Khamis, Julai 23, 2009

Pertembungan pengetahuan sains dengan politik

Perkembangan berterusan sains dan teknologi dalam masyarakat moden menimbulkan banyak idea saintifik dan orang awam yang menjurus kepada kontroversi berbanding dengan isu teknikal dan saintifik. Keadaan ini memberi kesan yang mendalam terhadap sistem sosial, memberi implikasi ekonomi dan politik serta ketidakpuasan hati di kalangan pakar sains, teknikal atau perubatan. Hal-hal seperti dasar membasmi dadah, AIDS, pengguguran janin dan pengawalan kesan rumah hijau (sekadar menyebut beberapa contoh) sering menjadi polemik sehingga kadang-kadang dilihat tidak wajar malah dianggap sebagai keputusan yang memberi kelebihan kepada satu-satu pihak yang berkepentingan.


Analisis ini mengkaji konflik di sebalik sains dalam proses menetapkan polisi; peranan yang pelbagai dalam membuat ketetapan sama ada ahli sains atau bukan ahli sains, juga meninjau sejauh mana orang awam boleh mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan, memahami bagaimana kontroversi berkembang – adakah di kalangan komuniti saintifik atau di kalangan masyarakat umum, apakah ada penamatnya, atau mengapa kontroversi timbul. Selain itu analisa ini memfokus kepada tolak ansur orang awam terhadap kewibawaan saintis. Untuk memahami hal ini, perlu diingat bahawa sesuatu polisi melibatkan kepentingan banyak pihak. Maka tidak boleh tidak kebaikan atau keburukan, penerimaan atau penolakan terhadap sesuatu polisi bergantung kepada sudut pandang mereka. Mereka mungkin sahaja golongan sasar, ahli politik, saintis atau orang awam yang tidak langsung terjejas dengan dasar yang dibuat.

Golongan sasar tentulah mereka yang terlibat secara terus. Dasar yang ditetapkan akan member kesan kepada mereka sama ada suka atau tidak. Ahli politik pula mereka yang mahukan sesuatu dasar sesuai dengan kehendak politik yang mereka anuti. Tentu sahaja keputusan dibuat dengan mempertimbangkan untung rugi sokongan penyokong yang melantik mereka. Maka berlakulah pertembungan pendapat di antara kumpulan politik apabila membahaskan sesuatu dasar sebelum diluluskan. Bagi golongan saintis pula, kebanyakan kajian dibuat atas sifat amanah terhadap ilmu sains. Namun begitu, tidak dinafikan sesetengah mereka sudah ‘dibayar’ untuk menyembunyikan sebahagian daripada kebenaran ilmu untuk mengabui pihak lain. Biasanya hal ini bersangkut-paut dengan untung rugi perniagaan atau persekongkolan dengan pihak tertentu dalam politik. Manakala golongan terakhir melibatkan orang awam secara am. Mereka walau pun tidak terlibat secara langsung tetapi kadang-kadang mampu mempengaruhi pandangan alam (world-view) berdasarkan kepada pemahaman mereka terhadap isu yang dibangkitkan.


Soalan yang diajukan kepada saya ialah bagaimana ahli politik boleh mempengaruhi pengetahuan saintifik? Bagi menjawab soalan ini, marilah kita lihat hubungan antara ahli politik dengan pihak yang membuat kajian. Apakah yang membuat kajian betul-betul memiliki nilai integriti yang tinggi terhadap ilmu mereka? Maka dalam hal ini pun, kita melihat kajian yang dibuat pun bergatung kepada pendirian pengkaji. Jika si pengkaji tersebut menyokong, maka dikumpulkan segala fakta yang menyokong. Begitulah sebaliknya. Apakah ahli politik mengambil kira pandangan dan rumusan kajian sains walau pun bertentangan dengan kehendak politik mereka? Mari kita lihat secara dekat dasar-dasar yang dibuat di Malaysia sendiri. Isu pengajian Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris sebagai contoh. Semasa dasar ini mula dilaksanakan, dan pelaksanaannya dalam keadaan tergesa-gesa, adakah ia dibuat setelah dibuat kajian secara ilmiah atau sekadar prasangka ahli politik? Seawal pelaksanaannya, banyak pihak yang berautoriti menyatakan bantahan tetapi tidak dihiraukan. Kemudian setelah melihat kesan penolakan rakyat yang diterjemah dalam pilihanraya umum ke-12, kemudian dikeluarkan statistik dan angka yang tidak membanggakan, ahli politik masih bersikeras dengan sikap dolak dalih mereka mempertahankan isu itu. Kemudian setelah difikirkan kesan sebenar dalam keadaan yang tidak adil kepada orang Melayu (rujuk sisipan artikel Dato' Baha Zain), baharulah dasar itu dimansuhkan. Pemansuhan itu pun tidak selaju pelaksanaannya, sehingga memerlukan waktu ‘iddah sehingga 2012.


Saya tinggalkan kepada anda menilai perkara dalam para di atas. Sekarang mari kita lihat kepada perdebatan isu flourida. Bahan kimia ini diguna dalam proses rawatan air yang dibekalkan ke rumah-rumah. Persoalan yang timbul ialah adakah flourida perlu ditambah dalam bekalan air domestik untuk mencegah pereputan gigi? Kontroversi ini melibatkan isu saintifik seperti keberkesanan flourida dalam pencegahan gigi reput, risiko perkembangan penyakit seperti skeletal fluorosis, alahan, dan tindak balas penolakan, dan kesan genetik termasuk kanser. Debat flourida juga melibatkan isu etika dan politik seperti perlukah bahan kimia dicampur dalam bekalan air dan siapakah sebenarnya yang patut membuat keputusan dalam isu flourida ini? (Martin, 1991).
bersambung....

Naimisa, 22072009, 2330, Sentul, KL.

Rabu, Julai 22, 2009

Gerhana Matahari; Tanda kebesaran Allah


Dalam al-Quran disebut sebanyak 33 kali tentang matahari iaitu kalimah Asy-Syam. Antaranya Allah menceritakan perdebatan antara Nabi Ibrahim dengan Namrud tentang Tuhan. Apabila Nabi Ibrahim mengatakan bahawa Allah berkuasa menghidup dan mematikan manusia, maka Namrud juga berkata beliau berkuasa. Dia pun memanggil dua banduan, seorang dibunuh dan seorang dibiarkan hidup. Lantas Nabi Ibrahim berkata, bahawa Allah menerbitkan matahari dari Timur seraya mencabar mereka agar menaikkan matahari dari Barat. Maka terdiamlah mereka semua (rujuk ayat 258; Al-Baqarah). Pada tempat lain diceritakan bahawa dalam kisah pencarian Tuhan oleh Nabi Ibrahim (rujuk ayat 74-79; surah al-An'aam) sebagai mengajarkan kaumnya yang percaya kepada bintang, bulan dan matahari sebagai Tuhan. Nabi Ibrahim berjaya meyakinkan mereka bahawa Tuhan tidak bersifat tenggelam timbul. Dan sebagai kesimpulan, nabi Ibrahim menolak semua sekutu bagi Tuhan yang diadakan oleh kaumnya. Sehingga ayat terakhir dalam kisah itu dibacakan dalam doa iftitah di dalam solat.

Selain itu disebut juga tentang matahari dari sudut astronomi. Antaranya;
"Dia yang menjadikan malam dan siang, matahari dan bulan, setiap mereka beredar dalam falak (tempat peredarannya)." (Surah al-Anbiya; 33)


"Dan bukan matahari mendahului bulan dan bukan juga malam mendahului siang. Mereka beredar (yasbahun) dalam falak sendiri." (Surah Yaasin: 40)

Dan saya hanya sempat melihat fenomena gerhana penuh di China di Atlaspost Webcast. Orang China kuno percaya bahawa gerhana matahari berlaku disebabkan oleh seekor naga yang menghalang matahari. Manakala di zaman para sahabat, kebetulan gerhana matahari berlaku ketika kematian anak nabi. Maka sebahagian sahabat berpandangan gerhana berlaku sebagai tanda kesedihan. Namun begitu nabi menegaskan bahawa hal itu tidak berkait sama sekali.

Dan sebagai Muslim, kita dianjurkan menunaikan solat sunat gerhana matahari.

Puisi: Sempena kepulangan minggu lepas

Selasa, Julai 21, 2009

Hikmah sebuah insiden

I
Entah mengapa saya tidur dengan lena sekali.
Malam itu apabila bas tiba di Kuala Berang, saya tidak sedar pula dengan suara bising pemandu mengejutkan penumpang. Tiba-tiba pemandu itu menggoncang kuat bahu saya dan bertanya, “Awang! Mahu ke mana?” Saya terpisat-pisat menggosok mata dan mengenakan cermin mata.
Dalam mamai begitu, pemandu bertanya lagi soalan sama.
“Kuala Berang.” Jawab saya.
“Sudah sampai Kuala Ping ni,” jawab pemandu.
Dalam minda saya ada idea yang tidak logik. “Saya turun di sini.”
Namun dalam fikiran pemandu bas itu ada alternatif lain. Tentunya saya tidak jangka sama sekali. “Ooo...tidak, kita patah balik selepas menghantar dia.”
Dia yang ditunjukkan oleh pemandu itu seorang wanita. Hanya seorang wanita.


II
Tiba-tiba sahaja aku menjadi bimbang amat.
Semua orang sudah turun. Dan aku mengira pelbagai kemungkinan buruk yang bakal berlaku kepadaku. Aku toleh ke belakang. Semua kerusi telah kosong.
“Bagaimana ni?” tanyaku.
Ya, berada sendirian sebagai wanita dengan hanya seorang pemandu bas yang tidak aku kenal tentu sahaja membahayakan!
“Ya Allah! Selamatkan hamba-MU ini,” doaku setulusnya.
Semacam kebimbangan ini seperti seorang nelayan dilambung gelombang besar di tengah lautan kelam. Hingga tangannya sendiri pun tidak dapat dilihatnya. Sungguh tulus permohonanku.
Pemandu mula memeriksa bahagian belakang. Tiba-tiba dia berteriak kuat. Dia mengejutkan seorang lelaki yang tertidur.
“Syukur, ya Allah!”


- # - # -
Aku dan saya adalah kisah benar. Betapa kedua-dua insiden itu diatur-NYA cukup menghimpun seribu hikmah yang tersendiri. Saya adalah coretan rasa buat diriku. Kemudian setelah saya mempertimbang logik insiden itu, terfikirlah pula jika saya berada di tempat 'aku' sebagai seorang wanita. Tentu sahaja wanita itu amat bimbang keselamatannya. Maka memikirkan soal itu, saya dapat menerima insiden ini sebagai bukan satu kebetulan, tetapi aturan (makar) yang telah ditulis oleh-NYA buat kami, hamba-hamba-NYA yang lemah. Mungkin sahaja, DIA telah mendengar doa seorang hamba yang lemah lantas menyelamatkannya dengan cara yang tidak pernah difikirkan.

Inilah pertama kali dalam hidup saya, mengalami hal seperti ini dan saya dapat pula memurnikan malah memanjatkan rasa syukur kepada DIA. Sungguh, bijaksana Allah mengatur semua ini. Saya pun terfikir, bagaimana kalau pada malam yang hening itu seorang pemandu dan seorang wanita berada di dalam bas. Kemudian datang bisikan jahat syaitan kepada pemandu itu? Ah! Saya amat takut. Tentu sahaja, ini bukan kebetulan saya menjadi asbab kepada rasa aman dalam jiwa wanita tersebut. Tetapi saya tidak pernah kisah siapa dia, kerana saya tetap pegun di tempat saya di belakang sehingga semua keadaan baik-baik sahaja. Setidak-tidaknya malam itu, saya dapat berjalan jauh sedikit sehingga destinasi terakhir sebelum bas patah balik ke Kuala Berang. Tepat jam 4.00 pagi, saya turun di Kuala Berang dan seperti biasa tercegat di hadapan Seven Eleven menghabiskan bacaan novel Matahari di Atas Gilli, karya Lintang Sugianto.

Khamis, Julai 16, 2009

Sesekali bersama GAMIS

Selepas Isyak, dijadualkan Presiden GAMIS, Ustaz Dzul Khairi menyampaikan ceramah di Taman Dato' Senu. Tetapi beliau tidak dapat hadir (masalah kesihatan) dan digantikan sahabatnya Ustaz Yusri.

Menurut Ustaz Yusri, mendepani massa sebagai pendakwah banyak menemukannya dengan hal-hal yang membimbangkan. Beberapa siri kem motivasi bersama remaja yang dijayakannya sedikit sebanyak menunjukkan bahawa hari ini semakin ramai remaja yang jauh dari agama. Sebagai contoh, ada di kalangan peserta tidak tahu apa itu sujud, walhal dia boleh bersolat. Bermakna, dia bersolat sekadar ikut-ikutan (taqlid buta). Ada juga di kalangan remaja yang tidak diakui statusnya sebagai anak. Seorang remaja mengadu bahawa dia mahu menjadi baik, tetapi amat kesal kerana ayahnya meragui dirinya sebagai anak. Ada juga di kalangan remaja mengatakan mereka datang ke kem motivasi bukan atas permintaan ibu bapa, tetapi kerana mahu mengisi kekosongan jiwa. Bermakna di rumah mereka rasa terabai kerana waktu berharga bersama-sama ibu bapa hampir tiada. Ibu bapa lebih mementingkan kerjaya.

Perbincangan yang dibawa oleh ustaz sebagai berkongsi ilmu beradasar ayat enam surah At-Tahrim. “Wahai orang-orang yang beriman, jagalah diri kamu dan ahli-ahli kamu daripada api neraka...” Setiap diri kita adalah pemimpin, dan yang di bawah pimpinan kita adalah tergolong dalam istilah ahli-ahli dalam ayat ini. Tidak kiralah siapa pun kita. Sama ada seorang ibu, bapa, suami, kerani, guru, pegawai, pengarah, imam dan lain-lain. Maka menjaga kebajikan agama ahli-ahli di bawah kita sesuai dengan peranan kita. Pengabaian terhadap perkara ini adalah suatu yang malang dan merugikan. Kenapa? Dalam konteks dunia hari ini, yang akan mewarisinya adalah orang-orang muda. Secara logik, masa depan mereka akan mencorakkan dunia yang akan datang. Jika pada waktu permulaan ke arah kedewasaan itu mereka sudah rosak, tiada jati diri muslimnya, apakah wajah Islam nantinya?

Selain itu ustaz berkongsi pengalaman berhadapan dengan pelajar Beijing yang mengikuti Pengajian Alam Melayu, di UM. Pelajar perempuan ini anak tunggal, apabila datang ke Malaysia tertarik dengan Islam. Sebelum dia menganut Islam, dia bertanya “Bagaimana saya dapat tahu bahawa Tuhan (Allah) sayang pada saya?” Satu soalan lagi ialah, “Apakah untuk menjadi Muslim yang baik, saya harus diuji?” Ya, soalan sebegini mencabar juga lebih-lebih lagi untuk mereka yang belum Islam. Setelah berbincang dengan sahabat-sahabat, ustaz pun memberi jawapan. “Kalau kita rasa disayangi oleh ibu, kita merasainya kerana kenal ibu kita. Kita kenal ayah kita, dan rasa disayangi.” Demikian perasaaan kasih dan sayang itu diterjemahkan dalam bentuk kelakuan, penghargaan dan sikap memberi dan menerima. Sudah tentu prasyarat pertama ialah kita mengenal mereka. “Begitu juga dengan Tuhan, untuk rasa disayangi kita terlebih dahulu mesti mengenal Tuhan.” Pelajar China itu bertanya, “Bagaimana?” Dijawab oleh ustaz, “Kalau dalam Islam, kami percaya setiap yang wujud di bumi adalah makhluk ciptaan-Nya. Maka kami mengenal Tuhan dengan memerhatikan ciptaan-Nya.” Untuk soalan kedua, ustaz membuat analogi sebiji cawan (kaca). “Kamu lihat, cawan ini cantikkan? Sebelum menjadi cawan asalnya pasir. Kemudian dibakar, diketuk, dicanai sehinggalah menjadi cawan. Proses itu samalah seperti ujian walau pun menyakitkan. Demikian sebagai muslim, ujian adalah suatu lumrah untuk melihat kualiti iman seseorang.”

Dalam kes pelajar Beijing ini, dia pada mulanya ditentang hebat oleh ibunya. Tetapi akhirnya ibunya membenarkan dengan syarat, “Kamu mesti pertahankan Islam itu sekuat-kuatnya.” Betapa kalau dibuat perbandingan, Islamnya kita tidaklah sesukar pelajar itu. Kita mengenal Islam sejak dilahirkan. Tetapi soalnya, kenapa setelah besar menjadi dewasa kita semakin menjauh dari Islam? Tanyalah diri dan ambillah langkah-langkah untuk senantiasa menghargai nikmat Islam yang diberi kepada kita.


Catatan perkongsian ilmu bersama GAMIS, Taman Dato' Senu, Sentul Utara, KL.15.07.2009.

Rabu, Julai 15, 2009

DBMS; (Database Management System)

DBMS; kependekan kepada Sistem Pengurusan Pangkalan Data (Database Management System)

Iklan: SEMINAR PEMIKIRAN DR.BURHANUDDIN AL-HILMI

Anda di jemput ke:


SEMINAR PEMIKIRAN DR.BURHANUDDIN AL-HILMI


TARIKH : 2 Ogos 2009 (Ahad)
MASA : 8.30pg-5.15ptg
TEMPAT : Dewan Auditorium Daeng Chelak,
Muzium Sultan Alam Shah,
Shah Alam Selangor.
TEMA : "Membentuk Jiwa Merdeka”
YURAN : RM25.00



"Di atas robohan Kota Melaka, kita dirikan jiwa merdeka, bersatu padulah seluruh baka, membela hak keadilan pusaka"
(Ucapan Almarhum Dr. Burhanuddin Al-Hilmi pada Disember 1946 dalam Kongress PKMM yang ke-2 di Melaka)




Maklumat lanjut di sini

Isnin, Julai 13, 2009

Tabiat membaca

Membaca. Islam sendiri menitikberatkan soal membaca. Lihatlah sahaja kepada wahyu pertama. Iqra' – bacalah! Hal ini jelas, membaca sebagai asas penting kepada pencapaian ilmu. Apabila seseorang mahu berkongsi ilmu, maka akan dikarang dalam buku; tidak boleh tidak ilmu itu hanya akan dapat dikongsi apabila ada orang membacanya. Setelah dibaca, ilmu akan bercambah dan berkembang, kemudian pembaca tersebut juga akan melakukan hal serupa, iaitu menulis, kemudian dibaca pula oleh orang lain. Demikianlah rantaian ilmu berpanjangan dari suatu generasi ke generasi berikutnya, dari satu peradaban kepada peradaban yang lain, atau merentas sempadan bangsa dan demografi melalui proses penterjemahan.


Keasyikan membaca hanya akan diperoleh mereka yang faham hakikatnya. Kita mungkin hairan melihat orang membimbit buku, kemudian membacanya sambil menunggu di perhentian bas atau kawasan awam. Malahan sesetengah orang di Malaysia tidak gemar membaca di tempat awam kerana tidak mahu dipandang 'semacam' seolah-olah amalan murni itu salah. Soalnya, apakah kita perlu rasa canggung dan malu jika membaca di kawasan orang lalu lalang? Dan apakah bukti bahawa hanya membaca dalam keadaan berdisiplin di meja atau di dalam perpustakaan atau bilik yang jauh dari kebisingan dapat menambah mutu bacaan? Apakah dengan membaca di luar, tiada apa-apa yang dapat diserap daripada bacaan? Semuanya bergantung kepada persepsi masing-masing.


Kajian di UK.


Dr Jenny Hartley, seorang pensyarah sastera Inggerus di Roehampton University, UK pada tahun 2002 membuat penyelidikan ke atas 200 respondan. Hasil kajian menunjukkan bahawa 40% daripada mereka tidak gemar membaca, wanita lebih membaca novel berbanding dengan lelaki, 23% pasangan minat membaca fiksyen berbanding 26% pasangan (masing-masing) yang memiliki kereta, kebanyakan orang membaca paling banyak enam jam seminggu berbanding dengan menonton tivi tiga jam sehari. Hasil kajian ini disiarkan akhbar BBC bertarikh 27 Mei 2002 [1] Pada tahun 2007, Teletext membuat tinjauan ke atas 4000 respondan dan mendapati faktor-faktor yang menyebabkan orang London tidak membaca adalah seperti berikut; terlalu letih (48%), menonton TV (46%), bermain permainan komputer (26%), sibuk bekerja (21%) [2].


Kajian di Jepun.


Satu hasil kajian melibatkan 9556 respondan bertarikh 28 Februari 2009 mendapati 6.9% rakyat Jepun membaca sekurang-kurangnya 10 buah buku, 8.1% - dua buah buku dan 4.6% hanya membaca sebuah buku setahun. Manakala 9.3% tidak membaca [3].


Budaya membaca di Malaysia


Pada tahun 1957, kadar celik huruf rakyat Malaysia adalah 52 peratus. Pada tahun 1994, seperti yang dilaporkan dalam New Straits Times bertarikh 21 Jun 1994, kadar ini meningkat kepada 80 peratus. Pun begitu, membaca belum menjadi budaya rakyat Malaysia. Berapa ramai di kalangan kita yang membaca ketika menunggu bas atau menunggu ahli keluarga atau rakan di luar kompleks beli belah?

Tabiat membaca seperti yang didefinisikan oleh Dr. Ambigapathy Pandian [4], pensyarah Sekolah Sains Kemanusiaan, USM ialah keupayaan membaca dan keinginan untuk membaca dan mendapat maklumat daripada akhbar, majalah, buku selain buku teks, dan bahan bermaklumat daripada media yang pelbagai. Masalah orang dewasa Malaysia kini ialah pengabaian bacaan iaitu mereka tidak buta huruf, tetapi memilih untuk tidak ambil tahu. Dan tentulah lebih membimbangkan kerana pola pembacaan di Malaysia menunjukkan pelajar-pelajar membaca semata-mata untuk lulus peperiksaan (News Straits Times, 29 Ogos 1996). Pada tahun 1996, Kementerian Pendidikan (sekarang ditukar menjadi Kementerian Pelajaran) membuat tinjauan pendapat ke atas 22 400 individu dan 6050 isi rumah. Kajian mendapati hanya 20 peratus rakyat Malaysia yang gemar membaca.

Pada 13 September 2008[5], Timbalan Perdana Menteri sebagai berkata, "Buku hanya berada pada kedudukan yang ketiga dalam konteks menjadi bahan bacaan atau rujukan oleh masyarakat di negara kita." Tambah beliau lagi, "berdasarkan satu kaji selidik yang dijalankan pada tahun lalu, secara purata rakyat negara ini hanya membaca dua buku setahun." Nilai ini tidak berubah daripada data yang dikutip semenjak kaji selidik pada tahun 1996. Menurut tinjauan pada tahun 2005, 98% kanak-kanak berumur sepuluh tahun membaca hanya dua buah buku setahun, 60.4% daripada mereka memberi alasan mempunyai minat lain, manakala 28.7% mengatakan tiada masa. Mungkin masa mereka telah berubah ke arah perkara yang lebih menyeronokkan seperti bermain, menonton tivi, bermain permainan komputer, di samping tiada galakan membaca daripada ibu bapa. Walhal dalam usia semuda itu, anak-anak jika dipaksa membaca, suatu hari perkara itu akan menjadi tabiat. Ambil sahaja kaedah pendidikan solat untuk anak-anak. Tidakkah dalam hadis, dinyatakan seorang bapa wajib merotan anak-anak jika setelah berumur sepuluh tahun masih liat menunaikan solat.

Sebagai kesimpulan, marilah kita buat perbandingan di antara negara kita dengan negara yang lebih maju seperti Jepun dalam budaya membaca. Lihat sahaja angka-angka yang terdapat dalam perenggan dua di atas. Dan mungkin ada yang berkata, kebanyakan remaja hari ini kurang gemar membaca kerana sudah beralih ke medium elektronik. Benarkah begitu? Sejauh mana internet memberi manfaat untuk meningkat minat remaja dan belia Malaysia ke arah membudayakan pembacaan? Kajian sebuah majalah ADOI [6] menunjukkan 48 peratus orang muda mempunyai blog. Tiga puluh lapan peratus suka membaca profil orang lain dalam rangkaian sosial, 44% suka membaca profil sosial orang lain di samping mengemaskinikan profil mereka. Hanya 43% respondand berpendapat mereka memperoleh maklumat yang dikehendaki (untuk tujuan kajian, pendidikan).


Rujukan


  1. Tabiat Membaca di UK

  2. Teletext

  3. Book Reading in Japan

  4. A Study on Readership Behaviour among Multi-Ethnic, Multi-Lingual Malaysian Students

  5. SAIFULIZAM MOHAMAD, TPM kecewa rakyat kurang membaca, Utusan Malaysia, 13 Sept. 2008.

  6. Top Online Habit in Malaysia


Sabtu, Julai 11, 2009

Resensi: Kasih Nan Agung

Judul : Kasih Nan Agung
Pengarang : Sri Rahayu Mohd Yusop
Penerbit : Utusan Publications & Distributors
Genre : Novel
Mukasurat : 172 halaman
Cetakan Pertama : 2009
ISBN : 9789676122766

Kasih Nan Agung, sebuah fiksyen yang menolak kepercayaan Darwinisme. Jaka Sulaiman sebagai seorang penuntut di UC Berkley, UK tidak dapat menerima penghinaan Maximillian Blake terhadap prinsip agamanya. Dalam satu seminar yang disampaikan oleh pensyarah pro-evolusi itu, beliau merumuskan bahawa di dunia ini tiada Pencipta. Kerana rasa marah diinjak-injak kepercayaan sebagai Muslim, Jaka Sulaiman telah membidas buah fikiran itu. Dia akhirnya diusir dari dewan. Insiden itu
dirakam sahabatnya dan disebar dalam internet (youtube).

Malangnya kes itu tidak reda di situ. Maximilliam Blake mahu agar Jaka Sulaiman disingkir dari pengajian. Setelah selesai sesi pengadilan, Jaka Sulaiman digantung pengajian selama dua minggu. Dia mengambil keputusan pulang ke kampungnya. Sementara itu, di penempatan kaum Asli Siwang di Kg. Buluh Rapat, di pedalaman Kelantan, heboh pula cerita orang Mawas. Seorang antropologis bebas bernama Yazed teruja dengan kegemparan itu. Dia mengajak Maximilliam menyertai penjejakan orang mawas itu. Maximilliam Blake mempunyai seorang anak yang belajar di USM kampus Kesihatan. Kebetulan pula ketika itu Evangeline merancang untuk mengadakan projek Demontrasi Pertolongan Cemas (CPR) di penempatan Orang Asli Siwang.

Apabila Evangeline bertemu Jaka Sulaiman, dia sudah menduga bahawa itulah pemuda yang dilihatnya membuat provokasi dalam klip video di internet. Jaka Sulaiman sebenarnya kehilangan adik bernama Bahaduri ketika mereka masuk ke hutan gelap itu. Antara percaya dengan tidak, dia masih berharap kalau-kalau Bahaduri masih hidup. Sebagai mengelak kejadian yang tidak diingini, iaitu berlaku pembunuhan (kerana mengikut prinsip) kajian paleoantroplogi, sesuatu speasis perlu dihapuskan sebagai membuktikan bahawa ia benar-benar wujud.

Jaka Sulaiman menjejak Yazed dan Maximilliam Blake. Setelah bertemu, dan perangkap yang dipasang mengena; berlaku pergelutan antara Jaka Sulaiman dan Blake. Semuanya disebabkan permintaan Jaka Sulaiman agar mereka melepaskan makhluk yang ditangkap. Secara tidak sengaja, Jaka Sulaiman terkena peluru yang dilepaskan Blake. Namun begitu, penulis tidak menyudahkan teka-teki tentang makhluk yang terperangkap itu. Bermakna pembaca bebas membuat interpretasi atau berspekulasi tentang makhluk itu. Suatu hal yang baik juga dalam penulisan kreatif.

Maximilliam Blake ditangkap dan akhirnya memaksa dia meminta bantuan daripada Jawatankuasa Disiplin di UC Berkley membatalkan hukuman ke atas Jaka Sulaiman. Sebagai timbal balas, Jaka Sulaiman melaporkan insiden itu sebagai kemalangan, bukan dengan niat membunuh.



------

Saya suka kisah ini kerana manuskrip ini menjadi satu bukti yang menolak kepercayaan Darwinisme. Saya pernah menulis makalah yang menolak Teori Darwin di sini. Bahawa sepanjang masa, mereka sentiasa melakukan kajian untuk mengabsahkan evolusi, walhal semua itu karut belaka. Kisah ini mengetengahkan speasis A. Solidas yang wujud 1.6 juta tahun lampau. Dengan merujuk kepada beberapa peralatan di sisi fosil yang didakwa A. Solidas, mereka mendakwa speasis itu berbudaya! Aneh sekali. Cerita ini diadaptasi dari peristiwa penemuan makhluk misteri yang oleh orang asli beberapa tahun lalu.

Nota: Karya ini menang Tempat Pertama, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (Novel), 2008.

Jumaat, Julai 10, 2009

Tinjauan awal

Berikut keputusan tinjauan awal keputusan PR Kecil Manek Urai, pada 14 Julai 2009.





Wah! Menarik sungguh.

Sains dan agama tidak sepadan?



Sains dan agama tidak sepadan semenjak dahulu disebabkan kaedah pembelajarannya. Dalam sistem pendidikan Inggeris, sains (malahan sistem kehidupan lain) dipisah daripada agama. Begitulah yang berlaku kepada sains dan agama. Ketika zaman kegemilangan sains Eropah, astronomi Galelio yang mengatakan bahawa matahari adalah pusat alam semesta dibunuh kerana bertentangan dengan pendapat pihak gereja. Bermula dari saat itu, ilmu sains (dan sistem kehidupan) terpisah daripada agama. Hal ini bermakna bermulanya era pensekularan ilmu sehinggalah hari ini tidak dikembalikan ke pada keadaan yang sepatutnya. Pada hal dalam kegemilangan tamadun Islam, pakar sains Islam juga merupakan seorang ahli agama. Justeru selepas eropah mencedok ilmu pakar sains Islam kemudian mengubah beberapa teori menggunakan nama Inggeris, kemudian mempromosikan ilmu itu kepada dunia, sains dan agama sudah dipisahkan sama sekali. Namun begitu, terdapat usaha untuk mengembalikan sains dan agama supaya seiring seperti yang dilakukan oleh Harun Yahya melalui penubuhan Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) di Turki. Di Malaysia pula, pihak yang sedang mempelopori sains dan Islam melibatkan Akademi Sains Islam (ASASI).


Sains dibina atas autoriti.


Sains dibina atas autoriti ialah pengetahuan atau kajian sains yang dibuat menggunakan sumber asal Islam. Hal ini bermakna usaha kajian dimulakan sendiri oleh orang Islam menggunakan sumber nas (al-Quran atau hadis). Bukan sekadar mengambil contoh kajian sains Barat, kemudian membuat pengislamisasi sekiranya terdapat kebetulan (atau ketepatan) penemuan sains itu yang selari dengan asas al-Quran atau hadis. Hari ini kebanyakan orang Islam hanya mengambil malah terpesona dengan penemuan Barat kemudian mengabsahkan kehebatan mukjizat al-Quran seperti yang berlaku dalam kes Big Bang (letupan besar), herotan benua, bentuk bunga ros di langit, pemisahan dua sungai di laut dan sebagainya.

Islam memberi kebebasan kepada para saintis untuk mengkaji, namun ia menyedari keterbatasan intelek yang dimiliki manusia. Justeru, sains Islam menjadikan wahyu sebagai sumber rujukan yang tertinggi. Dalam erti kata yang lain, dalam Islam, wahyu mengatasi akal kerana wahyu datang daripada kuasa tanpa batas sedangkan akal terbatas. Sains tidak boleh mengatasi wahyu. Apa-apa konklusi yang bercanggah dengan dasar-dasar wahyu dianggap sebagai konklusi sains yang salah dan apa-apa yang selari dengannya bolehlah diterima. Dalam hal ini Allah berfirman dalam surah al-Jathiyah ayat 20, “Al-Quran ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang meyakini.”

Justeru, sains dalam Islam ialah sains yang berkonsepkan tauhid. Sains dalam Islam tunduk kepada prinsip-prinsip yang ditetapkan Allah melalui rasulnya. Sains dalam Islam tunduk kepada al-Quran.

Faktor pembeli perisian

Faktor pembeli perisian

  1. Dibekalkan oleh pengedar yang sah.

  2. Mempunyai manual pengguna yang lengkap.

  3. Perisian yang disertakan dengan jaminan pembekal/pengeluar.

  4. Perisian yang terbukti bagus melalui testimoni pengguna terdahulu.

  5. Perisian yang digunakan untuk jangka masa panjang (minimum dua tahun). Terdapat perisian yang dibina berskala pendek iaitu versi yang ditingkatkan keluar kurang dari setahun.

  6. Perisian yang membolehkan beberapa pengguna menggunakannya iaitu lesen untuk lebih dari satu pengguna (multi-users license).

  7. Keperluan perisian sesuai dengan spesifikasi umum komputer atau laptop. Adalah satu kerugian sekiranya perisian yang dibeli memerlukan ruang memori yang besar sedangkan komputer / laptop tidak memiliki ruang memori kosong untuknya.

  8. Jika terdapat perisian dalam kategori yang sama, harga yang lebih kompetitif akan dipertimbangkan.

  9. Jika perisian dalam kelas yang sama, keupayaan menyelesaikan masalah tertiggi akan dipertimbangkan. Contohnya perisian antivirus.

  10. Perisian dibangunkan menggunakan sumber terbuka (open source) kerana harganya lebih murah secara relative jika dibandingkan dengan perisian komersial.

  11. Perisian mempunyai banyak antaramuka pengguna (graphic user interface – GUI). Tool dan fungsi yang mesra pengguna.


Selasa, Julai 07, 2009

Sistem Automasi Pejabat

Sistem automasi pejabat merujuk kepada frasarana komputer dan perisian yang membolehkan pemindahan data, dokumentasi, dan permohonan dibuat secara automatik, cekap, selamat dan menjimatkan kos. Automasi pejabat sangat penting untuk memastikan tahap komunikasi pejabat berlaku dalam keadaan yang memuaskan, dan tidak menyukarkan sekiranya salah seorang daripada yang menjaga dokumen atau data tidak berada di pejabat. Dengan kata lain, rakan sepejabat yang lain dapat memberi bantuan atau cadangan penyelesaian sekiranya terdapat persoalan yang mudah dibangkitkan. Secara umumnya dalam sistem automasi pejabat terdapat maklumat , sistem atau dokumen yang boleh dicapai oleh semua kakitangan. Selain itu terdapat juga sesetengah maklumat, sistem atau aplikasi yang hanya boleh diakses oleh ketua jabatan atau pihak yang memberi kelulusan seperti dalam aplikasi permohonan cuti, bayaran tuntutan, pengesahan perjawatan dan lain-lain. Maka amatlah penting untuk sesebuah syarikat memiliki frasarana untuk membangunkan jaringan dalaman (local area network/LAN). Dengan adanya konfigurasi LAN di sesebuah syarikat, sebuah mesin pencetak boleh dikongsi oleh semua staf yang disambungkan kepada setiap komputer. Selain itu, LAN juga memungkinkan sesebuah organisasi untuk memiliki sistem intranet iaitu sistem yang membolehkan kakitangan melakukan urusan rasmi berkaitan kerja seperti memohon cuti secara dalam talian (online), membuat tuntutan, menghantar laporan atau menghantar memo. Intranet tidak boleh diakses oleh pengguna internet dari luar premis pejabat.


Biasanya sebelum frasarana automasi pejabat disediakan, pihak yang bertanggungjawab di sesebuah syarikat akan menyediakan tender dan pihak yang berjaya mendapat tender akan membuat soal selidik keperluan pelanggan (customer requirement study, CRS). Tetapi sebelum tender dikeluarkan pasukan peyedia tender perlu menetapkan beberapa aspek terutama faktor yang akan dipertimbangkan untuk memenuhi keperluannya terlebih dahulu. Sebagai contoh, sistem automasi di syarikat memerlukan infrastruktur yang paling minimum, maka syarikat hanya perlu memikirkan soal tentang pelayan (server), router, komputer, pencetak, skrin paparan LCD, projektor (untuk kegunaan mesyuarat), mesin pengimbas kad pekerja (yang setara dengan punch card). Kos pembangunan frasarana automasi bergantung kepada jumlah kakitangan dan saiz syarikat. Semakin besar syarikat itu, semakin tinggi harga sistem automasinya. Antara faktor yang perlu dipertimbangkan untuk automasi pejabat ialah


  1. Penggunaan perisian yang tidak terlalu membebankan. Disebabkan peralatan fizikal seperti komputer, kos pembangunan sistem automasi pejabat dapat dijimatkan sekiranya menggunakan perisian sumber terbuka. Sehingga kini kerajaan Malaysia melalui Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) giat menerapkan penggunaan perisian sumber terbuka. Rekod penjimatan yang direkod sejak pelancarannya pada tahun 2004 ialah RM40.3 juta. Penjimatan membabitkan pengurangan perbelanjaan bagi lesen produk, sebagai contoh lesen perisian Micrososft Standard (merangkumi Microsoft Office Tools – Words, Excell, Powerpoint, dan lain-lain) adalah sekitar RM1380.00 per PC[1].

  2. Kesediaan kakitangan untuk mempelajari sistem. Sesuatu sistem yang baharu memerlukan penerangan untuk mengetahui prosedur yang betul menggunakannya. Maka perlu ada sekurang-kurangnya sekumpulan unit yang menjalankan tugas untuk melatih pekerja menggunakan aplikasi automasi pejabat yang akan dibangunkan.

  3. Kakitangan teknikal untuk proses pemantauan dan kerja penyeliaan. Biasanya juruteknik atau eksekutif IT. Memanggil pembekal jika berlaku kerosakan atau kesilapan memasang/membuat konfigurasi perkakasan atau perisian adalah merugikan. Hal ini disebabkan terdapat kos lain yang dicaj selepas daripada pemasangan awal.

  4. Kesediaan kakitangan untuk mempelajari perkara baharu. Apabila berubah dari sistem tradisional kepada sistem automatik menggunakan hampir 90% mesin, akan berlaku kekalutan. Kesukaran hanya akan berlaku untuk sekurang-kurangnya satu minggu atau mengikut kecepatan personel yang terlibat menerima dan memahami cara sistem automasi bekerja.

  5. Jika perkara (1) dipertimbangkan, kumpulan penyedia tender untuk sistem automasi haruslah memaklumkan kepada kakitangan untuk bersedia menggnakan perisian sumber terbuka. Kerja-kerja dokumentasi, laporan dan lain-lain masih boleh dilakukan seperti biasa kerana perisian sumber terbuka merupakan alternatif kepada negara-negara membangun untuk memanfaatkan sektor ICT supaya jurang digital tidak jauh berbeza dengan negara maju.

  6. Soalan yang perlu ditanya kepada pembekal ialah keupayaan sistem yang dibekalkan untuk menerima pakai perisian yang akan digunakan. Adalah tidak berguna sekiranya perisian yang akan dipasang pada PC tidak mampu ditampung oleh mesin.

  7. Pembekal perlu mempunyai kemampuan untuk menyediakan spesifikasi yang berbeza menurut bidang kerja personel yang berada dalam syarikat. Jika automasi pejabat bermula dari sifar, pembekal perlulah mempunyai pelbagai perisian yang diperlukan oleh setiap personel di dalam organisasi yang akan memberi tender kepadanya. Perisian untuk seorang kerani berbeza dengan perisian yang diperlukan oleh akauntan, pereka grafik, animator, pegawai tinggi, ketua jabatan dan editor.

  8. Masa untuk pembekalan sistem autmasi juga perlu dititikberatkan. Operasi syarikat akan tergendala sekiranya masa tidak ditepati. Menunda operasi syarikat bermaksud produktiviti syarikat terjejas sama sekali.

  9. Rekod syarikat pembekal juga perlu diselidik. Hal ini amat penting agar tidak berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini seperti penipuan. Syarikat yang mempunyai rekod baik daripada projek terdahulu perlu diutamakan.

  10. Khidmat selepas jualan. Khidmat selepas jualan biasanya diberikan kepada pelanggan secara percuma sepanjang tempoh jaminan. Maka pembekal yang memberi tempoh jaminan lebih panjang akan memberi kelebihan kepada syarikat pembeli. Jika terdapat kerosakan dalam tempoh jaminan, barangan akan diganti tanpa caj perundingan.

  11. Adakah pembekal merupakan pembekal primer? Mendapat pembekal juga penting agar hak memberi jaminan betul-betul berada di pihaknya. Jika pembekal menjadi wakil kepada syarikat lain, adalah dibimbangi tidak mendapat jaminan yang kuat. Kadang-kadang terdapat kes pembekal bersikap lepas tangan selepas menyerahkan produk kepada pembeli. Pembekal primer memberi kelebihan nilai wang dari segi margin keuntungan. Jika pembeli membeli dari pembekal kedua (sekunder), sebenarnya margin keuntungan sudah meningkat beberapa peratus bagi mengimbangi keuntungan yang ingin diperoleh pembekal sekunder.



Nota: Bagi kakitangan kerajaan, sistem automasi pejabat boleh dibuat dengan merujuk kepada tatacara/prosedur perolehan yang digariskan. Boleh dirujuk di laman web MAMPU.



Rujukan


1. http://www.computermalaysia.com/product_microsoft1.htm

Mentafsir hakikat

Apabila mentafsir hakikat, tidak boleh tidak kita akan dibawa ke arah menilai yang benar dan salah.
Tidak hairanlah apabila soal ini timbul, akan ada dua pihak. Menyokong atau sebaliknya.
Hakikat adalah suatu yang memberi impak besar kepada persepsi manusia. Sejarah telah membuktikan seperti peristiwa Nabi Musa yang berlawan dengan ahli-ahli sihir Firaun. Kesudahannya, ahli-ahli sihir itu beriman kepada Allah setelah terbukti mereka hanya membawa perkara bathil.


Judul: Mentafsir Hakikat.

Ahad, Julai 05, 2009

Pada bab menyatakan qadha’ solat....


Dari Abdullah Bin Mas’uud r.a katanya, “Adalah nabi membimbang ia akan kafir musyrikin (ketika perang Khandaq) sehingga tertinggal menunaikan solat Zohor, Asar, Maghrib dan Isyaa’. Apabila malam baginda memerintahkan bilal azan. Kemudian Bilal azan, kemudian Iqamat. Baginda menunaikan solat Zohor. Kemudian setelah itu Bilal iqamat lagi, baginda menunaikan solat Asar. Kemudian setelah itu Bilal iqamat lagi, baginda menunaikan solat Maghrib, kemudian setelah itu diiqamatkan lagi. Baginda menunaikan solat Isyaa’.”

Dari Jabir Bin Abdillah, beliau berkata, “Suatu hari (ketika perang Khandaq) Umar al-Khattab mengadu kepada nabi bahawa dia belum menunaikan solat Asar, sedangkan matahari sudah tenggelam (masuk fardhu Maghrib). Nabi menjawab, “Aku juga belum sempat menunaikan fardhu Asar.” Maka apabila diazankan Maghrib, nabi menunaikan solat Asar, kemudian menunaikan fardhu Maghrib.”

Pertama, daripada dua hadis yang dinukilkan oleh Imam Tarmidzi (dalam himpunan hadis sahih Imam Tarmidzi), ulama membahaskan apakah perlu ditunaikan solat qadha’ secara berturut-turutan (mengikut aturan)? Menurut Imam Nawawi, hal ini adalah sunat. Bermakna menunaikan solat qadha’ tidak mengikut aturannya juga dibolehkan.

Kedua, apakah dibolehkan iqamat untuk solat qadha’? Dari hadis pertama di atas, iqamat untuk menunaikan solat qadha’ juga disunatkan.

Ketiga, jika terdapat peristiwa ini, apakah dibolehkan meninggalkan solat kemudian diqadha’kan? Imam Nawawi berpendapat bahawa tidaklah sewenang-wenangnya kita boleh meninggalkan solat. Peristiwa dalam hadis itu terjadi dalam keadaan darurat iaitu ketika perang. Ulama fiqah berpendapat bahawa kekalutan menghadapi ancaman musuh adalah keuzuran yang dibolehkan. Boleh jadi nabi terlupa kerana menumpukan usaha mempertahan diri dalam perang. Pendapat lain yang lebih kuat mengatakan bahawa kejadian ini berlaku ketika syariat solat syiddatul khauf1 (solat dalam ketakutan) belum disampaikan kepada nabi.

Keempat. Apakah dibolehkan menunaikan solat qadha’ secara berjamaah? Jawabnya boleh. Hanya Al-Qadhi ‘Iyaadh menegah menunaikan solat qadha’ secara berjamaah.

Dalam kitab Muattho’ Imam Malik disebut bahawa nabi meninggalkan solat Zohor dan Asar. Manakala dalam kitab ini (Kitab Himpunan Hadis Sahih Imam Tirmidzi, karangan Idris Al-Marbawi), bahawa nabi tertinggal solat Asar, dan satu hadis lagi tertinggal empat waktu. Tidakkah keadaan ini menunjukkan percanggahan (kontradik)? Untuk memurnikan hadis-hadis ini, ulama fiqah sepakat mengatakan bahawa semuanya benar. Bukanlah perang khandaq berlaku hanya sehari. Maka hadis-hadis yang dilaporkan itu berlaku pada hari-hari yang berbeza.

Kesimpulan, solat tetap perlu dilakukan termasuklah diqadha’kan sebagai ganti, kerana orang yang meninggalkan solat samalah seperti dia berhutang dengan Allah. Jika hutang dengan manusia wajib dibayar, inikan pula hutang dengan Allah.


Nota: 1. Ayat 102, Surah An-Nisaa tentang solat dalam perang belum diturunkan ketika itu. Perang Khandaq berlaku pada tahun keempat Hijrah.

Nota kuliah Maghrib, Ust. Raihan bin Abdul Aziz, 3 Julai 2009. Masjid al-Hidayah, Sentul, KL.

Khamis, Julai 02, 2009

Ralat


Ada satu insiden terjadi hari ini menyebabkan saya sedar, selama ini memang suatu kesalahan saya menulis poskod untuk alamat pejabat. Bermakna sebelum ini sudah empat kali urusan surat-menyurat yang saya gunakan dengan nombor 15100.

Saya tidak pasti bagaimana minda saya menterjemah 51000 menjadi 15100. Terima kasih buat Pengurus Ujana Ilmu, Puan Nisah Haron. Jika beliau tidak meminta kepastian poskod itu, mungkin sampai bila-bila saya tidak akan tahu kesilapannya. Ya, saya sangat senang berurusan dengan Ujana Ilmu kerana pengurusannya cekap dan selamat. Ada standard pengurusan tertentu yang diamalkan oleh Ujana Ilmu seperti dokumentasinya. Pernah suatu ketika pesanan saya lewat, dan saya ditunjukkan bahawa pada peringkat pengurusan Ujana Ilmu sudah selesai. Maka yang seterusnya terletak pada pihak yang menghantar bungkusan iaitu pos. Saya tidak kisah kalau berlaku kelewatan, tetapi saya amat kesal kalau berlaku kehilangan, dan pihak yang terbabit tidak mahu mengambil peduli. Inilah sebabnya saya tidak lagi menjadi pelanggan pos untuk sebuah syarikat buku yang lain. Saya masih ingat, aduan saya tidak dilayan sama sekali! Tetapi di Ujana Ilmu, sebarang masalah berbangkit akan diselesaikan dengan profesional dan mesra pelanggan. Sebab itulah saya menjadi pelanggan setia. Sedar tidak sedar, sudah hampir empat tahun saya berurusan dengan Ujana Ilmu; pesanan pertama pada 25 Oktober 2005.




Ralat adalah kelemahan manusia yang biasa. Apabila saya percaya angka 51000 yang saya lihat sebagai 15000 maka suatu input dipetakan dalam minda. Begini maksud saya; saya melihat angka dalam turutan 5-1-0-0-0, tetapi bisikan dalam hati yang didengar oleh minda berbunyi 'lima belas ribu'. Sepatutnya pada waktu saya melihat angka 51000, hati saya harus membisikkan 'lima puluh satu ribu'.

Selasa, Jun 30, 2009

Mungkin ini waktu merevolusi bangsa


Barangkali sudah tiba saat-saat akhir untuk kita mahu melihat kebijaksanaan pemimpin dalam menetapkan hala tuju bangsa. Orang-orang Malanyu kemudian melalui revolusi bahasa dan fonetik mereka 'Malanyu' ditukar menjadi Melanyu, kemudian entah siapa pula yang termakan dengan sarana penjajah; kononnya Melanyu kurang enak didengar. Dan satu-satunya 'N' di dalam Melanyu dinyah sehingga hari ini kita generasi anak-anak merdeka tahu-tahu sudah digelar Melayu. Orang Putih memanggil bangsa ini sebagai Malays, iaitu gabungan mal yang bermakna keabnormalan; luar biasa. Natijahnya memanglah suatu yang cacat. Manakala perkataan lays bermaksud berbaring. Jadilah orang-orang Melayu di mata orang Putih sebagai bangsa yang tidak normal, sentiasa sakit dan gering. Menurut bahasa Greek dan Latin, 'y' dan 'i' boleh bertukar tempat; jika 'y' pada malays digantikan jadilah perkataan itu malaise, kemudian perkataan ini berevolusi menjadi malas[1]. Hah! Apa benar kita ini bangsa yang malas?

Kita mungkin malas kerana mencari-cari kaedah yang bagus dan cepat untuk membangunkan peradaban bangsa. Hendak menterjemah karya ilmu ke dalam bahasa Melayu, “Oooo.... kita kekurangan daftar kata. Sesetengah perkataan tidak wujud dalam bahasa kita.” Walhal memang sejak dahulu kita ada pasukan penterjemah yang hebat-hebat. Mengapa tidak dimanfaatkan jasa mereka? Maka dengan kepercayaan itu, mata fikir pemimpin kita yang tersilau dek janji-janji kemajuan era globalisasi sekali lagi menidakkan bahasa Melayu. Kononnya untuk berjaya, kita mesti menguasai bahasa Inggeris. Bahasa Inggerislah yang menjadi bahasa globalisasi! Tetapi harus diingat, berapa ramai pemenang hadiah Nobel dalam bidang sastera dari India yang mengangungkan bahasa Inggeris? Lihat pula rekod penerima Hadiah Nobel Sastera Jepun. Jepun mempunyai rekod pemenang yang lebih banyak berbanding India.




Sumber:India|Japan|Statistik hadiah Nobel Sastera


Lihat statistik di atas. Bangsa Jepun boleh berbangga kerana dalam statistik (sekarang sudah ada perkataan baharu untuk statistik iaitu kohort yang berasal dari perkataan Inggeris cohort), Jepun dicatat keupayaan bahasanya menjadi peneraju linguistik moden. Sehingga Jun 2008, rekod populasi Jepun adalah seramai 127.7 juta. Manakala India pula hampir 1.15 bilion.(secara tepat: 1 147 995 904). Bermakna hanya 0.73 peratus dari keseluruhan penduduk Jepun menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama, berbanding India sebanyak 8.71 peratus. Kedudukan bahasa Jepun sebagai bahasa Kesatuan Afrika juga lebih bagus iaitu di tangga ke-9 berbanding dengan India di tangga ke-144 dari 147 negara yang dinilai.


Mengapa saya menulis hal ini? Data-data yang ditunjuk di atas membuktikan betapa bahasa memainkan peranan penting dalam peradaban sesuatu bangsa. Tidakkah kita sedar dan hayati frasa “Bahasa Jiwa Bangsa” yang dipromosikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)? Saya lihat DBP juga sekarang ini kembali memainkan peranan penting dalam isu PPSMI, dan sekalung tahniah untuk keberanian pemimpin utamanya. Semoga akan ada perkara yang menyenangkan jiwa seluruh pencinta bahasa Melayu menjelang pengumuman dasar PPSMI tidak lama lagi. Jika dasar itu diteruskan, adalah lebih baik kiranya kita membuat satu lagi revolusi bangsa, jangan lagi berani gelarkan diri kita Melayu, lebih cocok panggilkan sahaja bangsa yang baharu itu sebagai Melingger! (Melayu + Inggeris = Melingger).


Sumber:About.Com


Nota:
1. Rujuk novel Panggil Aku Melaju, Rahmat Haroun Hashim.

Isnin, Jun 29, 2009

Sekeping kertas bernilai.....

Minggu lepas, saya dimaklumkan bahawa ada sekeping kertas yang bernilai di rumah.

Dan dua hari lalu sudah dikirimkan ke pajabat.

Dan saya tertanya-tanya, dari mana? Sehingga kini belum diberitahu kepada saya jawapannya.

Tetapi hari ini saya ketemu lagi satu yang tidak saya sangka.

Jumaat, Jun 26, 2009

Luasnya ilmu milikNYA.

Antonin Artaud dalam bukunya The Theatre and Its Double pada tahun 1938 memperkenalkan konsep realiti maya sebagai sesuatu watak, imej dan objek dalam drama yang diambil daripada visi dalaman. Ia wujud tetapi tidak dalam bentuk nyata. Menurut imaginasi penyair, pelakon dan pengarah Perancis itu, realiti maya memungkinkan sesuatu hal yang mustahil dicapai oleh akal biasa menjadikan sesuatu perkara surealis. Konsep relaiti maya mengatakan bahawa wujud satu keadaan di mana seseorang boleh berada dalam dimensi yang lain melalui pengaruh minda yang dimanipulasi. Pada tahun 1981, konsep realiti maya yang sebenar dipopularkan dalam filem The Brainstorm. Filem fiksyen sains ini mengisahkan penciptaan topi yang dipakai di kepala dan berupaya mentafsir aktiviti minda. Semua yang terlintas dalam otak pemakainya direkodkan dan ditulis di atas pita rakaman laser. Contoh ini membuktikan bahawa idea sains telah dicetus lama dahulu iaitu kira-kira 50 tahun sebelum diterjemahkan dalam penciptaan. Selepas daripada penciptaan topi tersebut, realiti maya berkembang dalam pelbagai bidang melibatkan simulasi komputer bagi memudahkan manusia berinteraksi dengan keadaan sebenar. Sebagai contoh, simulasi penerbangan bagi calon juruterbang. Calon juruterbang dibawa ke kokpit pesawat pegun dengan sistem simulasi sehingga menjadikan dia seolah-olah mengendalikan pesawat sebenar. Bagi orang awam Malaysia, pengalaman mengikuti pengembaraan ke angakasa yang dibuat di Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur adalah contoh terbaik aplikasi realiti maya. Pengunjung hanya duduk di dalam dewan kemudian dibawa 'mengembara' ke ruang angkasa yang maha luas.

Mengapa terdapat julat waktu antara cetusan idea dengan pelaksanaannya? Jawabnya mudah. Sudah semestinya tahap kecerdikan manusia dan teknologi pada waktu itu belum mencapai tahap sehingga membolehkan manusia merealisasikan sesuatu teori. Apabila waktu beredar, ilmu berkembang, teknologi berkembang dan kreativiti manusia juga bertambah. Hal ini dengan sendirinya menunjukkan betapa ilmu Allah Maha Luas dan tiada batasannya. Semakin banyak yang diteroka, semakin banyak pula persoalan yang perlu dijawab oleh manusia.

Untuk contoh yang lebih baik dan sebagai pembuktian kebesaran Allah, al-Quran sendiri bercerita darihal sains. Pada zaman nabi, apabila diceritakan bahawa alam asalnya satu, kemudian terpisah menjadi dua bahagian (bumi dan langit), tidak siapa pun yang mempercayai kecuali orang-orang yang beriman. Namun begitu hal itu hanya dapat dibuktikan benar melalui Teori Letupan Besar (Big Bang) oleh Stephen Hawking (lahir pada 8 Jan 1942), pada abad ke 20. Bahkan di dalam al-Quran terdapat 25 peratus ayat-ayat yang bercerita tentang ilmu sains.



Selasa, Jun 23, 2009

Syukur


Selamat tiba ke destinasinya.

Dan sahabat saya mengesahkan yang dia telah menerimanya.

Tentang mazhab

Selepas 70 tahun kewafatan nabi, imam Nu'man bin Thabit dengan gelaran Imam Abu Hanifah muncul.


Selepas 80 tahun kewafatan nabi, muncul pula Imam Muhammad bin Idris dengan gelaran Imam As-Syafi'e.


Kemudian setelah 140 nabi wafat, lahir pula Imam Malik bin Anas yang digelar Imam Maliki.


Dan selepas 154 tahun kewafatan nabi, lahir pula Imam Ahmad bin Hanbal; digelar Imam Hanbali.


Sabda nabi, “Khairu al-Naas qarni, thumma al-ladzi yaduunahum, thumma al-ladzi yaduunahum”
Maksudnya, “Sebaik-baik manusia adalah pada kurunku, kemudian mereka yang mengikuti mereka (kurun kedua), kemudian mereka yang mengikuti mereka (kurun ketiga).
Hadis ini menyebutkan bahawa zaman 300 tahun bermula dari zaman baginda sehingga tabi'iin dan tabi' at-taabi'iin adalah golongan yang terbaik. Selepas daripada mereka, sinar Islam dari segi keilmuan mulai luntur lantaran mereka semakin jauh daripada yang asal (dari segi ketulenan sumber ilmu).


Imam yang disebut dalam para di atas, menurut kesepakatan ulama (ittifaq ulama) wajib diikuti oleh umat Islam mutakhir. Setiap manusia wajib berpegang dengan salah satu mazhab yang empat ini kerana mereka diiktiraf dari segi penguasaan ilmu Islam yang pelbagai dan layak melakukan ijtihad. Kebimbangan yang berlaku zaman sekarang ialah tidak berpegang pada mana-mana mazhab, kononnya mereka mahu mengikut nabi sahaja. Sehingga sesetengah golongan menyatakan semua bidaah adalah sesat. Adapun bidaah adalah perkara yang tidak dibuat pada zaman nabi dalam hal agama. Maka golongan ini menuduh perkara itu tidak boleh, perkara ini haram dan menyesatkan. Walhal kalau dilihat pada zaman Khalifah Usman, beliau mengumpulkan al-Quran lalu dijilidkan sehingga dikenal sebagai mushaf Uthmani. Mushaf Uthmani yang kita tatap hari ini, asalnya dalam bentuk (catatan awal para sahabat) yang tidak bertitik dan berbaris. Maka dari kalangan sahabat-sahabat yang arif dalam ilmu balaghah, tajwid, nahu dan sebagainya menjalankan usaha untuk memudahkan orang yang tidak mahir bahasa Arab agar dapat membaca al-Quran. Apakah ini juga dinamakan sebagai bidaah. Apakah dengan ini Khalifah Uthman sesat? Sebab itu dalam satu hadis lain, nabi memerintahkan agar umat Islam mengikut sunnah baginda dan khulafaa ar-Rashidiin.



Dan siapalah kita untuk menjadi orang yang tidak bermazhab?


------ Catatan kuliah Maghrib, 15 Jun 2009, Masjid Al-Hidayah, Sentul.

Akhirnya ribut utopia pun reda.....



Sila baca analisis lengkap di sini.

Sabtu, Jun 20, 2009

Resensi: Dilema seorang wartawan Islam


Judul: Dilema seorang wartawan Islam
Penulis: LanH.
Cetakan: Pertama (2001)
ISBN: 983-40596-0-4
Harga: RM12.00


Buku ini diuwar-uwarkan kepada saya pada tahun 2004 lagi. Seorang bekas wartawan di Karangkraf Sdn. Bhd, yang juga pernah belajar sealma mater dengan saya mendakwa dia menjadikan penulis buku ini sebagai mentornya. Sebelum itu penulis pernah juga mencoret serba sedikit tentang buku ini dalam akhbar baharu setelah meninggalkan Berita Harian. Pada tahun 2009, ketika berlangsung Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 (PBAKL'09), penulis buku ini membuat jualan terus sebagai jualan habis stok. Sungguh mengejutkan kerana tawaran harga istimewanya! Bermakna membeli dan memiliki buku ini ketika jualan di PBAKL'09 semacam sangat menguntungkan pembeli.


Buku ini terbitan sendiri penulis dan tentulah aspek pemasarannya menjadi cabaran utama kepada beliau. Apa pun, setelah khatam membacanya terasa amat memuaskan kerana intipatinya sangat jujur; lahir dari nubari seseorang yang mencari makna dan jati diri. Buku ini dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama memuatkan pengalaman kewartawanan penulis bermula dari saat menjadi wartawan junior sehinggalah detik peletakan jawatan. Beliau berkongsi suka duka, pengorbanan dan kesibukan wartawan malahan berkongsi keresahan menjalankan tugas yang kadangkala terpaksa melupakan dunia lain. Keinsafan yang muncul dalam diri terutama pergolakan diri mencari erti hidup yang lebih bermakna harus juga difikirkan oleh semua, bukan sahaja wartawan. Menurut penulis, kesibukan kerja tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengetepikan hal-hal lain seperti keluarga dan aspek kerohanian. Persoalan kehidupan abadi yang timbul dalam dirinya mendorong diri penulis untuk memilih satu pilihan yang paling berat iaitu meletak jawatan tatkala puncak kariernya di syarikat yang besar seperti Berita Harian. Pada tahun 1998, beliau meletak jawatan sebagai wartawan dan pulang ke kampung halaman; membuka pusat tuisyen Bahasa Inggeris dengan bayaran minimum RM2.00.


Bahagian kedua buku ini memuatkan artikel yang pernah disiarkan dalam kolum 'Kisah Antara Dua Kota', Berita Harian (15 Februari - 30 Ogos 1997). Tajuk kolum ini bersempena rutin hariannya berulang-alik dari Melaka ke Kuala Lumpur untuk menjalankan tugas. Sebahagian daripada kisah yang dipaparkan berkait langsung dengan insiden yang berlaku di dalam bas. Hal ini sangat menarik kerana penulis sedaya upaya menyelitkan pemikirannya; kemudian membuat perbandingan dengan peristiwa sama di negara-negara lain yang pernah dilawatinya. Benarlah kata bijak pandai, pengalaman tidak pernah menipu. Malahan pengalaman setiap manusia unik dan tidak akan sama dengan pengalaman individu-individu lain. Justeru, saya amat berharap penulis buku ini meneruskan usaha membukukan artikel kolum kelolaan beliau pada masa hadapan. Ketika ini saya gemar mengikuti kolum 'Kembara Seorang Penulis' di akhbar Siasah atau Harakah.

Khamis, Jun 18, 2009

Tentang utopia


Secara teorinya, saya bersetuju dengan idea kerajaan perpaduan. Tetapi secara praktis, saya nampak terdapat banyak belenggu. Saya bimbang kalau-kalau dipraktikkan, akan ada pihak yang akan menjadi mangsa. Sebab itu saya suka frasa ini, "Orang Mukmin tidak 'kan jatuh ke lubang yang sama dua kali". Mereka bergaduh tentang utopia, dan musuh-musuh sedang memalu gendang sengketa dari luar. Di mana manfaatnya?

Nota:
utopia masyarakat (sistem pemerintahan, negara, keadaan, dll) yg ideal atau terlalu sempurna (iaitu merupakan sesuatu yg tidak mungkin dapat diwujudkan). (Sumber; Kamus Dewan Online

Rabu, Jun 17, 2009

Ripuh; ribut; dan serabut.

Saya sangka petang tadi sudah dapat utopia! Dan betapa rakan yang saya tolong kegembiraan apabila dimaklumkan, 'Sudah berjaya!.'

Kemudian dia datang, dan aku tunjukkan keberjayaan itu.
Alamak! Ini masih tidak betul.....

Dan secara tidak sengaja, aku telah menghampakannya.....





Aku serba salah.... sudah penat memikirkan logik sistem supaya menjadi.

Utopia itu belum tuntas!

Selasa, Jun 16, 2009

Dan tulislah tanpa jemu-jemu

Mengapa kita harus menulis tanpa jemu-jemu?
Dalam al-Quran dinyatakan bahawa ilmu Allah amat luas.



Katakanlah (whai Muhammad): Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan. (109)

(Surah Al-Kahfi)



Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (27)

(Surah Luqman)




Dan hendaklah kita menjadi penulis yang menulis perkara yang baik-baik dan bermanfaat kerana hadis nabi

man sanna hasanatan falahuu ajruhu min 'amaliha, wa man sanna sayyiatan falahuu ajruhu min 'amaliha.

(mafhumnya);
Sesiapa yang mencontohkan sesuatu kebaikan, maka diganjarkan pahala bagi contoh kebaikan yang dilakukannya. Dan sesiapa yang menunjukkan satu jalan kejahatan, maka dibalas (dosa) bagi kejahatan yang ditunjukinya.


Menulis adalah sebahagian daripada perkara yang boleh mempengaruhi pemikiran orang lain. Dan pemikiran akan membentuk kepercayaan yang akan diikuti. Maka tulislah yang baik-baik.



Isnin, Jun 15, 2009

Takbiratul Ihram


Dikatakan takbir yang mengharamkan apa-apa yang halal sebelum solat seperti pergerakan yang banyak, makan, minum dan bercakap-cakap.
Lafaz takbir ialah Allaahu Akbar.

Dan tidak memadai (tidak sah) takbir itu


  1. jika diganti kalimah lain yang menunjukkan makna yang hampir sama seperti Allaahu Kabiir atau Allaahu 'Aziim.

  2. Juga tidak sah jika ditukar kalimah Allah dengan Asma Allah yang lain seperti menyebut Al-Rahmaanu Akbar.

  3. Jika disebut dengan melenyapkan sebahagian huruf seperti menyebut Allaahu ...bar (yakni hilang sebutan 'ak' pada kalimah 'Akbar'.

  4. Jika ditambah dengan alif hamzah istifham (alif bi ma'na hal) sama ada pada kalimah Allaah dengan menyebut Aaallaahu Akbar yang membawa maksud 'Adakah Allah Maha Besar?' atau menambah alif hamzah istifham pada kalimah 'Akbar' dengan menyebut Allaahu Aaakbar yang membawa makna 'Allah, Adakah Maha Besar?'.

  5. Jika dipanjangkan kalimah 'Akbar' menjadi 'Akbaar' kerana 'Akbaar' bermaksud rebana/gendang.

  6. Jika seseorang ragu-ragu sama ada takbirnya sudah sempurna untuk menghadirkan niat solat, maka hendaklah dia mengulangi dalam bilangan ganjil. Bermakna takbir kali yang kedua adalah tidak sah kerana diselubungi keraguan. Maka hendaklah dia mengangkat takbir untuk kali ketiga, dan takbir itulah yang dikira takbir yang sah. Begitulah seterusnya, jika masih timbul keraguan pada tabir ketiga, secara automatik takbir keempat tidak sah, dan hendaklah dia mengangkat takbir kelima.

  7. Jika tidak disebut sekadar didengar oleh telinga kerana Takbiratul ihram termasuk dalam rukun Qauli (perkataan). Yaitu menyebut takbir dalam hati. Hal ini terkecuali jika seseorang itu bisu.


Selain itu, perkara-perkara berikut tidak memudaratkan (tidak mencacatkan) takbir jika


  1. Terputus nafas ketika menyebut Allaah dan Akbar kerana masalah pernafasan. Yakni berhenti sekejap (sekadar saktah), tetapi tidaklah berhenti terlalu lama untuk menyambung semula kalimah Akbar.

  2. Mewashalkan (sambung bacaan) kalimah Akbar dengan doa Iftihah, iaitu menyebut “Allaahu AkbaruLLAAHU AKBARU KABIIRAA....” Walaupun hal ini tidak memudharatkan, tetapi hukumnya makruh, kerana sunnah nabi adalah berhenti tatkala menyebut takbiratul ihram.



Kalimah Allah dalam takbiratul ihram ialah lafaz al-Jalalah tetapi kaedah menyebut harakat (panjang sebutan 'laa') tidak boleh disamakan dengan kaedah hukum tajwid kerana di sini ia bukan sebahagian daripada kalimah yang menyamai ayat al-Quran. Bermakna, tidaklah dihadkan panjang sebutan huruf 'lam dan alif kecil (fathah)' di dalam kalimah Allah kepada dua harakat mengikut kaedah hukum mad Asli atau mad Thabi'e.



------
Nota kuliah maghrib, Kitab Fathul Mu'in (muka surat 62), Ustaz Abd. Aziz Aroff, Masjid Al-Hidayah, 14 Jun 2009.

Sabtu, Jun 13, 2009

Apakah ini 'Kemuncup dalam Perjuangan' Versi Dua?

Judul: Garis Merah di langit biru

Sesekali pelangi hatinya timbul
sebelum mega merah maratah
bergulir dalam gumpalan awan
kelam seribu bersulam ribut
sehingga berpuing pasir
dan debu dataran
dan berolak ombak rindunya

Sejenak mentari sukma
bersinar cemerlang
menerangi alam kehidupan
kemudian tenggelam
di balik gerhana diri
sehingga akhirnya
dilupakan

Setelah itu rembulan timbul
bersama tawa yang dibuat-buat
bertemankan jutaan bintang ria
sedang kegembiraan dalam ilusi
nestapa yang dalam digenggam kejap
tiada siapa yang tahu

Oh
dia ingin terbang
melangkau hemisfera
melepasi statosfera
kemudian berbaring di angkasa
apakan daya
sayapnya sudah patah

Dan dia pun mengengsot
menekuni denai hijau
yang rimbun menadah embun
sehingga kering akhirnya
digayang terik matahari
yang tidak kenal siapa
atau masa
buat menyejuk bara sinarnya

Keluarlah dia dari mimpi
dan nampak di matanya
garis merah di langit biru
Oh! Apakah ini kebetulan?
----------------------
(Naimisa, 19032009, Sentul, KL)


Saya telah membaca Kemuncup Dalam Perjuangan yang sudah lama dibukukan. Dan Mac 2009 adalah permulaan cetusan idea baharu yang sehingga kini semakin hangat. Maklum sahaja mereka yang berada di puncak sedang digambarkan seolah-olah berperang sesama mereka. Saya dan sekalian yang berada di bawah amat bimbang akan hal ini. Apakah akan ada jalan keluar yang baik nanti? Sama-sama kita tunggu dan lihat!

Selasa, Jun 09, 2009

Resensi Satu Bulan Tiga Bintang



Judul : Satu Bulan Tiga Bintang
Penulis : Ummu Hani Abu Hassan
ISBN : 978-983-097-207-7
Harga : RM15.00
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn Bhd


Novel Satu Bulan Tiga Bintang, sebuah novel motivasi remaja penulis berbakat. Bulan mewakili Umairah alias Om yang menjadi watak utama di dalamnya. Om mempunyai tiga orang abang iaitu Saiful, Syamil dan Safuan yang digambarkan sebagai bintang-bintang dalam keluarga. Om selaku anak bongsu kehilangan ibu yang menghadapi penyakit barah rahim berusia 15 tahun.


Kerinduan pada ibu tercinta menyebabkan Om gemar membaca diari ibunya. Bagi mendapat kekuatan, mereka sekeluarga sengaja tidak pulang ke kampong halaman selama kira-kira lima bulan setelah pemergian Saudah, ibu Om. Kemudian bapa Om, Shamsul Amri mengambil seorang pembantu rumah dari Indonesia bernama Eka Norviyanti. Om menggelar Eka Norviyanti sebagai Kak Eka memandangkan usianya hanya lapan tahun lebih muda daripada abang sulungnya Saiful. Mereka sangat rapat dan mesra. Eka Norviyanti digambarkan sebagai seorang mahasiswa dalam bidang agama yang hebat. Walau pun kadang-kadang mereka tidak melayannya sebagai orang gaji, Eka Norviyanti tetap menganggap dirinya sebagai pekerja.


Suatu hari Om mendengar perbualan antara Nenek dan bapanya tentang rancangan kahwin baru. Betapa Om yang keanak-anakan tidak bersetuju dengan bapanya dan meluahkan rasa tidak puas hati kepada Ustazah Nuridah. Ustazah Nuridah membetulkan persepsi tentang ibu tiri. Kata Ustazah Nuridah, tidak semua ibu tiri itu kejam. Dia mengambil contoh dirinya sebagai ibu tiri dan bahagia menjalankan tanggungjawab menjaga anak-anak tanpa membezakan kasih sayang antara anak tiri dan anak kandungnya. Pembacaan diari ibunya membongkar rahsia yang sekian lama tidak diketahui. Rupa-rupanya kemunculan Kak Eka di dalam rumah mereka sudah dirancang. Eka Norviyanti menjadi calon pilihan arwah ibunya. Kak Eka merupakan kenalan ibu Om ketika membuat tesis sarjana di universiti di Indonesia. Dia sudah dianggap sebagai adik angkat Saudah, dan memiliki cirri-ciri terbaik sebagai pengganti Saudah.


Maka Om bercadang untuk sama-sama membincangkan hal itu bersama ayah dan abang-abangnya. Malangnya Safuan tidak bersetuju. Satu insiden berlaku ketika mereka itu. Kebetulan Kak Eka baru pulang ke rumah dan Safuan meluru ke luar. Disebabkan amarah itu, Safuan tidak menghiraukan kereta yang lalu lalang. Melihatkan kejadian itu, Eka Norviyanti menjadi penyelamat tetapi malang, dirinya pula dirempuh kereta. Eka Norviyanti dimasukkan ke wad PPUM. Kemalangan itu mengubah persepsi Safuan. Dalam keadaan serba salah dan kesal, dia menjadi seorang yang amat baik. Novel ini sebuah novel motivasi remaja yang mengadunkan konsep qadha' dan qadar untuk menempuh kehidupan. Tahniah!


Khamis, Jun 04, 2009

Resensi novel Adik Datang


Judul : Adik Datang

Penulis : SN A Samad Said

Penerbit : Wira Bukit Sdn. Bhd.

Tahun : 2003

ISBN : 983-41196-0-7

Harga : RM35.00

Pengulas : Naimisa Yusof



Adik Datang merupakan sebuah novel SN A Samad Said yang diterbitkan pertama kali pada tahun 1978. Novel ini menceritakan keresahan, kegelisahan dan kekalutan manusia-manusia yang menghadapi perang.

Suhaidah atau Haidah kehilangan suaminya bernama Hamid ketika masih muda. Beliau mempunyai seorang anak bernama Zalifah, dan sarat mengandung. Zalifah seorang anak yang teramat merindui datuknya Rashidi (Tok Hidi), sehingga dia terbawa-bawa ke alam mistik. Zalifah memberitahu ibunya bahawa dia pernah berjumpa Tok Ghazali, sahabat karib datuknya. Orang tua itu didakwa menunjukkan gambarnya bersama Tok Hidi, hal ini menggamit keyakinan Zalifah bahawa datuknya masih hidup. Malahan, Zalifah juga bertemu dengan Shahrizah (tidak pernah wujud). Katanya Shahrizah mempunyai adik kembar bernama Wan Empo dan Wan Malini. Walhal hikayat ini diturunkan kepadanya oleh Tok Hidi.

Setelah Hamid menjadi arwah, Mokhsen menjaga adiknya Suhaidah. Lantaran perang dan keadaan Suhaidah serta penyakit ganjil Zalifah, Mokhsen hanya melakukan kerja kampung seperti bertukang. Dia tidak berani menjadi kelasi kapal lebih-lebih lagi sejak kemalangan kapal karam di Tanjung Pengharapan. Karamnya kapal Boega Boedja menyebabkan ayahnya hilang, tidak dapat dikesan. Mokhsen membantu ustaz Dzulkifli membina madrasah yang diasaskan oleh Wagiman.

Dzulkifli, seorang ustaz muda yang dipelihara oleh pasangan Mispan dan Rusini. Sekali gus, Wagiman menjadi ‘datuk’nya. Beliau mempunyai seorang adik bernama Rasimah. Lantaran perang, Rasimah dikahwinkan dengan calon pilihan Wagiman bernama Shamsuri. Namun begitu, alam rumahtangga mereka goyah, kerana Shamsuri bukanlah suami yang bertanggungjawab. Lebih mengejutkan Rasimah dan Dzulkifli hanya mengetahui kedudukan mereka sebagai anak angkat Mispan pada saat-saat akhir hayatnya. Rusini tidak dapat menerima hakikat tersebut sehingga menyalahkan Wagiman. Beliau menuduh Wagiman tidak teliti memilih calon suaminya hanya kerana dia bukan cucu yang sebenar. Mereka sebenarnya anak kepada pasangan Kasan dan Ernawati yang terbunuh dalam pemberontakan Belanda di Indonesia.

Adik Datang menghidangkan pengertian perang. Sentuhan pena SN A Samad Said ini amat memberangsangkan. Teknik penulisan yang menggunakan gaya hambatan psikologi yang bagus (ditulis sehingga pembaca asyik malah dapat mengingat pula beberapa ayat yang diulang-ulang). Sebagai contoh, dialog “Dia bukan hendakkan Haidah saja; dia hendakkan Si Simah itu juga.” (muka surat 180). Dan dialog yang senada ini diulang lagi pada muka surat 302 dan 303! Pengulangan seperti ini memberi kesan khas kepada pembaca, sehingga kesinambungan cerita yang digarap tampak teliti dan kemas. Penulis juga berjaya menerobos sikap manusia-manusia di ambang perang; suka berangan-angan, membawa khabar angin (menduga-duga), penilai dan penyelidik, rasa sangsi dan takut.

Salah satu hal yang terindah di dalam novel Adik Datang ialah pengolahan penulis tentang cara-cara menghadapi seorang anak kecil. Apabila Suhaidah melahirkan anak kembar, dia kehilangan nyawanya. Mokhsen secara bijak mengimbau kenangan-kenangan lampau Zalifah bersama binatang yang telah mati. Dia bertanya Zalifah tentang kucing peliharaannya, si Tompok. Dia mengingatkan Zalifah tantang monyet peliharaan Aizam (Kinam) yang digelar Wak Keroyok. Penulis telah berjaya menggunakan pedagogi untuk menyedarkan Zalifah keadaan sebenar. Dia tidak tergesa-gesa memberitahu Zalifah yang Suhaidah telah mati. (Babak ini paling menyentuh emosi!).

Adik Datang sebuah novel yang menggabungkan unsur kemanusiaan, sejarah (perang dan perjuangan), kehidupan dan kesenian sebelum Perang Dunia Kedua.


Selasa, Jun 02, 2009

Stadium pula runtuh

Sebelum ini dilaporkan struktur di sekolah sahaja yang runtuh.

Hari ini, stadium pula yang runtuh.



Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.



Kata adik saya, "Bagaimana pula dengan keruntuhan nilai manusia (akhlak)?"
Saya jawab, "Sama-sama perlu perhatian. Keruntuhan nilai manusia lebih parah."

Ahad, Mei 31, 2009

Pasca Kursus Kefahaman dan Penghayatan Fardhu Ain 2009

Kursus Kefahaman Islam dan Penghayatan Fardhu Ain yang dianjurkan oleh Masjid Al-Hidayah Sentul sungguh memberangsangkan. Penyertaan adalah melebihi target asal (100 orang) iaitu 120 orang. Peserta-peserta program terdiri dari kalangan pelajar SM(L) Methodist, SM (L) Las Salle dan SMK Bandar Baru Sentul. Namun begitu terdapat juga permintaan daripada ahli kariah masjid agar program dibuka kepada anak-anak remaja yang sedang bercuti. Akibat kelonggaran yang dipertimbangkan itu, pertambahan peserta meningkat sebanyak 40 orang pada hari pertama program (walk-in registration). Konsultan program iaitu Unit CSR & CSA, SKALI Web Services Sdn Bhd terpaksa membuat beberapa pengubahsuaian agar dapat dimanfaatkan oleh penyertaan lebih ramai peserta.

Saya selaku urus setia program juga bertindak sebagai fasilitator bagi melicinkan perjalanan program. Memang tidak jauh bezanya rencam remaja bandar dengan remaja di luar bandar dalam hal penghayatan kepada aspek fardhu ain. Beberapa sesi kaji selidik dalam modul program yang dijalankan menunjukkan tiada di kalangan peserta ingat semua sifat 20 puluh. Sesetengah peserta pula apabila ditanya, “Siapakah yang lebih anda percaya?” Jawapan yang diberi adalah rakan sebaya. Mereka beralasan bahawa ibu bapa tidak memahami jiwa mereka, sibuk dengan kerja, tiada ruang berbincang dengan ibu bapa, ibu dan bapa juga mempunyai masalah di rumah dan hanya rakan dapat memahami keseronokan yang diinginkan. Saya menyedarkan mereka, bahawa dalam dunia ini adalah sukar untuk mencari teman menangis. “Apakah sekiranya ditangkap dan ada kalangan rakan mereka terlepas, mereka akan melawat kamu di penjara?” soal saya. “Apakah kalau sekiranya anda terlantar di wad, kawan anda yang bersama-sama bergelak ketawa akan menunggu di wad sepanjang hari?” Demikian beberapa soalan untuk mengajak mereka berfikir bahawa menyalahkan ibu bapa sahaja adalah tidak wajar. Saya memberi contoh, seorang rakan saya menulis surat kepada ibu bapanya untuk berkongsi masalah. Malah ada juga yang menulis catatan diari dan sengaja membiarkan diari itu dibaca oleh ibu atau bapa. Seteruk mana pun persepsi remaja (dalam konteks ini remaja yang bermasalah), terhadap kedua ibu bapa, mereka tidak seharusnya membelakangi ibu dan bapa.


Dari segi pelaksanaan program, pihak masjid telah mengorak langkah baharu untuk mendepani massa. Pengimarahan masjid sedang dikembangkan untuk dimanfaatkan demi kebaikan masyarakat di sekitarnya. Malahan kami juga mendapat maklum balas positif agar usaha seumpama ini dikembangkan ke masjid-masjid di tempat lain. Seorang guru pengiring yang sempat berbual dengan pengarah program mencadangkan kumpulan kami mengadakan program sedemikian di masjid berhampiran sekolah beliau. Ya, semoga diberi peluang dan kekuatan kepada kami untuk menyahutnya. Saya juga sangat menghargai pandangan pihak-pihak yang perihatin dengan keadaan semasa golongan remaja hari ini. Bagi mereka, usaha murni ini haruslah diteruskan memandangkan kini terlalu banyak anasir buruk yang melandai alam remaja. Permasalahan mereka wajar ditangani dengan kerjasama semua pihak. Usahlah ada di kalangan kita menuding jari kepada pihak lain tanpa memberi alternatif kepada teguran yang dibuat. Masalah yang amat kritikal (realiti masyarakat) biasa ditemui ialah lebih banyak orang suka mengkritik daripada mengemukakan penyelesaian. Akhirnya semua pihak rugi dengan hanya berpolemik untuk memenangkan pihak masing-masing. Benarlah, dalam dunia ini kerja yang paling mudah dilakukan ialah mengkritik. Kritik dan kritik. Saya tidak melihat semua kritikan tidak berasas, tetapi jika kritikan itu berasa sekali pun, nah kemukakan juga penyelesaiannya. Kita semua diberi akal untuk sama-sama memikirkan hal yang baik dan berguna.


Sama ada anda bersetuju atau membantah pendapat saya, terpulanglah kepada diri masing-masing. Yang penting, mulakanlah sesuatu dari diri kita.


Naimisa, Softlakes Sdn. Bhd, Sentul, KL. 31052009, 1830.


Khamis, Mei 28, 2009

Menjelang Bengkel Kefahaman Islam dan Fardhu 'Ain 2009

Saya sering katakan bahawa saya sangat merindui keadaan dan suasana kampus. Semasa bersama-sama rakan seperjuangan, saya berpeluang mencurah bakti kepada masyarakat sekitar kampus dalam program yang dianjurkan oleh Pusat Islam. Sefaham saya, program ilmu, seminar, kem ibadah, kem motivasi dan jatidiri muslim begitu juga majlis jamuan berbuka puasa adalah sebahagian daripada aktiviti kemasyarakatan yang unik di Pusat Islam, USM Kampus Kejuruteraan. Selepas meninggalkan kampus, hanya sekali program motivasi yang saya libatkan diri sebagai fasilitator.


Kampus, memanglah suasananya berbeza dengan bandar. Sebuah masjid di bandaraya apabila mahu menganjurkan program untuk anak-anak remaja perlu meminta kebenaran khas daripada Kementerian Pelajaran Malaysia. Justeru prosedur itu sedikit rumit, tidak boleh tidak terpaksalah pihak masjid mengadakan kerjasama dengan pihak sekolah. Maka, surat makluman program hanya dimajukan kepada Pejabat Pendidikan (dan di sini Wilayah Persekutuan). Hal ini bermakna seorang guru pengiring diperlukan untuk mengiringi pelajar ke program. Sebuah sekolah tidak membenarkan pelajar-pelajar mengikuti program dengan sebab tiada guru pengiring. Terpaksalah jawatankuasa masjid menerima mana-mana sekolah yang dapat memberi kebebaran dan pengetuanya menugaskan seorang guru pengiring. Maka fungsi masjid yang sedaya upaya dimaksimumkan untuk kemanfaatan anak kariah masjid menjadi nampak kecil. Pun begitu, Ketua Imam masjid tetap membuka peluang walau pun hanya mendapat tidak sampai 20 orang anak-anak penduduk di flat sekitar masjid. Jika saya berada pada kedudukan imam, saya juga rasa serba salah. Apakan daya, itulah kerumitan yang dihadapi yang hanya dia sahaja mengetahuinya.


Cuti sekolah kali ini, saya bersyukur kerana diberi kelapangan bersama-sama beberapa orang sahabat menjalankan program Bengkel Kefahaman Islam dan Fardhu 'Ain. Semoga inilah program yang akan menemukan kami dengan anak-anak remaja bandar, pada saya tentulah jauh bezanya dengan pelajar-pelajar di pedalaman. Mungkin saya bakal beroleh dapatan yang menarik tentang mereka dalam aspek kefahaman dan penghayatan Islam yang asas. Saya juga tidak berani meramalkan kemungkinannya dan akan mencoretnya serba sedikit setelah program berakhir pada 31 Mei nanti, insyaAllah. Sememangnya apa yang kami usahakan ini sangat kecil, kerana saya sedar bahawa kewajipan kita lebih banyak daripada waktu yang kita ada. 'Al-wajibaat aktharu min al-awqaat' – itulah kata keramat Al-Syahid Al-Imam Hassan Al-Banna untuk pencinta agama. Ya Qawiyyu, berikanlah kami keupayaan menjalankan amanah yang diberikan kepada kami.

Isnin, Mei 25, 2009

Resensi Novel: Harga Sebuah Maruah

Judul: Harga Sebuah Maruah
Penulis: Azizi Hj. Abdullah
Penerbit: DBP
ISBN: 9789836296474
Harga: RM25.00
Pengulas: Naimisa Yusof

Penulis Hj. Azizi Abdullah dalam bukunya berjudul Kuras-kuras Kreatif menceritakan bahawa beliau berasal dari keluarga tradisional yang mengerjakan sawah. Semua adik beradik beliau kecuali dia (setelah menjadi guru), mengerjakan sawah itu musim demi musim. Maka tentulah dengan pengalaman bersawah yang pernah dilaluinya, Hj. Azizi Abdullah sangat akrab dan masak dengannya. Berikut petikan yang dikutip dalam buku Kuras-kuras Kreatif. “Sejak kecil lagi saya sudah kenal sawah ataupun bendang mengikut istilah orang kampung di Bukit Meryam, Kota Kuala Muda, Kedah. Malah keluarga saya hidup dengan bersawah. Seramai tujuh beradik, dua perempuan dan lima lelaki kesemuanya bekerja sawah, kecuali abang yang nombor lima, iaitu Sanusi.” (Kuras-kuras Kreatif, Hj. Azizi Abdullah, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007, halaman 27).


Hal ini sangat membantu penulis melakarkan gambaran sawah dengan penuh rinci. Pembaca akan menjadi asyik mengikut watak-watak yang digarap mengerjakan sawah. Novel ini memenangi tempat kedua Sayembara Mengrang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP. Sebuah kisah realiti yang diangkat serta dikembangkan dari kisah yang dinukilkan dalam koleksi karya Luka Rakyat terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Harga Sebuah Maruah adalah secebis catatan duka rakyat marhaen yang bangkit mempertahan hak dan maruah diri. Mereka bangkit bukan kerana menentang pembangunan tetapi mahukan keadilan buat diri, menentang penindasaan dan mempersoal kesahihan akta yang penuh dengan muslihat atas nama pembangunan. Malahan dalam versi yang lebih panjang misalnya, Azizi Abdullah merakamkan penderitaan pemilik tanah berjumlah 200 orang di Kerpan dalam buku Air Mata Kerpan, terbitan CAP. Projek pembangunan kolam udang harimau yang tidak berjaya itu serta kesan buruknya terhadap alam sekitar dan sosioekonomi pemilik tanah diceritakan dengan lengkap.


Cah, seorang wanita tua hanya mengusahakan beberapa lot tanah sawah pusaka arwah suaminya. Beliau mempunyai dua orang anak bernama Sulaiman dan Hijrah. Sulaiman lebih terpelajar dan hidup makan gaji di Kuala Lumpur. Manakala Hijrah pula hanya sekolah di kampung dan membantu Cah mengusahakan bendang. Apabila timbul soal pengambilan tanah untuk pembangunan di Kertau, Cah menjadi sangat bimbang. Dia yang berdarahdagingkan peluh dan keringat bersawah tidak hanya memikirkan soal wang pampasan tetapi memikirkan untung nasib hidup dan maruah jika menggadaikan tanah sawah tersebut. Bagi Cah, bersawah adalah tradisi hidup yang harus dilangsungkan. Menggadai sawah samalah dengan menjual maruah pesawah kepada orang lain. Bermula dari itu timbul konflik kekeluargaan apabila anak sulung Cah, Sulaiman sangat menentang hasratnya. Sulaiman beria-ria mahukan tanah itu diserahkan kepada kerajaan manakala Hijrah pula menyokong Cah. Hijrah yang digambarkan sebagai bodoh alang, pendiam dan betul bendul menjadi seorang yang sangat berani sehingga beliau ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap.


Penentangan terbuka penduduk dibantu oleh sekumpulan peguam. Di kalangan penduduk kampung sendiri terdapat dua golongan iaitu yang menyokong dan menentang pembambilaihan tanah sawah. Pemaju projek pembangunan kolam udang harimau menggunakan akta pengambilan tanah untuk pembangunan dengan menawarkan pampasan yang tidak seberapa. Suatu hari beberapa orang yang bersetuju dengan pengambilan tanah seperti Pak Ngah Musa dan Pak Long Derani bersepakat dengan Imam Hj. Zakaria untuk memujuk pesawah. Mereka memanggil beberapa orang pesawah yang dipilih-pilih dalam majlis bacaan Yasin. Dalam majlis itu, Hijrah dijemput tetapi Cah tidak dimaklumkan. Mereka menawarkan cek RM5000 sebagai bayaran pendahuluan dan bermakna mereka boleh menunaikan cek sebagai tanda persetujuan awal. Pun begitu, Cah secara senyap-senyap memerhati perkara itu di balik dinding surau. Dia menjadi sangat bangga dengan pendirian anaknya Hijrah kerana tetap teguh, tidak berganjak dari pendirian asalnya.


Tidak setakat itu, keesokannya jentera dibawa masuk ke kawasan bendang yang sudah mula menampakkan isi. Tangkai-tangkai padi sudah penuh dan menunggu masa untuk menguning. Berlakulah kekecohan apabila dibantah dan dihalang oleh penduduk. Azmi menunjukkan surat peguam untuk menangguhkan kerja-kerja membersih sawah. Pada awalnya, mereka dihalang tetapi kemudian diberi muka. Namun begitu, kegembiraan mereka hanya seketika. Keesokannya Azmi, Cah dan Habibah diangkut ke balai polis untuk disoal siasat. Betapa dalam memperjuangkan sesuatu, tidak semestinya kita menang. Tetapi yang lebih penting ialah sedaya upaya mendapatkan hak. Terma dalam perjanjian yang dibuat adalah sekiranya projek kolam tidak berjaya, tanah sawah akan dikembalikan. Tetapi apakah berguna lagi kalau tanah sawah sudah dilonyang menjadi kubang babi? Begitulah bezanya jika tanah sawah ditukar menjadi kolam udang kerana pemaju terpaksa menambah bendasing lain untuk menyesuaikan tanah bendang kepada persekitaran udang harimau.


Penulis bijak menukilkan emosi watak-watak di dalam novel sehingga turut menyeret sama rasa empati pembaca. Contohnya seperti dalam halaman 263.
Masakan tidak tergamam apabila mereka dapati hampir suku relung sawah kepunyaan Pak Kasim sudah terlonyang oleh jentera pengorek yang bergigi besi, sekejap terangkat sekejap membaham tanah tanpa peduli pada pokok-pokok padi yang sudah mula bertangkai dan mengeluarkan buah.


Selain paparan emosi, penulis juga memasukkan unsur budaya iaitu jampi yang dibacakan oleh pesawah. Hal ini sangat penting sebagai catatan yang unik dalam taridisi Melayu tradisional. Nilai budaya ini berkait rapat dengan kepercayaan manusia Melayu yang menghormati unsur alam, tetapi tentulah tidak cocok dengan anjuran agama Islam.
“Hai merung mesuk nang semulai. Lebih baiklah engkau jangan duduk dengan si anu itu. Dia nak pukul dan beri engkau, nak jual engkau pada orang lain.”
(halaman 291)


Inilah catatan penting sebahagian daripada jampi serapah menyeru semangat padi yang bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam. Saya fikir penulis bukanlah sengaja mahu mendokumenkan (dengan tujuan untuk mengagungkan) jampi itu, tetapi itulah sebahagian daripada realiti amalan bersawah zaman dahulu yang jarang-jarang didengar kebelakangan ini. Pesawah mutakhir ini sudah faham hal-hal berkaitan syirik dan tidak mengamalkan perkara yang disebut itu. Sebaliknya, kepercayaan pesawah zaman moden ini lebih menjurus kepada keyakinan adanya badi padi. Selepas mengetam mereka akan membakar jerami padi kononnya dapat mengelak bencana badi, yang akan membantut kesuburan tanah. Dalam hal ini, perlu ada satu kaedah yang lebih sistematik untuk melupuskan jerami padi seperti penggunaan biojisim untuk menghasilkan tenaga.


Harga Sebuah Maruah mendedahkan kepada dunia bahawa selamanya rakyat akan tewas apabila berhadapan dengan akta atas nama pembangunan. Sehebat mana pun kesatuan marhaen untuk menentang keinginan ahli politik, mereka tetap akan kalah.



“Angin tak selamanya bertiup
Langit tak selamanya cerah
Betapa pun pagi suria bersinar, mendung petang berarak juga
Tasik tak selamanya tenang
Laut tak selamanya berombak
Apabila kehidupan dicakar takdir
Keadilan dan kebenaran
Dikoyak carik oleh kuasa
Kita di mana?”

(halaman 314)


Tetapi jangan lupa, rakyat tidak selama-lamanya akan memaafkan tindakan pemimpin yang rakus. Keangkuhan pemimpin akan dibalas oleh rakyat juga akhirnya.
“Rakyat itu diam
tapi ia pencatat tidak pernah lupa
Rakyat itu seperti naga
Melingkar dengan berat badan
dan diam dalam keheningan sendiri
Pancainderanya tajam
Luat intuisinya dengan akal budi
Lalu jangan sekali-kali melukakannya,
Jangan melukakannya berkali-kali
Kerana sekali ia bangkit
Rosaklah segala apa-apa

Rakyat itu mampu sabar
Seperti ular besar yang perutnya berisi
Tapi kalau ia kelaparan
Bumi lingkarannya akan bergegar
Rakyat itu seperti binatang purba
Tidak berasa sakit meski diinjak.
Jangan biarkan rakyat lapar
Jangan bodohkan rakyat jelata
Jangan tindas rakyat
Kerana sifat diamnya akan hilang
Kesabaran akan lupus
Bijaksananya menjadi gila
Disebarnya air dendam yang tidak memilih siapa.

Rakyat yang lapar mahunya satu,
Keadilan!
Rakyat yang ditindas mahunya satu,
Keadilan!
Rakyat yang diam mahunya satu,
Saksama!
Rakyat yang bergerak mahunya satu,
Kebebasan!
Rakyat yang bantah mahunya satu,
Ketelusan!

(halaman 324 – 325)


Ketika genting menghadapi ribut penentangan, tiba-tiba sahaja Pak Kasim dijemput menghadap Ilahi. Habibah, cucunya dinikahkan dengan Hijrah. Malang sekali bagi Habibah kerana perkahwinannya berlangsung ketika datuknya sudah tiada. Kesemua penduduk terpaksa mengalah walau pun di sudut hati mereka sangat berat.



Sumber: Utusan Malaysia.


Maklumat lain: Latar belakang projek Udang Harimau Kerpan.


Khamis, Mei 21, 2009

Pengenalan surah An-Najmi

An-Najmi; kalimah isim makrifah yang menunjukkan bintang itu (iaitu dikhususkan kepada satu bintang). Menurut Al-Qurtubi dalam tafsir Fii Zilali al-Quran bintang yang dirujuk di sini bernama Surayya, iaitu bintang yang dijadikan rujukan orang Mesir purba.

Dr. Wahbah Al-Zuhaili dalam tafsir al-Munir menyatakan bahawa surah An-Najmi ini diletakkan selepas surah Ad-Dukhaan, dan mempunyai kaitan dengan surah tersebut. Surah ini diturunkan di Makkah dan mengandungi hal-hal berikut.
Hal-hal berkaitan akidah; bahawa perkara gahib itu wujud seperti malaikat dan hari kebangkitan.


  1. Cerita tentang pembalasan terhadap kaum terdahulu. Dalam surah ad-Dukhaan orang-orang musyrik menganggap bahawa bala yang ditimpakan oleh Allah adalah fenomena alam semata-mata.

  2. Permasalahan zuriat manusia.

  3. Penegasan Allah tentang kerasulan Nabi Muhammad. Di dalam surah Ad-Dukhaan orang musyrik menuduh nabi sebagai kahin atau majnun (gila).


Selain itu turut dibahaskan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili tentang penamaan surah. Dinamakan surah An-Najmi kerana di akhir surah ad-Dukhaan disebutkan tentang bintang pada ayat terakhir (juga kalimah terakhir) iaitu kalimah ‘nujuum’ yang bermaksud bintang-bintang.


--------------------------------------------
Demikian mukaddimah kepada surah An-Najmi secara ringkas.


Bercakap soal babi.

Kalau kita membaca The Star minggu lepas, ada satu isu berkaitan babi dibahaskan oleh sarjana Muslim. Ijazah sarjananya diambil di Scotland. Dan biasanya mereka ini beraliran liberal dan sama seperti Ahli Zaahiri. Zaahiri merujuk kepada satu mazhab (aliran pemikiran) yang memfokus kepada zahir suatu nas tanpa memahami yang lainnya. Pandangan dalam artikel itu menyatakan bahawa hanya yang diharamkan pada babi itu dagingnya, sedangkan yang lain-lain ‘halal’. Mereka berpendapat, bahawa kulitnya, tulangnya, gigi dan lain-lain boleh digunakan oleh orang Islam. Mereka berpendapat begini kerana mengambil zahir ayat “Hurrimat ‘alaikum al-maitata wa ad-dama wa lahma al-khinzir ....” Maka kerana disebutkan hanya lahma al-khinzir, maka selain daging itu menjadi halal.


Kenapa begini? Kenapa mereka hanya mengambil zahir ayat ini sahaja? Mari kita beranalogi. Kalau mahu menggunakan kereta, ambillah setereng kereta itu sahaja. Yang lain-lain tinggalkan di sini. Apa yang akan dikatakan kepada anda jika usul itu dibawa? Ya, tidakkah setereng itu juga sebahagian daripada kereta? Mungkinkah seorang itu boleh dikatakan memandu kereta jika hanya memegang setereng kereta? Tidak bukan? Makanya, samalah halnya dengan babi. Apakah daging babi yang diharamkan itu tidak dibalut dengan kulitnya? Apakah daging babi itu tidak disokong oleh tulang-temulangnya untuk membolehkan ia hidup? Dan jika kulit, tulang, lemak dan gigi babi bersentuh secara langsung dengan daging babi, apakah itu tidak haram? Ini soalan saya kepada golongan Zaahiri atau sarjana Muslim Liberal. Mengapa mereka melonggarkan hukum keharaman babi sehingga mahu menghalalkannya? Yang haram tetap haram, dan yang halal tetap halal. Usahlah kita memnghalalkan apa yang sudah haram, begitulah sebaliknya.

Bercakap soal babi, akhirnya Malaysia mendapat tempias selesema (influenza A @ H1N1). Semoga dijauhkan wabak ini daripada kita. Lihat statistik dunia sehingga 19 Mei 2009 di sini


Selasa, Mei 19, 2009