Selasa, April 18, 2006

Saya sibuk?


Sudah lama menyepi tanpa khabar. Sedikit kalut dek tugasan yang menggunung tinggi. Namun beberapa perkara telah berlalu. Syarahan umum pelantikan profesor oleh Ketua Projek Nanotiub Karbon (CNTs Group, USM) telah selesai. Berita tentang perancangan Unisains Holding bagi kesinambungan kajian ini boleh dirujuk dalam akhbar The Star, 15 April 2006 muka surat B11.



15 April 2006 - Himpunan Bicara Ilmu siri 2. Penyertaan kali ini lebih memberangsangkan. Terdapat pertambahan 80 orang peserta berbanding dengan siri pertama.250 orang audien dari kalangan masyarakat luar kampus. Pelajar USM sendiri tidak ramai memandangkan mereka bersiap sedia menghadapi peperiksaan akhir semester pada minggu ini dan minggu depan. Rakaman Himpunan Bicara Ilmu yang terdiri daripada Dato' Badarudin Ahmad (INSANIAH, Kedah), Ust. Mohd Fauzi Md. Thahir (Maktab Mahmud) dan Dr. Jamnul Azhar Mulkan (Peng. Perubatan Hospital Kangar) akan di-CD-kan seperti mana siri satu InsyaAllah. CD HBI Siri 1 sedang dijual.

Himpunan Bicara Ilmu siri 1 dihadiri oleh 170 audien.

Penceramah:

(1) Dr. Jamnur Azhar Mulkan, hp: +6012-4235204; Slot Al-Quran & Sains (Pelantikan Manusia Sebagai Khalifah)
(2) Ust. M Fauzi Md. Thahir, Fiqh Mu'asir (Kepentingan Fiqh Dalam Kehidupan).


Sila klik gambar ini untuk membaca iklan yang dengan lebih jelas

Selasa, April 11, 2006

Berbicara tentang novel.


Sila klik!


Klik pada gambar di atas untuk membaca resensi SN.

Ahad, Mac 26, 2006

Iktibar buat diri.


Minggu lepas (18 Mac), ketika ribut kuat melanda Alor Setar, aku dan beberapa rakan berada di Kuala Lumpur. Berita yang disiarkan dalam TV3 menunjukkan kemusnahan rumah-rumah mangsa ribut.

Peristiwa ribut itu juga dialami sendiri oleh seorang sahabatku di sini. Ketika itu, dia berada di rumahnya. Katanya ketika angin kuat, air hujan bagai dilambung-lambung dalam bentuk pusaran. Samalah seperti ombak di laut. Kejauhan nampak air yang berpintal-pintal menuju ke arah rumahnya. Ketika beliau merasakan kemuncak laluan angin itu, sepontan beliau melaungkan kalimah Allahu Akbar! Seperti bilal melaungkan azan. Rumahnya tidak mengalami apa-apa kerosakan.

Keadaan lebih dahsyat di bahagian rumah ibunya. Lima keping atap asbestos diangkat angin, tidak tahu ke mana hilangnya. Pokok kelapa ditiup angin, pucuknya yang paling tinggi menyentuh bumi. Meliuk-lintuk, tetapi tidak patah. Kuatnya pokok kelapa itu dengan izin Allah. Kemudian beliau berkata lebih 100 buah rumah mengalami kerosakan dalam ribut kuat itu. Media massa khususnya TV3 merakamkan kesan kerosakan dengan melaporkan bahawa 'rumah' yang rosak teruk itu sebagai rumah. Walhal 'rumah' yang dimaksudkan ialah kedai yang baru sahaja siap diubah suai (renovated shop), diguna untuk perniagaan karaoke, menurut cerita sahabatku itu.

Bayangkan! Dahsyatnya kuasa angin yang dikirimkan Allah. Besi tiang seberat lebih 200 kilogram juga digasak angin bagai kain yang diperah. Besi keluli yang berat itu pun boleh lunyai sebegitu rupa. Mari kita tanya diri sebagaimana Allah bertanya kita di dalam al-Quran;

"Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi sehingga mereka dapat memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka. Allah telah menimpakan kebinasaan ke atas mereka......."
(Muhammad:10)

Jangan kita melihat perkara ini sebagai fenomena alam yang biasa-biasa. Allah mahu memberi pengajaran kepada kita supaya kembali kepadaNYA, menghayati dan menurut segala ajaran agamaNYA.

Catatan pada 25 Mac 2006, jam 1200.

Dan di bawah ini pula 'hadiah' kenang-kenangan 'tanda' persahabatan di antaraku dengan ulat gonggok. Aku tidak membunuhnya. Tanda ingatan itu masih ada sejak 17 Mac 2006 sehari selepas terkena pada jam 11.30 malam di bawah pokok ketika aktiviti LDK 2, Kem Jati Diri Muslim siri 2.


Jumaat, Mac 24, 2006

Mahu pulang


Selain itu, jelas beliau, keengganan guru mengajar di lokasi tertentu terutama di luar bandar juga telah mengundang masalah lebihan guru di sesetengah tempat dan negeri sementara lokasi dan negeri lain pula menghadapi masalah kekurangan guru. (Utusan Malaysia, 23 Mac 2006)

Guru-guru harus diajar untuk memiliki nilai pengorbanan yang tinggi. saya tertarik dengan perkataan luar bandar seperti yang dinyatakan di atas. Jika ditanya kepada saya, apakah mungkin pengorbanan yang akan saya buat? Selari dengan ayat yang dicoretkan di atas?

Ketika belajar, saya mendapati ruang yang amat sedikit bersama keluarga. Pulang ke kampung hanya ketika cuti, dan tidak semua cuti dihabiskan di kampung halaman. Sentiasa ada perkara lain sebagai pengisian cuti, sehingga cuti yang panjang dipendekkan. Kadang-kadang ibu mengeluh, "tiga hari sahaja balik?"
Walhal cuti masih panjang, berbaki empat atau lima hari lagi.

Saya berfikir dan berfikir. Apabila saya rasakan cukup untuk saya meneroka ilmu secara formal di tempat yang jauh-jauh, saya akan bekerja di negeri sendiri. Tentunya di Terengganu. Kata orang, nak kerja di mana? Kalau saya katakan saya akan kerja di kampung, apakah kamu akan percaya? Kamu tidak boleh percaya, dan jangan sekali-kali percaya sehingga saya benar-benar bekerja di Terengganu, lokasi kerja yang dekat dengan rumah. Hari-hari saya boleh berulang-alik ke pejabat, tempat kerja saya dari rumah sahaja. Jangan kata saya gila! Saya sudah lama berjauhan dan tidak rapat dengan keluarga kerana faktor tempat. Maka saya tidak mahu kesibukan kerja nanti akan menjauhkan kami juga.

Saya sedang bersedia menyiapkan diri melakukan pengorbanan ini. Doakan semoga saya dapat menghadapinya. Apa kerjanya dan bagaimana? Soalan yang hanya terjawab apabila saya sudah betul-betul bekerja di Terengganu.

24 mac 2006, 0546.

Selasa, Mac 21, 2006

KLCC


Selesai seminar sehari, kami bertolak ke KLCC menaiki Putra LRT. Perjalanan dari stesen bas menggunakan perkhidmatan Rapid KL amat memuaskan. Puas hati kerana hari ini (18 dan 19 Mac), syarikat tersebut membuat promosi laluan baru. Perkhidmatan ke laluan baru di kawasan pinggir bandar diberi secara percuma. Bas pulang ke Parit Buntar masih lambat, 11.59 malam. Rombongan kami singgah di KLCC dengan menaiki trem dari Terminal Putra dengan bayaran RM2.00. Kami menuju ke masjid menunaikan solat fardhu Maghrib dan Isyak. Sempat juga kami mandi setelah tidak mandi seharian dan melepaskan lelah sebelum bergerak ke luar pada jam 9.00 malam.



Kami mengambil masa 40 minit untuk berjalan-jalan di sekitar KLCC sambil merakam gambar kenang-kenangan. Tidak banyak yang menarik selain daripada keriuhan manusia yang pelbagai ragam. Berjalan di sini, atau mana-mana kawasan di KL banyak cabarannya. Sentiasa sahaja ada orang yang berpakaian moden tetapi tidak cukup kain dan benang. Kata kawanku, aku tidak boleh lama-lama di KL. Bimbang nanti hilang semua ingatanku. Hilang ingatan terhadap semua yang telah diingat. Kami sebenarnya tidak mempunyai banyak bajet untuk perjalanan ini. Maka kami tidak mengunjungi pameran PETROSAINS yang terdapat di KLCC. Lagi pun tujuan kami ke sana hanya sekadar menjejakkan kaki ke masjid yang terletak berhampiran mercu tanda kebanggaan rakyat Malaysia. Apakah hal ini yang mesti dibanggakan juga olehku? Haruskah aku turut bangga dengan fenomena manusia yang duduk-duduk di sekeliling tasik dalam keadaan yang kurang sopan?

Jam 9.40 malam, kami menaiki trem sekali lagi ke Masjid Jamek dengan bayaran RM1.60. Setibanya di Masjid Jamek, kami mengisi perut di Bazar di sebelah Barat terminal LRT Masjid Jamek. Lorong gelap penuh sampah sarap. Peniaga jalanan menjual lampu bilik tidur yang menarik. Jauh dari lokasi Bazar yang lebih cerah. Hanya seorang penjual jalanan di sepanjang lorong gelap tersebut. Bazar ini sama seperti Petaling Street, atau Chow Kit yang menjual barang-barang murah. Murahnya tidak boleh menandingi kemurahan barang di Golok atau Rantau Panjang, Kelantan. Jika di sini, sehelai jersi Adidas buatan Thailand dijual pada harga RM60 manakala baju yang sama berharga RM10 hingga RM15 di Golok atau Rantau Panjang. Begitu juga dengan barangan lain, harga bergantung kepada kepandaian seseorang pembeli membuat tawar-menawar dengan penjual.

Kami makan di kedai makan biasa di selepas Bazar tersebut. Harga makanan masih lagi murah berbanding tempat lain. Ketika menunggu, kami 'dihidang'kan rancangan Macam-macam Aznil. Hos rancangan hiburan yang baru sahaja memenangi anugerah dalam majlis Anugerah Seri Angkasa. Dalam rancangan pada malam tersebut, terdapat kanak-kanak yang dijemput daripada anak-anak penonton di studio. Kanak-kanak ini dijemput dan diajak bersembang kemudian disuruh menari.

Kata kawan saya, "alangkah baiknya jika anak kecil ini dididik dengan perkara lain, bukan menari."
Saya kata, "itu tanggungjawab ibu bapa budak-budak tu."

Tetapi alangkah alangkah baiknya jika minda anak-anak kecil disuap dengan ayat al-Quran. Mereka boleh dilatih untuk mengingat ayat al-Quran dengan syarat ibu bapa sabar dan tabah mendidik mereka untuk fokus menghafal al-Quran. Apakah tidak ada di Malaysia seorang kanak-kanak berusia sepuluh tahun yang sudah dapat menghafal separuh atau seluruh al-Quran? Jawapannya, sudah ada.

Jumaat, Mac 17, 2006

Muzik


Diemelkan kepada saya oleh seorang kawan.

Di Petik dari buku al Islam wa al Fann Karya Dr. Yusuf al Qardhwy.

Imam al Ghazali ada menyebutkan lima faktor yang menyebabkan berpindahnya hukum mendengar muzik/nyanyian daripada mubah (dibolehkan) kepada haram.

Di antaranya ialah:

Penyanyi:
Jika penyanyi adalah seorang wanita yang tidak halal bagi orang ramai untuk melihatnya dan dikhuatiri akan timbul fitnah dari mendengarkan nyanyiannya. Maka punca pergharamannya adalah kekhuatiran akan timbulnya fitnah, bukan sebab menikmati nyanyian itu sendiri. Al Ghazali sendiri berpendapat bahawa pengharaman di sini adalah akibat kekhuatiran akan timbulnya fitnah. Beliau memperkuat pendapatnya itu dengan hadith tentang dua orang wanita di rumah 'Aisyah. diketahui bahawa Rasulullah SAW ada mendengar suara (nyanyian) mereka berdua dan baginda tidak menghindar diri daripada mendengarnya. Tentu sahaja tidak ada sebarang kekhuatiran akan terjatuhnya baginda ke dalam fitnah, kerana itu baginda tidak menghindarkan diri daripadanya.

Alat muzik:
Sebahagian alat muzik menjadi simbol kepada kaum pemabuk atau merupakan lambang sesetengah kaum pondan. Alat-alat tersebut ialah seruling, alat petik, dan gendang lesung. Tiga jenis alat muzik ini adalah terlarang. Selain daripada tiga jenis itu seperti kompang, memakai gerincing atau tidak , tabla , memukul batang-batang besi dan lain-lain adalah mubah.

Seni kata:
Iaitu jika terdapat di dalamnya kata-kata yang bersifat keji, maksiat, penghinaan, atau sebarang kata yang bersifat mendustakan Allah Ta'ala, Rasul dan para sahabat, seperti seni kata dalam sajak-sajak yang dikarang oleh golongan syiah yang isinya menghina para sahabat r.a. Maka mendengar lagu atau sajak seperti ini hukumnya haram, dan orang yang mendengar berkongsi dosa dengan orang yang menyanyikan atau mengucapkannya. Begitu juga jika terdapat didalam senikata tentang seorang wanita tertentu. Tidak boleh seorang wanita disebut-sebut di hadapan kaum lelaki. Adapun puisi-puisi cinta yang menyebutkan tentang pipi, warna kulit, serta sifat-sifat wanita secara am, pendapat yang sohih adalah: tidak diharamkan mengucapkan dan menyanyikannya. Tetapi para pendengar dilarang untuk menghubungkannya dengan seorang wanita yang tidak halal baginya maka dia telah jatuh ke dalam kemaksiatan disebabkan perbuatan menghubung-hubungkan itu.

Pendengar:1 :
Mereka yang dikuasai oleh nafsu syahwat dan gejolak darah muda. Mendengar muzik dalam keadaan tersebut adalah haram baginya, sama ada dia telah dirasuk kesukaan terhadap seorang wanita ataupun tidak. Dalam keadaan bagaimanapun jika dia mendengarkan seni kata yang menggambarkan keindahan pipi dan alis mata, atau menceritakan tentang perpisahan dan pertemuan maka syahwatnya bergejolak dan dia pun mulalah mengkhayalkan seorang wanita tertentu. Kemudian syaitan akan datang untuk meniup api yang sedang berkobar di dalam hatinya itu. Maka berkobarlah api syahwat dalam dirinya dan timbullah dorongan untuk berbuat kejahatan.

Pendengar 2:
iaitu kalangan awam yang tidak kuat kecintaannya kepada Allah Ta'ala, tetapi dia sangat suka mendengarkan muzik meskipun tidak dikuasai oleh hawa nafsu. Maka mendengar muzik bagi golongan ini adalah terlarang. Pada dasarnya muzik adalah mubah seperti layaknya sebahagian hiburan yang lain. Tetapi jika seseorang menjadikannya sebagai satu adat dan kebiasaan serta menghabiskan hampir semua masanya untuk muzik, maka inilah perbuatan yang bodoh yang harus dikembalikan kepada kefahaman syahadah dan tuntutannya. Terleka dan terlena dalam bermain-main adalah jenayah. Begitu pula dosa kecil, jika dilakukan secara terang-terangan dan berterusan akan berubah menjadi dosa besar dan perkara-perkara mubah yang dilakukan secara terus-menerus pula dapat berubah menjadi dosa kecil.

Dalam perbahasan di atas Imam al Ghazali mengatakan bahawa alat petik dan seruling merupakan alat-alat yang dapat merubah hukum mubah kepada haram. Pendapat beliau itu adalah bersandarkan kepada sumber syarak yang mengharamkannya. Beliau berijtihad mencari alasan pengharaman itu dan berjaya mentafsirkan dan menerangkannya dengan sebaik-baiknya. Beliau menyimpulkan bahawa syari'at mengharamkan alat-alat muzik di atas bukan kerana kelazatan dan kenikmatan yang dihasilkan. Jika punca pengharaman adalah kenikmatan nescaya haram pulalah seluruh kenikmatan lainnya yang dirasakan oleh manusia. Pengharaman khamar menuntut usaha keras untuk memisahkan manusia dari ketagih. Dimulakan dengan memecahkan botol-botol khamar dan dengan pengharaman setiap perkara yang menjadi lambang kepada kaum peminum, iaitu seruling dari alat muzik petik. Maka pengharaman alat muzik ini adalah disebabkan ia sentiasa mengikut kebiasaan peminum khamar.
Demikian pulalah sebab diharamkannya berkhalwat dengan wanita yang bukan muhrim kerana ia merupakan permulaan yang dapat mengheret kepada jenayah.

Pengharaman terhadap beberapa dosa besar membuat diharamkan pula beberapa perkara yang menjadi punca berlakunya dosa tersebut. Tujuannya adalah untuk menjaga dan memelihara manusia agar tidak terjatuh di dalam mengerjakan perbuatan yang keji dan mungkar. Maka seruling dan alat petik diharamkan mengikut kepada pengharaman khamar kerana tiga sebab:

Pertama:
Ia membawa seorang kepada meminum khamar, kenikmatan yang dihasilkan oleh alat muzik tersebut dirasakan tidak sempurna tanpa meminum khamar.


Kedua:
Hubungannya dengan budaya minum khamar sangat kuat sehingga dengan serta merta ia mengingatkan kita akan majlis-majlis khamar. Ingatan terhadap khamar dapat menimbulkan ghairah seseorang kepada khamar.


Ketiga:
Berjinak-jinak dengan adat dan kebiasaan kaum yang fasik. Adalah terlarang bagi seorang muslim untuk meniru-niru (tashabbuh) kebiasaan mereka, sebab sesiapa yang meniru-niru satu kaum maka dia tergolong kedalamnya.

Selepas ulasan dan perbahasan yang menarik ini Imam al Ghazali berkata "Dengan demikian jelaslah bagi kita bahwa sebab pengharaman alat-alat muzik itu (seruling dan alat petik) bukanlah kerana kenikmatan yang dihasilkannya. Bahkan setiap perkara yang baik dan bagus itu dapat dikiaskan sebagai halal, kecuali jika terdapat di dalamnya sebarang kerosakannya.

Allah swt. berfirman: Terjemahannya:
Katakanlah "Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah di keluarkan Nya untuk hamba Nya dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezeki yang baik?....(surah al Araaf: 32)

Semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada Imam al Ghazali. Sebenarnya tidak ada satu hadis pun yang sahih sanadnya dan jelas dan jelas matannya mengharamkan alat muzik dan seruling seperti yang disangkakan oleh orang ramai. Imam Ghazali r.a. menganggap bahawa hadis yang berkenaan dengan perkara ini adalah hadis yang dapat diterima pakai. Oleh sebab itu, beliau terpaksa menafsirkan dan menjelaskannya dengan alasan-alasan seperti di atas. Jika beliau mengetahui sanad-sanad periwayatan hadis tersebut tentunya beliau tidak perlu bersusah payah mengemukakan penjelasan itu. Walau bagaimana pun hujah dan alasan yang di kemukakan itu cukup bermanfaat bagi mereka yang tidak menerima kelemahan hadis berkenaan isu ini.


Jika entry ini tidak cantik dilihat, saya mohon maaf kerana saya juga tidak dapat membuka blog ini menggunakan PC di bilik saya.


Rabu, Mac 15, 2006

Soal selidik


Permintaan

Tuan/puan,
Dengan hormatnya dimaklumkan bahawa Pasukan Peningkatan Kualiti, Bahagian Peristilahan, Dewan Bahasa dan Pustaka sedang menjalankan projek, "Istilah Tidak Sampai Kepada Pengguna".

Sehubungan dengan itu, mohon kerjasama tuan/puan untuk menjawab soal-selidik yang disertakan dan kembalikan kepada saya secepat mungkin.

Kerjasama tuan/puan amat saya hargai dan saya dahului dengan ribuan terima kasih.

Sekian.

-hanum-

Naim jawab.


Mungkin jawapannya tidak berapa tepat dengan kehendak soal selidik pihak tuan. Mohon maaf sekiranya berlaku, dikeranakan saya mungkin tidak pasti.

Respon balas.


Terima kasih banyak di atas kerjasama yg sdr. berikan. apa pun jawapan sdr., ia amat membantu dlm projek yg sdg kami laksanakan.
terima kasih sekali lagi.

-hanum-

PS: Sempat lagi menyiapkan soal selidik sementara menunggu peserta Kem Jati Diri Muslim Siri 2 mencari jawapan IQ Game mereka.

Isnin, Mac 13, 2006

Dilema

Anak dalam dilema 1.

"Kenapa tidak pakai tudung?" tanya sahabatnya.
"Tanya ayah saya," katanya.
"Bini aku pun tak disuruh pakai tudung," kata bapanya.
"Tudung itu untuk siapa?" tanya sahabatnya.
"Tudung itu untuk orang Islam. Simbol pemakaian Islam yang dianjurkan," kata emaknya di sisi.
"Habis tu, mak cik bukan orang Islam?" tanya sahabatnya.
Muka bapanya, ibunya dan dia (nya) sendiri merah padam. Toleh kanan, toleh kiri. Bengang!
"Aku fikir mereka lupa mereka orang Islam." kata sahabatnya beberapa hari selepas itu melalui emel.

Anak dalam dilema 2

"Ayah kata turun. Turun!" ayah menjengilkan mata.
"Adik dah naik ni." Adik tidak mahu turun.
"Siapa yang adik perlu ikut? Dengar kata?" Ayah mengungkit kedudukannya.
Maklumlah. Di atas, ayah boleh tengok padangan yang lebih luas. Ayah boleh tengok banyak benda. Mata ayah boleh kaut sebanyak mungkin pemandangan yang hebat-hebat. Dengan kata lain ayah untung seorang. Pabila adik mahu naik, ayah minta turun.
"Ayah, kenapa ayah tidak turun dan tengok di tempat adik?" ayah tidak dapat menjawab.

--------
Nak didik anak-anak, ibu bapa kena tunjukkan contoh yang baik. Mendidik melalui tauladan lebih baik daripada 'mengetam'.
--------
'Mengetam' istilah baru, kependekan menjadi ketam.

Catatan jam 0750, 12 Mac 2006.

Rabu, Mac 08, 2006

Heboh.


Apa yang ada pada Sureheboh!
"Sepatutnya bukan Sureheboh tapi surebodoh," kata pakar Linguistik UKM di Hotel Continental, Kuantan dalam Program Teguh Bahasa sempena Bulan Bahasa dan Sastera 2005.
Jika seorang profesor berbangsa Cina boleh berkata begitu, mengapa kita yang menilainya dengan neraca iman dan Islam tidak boleh menerima hakikat kebejatannya.
Apakah tidak ada suara dalam perkara ini?
"Jangan lupa, Dato' Harussani telah mengeluarkan fatwa Sureheboh adalah haram." Aku.
"Tapi kenapa tidak diharamkan?" Adik.
"Ada nilai komersial." Aku.
"Orang nak buat duit, tak kira halal haram." Adik.

Hari ini aku mengira, beritanya berbunyi begini: 'Pembatalan konsert Sureheboh mendapat pujian."
Alih-alih bernada begini: 'Langkah tukar nama Sureheboh dapat pujian.'
Lihatlah dikotomi pemikiranku dengan realitinya.

Baca juga coretanku tentang komentar aktiviti menulis blog di laman e-sasterawan. Laman sekutu nombor 3, di bagian sisi sebelah kanan blog ini.

Selasa, Mac 07, 2006

Suara kecil dari hulu


Mari kita lihat dari kaca mata dan rasa hati seorang budak kampung. Aku sedar, budak kampung sepertiku berfikiran kolot, kekampungan dan segala macam kebobrokan. Tidak seperti mereka yang tinggal di Bandar besar. Bangun pagi, celik mata retina disapa bangunan pencakar langit. Telinga ditujah kebingitan kenderaan berenjin yang menyusur lalu di jalan raya penuh bergaya dan pelbagai jenama yang canggih manggih. Aku tetap aku seperti mana kebanyakan mereka yang di kampung di pedalaman. Jauh di pedalaman yang aman dan tenang dengan rimba, dan bunyi unggas. Itulah aku dan mereka yang berada di hulu sebuah negeri.

Kepulangan ke kampung amat memeritkan. Kasihan melihat orang-orang kampung merintih. Ada nada kesal dan sesal. Ada juga yang tidak tahu apa-apa. Hanya tersenyum dan sempat lagi berkata, “biarlah. Mereka nak tadbir, Itu untuk kebaikan rakyat juga. Kita kan rakyat juga?”

Makcik Senah di kampung tahu apa? Pak Leman yang mengerjakan sawah tahu apa? Tahu-tahu minyak dijual dengan harga RM2.40 seliter!
“Mengapa?” Pak Hitam yang kerjanya menorah getah kehairanan.
“Minyak naik lagi tiga puluh sen, Pak Hitam.” Tokei Abu menjawab. Selanjutnya diterangkannya ini adalah harga kos operasi yang perlu diambil kira. Menurut Tokei Abu lagi, hendak membeli minyak di bandar Kuala Berang yang jauhnya 18 kilometer pun guna minyak juga. Dan kerana permintaan tinggi, dia hanya menjual pada mereka yang hendak membeli. Tidak kira mahal atau sebaliknya.
Pak Hitam memang tiada pilihan. Hendak tidak hendak, hanya itu sahaja kedai runcit yang menjual minyak petrol.

Hendak ke pekan Kuala Berang? Tidak masuk akal semata-mata hendak penuhkan tangki minyak motor buruknya.
Daripada dia rugi RM300 lebih baik dia rugi 50 sen membeli minyak yang mahal itu.
“RM300?” tanyaku yang lebih-lebih pula hairannya.
Dia menunjukkan motornya tidak jauh dari situ. Patutlah, motornya tiada rupa motor lagi. Itulah motor buruk yang banyak berjasa untuk meneruskan nadi kehidupannya sekeluarga. Jika nak bawa Puspakom untuk diperiksa, awal-awal lagi sebelum masuk pagar Puspakom, pegawai akan bertanya, “ini motor atau apa?”
Memang tiada wajah motorsikal yang biasa anda lihat di bandar-bandar.

Itu baru cerita minyak dengan motor buruk! Belum lagi cerita beras, gula, gandum, sabun, sardin dan segala macam keperluan lain orang kampung di Hulu Terengganu. Keadaan ini benar-benar menghimpit! Rata-rata mereka mempunyai pendapat RM800 sebulan. Dan inilah coretan yang benar-benar menyesakkan nafasku, aku tidak mampu lagi mencoret kerana malu jika orang nampak air mata bercucuran jatuh di pipiku. Suara budak kampung yang sudah tiga purnama tidak pulang ke kampungnya.

Khamis, Mac 02, 2006

Saya hormat guru

Mengajar mesti kreatif. Itulah kata kaunselor kepada mana-mana pendidik. Dunia pendidikan melibatkan guru-guru, sifu, tuan guru, ustaz, ustazah dan panggilan-panggilan lain sebenarnya merujuk kepada muaddib. Mendidik tidak sama dengan mengajar. Mendidik jauh lebih halus seninya berbanding mengajar. Maka implikasi perkataan pendidikan berbanding pelajaran juga sangat berbeza sehingga ditukar beberapa kali untuk sebuah kementerian di negara kita. Kita mungkin biasa mendengar muaddib yang murabbi. Bagaimana acuan pendidikan itu digambarkan sebagai tugas mulia bagi membentuk sikap dan akhlak seorang pelajar. Pendidik bukan sekadar mengajar, malah membentuk minda dan sikap pelajar. Justeru jika hanya menjadi pengajar, ia setakat menyampaikan maklumat yang perlu difahami oleh pelajar. Sebaliknya mendidik melibatkan proses membina acuan dalam kerangka untuk menghasilkan seorang pelajar yang mantap dari segi akademik dan sahsiah. Maka pendidik mempunyai tanggungjawab memberi contoh yang baik kepada pelajar untuk diteladani.

Peredaran zaman merubah wajah dan dunia pendidik. Jika dahulu, pelajar-pelajar amat menghormati seorang guru. Jika dahulu seorang guru sangat bersungguh-sungguh mendidik anak bangsa. Zaman moden barangkali telah merobah arus pendidikan dengan gelombang kebobrokan. Banyak sekali insiden-insiden yang tidak diingini berlaku dalam dunia pendidikan. Dunia pendidikan lewat abad kedua puluh satu dicemari dengan pelbagai anasir yang menggugat kemurnian dan keharmoniannya. Lihat sahaja kes-kes yang melibatkan pelajar dan guru-guru, ponteng kelas, ugut guru, mencederakan guru atau pelajar, gunting tudung, rotan, kelas tuisyen dan jenayah seksual di antara guru dan pelajar. Perkara-perkara yang disebutkan terjadi apabila mereka yang terlibat tidak menghayati konsep pendidikan sehingga membelakangkan nilai yang baik. Guru dengan kerenah sebagai guru, manakala pelajar dengan karenah pelajar. Persoalannya apakah guru sudah berubah mindanya kerana ruang pekerjaan itu dikatakan sebagai pilihan terakhir setelah tidak berjaya mendapat pekerjaan lain? Atau apakah guru mengajar kerana mengejar keuntungan untuk menambah wang saku? Apakah juga pendidik hanya memikirkan sudah cukup memberi maklumat yang digariskan dalam buku teks? Tidak adil pula jika persoalan-persoalan hanya diajukan kepada pendidik.

Sebagai pelajar pula, apakah sikap yang seharusnya ada bagi setiap pelajar? Apakah persepsi pelajar terhadap seorang guru? Jika pelajar melakukan kebiadaban terhadap guru, siapakah yang harus dipersalahkan? Pelajar, guru atau ibu bapa? Apabila guru menghadapi tekanan kerja, mereka kadang-kadang melepaskan kemarahan kepada pelajar. Maka wujudlah p[enderaan mental dan emosi yang melibatkan pelajar. Bagi saya, kes rotan di sekolah amatlah kecil. Rotan menjadi isu apabila anak-anak terlalu dimanjkan oleh ibu bapa. Dirotan sedikit cuma, dibesar-besarkan pula oleh pelajar seolah-olah guru mendera mereka. Akhirnya rotan digantung dan kuasa merotan dikhaskan kepada guru disiplin sahaja. Apabila tidak dapat merotan, ada juga guru yang serabut melihat pelajar-pelajar memakai tudung yang lebih labuh daripadanya. Lalu dipotong tudung supaya sama seperti tudung singkat yang dipakai oleh mereka. Kononnya itulah cara pemakaian tudung yang baik dan digariskan kepada sekolah-sekolah. Harapnya mereka yang memotong tudung bukanlah disebabkan perasaan benci atau trauma atau fobia terhadap mana-mana golongan yang dikatakan ekstremis agama. Harapnya mereka tidak mengatakan bahawa memakai tudung labuh bukan pengamal agama Islam yang ekstrem seperti pemikiran manusia ortodoks!

Mendidik memerlukan kesabaran yang tinggi. Satu hari saya ingin mengajar seorang pelajar. Amat sukar untuk membolehkannya faham konsep matematik. Tambahan lagi akhir-akhir ini kita terpaksa mengguna 'gelombang bunyi' yang asing. Tutur bicara dalam pengajaran bukan lagi bahasa ibunda, malah dipinjam dari bangsa yang diagung-agungkan. Inilah bahananya. Semakin sukar dan mencabar pula tugas mengajar. Semakin sukar pula memastikan pelajar faham, pertama faham konsep dan kedua faham bahasa. Seorang pelajar masih bertukar bagaimana mahu membezakan apakah jawapannya jika - A + B dengan - A - B. Mengapa jawapannya menjadi positif atau sebaliknya? Ya! Siapa boleh terangkan secara konsepsual dan teknikal ke atas soalan yang mencabar minda pelajar ini? Setiap kali dia menjawab sebelum memahaminya, jawapannya sentiasa salah walaupun untuk soalan -3 + 5! Saya katakan begini:

Jika - A + B
(1) Jika A > B, tolakkan A kepada B iaitu A - B, jawapan mesti bertanda NEGATIF.
(2) Jika A < B, tolakkan B kepada A iaitu B - A, jawapan mesti POSITIF.

Jika - A - B
(1) Tambahkan A dan B iaitu A + B, jawapannya bertanda NEGATIF.

Inilah rumusan konsepsual dan teknikal yang saya henyakkan kepada minda pelajar saya untuk memecah kebuntuannya. Maka selepas daripada itu saya mendapati dia dapat belajar matematik dengan keadaan yang menyeronokkan. Ya! Saya sangat menghormati tugas seorang guru kerana mendidik itu mulia. Pendidik harus mempunyai sifat murabbi yang bukan hanya memberi maklumat di dalam buku teks malah menjadi contoh yang baik untuk ditiru oleh pelajar-pelajar. Saya hormat guru.

Catatan Subuh 2 Mac 2006. Jam 0530.

Rabu, Mac 01, 2006

Kajian memang meletihkan

Hari ini senyumnya lebar sahaja. Sudah beberapa kali penat dan letih melihat uji kaji tidak menjadi. Mengapa tidak? Suhu tindak balas hanya 700 darjah Celcius sedangkan kajian yang telah dibuat menggunakan suhu 1000 darjah Celcius.
Penyediaan mangkin bimetalik (dwi-logam) menggunakan kobalt (Co) dan besi (Fe) mengambil masa yang lama. Pengeringan bagi mendapat bentuk oksida sahaja mengambil masa dua belas jam. Kemudian dihancurkan dan dibuat proses pengkalsinan menggunakan oven pada suhu 600 darjah Celcius.

Sehebat-hebat manusia, suhu badan pada 37 darjah Celcius. Jika meningkat 4 darjah, maka manusia akan mati. Menghulur tangan untuk meletak mangkin yang dikeringkan di dalam oven pada suhu pemanasan 600 darjah memberi kesan sementara pada tangan. Itu baru lima saat tangan terdedah pada kepanasannya. Kapilari darah mengembang dan bahagian kulit tangan menjadi merah seperti naik ruam. Kepedihan terasa juga walau pun tidak mengalami kelecuran. Itu baru 600 darjah Celcius dalam masa lima saat! Bagaimana nanti jika kepanasan matahari hanya sejengkal di kepala di padang mahsyar? Tidak dapat dibayangkan.

Proses menghasilkan mangkin bermula dengan mengira nisbah logam-logam dan sokongan logam yang digunakan. Kemudian ketiga-tiga bahan dalam bentuk pepejal ini dilarutkan menggunakan air suling sehingga sebati atau campurannya menjadi homogen. Jika anda pernah menguli kek atau ramuan untuk membuat biskut raya, begitulah juga ramuan mangkin dikacau camourannya sebati sehingga sebati. Kemudian campuran dikeringkan pada suhu 100 darjah Celcius selama dua belas jam. Apabila kering, diluarkan dan dileburkan menjadi bentuk debu. Debu itu dimasukkan semula dalam oven melalui proses pengkalsinan. Selesai proses ini, dikeluarkan dan dibuat palet menggunakan pemampat hidrolik pada tekanan 5 bar. Jadilah ia palet yang mampat seperti kepingan duit syiling yang keras.

Ketuk-ketuk sehingga hancur sedikit dan dibuat proses penapisan untuk mendapat saiz mangkin di antara 425 hingga 600 mikron. Masa efektif penyediaan katalis adalah sehari setengah atau 36 jam! Bagi 2 gram mangkin. Tiba-tiba pada 4 siri ujian tindak balas awal beberapa katalis yang diuji tidak menunjukkan tindak balas yang dikehendaki. Analisis data menggunakan kromatografi gas tidak memberangsangkan. Siapa tidak kecewa? Hanya hari ini kekecewaan terubat apabila data yang dianalisis menunjukkan terdapat tindak balas yang baik. Itu pun setelah suhu tindak balas dinaikkan menjadi 800 darjah Celcius. Bukan apa, reaktor yang digunakan tidak boleh dipanaskan pada suhu yang lebih tinggi.

“Ok, kamu buat laporan fabrikasi tiub reaktor menggunakan quartz bertebat keluli (stainless steel in ligned with quartz) untuk membolehkan uji kaji dibuat pada suhu 1000 darjah Celcius.” Tugas baru yang diterima.

Dan aku gagahkan juga terhegeh-hegeh membuat reka bentuk tiub reaktor tersebut. Mengkaji dan terus mengkaji. Sudah ada sinar untuk menghasilkan sesuatu yang baru. Hasilnya apa? Tidak sampai 0.1 gram nanotiub karbon.

Mencoret ketika menunggu sistem di makmal dipanaskan ke suhu 800 darjah Celcius.
1 Mac 2006. Jam 1515.

Isnin, Februari 27, 2006

Roti canai

Hari-hari aku melalui kafetaria untuk mengisi kekosongan perut sebelum memulakan kerja. Kunjungan itu dibuat jika selepas Subuh aku tidak keluar bersarapan bersama sahabatku merangkap ketua 1 di sini. Aku mempunyai dua ketua, seorang di Pusat
Islam dan seorang lagi di PPK Kimia. Mereka boleh mengarah mengikut keadaan dan fungsi yang dijalankan tentunya berbeza.

Hari itu berjalan bersama kawan, dan dia tahu aku suka roti canai di kafetaria tersebut. Ya, memang dahulu aku sentiasa enak memakan dan suka membelinya. Kebelakangan ini tukang tebarnya sudah bertukar. Kawanku pada pagi itu beria-ia mahu menaja roti canai untuk sarapan. Aku katakan kepadanya aku tidak lapar roti canai hari ini. Sudah seminggu juga aku ‘memboikot’ roti canai itu.

Aku melakukannya kerana itu citra dan citarasaku. Sebelum makan, aku akan menyeledik tukang masak dahulu. Baharulah hal-hal lain difikirkan. Aku memerhati juga persekitaran untuk duduk makan, takut-takut berhampiran sekumpulan manusia yang mulutnya berasap. Bimbang asap dari mulut mereka menyesakkan nafasku. Ya! Asap yang membawa banyak racun. Macam bau tengik kemenyan yang dibakar oleh orang cha ya nun alif di sebelah rumah sewa beberapa rakan. Tetapi tengiknya bukan sekadar tengik, tengik dan tepu dengan racun.

“Ok, duduk di sini.” Aku meletakkan fail yang dibawa sambil meninjau makanan lain seperti kuih atau nasi goreng di kaunter.

“Tak mahu roti?” kawanku bertanya lagi.
“Tidak mahu.” Aku menjawab ringkas sambil tersenyum.

Dia membeli sebiji roti canai dan aku mengambil empat biji kuih di kaunter. Cuma aku tidak memberitahunya bahawa aku tidak mahu makan roti canai kerana penebar roti
menunjukkan yang dia juga mempunyai rambut seperti lelaki! Terjuntai-juntai macam ekor kuda di belakngnya.

Coretan 24 Feb 2006.
Jam 1830.

Ahad, Februari 26, 2006

Kontroversi

Hujung minggu penuh kontroversi.

Kontroversi 1.

Panas! SMK Teluk Sentang Kuala Krau, Temerloh Pahang menjadi fokus seluruh warga muslim yang sensitif terhadap isu pencabulan agama.
Dunia pendidikan bergolak lagi. Tiga orang guru memotong tudung 65 orang pelajar kerana dikatakan tidak mengikut pekeliling pemakaian tudung yang dikeluarkan oleh kementerian. Berbeza pula respon yang diberi oleh TPM berkenaan isu ini. Katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama, "Memang (gunting tudung pelajar) tak wajar dilakukan kerana ia bertentangan garis panduan yang kita berikan kepada sekolah."

Mengapa soal labuh atau singkat diambil kira sangat oleh guru-guru yang membuat kerja bodoh itu? Jika saya menjadi Pengarah Pendidikan Negeri, saya akan meminta mereka meletak jawatan. Adalah wajar mereka dikenakan tindakan tatatertib. Ramai lagi orang lain yang boleh menjadi guru dan mahu menjadi pendidik. Kata kawan saya,"Ingat cikgu, semalam cikgu gunting tudung pelajar. Esok-esok tangan cikgu pula di'gunting'."

Kontroversi 2.

Perkara kedua pula melibatkan melibatkan warga NST. Orang kuat NST meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan orang-orang yang membuat bantahan berkaitan isu karikatur yang disiarkan dalam NST minggu lepas. Betapa tidak cukup tulisan versi dalam Bahasa Inggeris di New SundayTimes, tulisan beliau turut mewarnai Berita Mingguan. Tersentuh dan amat sakit hatinya apabila dipanggil dengan panggilan yang menyakitkan hati. Tetapi apakah dengan bidang kuasa yang dimilikinya beliau tidak boleh menghalang perkara tersebut daripada berlaku? Mengapa beliau tidak mengambil iktibar daripada peristiwa yang melanda akhbar di Sarawak?
Baca juga benarkah NST tiada niat lain?

Jumaat, Februari 24, 2006

Awas! Mee kuning bahaya.

Berita baik yang diterima semalam.

Hari ini KOSMO! menyiarkan berita Mee kuning yang mengandungi Asid Borik dan Ezchericia Coli (E. Coli sebut E-Kolai). Asid borik merupakan bahan kimia yang digunakan untuk mencuci fungus dan kulat. Digunakan sebagai detergen untuk mencuci bahagian sulit manusia. Jika anda sudah membeli Mee kuning sila buat eksperimen kendiri dengan merendam sedikit mee dalam air kunyit. Jika air kunyit bertukar menjadi merah, ini bermakna terdapat asid borik di dalam mee yang digunakan untuk memastikan mee tidak berkulat. Asid borik boleh menyebabkan barah @ kanser. E. coli pula merupakan kuman yang terdapat dalam najis manusia dan haiwan. Boleh menyebabkan keradangan usus dan keracunan makanan. Menyebabkan dihidrasi, cirit-birit dan boleh membawa maut.

Khamis, Februari 23, 2006

Kadang-kadang saya bingung.

Saya juga tidak faham mengapa sesetengah weblog tidak boleh dibuka menggunakan PC yang mendiami bilik ini. Malang lagi weblog yang dimaksudkan termasuklah semua kepunyaan saya. Weblog lain seperti Universiti Terbuka PTS, Tok Rimau, Sinaganaga, bukunota, M.Abd.Halim, Pn. Nisah Haron, dan Amirulreza, Salafian, Tawel dan Zaidakhtar boleh dilayari dengan baik. Saya cuma boleh menghantar artikel ini di dalam borang entry tanpa melihatnya tertera di laman web sebenar. Pun begitu, kandungannya yang tidak lengkap masih boleh dilihat di Bloglines.

Saya namakan fenomena ini sebagai Internet's craziness iaitu istilah yang dirujuk kepada sistem internet yang gila-gila. Jika dalam sistem terdapat kegilaan, maka dalam kehidupan kita juga ada perkara yang sama. Seorang ahli akademik dikatakan gila, seorang saintis dikatakan gila, seorang pemikir juga dikatakan gila. Mereka sinonim dengan gelaran tersebut kerana hanya pandai berteori, tidak berjejak dan bersangka-sangka menggunakan fakta ilmu tanpa diterjemah dalam realiti kehidupan. Namun lain halnya seorang akademik yang turun padang. Lain halnya dengan saintis yang realistik. Lain pula halnya dengan pemikir tulen. Siapa pemikir tulen? Pemikir tulen adalah pemikir yang dapat menggagaskan pemikiran dalam apa jua hal yang realistik. Seorang ahli akademik hanya dihormati sekiranya beliau menunjukkan sendiri teori yang dikatakan. Seorang saintis akan dikagumi penemuan sainsnya apabila betul-betul berjaya menterjemah kajian secara santifik. Manakala seorang pemikir akan diterima dan dikagumi buah fikirannya apabila dia sudah tiada, dan perkara yang digagaskannya dapat dimanfaatkan pada ketika itu.

Ada satu kisah seorang pensyarah pengurusan yang hebat. Bercakap dan mengajar ilmu pengurusan di dalam dewan kuliah. Satu hari dia terfikir untuk mencuba ilmunya, dia tidak mahu lagi berteori. Ilmu pengurusan yang menggunung di dalam dirinya diaplikasi untuk mengurus sebuah syarikat. Syarikat yang diterajui menawarkan khidmat pengajaran dan pembelajaran al-Quran. Setelah dibuat dan melalui pahit manis menguruskan sebuah syarikat, barulah dia sedar betapa dalam banyak hal kita sebenarnya lebih bercakap daripada melakukannya. Kesimpulan yang cuma dibuat oleh saya di sini ialah jika anda tidak berada di tempat seseorang, jangan memandang enteng peranan dan fungsi yang dimiliknya.

Anda mungkin pernah berkata, "apalah si fulan tu, buat kerja tidak profesional." Atau
"Lebih baik bagi kepada aku untuk membuat kerja itu. Aku boleh buat lebih baik daripadanya!"

Hal ini amat menyakitkan jika anda sendiri mendengar kritikan pedas daripada orang lain terhadap diri anda. Betul? Jika anda tidak terasa apa-apa, maka andalah yang paling baik yang pernah saya temui.

Moral: Buat dulu, baru boleh bagi komen. Jangan komen sembarangan.

Hari Ini Dalam Sejarah


Hari ini dalam sejarah. Jika di dalam televisyen ada slot Hari Ini Dalam Sejarah, maka saya juga ingin menulis 'Hari ini Dalam Sejarah'. Arkib kehidupan setahun yang lalu.

Pada hari ini 22 Feb 2005, seorang pelajar telah ingkar menerima arahan mengikuti Lawatan Sambil Belajar ke Kilang Carsbulk (bukan nama sebenar. Tapi sebut Kalsbej ala-ala gitu lah yang buat air bikin pening kepala. Kata orang Arab al-Khamru, ia wujud di Malaysia) di Shah Alam. Menurut catatan arkib, beliau telah mengingkari arahan pensyarahnya daripada mengikuti lawatan tersebut sebagai memenuhi aktiviti pembelajaran lestari. Lawatan diwajibkan kepada semua pelajar yang mengikuti kursus Rekabentuk Loji dan Ekonomi II. Pada asalnya, kumpulan lawatan dibahagikan kepada dua, satu ke PETRONAS Melaka, dan satu lagi ke Shah Alam. Setelah terkejut menerima berita penyenaraian tersebut, pelajar tersebut telah berbincang dan membuat pertukaran dengan seorang rakan Cina. Pertukaran di peringkat mereka berjaya, tetapi tidak diluluskan apabila usul dibawa kepada pihak atasan. Alasannya, pelajar tersebut mesti melihat sendiri teknologi fermentasi yang tercanggih di kilang Carsbulk. Kenapa? Pelajar tersebut juga mengambil kursus pilihan iaitu Kejuruteraan Biokimia.

Memandangkan usul peringkat atasan ditolak, maka pelajar itu dengan beraninya memutuskan untuk tidak mengikuti lawatan tersebut. Beliau telah menulis surat tunjuk sebab kepada pensyarah berkaitan dan menunjukkan sokongan perkara sampingan yang perlu dihadirinya. Menurut pelajar itu, bagi tidak mengecewakan dan rasa salah sangka pensyarah beliau memaklumkan keperluan untuk hadir dalam satu majlis bersama VC di kampus induk. Dan hari ini dalam sejarah telah genap satu tahun. Siapa yang mengatakan saya silap akan melihatnya sebagai 'kebebalan' diri saya. Bagi saya, apa yang perlu saya belajar adalah apa yang baik dan berguna untuk kebaikan diri dan agama saya juga.

Dan saya boleh menukilkannya kerana dalam statistik saya, tidak ada mana-mana pelajar atau pensyarah di kampus ini yang membaca coretan-coretan saya. Saya juga tidak fikir ini suatu kesalahan untuk menyatakan ketegasan saya dalam hal ini.

Saya juga telah mencoret resensi buku Falsafah Hidup Hamka.



Isnin, Februari 20, 2006

Pesanan buat belia.

Maal hijrah masih segar kerana kedatangan Muharram 1427H sedang dilalui oleh kita. Dalam prinsip Kaizen yang dipelopori oleh bangsa Jepun, mereka berjaya bangkit sebagai sinar baru ekonomi Asia Timur selepas 50 tahun kehancurannya. Kaizen yang dihayati oleh bangsa Jepun memartabatkan tamadun bangsa manusia kerdil Asia Timur pada tahap yang membanggakan. Kemajuan material yang dicapai oleh Jepun mengkagumkan dunia Barat, tahap keilmuan Jepun melonjak menjadikannya pendahulu dalam teknologi dan sains.

Kisah kebangkitan bangsa Jepun diperingatkan sempena maal hijrah untuk mengajak kita berfikir dan merenung nasib bangsa kita. Imam al-Ghazali dalam wasiatnya berkaitan tamadun bangsa adalah seperti berikut; “Kegemilangan sesuatu bangsa terletak pada keunggulan muda-mudi bangsa tersebut.” Jika mahu melihat masa depan sesebuah tamadun bangsa, lihatlah keadaan muda-mudinya. Golongan belia menurut statistik dalam bancian penduduk pada tahun 2001 menunjukkan sejumlah 49% daripada masyarakat Malaysia adalah belia, daripada jumlah itu 55% adalah Islam (Pemerkasaan Belia: Cabaran, realiti dan harapan, Azizuddin Ahmad). Belia didefinisikan sebagai mereka yang berumur di antara 15 hingga 40 tahun.

Golongan belia merupakan penggerak, perobah, reformis dan pendokong aliran pemikiran baru. Al-Quran sendiri dalam surah al-Kahfi memperihalkan keberkesanan gerakan belia yang mampu menggugat kekuatan raja yang kafir. Tujuh pemuda dalam kisah Ashab al-kahfi merupakan contoh terbaik bagaimana peranan belia amat signifikan kepada jatuh bangun sesebuah tamadun bangsa. Lantaran kesedaran raja yang zalim terhadap ancaman yang bakal dihadapi, dia memburu pemuda yang beriman itu sehinggalah mereka menyelamatkan diri dengan bersembunyi di dalam gua. Melarikan diri yang dibuat bukanlah menunjukkan mereka pengecut, sebaliknya sebagai strategi jangka panjang untuk menghadapi raja yang zalim. Kisah ini amat baik untuk direnungi oleh belia masa kini memandangkan tampuk kepimpinan negara akan diwarisi oleh mereka.
Baca artikel seterusnya.
Coretan dinihari 17 Feb 2006, jam 0300.

Ahad, Februari 19, 2006

MIBS 1

Pada 17-19 Feb. 2006, Persatuan Mahasiswa Islam USM Kampus Kejuruteraan menganjurkan program motivasi yang diberi nama Mahasiswa Islam Bersama Sekolah (MIBS). Program ini telah berlangsung dengan jayanya di SMK Panglima Bukit Gantang, Parit Buntar, Perak. Seramai 70 peserta mengikuti program MBIS yang diadakan buat julung kalinya. Peserta terdiri daripada pelajar tingkatan 3,4,5 dan 6. Syabas! Buat semua fasilitator yang terlibat. Program tamat pada 1.30 petang 19 Feb. 2006. Berita seterusnya akan dicoretkan pada waktu dan ketika yang lain.

Dalam program tersebut terdapat permainan Kembara Minda ala-ala Explore Race, pada setiap perhentian perserta diberi soalan teka-teki yang mencabar minda. Saya selitkan dua soalan logik yang tidak dapat dijawab oleh kebanyakan peserta di tempat perhentian yang saya jaga.

Saya sertakan grafik ringkas untuk memberi jawapan kepada pembaca-pembaca semua.
Soalan pertama


Soalan kedua



Konsepnya sama seperti soalan pertama.


Khamis, Februari 16, 2006

Inisiatif Nanoteknologi Malaysia.

Tahukah anda? Inisiatif Nanoteknologi Nasional (INN) atau dalam bahasa Inggerisnya National Nanotechnology Inisiative (NNI) dilancarkan dengan rasminya pada 4 Julai 2005 oleh TPM di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Pengerusi Jawatankuasa Teknikal INN yang pertama ialah Prof. Halimaton yang juga Pengarah IIS UTM.

Menurut sahabat saya, nama INN dibahaskan selama hampir satu jam setengah (90 minit) sebelum ia dirumuskan sedemikian rupa. Persoalan nama INN kenapa tidak Institut Nanoteknologi Malaysia @ nama-nama lain dibahaskan dari segi aspek bahasa teknikalnya. Perkara ini ditimbulkan ketika kami sama-sama membincangkan tajuk yang paling ideal untuk buku syarahan pelantikan profesor oleh ketua projek nanotiub karbon USM pada 13 April 2006 nanti. Perbincangan tajuk yang sesuai mengambil masa 75 minit! Saya mencadangkan tajuknya 'Nanotiub karbon pemacu nanoteknologi Malaysia' seperti yang dihantar kepada Dewan Kosmik (DK). InsyaAllah, rencana tentang nanotiub karbon akan terbit dalam DK edisi Mac 2006. Jika editor memikirkan tajuk lain yang lebih menarik, terpulang kepada kebijaksanaan mereka. Artikel tersebut mengandungi sejarah nanotiub dan kaedah kajian nanotiub yang dijalankan di Malaysia.

Tahukah anda? Malaysia memperuntukkan RM144.4 juta untuk membangunkan teknologi nano dalam Rancangan Malaysia Ke-8 (2001-2005). Sehingga kini, terdapat 58 penyelidikan dijalankan di beberapa buah universiti dan agensi kerajaan. Pecahan-pecahan kajian adalah seperti berikut:

USM - 20
UTM - 16
UPM - 14
AMREC/SIRIM - 4
UKM - 3
UiTM - 1

Statistik diambil daripada senarai yang dikeluarkan oleh INN.
Apa itu nanoteknologi? Teknologi yang menggunakan skala satu per bilion meter. Atau satu darab sepuluh kuasa negatif sembilan. Apa sahaja teknologi yang berskala nanometer (nm) tergolong dalam kategori ini.

Lagi capaian berita pelancaran NNI di UTM


PS: Sempat lagi mencoret sementara menunggu mayat seorang pelajar yang meninggal jam 7.30 malam 15 Feb 2006. Ketika coretan ini, jam 12.30 malam mayat masih di hospital kerana laporan polis belum selesai. Mullah menghembus nafas terakhir di biliknya selepas bermain bola sepak. Sudah ajalnya, al-Fatihah buat Allahyarham Nik Shah Akhzen, Polimer 2 (PPKBSM). Kami sedang menunggu untuk urusan mandi, kafan dan menyembahyangkan jenazah mullah di sini. Kalau begini, jam 2.00 lebih baru siap semua pengurusan jenazah ni......