
Laporan di bawah.
Imam Bukhari meriwayatkan satu hadis dari Said Bin Mu’allaq seperti berikut. “Dari Said Bin Mu’allaq radhiallaahu ‘anhu katanya; suatu hari aku sedang solat dan Rasulullah S.A.W menyeruku. Setelah selesai solat, aku bertemu nabi dan memaklumkan kepada baginda aku tidak menyahut seruannya kerana solat. Kemudian nabi bersabda, “Tidakkah kamu tahu bahawa apabila Allah dan rasul menyerumu, kamu wajib menjawabnya? Aku mahu ajarkan suatu surah sebelum engkau keluar dari masjid ini.” Kemudian aku bertanya semula, “Tidakkah engkau mahu ajarkan suatu surah sebelum aku keluar?” Nabi menjawab, “Ia tujuh ayat yang diulang-ulang (al-sab’ul mathaani) dan ia al-Quran yang agung.”
Al-Fatihah diberi dengan nama yang pelbagai antaranya ar-Ruqyah, as-solah, al-Hamd, as-Syifaa, Ummu al-Kitaab, Ummu al-Quran, as-sab’ul mathaani, dan al-Quran al-‘Aziim. Al-Fatihah dinamakan ayat yang diulang-ulang kerana dibacakan sekurang-kurangnya 17 kali dalam solat fardhu. Dalam satu hadis Qudsi, dinyatakan bahawa al-Fatihah dibahagikan antara Allah dan hambanya. Empat ayat pertama adalah bahagian Allah. Manakala tiga ayat terakhir pula bahagian hamba-hamba-NYA. Al-Fatihah dinamakan al-Quran al-‘Aziim kerana di dalamnya terdapat intipati al-Quran iaitu konsep ibadah, hari Kiamat dan sejarah umat terdahulu.
Suatu hari sekumpulan sahabat melalui sebuah perkampungan Badwi. Namun begitu mereka tidak dimuliakan sebagai tetamu. Ditakdirkan ketua kampung tersebut dipatuk ular. Maka mereka bertanya, “Siapakah di kalangan kamu boleh berjampi?” Seorang sahabat menjawab, “Aku.” Lalu sahabat tersebut mensyaratkan agar diberi hadiah. Penduduk kampung bersetuju memberikan sekumpulan kambing jika sakit itu sembuh. Lalu sahabat tersebut membaca al-Fatihah dan meniup pada air. AKhirnya sembuhlah ketua kampung tersebut dan mereka diberi kambing. Pun begitu, mereka (sahabat) tidak berani memakan kambing tersebut dan merujuk kepada nabi. Nabi mengatakan bahawa mereka boleh mengambil hadiah tersebut. Dalam perubatan nabi (ath-Thibb Nabawi), menjampi air dengan surah al-Fatihah adalah dibolehkan. Namun, mencapur aduk bacaan al-Fatihah dengan seruan kepada jin dan makhluk lain seperti yang dibuat oleh bomoh-bomoh adalah suatu hal yang salah sama sekali.
Nota kuliah Subuh, 27 Mac 2010. Masjid al-Hidayah, Sentul, Ust. Wan Nasir.






Catatan peristiwa: 27 Mac 2010.
Gunung Chenuang terletak dalam daerah Hulu Langat, Selangor. Ketinggian puncak gunung ini 853 meter dari aras laut. Projek Unit RSA, CSR dan HRA kali ini melibatkan 12 orang peserta; 7 lelaki dan lima perempuan. Seorang peserta merupakan bekas staf syarikat yang kini bertugas di Balai Polis Bukit Aman. Perjalanan bermula jam 8.00 pagi dari pejabat menaiki van syarikat. Setelah melepasi Balai Seni Lukis Negara, tiba-tiba pengarah program bertanya tentang begnya. Duit yang diperuntukkan untuk program sejumlah RM1000.00 berada di dalamnya. Beg tersebut tertinggal di atas kerusi di hadapan tempat letak kereta bangunan Plaza Sentul. Kami hanya mampu berdoa mudah-mudahan tiada orang yang panjang tangan menyambar begi tersebut. Syukurlah, beg itu masih ada apabila kami berpatah balik. Terima kasih kepada penjaga tempat letak kereta, seorang pemuda India.
Kami tiba di Chongkak Park & Resort (CPR) pada jam 9.45 pagi. Kami disambut oleh pengurus resort dan diperkenalkan dengan jurupandu ekspidisi iaitu En. Halim dan En. Ramli. Kumpulan kami turut disertai dua orang rakan En. Ramli dan seorang pendaki gunung En. Elvin. Menurut jurupadu arah, laluan yang dilalui sudah tidak digunakan sejak lima tahun. Perjalanan bermula di tapak perkhemahan CPR pada jam 10.15 pagi. Denai masih wujud tetapi untuk beberapa ketika En. Halim dan En. Ramli terpaksa membersihkan laluan yang sudah dihalangi buluh dan semak. Perjalanan mengambil masa kira-kira empat jam lima belas minit. Kami tiba di puncak Gunung Chenuang pada jam 2.30 petang. Sebuah mercu tanda dipasang dan ‘tandatangan’ terakhir daripada pendaki sebelumnya bertarikh 2005. Dari puncak ini, kami dapat melihat Empangan Hulu Langat, Batu Berkembar dan Bukit Tebuk. Bahagian Barat dan Timur Bukit Tebuk dipisahkan oleh empangan. Kami berehat di puncak kira-kira setengah jam sebelum turun semula ke CPR.
Perjalanan pulang penuh debaran kerana insiden terjatuh akibat batu licin. Syukurlah tiada kecederaaan serius dihadapi peserta berkenaan. Pemandu van syarikat juga bimbang sehingga menyatakan kebimbangannya, “Kalau jam 9 malam kamu belum turun, saya akan buat laporan polis.” Maklum sahaja, segala kemungkinan boleh berlaku kerana trek ekspidisi sudah lama tidak digunakan. Boleh jadi kami akan tersesat. Pun begitu, dengan kepakaran jurupandu arah, kami selamat pergi dan balik. Kami juga berpeluang merasa air dari akar Kelain. Akar kayu ini apabila ditebang akan mengeluarkan air. Rasanya seperti air mineral yang ditambah sedikit garam. Warnanya jernih seperti air mineral juga. Pada jam 8.00 malam, kami tiba di tapak perkhemahan CPR. Asalnya pengarah projek mahu menyewa chalet tetapi terpaksa membatalkannya kerana chalet penuh. Dalam perjalanan pulang, kami dibawa ke kolam air panas. Hilang lenguh-lenguh sendi setelah merendam kaki selama 15 minit secara percuma. Kolam air panas terletak di belakang Institus Kemahiran Belia Negara (IKBN) Hulu Langat. 
Dan akhirnya, kami singgah di Bistro Hulu Langat menikmati makan malam. Inilah waktu untuk ‘membalas dendam’ kehilangan tenaga sepanjang pendakian. Semua peserta memanfaatkan peluang makan sepuas-puasnya. Memang puas! RM182.00 untuk tiga belas orang (termasuk pemandu van). Kami tiba di Sentul pada jam 11.00 malam. 
Imam Nawawi menyebut perkara pertama dalam kitab Thibyan berkaitan kelebihan membaca al-Quran. Sepotong ayat al-Quran menceritakan bahawa orang yang membaca al-Quran akan diberi kelebihan oleh Allah. Antara kelebihan pembaca al-Quran ialah cahaya di wajahnya. Cahaya ini hanya akan dapat dilihat oleh orang-orang yang baik dan dekat dengan Allah.
Dalam mensyarahkan kelebihan tersebut, Imam Nawawi menukilkan hadis dari Usman Bin Affan radhiallaahu ‘anhu yang bermaksud, "Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya (al-Quran) kepada orang lain." Kemudian dinukilkan satu lagi hadis dari saidatina ‘Aisyah radhiallaahu ‘anha yang bermaksud, "Orang yang mahir membaca al-Quran ditempatkan bersama malaikat yang mulia. Orang yang membaca al-Quran dalam keadaan tergagap-gagap (yarta’ ta’) akan diberi dua pahala."
Dari ayat al-Quran yang dibawa pada awal perbincangan kemudian disusuli dua hadis dapatlah kita ketahui bahawa amat banyak kelebihan yang diberi kepada pembaca al-Quran. Orang yang malas membaca al-Quran memberi alasan tidak mempunyai waktu, keras lidah, rabun mata, tidak pandai dan sebagainya. Apakah orang yang dapat membaca al-Quran setiap hari diberi masa oleh Allah sejam atau dua jam lebih daripada orang yang tidak memiliki masa? Apakah DIA Tuhan yang sama yang mengeraskan lidah, dan tidakkah DIA juga Tuhan yang berkuasa melembutkan lidah orang yang membaca al-Quran? Tidakkah DIA Tuhan yang memberikan mata, DIA jugalah yang berkuasa mencerahkan semula mata orang yang membaca al-Quran? Orang yang matanya melihat al-Quran akan dijaga oleh Allah dan tidak akan dibutakan. Kelebihan melihat ayat al-Quran ialah diberikan pahala. Kelebihan membaca al-Quran adalah ganjaran 10 pahala bagi setiap huruf. Betapa permurahnya DIA menjanjikan kebaikan buat hamba-hamba-NYA.
Bagaimana orang yang tergagap-gagap membaca al-Quran diberi dua pahala? Golongan ini akan mendapat pahala jika dia berusaha belajar memperelok bacaannya. Orang yang kurang mahir membaca al-Quran tidak perlu malu mencari guru al-Quran. Manakah lebih dahsyat rasa malu itu berbanding malu di hadapan Allah di akhirat? Orang yang malu di akhirat akan luruh daging mukanya. Kalau malu di dunia, masih ada perkara yang boleh dibuat seperti menutup muka atau kalau berani menyaman semula orang yang mengaibkan kita. Apakah yang akan kita jawab jika Allah bertanya, "Kenapa di dunia dahulu kamu tidak pernah membaca al-Quran?" Sebelum sempat pun soalan itu ditanya, apakah pula jawapan kita untuk soalan malaikat di barzakh? Sebelum kita berhadapan dengan soalan di barzakh atau akhirat, marilah kita jawab sekarang. "Kita malas atau liat membaca al-Quran kerana kita EGO dengan al-Quran."
Apakah hakikat kebebasan? Dalam kertas kerja Arah dan Cabaran Penulis Muda: Antara Ubermensch dan Khudi Pembentukan Peribadi Unggul (SM Zakir, Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009), ada ditulis begini; Friedrich Nietzsche memulakan perbahasan dengan menolak persamaan manusia untuk mewujudkan konsep individualistik manusia yang seterusnya mewujudkan manusia unggul iaitu Ubermensch. Bagi Nietzsche, nilai baik dan buruk bergantung kepada individu yang bebas, dan bukan kepada adat atau agama. Nietzsche akhirnya berkata, “tuhan sudah mati.” Bertitik tolak dari sini, dunia Barat mencipta watak super hero seperti Superman, Spiderman, Batman, Wolveman dan sebagainya. Lebih parah lagi hal ini turut berjangkit dalam alam Melayu di Malaysia dengan Kluang Man, Cicak Man, Dr. Kit dan seumpamanya.
Bagaimana manusia yang asalnya taat beragama (dalam konteks Nietzsche agama Kristian) akhirnya menjadi manusia yang tidak percaya kewujudan tuhan? Apakah agama menjadi kongkongan sehingga kita perlu memisahkan diri daripadanya? Sebagai muslim, kita sebenarnya memiliki kebebasan mutlak dengan syarat kebebasan itu di landasan yang benar. Hanya kebenaran yang diperjuangkan menjadikan seseorang berasa bebas. Bebas daripada rasa takut. Bebas daripada rasa gelisah. Manusia diberi akal untuk berfikir dan memilih mana-mana jalan yang dikehendaki. Firman Allah yang bermaksud, “Telah Kami tunjukkan kepada manusia dua jalan.” Ayat ini bermaksud jalan kebaikan untuk dilalui dan jalan kejahatan untuk dijauhi. Selain itu kebebasan haruslah disertai tanggungjawab. Ke arah mana kita mahu melorongkan manusia?
Belakangan ini dunia seni kreatif bergolak dengan soal kebebasan berkarya. Namrom (terima kasih pada sahabatku Teratakerapung) yang kontroversi dengan pengarahan teater TANDA dan pengarah Erma Fatima dengan ANTARA. Memang menjadi falsafah seni kreatif Barat bahawa hasil karya perlu bersifat reaktif. Kerana itulah kesan ghairah digambarkan dengan terperinci untuk memaksimumkan kesan terhadap penonton. Teater TANDA cuba mengambarkan kejelekan wabak sosial dengan pelakon-pelakonnya melakukan adegan yang mendatangkan ghairah. Manakala dalam ANTARA digambarkan keadaan di dalam syurga dan pembawaan watak nabi. Hal ini sangat bertentangan dengan kebebasan berkarya dalam Islam. Lihatlah bagaimana dalam al-Quran Allah menyatakan secara kasar (surficial) tanpa memperincikannya. Sebagai contoh apabila Zulaikha menggoda Nabi Yusuf, tidak dinyatakan bagaimana dia melakukannya. Manakala perkara ghaib seperti syurga dan neraka termasuk dalam perkara yang tidak dapat dicapai oleh akal.
Uslub dakwah sendiri menekankan uruf makan (iaitu situasi dan budaya setempat) perlu diperhatikan sebelum seseorang pendakwah cuba menggagaskan suatu perkara dalam ibadah. Sebab itu masalah fiqh dalam Islam mempunyai pengasas yang dikenal sebagai mazhab. Perkara yang berlaku melibatkan teater TANDA amat bertentangan dengan norma Timur (malah kebanyakan drama dan filem Malaysia juga). Memang tidak dinafikan bahawa adegan berahi membawa kesan (reaksi) penonton tetapi dari segi agama ia dilarang sama sekali. Apakah piawai yang diguna pakai oleh pihak penapis filem dan drama di Malaysia? Kenapa saban tahun kita melihat aksi ranjang walaupun dikelaskan sebagai ringan diluluskan?
Bidang pengurusan adalah suatu perkara wajib. Setiap pekerja perlu melalui proses dan kitaran pengurusan sama ada suka atau tidak. Dalam bidang profesional, terdapat sebuah institut yang menawarkan sijil profesional dalam pengurusan projek. Sijil Pengurusan Projek Profesional (PMP). Setiap pemegang sijil PMP akan disenaraikan dalam direktori PMI yang membolehkannya bekerja dengan syarikat multinasional gergasi dunia. Bagaimana untuk mendapat sijil ini? Seseorang pekerja profesional mestilah terlibat dengan pengurusan projek selama 4500 jam (bagi pemegang ijazah), manakala 7500 jam bagi pemegang sijil sekolah tinggi atau diploma.
Calon PMP perlu menduduki peperiksaan khas. Soalan yang disediakan sebanyak 200. Calon perlu menjawab dengan betul sekurang-kurangnya 106 soalan daripada 175 soalan. Manakala 25 soalan tidak perlu dijawab, kerana soalan tersebut dikelas sebagai soalan ‘sampah’ (non-score evaluation questions). Hal ini bermakna calon perlu skor 61 peratus minimum. Jangka waktu peperiksaan selama empat jam. Jika mengikut sistem negara maju, gaji asas pemegang sijil PMP adalah USD20000.
Sunat dibaca dengan jahar (diangkat suara) dalam solat fardhu Subuh, Maghrib, Isyak, solat gerhana bulan. Disunatkan membaca secara perlahan (sirr) dalam solat Zohor, Asar, gerhana matahari. Manakala untuk solat sunat mutlak pada malam hari disunatkan membaca dengan suara pertengahan; tidak terlalu kuat dan tidak terlalu perlahan. Bacaan secara jahar disunatkan kepada imam dan orang yang solat sendirian.
Namun begitu, selain mereka atau orang yang berada di luar solat seperti qari, pemberi nasihat atau guru yang mengajar makruh membaca dengan suara yang kuat sehingga mengganggu orang tidur atau solat (termasuk solat sunat). Bagaimana contoh mengganggu tidur? Katakan seorang suami balik lewat, ketika balik anak kecil dan isterinya sudah tidur. Maka si suami menunaikan solat Isyak dengan membaca secara jahar sehingga mengejutkan anak kecil dan isteri daripada tidur. Hal ini disebut oleh Imam Nawawi dalam kitab al-Majmu’. Mengganggu orang solat di dalam masjid makruh kerana tujuan asal diwaqafkan masjid adalah untuk orang solat bukan kepada qari dan penyampai nasihat (guru). Pun begitu, bukanlah (hukum makruh yang dinyatakan Imam Nawawi) bermakna tidak boleh mengadakan kuliah pengajian di masjid.
Selain itu disunatkan menyebut dengan jahar takbir intiqalat iaitu takbir untuk memindahkan dari satu rukun ke satu rukun yang lain. Menyebut Allaahu Akbar. Kadar panjang menyebut takbir intiqalat hendaklah memadai waktu melengkapkan perpindahan rukun. Bermakna jika bangkit dari sujud kedua dan berdiri untuk rakaat kedua, sebutan takbir ini lebih panjang daripada berpindah rukun antara duduk di antara dua sujud dengan sujud kedua. Pengecualian sebutan takbir intiqalat hanyalah ketika iktidal iaitu dengan menyebut sami’aLLAAHU li man hamidah (Allah telah mendengar orang yang memuji-NYA). Kalimah tahmid ini diambil sempena meraikan kesyukuran Abu Bakr ash-Shidiq ketika beliau sempat rukuk bersama nabi sewaktu menjadi makmum masbuq.
Dalam solat jamaah, imam dan makmum sunat membaca takbir intiqalat dan sebutan tahmid. Di sesetengah tempat terdapat mubaligh dalam solat jamaah. Mubaligh bermaksud orang yang menyampaikan sebutan takbir intiqalat dan tahmid (ketika iktidal) dengan hasrat makmum yang jauh daripada imam (di belakang) tahu pergerakan imam. Syarat mubaligh mengulang sebutan itu ialah sekiranya makmum yang di belakang tidak mendengar suara imam. Dalam konteks sekarang (Malaysia), imam menggunakan pembesar suara. Maka tidaklah menjadi keperluan untuk seseorang yang lain bertindak selaku mubaligh. Pun begitu, syarat sah menjadi mubaligh dalam solat jamaah ialah sebutan takbir itu diniatkan sebagai zikir dan untuk menyampaikan isyarat kepada makmum lain agar mengetahui pergerakan imam. Sekiranya tidak diniatkan begitu, maka solat orang yang menjadi mubaligh itu tidak sah.
Membaca tahmid (sami’aLLAAHU li man hamidah) ketika iktidal dalam pengamalan sebahagian kita kadang-kadang kurang tepat iaitu terus menyambut tahmid dengan mengucapkan "Rabbana wa laka al-Hamd." (cara 1) Dalam mazhab Sayfie, makmum perlu menyebut sepenuhnya iaitu, "sami’aLLAAHU li man hamidah, Rabbana wa laka al-Hamd." (cara 2) Perlu diketahui bahawa cara 1 adalah amalan yang dianjurkan oleh imam Ahmad Bin Hanbal. Bermakna orang yang beramal dengan cara 1 telah melakukan talfiq dalam solat.
- -- - -
Nota kuliah Maghrib, Ust. Abd. Aziz Bin Arof, Masjid al-Hidayah, Jalan Sentul Pasar, 28 Feb 2010, Kitab Fathu Muin, halaman 79 -80.
KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Hari Guru pada setiap bulan Mei setiap tahun (16 Mei), Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM) dan Persatuan Penulis Selangor (PPS) berhasrat mengumpulkan dan seterusnya menerbitkan 1Antologi Puisi HARI GURU.
Justeru, KALAM dan PPS mengalu-alukan dan dengan berbesar hati menjemput semua penyair dan penulis untuk menghantar karya masing-masing berbentuk puisi. Kepada setiap penyair dan penulis, setiap puisi yang ingin dihantar mestilah memenuhi ciri-ciri berikut, iaitu:
Sebagai makluman kepada penyair dan penulis yang karya mereka terpilih dan tersiar, bayaran honorarium dan senaskhah antologi akan diberikan secara percuma. Oleh itu, setiap penyair dan penulis yang menghantar karya mesti menyertai sekali biodata ringkas dan alamat surat-menyurat dan no. telefon untuk memudahkan urusan penerbitan dan pemakluman.
Tarikh akhir penyerahan puisi adalah pada 25 Mac 2010 dan kepada penyair dan penulis yang berminat, sila kirimkan puisi tuan/puan sama ada melalui e-mel kepada Saifullizan Yahaya (saif@dbp.gov.my atau saif_hati@yahoo.com.my) atau Muhamad Ikhram Fadhly Hussin (ikhram@dbp.gov.my atau pahlawan313@yahoo.com.my) sebelum tarikh di atas.
Untuk pertanyaan lanjut berhubung penerbitan antologi puisi tersebut, bolehlah menghubungi saudara Saifullizan Yahaya (016-3018645) atau Muhamad Ikhram Fadhly Hussin (012- 2908429)./ Salleh Mohd Tahir 013 2450808 (sallehmt@dbp.gov.my).
Semalam saya buka laptop dan rasa semacam 'sakit' sahaja sistemnya. Biasanya kalau terlalu lama menggunakan laptop/PC, akan ada bahagian yang rosak (dalam istilah IT damaged cluster). Cara biasa untuk membaik pulih masalah ini ialah membuat penyusunan semula (defragment). Kalau analisa penyusan semula menyatakan sistem anda baik dan tidak perlu, sedangkan prestasi mesin anda masih lemah tentu ada perkara lain yang tidak kena. Maka saya guna Advanced System Care 3.
Keperluan asas sistem ACS 3.
-- Pemproses (Processor)
Intel Pentium 300 MHz processor (atau setara) atau yang lebih baik.
-- Versi Windows
Windows 7, Vista, XP and 2000 (32bit and 64bit)
-- Memori Capaian Rawak (RAM)
256 MB
-- Saiz Cakera Keras (HDD)
40 MB ruang kosong.
Pada tahun kelahiran Nabi, berlaku suatu irhash iaitu peristiwa serangan Tentera Bergajah yang diketuai oleh Abrahah. Irhash bermaksud peristiwa pelik yang menandakan akan angkit seorang rasul. Abrahah Gabenor Yaman (kota San’a berada kira-kira 700 km dari Makkah). Bala tentera Abrahah menuju ke Makkah kerana Abrahah mendapat mimpi bahawa manusia akan berkumpul di suatu pusat (Baitullah di Makkah) dan akan meninggalkan biara Majusi yang dikuasaiya sekian lama.
Terdapat tiga riwayat yang membincangkan kekuatan tentera Abrahah. Pertama, disertai oleh seribu ekor gajah, dan enam puluh ribu tentera yang berjalan kaki. Kedua, terdapat 12 ekor gajah. Dan ketiga hanya terdapat seekor gajah di samping puluhan ribu tentera. Apabila mengetahui kedatangan tentera ini, Abdul Muttalib mengarahkan penduduk Makkah bersembunyi di bukit-bukit. Dia hanya meminta Abrahah mengembalikan dua ratus ekor unta yang dirampas. Abrahah hairan dan bertanya tentang permintaan Abdul Muttalib itu. Lalu dijawab Abdul Muttalib, bahawa Baitullah ada penjaganya iaitu Allah. Dan dia pula pemilik unta-unta yang dirampas itu. Apabila menghampiri Kaabah, gajah yang besar hanya duduk dan tidak mahu meneruskan perjalanan. Tetapi apabila diisyaratkan pergerakan ke Timur (menghala ke Yaman semula), gajah-gajah itu bergerak. Tiba-tiba langit menjadi kelam oleh kedatangan burung-burung yang membawa batu dari Sijjil. Burung kecil ini melepaskan batu kecil dan menimpa tentera Abrahah.
Firman Allah yang bermaksud, "Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera bergajah (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang sesat (tidak mencapai matlamat). Dan Dia telah mengutus (rombongan) burung berpasukan. Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras (dari Sijjil). Lalu Dia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat." (al-Fiil:1-5)
Ahli Tafsir mengatakan seperti daun dimakan ulat umpama sejenis penyakit kulit. Apabila mereka menggarunya, kulit dan daging mereka luruh. Sifatnya menghakis seperti asid kuat. Dan akhirnya bergelimpangan gerombolan tentera ini dengan rangka-rangka sahaja. Sebahagian ulama tafsir mengatakan setiap burung menghantar tiga biji batu. Satu di paruh dan dua lagi di kaki. Setiap ketul batu telah ditetapkan sasarannya.
Iktibar dari kisah Tahun Gajah.
Dalam suasana hari ini, orang lebih suka menyambut peristiwa kelahiran nabi dalam bentuk perarakan. Tetapi menghayati sunnah nabi jauh lebih utama dari sekadar berarak. Mengamal sunnah nabi jauh lebih utama dari sekadar mengibar sepanduk dan cogan kata menyanyangi nabi. Kalau kita lihat iklan di TV, ada iklan yang agak melucukan. Seorang ayah mengamal sunah nabi dengan meminta anaknya membaca doa makan. Malangnya model yang isteri itu kelihatannya mendedahkan rambut. Bagaimana? Tidakkah ini jelas kontradiksinya? Ya, dalam hal lain pun serupa juga. Kalau sekadar mengadakan perarakan kemudian masih mengambil dan memberi rasuah, itu pun tidak betul juga. Yang lebih parah, pagi perarakan dibuat, solat Subuh ditinggalkan. (Ini ayat saya sendiri, bukan ustaz yang kata…)
----
Nota: Kuliah Subuh, Ust. Yusri Bin Ariffin, 12 Rabiul Awwal 1431H (26 Februari 2010), Masjid al-Hidayah, Jalan Sentul Pasar, Sentul, 7.00 – 8.00 pagi.
Islam menitikberatkan soal kepimpinan atau dalam bahasa Arabnya Imamah. Pemimpin menjadi cerminan kepada tingkah laku pengikutnya. Justeru disebutkan soal kepimpinan dalam Al-Quran misalnya kisah Thalut sedangkan dia tidak memiliki kekayaan. Hal ini bermakna cara fikir manusia tetap sama sepanjang zaman iaitu seorang pemimpin haruslah memiliki kekayaan dan pengaruh. Jarang sekali manusia meletakkan nilai takwa sebagai penanda aras. Al-Quran mengajar manusia agar melantik pemimpin yang bertaqwa meskipun dia seorang yang miskin. Takwa dan kebijaksanaan adalah dua hal yang sangat penting bagi seseorang pemimpin. Orang yang bertakwa akan dijadikan Allah insan bijaksana. Seorang pemimpin yang taat akan dibantu oleh Allah dengan kelebihan akal yang kadang-kadang tidak dapat dicapai oleh kita sebagai pengikut.
Maka setiap orang yang memimpin digelar ulil Amri apabila berpegang teguh kepada al-Quran dan As-Sunnah. Begitulah pula pengikut dikehendaki memberi taat setia kepada pemimpin selagi tidak bercanggah dengan al-Quran dan As-Sunnah. Ayat 59 surah An-Nisaa dengan jelas mengatakan bahawa ketaatan kepada pemimpin tidak mutlak seperti ketaatan kepada Allah dan Rasul. Firman Allah yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya."(An-Nisaa: 59)
Hari ini kita sedang menyaksikan suatu kemualan, kejijikan dan fitnah yang besar bagi umat Melayu dan satu kesedihan kepada Muslim seluruhnya di Malaysia. Dek perbezaan politik dan kegairahan mempertahan kuasa, pemimpin sanggup membuat apa sahaja biarpun kelihatan dangkal, mengaibkan dan jauh dari akar budaya Timur yang menjunjung nilai-nilai Islam. Siapakah yang akan percaya kepada suatu bentuk konspirasi yang plotnya sama tetapi menggunakan watak berbeza? Tidakkah ini suatu kerugian kepada umat Islam khususnya di Malaysia? Apakah anda setuju bahawa hanya pemimpin yang keji akan sanggup naik ke puncak kuasa dengan cara yang keji pula? Secara peribadi saya melihat inilah satu cara paling tidak bertamadun untuk memastikan puncak kuasa tidak diganggu gugat. Setiap orang yang bersimpati tidak perlu terkejut jika tiba-tiba dalam perbicaraan yang penuh helah ini akhirnya menyebabkan seorang lagi negarawan yang kita hormati dimasukkan semula ke dalam penjara.
Dan detik ini kita masih menunggu agar perbicaraan yang boleh dikira sebagai lawak jenaka itu digugurkan sahaja. Atau setidak-tidaknya pengadilan dibuat mengguna pakai perundangan Islam. Mari kita renung ayat seterusnya dalam surah AN-Nisaa. Firman Allah yang bermaksud, "Tidakkah engkau (wahai Muhammad) hairan melihat orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh. Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah, nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu." (An-Nisaa: 60-61)
Bilakah sistem keadilan kita akan pulih? Dan sekarang bagaimana? Pada masa hadapan, kita akan menyesal dan hiba yang tidak berguna lagi mengenang sejarah ini.
Bermula 20 Jan hingga 20 Feb 2010, seramai 238 pengunjung melawat weblog ini. Dan 91 orang menjenguknya dalam tempoh seminggu terakhir.
Bagi minggu terakhir, terdapat 84 orang pengunjung berbeza manakala tujuh orang pengunjung berulang (yang sama). Setiap penjenguk membaca lebih daripada satu entri. Dari mana datangnya penjenguk weblog ini? Seramai 38 orang menemuinya melalui enjin carian (AOL, bing, google), 30 orang masuk secara langsung dengan mengingati alamat URL weblog ini manakala 23 orang merujuk pautan yang diletakkan dalam senarai weblog pesiber lain (blogroll, senarai rakan, pautan yang ditinggalkan dalam kotak bual (chatbox) atau melanggan menggunakan Readers).
Jika dilihat dari segi angka penjenguk mengikut negara, terdapat sebuah lokasi yang tidak dikenal pasti. Setahu saya, jika pengguna P1 Wimax, lokasi yang dinyatakan ialah Asia Pasific (AP) walaupun anda sedang melayari internet di Kuala Lumpur.
Ketika ini, entri Tabiat Membaca menduduki ranking carian tertinggi tetapi malangnya data-data yang dimuatkan dalam tulisan ringkas itu agak terkebelakang. Saya sendiri menyedari hal ini ketika dalam proses menyiapkannya. Perlu diketahui, data kajian itu sudah ketinggalan (bagi saya), kerana angka-angka yang dinyatakan merupakan penemuan pada tahun 2005. Maka wajarlah diadakan kajian akademik yang baharu untuk mengkaji tabiat membaca rakyat Malaysia kini.
Anda juga boleh melihat gelagat pengguna internet melibatkan weblog anda dengan menggunakan Google Analytics. Jika anda sudah memiliki akaun Gmail, tekan saja butang Access Analytics, dan masukkan URL weblog anda. Kemudian ambil kod Javascript yang diberi. Selamat mencuba.
Hadis riwayat Bukhari - Dari Abu Abdullah Nukman bin Bashir, beliau berkata: "Aku dengar Nabi S.A.W bersabda - Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka Sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkaraperkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati."
Hadis di atas boleh dirujuk dalam Matan 40 Hadis susunan Imam Nawawi.
Hukum syarak ialah segala hukum berupa anjuran atau tegahan atau suruhan atau larangan dan seumpamanya yang dikenakan ke atas setiap mukallaf. Mukallaf ialah orang yang dipertanggungjawabkan (ditaklif). Syarat mukallaf ada tiga:
Hukum syarak terbahagi kepada dua iaitu Qath'ie dan bukan Qath'ie. Manakala hukum syarak Qath'ie terbahagi kepada dua, iaitu hukum taklifi dan hukum Wad'ie.
Hukum taklifi ada lima (mengikut mazhab Syafie): Wajib, sunat, makruh, haram dan harus. Hukum syarak dan pembahagiannya dirumuskan dalam rajah di bawah.
Dalam Islam terdapat tiga pembahagian utama dalam semua perkara iaitu aqidah, ibadah dan akhlak. Aqidah merupakan perkara yang perlu disepakati sama ada benar atau salah. Akhlak juga seperti aqidah. Manakala ibadah boleh dilakukan dengan metodologi, cara, kaedah yang berbeza bergantung kepada tempat, budaya dan maslahah ‘ammah.
Contoh ibadah, dalam soal menutup aurat. Hukum Qath’ie bagi wanita menutup serta menjaga aurat terkandung dalam al-Quran seperti ayat 59 surah al-Ahzab, 31:An-Nuur. Maka pelaksanaan hukum ini bolehlah dibuat dengan cara yang bebeza asalkan memenuhi syarat menutup aurat. Asal sahaja wanita yang berpakaian itu tidak bertelanjang. Hadis nabi berbunyi "Ya’ti zamaan Nisaa-un kaasiyaatun ‘aaliyaatun.” (Akan tiba zaman wanita yang berpakaian tetapi telanjang."). Pelaksanaan hukum ini sebagai ibadah berbeza mengikut tempat (waqi’) kerana Islam meraikan semua bangsa di dunia. Menutup aurat tidak rigid (terhad) kepada memakai jubah semata-mata. Pakailah apa jua pakaian asal sahaja tidak menampakkan bentuk tubuh atau mendedahkan perhiasan seperti yang dinyatakan dalam ayat 59 surah al-Ahzab dan 31 surah An-Nuur.
Dalam bab aurat lelaki sebagai contoh – Imam Malik berpendapat aurat lelaki antara pusat hingga paha (di atas paras lutut). Manakala Imam Syafie, Abu Hanifah dan Hanbal berpendapat aurat lelaki di antara pusat sehingga lutut (bawah tempurung lutut). Bermakna dalam soal ibadah boleh berlaku perbezaan pendapat.
Adab-adab berbeza pendapat.
Apabila berbeza pendapat perlulah dilakukan beberapa perkara:
Nota kelas agama, Ust. Emran. 11 Feb 2010, 5.20 - 6.30 petang.
Umat Islam berjumlah 1.3 bilion iaitu kira-kira 20 peratus daripada populasi penduduk dunia. Kekayaan umat Islam seluruhnya hanya 8.6 peratus daripada Kadar Dapatan Negara Kasar (KDNK) dunia dan menguasai 10 peratus kek perniagaan global. Daripada 1.3 bilion umat Islam, seramai 941 Juta orang mendapat kurang 10 Dolar US (USD10) sehari. Hampir 30 juta umat Islam mendapat pendapatan per kapita USD10 000. Dunia Islam yang majoriti terdiri daripada 57 buah negara. Daripada jumlah ini, 28 buah negara tergolong dalam senarai negara mundur, buta huruf, mengalami masalah kesihatan dan ketiadaan kerja. Negara umat Islam dalam gabungan OIC sendiri tidak menyokong sesama sendiri. Buktinya perkongsian niaga pada tahun 1980 (pada kadar 47 peratus) merosot kepada 22 peratus pada tahun 2001. Kenapa hal ini terjadi? Adakah hal ini disebabkan kebergantungan yang terlalu besar terhadap negara bukan OIC? Malaysia misalnya menjadikan AS sebagai rakan dagang terbesar selain Republik Rakyat China. Dan kenapa OIC tidak berani memperkenalkan mata wang sendiri seperti Dinar Emas? Jika Kesatuan Eropah (EU) boleh memiliki mata wang sendiri, kenapa OIC tidak?
Industri Automotif Malaysia dan AFTA.
Cakap-cakap yang saya dengar, ALZA dikeluarkan lebih awal daripada waktunya kerana tidak mahu menghadapi masalah apabila Zon Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dilaksanakan pada April 2010. Bagaimana sebenarnya mekanisma AFTA memberi kesan kepada harga kereta? Apabila zon bebas dibuka, bermakna tidak ada cukai dan duti import dikenakan. Apakah benar mengikut teori ini, kereta seperti Honda, Toyota, Mazda, Mercedeze, Volvo dan BMW yang dipasang di Thailand akan menjadi lebih murah? Dalam keadaan semasa, sebuah Honda Civic misalnya hanya berharga RM20 000, tetapi setelah dikenakan duti import dan cukai lain, harganya dalam pasaran Malaysia mencecah RM80 000. (Jika harga HONDA Civic serendah RM20 000, siapa pula yang akan membeli kereta Proton dan Perodua? Saya pun kalau ditawarkan sebuah kereta berjenama HONDA dengan harga murah, tentulah saya suka dan berhajat memilikinya!) Pun begitu, apabila AFTA dilaksanakan, kerajaan pasti akan mencari alternatif untuk mengimbang kehilangan pendapatan daripada cukai (duti) import.
Bagaimana?
Tidakkah kita sedar tentang cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)? Katakanlah GST ini dikenakan kepada ikan sebagai contoh. Pak Ali seorang nelayan menjual sekilo ikan dengan harga RM4.00. Apabila GST dikenakan, Pak Ali terpaksa menolak kepada peraih ikan dengan harga RM4.80. Peraih ikan pula menolak ikan kepada penjual di pasar basah dengan harga RM5.76 sekilogram. Penjual ikan di pasar pula terpaksa menjual kepada pengguna dengan harga RM6.90 (dibundarkan). Katakanlah seorang pekedai membeli sekilogram ikan dengan harga RM6.90 kemudian dia menjual kepada saya dalam bentuk ‘Ikan masak tiga rasa’. Ikan yang saya pilih itu jisimnya 500 gram, maka caj ikan mentah ditolak kepada saya sebanyak RM4.15. Kemudian dia menjual lauk Ikan masak tiga rasa dengan kadar biasa RM6.00. Tetapi RM6.00 belum lagi termasuk nilai GST. Hal ini bermakna kos tambahan yang perlu saya keluarkan untuk ‘Ikan masak tiga rasa’ sekarang sebanyak RM7.20. Wah, ini sudah betul-betul mahal! Dan siapa pula yang akan tolong kutipkan cukai bagi pihak kerajaan? Jawabnya ialah peniaga-peniaga. Bermula dari Pak Ali sehinggaah kepada tauke kedai makan, setiap seorang perlu menyerahkan empat peratus daripada jualan mereka sebagai cukai. Dan siapa pula yang membayar cukai itu? Kitalah yang menjadi pengguna akhir. Masalahnya, Pak Ali seorang nelayan yang selama ini tidak pernah berurusan dengan cukai, terpaksa pula membuat belanja lebih. Apakah Pak Ali akan pergi ke pejabat hasil dengan percuma? Pak Ali tetap perlu keluarkan belanja kenderaan, masa dan karenah birokrasi.
Maka di mana keuntungan Pak Ali? Di mana keuntungan peraih? Di mana keuntungan penjual ikan di pasar basah? Di mana keuntungan tauke restoran? Jawabnya keuntungan itu hangus sebagai kos operasi mereka untuk menyerahkan cukai yang telah mereka terpaksa kenakan. Jika mereka masih dengan cara lama, jabatan hasil yang akan membuat pemeriksaan tetap akan mendenda mereka. Lainlah jika jabatan hasil turun ke segenap penjuru jeti, pasar basah dan restoran membuka kaunter pendaftaran dan bayaran. Pun begitu ia tetap menyusahkan semua pihak kerana semua benda yang berubah rupa sudah ditambah nilai dengan kadar empat peratus cukai GST. Dan jika ini hanya contoh mudah bermula daripada ikan, maka fikir dan congaklah sendiri untuk sebuah kereta walaupun kereta itu asalnya sudah ditawarkan dengan begitu murah oleh pengilang di Thailand atau Vietnam misalnya. Apakah kereta ini dapat melepasi Kastam dan sebagainya dengan harga asal yang rendah itu?