Rabu, Julai 30, 2008

Siapakah yang berminat menjadi usahawan tekno?


Oleh: Naimisa

(Yang mengikuti Program Kesedaran CTAP pada 29 Julai 2008, Pusat Dagangan Terengganu).


INDUSTRI kandungan kreatif negara berada pada tahap yang agak memuaskan. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan kandungan kreatif alias content? Terma ‘Content ’ mengikut takrif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 seperti berikut: “Sebarang suara, teks, gambar pegun, gambar bergerak atau persembahan audio-visual yang lain, atau kombinasi kandungan yang telah dinyatakan; berupaya dimanipulasi, disimpan, diterjemahkan dan digabungkan secara elektronik.”
Industri kandungan kreatif terbahagi kepada enam kategori:
 Filem dan Telivisyen.

 Animasi dan pemodelan (modelling).

 Permainan berkomputer.

 Mobil.

 Interaktif.

 Audio

Pada tahun 2007, nilai pasaran industri kandungan kreatif adalah sebanyak RM648 bilion. Jika Malaysia ‘mencuri’ satu peratus daripada nilai pasaran tersebut, bermakna potensi pasaran industri ini bernilai RM6.48 bilion. Sehingga tahun 2010, Malaysia mensasarkan 900 syarikat bertaraf Malaysian Super Corridor @ MSC. Menurut statistik MDeC pada tahun 2005, terdapat 1400 syarikat berstatus MSC, tetapi jumlah ini termasuk syarikat multinasional yang berpangkalan di negara ini. Daripada jumlah itu, 16% (224) merupakan pemain utama dalam bidang kandungan kreatif.

Setelah melihat senario pasaran dan sasaran negara, pihak yang bertanggungjawab membangunkan industri kandungan kreatif menyediakan inisiatif untuk meramaikan penyertaan usahawan sesuai dengan moto MDeC ‘Keusahawanan Kerjaya Pilihan’. MDeC menawarkan program keusahawanan tekno melalui program Program Akademi Usahawan Tekno Kreatif (Creative Technoprenure Academy Programme – CTAP). Bakal usahawan perlu melalui beberapa peringkat sebelum menjadi ahli perniagaan bermula daripada Seminar CTAP - sehari, bengkel ‘Mulakan Perniagaan Anda Sendiri (SYOB) – enam hari, inkubasi (enam bulan). Selepas tempoh tersebut, usahawan yang dilahirkan diharap dapat memanfaatkan pengalaman untuk mengembang perniagaan. Perantis CTAP yang berjaya, akan diberi suntikan modal (geran juga dikenal sebagai Pre-seed Fund) RM150 000.00 untuk membuat prototaip perniagaan.

Namun begitu, bagi mana-mana usahawan sedia ada yang sudah memiliki pelan perniagaan boleh juga memohon Pre-Seed Fund, untuk membangunkan prototaip perniagaan. Permohonan Pre-seed Fund dibuka pada 7 – 27 Ogos 2008, kemudian Oktober 2008.



Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada techpreseeed@mdec.com.my
atau telefon 03 – 8313 8000 (En. Mohd Shahidan).



Berita tentang usahawan tekno.

Khamis, Julai 10, 2008

Karya baru akan disiar.


Syukur.
Dan semalam (09 Julai 2008) saya dihubungi editor dari JAKIM. Beliau meminta nombor akaun.
Alhamdulillah, satu penulisan saya sudah disahkan akan disiarkan dalam majalah Cahaya, JAKIM edisi Ogos 2008.
Karya ini tersimpan lebih daripada dua tahun dalam gajet saya. Ia ditulis sekitar Ogos 2005. Cuma, dari masa ke masa, saya membaca dan menambahbaikkan kandungannya.

:)



10 Julai 2008, Kuala Terengganu.

Ahad, Julai 06, 2008

Bulan Julai bulan membaca.




Sempena bulan membaca, saya baharu sahaja memilik koleksi buku-buku ini.


Lima buah buku ini boleh dibeli dengan harga istimewa RM100.00 termasuk kos pengeposan di Ujanailmu.




Dan hari ini, sesi terakhir saya untuk kursus Dale Carnegie.


Mug di atas merupakan hadiah yang diperoleh kerana pencapaian kendiri yang dicapai ketika menghadiri kursus. Tahniah! -:)


Isnin, Jun 30, 2008

Cakap-cakap bengkel




Pembimbing: Puan Zaharah Nawawi

Bermula dari awal Jun saya dimaklumkan bengkel penulisan cerpen sambil ditawarkan Nak gi? (= Hendak pergi?) oleh saudara Dahrie. Saya lewat-lewatkan jawapan sehingga tiga hari, entah mengapa berat hati saya membeli tiket ke Kota Bharu pada hari Ahad yang berikutnya. Saya memeriksa pengumuman rasmi Dahrie pada hari Isnin (lima hari selepas dimaklumkan), kemudian menghantar dua buah cerpen. Judul pertama ‘Dilema Seorang Pesalah’ manakala cerpen satu lagi bertajuk ‘Manisnya Madu’.

Setelah diemelkan dua buah cerpen yang akan dibedah, saudara Dahrie memaklumkan penangguhan bengkel kerana masalah teknikal. Pembimbing utama bengkel ini tidak bersetuju dengan tempat yang dicadangkan iaitu di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan (PCB). ‘Patutlah berat semacam sahaja hati saya menempah tiket bas lebih awal.’ Detik hati saya sendirian. Akhirnya setelah dipertimbang semula, semua pihak bersetuju mengadakan bengkel di hotel. Ahad berikutnya (22 Jun 2008), saya membeli tiket untuk menghadiri bengkel. Inilah kali pertama saya bersua muka dengan pemilik Kelab Zaharah Nawawi. Sebelum ini saya tidak pernah mendengar khabar berita kegarangan beliau. Garang itu subjektif. Bagi saya, guru yang garang (tegas dan berdisiplin) adalah guru yang baik.

Mengikut jadual perjalanan saya, bas bertolak dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu jam 12.30 tengah hari. Entah bagaimana, bas hanya muncul jam 2.00 petang. Walhal terlebih dahulu saya sudah memaklumkan Dahrie bahawa saya akan tiba seawal jam 3.30 petang. Dalam tentatif program, pendaftaran bermula jam 2.30 sehingga 4.30 petang. Kelewatan bas bermakna saya sudah lewat satu jam setengah dan tidak mungkin dapat mendaftar diri dalam julat waktu yang dirangka penganjur. Dengan sebal, saya maklumkan Dahrie kelewatan itu. Saya faham, bukan mudah mengendalikan sesuatu program. Masa sebolehnya mahu ditepati oleh penganjur. Dahrie memaklumkan perubahan yang dibuat memandangkan beliau faham kesukaran yang dihadapi peserta. Jam 5.30 petang, baharulah saya tiba di destinasi. Saya menaiki kereta (perebet sapu) yang dinaiki Aliff Mustakim terlebih awal daripada saya. Ketibaan saya disambut Dahrie, Hani Hamsyari, Thoyba Murshidah, Ariff Abadi dan ustaz Ramy.


Cikgu Ariff Abadi sedang membaca majalah Esasterawan.Net. Saya mencuri pandang, “Macam kenal sahaja tulisan ini.” Cikgu Ariff merujuk judul cerpen yang dibaca.


Terima kasih kepada editor Esasterawan.Net kerana memilih karya ini. Kembang hati saya. Kata Drirwan, “Jika di dalam satu-satu majalah disiarkan karya kita, kita akan seronok membacanya biarpun sudah berulang-kali ditelaah.”


Ketika sesi bedah karya saya




menjadi cerpen pertama yang dipilih Puan Zaharah. Bedah karya sememangnya saat yang kritikal. Lebih-lebih lagi Puan Zaharah seorang yang tegas dan berterus-terang. Sesi ini menjadi hangat ketika karya cikgu Ariff Abadi, ustaz Ramy, Kalemas, MN Iskandar. Mereka sememangnya sudah akrab, dan suasana bedah karya tersebut menjadikan masing-masing ‘memberi cukup-cukup’ penilaian yang jujur. Kritikan sebegini sememangnya segar dan bagus untuk memantapkan karya. Berbalik kepada karya saya, pertama dinilai sebagai karya terbaik baik. Namun penyudahannya kurang menarik disebabkan unsur anti-klimaks. Menurut Puan Zaharah, walaupun unsur ini diperkenal dalam teori cerpen, tetapi tidak digalakkan. Anti-klimaks biasanya mengecewakan pembaca. Selain daripada itu, judul karya perlu ditukar agar tampak lebih menarik. Saya akui, memilih tajuk biasanya menjadi agenda terakhir dalam pengkaryaan. Hal ini kadang-kadang mengambil masa sejam malah berlarutan sehingga satu hari.

Rabu, Jun 25, 2008

Selamat Berbengkel

Ini akaun friendster saya.



Emel: hanafi_naimisa@yahoo.com.my


Anda dialu-alukan menjadi sebahagian daripada rakan saya.


Bengkel Penulisan Cerpen 26 - 28 Jun 2008, New Pacific Hotel, Kota Bharu.

Isnin, Jun 23, 2008

Koreksi Di Balik Pintu Belakang


‘Di balik pintu belakang’ merupakan karya kembar kepada cerpen ‘Dilema Seorang Pesalah’. Karya ini merupakan kesinambungan atau sisi lain yang menceritakan pergolakan moral dan etika kerja. Penulisan ini diperoleh melalui pengalaman sebenar penulisnya sepanjang bertugas di sebuah kilang pembuatan, milik pengusaha Indsutri Kecil dan Sederhana (IKS).

Seorang pengurus yang mengesani kesalahan ketuanya, namun tidak mahu meminta bosnya meletak jawatan. Hal itu sama sekali tidak mungkin. Politik kerjaya memang tidak mengenal erti kejujuran, etika dan moral. Nilai-nilai yang diajar di sekolah dalam pendidikan selama ini tidak berupaya menjadikan seseorang menjadi seperti yang diajar. Asal sahaja digelar ‘politik’, maka halnya adalah tipu daya. Kamal yang dijadikan watak utama ‘Di balik pintu belakang’ merupakan seorang pengurus yang jujur. Dia cekal menjalankan tugas. Atas rasa tanggungjawab, dia terjun ke dunia operator; meninggalkan ruang selesa di pejabat. Pengalaman ini mengajarnya erti ‘kesusahan’ kerja di peringkat bawah. Namun, dia amat terkilan dengan plot penggantungan kerja Rosli semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan Ubaid.

Ubaid, selaku watak antagonis dalam cerpen ini sebenarnya telah lama menyeleweng. Sebelum kedatangan Kamal lagi, dia sudah mempunyai pelanggan (baca rakan niaga). Kedudukannya dimanipulasi untuk menjual produk terus dari kilang (istilahnya melalui ‘pintu belakang’). Dia lulusan sarjana muda sama seperti Kamal. Ubaid yang terdesak berpakat dengan Rosli, dibayarnya adik angkatnya sejumlah wang yang melebihi gaji pokoknya. Persetujuan mereka dirahsiakan (tetapi tetap disingkap oleh Kamal akhirnya). Dia memang kurang mesra dengan Kamal, ada sahaja tindak tanduknya diperhatikan. Malah Kamal juga mempersoal tindakannya secara terus di hadapan pengurus lain. Cuma dia lega, kuasa penentu di tangannya. Tuan Zain sangat percaya kepadanya, apatah lagi Tuan Zain sendiri tidak gemar turun padang meneliti aktivti kilang dek kesibukan menguruskan kumpulan syarikatnya.
Pemikiran yang cuba dimasukkan di dalam ‘Di balik pintu belakang’ ialah nilai etika, kejujuran dan moral akan menjadi tidak berguna apabila ditangani oleh manusia-manusia yang tidak bermaruah. Selain itu, kenyataan bahawa selaku orang bawahan menentang kemungkaran seorang ketua yang berkuasa dan berpengaruh sangat sukar. Konflik di tempat kerja itu menyebabkan Kamal bersedia mengundur diri walau pun tidak bersalah. Penulis cuba mencipta plot cerita seperti kisah Nabi Yusuf. Ketika dibuktikan tidak bersalah, dia tetap dimasukkan ke penjara. Mengapa? Kamal pasti, kebenaran tetap benar dan akan mengatasi kebatilan. Pengunduran yang dibuat itulah pengajaran kepada Ubaid. Dia mahu Ubaid merasa terhukum dengan stail pentadbirannya. Dan apakah benar (Ubaid akan mengambil iktibar?)

Karya ini mendedahkan kepada anda realiti alam pekerjaan. Seseorang yang terdesak dan didesak oleh kehendak untuk hidup mewah sanggup melakukan apa sahaja. Mereka tidak lagi mempertimbangkan soal halal haram. Semoga secebis kisah ini memberi kesedaran kepada pembaca bahawa setiap gerak kerja kita adalah ibadah, dan diganjarkan pahala atau dosa bergantung kepada betul atau salahnya kerja itu di sisi syarak.

Ahad, Mac 11, 2007

Jumpa lagi

10 - 12 Mac (8 pagi) - Perdana Resort, PCB, Kota Bharu.

12 Mac 2007 - 9.00 pagi : Ke Butterworth.

KEM JATI DIRI MUSLIM 5? yA...Siapa nak join?

Ke Pusat Islam USM Kejuruteraan, jumpa di sana.

Khamis, Mac 08, 2007

Kadang-kadang kita perlu rileks

Kadang-kadang semuanya macam tidak cukup tangan.

10 - 12 Mac di Perdana Resort, PCB, Kota Bharu. Membaca empat (4) kotak [ini bukan beban walaupun kotak-kotak itu berat]

12 - 14 Mac di Pusat Islam Kejuruteraan - KEM JATI DIRI MUSLIM SIRI 6. Satu lagi projek cuti sekolah yang menarik oleh Pusat Islam. [Oh...bilikku masih ada lagi di Pusat Islam].

Tapi...., adikku di MRSM KT mahu aku ajarkan sesuatu buatnya sempena cuti sekolah. Alamak!

Ibu ke Melaka, 11 Mac - 12 Mac.

Yang lain-lain akan berada di rumah kecuali aku.

Sabtu, November 11, 2006

Langkah-langkah awal.

Beberapa hari sebelum menghantar sinopsis untuk penulisan Jibunsyi, SifuPTS sudah menghantar contoh format penulisan sinopsis terlebih dahulu. Namun tidak dapat dimuat turun kerana masalah peti emel @hotmail dot com. Akibatnya aku rasa serba salah kerana menunda kerja yang sepetutnya disiapkan segera.
Aku terfikir, mungkin seorang kakak yang telah mengikuti kursus di PTS dapat membantuku. Dalam pada terfikir-fikir itu, aku berharap dapat berchatting dengan beliau melalui YM. Tapi masalahnya, aku bimbang kalau-kalau dia tidak beronline pada ketika aku sedang beronline. Tambah lagi, aku tidak tahu ID YM kakak itu. Mungkin ini satu keajaiban dengan keyakinan yang ada padaku. Apabila seseorang terfikir atau berfikir sesuatu perkara penting dan berkait langsung dengan seseorang, dia telah menghantar gelombang ke otak orang yang difikirkannya. Inilah yang saya peroleh daripada pembacaan teori keajaiban diri dalam buku HM Tuah.
Syukur, kakak itu tergerak menambah ID YM-ku, dan kebetulan aku aktif dalam talian maya YM. Aku lantas meminta beliau menghantar contoh format setelah menceritakan masalah yang dihadapi. Kakak ini memang mudah memberi kerjasama. Dia menghantar contoh format penulisan serta satu contoh tambahan penulisan buku yang sedang dalam proses (in progress writing). Maka dapatlah aku menghantar sinopsis jibunsyi yang diperlukan oleh SifuPTS. Dua hari selepas dihantar, aku menerima SMS daripada SifuPTS dan beliau memintaku menghadiri Penulisan Jibunsyi dan Teori Penulisan Islami menggunakan Surah Yusuf. Maka hari ini, aku berada di KL untuk menghadiri kursus tersebut.

* * * *
Tidak perlu saya sebutkan siapa kakak itu sebetulnya. Aku tahu, bahawa dia sangat suka untuk tidak mahu dikenali, walaupun dia sendiri menulis malah sudah menyiapkan sebuah Jibunsyi. Semoga Allah membalas jasa baik kakak itu yang menolongku menunjukkan jalan ke tempat kursus dan memperkenalkan juga aku kepada seorang rakan penulis.

* * * *
Setelah tamat kursus hari ini (11 Nov 2006), aku menghubungi Amirulreza yang kini seorang wartawan. (Ketika entri ini ditaip, aku berada di pejabat beliau di Menara Plaza IGB, jam 8.30 malam). Aku bermalam di rumah abang kepada Amirulreza yang berdekatan Stesen LRT Sentul Timur. Esok aku akan mengikuti kursus bahagian kedua setelah seharian menimba ilmu berkaitan Kaedah KJ. Pendedahan senario pemasaran buku dan strategi pemasaran juga didedahkan. Hebat! Aku melihat strategi PTS dalam bidang pemasaran amat bagus.

* * * *
Semasa turun, seorang kenalan baruku En. Shamsuddin;Buku Beliau yang pertama menawarkan bantuan. Aku menerima pelawaan beliau, kebetulan beliau juga mahu ke tempat yang ditujuiku. Sebelum itu, dia naik semula ke dewan kuliah untuk bertemu SifuPTS. Pada ketika itu, aku berbual-bual dengan Masli Nor, yang makalahnya tersiar dalam kolum karyawan Dewan Sastera 2006. Itulah penulisan beliau yang pertama tersiar selepas menjadi penulis sejak tahun 1979, khususnya di Dewan Sastera. Itu pun katanya setelah menghantar sekian banyak makalah. (Aku pula, baru setahun jagung menulis sudah rasa ‘bengang’ apabila artikelku untuk majalah yang sama tidak tersiar). Apabila membuat perbandingan ini, barulah kembali warasku menerima hakikat yang perlu aku tahu.

* * * *
Aku ditanya tentang penulisan. Aku khabarkan bahawa beberapa penulisanku sudah tersiar. Aku sebutkan satu cerpen yang tersiar di sebuah akhbar (terpaksa dirahsiakan).
Lantas, dia bertanya “Dah buat claim?”
“BH bayar honorium juga?” aku macam tidak percaya.
“Ya, akan bayar. Tapi lambat sedikit kerana kamu penulis baru,” dia menceritakan pengalaman yang dilalui.
Maka melalui pengalaman itu, aku telah mengetahui cara-cara untuk memastikan bayaran honorium itu lebih cepat. Aku juga dimaklum bahawa karya yang tersiar (Cerpen dan puisi) tetap akan diberi honorium. Syukur.
Bagaimana? Beliau mencadangkan aku membuat salinan fotostat bagi kedua-dua karyaku yang telah tersiar. Kemudian memintaku menulis surat kepada pihak yang berkenaan. Menurutnya, oleh sebab nama penulis baru belum berada dalam sistem data bahagian kewangan, maka ia mengambil masa untuk dimasukkan.

* * * *
Sudah letih menaip.
Aku koma.
Mana bantal?
Di pejabat ini tiada bantal!

Jumaat, November 10, 2006

Mengertilah adikku.

AKU menyusur lorong kecil di tepi surau Kampung Ki. Sebelah jalan sana, kebun getah milik ibu, dkerjakan oleh seorang tua yang sudah bongkok-bongkok. Adam dan dua tiga orang kawannya berlarian riang di bawah terik mentari.
“Adam! Balik mandi,” jeritanku membuatkan Adam berhenti.
“Amen, aku balik dulu,” Adam memberitahu kawannya.

Beginilah kehidupan hari-hari lewat cuti sekolah. Aku pula berada di rumah buat sementara menghabiskan waktu cuti semester. Masih panjang cutiku – satu minggu. Menunggu Adam mandi dan bersiap-siap, aku merenung jendela dengan pandangan kosong. Adam yang masih galak dengan dunia kanak-kanak melompat-lompat tanpa tuala. Titis air dari badannya membasahi lantai kayu.
“Nah, lap badan Adam,” aku mencampak tuala kepada Adam.
“Adam, esok sekolah tak?”
“Sekolah,” Adam membalas.
“Kerja rumah dah siap?” Aku menyelidik lanjut.
“Belum. Nanti Adam buatlah.” Adam mencari akal bagi mengelak daripada dimarah.

Aku tanya Ani. Ani memaklumkan sudah beres. Aku tanya pula Anas. Anas geleng-geleng. Tanya Saidah, juga sama. Tanya Rafiah, dia diam mencuka.
Sudah beratus kali ayah dan ibu berleter. Leteran ibu kurang didengar, tetapi sekali ayah bersuara malah dehem ayah pun sudah difahami. Masing-masing cepat-cepat capai buku dan membaca. Jika terasa malas, dibuat-buat juga membaca. Pandai sungguh mereka berlakon. Aku pun naik bengang dengan sikap adik-adikku. Kadang-kadang ayah menyalahkan emak kerana tidak melarang mereka bermain-main. Emak pertahankan diri. Kata emak: sudah berbuih mulutnya menyuruh mereka membaca. Jika cakap emak tidak didengar, cakapku pun sementelahlah lagi. Aku masuk ke bilik bacaanku menyambung bacaan.

* * * * * * * *

Ayah pulang dari ladang. Deru enjin motorsikal buruk ayah kedengaran dari jalan bawah. Masing-masing masih leka. Ani, Anas, Saidah dan Rafiah masih girang bermain sambut-sambut tudung botol. Ayah mencabut kasut but yang panjangnya sampai ke lutut. Ayah tepuk-tepuk dan menonggeng kasut but. Dua tiga ekor pacat kekenyangan jatuh. Darah dari tempat gigitan pacat membasahi seluar lusuh ayah. Ayah kutip daun senduduk, ditenyehnya di tempat yang berdarah.

“Ani! Adam! Saidah! …… Anas!.....Rafiah! berhenti main. Ambik buku.” Ayah mengarah lambat-lambat. Lelahnya masih belum reda.
“Mari….mari duduk depan ayah.” Ayah melambai-lambai tangan kekarnya.
Ibu membawa sedulang air teh O dan sepinggan pisang goreng. Emak duduk melayan ayah.
“Ayah tidak pandai. Ayah tidak ada harta yang banyak. Ayah tidak mahu anak-anak ayah jadi susah macam ayah.” Kata ayah sebagai motivasi buat kami terus belajar.
“Hanya pelajaran yang dapat memberi jaminan buat kalian,” tambah ayah lagi.
Ayah amat menitikberatkan akademik kami. Biar bergolok gadai, biar habis gelang dan rantai emas ayah sanggup laburkan demi pendidikan kami.
“Jangan jadi macam ayah. Lihatlah. Kerja berat dengan tulang empat kerat. Gaji tidak seberapa.” Ayah tunjukkan parut di lengan. Parut itu tanda tujahan mata sabit yang patah ketika mengait kelapa sawit. Pedihnya hanya ayah seorang yang tahu. Ayah tuding pacat-pacat di atas tanah yang menggelumpur dalam abu. Ayah selak hujung kaki seluar, menunjukkan bekas gigitan pacat.

“Ayah sanggup gadai nyawa untuk besarkan kamu. Ayah bukan mengungkit. Ayah mahu kamu sedar, susahnya menjadi buruh ladang seperti ayah.” Aku tidak tidak dapat membendung air mata.

* * * * * * * *

Teramat pilu dan sedih mengenangkan pengorbanan ayah. Aku teringat cerita ayah tentang ular sawa di belukar. Suatu pagi ketika mengerjakan ladang, ayah terlangkah ular sawa. Syukur, ular sawa itu tidak menyedari kehadiran ayah. Aku teringat cerita ayah tentang tandan ‘gila’. Buah sawit seberat 30 kilogram menyusur jatuh meniti galah. Hampir-hampir menimpa ayah. Syukur ayah tangkas melompat dan mengelak. Aku terkenang cerita ayah bertukang di Empangan Kenyir. Demi wang lebih, ayah sanggup bertukang membina chalet terapung di kawasan peranginan itu. Kata ayah, ada kawan-kawannya yang hampir terperangkap air pusar. Air itu dipercayai berpenunggu. Aku ingat pula kisah ayah ditipu penjual komputer. Demi memastikan kami tidak buta teknologi, ayah berhabis ratusan ringgit untuk membeli komputer. Malang. Komputer tidak sampai, yang diterima hanyalah berpuluh kepingan cekera keras.

* * * * * * * *

“Jadi orang yang tidak pandai begitulah. Mudah diperbodohkan. Mudah ditipu. Mudah dipergunakan. Mudah dikerah macam lembu dicucuk hidung!” rona wajah ayah mula merah. Ayah juga sebak menyatakan semua kepahitan itu.
Aku tidak segan silu menangis teresak-esak di hadapan ayah dan adik-adik. Sungguh memilukan. Kasihan ayah. Adik-adik yang melihatku turut sama merembeskan air mata syahdu.
“Ayah! Kami minta maaf. Mak! Kami minta maaf.” Aku mendakap ibu seeratnya.
“Mak! Adam janji akan dengar cakap mak,” Adam peluk emak.
Aku mendapatkan ayah, menyalaminya dan memohon maaf daripada ayah. Adik-adikku yang lain turut serta. Kami tidak hiraukan lagi busuk peluh ayah. Kami tidak endahkan pakaian ayah yang sarat dengan asin peluh.

“Pelajaran itu penting nak,” ayah menyambung syarahnya.
“Kalau kamu tercicir, ayah bersalah pada kamu. Zaman sekarang tidak sama dengan zaman ayah,” aku dapati ayah sekali-kali tidak menyalahkan datuk dan nenek kerana keadaannya hari ini.
“Zaman ayah dan emak telah berlalu. Biarkan berlalu. Zaman anak-anak emak, semua orang kena pandai. Kalau bodoh, orang pandang sebelah mata.” Emak mencelah. Tangan lembut emak membelai rambut Adam.

* * * * * * * *

Sebelum pulang ke asrama, aku menulis catatan buat Adam.

Assalamualaikum,

Ke hadapan adikku Adam yang disayangi.
Seminggu lalu kita menangis dengan sendu keinsafan. Semoga air mata itu jadi saksi keikhlasan. Keikhlasan kita menyedari kealpaan kita selama ini. Dunia kanak-kanak memang menyeronokkan. Tidak salah jika Adam mahu menghayatinya. Tapi Adam perlu ingat, tiga bulan dari sekarang Adam akan menghadapi peperiksaan UPSR. Abang tahu, Adam tentu mempunyai alasan kononnya masa masih panjang. Pejam celik, pejam celik berlalulah waktu tiga bulan itu.
Abang berharap Adam mengerti. Hasrat dan harapan emak ayah untuk melihat Adam berjaya seperti abang. Abang juga seperti Adam. Degil dan periang. Setiap hari mahu berseronok, berlarian, bermain-main dengan kawan-kawan. Tetapi syukur, abang tidak terlalu leka dengan dunia itu. Abang disedarkan dengan cara yang sama seperti yang kita lalui tempoh hari. Maka abang berharap, detik itu menjadi titik mula buat Adam supaya bersungguh-sungguh mengulangkaji. Jangan berpuas hati dengan keputusan 3A 2B yang Adam dapat dalam peperiksaan dulu. Selepas ini Adam akan menghadapi peperiksaan percubaan, seterusnya peperiksaaan UPSR yang sebenar.
Abang doakan semoga Adam berjaya mendapat 5A. Jangan lupa banyakkan solat sunat hajat. Mengaji al-Quran selepas Subuh seperti biasa. Jangan lupa cium tangan emak dan ayah sebelum ke sekolah. Jangan lupa minta restu emak ayah sebelum menjawab soalan peperiksaan.

Yang benar,
Abang.


Aku melipat kemas surat itu. Kusisipkan dalam buku teks Sains milik Adam. Mudah-mudahan Adam mengerti.

---Sekian---

Tulisan ini membuatkan aku menitiskan air mata kehibaan. Sungguh! Aku kadang-kadang rasa bersalah pada ayah dan bonda tercinta.
Demi cinta buat ayah bonda, aku nukilkan sebagai bukti kenangan itu kejap, tak mungkin kulupa buat selama-lamanya.
Semoga aku diberi kekuatan oleh ILahi buat menaburbakti buat kalian, di hari-hari tuamu, ketika usia dan tanggungjawabku bertambah. Rabbi Yusahhil
!

Selasa, November 07, 2006

Respon


Menyorot pemikiran Ahadiat Akashah (Dewan Sastera, Oktober 2006, muka surat 43) tentang novel pop, beliau menukilkan sebagaimana berikut, “saya melihat ramai remaja yang bangga sambil membawa ke sana-sini novel saya dan tidak malu membaca novel Melayu. Setidak-tidaknya ini gula-gula awal untuk menanamkan ketagihan memabaca remaja! Pastinya suatu hari nanti mereka akan mencari pembacaan yang lebih baik, lebih berat, lebih berbentuk ilmiah atau kata lainnya lebih sastera.”

Sasterawan Negara (SN) Profesor Emeritus Dato’ Shahnon Ahmad merumuskan novel pop sebagai karya yang digarap serba pantas, serba langsung, dan serba menyeronokkan bagi mencapai matlamat penyudah yang menggembirakan atau happy-endingnya. Karya ini hanya membicarakan soal-soal cinta, mempertikaikan cinta penuh dengan aksi fizik dan penuh sensasi. (Dewan Sastera, Oktober 2006, muka surat 21). Persoalan nilai estetika dalam novel popular tidak dititikberatkan kerana tema naratifnya berkaitan cinta muda mudi yang sedang galak dengan zaman remaja. Novel popular digarap dalam bentuk yang bersahaja dan santai tanpa memaksa pembaca berfikir dengan kritis bagi merungkai sesuatu gagasan idea atau falsafah yang berat-berat dan serius.

Saya bersetuju dengan pandangan ini dengan syarat terdapat anjakan paradigma pembaca untuk menambah ilmu pengetahuan. Satu hal yang perlu difahami, apabila sesuatu perkara menjadi tabiat dalam kata lain sudah diserang ‘ketagihan’, adalah sukar untuk mengubahnya melainkan dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Secara psikologi, minat membaca dengan bertatih membaca bahan bacaan ringan amat dibimbangi akan menutup minda fikir pembaca untuk merobah selera pembacaan. Maka tidak hairanlah wacana minda yang berat-berat seperti yang dihadam dalam majalah MASSA misalnya tidak bertahan bagi tempoh yang lama. Sebaliknya, majalah-majalah hiburan yang membincangkan soal remeh temeh berkaitan dunia artis tumbuh dan berkembang dengan baik. Begitu juga nasib yang melanda dunia sastera khususnya genre novel.

Persetujuan saya selaras dengan perkembangan tahap pembacaan yang dialami. Saya tidak menafikan, bahawa proses pembacaan saya dalam bidang sastera juga bermula daripada pembacaan novel ringan atau popular. Persoalan yang dibincangkan dalam novel ini tentunya berkitar seputar soal-soal cinta remaja, tetapi bukan semua novel popular itu boleh dianggap sampah. Ada juga penulis-penulis novel popular yang mengangkat persoalan nilai dan falsafah kehidupan, atau mengungkap kajian-kajian serta naratif kehidupan yang serba kompleks. Cuma ciri-ciri kompleks itu tidak digarap dalam langgam penceritaan yang bertindih-tindih dengan stail sastera yang tinggi. Proses menghadam novel picisan ini juga tidaklah sukar, kerana jalan ceritanya mudah dijangka di samping tidak memerlukan kerahan minda untuk menafsir pemaknaan kandungan, jalan cerita atau mesej yang hendak disampaikan.

Saya tertarik dengan ulasan pembentang kertas kerja, Encik Mohamad Daud Mohamad dalam program Akademi Sastera Siber 2006 (ASS 2006) di Kota Bharu. Menurut beliau, pemaknaan terhadap sastera adalah perlu dengan penulis-penulis novel memberi penekanan dalam aspek kajian. Beliau memberi contoh naskhah The Memoir of Geisha yang dihasilkan setelah dikaji hampir sepuluh tahun tentang dunia Geisha di Jepun. Selain itu, beliau juga kagum dengan karya Ahadiat Akashah berjudul Rempit. Novel ini ditulis setelah penulis bergelumang dengan dunia Mat Rempit, menyelidik selok belok, permasalahan dan impak gejala rempit di Malaysia. Namun begitu, apakah olahan yang berterus-terang seperti ini baik untuk perkembangan minda anak-anak muda? Dari satu sudut, hal ini mungkin baik kerana memperlihatkan ketelitian dan keberanian penulis mengangkat tema rempit. Dari sudut yang lain pula, ia membawa pengaruh negatif apabila karya ini diangkat dalam bentuk filem adaptasi, yang memperlihatkan secara lebih dekat kebobrokan masyarakat. Sudah tentu, pembikinan filem akan menjadikan karya yang baik menjadi sebaliknya, kerana filem lebih mudah diikuti, lantas ramai pula yang akan terpengaruh untuk menyelami dunia rempit secara real.

Anjakan paradigma amat perlu bagi menjana dan mancanai minat membaca. Menukar selera daripada menekuni bahan bacaan ringan kepada yang berat dan sarat dengan falsafah sebenarnya sukar. Hanya kesedaran pembaca untuk mencari sesuatu di sebalik pembacaan boleh mengubah anjakan paradigma ini. Bahan bacaan yang berat memerlukan kerahan otak, tentunya meletihkan. Idea-idea yang dipersembahkan kadang-kadang meyukarkan pembaca untuk memahaminya tidak seperti bahan bacaan ringan yang bersifat ‘selapis’, tidak ‘sesak’ dengan fakta, dan kurang keperluan analisis pembaca. Membaca karya yang berat memerlukan kesabaran dan kesungguhan kerana darjah ‘kesantaian’ yang rendah. Hal ini jauh berbeza apabila menatap bahan bacaan ringan. Mandala minda pembaca tidak disuguhkan dengan kerahan untuk mentakwil atau merungkai persoalan yang bersimpang-siur sifatnya.

Anjakan Paradigma.

Tinjauan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tentang permasalahan membaca telah didokumentasikan (Dewan Masyarakat, September 1998, muka surat 15). Tiga faktor utama yang dinyatakan ialah:
1. Tradisi membaca belum wujud. Membaca belum dibudayakan dalam masyarakat.
2. Media elektronik mencabar pemusatan fikiran anggota masyarakat untuk membaca.
3. Sikap sambil lewa terhadap aspek pembacaan yang memerlukan kesabaran dan penelitian.


Membaca dalam Islam berkait rapat dengan proses pencarian ilmu. Kepentingan membaca amat ditekankan di dalam Islam. Sebagai bukti, wahyu pertama di dalam Al-Quran bermula dengan kalimah iqra’ yang bermaksud bacalah. Membaca amat sinonim dengan proses pembelajaran. Melalui pembacaan, seseorang memperoleh maklumat untuk ditapis sebagai pengetahuan, kemudian diperhalusi dalam bentuk ilmu apabila diselidiki dihayati dan dipraktikkan dalam kehidupan. Tidak semua yang dibaca akan menjadi ilmu, sebaliknya kekal sebagai pengetahuan. Maka tidaklah salah sekiranya kita menjadi warga yang kaya dengan pengetahuan atau informasi selaras dengan hasrat membina masyarakat berminda kelas pertama.

Jika di dalam konteks makanan, kita diperintahkan untuk mencari yang halal dan berlualiti. Begitu juga halnya dengan pembacaan. Ilmu daripada pembacaan merupakan salah satu juzuk rezeki kepada manusia. Rezeki yang maha luas, tidak diskrit dalam ruang lingkup harta benda, pakaian, dan makan minum sahaja, malah merangkumi ilham, ilmu dan hikmah. Perkara yang dibaca akan mempengaruhi pemikiran seseorang. Hal ini menunjukkan peri pentingnya pemilihan bahan bacaan yang bermutu. Bukanlah bermakna kita tidak perlu membaca bahan bacaan ringan, tetapi jadikanlah bahan seperti itu sebagai selingan dalam tabiat membaca ketika memberi prioriti terhadap bahan bacaan berat.

Justeru kita juga dituntut untuk mencari bahan bacaan yang baik dan berkualiti untuk perkembangan minda. Senario yang melanda minda pembaca khususnya di Malaysia amat membimbangkan. Penerbit-penerbit buku lebih gemar memfokuskan bahan bacaan ringan yang menyeronokkan. Tidak hairanlah, majalah hiburan dan pornografi lebih banyak dan laku berbanding dengan majalah ilmiah. Anjakan paradigma sangat penting sebagai momentum kesedaran khalayak pembaca untuk menentukan bahan bacaan yang perlu dibaca selaras dengan cita-cita pembangunan modal insan dalam kerangka Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Penerbit buku dan majalah juga perlu menilai tanggungjawab sosial mereka dengan tidak terlalu ghairah mencari keuntungan di sebalik senario pembacaan rakyat Malaysia.

Jumaat, Oktober 20, 2006

Terlelap


Pabila terlelap,
Dinihari, kata orang-orang tua waktu begini amat bagus. Ketika ini keheningan malam dipenuhi seribu satu rahmat. Rahmat pertama tentunya dengan jaminan Allah, “dan dari sebahagian malam (bangunlah), maka bertahajjudlah dengan mengerjakan solat nafil; mudah-mudahan Tuhanmu akan membangkit dan menempatkanmu di tempat yang terpuji.” (1)



Rahmat kedua, pula jika mahu berfikir sepertiku yang kadang-kadang boleh menerima hakikat kebaikan sesuatu melalui bukti saintifik; ‘kandungan oksigen tepu. Molekul-molekul udara lebih padat (mana statistiknya?). Amaun ini amat baik untuk perkembangan dan kesihatan minda. Selain otot-otot digerakkan dengan berdiri lurus, rukuk dan sujud, menghala muka ke kanan dan kiri ketika salam, melipat jari-jari kaki ketika duduk di antara dua sujud serta pergerakan di antara peralihan rukun-rukun fikli, semua ini menjadi senaman ringan yang mencergaskan otot-otot. Maka cukuplah lapan rakaat tahajjud setiap malam sebagai rutin harian. Tidak perlu lagi bersenaman berat-berat lebih-lebih lagi ketidakadaaan masa untuk bersenam di luar, kerana kesibukan kerja atau belajar.’

Pabila terlelap,

Tiba-tiba sahaja, di belakangku terdapat sambutan ‘Amiin’ dek kerana makmum menyangkaku mengakhiri ayat ketujuh surah as-sab’ul matsani(2). Barangkali ketika itu, makmun di sebelahnya turut perasan bahawa sahabat di sebelahnya terlelap dalam keadaan qiyam itu. Masakan tidak! Ayat 198 surah al-Baqarah itu sama kalimah akhirnya dengan kalimah yang biasa didengarnya di dalam surah pembuka al-Quran. Siapakah golongan ini? Itulah Yahudi! Bangsa yang mengaku mereka bangsa pilihan. Itulah Yahudi! Bangsa yang percaya tentang Haikal, yang mahu menguasai Baitul Maqdis. Itulah Yahudi! Bangsa yang biadap, tidak pernah berpegang pada janji. Itulah Yahudi! Bangsa yang tiada dalam kamus kehidupan mereka perdamaian. Itulah Yahudi! Bangsa yang melanggar dan merobek berpuluh-puluh janji damai. Itulah Yahudi! Bangsa yang sentiasa rasa terancam sehingga mahu menghapus secara total kemungkinan ancaman yang wujud. Itulah Yahudi! Bangsa yang kuat dengan kapitalisme, semua keuntungan digembeling secara total, kalau boleh udara yang disedut pun mahu diperniagakan!

Pabila terlelap.

Keletihan kadang-kadang mempengaruhi pengaruh dan tindak balas otak di bawah sedar. Entah mengapa, keletihan amat menguasai diriku pagi dinihari ini. Sedang dua tiga malam sebelumnya, aku tidak begini. Sedang asyik dengan zuk (zauq) menghadapi dan membaca kalam suci Tuhan, tiba-tiba aku terhenti seketika(3). Layar maya helaian mushaf Uthmani yang seolah-oleh terpadang olehku di balik retina menghilang. Diganti pula satah putih yang kosong, seperti putihnya kertas yang masih elok tanpa sebarang coretan di atasnya. Argh! Aku mengulangi mula ayatnya, tetapi tidak bisa ditemukan kalimah seterusnya. Syukur, makmun berbangsa Arab yang kuharap dapat membantu mengingatkanku. Syukur! Lantas disambung lagi bacaan sehingga usai solat sunat dinihari itu. Jika tadi dia terlelap, bantuannya tadi menjadi back-up untukku. Dia tidak lelap lagi. Jelaslah, dalam melakukan sesuatu perkara, konsentrasi yang tinggi, ketenangan, dan kesegaran minda banyak membantu melancarkan apa-apa sahaja terutama yang perlu dilakukan dengan bantuan minda.



Nota kaki.

1. ayat 79, surah al-Isra’.

2. nama lain bagi surah al-Fatihah yang bermaksud tujuh ayat yang diulang-ulang, kerna dalam sehari semalam kita akan membaca sekurang-kurangnya 17 kali surah ini pabila solat fardhu yang sempurna dilakukan.

3. Sesaat yang terlelap itu semacam skrin monitor PC yang gelap secara mendadak akibat keputusan arus elektrik. Inilah yang dikatakan lelap dalam sedar, barangkali!



* Saya juga mungkin seorang yang sarkastik dan skpetikal terhadap angka-angka bagi memperlihatkan statistik yang tepat, seperti kata Datuk Johan Jaafar dalam BM minggu ini, ‘penulis kita kebanyakannya tidak suka angka-angka’.





SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA.

BLOG INI BERCUTI RAYA, SAYA PULANG KE TERENGGANU

PADA 20 OKT. 2006 SELEPAS SOLAT JUMAAT.



OH PERJALANAN YANG JAUH SEKALI LAGI .....

(MENUMPANG KERETA KAWAN),

NIBONG TEBAL-KL-KUANTAN-KUALA TERENGGANU-KUALA BERANG-RUMAH SAYA BERALAMAT 137 FELCRA BUKIT KAPAH, KUALA BERANG. JEMPUT KE RUMAH.

RUMAH TERBUKA HANYA PADA HARI RAYA PERTAMA DAN KEDUA.




Isnin, Oktober 16, 2006

Sudah sejauh ini.......

Semalam, 15 Oktober 2006.
Berbuka puasa di masjid Daerah Barat Daya, di Balik Pulau sempena Program Tadarus Al-Quran Rakan Muda, anjuran Kementerian Belia dan Sukan. Kami bertolak ke USM Minden (kampus induk) seusai solat fardhu Maghrib. Perjalanan dari balik Pulau ke USM kampus induk kira-kira 40 minit. Kebetulan semalam, imam dari Arab Saudi mengimami solat sunat Taraweh, tetapi tidak membawa lahjah Arab seperti mana Sheikh said Al-Ghamidi, Sudais, Misyari, atau Sheikh Jibril. Dia membaca secara biasa-biasa sahaja. Dan pembawaan solat itu juga tidak seperti mana biasa dibuat di Malaysia kerana tidak disusuli selawat dan doa (bagi setiap empat rakaat).

Semalam juga, adikku memaklumkan bahawa terdapat dua cek honorium sedang menungguku. Syukur, itulah aku kira hadiah tambahan untuk hari raya tahun ini. Dan itulah sebabnya yang menjadikan saya tegar dan konsisten menulis dan menulis, kerana menulis juga salah satu saluran untuk mendapatkan wang. Jika anda berminat, boleh juga membaca buku “Buat Duit dengan Menulis” terbitan PTS. Saya mendapat suntikan semangat dan idea yang bagus melalui pembacaan ini, dan mengaplikasikannya dalam penulisan. Buku ini membincangkan teknik penulisan rencana, atau penulisan dalam kategori non-kreatif.

Setelah lebih dariapada setahun menulis, saya rasa bertuah kerana mempunyai seorang sahabat yang cenderung dalam bidang penulisan. Sahabat saya ini telah menjadikan saya sebagai proof reader bagi penulisan beliau, di samping membetulkan aspek tatabahasa. Sebenarnya inilah yang menjadikan seseorang itu bermanfaat kepada orang lain kerana di samping mendapat kebaikan untuk dirinya, dia boleh pula menolong orang lain. Dan doakan juga buat saya, agar tiga naskhah penulisan saya yang terbaru (dua penulisan kreatif termasuk untuk sayembara penulisan cerpen DBP, dan satu artikel non-kreatif). Saya percaya, ada di kalangan pembaca blog saya ini dimakbilkan doanya, lebih-lebih doa itu dirafakkan dalam keadaan saya tidak mengetahuinya. Itulah puncak keikhlasan dalam doa anda buat saya.

Hingga saat ini, saya sudah menulis hampir 70 artikel yang sudah diterbitkan untuk tatapan umum. 30% sudah dibayar kerana memang disasarkan untuk penerbitan yang berbayar, manakala 70% adalah tulisan dalam bentuk khidmat sosial. Selain itu lima artikel akan terbit dalam buku kompilasi blogger berjudul Jiwa Kacau 2, dua buah puisi dalam Antologi Puisi Melayu-Rusia bersama e-sastera dot com, dan tiga buah cerpen untuk antologi cerpen terbitan Kumpulan Cerdik. Semua ini bermula secara serius apabila saya memenangi tempat pertama Pertandingan Menulis Esei Dewan Kosmik - SIRIM pada tahun 2005.

Oh....sudah sejauh ini perjalanan penulisanku!

Jumaat, Oktober 13, 2006

Bersinarkah hari esok?


Dalam bulan Ogos 2006, saya menulis karya berkitar peristiwa pengislaman seorang pelajar Cina di sebuah universiti. Isu pluralisme menjadi pokok persoalan selain asas dalam pegangan beragama. Dan karya kreatif yang tersiar di dalam akhbar Berita Minggu itu adalah sebahagian daripada usaha kecil saya menyampaikan dakwah kepada orang-orang bukan Islam, di samping menyedarkan khalayak pembaca terhadap isu pularisme. (Sila baca cerpen Selamat Datang Lin Yuang, di laman sesawang e-sasterawan. Karya ini diletakkan di bahagian bawah weblog e-sasterawan tersebut.). Sehingga tulisan ini ditaip, laman sesawang esasterawan masih lagi tergendala untuk proses penaiktarafan.

Mungkin selama ini kita jarang terfikir untuk menulis sesuatu untuk ditujukan kepada orang-orang bukan Islam, dalam kata lain mengajak mereka kepada Islam. Perkara ini tercetus apabila saya mengikuti Seminar Dakwah Kepada Non-Muslim anjuran Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM) cawangan Pulau Pinang di USM Pulau Pinang (kampus induk) pada tahun 2005. Selepas daripada peristiwa ini, saya ada berbahas dengan seorang pelajar sepusat pengajian tentang konsep trinity. Kawan saya yang seorang ini beragama Kristian Protestan, tetapi dia amat berbangga kerana tidak pernah makan daging babi. Malangnya, perdebatan kami dalam sesi chatting itu berakhir dengan kejemuan beliau apabila saya sudah mula menimbulkan keraguan tentang konsep trinity yang dipegangnya. Dia pening dan lantas menyepi tanpa mahu menyambung perdebatan. Syukur, perdebatan itu saya diberi kekuatan kerana kami menggunakan bahasa Inggeris.

--------
Hari ini aku ingin menulis lagi. Warkah ini kutujukan kepada seorang Athies, pensyarah Cina yang tidak percaya Tuhan. Ibu dan bapanya di rumah berbeza agama, seorang beragama Buddha, dan seorang Kristian. Jika di Malaysia, kesan Pancasila Sukarno di Indonesia hanya jelas berlaku dalam keluarga yang bukan Islam. Tetapi kita melihat kebimbangan serang halus yang berlaku memunginkan akan berlaku revolusi agama di Malaysia. Bahan-bahan bakar pancasila sudah dikumpulkan, menunggu masa berlaku cetusan api sahaja. Minta dijauhkan Allah daripada berlaku kecelaruan ini di Malaysia.


Saudaraku seinsan,
Kita berasal dari suli datuk moyang yang sama. Dari Nur Muhammad, Tuhan semesta telah menjadikan malaikat, kemudian dijadikan manusia bernama Adam di syurga. Kemudian Adam yang dicipta daripada tanah, telah dipertontonkan kepada jin yang dicipta daripada api. Perkhabaran tentang manusia sudah lama diketahui oleh jin-jin ini. Yang tertinggi di kalangan mereka ialah Azazil. Ketua segala jin dan malaikat. Kebimbangan mereka bertambah, tatkala dikhabarkan suatu ketika aka nada di kalangan mereka yang derhaka kepada perintah Allah, Tuhan semesta alam. Lalu bermohonlah semua pengikut Azazil agar didoakan kepada Tuhan, supaya mereka tidak tergolong dalam kalangan penderhaka. Azazil memohon doa, tetapi lupa dirinya sendiri.

Saudara seinsan,
Ketika ditiupkan roh ke sosok tubuh Adam, tubuh kaku yang dicipta daripada tanah liat itu sedikit demi sedikit bergerak-gerak. Ketika roh itu terlekat di hidungnya, terjadi refleksi spontan lalu bersinlah Adam. Sejurus itu beliau memuji Allah dengan kalam kesyukuran, al-Hamdulillah yang bermakna segala pujian bagi Allah. Aku mahu sedarkan kepadamu, bahawa kita diciptakan oleh Tuhan yang maha mencipta. Bahawa penciptaan kita sebagai manusia bukan mainan, bukan sia-sia. Andai tiada Tuhan, khabarkan kepadaku siapakah yang menjadikan kamu? Apakah kamu berevolusi seperti karut Darwinisme? Sungguh! Hinanya manusia jika bertukar dan berubah bentuk secara berperingkat daripada seekor monyet. Dan jika pun makhluk manusia berevolusi daripada makhluk lain, maka mahkluk lain itu diciptakan oleh siapa pula? Tidakkah tiap-tiap sesuatu itu ada penciptanya? Seperti kereta yang meluncur deras, seperti kapal terbang yang membelah angkasa, seperti kapal layar yang gagah mengharung samudera, seperti mesin yang diberikan kebijakan untuk menguruskan hal-hal yang rumit, seperti komputer yang berselirat dengan analog dan digit, seperti menara tinggi yang sayup mencengkau langit, seperti ikan lumba yang bijak dijinakkan dan sejuta macam makhluk lagi.

Saudara seinsan,
Kejamnya aku. Terus-terus memperkenalkan kamu dengan Tuhanku yang satu. Mengapa? Aku selaku Muslim perlu mengkhabarkan kepadamu, bahawa aku tidak mahu mensyirikkan Allah, Tuhanku, Tuhanmu dan Tuhan alam semesta. Tahukah kamu? Setiap orang diberikan fitrah insani, rasa bertuhan. Kalam suci Tuhanku dalam kitab Quran yang aku baca, apabila manusia diuji dengan kesusahan dan kecelakaan, akan terbetik di hati kecilnya akan Tuhan! Lantas hati mereka akan membisikkan ‘Oh Tuhan!’. Demikian halnya apabila ditanyakan kepada orang-orang yang tidak mengimani Tuhan semesta alam, mereka tahu Allah yang menjadikan alam. Tetapi sedikit yang beriman. Mempercayai dan meyakini.

Saudara seinsan,
Lantas, engkau akan menyalahiku dan orang-orang seagamaku, kerana kami ralat untuk menyampaikan khabar gembira berkaitan Islam. Aku bimbang, andai di hari kiamat engkau menuding jari ke arahku sambil menyalahkan aku kerana tidak menyerumu kepada Islam. Aku amat gusar, sekiranya langkahanku ke syurga tersekat kerana tuntutanmu di hadapan pengadilan Tuhan di padang Mahsyar nanti. Sebelum semua kemungkinan itu berlaku, aku terlebih dahulu menawarkan kepada kamu Islam. Agama suci yang dibawa oleh pembawa rahmat seluruh alam, nabi akhir zaman bernama Muhammad bin Abdullah. Nabi yang diutuskan selepas nabi Isa, yang menurut kata bapamu sebagai Jesus. Aku menawarkan kepadamu Islam, agama kesejahteraan, yang bebas dari anasir ganas dan melampau. Inilah agama fitrah yang sesuai dengan jiwa manusia di dunia ketika hidup dan di akhirat selepas meningglkan dunia fana ini.

Saudara seinsan,
Aku tidak mahu berbangga dengan Melayu, bangsa yang dimomokkan sebagai Islam atau Islam itu hanya untuk Melayu. Sahabat nabi Muhammad, bernama Saad bin Abi Waqash pernah diutuskan ke China. Tanah besar China merupakan leluhur bangsamu yang melimpah ruah manusianya ke sebelah benua Asia ini. Pada tahun 1409, Maharaja Meng telah menghantar Sembilan armada mengelilingi dunia. Laksamana Cheng Ho yang dikenal dalam sejarah, seperti yang kita pelajari ketika tingkatan satu dahulu sebenarnya bernama Muhammad Mustapha Cheng Ho. Beliau mengetuai delegasi besar menuju ke Melaka. Paramewara, maharaja Melayu yang memerintah Melaka pada ketika itu masih belum menemui sinar Islam. Laksamana Muhammad Mustapha Cheng Ho menjadi tetamu Parameswara sambil tidak lupa menyampaikan Islam kepada mereka. Itulah urusan sampingan selain perdagangan yang dilakukan oleh mereka. Dua tahun kemudian, apabila seruan dakwah menjadi marak, terbukalah hati Parameswara untuk menerima Islam. Baginda memilih nama Sultan Mahmud Iskandar Shah, dan berbondong-bondonglah pula orang Melayu memeluk Islam. Maka terjawab sudah, bahawa Islam bukan diistimewakan untuk bangsa Melayu sahaja. Rentetan itu, 1411 sehingga sekarang, kami menerima Islam sebagai agama.

Suadara seinsan,
Jika saudara mahu, cubalah belek buku sejarah Islam di Tanah Besar China. Budaya, senibina, adat dan kehidupan orang-orang Cina tidak dikesampingkan. Islam menerima semua adat dan unsur kehidupan selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam. Mereka bebas memakai Cheongsam, menggunakan stik ketika makan, menyambut Tahun Baru Cina dan lain-lain yang bertepatan dengan kehendak Islam. Lihatlah Guang Zhou. Sinar Islam terang menerangi daerah permukiman manusia bebangsamu, mereka masih kekal dengan tradisi dan identiti bangsa Cina. Satu hal yang merungsingkan kamu, tentunya berkaitan nama. Oh! Jangan gusar, namamu boleh sahaja dikekalkan jika tidak mahu menggunakan nama-nama kearaban atau kemelayuan. Seperti Ann Wang Seng mengekalkan nama asalnya apabila memilih Islam. Kamu mungkin belum kenal Ann Wang Seng, tetapi dialah salah seorang daripada ribuan orang-orang Cina yang memilih Islam sebagai agama di bumi bertuah ini. Kamu boleh sahaja dikenali dengan nama asalmu Thye Ee Lee.

Saudara seinsan,
Warkah ini sarat dengan harapan. Seperti harapanmu kepinginkan rasa bertuhan. Sedari awal aku telah pecahkan tembok kepercayaan tidak bertuhanmu kepada keyakinan bahawa Tuhan itu wujud. Kemudian aku lantas melompat ke dalam asas ketuhanan dalam Islam. Aku semacam tergesa-gesa memperkenalkan kamu kepada Islam dan sedikit sejarah kedatangannya ke Malaysia ini. Aku memohon maaf, kerana inilah yang termampu aku ceritakan buat ketika ini. Jika seleramu sudah terbuka, aku akan hidangkan lagi santapan roh yang lebih lazat kepadamu pada masa hadapan. Aku juga mahu kamu mempelajari sesuatu daripada pengalaman orang lain sepertimu. Aku hadiahkan bersama-sama warkah ini sebuah buku berjudul ‘Mengapa Saya Memilih Islam’ buat renunganmu. Moga-moga keazamanmu untuk mengenal Islam akan bersemarak dengan motivasi pengislaman mereka.


Kulipat warkah yang ditulis kemas, lalu disisipkan di dalam bungkusan berwarna coklat untuk diposkan. Thye Ee Lee sedang bercuti sambil belajar di Universiti Leeds pernah menyatakan hasratnya untuk mengenal Islam kepadaku. Jika bukan sekarang, bila lagi. Dan jika bukan aku yang berusaha mengajaknya, siapa lagi? Dia akan pulang tiga bulan lagi, semoga kan terbuka hatinya menerima gemerlap sinar Ilahi. Aku mahu membawanya menemui Unit Dakwah Darul Syifa, untuk menerangkannya Islam dengan lebih baik. Apakah kan ada sinar buat hari esok?

Isnin, Oktober 09, 2006

Jalan-jalan.


6 Okt. 2006.

Bertolak dari Taman Selesa pada jam 7.30 pagi. Tiba di premis firma Kumpulan Belton Sdn. Bhd pada jam 9.30 pagi Sungai Siput Utara. Pelajar yang membuat latihan industri di sini kebetulannya mengambil cuti. Maka kami hanya berbual-bual dengan Jurutera Kualiti (QA Eng.) yang bertindak sebagai penyelia pelajar tersebut di situ.

Kumpulan Belton menghasilkan peralatan mekanikal dan membekal peralatan tersebut kepada syarikat kereta terkemuka seperti Honda, Daihatsu, Nissan, Hyundai, NAZA, Modenas, dan lain-lain.

Kemudian, kami bertolak ke EDS Electronic Sdn. Bhd di Bota dan tiba pada jam 11.30 pagi. Kilang elektronik yang menghasilkan cip ini terletak jauh di kawasan yang strategik di Bota. Memiliki 700 orang pekerja, mempunyai empat jabatan dan setiap jabatan mempunyai 60 orang jurutera. Kilang ini menghasilkan mikroprosesor dan mikrocip yang dieksport ke Jepun, Taiwan, Singapura, dan China. Menariknya, kami perlu menanggalkan kasut, sebelum masuk ke ruang tamu pejabat dan memakai selipar khas yang ditetapkan. Begitu juga pekerja-pekerja syarikat ini.

Kemudian kami berjumaat di Universiti Petronas, (UTP) di Tronoh.

Siapa kami tidak penting, kerana saya menjaga hak privacy sahabat-sahabat saya. Maka mereka tidak akan dinyatakan dalam tulisan mahu pun dalam gambar.

Khamis, Oktober 05, 2006

Sampai bila kita mahu diperbodohkan?


Di awal puasa dahulu, seorang rakan kecoh mempertahankan usulnya bahawa Mee Maggie tidak boleh dimakan walaupun ada tanda halal. Gesaan itu selaras dengan kenyataan CAP dalam buku Halal Haram yang diterbitkannya tahun lalu.

Maka saya memang sejak awal lagi tidak makan Mee Maggie kerana berpantang kepada makanan-makanan seperti ini selain daripada air minumam berkarbonat dan segala macam cekedih. Cekedih itu bahasa dialek Terengganu dan Kelantan yang bermaksud makanan ringan, yang berencah macam Twisties dan yang seumpamanya. Saya juga berpantang daripada mengambil burger selepas hebohnya cerita tentang status halal makanan segera itu. Dan saya juga sudah lama memboikot kedai makanan segera seperti KFC, McD, Marrybrown dan yang seumpamanya. Hal ini tidak lain, kerana penting kepada minda dan hati orang seperti saya.

Maka timbullah idea seorang sahabat untuk meyakinkan orang yang bertentangan pendapat dengannya. Beliau mengambil pek Mee Maggie dan membuat penyemakan status halal di hompej JAKIM. Alangkah terkejutnya! Keputusan menunjukkan bahaya produk dengan kod bar yang tercatat pada pek pembungkus Mee Maggie adalah KOD BAR bagi makanan ringan SMARTIES Crushed 4 x 2kg MY. MY di belakang adalah piawai pengenalan negara iaitu Malaysia. Apakah data JAKIM salah dan mereka tidak menyedarinya atau bagaimana? Lihat bukti di atas.

Rabu, Oktober 04, 2006

Lumut Melambai-lambai.

Subuh 4 Oktober 2006.
Solat Subuh ditunaikan di masjid Permatang Tok Mahat, kebetulan sepanjang Ramadhan ini, kuliah Subuh diadakan selepas solat sehingga jam 0700. Penceramah membicarakan tajuk Lailatul Qadar.

Sebelum itu disentuh juga sunnah nabi iaitu mandi di antara Maghrib dan Isyak. Jumhur ulama bersepakat bahawa, mandi selepas Asar pada bulan Ramadhan hukumnya makruh.

Imam Mujahid rahimahullah berkata, 'suatu hari nabi Muhammad S.A.W menceritakan kehebatan jihad seorang bani Israel selama 1000 bulan. Maka sahabat menjadi takjub kepada kehebatan jihad itu. Lalu turunlah surah Al-Qadri'.

Dari Imam Ad-Dailami dari Anas bin Malik radiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa nabi Muhammad S.A.W bersabda, “Sesungguhnya Allah Ta’ala telah mengurniakan kepada umatku Lailatul Qadar dan ia tidak pernah dikurnian kepada umat sebelum kamu.”

Hebatnya lailatul Qadar, ganjarannya lebih baik daripada 1000 bulan, iaitu 83 tahun 4 bulan. Bayangkan jika seseorang itu umurnya secara purata 60 tahun, dan mula melakukan ibadat selama 35 tahun (dikira bermula umur 15 tahun, umur mukallaf), dia berpeluang bertemu 35 kali lailatul Qadar. Andai setiap tahun, dia mendapat lailatul Qadar, maka ganjaran di sisi Allah untuk malam mulia itu sahaja menjadi ibadah seolah-olah dilakukan selama lebih daripada 35 000 bulan! Atau lebih daripada 1458 tahun tiga bulan. Betapa itulah kehebatan umat akhir zaman.

Akhir kuliah, penceramah menjual buku LAILATUL QADAR, AMALAN & CARA SALAFUSSOLEH MEMPEROLEHINYA dengan harga RM10.00. Buku ini diterbitkan oleh Madrasah Zubaidiyah, Merbok, Kedah. Hanya taipan ayat empat surah Ad-Dukhan pada muka surat 22, ditaip salah dari kiri ke kanan. Isi kandungan yang lain semuanya ok.

Jumaat hingga Ahad, majlis Tilawah Al-Quran Antara Desasiswa USM akan berlangsung di perkarangan Pusat Islam. Manakala seorang yang dipanggil NAIM di Pusat Islam akan bertolak ke Lumut selepas selesai solat Subuh 6 Oktober. Tidak sempatlah saya mendengar khutbah Jumaat  di Pusat Islam. Saya akan bersama-sama pelajar Universiti Kuala Lumpur Malaysia Spanish Institute (UniKL MSI) selama tiga hari.

Jumaat, September 29, 2006

Setelah lima hari berpuasa....

Beberapa hari lalu, saya menyiapkan satu artikel bertajuk Cabaran Hamlatul Quran. Artikel yang membincangkan perkara yang menjadikan seorang penghafal al-Quran sangat teliti. Seperti ketelitian seorang pengukir, seorang penghafal al-Quran perlu teliti mengenalpasti perbezaan kecil yang terdapat di dalam ayat al-Quran.

Hampir seminggu melaksanakan ibadah puasa, beberapa perkara sudah berlangsung. Bermula pelancaran aktiviti Ramadhan dan sumbangan kepada fakir miskin (Hilal Ramadhan) pada 23 Sept. 2006. Diikuti pelancaran Kempen Bi’ah Solahah pada 28 Sept. 2006. Dan beberapa acara lagi bakal menyusul seperti majlis Tilawah Al-Quran peringkat Desasiswa USM, sambutan Nuzul Quran dan Majlis Meraikan Anak-anak Yatim, dan akhir sekali Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Selain itu kaunter pembayaran zakat fitrah sudah dibuka. Kadar yang ditetapkan oleh PUZ Pulau Pinang ialah RM4.70 seorang. Pembayaran boleh dibuat melalui amil-amil yang bertauliah. 

Mantik Bulan Puasa. (Peristiwa: Membayar zakat).

Saya mendapat tauliah Amil zakat.
Saya dilantik oleh PUZ Pulau Pinang.
Maka saya boleh menerima bayaran zakat.

“Selamat Menunaikan Kefardhuan Zakat. Zakat membersihkan harta anda.”

Selasa, September 26, 2006

Ramadhan: mampukah kita?


Firman Allah yang bermaksud, “Bulan Ramadhan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran, sebagai petunjuk kepada manusia dan menerangkan petunjuk dan pembeza di antara yang hak dan batil (al-Furqan)…” (185: al-Baqarah)

Individu muslim dilihat daripada zahir. Luaran ini menjadi justifikasi bagi orang lain menilai keislaman dan Islam itu sendiri. Suasana hari ini, manusia menilai sesuatu berpandukan pelakunya. Begitu juga Islam, agama suci ini kebanyakannya dinilai dengan melihat kelibat manusia yang membawa Islam sebagai anutannya. Lebih malang lagi, penilaian itu diberatkan kepada hal-hal yang negatif melebihi yang positif. Perkara ini sebenarnya biasa, kerana yang buruk inilah perlu diberi perhatian untuk diperbaiki.

Dewasa ini, kita menyaksikan ketidaksiuman sosial yang melanda budaya timur. Orang-orang timur yang sinonim dengan akhlak yang terpuji, nilai estetik dan sopan santun semacam sudah dirobek budaya liar. Gejala sosial yang melanda umat Islam kini amat membimbangkan. Pertembungan nilai barat dan timur telah menyebabkan akulturasi dalam keadaan umat Islam tidak mempertahankan keaslian budaya mereka. Sebagai akibatnya, umat Islam lebih berbangga untuk berbudaya barat yang dimomokkan sebagai kemodenan. Mengejar kemodenan yang membuta tuli itu telah melenyapkan jati diri muslim secara halus tanpa disedari.

Hidangan-hidangan lazat berupa program hiburan sudah menenggelamkan kebanyakan umat Islam dalam lautan budaya hedonis. Kerancakan program realiti TV berorientasikan hiburan amat ketara. Bahan bacaan berkaitan gosip artis dan dunia hiburan lebih diminati berbanding dengan bahan bacaan ilmiah yang berat. Pembikinan filem kita juga sudah sehaluan dengan filem barat yang menghidangkan aksi-aksi panas yang mengghairahkan. Malah lambakan filem Hollywood, Bollywood, Korea, Mexico dan Indonesia juga telah merevolusikan pemikiran pembikin filem kita untuk menghasilkan filem-filem seperti itu.

Hedonisme secara falsafahnya ialah apa sahaja yang menyeronokkan. Hidup untuk berseronok dan berseronok dalam hidup. Fahaman ini dicanang oleh musuh-musuh Islam agar umat Islam leka. Kelekaan itu menjadikan umat Islam kurang memberikan perhatian kepada soal agama. Umat Islam menjadi tawar hati untuk menterjemahkan kehidupan sebagai muslim. Bagi mereka, Islam hanya diamalkan dalam juzuk tertentu yang terkandung di dalam rukun Islam. Selebihnya, kehidupan mereka tidak berkaitan dengan Islam. Maka bertepuklah musuh Islam menyambut kemenangan mereka ke atas umat Islam.

Kesan daripada penjarahan minda ini;

1. Remaja-remaja Islam lebih gemar membaca bahan bacaan picisan yang berkaitan dunia hiburan. Terdapat lebih daripada 50 buah majalah hiburan di Malaysia!
2. Menurut kajian pakar motivasi, Dato’ Fadhilah Kamsah kira-kira 80% remaja Islam tidak solat.
3. Putera UMNO telah berjaya mengumpulkan 8000 orang Mat Rempit (termasuklah beratus-ratus orang minah rempit) dalam program kembara di Teluk Batik. Program Kembara itu menyebabkan orang-orang Melayu yang punya sensitivi Islam yang tinggi tidak berpuas hati dengan cara pengisiannya. Ia lebih membawa banyak kesan negatif daripada yang positif.
4. Filem-filem Malaysia sudah bersifat global yang memenuhi piawaian antarabangsa terutama dalam aksi ranjang. Filem-filem seperti Gubra, Sepet, Rempit, dan drama Janji Diana sudah berani mengangkat tema panas itu tanpa segan silu artis Melayu yang melakonkannya. (Awas! Anda dinasihatkan tidak menonton filem ini. Jika anda menonton filem-filem ini, saya tidak bertanggungjawab. Saya nyatakan mengikut maklumat yang diperoleh sahaja tanpa menontonnya).
5. Ibu bapa menggalakkan anak mereka menyertai program realiti TV berorientasi hiburan kerana program ini telah terbukti mampu menjadikan anak-anak mereka jutawan segera. Alangkah eloknya, seandainya terdapat program perintis saintis (Scientist’s Apparentic)** dilaksanakan. Jika dalam masa setahun, program ini menghasilkan sekumpulan sepuluh orang saintis muda, dalam masa sepuluh tahun akan datang, Malaysia akan memiliki 100 orang saintis tulen.
6. Gaya pemakaian wanita-wanita Malaysia sudah banyak longgar. Semacam fesyen baju yang dibuat tidak cukup kain. Pendedahan bahagian badan yang ketara;layak untuk dipakai ketika mandi secara sembunyi sahaja.
7. Kes-kes sumbang mahram meningkat. Apabila orang-orang tua terangsang nafsunya melalui visual dalam filem-filem, telenovela dan drama-drama, maka yang menjadi mangsa ialah anak-anak gadis dan cucu perempuan mereka sendiri! Tidak kurang juga kes-kes yang melibatkan adik-beradik.

Cukuplah tujuh perkara ini, hati saya sudah hiba untuk mencoret lebih banyak.

Soalnya, apakah Ramadhan yang dihadapi sekarang sebagai madrasah tarbiyyah mampu mengembalikan jati diri Melayu muslim? Komposisi bangsa di Malaysia majoritinya dipegang oleh bangsa Melayu yang ditafsirkan sebagai muslim. Dalam banyak hal, bangsa Melayu juga menjuarai kes yang melibatkan gejala sosial. Kenyataan yang pahit ini bukanlah penghinaan buat orang Melayu, tetapi sebagai menjentik minda fikir kita untuk menyelesaikan kemelut umat Melayu. Semoga ibadah puasa dapat membantu kita menyelesaikan isu mat rempit, bohsia, bohjan, bohtua, lepak dan sebagainya.

Pun begitu, masalah ini akan selesai andai semua kita menjaga perkara asas iaitu solat. Jika semua orang solat dengan sempurna, maka solat itu mampu mecegahnya daripada melakukan kemungkaran. Pada tahap yang lebih tinggi pula, pelaksanaan hukum-hakam yang berkaitan dengan jenayah, dan dikuatkuasakan dangan adil. Orang yang kaya dihukum sama dengan orang miskin dihukum. Hari ini, kebanyakan kes berprofil tinggi yang menyebabkan orang kenamaan, terlepas. Di mana penguatkuasaan undang-undang dan keadilannya?


Nota kaki:

*akulturasi: penyerapan unsur-unsur kebudayaan daripada suatu budaya kepada budaya lain.


**Scientist’s Apparentic; maksudnya kita bukan hanya melahirkan saintis yang boleh menghasilkan ciptaan atau penemuan sains di peringkat universiti. Malah lebih jauh dapat mengkomersialkan produk itu untuk dimanfaatkan. Jika sekarang, memanglah ramai profesor di universiti yang hebat-hebat, tetapi berapa ramai pula di antara mereka yang berjaya mengkomersialkan hasil penyelidikan mereka? Skop untuk menghasilkan teknokrat perlu diperluaskan bukan dalam bidang ICT sahaja, tetapi perlu juga merangkumi biidang pembuatan.

Rabu, September 20, 2006

Hari-hari terakhir Sya’ban 1427H.


Semalam, setelah pulang dari Kelantan, kami tiba di Padang Serai pada jam 11.30 malam. Rumah tersebut menjadi transit sementara kami sebelum bertolak dua hari sebelumnya. Saya mengambil keputusan untuk bermalam di bilik tamu rumah sahabatku sahaja. Sementara yang lain pulang ke destinasi masing-masing.

Sampai sahaja di kampus, saya dimaklumkan perihal pilihanraya kampus yang sedang hangat. Syukur, calon yang dicadang oleh saya berjaya melepasi prosedur-prosedur pencalonan. Saya sudah sediakan surat tunjuk sebab sebagai tidak menghadiri sesi penamaan calon kerana berada di Kelantan.

Pada malamnya, jam 2230 majlis rapat umum diadakan. Semua calon pilihan (dan setakat ini pro-aspirasi sudah menang selesa 11 kerusi) saya merupakan penerima anugerah sijil dekan. Hebat! Tidak boleh tidak, penyertaan dalam pilihanraya kampus sememangnya penting agar suara kecil dari kumpulan yang berfikrah Islam dapat disuarakan. Rata-rata calon di dalam rapat umum membentangkan beberapa manifesto yang secara asasnya sama. Perkara yang ditekankan ini meliputi kebajikan mahasiswa, ketelusan pengurusan, integrasi kaum, dan peningkatan imej (rebranding) Pusat Pengajian masing-masing.

Secara umum, perkara-perkara ini saban tahun diulang-ulang di dalam rapat umum PRK. Persoalannya, sejauh mana manifesto ini dapat dijayakan? Saya melihat, keadaan seperti ini bukan retorik calon-calon. Namun begitu, biasanya selepas mendapat kepercayaan mereka menjadi mandum dan kaku untuk merealisasikan manifesto; mungkin juga dek kerna kerenah birokrasi. Saya tidak bimbang untuk mengatakan calon-calon tidak berwibawa, tetapi kewibawaan mereka selalunya disekat atau tidak mendapat sokongan pihak pentadbiran.

Sesiapa sahaja sama ada calon pro-aspirasi dan bukan pro-aspirasi yang pernah menduduki kerusi empuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) pasti bersetuju dengan saya. Menyalahkan mereka seratus peratus bukanlah sikap yang baik. Hal ini bermakna, setiap jentera pilihanraya yang ditubuhkan bagi menaikkan calon harus meneruskan kesinambungan bagi memberi kekuatan kepada calon-calon yang menang melaksanakan manifesto dengan jayanya. Jika mereka gagal menyempurnakan tugasan yang dibebankan ke pundak mereka, kita tidak harus menuding jari menyalahkan mereka. Satu jari telunjuk ditujukan kepada mereka, sedang yang empat lagi tertuding kepada diri kita sendiri!

Selamat mengundi. Pilihlah calon yang betul-betul berwibawa. Dan jika tidak salah, saya mahu anda memberi sokongan kepada calon-calon Islamis seperti yang saya cadangkan. Mungkin calon-calon yang menang boleh menyuarakan pandangan agar pihak Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (HEPP) memansuhkan ‘kewajipan’ menyertai Kem BTN yang kononnya sebagai syarat kepada pengijazahan.