuk menyatakan kepedihan rakyat akhirnya diterjemah dalam bentuk pemberontakan (baca: revolusi). Revolusi rakyat Mesir kali ini mendapat sokongan Amerika setelah melihat pengaruh Hosni Mubarak semakin hilang. Amerika melantik boneka mereka yang lain iaitu Omar Suleiman. Sokongan terbuka Amerika terhadap Omar Suleiman tidak lagi rahsia. Manakala di pihak pembangkang Mesir, mereka lebih cenderung meletakkan harapan kepada Dr. Mohamed El-Baradi, Pengarah IAE.

Ikhwan Muslimin lebih berhati-hati dalam menangani situasi kalut di Mesir. Mereka telah menghadapi pelbagai rintangan sepanjang menyusur gerakan politik Mesir. Yang paling diingat ialah pembunuhan pengasas Ikhwan Muslimin al-Imam Hassan al-Banna. Dalam Perang Sittah (Perang Enam Hari) pada tahun 1967, Presiden Jamal Abd. Naser membebaskan tahanan Ikhwan Muslimin untuk melawan Israel. Mereka mencapai kemenangan tetapi Ikhwan Muslimin tidak dihargai. Pejuang yang dibebaskan ditangkap semula, dan ramai di antara mereka mati dalam tahanan. Ikhwan Muslimin juga mengambil iktibar yang berlaku kepada FIS di Algeria apabila memenangi pilihan raya. Dalam gerakan Islam, perjuangannya perlu mengambil nafas panjang. “Jika tidak boleh buat semua, jangan tinggal semua.” Saya ingat kata-kata Tuan Guru MB Kelantan ketika menyatakan ugutan mengenakan Perintah Darurat dan diambil alih pemerintahan negeri oleh MAGERAN era PM Che Det dahulu.

Situasi di Mesir tidak akan berlaku di Malaysia. Menurut Setiausaha Agung PAS, parti PAS akan terus mendokong sistem demokrasi. “Kita dalam PAS akan tetap menghadapi UMNO-BN secara muwajahah silmiyyah, berdepan dengan sistem pilihan raya selagi ruang demokrasi tidak dimanipulasi sehingga merosakkannya.”[1] Jika ini pendirian PAS, ia juga bermakna pendirian Pakatan Rakyat. Jadi adalah tidak benar demontrasi menyokong revolusi rakyat Mesir pada 4 Feb 2011 sebagai cetusan untuk melakukan suatu yang lebih drastik dalam konteks negara kita. Demontrasi lepas hanyalah menyatakan sokongan segelintir rakyat kepada tindakan majoriti rakyat Mesir yang mahukan perubahan dan mengembalikan sinar Islam di sana. Cuma yang menjadi kebimbangan besar sehingga menyebabkan demontrasi tersebut dihalang tidak lain tidak bukan untuk menyekat berlaku insiden yang lebih teruk. Dalam kata lain kembali semula gerakan reformasi seperti yang berlaku sepuluh tahun lalu. Ada kemungkinan sekatan itu dibuat sebagai tindakan mengongkong hasrat rakyat Malaysia menyatakan reaksi yang tidak menyokong kepada dasar luar Amerika. Kita tidak boleh lupa, kerajaan sekarang menggunakan khidmat nasihat APCO.



Nota: 1. Ketika berucap dalam majlis PAS Ganti UMNO, di Kuala Terengganu, 05 Feb 2011.

Rabu, Januari 26, 2011

Tulis blog pun kena lesen?

TERKINI: Kerajaan sedang rangka rang undang-undang nak luaskan skop Akta Mesin Cetak dan akan dibawa ke Parlimen Mac ini. Sekiranya diluluskan setiap blog, facebook dan portal online akan dikenakan lesen.

----------
Alahai kerajaan.

*Kredit pada ZUNAR untuk mesej asal beliau.

Selasa, Januari 25, 2011

PKR wajar bertanding dalam PRK MERLIMAU

Dalam keadaan sekarang yakni ketibaan PRU-13 yang semakin hampir, pada pendapat saya PAS tidak perlu berpegang pada status quo untuk bertanding di DUN Merlimau. Kalau disorot kepada pusingan mengundi sebelum ini, PAS meletakkan calon pada tahun 1999 dan 2008, manakala PKR mengambil bahagian pada 2004. Bermakna untuk giliran seterusnya tentulah PKR. Tetapi jika PAS mahu meletakkan calon juga, adakah nanti akan memuaskan PAS sendiri jika ditakdirkan menang untuk berkhidmat dalam masa yang sangat terbatas? Lainlah jika pada pusingan seterusnya (PRU-13), PKR dengan rela hati melupakan giliran yang telah disusun dengan baik. Ini kalau bercakap sebagai orang menang.

Apakah kewajaran meletakkan calon PKR di Merlimau? Pada pendapat saya, meletakkan calon PKR di Merlimau dalam situasi sekarang samalah seperti membuat ‘pemasaran’ awal untuk menguji selera pengundi di Melaka khususnya di Merlimau. Strategi ini baik untuk menilai sejauh mana penerimaan orang Melaka terhadap Pakatan Rakyat melalui PKR. Umum sudah maklum, PR diterima di Melaka dengan hampir keseluruhannya disapu bersih oleh DAP (lima daripada lapan yang ditandingi) di kawasan tepu Cina. PAS dan PKR tidak menang sebarang kerusi meskipun masing-masing meletakkan calon sebanyak 13 dan tujuh orang.

Sabtu, Januari 22, 2011

Renung sejenak


"Semasa Sunny dilarikan ke UK, Sunny di bawah jagaan Mahkamah Syariah."
Ismail Ariffin @ kartunis Ismail Lepat.
Dengar dan renungkan.

Selasa, Januari 18, 2011

Undi proksi jenayah demokrasi

Ada suatu yang menghairankan. Terdapat cadangan meminda peraturan pilihan raya dengan memasukkan aspek pengundi proksi. Bermakna jika seseorang yang layak mengundi tetapi malas mengundi atau tidak dapat hadir ke pusat buang undi, dia boleh mewakilkan sesiapa sahaja yang dipercayai. Orang yang memberi kuasa mewakilkan dirinya dikenal sebagai ‘Prinsipal’, manakala orang yang menjadi wakil dipanggil ‘Proksi’. Ini satu lagi cadangan yang gila dan tidak pernah berlaku dalam mana-mana sistem pilihan raya demokrasi. Sekali gus melanggar hak asasi manusia.

Pun begitu pengundian seperti ini pernah diamalkan di Rumah Putih AS pada tahun 1995 sebelum digam oleh Republican. Thomas E. Mann dan Norman J. Ornstein menulis, "Dalam sebuah institusi besar dan huru-hara, setiap ahli mempunyai lima atau enam tempat pada masa tertentu, suara proksi adalah jenayah yang perlu." Kenyataan ini bermaksud undi proksi boleh dikatakan jenayah demokrasi.


Mari kita fikir situasi seperti ini.

  1. Satu agen undi menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk membawa pengundi ke pusat buang undi. Pada pertengahan jalan, kenderaan yang diguna menuju ke suatu tempat lain. Pengundi dilarikan sehingga tidak sampai ke tempat pengundian. Maka agen undi yang menguruskan mereka dengan sewenang-wenangnya memangkah bagi pihak mereka. Dia mencipta logik yang boleh diterima bagi membolehkannya menjadi proksi.
  2. Hari mengundi berlaku pada hari bekerja. Majikan tidak memberi pelepasan kepada pekerja-pekerja. Majikan berpakat dengan pihak-pihak tertentu untuk menyekat pekerja bawahan yang tidak cakna dengan hak sebagai pengundi. Atau jika terdapat mereka yang cakna, dikenakan ugutan seperti memecat mereka sekiranya keluar mengundi tanpa kebenaran. Dalam kes ini majikan menjadi proksi kepada pekerja-pekerja bawahannya untuk memangkah parti yang disukainya.
  3. Encik M seorang kakitangan kerajaan. Secara automatik, Encik M wajib juga mengundi bagi pihak isterinya. Disebabkan undi Encik M dipantau, tidak boleh tidak kedua-dua undi mereka menjadi milik kerajaan.

Dalam banyak hal apa sahaja akan dilakukan demi mempertahan kuasa. Demokrasi sudah dimanipulasi untuk membolehkan mereka terus berkuasa. Ini tidak termasuk lagi cerita sensasi pengundi hantu. Saya perasan sehari sebelum dan selepas pilihan raya di Hulu Terengganu pada 2008, terdapat banyak orang luar; dengan dialek Pattani. Saya tidak pasti sama ada mereka suka-suka melancong ke Kuala Berang atau diprojekkan sebagai pengundi hantu. Kenyataan seperti ini perlu saya tulis supaya saya tidak dicap sebagai memfitnah mana-mana pihak.

Khamis, September 02, 2010

Saman ekor: Antara kerja betul vs kesalahan betul

Ini yang dilaporkan dalam berita.


Seorang pegawai di sebuah syarikat milik kerajaan pula terkejut motosikalnya di saman di Pulau Pinang beberapa kali. Sedangkan dia tidak pernah sampai ke Pulau Pinang dengan motosikal.


Lagi pun jarak Kota Bharu dengan Pulau Pinang lebih 300 km. Lebih malang lagi 10 saman diterima pegawai terbabit. Apabila dia mengadu kepada polis dan JPJ, kata mereka masih lagi dalam siasatan.


Dan ini pula cerita lisan rakan serumah sewa saya.
“Ayah aku guna kereta buruk saja. Dia dapat saman ekor di satu tempat di KL. Pada hal kereta itu tidak pernah dipandu di KL. Maka semasa hendak ‘membayar’ saman itu, dia jemput pegawai polis untuk melihat sendiri keretanya.”


Dan menurutnya, pegawai polis itu bengang dengan insiden itu (rasa aib sendiri) dan seperti merasakan kebodohan tindakan yang dibuat oleh pihak mereka.


Kita tidak bantah kalau peraturan yang diperkenal itu diurus dengan berhemat, cekap dan tidak menyusahkan. Kita tidak bangkang kalau saman yang dikenakan itu disebabkan kesalahan itu betul-betul dilakukan. Tetapi kita akan marah kalau hal seperti yang berlaku dalam dua cerita di atas. Dan apakah hanya dua insiden itu sahaja? Mestilah banyak lagi kan? Umpamanya alat perangkap had laju yang mengesan kelajuan beberapa kali lebih laju daripada kelajuan sebenar, kelewatan menghantar notis saman sehingga lima atau enam bulan selepas daripada kesalahan dibuat dan seumpamanya.

Isnin, Ogos 30, 2010

Bolehkah bukan Islam masuk ke dalam masjid


Sekurang-kurangnya ada empat pandangan mengenai masalah orang bukan Islam mengunjungi masjid.


  1. Pertama: Mazhab Hanafi yang membenarkan bukan Islam memasuki semua masjid.

  2. Kedua: Mazhab Syafie yang membenarkan masuk kesemua masjid melainkan masjid Haram dan kawasan tanah haram Makkah.

  3. Ketiga: Mazhab Hanbali yang membenarkan untuk memasuki Masjidil Haram dan lainnya setelah mendapat kebenaran dari umat Islam atas tujuan-tujuan yang munasabah.

  4. Keempat: Mazhab Maliki yang tidak membenarkan memasuki semua masjid melainkan kerana darurat kerja.



Beberapa peristiwa di zaman Rasulullah juga boleh dijadikan panduan. Baginda pernah membenarkan ramai orang-orang bukan Islam masuk dan tinggal lama di masjid. Rasulullah juga diriwayatkan pernah menerima tetamu Kristian dari Najran di dalam masjid Madinah, malah diizinkan oleh Nabi s.a.w untuk menunaikan sembahyang mereka di dalam masjid dan nabi menyebut kepada sahabat: "Biarkan mereka (untuk melunaskan sembahyang mereka)"


Kepelbagaian pandangan ini menggambarkan keluasan hukum Islam dalam persoalan yang digembar-gemburkan sebagai isu besar ini. Hakikatnya, majoriti ulama silam dan kontemporari jelas mengharuskan bukan Islam memasuki masjid-masjid biasa dengan syarat-syarat tertentu seperti keperluan mendapat keizinan umat Islam atau badan berkuasa Islam, mempunyai sebab yang munasabah dan menjaga adab-adab yang telah ditetapkan.



Yang ini tidak kecoh pun? Adakah mana-mana jabatan agama membuat apa-apa komen?

Khamis, Ogos 19, 2010

Vaksin cegah kanser serviks bahaya.

"Jika Kementerian Kesihatan berhasrat untuk meneruskan dengan program vaksinasi ini, kami menggesa mereka supaya mewajibkan semua ibu bapa perempuan berusia 13 tahun di negara ini diberikan maklumat objektif dan komprehensif mengenai tindak balas kesan sampingan dan kematian yang dikaitkan dengan vaksin ini tidak mengira penolakan atau penerimaan mereka. Ibu bapa kemudiannya mestilah digalakkan untuk bertanya dan diberikan maklumat penting yang tidak berat sebelah dalam sesi tanya jawab yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan." Kata SM Mohamed Idris, Presiden CAP.


Sila baca artikel penuh Batal program vaksin tidak perlu, berpotensi bahaya.

Sabtu, Ogos 14, 2010

Komentar isu Dinar Emas Kelantan

Apakah Dinar Emas Islam?


Gerakan 'kembali kepada Dinar Emas' memilih untuk kembali mengguna dan mengekalkan piawaian yang telah ditetapkan 1400 tahun dahulu oleh Omar Al-Khattab, Khalifah Islam Kedua (632 Masihi) seperti berikut:


  1. Dinar emas Islam mempunyai berat khusus, iaitu, 4.25 gram emas 22 karat (917) bagi satu Dinar.

  2. Dirham Islam mempunyai berat khusus, iaitu, 3.0 gram perak tulin bagi satu Dirham.
  3. Syedina Omar Al Khattab juga menetapkam bahawa berat 7 Dinar bersamaan berat 10 Dirham. Disebut juga berat 10 Dirham bersamaan berat 7 mithqal emas (berat Dinar). Ini bermakna kadar pertukaran di antara Dirham dan Dinar emas ialah satu Dirham bersamaan 0.7 Dinar.

  4. Berat satu mithqal emas bersamaan 72 butir barley. Maka berat satu Dirham bersamaan 50.4 butir barley.

  5. Harga Dinar Emas dan Dirham ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran.
    Piawaian ini dikenali sebagai 'Piawaian Omar Al Khattab' dan piawaian inilah yang berkuatkuasa dari zaman beliau sampailah kepada Kahlifah terakhir kerajaan Othmaniah
(1924).


Kerajaan Kelantan memperkenal matawang emas. Maka Awang Adek kata langkah itu suatu yang bertentangan dengan dasar BNM.


Media di Itali melaporkan sebagai berikut:
Ispirato da selettive fonti religiose e sostenuto dai precedenti storici all’interno degli annali della storia islamica, il sistema del dinaro d’oro è indicato da alcuni estremamente orgogliosi Musulmani come la risposta islamica per combattere le calamità del capitalismo.


L’idea è stata inizialmente discussa dall’ex primo ministro della Malesia, Mahathir Mohamad, dopo la crisi finanziaria asiatica del 1997. Ha sostenuto che le monete non avrebbero mai messo il loro possessore nei guai nella stessa maniera in cui l’avevano fatto le banconote. Come metalli preziosi con un valore intrinseco, l’oro e l’argento sono più resistenti alle fluttuazioni del mercato e alla svalutazione in confronto al dollaro americano – un argomento che [Mahathir Mohamad] ha portato all’Organizzazione della Conferenza Islamica come strumento per combattere l’egemonia occidentale.

[sumber: FONTE: IRAQWAR.MIRROR-WORD.RU]


Maksudnya,
Diinspirasi oleh sumber agama-agama terpilih, dan disokong oleh sejarah Islam, sistem dinar emas disarankan oleh sesetengah orang Islam. Muslim amat berbangga (memperkenalkannya) sebagai respon memerangi bencana kapitalisme.


Idea ini pertama kali dibahas oleh bekas Perdana Menteri Malaysia (Mahathir Mohamad), selepas krisis kewangan Asia 1997. Beliau berpendapat syiling tidak pernah mendatangkan masalah seperti mana yang berlaku terhadap wang kertas. Logam yang mempunyai nilai instrinsik, emas dan perak lebih tahan terhadap jatuh bangun pasaran dan kejatuhan nilai berbanding dengan Dolar Amerika – satu hujah yang (Mahathir Mohamad) gunakan dalam Persidangan Negara Islam sebagai alat memerangi hegemoni Barat.

------------

Idea Tun Mahathir Mohamad sebenarnya merupakan satu cadangan untuk kembali kepada Sistem Bretton Woods atau dikenali juga sebagai sistem piawaian emas. Sistem Bretton Woods diwujudkan selepas Perang Dunia Kedua hasil pertemuan Negara-negara Bersekutu di Bretton Woods, Amerika Syarikat. Mereka bersetuju mengekang kadar pertukaran matawang antarabangsa kepada emas bagi memudahkan perdagangan antarabangsa. Nilai dolar Amerika misalnya, ditetapkan pada USD1.00 = 1/35 auns emas. Ini bermakna sesiapa sahaja yang menyerahkan USD1.00 kepada Federal Reserve dan mahukan emas, ia akan diberi emas seberat 1/35 auns. Juga emas akan bertukar tangan di antara negara-negara dalam 'book entries' dan emas fizikal.


Walau bagaimanapun, sistem ini telah dimusnahkan oleh Presiden Nixon mulai 15 Ogos 1971 bila mana nilai pertukaran USD diapongkan, iaitu, membiarkan nilai pertukaran ditentukan oleh kuasa penawaran dan permintaan tanpa sandaran emas. Hari ini tiada lagi matawang di dunia yang disokong oleh emas (gold-back currencies).


Langkah kerajaan Kelantan ini mendapat liputan meluas termasuk di Australia, AS, Itali dan beberapa negara lain. Apakah respon Dr. Awang Adek itu sebagai usaha menyekat sistem kewangan Islam kerana lupa sejarah pergerakan Dinar Emas di Malaysia? Kalaupun dia membuat kenyataan atas kapasiti politik, tidak bolehkah dia menghormati bekas ketuanya Tun Che Det? Apakah dia tidak lagi menghormati Tun Che Det kerana Tun keliru dengan konsep 1Malaysia yang dibawa oleh PM sekarang?


Sejauh ini, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Abdul Fatah Harun sudah membuat ulasan mengenai apa yang dikatakan oleh Dr Awang apabila beliau menyebut:

“Kerajaan Kelantan sedia patuh kepada peraturan Kerajaan Persekutuan sebelum melaksanakan sesuatu dasar yang ada hubungkait dengan bidang kuasa Kerajaan Pusat itu… ini termasuk dalam soal penggunaan mata wang syariah dinar dan dirham.”
Menurutnya: “Apa sahaja dasar yang kita (kerajaan negeri) lakukan adalah berdasarkan kajian sebelum ia dilaksanakan, begitu juga dengan penggunaan dinar emas dan dirham perak yang akan dijadikan mata wang syariah sebagai alernatif dalam urusniaga dan muamalat," katanya hari ini.

Abdul Fatah berkata pemimpin politik tidak wajar melihat segala dasar yang dilaksanakan oleh negeri ini dari sudut politik.
Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Bukit Tuku itu berkata, kerajaan negeri sudah membuat pelbagai kajian dari segi teknikal dan undang-undang berkaitan penggunaan mata wang syariah itu sebelum ia diperkenalkan.

Apakah ini bermakna Bank Negara Malaysia sudah memberikan lampu hijau kepada kerajaan Kelantan?

Jika demikian mengapa Dr Awang yang juga Timbalan Menteri Kewangan ‘agak terkejut’ dengan langkah Kerajaan Kelantan itu seolah-olah Bank Negara Malaysia sendiri tidak tahu menahu mengenainya?


Sumber: Blog Hambali Abdul Latif.

Baca juga Emas Dinar, dirham perak bukan matawang
Dinar dan Dirham: Kenapa jadi isu?


Rabu, Ogos 04, 2010

Dengki pada pelajar

Kataku, "Sungguh dengki pada pelajar terutama di Melaka."

Kawanku bertanya, "Kenapa?"

Aku jawab, "Umur 16 dan 18 tahun sudah boleh kahwin."

Kawan aku balas, "Orang kahwin umur yang lebih tua daripada itu pun banyak kes cerai berai..."

Aku diam. Koma.

Khamis, Julai 08, 2010

Hati-hati JUDI BOLA masuk ke telefon bimbit

Semalam seorang kawan saya memaklumkan, “Aku terima SMS, minta aku pilih pasukan yang akan menang. Kalau betul pilihan tu, akan dapat masa berbual percuma sepuluh minit. Kalau jawab, akan ditolak kredit seringgit.”
Saya jawab, “Jangan jawab. Itu sudah dikira judi.”

Betapa itulah antara perkara yang sedar atau tidak melanda kita secara tidak dikehendaki. Betapa hal ini jika tidak difahami boleh menyebabkan seseorang terjebak dengan judi. Konsep judi ialah anda meletakkan sesuatu dengan harapan mendapat sesuatu keuntungan. Pelaburan RM1 setiap orang adalah pertaruhan. Samalah dengan orang yang bermain dam di kedai kopi, yang bermain itu bersetuju mana-mana yang kalah perlu belanja secawan kopi. Begitu juga dengan orang yang bermain golf, seringgit selubang. Maka selepas habis bermain, orang-orang yang tidak dapat memukul bola golf ke dalam lubang atau bilangannya kurang daripada rakan yang lain, perlu membayar wang.

Tetapi jika hadiah itu ditaja oleh orang lain, ia tidak dikira judi. Contohnya, saya teman kawan bermain golf – sebagai pemerhati. Saya berkata kepada tiga orang kawan saya yang bermain, “Siapa menang saya belanja makan malam.” Maka hadiah itu tidak termasuk dalam judi. Tiga orang yang bermain tidak mencagar apa-apa sebagai taruhan. Maka menang atau kalah, mereka tidak rugi atau untung.

Berbalik kepada sms yang di atas, tawaran itu menjadi judi kerana setiap orang yang meneka (sebenarnya bertaruh), menyerahkan kredit RM1 kepada pemilik server.

Sabtu, Jun 19, 2010

Fiesta Ramadhan

Allahumma baariklana Rajab wa Sya'baan wa balighnaa Ramadhaan. (Ya Allah berkatilah bagi kami Rejab dan Sya'ban. Dan sampaikanlah (temukanlah) kami dengan Ramadhan)

Masa pantas walaupun kitarannya sama 24 jam sehari. Kita hampir memasuki gerbang Ramadhan dalam beberapa minggu lagi. Sudah ada promosi perayaan yang berlegar melalui flyers, dimasukkan dalam peti surat taman perumahan. Suatu hal yang menjadi polemik pada tahun ini ialah Fiesta Ramadhan yang mahu dianjurkan oleh kementerian berkaitan. Polemik wujud kerana di sebalik fiesta itu ada ong yang diambil kira. Antara Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menentang cadangan tersebut ialah Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), sayap ABIM di kalangan mahasiswa iaitu PKPIM, Jemaah Islah Malaysia (JIM), Persatuan Penggerak Komuniti Malaysia (Komuniti Malaysia). [sekadar beberapa nama seperti dilaporkan dalam media setakat ini]

Apakah perlu Ramadhan dicemari dengan pesta seperti ini? Saya secara peribadi tidak bersetuju langsung walaupun dari sudut material ada pulangan ekonomi. Adalah tidak wajar Ramadhan dijadikan sandaran untuk menganjurkan sebuah pesta kerana tentulah akan melalaikan umat Islam dari konsep sebenar ibadah sepanjang Ramdhan yang mulia. Kita tidak perlu membayar Imam-imam luar yang tersohor semata-mata untuk menarik pelancong Arab ke Malaysia. Apakah dengan jemputan itu, ganjaran pahalanya menyamai ganjaran bertaraweh di Makkah atau Madinah?

Jumaat, Februari 24, 2006

Awas! Mee kuning bahaya.

Berita baik yang diterima semalam.

Hari ini KOSMO! menyiarkan berita Mee kuning yang mengandungi Asid Borik dan Ezchericia Coli (E. Coli sebut E-Kolai). Asid borik merupakan bahan kimia yang digunakan untuk mencuci fungus dan kulat. Digunakan sebagai detergen untuk mencuci bahagian sulit manusia. Jika anda sudah membeli Mee kuning sila buat eksperimen kendiri dengan merendam sedikit mee dalam air kunyit. Jika air kunyit bertukar menjadi merah, ini bermakna terdapat asid borik di dalam mee yang digunakan untuk memastikan mee tidak berkulat. Asid borik boleh menyebabkan barah @ kanser. E. coli pula merupakan kuman yang terdapat dalam najis manusia dan haiwan. Boleh menyebabkan keradangan usus dan keracunan makanan. Menyebabkan dihidrasi, cirit-birit dan boleh membawa maut.