Rabu, Ogos 31, 2011

Rebat atau rembat

Jam 5.15 pagi 1 Syawal saya sudah ke Lembah Silikon. Memang hajat saya bersubuh di masjid Kubah Merah dekat Lembah Silikon. Sepanjang jalan lurus selepas bulatan Persiaran Bangi hanya tinggal satu gerai lemang yang masih bernyala. Pengusaha-pengusaha (lebih 10 orang di kedua-dua arah Utara - Selatan) lain saya kira menamatkan operasi mereka sekitar jam 12 tengah malam. Seorang pengusaha lemang ini berkhemah di tepi jalan. Harga lemang di Bandar Baru Bangi ini RM12 sebatang. Saya pun tidak pasti apakah harga ini sama dengan harga tahun sebelum ini atau tidak. Saya orang baru di wilayah ini. Malam tadi saya membeli sebatang lemang dan rendang daging dengan nilai RM17. Makan sendiri-sendiri bertemankan Edisi Khas.

Hari ini hari kedua raya. Saya masih di meja. Menghadap mesin dan bercakap dengan mesin. Saya hanya bercakap dengan kawan-kawan yang berada dalam ruang pejabat. Tiada orang dalam alam maya. Masing-masing masih sibuk beraya. Seperti biasa, restoran-restoran Melayu tutup. Dan yang ada hanya restoran Mamak. Ini suatu yang tidak menggembirakan saya. Maka kerana itu saya lebih rela berlapar. Mungkin hari ini saya akan bersua nasi di R&R berhampiran Bukit Tinggi dan kemudian melayan segelas kopi di R&R Temerloh.

Khabarnya malam ini selepas 12 malam pengguna kad TnG PLUS akan diberi rebat 20%, dan boleh dituntut selepas 15 September. Saya pun kurang arif pasal rebat TnG. Yang pasti, saya pengguna kad TnG. Apakah maknya nanti saya perlu sentuh kad dan nilai kad saya akan berkurang mengikut kadar piawai? Kemudian apabila melepasi palang tol seorang operator Tol PLUS akan memberi baucer diskaun 20 peratus? Baucer itu nanti akan diguna semula untuk menuntut nilai diskaun yang diberi? Jika begitu, amatlah tidak canggih. Saya kira tidak canggih. Kenapa tidak dibuat secara automatik sahaja? Maksud saya, setkan sahaja semua nilai dengan nilai yang sudah didiskaun. Atau mungkin ini akan menyebabkan banyak kerja teknikal disebabkan diskaun bercampur (20 peratus, 10 peratus dan kemudian 20 peratus - sempena musim raya ini) yang dikenakan? Yang ini ada logiknya.

Saya kata rembat sebab ada kemungkinan kalau diberi baucer, boleh jadi baucer itu hilang atau rosak. Boleh jadi juga pemilik kad TnG terlupa membuat tuntutan. Buat tuntutan rebat itu tidak adalah hukum yang jelas. Kalau zakat yang hukumnya wajib orang boleh terlupa sehingga lepas sembahyang raya baru terhegeh-hegeh cari amil, inikan pula tuntutan rebat yang tidak ada hukum. Maka dengan sendirinya dua keadaan yang disebut ini menyebabkan hak diskaun tidak diperoleh. Akhirnya siapa yang untung? Yang dapat rebat atau yang merembat?


Isnin, Ogos 22, 2011

Dia sudah pergi. Belasungkawa buat Tukya

Kita memang tidak pernah tahu. Semua itu ketentuan-NYA. Saya mula menukar banner weblog ini dengan meletakkan gambar kenangan bersama gemulah Tukya dengan tag keep the book alive! ketika dia mula-mula dimasukkan ke hospital untuk pembedahan jantung yang pertama. Itu berlaku awal tahun dahulu selepas HSPM.

Dua hari lalu saya memesan buku gemulah yang hakikatnya hari ini adalah antara yang terakhir berjudul Anak Belantara. Pemergian beliau jam 7.50 pagi 21 Ogos lalu tidak dapat siapa yang berkuasa menghalangnya. DIA sudah mendapat jemputan agung al-Khalik Penguasa alam semesta. Suatu hal yang bagus pada gemulah ialah sikap terbukanya terhadap kritikan. Suatu hari kami berbincang tulisan beliau di akhbar. Saya nyatakan ada percanggahan kecil fakta yang dinyatakan menyebabkannya tidak konsisten. Ya, selaku penulis besar bukan mudah untuk dikritik oleh penulis tidak bernama seperti saya. Tetapi arwah Tukya menerima saranan saya dengan mengucapkan terima kasih. Mungkin itulah juga yang menyebabkan arwah memberi pesan kepada saya dengan nada yang serupa. “Jangan takut kritikan.”

Ini pesan arwah kepada saya sekitar Feb 2011.

Al-Fatihah. Moga rohnya bersama hamba-hamba Allah yang soleh.

Sabtu, Ogos 20, 2011

Mencari malam al-Qadr

Pada 29.7.2011, Maybank menghantar surat makluman penukaran akaun simpanan emasnya. Nama lama akaun emas di Maybank ialah Gold Saving Passbook Account (GSPA). Nama baharu pula Maybank Gold Investment Account (MGIA). Beza GSPA dengan MGIA ialah amaun emas yang perlu dibeli ketika mula-mula membuka akaun. Pelabur terdahulu perlu membeli sekurang-kurangnya 5g emas, manakala akaun pelaburan MGIA hanya perlu membeli 1g.

Pada ketika coretan ini ditulis, dunia mengalami krisis hutang terutama di Eropah yang turut membabitkan Prancis, Itali dan Jerman. Aktiviti pelombongan di rantau Afrika juga berkurang di samping permintaan tinggi oleh bank-bank pusat negara-negara dunia. Dolar Amerika juga semakin lemah. Faktor-faktor ini menyebabkan harga emas melonjak lebih tinggi. Pada November 2010, harga segram emas RM137 dan hari ini RM182.85. Sebab itu tidak hairan kalau diberitakan pulangan pelaburan emas tinggi dalam waktu relatif singkat. Pada tahun 2006 saya pernah mencuba pelaburan tetap (fixed deposit) selama setahun dengan kadar 3.7%. Keuntungan dibahagi dengan nisbah 70:30 iaitu setiap satu RM untung, pelabur hanya mendapat 70 sen. Selepas setahun hasilnya cuma sekitar RM25.90 bagi setiap seribu ringgit yang dilabur. Kalau dibanding dengan keadaan emas yang ditulis dalam artikel ini, pulangannya RM45.85 setiap gram dalam masa 10 bulan. Beza kan? Memang jauh berbeza.

Kita cakap soal emas dan tersihir dengan kilauan untungnya. Walhal dalam pada kita berpuasa, ada ‘kilauan emas’ yang ditawar Allah yang bernama Lailatul Qadr. Semoga tahun ini kita berjaya peroleh peluang beribadah pada malam seribu tahun. Pilihan saya sebagai destinasi memburu Lailatul Qadar tahun ini ialah Masjid Besi, Putrajaya, Masjid Hasanah, Seksyen 9 Bandar Baru Bangi dan Surau an-Nur Taman Kajang Mewah. Insya-Allah. Oh! Malam ini pun malam ganjil.

Khamis, Ogos 18, 2011

Kibar bendera dan kenaikan harga barang

Barangkali kita terfikir mengapa setiap kali bulan kemerdekaan, kita digalakkan mengibar bendera. Kononnya dengan kibaran bendera itu akan menambah lagi semangat patriotik. Jika kita berada di Terengganu, maka hal ini eloklah disambut dengan kibaran bendera Myammar dan Terengganu berserta Jalur Gemilang. Mengapa? Dilaporkan dalam akhbar arus perdana alternatif, ramai warga negara Myammar didaftar sebagai pemilih di Terengganu. Dan perkara ini diakui sendiri oleh ketua negeri itu.

Saya sempat berbual dengan seorang pensyarah yang kebetulan tinggal satu kawasan apartment yang saya sewa di Bandar Baru Bangi. Katanya, “Bendera ini membazir saja. Ada orang atasan ‘buat duit’ dengan projek kibar bendera. Kenapa tidak bendera itu dikibar selama 20 hari bulan Ogos disimpan? Tahun berikutnya boleh diguna lagi.” Langkah kerajaan memberi wang bonus kepada kakitangan awam menjadi meriah. Dan akhirnya menjadi tidak luar biasa lagi apabila kerajaan negeri pun membuat hal yang sama. “Jadi kita tidak hairan dengan perkara ini kerana ia bermaksud kerajaan membuat pinjaman daripada mana-mana pihak untuk perbelanjaan luar biasa ini.” Dalam heboh pemberian bonus akan dibuat, pejabat-pejabat kerajaan menerima pekeliling penjimatan elektrik. Setiap premis yang mengguna pendingin hawa dinasihati agar diset suhu paling minimum 24 darjah Celcius.

Pemberian bonus kepada kakitangan awam tidak mengubah apa-apa dek kenaikan harga barang. Kementerian tidak lagi berupaya menghalang peruncit menaikkan harga barang kerana kesan rantaian disebabkan kenaikan tarif elektrik dan petrol beberapa bulan lalu. Ketika saya pulang bercuti ke Terengganu minggu lepas (13 – 17 Ogos), memang didapati kesan ketara kenaikan ini. “Kicap naik harga. Botol kecil RM3.49. Kerisi RM14 sekilo. Kembung RM18 sekilo. Ayam daging RM7.90 sekilo.”

Prof. Dr. Jamal Ali menulis sebagaimana berikut; Harga 5 liter minyak masak telah meningkat dari RM12.50 pada bulan Januari kepada RM13.50 pada bulan Julai. Suatu peningkatan sebanyak 7%. Begitu juga harga 1kg Milo dari RM12.90 kepada RM15.90 (23.3%), Nescafe “3 in 1” 22 uncang dari RM11 kepada RM12.40 (12.7%), Beras gred A seberat 10kg dari RM23 kepada RM25.90 (12.6%), satu tin Susu pekat manis dari RM2.00 kepada RM2.40 (20%), Telor gred A 10 biji dari RM3.00 kepada RM3.30 (10%), satu liter Kordial FN dari RM5.90 kepada RM7.20 (22%), sekilo bawang putih dari RM7.00 kepada RM10.00 (43%), sekilo Ikan kembung dari RM4.00 kepada RM8.00 (100%). Begitu juga harga barangan keperluan dapur yang lain seperti cecair pencuci pinggan dari RM4.90 kepada RM5.90 (20.4%), kitchen paper (6 roll) dari RM8.90 kepada RM10.90 (22.5%), dan Soflan dari RM5.90 kepada RM6.90 (17%).

Maka dengan pesta kenaikan harga ini, tidaklah salah kalau Abang Mat turun padang pada 20 Ogos ini bagi menyedarkan khalayak tentang isu yang melemaskan pengguna ini.

Jumaat, Ogos 05, 2011

Bila syling public gold tidak diterima bank

Syiling emas public gold dengan nilai satu, dua dan lima dinar (atau mungkin ada lagi syiling yang lebih besar nilainya) sudah tidak diterima dalam sistem Ar-Rahnu Agro Bank (Bank Pertanian) dan Bank Rakyat. Bank Rakyat hanya menerima syiling Dinar Kelantan, emas keping (wafer) kijang dan barang kemas. Manakala Agro Bank hanya menerima barang kemas sahaja. Menurut pegawai bank, hal ini berkuatkuasa Mei 2011. Saya hampir berputus asa ketika sangat terdesak menggunakan wang. Lalu saya cuba pula ke muassasah gadaian Islam Terengganu bersebelahan masjid putih (masjid negeri – berdekatan terminal bas MBKT).

Muassasah gadaian Islam ini menerima syling emas, jongkong, kajang emas dan barang kemas. Nilai yang diberi pinjam ialah 80% daripada nilai semasa yang dinilai oleh pegawainya. Masa penebusan semula ialah selama 10 bulan. Oleh sebab saya hanya menggadai satu dinar syiling Public Gold, tiada upah simpan dikenakan. Saya hanya perlu membayar RM1 ketika menerima wang yang dipinjamkan kepada saya. RM1 adalah kos pentadbiran. Tambahan 30 sen dikenakan jika penggadai tidak membawa fotokopi kad pengenalan. Maka saya perlu membayar ansuran pinjaman wang muassasah dengan tanpa faedah dalam masa sepuluh bulan. Hal ini bermakna syiling emas itu akan menjadi milik pemberi pinjam jika saya tidak menebusnya dalam masa sepuluh bulan.

Ketika saya berurusan di muassasah gadaian Islam ini, saya dapati ada juga penggadai bukan Islam memanfaatkan sistem pajak gadai Islam ini. Perkara ini biasa kita lihat di mana-mana. Dalam situasi negara memperomosi kewangan Islam dalam sistem perbankan, ramai juga bukan Islam menggunakannya. Hal ini disebabkan al-‘adalah (keadilan) yang terdapat padanya. Memang tidak dinafikan, sistem perbankan Islam di negara kita tidak seratus peratus betul menurut yang sepatutnya, tetapi dalam keadaan sekarang kita wajar menyokongnya. Dari masa ke masa, saya percaya sistem ini boleh ditambah baik terutama dari segi pelaksanaan sistem yang betul-betul mengikut syariat. Kita boleh sahaja melihat beberapa kritikan langsung terhadap sistem perbankan Islam dengan pandangan yang mengatakan ia masih seakan-akan sistem konvensional. Malah ada sesetengah pihak berpendapat, perbankan Islam lebih menekan.

Dan saya menggadai syiling emas sementara mengunggu gaji yang lewat dibayar. Esok baharu dapat 40 peratus daripada bulanan bulan lepas. "Pegawai kerajaan yang tandatangan cek pembayaran itu cuti tiga bulan. Sebab itu bayaran lambat," kawanku kata.

Khamis, Ogos 04, 2011

Mari tengok senarai


“Ini betul rumah Ngah Bin Man?”


“Ya.”


“Berapa orang tinggal di sini?”


“Kami berdua saja. Anak-anak dah besar kerja di Kolompor sana.”


“Nama isteri?”


Penemuduga yang tidak diundang menandakan nama pada kertas yang dipegangnya.


“Man bin Amat ni siapa?”


“Dah arwah. 10 tahun lalu. Itu ayah pakcik.”


“Oo.” Sambil tangan penemuduga itu menanda bulat dengan pen merah pada nombor bilangan nama dalam senarai itu.


“Husna bin Raszali?”


“Itu cucu saya. Baru sepuluh tahun umurnya.”


“Oo.” Sekali lagi penemuduga membulatkan nama cucu Ngah. Dia geleng.


“Kenapa menggeleng?”


“Sebab nama cucu pakcik ni kalau ikut senarai ini sudah berusia 22 tahun.”


“Anak-anak pakcik kalau ada peristiwa besar empat atau lima tahun sekali balik rumah tak?”


“Raya mereka balik lah.”


“Pakcik, ‘raya’ yang satu lagi tu?” sambil penemuduga membuat isyarat.


“Oo, ‘raya’ itu. Ada. Depa selalu pesan pada kami jangan jadi orang yang menyesal lima tahun.”


“Pasal apa?”


“Masa itu ada orang datang bedak-bedak kain batik, pelikat, gula dan beras.”


“Oo.”


“Kita kalau setakat termakan budi sehelai pelikat atau batik atau sekampit beras tak berbaloi langsung.”


“Kenapa?”


“Lepas tu depa lanyak kita balik. Kalau tanam tebu kat tepi pagar tu belum tentu tumbuh. Tapi tebu di mulut depa ni dah bertan-tan habis.”


“Anak ni siapa?”


“Oo.. saya tukang audit tidak bertauliah. Kami harap nama seperti arwah ayah pakcik dan cucu pakcik tiada dalam senarai ini lagi.”


“Tapi itu hangpa jamin? Bukan hangpa dapat buang pun nama tu.”


“Kami usaha saja. Harap-harap dapat dibersihkan.”

Rabu, Ogos 03, 2011

Dialog yang tersasul


“Aku ada cerita ni?”


“Aku nak buat pameran sulit lah. Ada satu cincin berlian untuk pameran dalam kelambu. Cincin berlian tu namanya Fancy Cut Cushen Bed Cut Diamond.”


“Hah? Engkau hendak buat di mana?”


“Dalam kelambu. Tapi biarlah rahsia tempatnya. Pameran ini sulit.”


“Beli dari mana tu Mak Mah?”


“Adalah. Nanti aku bagitahu.”


Lima bulan kemudian.


“Alamak, ada orang tahulah pameran rahsia aku tu.”


“Macam mana mereka tahu?”


“Mereka tengok data dalam sistem Imigresen?”


“Oh, berlian tu dari luar negara ke Mak Mah?”


“Ya. Tapi aku buat pameran sulit. Kemudian aku dah hantar semula ke Singapura.”


“Habis tu apa isunya?”


“Mereka tak percaya. Mereka kata macam mana boleh sulit? Satu lagi mereka pun tak yakin dengan pengesahan borang yang aku tunjukkan.”


“Borang apa?”


“Alaa…. Borang yang mengesahkan cincin tu dah dihantar semula kepada tuannya.”


“Berapa harga cincin tu Mak Mah?”


“24.4 juta.”


“Fuyyyooooo!”


“Eh, engkau ingat aku banyak duit nak beli cincin tu?”


“Eh! Bila masa pula saya kata Mak Mah beli cincin tu?”


“Manalah tahu, engkau pun tak percaya aku.”


“Tapi kan Mak Mah, orang kata penafian adalah asas kepada suatu kebenaran.”


“Kebenaran apa?”


“Kebenaran kepada apa yang disyaki oleh orang yang meneliti.”


Maka Mak Mah pun menjadi terlalu kurus kerana amat risaukan hal itu.


“Khabarnya Mak Mah akan memohon lebih banyak wang untuk permata.”


“Permata?”


“Opppps!!!! Salah cakaplah Mak Mah.”

Khamis, Julai 28, 2011

Soalnya siapa?


Hari ini RM40 wang FELCRA itu boleh dikatakan ‘selesai’. Penghakiman membebaskan tuduhan terhadap bekas Ketua Pengarah FELCRA dengan hujah bukan tertuduh yang mengarahkan wang itu dipindahkan. Maka soalan seterusnya, siapa? Dan apakah ini dikira sebagai tiada lagi kes? Bagaimana dengan keluhan peserta FELCRA yang rata-ratanya bertungkus lumus melakukan kerja sehingga akhirnya FELCRA mendapat wang yang banyak daripada aktiviti hiliran, perladangan dan sebagainya. Kes in baharu selesai selepas berbelas tahun dibicarakan (1997 – 2011). Memang saya mengetahui kes pecah amanah ini sejak ia mula-mula timbul.

Saya dengar keluhan warga FELCRA, “Alangkah baik kalau 40 juta itu diagih sebagai dividen atau bonus tahunan atau digunakan untuk Yayasan FELCRA.” Katalah jika mahu diagihkan kepada setiap peserta FELCRA – masing-masing akan mendapat RM760.60 berdasar statistik ahli sehingga Disember 2010*. Empat puluh juta boleh menampung pembiayaan pendidikan tinggi (biasiswa) universiti awam untuk seribu pelajar. Jika wang sebanyak itu diguna untuk membina perumahan kos sederhana (RM80000 sebuah); dan diberi kemudahan untuk generasi kedua FLECRA membelinya – hal itu sudah mampu menampung keperluan rumah 500 keluarga. Dan sudah tentu dengan menawarkan perumahan sederhana kepada anak-anak peneroka yang mampu membelinya akan memberi keuntungan juga kepada FLECRA itu sendiri. JIka tidak lumayan, ia akan dikenang dan menaikkan imej FELCRA. Tentu sahaja mereka yang terlepas itu lebih tahu ke mana wang tersebut diguna. Apabila kes ditutup, seolah-olah tiada kes. Kalau seorang pendakwa yang lemah semangat akan berkata, “Anggap sahaja ia tidak pernah berlaku.”

“Oh, ini Malaya. Barang yang hilang usahlah dikelukesahkan lagi.” Begitu?



*52,589 (sumber: laman web FELCRA)

Selasa, Julai 26, 2011

Berakhir sudah IMQ musim pertama

Imam Muda Qaryah (IMQ) musim pertama bermula secara rasmi pada 17 Feb 2011 dan berakhir pada 24 Julai 2011. Seramai 700 peserta dari tujuh zon di Wilayah Persekutuan (tidak termasuk Wilayah Persekutuan Labuan). Peserta hanya perlu memberi komitmen masa menghadiri kelas pada setiap hujung minggu bermula 8 pagi sehingga 4 petang. Kelas agama meliputi pengajian akidah, ibadah, tarannum dan tajwid. Selain kelas, acara luar seperti lawatan ke pusat pemulihan dadah, mengunjungi warga gelandangan, operasi halal JAKIM dan operasi cegah maksiat, memanah, berkuda, merentas hutan serta amali sembelihan.

Pada minggu terakhir, diadakan peperiksaan dan tiga orang yang terbaik dari setiap zon dipilih dikuarantin untuk menjadi finalis. Dalam edisi pertama, Imam Muda Qaryah Amran B Ariffin (Zon 4), Imam Muda Qaryah Nazri Bin Musa (Zon 2) dan Imam Muda Hafizi Abdillah Bin Rusli (Zon 1) dipilih sebagai finalis. Kesemua 21 orang yang dikuarantin di hotel pada 21 – 23 Julai 2011 ditauliahkan SIJIL Mengajar Agama oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan. Tiga orang finalis diuji dengan hafalan al-Quran (surah wajib hafal – Al-Insan, As-Sajadah & ayat lazim [an-Naas – adh-Dhuha]) – 40 peratus, penyampaian awam – tiga bahasa (Bahasa Melayu, bahasa Arab dan bahasa Inggeris) – 40 peratus. Dua puluh peratus lagi adalah etiket sosial.

Keputusan akhir;

Johan – IMQ Hafizi Abdillah Bin Rusli; RM20 000, laptop dan hadiah iringan.

Naib Johan – IMQ Nazri Bin Musa; RM15 000, laptop dan hadiah iringan.

Ketiga – IMQ Amran B Ariffin; RM10 000, laptop dan hadiah iringan.

Pada akhir acara Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Jamil Khir mengumumkan IMQ musim kedua akan melibatkan Wilayah Persekutuan Labuan. Majlis penyampaian hadiah IMQ musim pertama diadakan di Kompleks Pusat Islam, JAWI pada 24 Julai 2011 jam 8.30 malam – 10.30 malam.

Laporan ringkas peserta IMQ musim pertama yang merancang untuk tidak menang.
*Dalam pengucapan awam, finalis diwajibkan menyampaikan tazkirah dalam ketiga-tiga bahasa.

Ahad, Julai 24, 2011

Wacana Budaya USMAN AWANG Perginya Seorang Pahlawan


Program ini diilhamkan Prof. Dr. Siti Zainon Ismail sempena mengingati pemergian al-Marhum Tongkat Warant selama sepuluh tahun. Majlis bermula selepas solat Maghrib dengan bacaan Yasin dan tahlil kemudian diikuti acara baca puisi selepas Isyak. Acara baca puisi diadakan di Perpustakaan Madrasah Tarbiyah, Kg. Bandar Dalam. Terima kasih kepada urusetia program kerana menyediakan kambing panggang sebelum acara baca puisi.

Wacana ini dimulakan dengan ucapan Dr. Ibrahim Ghafar diikuti bacaan surat yang dikirim anak al-Marhum Haslina yang tidak dapat hadir. Surat dibaca oleh Prof. Dr. Siti Zainon Ismail. Sementara Hj. Ishak Surin Penghulu Kg. Bandar Dalam menceritakan nostalgia bersama al-Marhum iaitu empat hari selepas penahanan Ahmad Boestaman pada Februari 1965. Beliau bertemu al-Marhum untuk menyatakan hasrat menyampaikan mesej kepada khalayak darihal penahanan Ahmad Boestaman. “Namun ketika itu sajak tersebut ditulis tanpa nama dan disebarkan kepada orang ramai kerana bimbang akan ditahan,” kata Hj. Ishak Surin.

Penyair Dinsman membaca sajak al-Marhum berjudul Zaman ini.

Zaman ini serba pahit terasa

Hanyir darah masih membalut udara

Segala suara mati di rongga tak bernada


Hati-hati bila bicara di muka siapa

Kerling mata menyisip antara ruang penjara


Engkau penyair akan menulis segala cerita

Penamu tajam boleh mengiris segala derita

Zaman ini mengajarmu hidup berpura-pura

Atau sekadar menyelamatkan diri menganggukkan kepala


Engkau wartawan kutip berita antara manusia

Penamu tajam dapat mencungkil keburukan mereka

Engkau diam mengikat tangan di bawah meja

Zaman ini memaksamu menulis yang baik belaka


Semua menekan karena diatasnya besi berpadu

Segala menjemukan karena padanya palsu-palsu

“Memang Usman Awang sudah menggambarkan apa yang berlaku.” Ulas Dinsman ringkas.

Sasterawan Negara Dato’ Dr. A Samad Said pula bernostalgia tentang penerimaan anugerah Sasterawan Negara. “Sebenarnya Usman Awang berat hati untuk menerima anugerah tersebut. Tetapi demi menjaga hati Zam (Dato’ Zainuddin Maidin) untuk merapatkannya dengan Mahathir (Tun Dr. Mahathir) dia terima juga.” Ujar SN A Samad Said. Sempena majlis itu, SN A Samad Said diminta membaca sajak. Lalu terhasillah Menyonsong Abad. Beliau juga mengimbau pendekatan al-Marhum Usman Awang membantunya dalam berkarya dengan berkata, “Beliau meminta saya sediakan beberapa cerpen. Setelah berpuas hati, beliau bayar dahulu sebelum menyiarkannya di akhbar.” Di akhir ucapannya SN A Samad Said mendeklamasi puisi Menyonsong Abad, sebuah puisi yang dibukukan dalam Suara Dari Dinding Dewan.

Peserta wacana lain yang turut membaca puisi ialah Amni Jagat dengan judul Awan Tidak Bermadu, Mohamad Farez Abdul Karim (Anak Bumi) – Ke Makam Bonda. Manakala Roslan Madun tampil dengan santai membaca syair yang baharu ditulisnya sejurus selepas Maghrib pada hari tersebut. Rahmat Haroun tampil dengan membaca puisi Sahabatku. Wakil anak muda Kampung Baru Dalam pula membaca puisi al-Marhum berjudul Bunga Popi.

Pada jam 11.30 malam diadakan sesi bergambar sebagai simbolik pelancaran ‘Matabaca – Madrasah Tarbiyah Budaya Membaca’.

Sisi Lain di Luar Acara Wacana.


Anak Bumi sempat bercerita kepadaku tentang sebuah kulit buku yang diusahakannya. Khabarnya itu milik sahabat saya Roslan Jomel. Lau saya maklumkan kepada tuan badan akan gossip itu lewat esemes. Roslan Jomel membalas esemes itu, Insya-Allah, akhir tahun nanti siap. Ini saya kira seorang penulis yang akan menyusul karyawan besar lain dalam negara kita beberapa tahun lagi. Sekarang pun, namanya sedang harum. (Oh, saya harap pujian ini tidak keterlaluan, kata orang putih exaggerated!)

Apabila Dinsman melontar persoalan, “Jika seorang A Samad Said sudah menggegarkan, bayangkan jika ada 10 seniman sepertinya (yang sanggup turun padang seperti dalam Bersih 2.0)?” Tanya beliau lagi, “Tetapi mengapa hanya satu?”

Akan soalan itu dijawab SN A Samad Said, “Di hadapan saya ada matabaca,” merujuk kepada perkataan ‘matabaca’ di rostrum. “tetapi hakikatnya kita berada dalam lingkungan mata-mata baca.” Semua hadirin gelak dengan jawapan sinis SN A Samad itu.

Selepas habis program ini, saya seperti mahu membelek semula novel al-Marhum Tulang-tulang Berserakan yang dibaca ketika saya berusia 11 tahun dahulu!

Jumaat, Julai 22, 2011

Yang indah itu budi, yang cantik itu bahasa.

Suatu pengalaman yang mungkin terpencil bagi saya. Jarang berlaku pada orang lain. Saya bertugas di sebuah jabatan dalam firma swasta. Kami menguruskan sebahagian proses dalam projek kerajaan yang diberi kepada syarikat. Projek ini akan berakhir pada Jan 2012. Saya pun belum pasti apakah perjalanan kerjaya saya selepas ini. Mungkin selepas tamat tempoh pelaksanaan projek itu, saya akan mencuba nasib dalam kompeni lain pula. Terpulang kepada mana-mana lorong rezeki yang ada dan akan dibuka oleh DIA kepada hambanya ini.

Suatu hari seorang pengurus projek wanita menghantar permohonan dari sebuah agensi kerajaan. Dan permohonannya masuk ke dalam sistem yang saya kendalikan. Permohonan itu sepatutnya dihantar ke sebuah unit lagi dalam syarikat ini. Dia menghantar ‘surat’ permohonan yang discan menyebabkan surat dua muka surat itu terpisah menjadi empat gambar berformat dot P N G. Saya cadangankan pengurus projek itu mengantar semula surat itu agar kelihatan sedikit professional. Saya sertakan nombor faks dan nota unit yang perlu dimajukan surat tersebut. Saya mengalihkan isu dalam sistem ke mod TUTUP, dengan harapan wanita itu menghantar surat secara faks. Kerjanya mudah. Anda akan melihat dalam sistem respon-respon pemohon dan orang yang mengendalikan permohonan. Tiga hari berikutnya baharulah pengurus projek itu membalas. Dia melenting lalu membalasnya, “Apa yang menyedihkan sangat?” Demikian sebahagian daripada yang saya tulis, “Menyedihkan apabila surat ini dihantar secara terpotong-potong kerana menyukarkan pihak kami membacanya.” Walhal dalam mana-mana pengurusan projek, surat-menyurat adalah perkara biasa sebagai rekod/dokumentasi kerja. Apakah kami yang menguruskan masalah itu perlu mencetak imej surat-surat yang dipotong empat itu? Setiap potongan saiznya menyamai sekeping kertas A4.

Saya tidak kisah ayat ‘ceramah’ berjela-jela wanita itu. Cuma dalam baris ayat yang ditulisnya ada satu akronim WTF. Bila membacanya saya terfikir, “Huh! Dia nak bagi tahu aku dia ada tali pinggang taekwando?” Bila kawan setugas saya membacanya, dia menterjemah WTF; iaitu ekspresi seorang apabila marah dalam bahasa INGGERIS. Hah! Terhenyak saya mendengarnya. Kemudian saya buat-buat ketawa kerana mahu menyembunyikan rasa kesal saya. Geram juga. Setelah saya maklumkan apa yang saya fikir lalu kawan itu berkata, “Kamu memang berfikir lurus. Fikir orang-orang warak.” Maklum sahaja saya tidak gemar membaca novel Inggeris atau menghayati filem-filem Inggeris. Terus sahaja hilang rasa hormat saya pada pengurus projek wanita itu. Sehingga saya memberitahu kawan saya, “Jika ada lagi tiket daripada pengurus projek ini, saya tidak akan melayannya.” Biarlah saya menjadi kejam seperti ini. Saya tidak perlu dimarah walau dengan sekadar menulis WTF itu.

Malam ini pun saya bekerja sehingga jam 7 pagi esok.

Isnin, Jun 06, 2011

Mengambil matan al-Quran dari Syeikh Solah

Surau al-Islah Taman Kajang Mewah merupakan surau Jumaat berdekatan Syeksyen 7 Bandar Baru Bangi. Khutbah Jumaatnya dibaca dengan dwi bahasa sama ada Bahasa Melayu + Arab atau Bahasa Melayu + Inggeris. Untuk bahasa kedua, hanya rumusan khutbah yang dinyatakan untuk memahamkan jemaah luar negara.


Kuliah ilmu di surau ini juga aktif. Yang menjadi pilihan saya ialah kelas al-Quran secara Talaqi bersama Syeikh Solah Muhammad Zaki Muhammad Ibrahim. Beliau bertutur dalam bahasa Arab dan diterjemah oleh seorang ustaz lain. Pada 4 Jun 2011, saya mencatat nama sebagai pelajar lelaki yang keempat puluh. Saya baharu sahaja mengikut kelas ini secara rasmi. Kelas al-Quran ini diadakan setiap Sabtu selepas Subuh dan tamat sekitar jam 8 pagi.


Kelas pertama ini saya kira masih bertuah kerana Syeikh baharu sahaja memulakan bab awal iaitu sifat-sifat huruf. Kami diberi pendedahan sifat-sifat huruf bermula dengan hamzah, alif, ba, ta dan tha. Lima huruf terawal. Dalam bahasa Arab, terdapat 28 huruf tetapi dalam al-Quran huruf-huruf hijaiyyah ada 29. Tentu sekali yang baharu saya sedar, kita belajar muqaddam ketika kecil iaitu huruf lam alif dimasukkan dalam senarai huruf hijaiyyah hanya untuk menunjukkan bentuknya. Hal ini kerana huruf itu gabungan lam dan alif. Baharu saya tahu, dalam al-Quran alif dan hamzah adalah dua huruf berbeza dari segi sifat. Setiap huruf mempunyai sekurang-kurangnya lima sifat dan sebanyak-banyaknya tujuh sifat. Sifat huruf ada 17, dengan lima sifat mempunyai lawan masing-masing seperti syaddah (lawannya rakhawah), tafkhim (lawannya tarhiq), al-Infitah (lawannya Itbaq) – ini baru tiga yang dipelajari. Sifat-sifat lain hams, qalqalah, tawassut (sifat pertengahan antara syaddah dengan rakhawah) dan lain-lain.


Sebagai contoh, sifat alif yang mengandungi kedua-dua sifat berlawanan iaitu tafkhim dan tarhiq. Tafkhim (tebal) iaitu dibaca dengan tebal apabila huruf sebelum alif berbaris di atas (fathah) melibatkan 7 huruf (kha, ra, shod, dhodh, tho, zho dan qaaf) dan kalimah lafz al-Jalalah (Allah). Kami akhiri pengajian dengan mengambil matan ayat al-Quran bermula ayat pertama Juzuk kedua.



Rabu, Jun 01, 2011

Emas - Kemusykilan dalam cerita Aku kepada Saya

Ini cerita Aku kepada Saya.


“Saya pergi menyemak harga emas di bank. Bank ini dengan buku akaun simpanan emas menawarkan emas bulian 999.9.” Kata Aku.


“Saya tidak tahu emas 999. Ada nama lain?” tanya Saya.


Aku menjawab, “Ya. Orang awam panggil emas sepuluh.”


Setahu Saya kalau emas 10 biasanya emas tulen, sementara emas 916 adalah emas yang dicampur dengan sedikit logam lain. 916 itu khabarnya sempena 91.6 peratus emas. Maka dari segi harga emas 10 sentiasa lebih tinggi daripada harga emas 916.
“Jadi berapa harga emas semasa yang anda semak tadi?” tiba-tiba Saya rasa teruja.
“RM152 per gram.” Balas Aku.


“Jadi apa masalah kamu menceritakan hal ini kepada saya? Apakah Saya ada kepentingan?” Saya memang tidak ambil pusing. Maklum sahaja Saya bukan orang yang suka bermain dengan emas.


“Ini ada kisah menarik. Disebabkan saya masih sayang untuk menjual semula emas yang saya simpan, maka saya bercadang membeli emas lain pula sebagai pelaburan.” Aku dengan tidak sengaja menampakkan dirinya berduit.
“Tidak menarik langsung!” Cemuh Saya.


Tetapi Aku tidak pedulikan Saya. Dia terus menyambung omongan, “Saya ke kedai emas. Pada dinding kedai dinyatakan harga per gram setiap emas. RM162 untuk emas 999 dan RM148 untuk emas 916.”

“Biasa sahaja.” Saya cuba memprovokasi Aku. Memang cerita Aku tidak menarik. Lainlah halnya jika Saya mendapat emas sebagai hadiah daripada Aku.


“Luar biasa. Baharu saya tahu di kedai emas penjual mengenakan harga yang lebih tinggi dicampur dengan upah.” Aku sengaja menekankan perkataan upah dan harga lebih tinggi.


Saya cuba fokus pada dua perkara yang dibangkitkan Aku. “Contohnya? Saya belum jelas.”


“Begini. Saya tanya seutas rantai dengan jisim 3.59 gram. Harganya menjadi RM870. Padahal dalam congakan saya, harganya tidak lebih RM550. Maka saya persoal perkara itu. Jurujual menjawab kemusykilan saya. Katanya itu kos termasuk upah kepada tukang emas.” Cerita Aku.


Saya juga ingin tahu lebih lanjut, “Kamu membelinya?”


Aku menggeleng. Menurut Aku lagi, “Adalah lebih baik saya membeli dinar Kelantan atau Dinar Public Gold. Harganya lebih kompetitif. Dari segi susut nilai, dinar ini lebih rendah susut nilainya berbanding emas yang dibuat barang perhiasan.


Dua hari kemudian Aku memberitahu saya lewat SMS, “Saya mendapat satu Dinar Public Gold dengan harga 697 RM.” Dan setahu Saya sedinar 4.25 gram. “Bermakna kamu membeli segram emas 916 dengan harga RM164.” Selepas itu Aku membalas SMS, “Tetapi belian balik pihak menjual ketika ini 154 RM setiap gram.” Kemudian Saya menyemak harga emas 999 semasa, “RM148.63” Maka aku berkata melalui SMS, “Ini kalau hendak melabur emas usah fikir pelaburan seminggu dua. Kita kena fikir setahun dua. Baru dapat untung lebih banyak.” Baharu Saya ingat cakap-cakap orang tentang emas, “harganya mungkin lebih RM200 segram pada pertengahan Jun 2011.”


Khamis, Mei 19, 2011

29: Di ambang waktu menjadi bapa

Pagi tadi saya berniat untuk memuatkan satu entri berkaitan ucapan kepada diri sendiri. Tetapi entah bagaimana apabila saya siap mengarangnya, apabila mahu pralihat coretan itu saya tidak dapat melihatnya. Saya tulis suatu keluhan betapa saya ini mungkin tersendiri dalam dunia saya. Maklum sahaja hari ulang tahun kelahiran ke-29, dan setiap hari ulang tahun kelahiran biasanya dirai dengan setidak-tidaknya ucapan daripada orang-orang yang rapat dengan kita.

Disebabkan saya tidak dapat ucapan tersebut, saya buka emel yang diguna untuk facebook. Baharulah saya gumam sendirian, ‘Ada baiknya entri tadi tidak berjaya disiarkan. Rupa-rupanya yang saya keluhkesahkan ada dalam facebook. Laman sesawang sosial ini tidak dapat dibuka di pejabat kerana polisi pihak atasan. Maka saya hanya membaca dari kotak emel tanpa dapat memberi respon. Hanya setelah saya tiba di rumah sekitar jam 10 malam, baharulah saya dapat membalas ucapan sahabat-sahabat. Mereka ialah cikgu Zayu Hisyam (Penulis), Puan Hanisah Othman (Penulis), Ustazah Alana (ahli e-Sastera), Kaptem Muzaiham (Sahabat terapat), admin Kemudi Selangor (Penulis), Admin BDN (komuniti forum Bincang), Wan Rafsyam (kawan sekolah menengah), Hasmae (kawan sekolah menengah), Zul (bekas rakan sepejabat), Puan Ruslina (Ahli e-Sastera), HJ. Jiwarasa (Penggemar buku, ahli Goodreads Malaysia), Hilmi, Harris dan Syukri (rakan serumah sewa). Kemudian tidak lama selepas itu saya terima kiriman SMS daripada isteri dan adik-adik. Tujuh orang adik saya menggunakan telefon bimbit, enam daripada mereka memberi ucapan dan doa. Adik-adik saya tidak ada dalam senarai kenalan facebook saya - Kemudian terima juga SMS dari Roslan Jomel, penulis terkenal Sarawak.

Maka saya pun bernostalgia betapa dalam tiga tahun ini, dua kali disambut di pejabat saya dahulu. Rakan sekerja berpakat sesama mereka membelikan kek untuk meraikan hari jadi saya setiap tahun (2009, 2010). Biasanya di pejabat, sesi makan-makan diadakan setengah jam sebelum waktu pejabat berakhir. Itulah serba sedikit sambutan hari lahir saya. Hari ulang tahun mula menjadi lebih bermakna dengan dirai kawan-kawan setelah saya melangkah ke alam pekerjaan. Semasa kecil-kecil, tiadalah sambutan yang istimewa dibuat. Mungkin itulah budaya yang ada di pedalaman. Cuma budaya ini kadang-kadang saya tidak setuju apabila kita terikut-ikut dengan cara orang Barat. Mengapa perlu kita letakkan lilin di atas kek. Kemudian bertafakur membuat hajat dan seterusnya meniup lilin itu? Apakah kita tidak ada acuan sendiri? Ada. Bagi sesiapa yang mahu sahaja. Misalnya orang-orang yang kuat berpegang dengan nilai Islam akan menjemput sahabat handai ke majlis doa selamat. Tiada lilin atas kek. Tiada nyanyian “Selamat Hari Jadi” atau “Allah Selamatkan Kamu”. Yang ada hanya majlis kesyukuran dengan membaca surah Yasin dan doa selamat. Maka nilai itu kembali mula dihayati sedikit demi sedikit dalam bentuk yang lain. Contohnya ucapan-ucapan dan doa yang diberi oleh mereka yang disebutkan di atas.

Semoga kalian juga mendapat kebaikan daripada doa yang disampaikan. Itulah yang saya belajar. Jika kita mendoakan sesuatu kebaikan kepada orang lain, kebaikan itu akan kembali kepada kita juga. Jika kita mendoakan keburukan terhadap seseorang, boleh jadi kita akan menjadi orang yang paling zalim di sisi Allah.

Jika anda membaca entri ini, saya alu-alukan ucapan anda di ruangan komen. Ini sunat saja. Saya tetap hargainya.

Rabu, Mei 18, 2011

Belajar seni suara: Sikah

Pada Ahad lepas kami melepasi modul kelima IMQ. Untuk bahagian al-Quran peserta dikehendaki tasmi’ bacaan surah Al-‘Asr hingga Adh-Dhuha dan tiga minggu dari sekarang kami akan diuji hafalan surah al-Insan. Manakala bahagian tarannum pula, kami diajar lagu Sikah. “Cuba ikut,” gesa mu’allim kami. Saya mengulang dan cuba meniru bacaan sang guru. Tetapi guru itu berkata, “Tidak menjadi. Itu lagu Rass.” Betapa pun saya mencuba tiga kali berikutnya, tetap juga lagu Rass yang saya bawa. “Suara enta ‘besar’, tidak sesuai dengan lagu Sikah.”

Qari yang terkenal dengan lagu Sikah ialah Sheikh Abdul Basit. Jika ditinjau dalam klip video you tube, agak sukar juga untuk menemukan contoh bacaan murattal yang biasa dibawa dalam solat. Cuma sesekali sahaja (jika bernasib baik) kita dapat mendengar bacaan secara murattal Sheikh Abdul Basit dalam IKIM.fm. Yang sempat saya dengar ialah sebelum Subuh Selasa lepas. Pada ketika coretan ini ditulis, audio bacaan al-Quran belum dimuatkan dalam galeri audio laman web IKIM.fm. Burdah-burdahnya (SIkah) tidaklah sukar. Pun begitu ia perlu latihan yang lebih lama jika saya mahu menguasainya. Bagaimana burdah-burdah Sikah? Jom dengar bacaan secara murattal yang di bawah. Sila klik pada gambar untuk dengar.

Ahad, Mei 15, 2011

Dedikasi buat isteriku


1

"Dalam musibah terdapat empat seni iaitu mencari pahala dari Allah, berkawan dengan kesabaran, berzikir dengan baik dan menunggu kelembutan dari Allah."

2

"Hati yang sentiasa bahagia akan membunuh virus penderitaan, demikian juga jiwa yang pasrah pada takdir Allah akan menghancur bakteria kebencian."

3

"Dunia selalu berputar dan hari terus berganti. Keadaan yang sama tidak akan berlangsung selamanya. Allah S.W.T Yang Maha Penyayang juga sentiasa mengawasi keadaan hamba-hamba-NYA setiap saat.... maka kenapa bersedih?"

4

"Kenapa engkau memohon pertolongan kepada penguasa padahal diri dan hidup mereka juga berada dalam genggaman Allah Penguasa alam semesta. Kenapa engkau mengemis harta dan kekayaan kepada orang yang tidak punya apa-apa; mengeluh kepada yang tidak mengabulkan permintaan; serta mengadu kepada yang boleh sakit dan terluka."

5

"Kirimkan surat pengharapanmu di tengah kebeningan malam. Jadikan air matamu sebagai dakwatnya; kedua pipi sebagai kertasnya. Kepasrahan sebagai setemnya dan Arasy Ilahi sebagai almat (tujuannya). Setelah itu tunggulah jawapannya."

6

"Jika suatu saat fikiranmu diliputi kekalutan, atau hatimu dibayangi kesedihan, atau keluarga dan hartamu meninggalkanmu maka janganlah sekali-kali merasa putus asa kerana boleh jadi Allah telah persiapkan di sebalik itu kebaikan yang banyak
bagimu."



Dipetik dari buku Koleksi Mutiara Kata al-Qarni (Penulis Buku Jangan Bersedih), Berlian Publication Sdn.Bhd, Cetakan Pertama, 2008.

Jumaat, Mei 13, 2011

Belajar seni suara: Sikah

Pada Ahad lepas kami melepasi modul kelima IMQ. Untuk bahagian al-Quran peserta dikehendaki tasmi’ bacaan surah Al-‘Asr hingga Adh-Dhuha dan tiga minggu dari sekarang kami akan diuji hafalan surah al-Insan. Manakala bahagian tarannum pula, kami diajar lagu Sikah. “Cuba ikut,” gesa mu’allim kami. Saya mengulang dan cuba meniru bacaan sang guru. Tetapi guru itu berkata, “Tidak menjadi. Itu lagu Rass.” Betapa pun saya mencuba tiga kali berikutnya, tetap juga lagu Rass yang saya bawa. “Suara enta ‘besar’, tidak sesuai dengan lagu Sikah.”

Qari yang terkenal dengan lagu Sikah ialah Sheikh Abdul Basit. Jika ditinjau dalam klip video you tube, agak sukar juga untuk menemukan contoh bacaan murattal yang biasa dibawa dalam solat. Cuma sesekali sahaja (jika bernasib baik) kita dapat mendengar bacaan secara murattal Sheikh Abdul Basit dalam IKIM.fm. Yang sempat saya dengar ialah sebelum Subuh Selasa lepas. Pada ketika coretan ini ditulis, audio bacaan al-Quran belum dimuatkan dalam galeri audio laman web IKIM.fm. Burdah-burdahnya (SIkah) tidaklah sukar. Pun begitu ia perlu latihan yang lebih lama jika saya mahu menguasainya. Bagaimana burdah-burdah Sikah? Jom dengar bacaan secara murattal yang di bawah. Sila klik pada gambar untuk dengar.

Contoh bacaan al-Fatihah lagu Sikah secara Murattal.




Sabtu, Mei 07, 2011

Cerita emas putih, merah dan hitam.

Adik saya Sa (bukan nama sebenar) baharu melepasi ujian hafazan al-Quran peringkat Kebangsaan di Sekolah Sains Hulu Terengganu (SAHUT). Beliau mewakili Terengganu kategori sekolah menengah. Ketika artikel ini ditulis, keputusan belum diumumkan. Katanya, “Wakil negeri lain lebih hebat, jam 2.30 petang nanti akan tahu keputusan.”

Sekolah berasrama penuh ini (adik saya sekolah lain), dibina atas tapak tanah rezab pertanian. Sebelum ini ia merupakan padang ragut Jabatan Perkhidmatan Haiwan (kini namanya Jabatan Perkhidmatan Veterinar – JPV). Disebabkan lokasinya di tanah pertanian, saya tidak pasti apakah pelajar-pelajarnya akan terganggu dek bau ayam di ladang ternak yang berhampiran. Kalau mengikut pengalaman saya belajar di Transkrian dulu (Seri Ampangan, Nibong Tebal), kedudukan hostel yang hampir dengan ladang ayam (ladang 'bayam' sebenarnya) menyebabkan gangguan bau terutama ketika hujan. Sekarang mungkin masalah itu sudah selesai. Dalam industri pertanian organik, STARDEC menjadi penyelesaian paling baik untuk menghilang hapak tinja haiwan ternakan. Serbuk bakteria STARDEC akan mengurai najis secara anaerobik. Hasilnya bau busuk hilang dan selepas beberapa minggu dibiarkan akan bertukar menjadi baja organik. Sebab itu kita biasa dengar dalam bidang penternakan orang menyebut emas putih (susu), emas merah (daging) dan emas hitam (tinja/najis).

Bertitik tolak dari teknologi pembuatan bakteria yang diserbukkan (jenama popular STARDEC)- [Mahu beli STARDEC? Hubungi 0192272127, En. Hisham], petani moden berupaya melakukan aktiviti pertanian secara integrasi. Bagaimana? Sebagai contoh, petani moden Asdi (bukan nama sebenar) dengan kelulusan Sarjana Pertanian menternak ayam. Dia membahagikan tanah ladangnya kepada tiga bahagian. Satu bahagian tanah dibina reban ayam. Bahagian kedua dikhaskan untuk tanaman jagung. Bahagian ketiga dikhaskan untuk kolam kumbahan. Setiap minggu Asdi menabur STARDEC pada tinja ayam. Pada kelembapan tertentu, Asdi memindahkan tinja itu ke ruang pengumpulan berbumbung dalam ladangnya. Setiap tiga minggu tinja yang dikumpul sudah menjadi baja organik. Baja itu digunakan untuk membaja pokok jagung. Air yang diguna untuk menyiram tanamannya diambil dari kolam kumbahan. Kolam kumbahan ini juga ditabur sedikit STARDEC di samping tambahan kincir. Kincir ini gunanya untuk memastikan air dalam kolam kumbahan tidak statik atau dalam istilah kejuruteraan hidro dipanggil aeration. Maka air tidak akan menjadi terlalu kotor di samping tidak mengeluarkan bau busuk. Hasilnya setiap bulan pusingan penuh penanam jagung, Asdi dapat menjual jagung kepada peniaga di simpang Gaung yang terkenal dengan jolokan Lembah Jagung (Corn Valley).

Bukan setakat itu. Kebetulan di sebelah tapak ladang Asdi ada petani moden lain bernama Marwi (bukan nama sebenar). Marwi merupakan bekas pegawai JPV. Dia mengusahakan penternakan lembu fidlot. Marwi menghadapi masalah kekurangan rumput untuk lembu-lembunya. Asdi memahami masalah Marwi lalu membuat persefahaman (MoU) iaitu setiap kali jagungnya dituai, dia akan membekalkan sisa pokok (daun, batang jagung dan jantung jagung yang tidak berkualiti) kepada Marwi. Selaku pegawai pencen JPV, Marwi menggunakan sisa pertanian itu untuk membuat silaj. Sisa ini dipotong kecil-kecil dan dimasukkan dalam tong kemudian diperam dengan gula merah. Silaj boleh bertahan selama bertahun-tahun selagi tongnya tidak dimasuki udara. Marwi sebenarnya menjalankan aktiviti pertanian integrasi juga tetapi masih tidak cukup kerana diketahui umum lembu kuat makan. Tetapi hal yang lebih penting ialah Marwi dan Asdi sudah menunaikan tanggungjawab sosial masing-masing. Asdi telah menyenangkan pelajar-pelajar SAHUT belajar dengan tenang tanpa gangguan bau hamis reban ayamnya. Marwi pula seperti Asdi di samping tidak membiarkan lembu-lembu berkeliaran di luar. Maka Marwi secara tidak langsung berupaya menghalang lembu-lembunya daripada melepaskan najis di jalan raya. Dia tidak dicemuh oleh mana-mana pegawai bank atau guru-guru SAHUT atau guru-guru sekolah lain di pedalaman gara-gara terpaksa ‘membersih’ tahi lembu dengan kenderaan mereka setiap pagi.


Tetapi cerita ini mungkin akan menjadi cerita rekaan saya sahaja. Tidak ada watak-watak sebenar ditulis di dalam kisah ini. Buat merenung situasi yang lebih baik untuk hidup di pedalaman seperti berada di bandar. Maksud saya metaliti petani dan persepsi kita terhadap pertanian perlu diubah. Dan ini bermakna saya memang dapat melakar semua ini dengan mudah, payah untuk melaksanakannya kerana faktor modal. Apa pandangan cikgu Rashid (bukan nama sebenar) atau cikgu Zawawi (bukan nama sebenar) di Kuala Berang? Harap-harap suatu hari saya dapat melihat petani moden yang berjaya di Hulu Terengganu. Petani yang mempunyai kelulusan akademik yang hebat. Mereka sebenarnya perlu sokongan terutama modal untuk mengusahakannya. Berapa? Saya tidak tahu tetapi RM50 000 tidak cukup.

Nota:bayam = babi & ayam

Khamis, Mei 05, 2011

Membiakkan wang melalui Akaun 1 KWSP

Semua orang sedang berfikir bagaimana hendak mengembang wang dalam keadaan sekarang. Bagaimana keadaan sekarang yang ruwet menurut persepsi saya? Orang ramai seperti saya sudah mula terasa beban kewangan apabila minyak petrol RON97 meningkat 20 sen lagi. Ia sudah menjadi RM1 lebih mahal berbanding dengan RON95. Saya percaya hampir 70 peratus pengguna RON97 memilih untuk mengguna RON95 kerana terpaksa. Mereka tiada pilihan kerana bajet untukpetrol akan menjejaskan perbelanjaan lain.

Kalau kita lihat tabungan hari tua bagi mereka yang bekerja iaitu KWSP atau caruman sukarela bagi mereka yang bekerja sendiri, kita akan dapati terdapat dua akaun iaitu akaun 1 dan 2. Kebelakangan ini kita tidak sedar bahawa melalui akaun 1 KWSP, wang tersebut boleh dikembangkan pada kadar yang lebih baik berbanding dividen tahunan KWSP. Secara purata, dividen KWSP hanya 5.4 peratus setahun[a]. Bagaimana duit dalam akaun 1 KWSP dapat dibiakkan dengan lebih banyak? Mungkin kita tidak tahu terdapat instrument pelaburan unit amanah yang boleh dibuat melalui akaun 1 KWSP. Pada masa ini, terdapat 570 dana amanah daripada 39 buah firma dana di Malaysia[b]. Prestasi dana amanah KWSP mencatat keuntungan antara 17.8 hingga 21.5 peratus setahun[c]. Dan tentulah menjadi suatu tugas yang rumit untuk memilih dana amanah yang kompeten dan berdaya maju.

Sepupu saya menunjukkan pelaburan dalam dana amanah melalui CWA (CIMB Wealthy Advisor) dengan memilih dana amanah patuh syariah yang diurus oleh CIMB Islamic Bank. Keuntungan yang diperoleh beliau pada tahun 2010 melalui dana ini ialah 15.4%, hampir 3 kali ganda dividen tahunan KWSP. Sepanjang pengamatan saya, Public Mutual menawarkan lebih daripada sepuluh dana amanah patuh syariah dan kesemuanya mempunyai prestasi yang memberangsangkan[d]. Syarat utama pelaburan dalam dana amanah ini ialah akaun 1 anda mempunyai simpanan asas sekurang-kurangnya RM5000.00[e]. Anda hanya perlu membawa salinan kad pengenalan dan penyata KWSP apabila berurusan dengan pengurus dana amanah. Borang yang diisi akan dimajukan kepada pihak KWSP dan dilaburkan. Wang tersebut tidak dikeluarkan daripada akaun 1 KWSP tetapi tetap disalurkan untuk pelaburan dana amanah. Pulangan pelaburan akan dimasukkan setiap tahun.

Hal ini bermakna mereka yang memanfaatkan akaun 1 untuk melabur dalam unit amanah akan mendapat dua bayaran iaitu dividen tahunan KWSP dan keuntungan dana amanah. Begitulah wang mereka berkembang biak sehingga mereka dapat menggunakannya selepas persaraan kelak.



Rujukan:

a. Berita Harian, 3 Mei 2011, halaman 23.

b. Ibid.

c. Ibid.

d. http://www.publicmutual.com.my/application/fund/fundprice.aspx

e. Berita Harian, 3 Mei 2011, halaman 23.


Nota: Tulisan ini panduan umum penulis. Penulis tidak bertanggungjawab ke atas sebarang bentuk pelaburan yang akan dibuat setelah anda membaca tulisan ini. Jika anda berminat, berhadapanlah dengan mana-mana pengurus dana amanah yang anda percaya. Penulis bukan pengurus dana amanah ketika artikel ini dicoret. Harap maklum.

Rabu, Mei 04, 2011

Si miskin dengan dinarnya

APABILA mengguna wang kertas fiat money, kita sebenarnya menghadapi satu keadaan yang tidak adil. Sebab itu dalam al-Quran Allah ceritakan dalam surah Yusuf juga al-Kahfi tentang penggunaan wang dirham atau dinar. Bagaimana nilai wang kertas menjadi susut? Kita buat perbandingan mudah nilai 10 ringgit puluhan tahun dahulu dengan sepuluh ringgit hari ini sudah berbeza. Dahulu dengan RM10 banyak benda dapat dibeli. Kalau orang ke pasar boleh jadi dapat beli sampai dua bakul barang. Tetapi sekarang mungkin dapat membeli dua perkara sahaja dengan RM10.

Sekarang sudah mula ada kesedaran untuk meningkatkan nilai wang dengan menggunakan emas. Barangkali orang sudah mula menyimpan jongkong emas atau menyimpan wang dalam akaun emas yang biasa dikenal sebagai Gold Saving Passbook Account (GSPA). Apabila dinar emas diperkenal iaitu syiling emas 916 dengan berat piawai 4.25g, banyak orang mula membelinya. Selain dinar emas yag dikeluar secara rasmi oleh Kelantan, Public Gold juga turut mengeluarkan dinar. Bagaimana orang memanipulasi dinar dengan memanfaatkan sistem pajak gadai Islam iaitu ar-Rahnu untuk mendapat satu lagi dinar? Hal ini biasanya dibuat oleh orang-orang yang tidak kaya. Misalnya pada bulan pertama 2011, si A membeli sekeping dinar dengan harga RM610. Dia memajak dinar di Agro Bank atau Ar-Rahnu Bank Rakyat pada bulan ketiga. Ketika itu harga dinar meningkat menjadi RM680 (contoh). Menjadi kebiasaan pihak yang menerima pajakan secara syari’e memberi pinjaman dengan kadar 65 peratus daripada harga semasa emas. Maka si A mendapat pinjaman RM442.00 selama enam bulan. Pihak yang menerima gadaian menyimpan dinar selama enam bulan dengan upah simpanan RM30.00. Maka si A perlu membayar ansuran RM78.66 selama enam bulan tanpa faedah. Bermakna si A perlu ada sekurang-kurangnya RM238.00 di tangan untuk mendapat dinar yang kedua ketika dia memajak dinar pertamanya.

Selepas enam bulan, apabila dia membayar ansuran dengan betul, dia dapat menebus kembali dinar pertamanya. Pada ketika itu, nilai dinarnya mungkin meningkat lagi beberapa puluh ringgit. Sekiranya si A tidak dapat membayar secara penuh ansuran selama enam bulan, dia masih mempunyai pilihan untuk menyambung tempoh bayaran ansuran tiga bulan. Tempoh lanjutan ini berbeza di antara bank-bank atau agensi yang menawarkan skim ar-Rahnu. Katakan enam bulan kemudian satu dinar menjadi RM740. Bermakna si A sudah memiliki dua dinar dengan nilai RM1480. Daripada nilai ini, si A sebenarnya sudah mendapat untung bersih sebanyak RM160.00 dalam masa sembilan bulan. Margin untung si A secara purata 12.12 peratus. Bayangkan kalau seseorang mempunyai lebih banyak dinar. Tetapi mustahil hendak membayangkannya kalau gaya pelaburan untuk dinar ini diusahakan oleh orang-orang yang kurang kaya seperti si A. Cuma yang penting si A nampak nilai emas yang lebih kukuh berbanding wang kertas. Contoh yang diberi dalam artikel ini hanya menggunakan dinar emas sebagai sandaran. Bagaimana pula keuntungan yang diperoleh mereka yang menyimpan jongkong emas atau wafer? Itu saya tidak pandai congak, kena tanya adik kawan saya Fida (bukan nama sebenar). Mungkin dia ada jawapannya.