Isnin, Oktober 09, 2006

Jalan-jalan.


6 Okt. 2006.

Bertolak dari Taman Selesa pada jam 7.30 pagi. Tiba di premis firma Kumpulan Belton Sdn. Bhd pada jam 9.30 pagi Sungai Siput Utara. Pelajar yang membuat latihan industri di sini kebetulannya mengambil cuti. Maka kami hanya berbual-bual dengan Jurutera Kualiti (QA Eng.) yang bertindak sebagai penyelia pelajar tersebut di situ.

Kumpulan Belton menghasilkan peralatan mekanikal dan membekal peralatan tersebut kepada syarikat kereta terkemuka seperti Honda, Daihatsu, Nissan, Hyundai, NAZA, Modenas, dan lain-lain.

Kemudian, kami bertolak ke EDS Electronic Sdn. Bhd di Bota dan tiba pada jam 11.30 pagi. Kilang elektronik yang menghasilkan cip ini terletak jauh di kawasan yang strategik di Bota. Memiliki 700 orang pekerja, mempunyai empat jabatan dan setiap jabatan mempunyai 60 orang jurutera. Kilang ini menghasilkan mikroprosesor dan mikrocip yang dieksport ke Jepun, Taiwan, Singapura, dan China. Menariknya, kami perlu menanggalkan kasut, sebelum masuk ke ruang tamu pejabat dan memakai selipar khas yang ditetapkan. Begitu juga pekerja-pekerja syarikat ini.

Kemudian kami berjumaat di Universiti Petronas, (UTP) di Tronoh.

Siapa kami tidak penting, kerana saya menjaga hak privacy sahabat-sahabat saya. Maka mereka tidak akan dinyatakan dalam tulisan mahu pun dalam gambar.

Khamis, Oktober 05, 2006

Sampai bila kita mahu diperbodohkan?


Di awal puasa dahulu, seorang rakan kecoh mempertahankan usulnya bahawa Mee Maggie tidak boleh dimakan walaupun ada tanda halal. Gesaan itu selaras dengan kenyataan CAP dalam buku Halal Haram yang diterbitkannya tahun lalu.

Maka saya memang sejak awal lagi tidak makan Mee Maggie kerana berpantang kepada makanan-makanan seperti ini selain daripada air minumam berkarbonat dan segala macam cekedih. Cekedih itu bahasa dialek Terengganu dan Kelantan yang bermaksud makanan ringan, yang berencah macam Twisties dan yang seumpamanya. Saya juga berpantang daripada mengambil burger selepas hebohnya cerita tentang status halal makanan segera itu. Dan saya juga sudah lama memboikot kedai makanan segera seperti KFC, McD, Marrybrown dan yang seumpamanya. Hal ini tidak lain, kerana penting kepada minda dan hati orang seperti saya.

Maka timbullah idea seorang sahabat untuk meyakinkan orang yang bertentangan pendapat dengannya. Beliau mengambil pek Mee Maggie dan membuat penyemakan status halal di hompej JAKIM. Alangkah terkejutnya! Keputusan menunjukkan bahaya produk dengan kod bar yang tercatat pada pek pembungkus Mee Maggie adalah KOD BAR bagi makanan ringan SMARTIES Crushed 4 x 2kg MY. MY di belakang adalah piawai pengenalan negara iaitu Malaysia. Apakah data JAKIM salah dan mereka tidak menyedarinya atau bagaimana? Lihat bukti di atas.

Rabu, Oktober 04, 2006

Lumut Melambai-lambai.

Subuh 4 Oktober 2006.
Solat Subuh ditunaikan di masjid Permatang Tok Mahat, kebetulan sepanjang Ramadhan ini, kuliah Subuh diadakan selepas solat sehingga jam 0700. Penceramah membicarakan tajuk Lailatul Qadar.

Sebelum itu disentuh juga sunnah nabi iaitu mandi di antara Maghrib dan Isyak. Jumhur ulama bersepakat bahawa, mandi selepas Asar pada bulan Ramadhan hukumnya makruh.

Imam Mujahid rahimahullah berkata, 'suatu hari nabi Muhammad S.A.W menceritakan kehebatan jihad seorang bani Israel selama 1000 bulan. Maka sahabat menjadi takjub kepada kehebatan jihad itu. Lalu turunlah surah Al-Qadri'.

Dari Imam Ad-Dailami dari Anas bin Malik radiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa nabi Muhammad S.A.W bersabda, “Sesungguhnya Allah Ta’ala telah mengurniakan kepada umatku Lailatul Qadar dan ia tidak pernah dikurnian kepada umat sebelum kamu.”

Hebatnya lailatul Qadar, ganjarannya lebih baik daripada 1000 bulan, iaitu 83 tahun 4 bulan. Bayangkan jika seseorang itu umurnya secara purata 60 tahun, dan mula melakukan ibadat selama 35 tahun (dikira bermula umur 15 tahun, umur mukallaf), dia berpeluang bertemu 35 kali lailatul Qadar. Andai setiap tahun, dia mendapat lailatul Qadar, maka ganjaran di sisi Allah untuk malam mulia itu sahaja menjadi ibadah seolah-olah dilakukan selama lebih daripada 35 000 bulan! Atau lebih daripada 1458 tahun tiga bulan. Betapa itulah kehebatan umat akhir zaman.

Akhir kuliah, penceramah menjual buku LAILATUL QADAR, AMALAN & CARA SALAFUSSOLEH MEMPEROLEHINYA dengan harga RM10.00. Buku ini diterbitkan oleh Madrasah Zubaidiyah, Merbok, Kedah. Hanya taipan ayat empat surah Ad-Dukhan pada muka surat 22, ditaip salah dari kiri ke kanan. Isi kandungan yang lain semuanya ok.

Jumaat hingga Ahad, majlis Tilawah Al-Quran Antara Desasiswa USM akan berlangsung di perkarangan Pusat Islam. Manakala seorang yang dipanggil NAIM di Pusat Islam akan bertolak ke Lumut selepas selesai solat Subuh 6 Oktober. Tidak sempatlah saya mendengar khutbah Jumaat  di Pusat Islam. Saya akan bersama-sama pelajar Universiti Kuala Lumpur Malaysia Spanish Institute (UniKL MSI) selama tiga hari.

Jumaat, September 29, 2006

Setelah lima hari berpuasa....

Beberapa hari lalu, saya menyiapkan satu artikel bertajuk Cabaran Hamlatul Quran. Artikel yang membincangkan perkara yang menjadikan seorang penghafal al-Quran sangat teliti. Seperti ketelitian seorang pengukir, seorang penghafal al-Quran perlu teliti mengenalpasti perbezaan kecil yang terdapat di dalam ayat al-Quran.

Hampir seminggu melaksanakan ibadah puasa, beberapa perkara sudah berlangsung. Bermula pelancaran aktiviti Ramadhan dan sumbangan kepada fakir miskin (Hilal Ramadhan) pada 23 Sept. 2006. Diikuti pelancaran Kempen Bi’ah Solahah pada 28 Sept. 2006. Dan beberapa acara lagi bakal menyusul seperti majlis Tilawah Al-Quran peringkat Desasiswa USM, sambutan Nuzul Quran dan Majlis Meraikan Anak-anak Yatim, dan akhir sekali Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Selain itu kaunter pembayaran zakat fitrah sudah dibuka. Kadar yang ditetapkan oleh PUZ Pulau Pinang ialah RM4.70 seorang. Pembayaran boleh dibuat melalui amil-amil yang bertauliah. 

Mantik Bulan Puasa. (Peristiwa: Membayar zakat).

Saya mendapat tauliah Amil zakat.
Saya dilantik oleh PUZ Pulau Pinang.
Maka saya boleh menerima bayaran zakat.

“Selamat Menunaikan Kefardhuan Zakat. Zakat membersihkan harta anda.”

Selasa, September 26, 2006

Ramadhan: mampukah kita?


Firman Allah yang bermaksud, “Bulan Ramadhan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran, sebagai petunjuk kepada manusia dan menerangkan petunjuk dan pembeza di antara yang hak dan batil (al-Furqan)…” (185: al-Baqarah)

Individu muslim dilihat daripada zahir. Luaran ini menjadi justifikasi bagi orang lain menilai keislaman dan Islam itu sendiri. Suasana hari ini, manusia menilai sesuatu berpandukan pelakunya. Begitu juga Islam, agama suci ini kebanyakannya dinilai dengan melihat kelibat manusia yang membawa Islam sebagai anutannya. Lebih malang lagi, penilaian itu diberatkan kepada hal-hal yang negatif melebihi yang positif. Perkara ini sebenarnya biasa, kerana yang buruk inilah perlu diberi perhatian untuk diperbaiki.

Dewasa ini, kita menyaksikan ketidaksiuman sosial yang melanda budaya timur. Orang-orang timur yang sinonim dengan akhlak yang terpuji, nilai estetik dan sopan santun semacam sudah dirobek budaya liar. Gejala sosial yang melanda umat Islam kini amat membimbangkan. Pertembungan nilai barat dan timur telah menyebabkan akulturasi dalam keadaan umat Islam tidak mempertahankan keaslian budaya mereka. Sebagai akibatnya, umat Islam lebih berbangga untuk berbudaya barat yang dimomokkan sebagai kemodenan. Mengejar kemodenan yang membuta tuli itu telah melenyapkan jati diri muslim secara halus tanpa disedari.

Hidangan-hidangan lazat berupa program hiburan sudah menenggelamkan kebanyakan umat Islam dalam lautan budaya hedonis. Kerancakan program realiti TV berorientasikan hiburan amat ketara. Bahan bacaan berkaitan gosip artis dan dunia hiburan lebih diminati berbanding dengan bahan bacaan ilmiah yang berat. Pembikinan filem kita juga sudah sehaluan dengan filem barat yang menghidangkan aksi-aksi panas yang mengghairahkan. Malah lambakan filem Hollywood, Bollywood, Korea, Mexico dan Indonesia juga telah merevolusikan pemikiran pembikin filem kita untuk menghasilkan filem-filem seperti itu.

Hedonisme secara falsafahnya ialah apa sahaja yang menyeronokkan. Hidup untuk berseronok dan berseronok dalam hidup. Fahaman ini dicanang oleh musuh-musuh Islam agar umat Islam leka. Kelekaan itu menjadikan umat Islam kurang memberikan perhatian kepada soal agama. Umat Islam menjadi tawar hati untuk menterjemahkan kehidupan sebagai muslim. Bagi mereka, Islam hanya diamalkan dalam juzuk tertentu yang terkandung di dalam rukun Islam. Selebihnya, kehidupan mereka tidak berkaitan dengan Islam. Maka bertepuklah musuh Islam menyambut kemenangan mereka ke atas umat Islam.

Kesan daripada penjarahan minda ini;

1. Remaja-remaja Islam lebih gemar membaca bahan bacaan picisan yang berkaitan dunia hiburan. Terdapat lebih daripada 50 buah majalah hiburan di Malaysia!
2. Menurut kajian pakar motivasi, Dato’ Fadhilah Kamsah kira-kira 80% remaja Islam tidak solat.
3. Putera UMNO telah berjaya mengumpulkan 8000 orang Mat Rempit (termasuklah beratus-ratus orang minah rempit) dalam program kembara di Teluk Batik. Program Kembara itu menyebabkan orang-orang Melayu yang punya sensitivi Islam yang tinggi tidak berpuas hati dengan cara pengisiannya. Ia lebih membawa banyak kesan negatif daripada yang positif.
4. Filem-filem Malaysia sudah bersifat global yang memenuhi piawaian antarabangsa terutama dalam aksi ranjang. Filem-filem seperti Gubra, Sepet, Rempit, dan drama Janji Diana sudah berani mengangkat tema panas itu tanpa segan silu artis Melayu yang melakonkannya. (Awas! Anda dinasihatkan tidak menonton filem ini. Jika anda menonton filem-filem ini, saya tidak bertanggungjawab. Saya nyatakan mengikut maklumat yang diperoleh sahaja tanpa menontonnya).
5. Ibu bapa menggalakkan anak mereka menyertai program realiti TV berorientasi hiburan kerana program ini telah terbukti mampu menjadikan anak-anak mereka jutawan segera. Alangkah eloknya, seandainya terdapat program perintis saintis (Scientist’s Apparentic)** dilaksanakan. Jika dalam masa setahun, program ini menghasilkan sekumpulan sepuluh orang saintis muda, dalam masa sepuluh tahun akan datang, Malaysia akan memiliki 100 orang saintis tulen.
6. Gaya pemakaian wanita-wanita Malaysia sudah banyak longgar. Semacam fesyen baju yang dibuat tidak cukup kain. Pendedahan bahagian badan yang ketara;layak untuk dipakai ketika mandi secara sembunyi sahaja.
7. Kes-kes sumbang mahram meningkat. Apabila orang-orang tua terangsang nafsunya melalui visual dalam filem-filem, telenovela dan drama-drama, maka yang menjadi mangsa ialah anak-anak gadis dan cucu perempuan mereka sendiri! Tidak kurang juga kes-kes yang melibatkan adik-beradik.

Cukuplah tujuh perkara ini, hati saya sudah hiba untuk mencoret lebih banyak.

Soalnya, apakah Ramadhan yang dihadapi sekarang sebagai madrasah tarbiyyah mampu mengembalikan jati diri Melayu muslim? Komposisi bangsa di Malaysia majoritinya dipegang oleh bangsa Melayu yang ditafsirkan sebagai muslim. Dalam banyak hal, bangsa Melayu juga menjuarai kes yang melibatkan gejala sosial. Kenyataan yang pahit ini bukanlah penghinaan buat orang Melayu, tetapi sebagai menjentik minda fikir kita untuk menyelesaikan kemelut umat Melayu. Semoga ibadah puasa dapat membantu kita menyelesaikan isu mat rempit, bohsia, bohjan, bohtua, lepak dan sebagainya.

Pun begitu, masalah ini akan selesai andai semua kita menjaga perkara asas iaitu solat. Jika semua orang solat dengan sempurna, maka solat itu mampu mecegahnya daripada melakukan kemungkaran. Pada tahap yang lebih tinggi pula, pelaksanaan hukum-hakam yang berkaitan dengan jenayah, dan dikuatkuasakan dangan adil. Orang yang kaya dihukum sama dengan orang miskin dihukum. Hari ini, kebanyakan kes berprofil tinggi yang menyebabkan orang kenamaan, terlepas. Di mana penguatkuasaan undang-undang dan keadilannya?


Nota kaki:

*akulturasi: penyerapan unsur-unsur kebudayaan daripada suatu budaya kepada budaya lain.


**Scientist’s Apparentic; maksudnya kita bukan hanya melahirkan saintis yang boleh menghasilkan ciptaan atau penemuan sains di peringkat universiti. Malah lebih jauh dapat mengkomersialkan produk itu untuk dimanfaatkan. Jika sekarang, memanglah ramai profesor di universiti yang hebat-hebat, tetapi berapa ramai pula di antara mereka yang berjaya mengkomersialkan hasil penyelidikan mereka? Skop untuk menghasilkan teknokrat perlu diperluaskan bukan dalam bidang ICT sahaja, tetapi perlu juga merangkumi biidang pembuatan.

Rabu, September 20, 2006

Hari-hari terakhir Sya’ban 1427H.


Semalam, setelah pulang dari Kelantan, kami tiba di Padang Serai pada jam 11.30 malam. Rumah tersebut menjadi transit sementara kami sebelum bertolak dua hari sebelumnya. Saya mengambil keputusan untuk bermalam di bilik tamu rumah sahabatku sahaja. Sementara yang lain pulang ke destinasi masing-masing.

Sampai sahaja di kampus, saya dimaklumkan perihal pilihanraya kampus yang sedang hangat. Syukur, calon yang dicadang oleh saya berjaya melepasi prosedur-prosedur pencalonan. Saya sudah sediakan surat tunjuk sebab sebagai tidak menghadiri sesi penamaan calon kerana berada di Kelantan.

Pada malamnya, jam 2230 majlis rapat umum diadakan. Semua calon pilihan (dan setakat ini pro-aspirasi sudah menang selesa 11 kerusi) saya merupakan penerima anugerah sijil dekan. Hebat! Tidak boleh tidak, penyertaan dalam pilihanraya kampus sememangnya penting agar suara kecil dari kumpulan yang berfikrah Islam dapat disuarakan. Rata-rata calon di dalam rapat umum membentangkan beberapa manifesto yang secara asasnya sama. Perkara yang ditekankan ini meliputi kebajikan mahasiswa, ketelusan pengurusan, integrasi kaum, dan peningkatan imej (rebranding) Pusat Pengajian masing-masing.

Secara umum, perkara-perkara ini saban tahun diulang-ulang di dalam rapat umum PRK. Persoalannya, sejauh mana manifesto ini dapat dijayakan? Saya melihat, keadaan seperti ini bukan retorik calon-calon. Namun begitu, biasanya selepas mendapat kepercayaan mereka menjadi mandum dan kaku untuk merealisasikan manifesto; mungkin juga dek kerna kerenah birokrasi. Saya tidak bimbang untuk mengatakan calon-calon tidak berwibawa, tetapi kewibawaan mereka selalunya disekat atau tidak mendapat sokongan pihak pentadbiran.

Sesiapa sahaja sama ada calon pro-aspirasi dan bukan pro-aspirasi yang pernah menduduki kerusi empuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) pasti bersetuju dengan saya. Menyalahkan mereka seratus peratus bukanlah sikap yang baik. Hal ini bermakna, setiap jentera pilihanraya yang ditubuhkan bagi menaikkan calon harus meneruskan kesinambungan bagi memberi kekuatan kepada calon-calon yang menang melaksanakan manifesto dengan jayanya. Jika mereka gagal menyempurnakan tugasan yang dibebankan ke pundak mereka, kita tidak harus menuding jari menyalahkan mereka. Satu jari telunjuk ditujukan kepada mereka, sedang yang empat lagi tertuding kepada diri kita sendiri!

Selamat mengundi. Pilihlah calon yang betul-betul berwibawa. Dan jika tidak salah, saya mahu anda memberi sokongan kepada calon-calon Islamis seperti yang saya cadangkan. Mungkin calon-calon yang menang boleh menyuarakan pandangan agar pihak Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (HEPP) memansuhkan ‘kewajipan’ menyertai Kem BTN yang kononnya sebagai syarat kepada pengijazahan.

Khamis, September 14, 2006

PIRAKA




Pagi tadi, aku menemui jua Dr. Menal di Pusat Kesihatan. Batukku sudah jadi luar biasa. Datangnya menjelang maghrib, sesudah solat maghrib, aku kan berkokol. Bergegar-gegar segenap ruang dengan bising dari kerongkongku. Dan aku tidak boleh buat apa-apa kerana tenaga untuk batuk itu sudah meletihkan. Bahagian abdomen juga telah berpetak-petak buat seketika, sebagai tanda otot-otot perut ‘terlatih’ dengan ‘senaman’ berat. Maka jadilah bahagian perutku yang sedia kempis lebih terserlah bentuk segi empatnya yang berketul-ketul (syukur; perut saya tidak pernah boroi).

Dan doktor memberi beberapa jenis ubat, termasuk antibiotik, Lozeng, Loratadine, Paracetamol (walau pun aku tidak demam), Diphenhydramine Expectorant. Yang pasti, aku tidak akan makan paracematol kerana aku tidak demam, hanya batuk-batuk. Kemudian Dr.Menal juga memeriksa saluran pernafasan menggunakan alat yang tergantung di bahu doktor itu (maaf, aku lupa nama alat itu). Pemeriksaan ini menurutnya perlu dibuat dua kali sehari bermula hari ini hingga Jumaat. Bermakna hari ini hingga 15 Sept.2006 ini, aku mesti menemui beliau pada jam 8.30 pagi dan 4.00 petang.

Kemudian, aku juga mengisi beberapa keping borang. Argh!!! Di mana pen hitamku? Bilikku yang menjadi tumpuan umum, memang jadi begini. Siapa yang menggelapkan pen hitamku? Akibatnya au mengisi borang menggunakan pen biru. Pada penyata tatacara mengisi borang, hanya dinyatakan “Borang ini hendaklah diisi dengan HURUF BESAR.” Tidak pula dinyatakan, “Sila guna pen HITAM.” Akibatnya borang itu perlu diisi semula. Aku serahkan kepada orang lain mengisi borang itu bagi pihakku. Dan borang panas ini, sama panas dengan bahang pilihanraya dengan kesongehan dan suasana susah payah yang dicipta untuk calon-calon pro-aspirasi ummah. En. J sudah telefon, telefon sebelah bilikku dahulu dengan meminta orang yang mengangkatnya supaya mengawasi pergerakan pelajar-pelajar.

“Apa? Semua mesyuarat yang dibuat di sini, mendapat persetujuan saya. Saya bertanggungjawab. Jika En. J menuduh mereka membuat mensyuarat HARAM, sila buktikan!” terdiam En. J yang menyibuk itu. (Huh! Padan muka). Apabila diminta tarikh dan waktu yang tepat, dia tidak dapat memberikan jawapan. Semua mesyuarat di bawah bumbung PI direkod.

Perhatian! Ini blog! Dan setiap watak yang ditulis adalah rekaan semata-mata. Jika terkena, anggaplah kebetulan Cuma adanya. Dan saya kan bertolak ke Kubang Kerian pada petang Sabtu, 16 Sept.2006.

PIRAKA adalah pemanjangan daripada singkatan kata PRK yang akan menguji 'ketelusan' demokrasi kampus.

Isnin, September 11, 2006

Hiba seorang diktator

Menjelang hari-hari terakhir seorang pemimpin. Itulah yang boleh saya katakan. Dahulunya dia seorang sang diktator yang hebat. Tiada siapa yang berani menganggu-gugatnya. Semua keputusan akan diterima dengan anggukan. Semua akan menyokong tanpa belah bahagi.

Tercatat juga dalam sejarah pemerintahan dia, selaku sang diktator yang berhadapan dengan pencacai, pengampu dan tukang bodek. Arakian, tersebutlah kisah pada satu ketika sang diktator tidak mahu memberi kerusi perjawatan memegang tampuk pemerintahan dalam pilihanraya. Maka sehebat-hebat dia, rupanya pengampu nombor satu ini lebih licik. Diugutnya kepada diktator dengan sekeping gambar yang ‘panas’ dan menyentap keamanan diri sang diktator. Tidak boleh tidak, demi sebuah maruah, dia terpaksa memberi laluan kepada pengampu nombor satu untuk terus kekal.

Pabila dia turun, sang pengampu masih lagi menjadi pengamu dan pencanang, Laksana pendekar hebat yang menghunus pedang. Meski pedang merah tanpa sarung yang terhunus itu belum dicabut. Tercatat dalam kisah, ada cadangan dari negeri kayangan supaya dicabutkan keris itu. Tapi aku mahu bertanya, kalau dicabut keris, tidaklah nanti ropong bahtera itu. Jika lompang, masuklah air laut yang nampak kebiruan itu lalu lebih cepatlah karam kapal itu. Berbalik kepada cerita sang pengampu, apabila bekas ketuanya dihentam, dia juga menunjukkan sikap taat setia yang sama. Yang penting, sang pengampu mahu dilihat sebagai orang yang setia.

Dan kini sang diktator yang turun menjadi orang kecil yang tidak dipandang lagi. Dia sudah boleh menangis dan meraung-raung tanpa didengar dan dipedulikan oleh sesiapa. Benarlah, dia telah dipanjangkan umurnya untuk melihat natijah kerosakan yang diasaskan olehnya dahulu. Pasti lebih perit, kerana kesan negatif itu menimpa batang hidungnya sendiri!

Ooo cerita ini bukan menmpelak sesiapa. Cuma lakaran kreatif anak-anak merdeka dari bumi Malaysia. Awas! Ini Blog.

Selasa, September 05, 2006

ASS KB 2006


Kenangan Akedemi Sastera Siber (ASS) KB.
Pagi itu, jam 4 pagi sudah sampai ke stesen bas SKMK di pusat bandar KB. Aku mengambil peluang untuk ’bersantai’ di hadapan Kedai Telekom yang bertentangan dengan stesen bas. Bangunan yang memuatkan Pustaka Muda Osman nampaknya telah berubah, terdapat dua buah hotel bersebelahan. Yang aku perasan, Hotel Azam merupakan perniagaan ketiga tauke kedai foto dan penggurup wang Azam itu. Dahulu, ketika tempat rehat di hadapan pusat membeli belah Bersatu, sekitar tahun 1999, Hotel Azam belum wujud.

Aku mengambil peluang untuk memaklumkan kepada sahabatku untuk mengambilku sebaik sahaja selepas Subuh pagi Jumaat itu. Sambil memerhati panorama KB yang sudah dinaiktarafkan menjadi bandaraya Islam. Di hadapan tempat aku duduk, terdapat penjual kuih-muih berniaga. Peniaga larut malam sampai Subuh rupanya. Sewaktu mampir Subuh, enjin kren mula berbunyi. Memasang pasak bangunan, cerucuk konkrit bagi pembinaan sebuah lagi pasaraya Giant. Dahulunya tapak yang dibina Giant merupakan tempat letak kereta, pada bulan Ramadhan peniaga-peniaga juadah berbuka puasa membuka gerai masing-masing, sebelum menutup sebelum siren Penguatkuasa MPKB berbunyi sepuluh minit sebelum Maghrib. Pada malamnya, ia menjadi tapak untuk menunaikan solat sunat Taraweh.

Menghayati malam di KB tidaklah menakutkan. Tiada gangguan atau kerisauan, kerana kehidupan KB pada malam hari agak selamat. Berbeza dengan kota metropolis di pantai barat, pasti ada manusia yang mencurigakan. Dan pasti membimbangkan, terutama pengalaman sendiri yang dialamiku pada suatu Subuh ketika dalam perjalanan ke Masjid Jamek. Syukur, pagi itu ’pengekor’ yang mengikutku sambil menghulur tangan dan mulutnya tidak habis-habis meminta seringgit dua agak tidak ganas. Dalam keadaan tidak ganas itu pun, aku sebenarnya sudah cuak pada tahap yang maksima. Bermula dengan peristiwa minggu pertama September tahun lepas itu, aku mengambil sikap berhati-hati apabila menjejak kaki ke KL. Keamanan di KB bagiku mungkin suatu rahmat. Tetapi bukan bermakna anda akan selamat dan tidak berjumpa dengan perkara yang tidak baik.

Ketika sampai ke rumah sahabatku di Panji, aku berkemas diri. Kemudian aku dibawa makan nasi berlauk di kedai yang paling laris di sekitar KB. Ya, memang laris. Sama lah larisnya Nasi Lemak Rasa Sayang di tepi Rasa Sayang Golf Club & Country (padang Golf Rasa Sayang) di Sungai Petani. Ketika kami sampai, sudah ramai orang yang beratur menunggu giliran untuk membeli nasi berlauk, ditapau untuk keluarga masing-masing. Cuma pembeli-pembelinya terdiri daripada pakcik-pakcik, guru-guru, dan pelajar yang bercuti pada hari Jumaat. Lain pula halnya dengan Restoran Nasi Lemak Rasa Sayang, pengunjungnya yang berebut-rebut pada waktu pagi adalah pekerja-pekerja kilang, pakcik-pakcik dari Taman Ria Jaya, atau orang-orang kaya yang bertandang ke padang golf. Satu perkara yang saya kesani ialah, kelarisan atau kepupoluran sesebuah kedai makan, sebenarnya lebih banyak dipengaruhi oleh promosi mulut ke mulut. Selain mutu penyediaan makanan yang tentunya menyelerakan dan pelbagai (banyak opsyen lauk). Jika begini, tidak perlu mereka menyediakan bajet pengiklanan yang beribu-ribu untuk mengiklankan perniagaan mereka.

Ayah sahabat saya merupakan pensyarah pencen. Dia merupakan bekas pensyarah di Akademi Pengajian Islam UM (APIUM). Semasa bersembang-sembang dengannya, beliau menceritakan pengalaman beliau berubat di Seremban. Ketika duduk menunggu giliran, ada seorang Cina bertanya khabar tentang Kelantan. Beliau menjawab, ”jika mahu tahu keadaan Kelantan, lawatlah sendiri. Jika saya cerita, tidak adil bagi kamu, sebab saya orang Kelantan.”
Begitulah ceritanya.

Beliau menyangka orang yang bertanya itu belum pernah ke Kelantan. Maka orang yang bertanya itu melanjutkan kata. ”Oooo....saya sudah ke Kelantan. Dan saya selaku ahli perniagaan selama 35 tahun, belum pernah saya berjumpa dengan seorang Menteri Besar yang mudah untuk ditemui. Sedangkan di sini, jika mahu berjumpa MB, kena buat janji temu secara hitam putih dahulu. Sedangkan romobongan kami, apabila sampai ke Kelantan pada awal pagi, kami menelefon pejabat MB sekitar jam 10 pagi. Bertanya secara lisan apakah MB Kelantan mempunyai masa pada hari tersebut. Maka MB Kelantan, meminta SU kerjanya memaklumkan ketua rombongan kami untuk bertemu beliau di rumahnya selepas waktu Asar. Begitulah mudahnya berurusan dengan MB Kelantan, tidak ada protokal yang ketat.”

Sampai ke Hotel Perdana, saya lepak-lepak di hadapan pintu utama selama sepuluh minit sebelum mendaftar diri. Kemudian, bermulalah ASS.

Hah!? Mana catatan ASS-nya? Maaflah.......cerita tentang ASS telah banyak diperkatakan oleh Ode, Drirwan, Airmas, dan cikgu Ramy. Jadi saya tidak mahu memanjangkan cerita lagi.

Isnin, September 04, 2006

Coretan 'merengsa'.

Hari ini saya diminta menyediakan kertas kerja berkaitan ‘Kualiti Penyeliaan’. Oh, saya masih ingat, minggu lepas saya baru mendapat pengesahan senarai sepuluh jawatan yang dipohon melalui JPA. Doakan moga-moga suatu hari saya dipanggil JPA untuk temuduga perjawatan itu, walau saya nampak sejuta kemustahilan.

Kualiti Penyeliaan – Apa itu penyelia? Peranan Penyelia, ciri-ciri penyeliaan yang baik, penugasan (delegation), dan beberapa terma lain berkaitan pengurusan seliaan telah saya baca. Teliti dan teliti.

Hari ini, saya masih lagi tidak segar sepenuhnya. Satu tempoh yang agak lama berbanding siri-siri sihat-tidak-sihat yang dilalui sebelum ini. Tapi saya tidak kisah, mungkin disebabkan tiada istirehat yang lestari, maka tahap kesihatan tidak kembali ke tahap yang memuaskan.

Semalam juga, sebelum Isyak, saya diminta mengisi borang. Borang berkaitan hal-hal kunjungan ke USM Kampus Kesihatan buat kali kedua. Dan semalam juga saya menjeling-jeling surat yang difakskan oleh urusetia program tentang hotel-hotel yang boleh ditempah untuk penginapan selama dua hari, 15-16 Sept. 2006. Nampaknya, 14 Sept kami sudah kena bertolak dari Pulau Pinang ini berserta delegasi lain dari kampus induk.

Semalam, juga.........aku maklumlan pada seorang sahabatku, bahawa ada ’gunung berapi’ di bawah tulang duduk sebelah kiri. Ini penangan kuman Staphylococcus Aureus yang tidak berbahaya. Namun ayahku telah belikan Antibiotik juga untuk mengawal keganasan kuman ini. Dek sakit itulah, demamku masih bersimpati kepadanya. Kataku, ”sudah berdarah. Tapi masih degil-degil tidak mahu keluar isi-isinya. Kena cari kapur makan ni.”

Kapur makan dicampur madu lebah, kemudian disapu di sekeliling tempat keluar darah. InsyaAllah, ia kan menyerap naik nanah dan darah kotor dengan baik. Tapi....... tidak sempat juga mencari kapur makan, madu dan apa-apa. Keperluan masaku semalam dan hari ini juga, dan esok, esok, dan esok selepas esoknya juga tertumpu pada kertas kerja ini. Kualiti penyeliaan.

Sekian.

Isnin, Ogos 28, 2006

Tunai Untukku

Tajuk: Tunai Untukku
(Muhasabah Akademi Sastera Siber, Hotel Perdana KB)

Semalam,
Aku kadangkala tersenyum,
Retina menangkap wajah baru,
Buat sekian kali namaku disebut tiga kali,
Dari kotak suara pengetua ASS.

Kala menghayati sang ‘Pemain Bahasa’,
Menjiwai watak patriot dan Islamik,
Pejuang tulen anak watan Pasir Puteh,
Terpegun aksinya, sebak tanpa paksa,
Luar kawalan sadarku…air mata merembes.

Hari ini,
Tidurku terganggu batuk-batuk suara parau,
Kujampi air pengganti Paracetamol,
Terbetik dari jiwa lembutku barangkali,
Barangkali…..ini kaffarah Ilahi,
Kerna semalam ingatanku kepadaNYA,
Tidak seperti kelmarin.

Tuhanku,
ENGKAU saksikan muhasabah ini,
Buat kusedar dari lekaku,
ENGKAU tunaikan mercu tanda kasih,
Kasih Tuhan buat hambaNYA.

26 Ogos 2006,
Teratak 137 FELCRA Bukit Kapah.
Kuala Berang.

Dan aku masih tidak kebah, kahak kuning mula memenuhi tengkukku.
Mungkin esok atau lusa, akan kebahlah, InsyaAllah.
BILA SAKIT, BARU KITA MENGELUH, TAPI MASA SIHAT, JARANG KITA SEBUT DAN RFAKKAN KESYUKURAN KEPADA ILAHI.

Jumaat, Ogos 18, 2006

Khutbah Pusat Islam 18.8.2006

Sidang Jumaat Yang DiRahmati Allah Sekalian,

Marilah kita sama-sama mempertingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benarnya. Yakni dengan melaksanakan segala titah perintah dan suruhan Allah s.w.t serta bersegera meninggalkan larangan-Nya. Sesungguhnya hanya dengan mentaati Allah sahajalah kita akan menjadi orang yang mendapat keuntungan sama ada di dunia mahupun di akhirat. Janganlah kita derhaka kepada Allah, kelak kita akan menjadi orang yang rugi dan balasannya amatlah pedih lagi dahsyat.

Saudara Kaum Muslimin Yang Berbahagia !

Hari ini suasana perang di antara Israel dan Hizbullah agak lengang. Kelegaan ini hanya dicapai setelah gencatan senjata yang masih dipatuhi oleh Israel. Sebelum ini, sejarah telah membuktikan berpuluh-puluh siri gencatan senjata yang dilanggar oleh Israel apabila berhadapan dengan Palestin.

Secara umum, analisis perang menunjukkan 152 orang terkorban di pihak Israel, dan lebih seribu orang termasuk orang awam terbunuh di Lubnan. Angka kematian di pihak Israel memanglah sedikit, kerana Hizbullah berperang dengan tentera. Manakala tentera Yahudi Israel membuat serangan membuta tuli membabitkan orang awam yang tidak berdosa. Dari segi moral, Hizbullah telah berjaya kerana mematuhi etika perang yang digariskan selaras dengan tuntutan perang dalam Islam.

Selain analisis umum di atas, terdapat satu laporan akhbar COMES bertarikh 17 Ogos 2006 yang lebih menggemparkan.

Satu laporan Amerika berkenaan kerugian Israel di Lubnan bocor kepada beberapa diplomat Lubnan dari Tel Aviv. Menurut laporan itu, sejak perang 12 Julai hingga 7 Ogos seramai 343 orang tentera rejim Zionis terbunuh dan 617 orang tercedera.

Kerugian ini disebabkan oleh roket Hizbullah yang menyerang dan menghujani peralatan tempur Israel. Bahkan laporan tersebut menyebutkan bahawa sebanyak 118 kereta kebal Israel musnah dalam keadaan terbakar, 46 rosak teruk dan 96 trak pengangkut tentera terbakar, selain sebuah Jeep dan sebuah jentera penolak yang musnah.

Padahal menurut laporan ini pasukan rejim Zionis menggunakan bekalan persenjataannya hingga 90% dari peralatan yang dimiliki militan Israel. Laporan itu juga menyatakan bahawa pasukan rejim Zionis yang terlibat dalam perang kali ini mencapai 40 ribu orang, 15 ribu di antaranya adalah pasukan simpanan. Bahkan dalam minggu pertama pasukan Amerika membekalkan pasukan rejim Zionis dalam operasi di Maron Rose dan Bent Jebail pelbagai jenis bom termasuk bom senyap digunakan. Tentera Amerika juga dilaporkan terlibat dalam operasi serangan udara dengan F16 di sebelah selatan Lubnan dan sebahagian daripada mereka tewas dalam pertempuran namun keluarga mangsa di Amerika diberitahu bahawa mereka terbunuh sewaktu bertugas di Iraq.

Al-Jazeera pula melaporkan sebagai berikut; sekurang-kurangnya 4 helikopter Apache, sebuah jet pejuang, dan 124 buah kereta kebal Merkava yang setiap satunya berharga 4.4 juta dolar berjaya dimusnahkan oleh tentera Hizbullah.

Pada awalnya, dunia mengetahui bahawa perang ini merupakan peperangan proksi. Amerika Syarikat yang menjadi sekutu kuat Israel sebenarnya mahu mengheret Iran ke dalam kancah peperangan. Amerika Syarikat mendakwa Hizbullah mempunyai hubungan yang rapat dengan Iran, dan menyangka Iran akan turut serta membantu Hizbullah. Nampaknya perangkap untuk mencapai cita-cita keanarkian AS tidak berjaya. ANARKI bermaksud penghapusan sesebuah tamadun bangsa oleh kuasa besar menggunakan apa jua cara yang difikirkan sesuai termasuklah perang.

Persoalan sekarang, apakah keamanan blok Asia Barat akan menjadi nyata? Dalam suasana perang yang meletus, dunia dikejutkan penutupan loji penapisan petroleum di Alaska. Penutupan ini menyebabkan AS kekurangan 400 ribu tong minyak sehari. Walhal sebelum penutupan loji Alaska, kadar penggunaan petrol di AS sudah tidak seimbang. Penjajahan AS ke atas negara-negara yang kaya dengan minyak adalah strategi penjajahan sumber tenaga ini. Maka, atas alasan keamanan AS sanggup melancarkan perang bagi mencapai maksud mereka. Apabila negara yang kaya dengan minyak dikuasai melalui pembentukan kerajaan boneka, mudahlah bagi AS menampung keperluan petroleum di negaranya.

Memang menjadi tujuan AS untuk menguasai Iran kerana Iran menjadi negara ke-2 terbesar dalam senarai negara pengimport petroleum (OPEC). Isu nuklear yang digembar-gemburkan hanyalah isu sampingan yang dibuat untuk menyembunyikan niat asal. Buktinya amat jelas. Korea Selatan dan India yang menghasilkan bom nuklear tidak disekat, malah AS mengadakan usahasama bagi menjayakan program nuklear dalam kedua-dua negara tersebut.

Rentetan daripada peperangan ini, banyak kemusnahan harta benda dan jiwa yang berlaku. Puluhan rakyat yang tidak berdosa menjadi pelarian. Penderitaan dan kesusahan yang mereka alami amat memeritkan. Mereka yang menjadi mangsa kehilangan tempat tinggal, sumber pendapatan, hilang pekerjaan, hilang suami atau isteri, anak-anak dan sanak saudara. Mereka juga diancam krisis kebuluran, wabak penyakit, dan trauma perang.

Mengenang semua kesusahan yang dialami, kita rasa terpanggil atas dasar persaudaraan Islam. Rasa terpanggil itu boleh dibuktikan dengan menghulurkan bantuan berupa doa dan sumbangan wang ringgit. Jika kita menyertai misi pengaman, rasa terpanggil itu dipenuhi dengan pemergian ke tempat yang dilanda perang. Selain doa dan harapan, kita masih mampu menghulurkan bantuan kewangan untuk memenuhi keperluan mangsa perang.

Hadirin, mukminin yang dirahmati Allah !

Kasih sayang dalam Islam merupakan fitrah yang mesti dijelmakan sepanjang hidup. Hal ini bererti rasa kasih sesama Islam tidak terbatas oleh jarak yang memisahkan, waktu, sempadan negara, perbezaan bahasa pertuturan, warna kulit dan budaya. Sabda Nabi Muhammad S.A.W :
“Sesiapa yang tidak menyayangi manusia, Allah tidak menyayanginya.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Dari rasa kasih, timbul keinginan bagi kita menghulurkan sebahagian daripada lebihan yang ada pada kita. Semua yang dihulurkan tidaklah bermakna akan berkurang seperti berkurang nilai pada zahirnya. Malah apa-apa jua sumbangan yang dihulurkan mempunyai nilai pahala yang tidak terhingga di sisi Allah S.W.T.
Firman Allah dalam ayat 261 surah Al-Baqarah :


Maksudnya, “Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya ke jalan Allah, samalah seperti setangkai padi, setiap tangkainya terbit seratus biji padi, dan demikian Allah melipatgandakan kelebihan (pahala) kepada sesiapa yang dikehandaki-Nya. Dan Allah Maha Luas kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui.”

Menginfakkan harta ke jalan Allah adalah seperti membelanjakan harta bagi membantu pembiayaan pendidikan Islam, pembangunan masjid, pembelaan terhadap anak-anak yatim, penajaan majlis-majlis ilmu dan menyalurkan bantuan kewangan/ harta benda di dalam perang sabil.

Perbelanjaan harta ke jalan Allah juga merangkumi perbelanjaan yang dikeluarkan untuk membantu saudara Islam yang dilanda kesusahan. Dalam konteks hari ini, infak harta yang boleh dilakukan ialah dengan tujuan memberi pengharapan untuk meringankan bebanan saudara seislam kita di Palestin dan Lubnan khususnya.

Saudara sidang Jumaat rahimakumullah !

Kedudukan orang-orang yang menderma di sisi Allah sangat istimewa. Allah meletakkan diri-Nya sebagai pihak yang meminjam, walaupun pada hakikatnya kitalah yang meminjam daripada Allah. Manusia yang diletakkan sebagai peminjam menunjukkan betapa mulianya kedudukan orang yang menderma dalam Islam. Firman Allah dalam ayat 11 surah al-Hadiid,

Mafhumnya; “Siapakah orangnya yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah melipat-gandakan balasannya? Dan (selain itu) dia akan beroleh pahala yang besar!”

Menyedari dua perkara yang disebutkan berkaitan kelebihan orang yang menderma, mimbar menyeru kepada hadirin muslimin agar menghulurkan sedikit kepunyaan kita bagi meringankan penderitaan rakyat Lubnan dan Palestin. Hulurkan bantuan, ringankan penderitaan.
Minggu ini sudah masuk minggu kedua pelancaran Tabung Bersamamu Palestin Lubnan dibuat. Syukur ke hadrat Ilahi, kerana sambutan yang diberikan pada minggu lepas memberangsangkan.

Bagi sesiapa yang tidak berkesempatan untuk menyumbang pada minggu lepas, bolehlah berbuat demikian pada minggu ini sehingga tarikh akhir kutipan ini dibuat iaitu pada 25 Ogos 2006. Semoga sumbangan tuan-tuan diganjarkan kelebihan yang selayaknya oleh Allah.
-------------

alhamdulillah.... hari ini kedua-dua khutbah yang ditulisku dibacakan di kampus Kejuruteraan dan kampus Induk.

Selasa, Ogos 15, 2006

Perkasakan kemerdekaan Muslim

Falsafah Kemerdekaan.

Merdeka dari aspek sosiologi atau kenegaraan bermaksud bebas daripada cengkaman pentadbiran kuasa luar. Sesebuah negara yang berdaulat diperintah dan ditadbir oleh penduduk asal sesebuah negara. Manakala merdeka dalam aspek kerohanian bermaksud bebas melaksanakan tuntutan agama tanpa rasa curiga atau takut.

Kemerdekaan seorang Muslim.
Saya suka mengupas falsafah kemerdekaan mengikut al-Quran. Al-Quran yang kita baca mengisahkan cerita membebaskan diri yang hakiki, iaitu melepaskan diri daripada semua kesyirikan. Membebaskan diri daripada mempersekutukan Allah daripada segala sesuatu dikisahkan dalam peristiwa pencarian Tuhan (Allah) oleh nabi Ibrahim.

Firman Allah dalam surah al-An’aam, ayat 75-79.
[75] Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi dan supaya menjadilah dia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin.
[76] Maka ketika dia berada pada waktu malam yang gelap, dia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu dia berkata: "Inikah Tuhanku?" Kemudian apabila bintang itu terbenam, dia berkata pula: "Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang".
[77] Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: "Inikah Tuhanku?" Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: "Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat".
[78] Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: "Inikah Tuhanku? Ini lebih besar". Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: Wahai kaumku! Sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).
[79] Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain).

Dalam ayat ini, ketika nabi Ibrahim diajukan tentang Tuhan, baginda mengajak kaumnya mencari Tuhan. Apabila sampai malam, dikatakan oleh baginda kepada kaumnya (dengan kata-kata sebagai tujuan mendidik kaumnya, bukan dengan iktiqad) berkenaan unsur-unsur alam yang dipertuhankan oleh mereka. Sehingga kesemua unsur alam itu (bintang, bulan dan matahari) lenyap (yakni tidak bersifat hakiki, tenggelam timbul), baginda menyeru kepada kaumnya untuk tidak mempersekutukan Allah.

Hari ini manusia mempersekutukan Allah dengan mempertuhankan perkara lain. Di antara perkara yang dibuat ialah mengakui bahawa ada peraturan lain yang lebih tinggi berbanding dengan undang-undang yang digariskan di dalam al-Quran.

Ayat-ayat yang dibawa di atas, bersesuaian dengan sifat al-Quran sebagai yufassiruzzaman yang relevan sepanjang waktu. Arus dan gelombang segerombolan manusia dalam persatuan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia adalah roda pusingan kisah ‘pencarian Tuhan’ zaman moden. Dalam pada manusia Muslim resah dan gelisah kerana cita-cita melaksanakan perintah dan anjuran agama secara bebas, mereka diserang pula dengan serangan menyamakan agama. Inilah dia gagasan Islam plural yang sedang berjalan.

Menjana muslim berkualiti.
Arus kemodenan selaras dengan kemerdekaan negara tidak berupaya memerdekakan seorang Muslim secara total. Pendidikan Islam semakin ditekan dan dihenyak seolah-olah tidak penting kepada seorang Muslim. Cabaran yang dihadapi oleh kebanyakan daripada kita terutama ibu bapa ialah menerapkan praktis-praktis agama yang mantap. Tambahan pula, sudah ada gesaan supaya sebarang bentuk pengajaran agama dimanushkan daripada sistem pendidikan di sekolah kebangsaan. Sedar atau tidak, (untuk pengetahuan am), bahawa pakatan naib canselor IPT sudah menerima usul pemansuhan kursus berkaitan agama Islam di peringkat institut pengajian tinggi.

Usul ini sudah dipanjangkan, tetapi sehingga kini masih ditentang hebat oleh beberapa ahli akademik yang sayangkan Islam. Saya bimbang, sekiranya terjadi keajaiban, perkara ini akan berlaku seperti mana termansuhnya institusi agama tersohor di Terengganu. Tahukah anda? Rang Undang-undang pemansuhan Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) sudah diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu? KUSZA menjadi korban dan sejarah dalam kegemilangan sebuah institusi pengajian tinggi baru yang tumbuh di Terengganu iaitu Universiti darul Iman (UDM). Saya bukanlah menentang penubuhan UDM, tetapi langkah menguburkan KUSZA selaku institusi agama yang banyak melahirkan cendiakawan Islam adalah tidak wajar.

Semua pihak harus sedar, bahawa dalam keadaan yang kalut ini generasi muslim yang berkualiti perlu dilahirkan. Semestinya menjadi cabaran yang maha hebat kepada semua pencinta agama. Generasi muslim Rabbani mesti dilahirkan dengan harapan apabila setiap individu sudah memahami tuntutan agama, mereka akan mempertahankan agama semampunya. Golongan rabbani merupakan generasi yang mempunyai kepedulian yang tinggi terhadap agama. Mereka meliputi semua tanpa mengira bidang pendidikan dan kerjaya yang diceburi. Justeru, apabila semua elemen manusia dalam masyarakat ini menjadi manusia rabbani, dengan mudah kita mengembalikan semula kemerdekaan seorang Muslim.

Golongan Rabbani.
Saya katakan, bahawa sesiapa sahaja yang mukallaf berhak dan harus menghayati konsep rabbani. Ayat 79 surah aali-‘Imraan mengelaskan golongan rabbani kepada dua, iaitu mereka yang mengajar dan belajar kandungan al-Kitab. Sebagai manusia akhir zaman, umat nabi Muhammad shollaahu’alaihi wasallam, al-kitab yang kita pegang ialah al-Quran. Dengan adanya kesediaan dan kesedaran semua pihak, nampaknya tidaklah sukar untuk mencapai perkara ini. Cuma yang penting ialah setiap individu muslim membudayakan proses pembelajaran sepanjang hayat. Mereka sentiasa ghairah mencari dan memperkayakan diri dengan ilmu agama.

Maka tidaklah hairanlah sekiranya dewasa ini kita melihat ramai golongan yang cenderung kepada agama malah mendalami ilmu agama walaupun mereka telah berjaya memperoleh kelulusan yang tinggi dalam bidang profesional. Saya tidak mahu rigidkan terma profesional kepada sebahagian golongan sahaja. Kononnya profesional itu hanya peguam, doktor, jurutera, akauntan, arkitek dan saintis. Profesional dalam skop yang lebih luas ialah golongan yang mampu menggunakan kepakaran dalam sesuatu bidang untuk kepentingan orang lain. Maka sesiapa sahaja boleh menjadi profesional. Seorang ustaz, guru, pendakwah bebas, ahli motivasi, penoreh getah, petani, nelayan dan lain-lain mampu bergelar profesional.

Apa guna berada dalam kumpulan profesional, sekiranya tindak tanduk yang ditunjukkan adalah sebaliknya? Apa guna berada dalam kelas elit, sekiranya keelitan itu digunakan untuk menghancurkan Islam? Apa guna berada dalam persekitaran profesional sekiranya ruang itu digunakan untuk membantutkan perkembangan Islam? Jika anda menjadi profesional, gunakan segala ruang dan kesempatan untuk membantu dan memperkesakan Islam selayaknya. Tidak perlu kita memperhambakan diri kita sebagai ragi dalam proses penapaian ummah. Ragi dalam proses fermentasi seperti pembuatan tempe atau tapai merupakan agen yang memusnahkan fizikal asal bahan mentah secara licik. Meski ragi tidak sama sekali menghancurkan kacang soya, beras atau ubi, ia sebenarnya mencacatkan rupa dan penampilan bahan mentah yang asal.

Demikian juga peranan yang dimainkan oleh agen penapaian ummah dewasa ini. Mereka berselindung di sebalik nama liberal, pragmatis, kesamaan hak, hak asasi manusia dan isme-isme lain selain Islam; kononnya untuk kebaikan Islam. Walhal jauh dari itu, mereka menjadi agen perosak yang memusnahkan Islam. Saya menyeru, agar kemerdekaan yang kita capai dinaiktarafkan menjadi kemerdekaan hakiki dalam kontek seorang Muslim. Seorang Muslim yang merdeka bebas dan aman melaksanakan tuntutan agama tanpa ditekan atau disekat!

Rabu, Ogos 09, 2006

Hikmah kejadian.....


Dan hari ini….. hari yang agak malang bersulam gembira. .

Seorang editor majalah menghantar SMS, menyatakan cerpenku sudah baik. Cuma perlukan sedikit tambahan dalam beberapa patah kata lagi. Aku hilang punca. Sebab cerpen itu sudah mahu aku lupakan, dan aku tidak ingat kepada siapa aku hantarkan cerpen yang dicoret pada Disember 2005 itu. Sekarang sudah lebih enam bulan berlalu. Manalah saya ingat, kepada editor mana cerpen itu dihantarkan!

Maka sebermula daripada hari ini, saya perlu wujudkan sistem perekodan bagi setiap artikel atau karya kreatif saya untuk memudahkan saya merujuk semula. Kerana saya lupa begitu, dia hanya jawab “Editor”. Tanpa menyatakan majalah yang dikendalikannya. Sempat lagi dia berkata, “Kalau hantar kepada banyak majalah, saya batalkan sekarang.”

Saya jawab, “Baiklah. Batalkan. Semoga ini menjadi peringatan kepada saya supaya membuat rekod kepada penulisan saya pada masa hadapan.” Maka tidak akan terbitlah cerpen itu buat beberapa waktu. Maka seperti yang dikomennya, saya akan perbaiki dan kembangkan sedikit lagi cerpen itu. Dan mungkin dihantar semula kepada editor yang lain. Target saya penghujung tahun ini. Dan jika begitu, mungkin akan terbit (jika diterima) pada suku pertama tahun hadapan, insyaAllah.
Inilah keyakinan saya.

Pengajaran daripada kisah di atas: Anda tidak perlu menjadi rajin dalam membuat apa-apa kerja. Tetapi buatlah kerja yang betul dengan betul dan betul-betul. Kata orang putih, “Don’t be hardworking, but work smart. A smart man is better than a hardworking man.” Falsafah ini boleh diterima pakai.

Tetapi perkara itu tidak mengecewakan. Biarkan. Biarkan. Saya digembirakan oleh hasrat seorang kawan yang ingin membayar wang yang dipinjam. Salah seorang daripada beberapa orang yang meminjam wang daripada saya. Dia sudah bekerja sebagai jurutera. Dan mahu membayar secara beransur-ansur. Saya katakan, bayarlah, asalkan bayar. Temph bayaran tidak mengubah nilai asal bayaran kerana saya tidak menjalankan pinjaman yang bercampur riba sama ada dalam terma ‘bayaran perkhidmatan’ atau ‘bunga atas pinjaman’ atau ‘pampasan penghutang’ atau lain-lain.

Saya katakan, bayarlah ansur-ansur kerana saya juga perlukan wang untuk membayar PTPTN saya yang disertakan wang perkhidmatan melebihi 4%. Bagaimana? Jika betul 4%, jumlah bayaran semula adalah tidak setinggi nilai sebenar yang dinyatakan. Saya juga pening. Pinjam 28 ribu, bayar semula 35 ribu setengah…. Aduh! Untung betul perniagaan mereka, kerana meminjam dan kutip semula dengan caj perkhidmatan pengurusan seperti itu. Dan kepada peminjam PTPTN, bayarlah pinjaman pendidikan anda kerna yang dipinjam perlu dikembalikan.

Isnin, Ogos 07, 2006


PAGI hari. Anda menghadap segelas teh tarik dan sekeping roti canai. Tiba-tiba seekor lalat jatuh ke dalam cawan minuman anda. Apakah anda akan meminum airnya?# Anda mungkin tidak meminumnya kerana jijik dengan lalat tersebut. Pada hal dari segi saintifik air itu selamat diminum setelah lalat direndam seluruhnya di dalam air kemudian dibuang. Lalat yang biasa kita temui dan dibincangkan di sini merujuk kepada lalat rumah.

Definisi

Nama saintifik lalat rumah ialah Musca Domestica. Pengelasan lalat rumah menurut ilmu zoologi diletakkan di dalam order serangga yang dipanggil Diptera, iaitu serangga bersayap dua. Lalat mempunyai enam kaki dan badan bersegmen meliputi kepala, toraks, dan abdomen.

Kitar hidup.

Seekor lalat rumah (selepas ini hanya disebut lalat) melalui empat peringkat untuk mencapai kitar hidup yang sempurna. Perkembangannya bermula daripada telur, larva, pupa dan lalat dewasa. Satu kitaran lengkap mengambil masa di antara tujuh hingga sepuluh hari di bawah keadaan mantap. Masa ini dipengaruhi oleh kelembapan, ketahanan telur, suhu dan cahaya. Seekor lalat betina mampu bertelur sebanyak 2700 biji telur dan biasanya dalam kelompok-kelompok yang berbeza. Setiap kelompok mengandungi antara 350 hingga 900 biji telur.

Telur yang matang selepas enam jam ditingkalkan dan akan berkembang di dalam kepompong sehingga berukar menjadi lalat dewasa. Pada tempat yang lembap, larva boleh mendaki ke tempat yang lebih tinggi daripada permukaan kawasan telur ditinggalkan. Dalam satu kajian kes, terdapat larva yang berjalan sehingga 150 kaki daripada kawasan pembenihan. Larva kemudian bertukar menjadi pupa yang dilindungi kepompong dan membesar dalam masa tiga hingga enam hari. Lalat dewasa kemudian keluar dan akan bertelur selepas sebulan. Jangka hayat seekor lalat pula di antara satu dan dua bulan pada musim panas.

Cara makan.

Lalat tidak menggigit tetapi menyedut zat makanan seperti nyamuk dengan menggunakan belalai. Sebelum makan, lalat merembeskan saliva untuk melembutkan makanan. Hasil tindak balas kimia di antara saliva ke atas makanan menjadikannya bertukar dalam bentuk cecair, kemudian disedut. Lalat mempunyai lidah berbentuk penyedut (straw)

Lalat dari sudut pandang Islam.

Pada asasnya, lalat amat bahaya kepada kesihatan manusia dan haiwan kerana menjadi vektor yang membawa dan menyebar organisma berpenyakit. Bakteria dibawa di luar permukaan badannya. Apabila hinggap di atas makanan, lalat juga meninggalkan tahi yang akan menyebabkan keracunan.

Kisah lalat diceritakan dalam hadis nabi Muhammad S.A.W, pada suatu hari nabi bersabda yang bermaksud, “jika seekor lalat jatuh ke dalam minuman kamu, rejamkannya ke dalam air. Satu sayapnya mengandungi racun manakala satu sayap lagi mengandungi penawar.” (Hadis riwayat Bukhari, bilangan 537, jilid 4). Perkara yang sama dicatatkan juga dalam hadis yang diriwayatkan oleh imam Ahmad, Abu Daud, at-Tahawi, Said bin Khalid dan Thumamah ibn Abdullah ibn Anas.

Shah Wali Allah Ad-Dahlawi mengatakan di dalam kitabnya Hujjatullaahu al-Baalighah bahawa hadis ini menunjukkan Allah bebas memberikan setiap spesies yang beracun sistem imuniti atau penawar. Hal ini agar dapat memastikan kelangsungan hidup speasis tersebut. Racun pada lalat merupakan alat untuk mempertahankan dirinya sendiri daripada serangan musuh. Manakala penawar pula disediakan untuk memastikan keselamatan makhluk lain yang dicemari racunnya. Hukum timbal balik ini samalah seperti tindak balas di antara bes dan asid yang meneutralkan tahap kepekatan bes atau asid.

Lalat dilengkapkan penciptaannya oleh Allah dengan kandungan penawar pada sayap sebelah kanan dan racun di sayap kiri. Apabila merasa terancam, seperti kakinya terlekat di dalam air mekanisma pertahanan diri akan bertindak secara spontan. Sayap sebelah kiri dikepak mencecah air agar racun yang dimiliki berupaya menewaskan musuh. Namun begitu, biasanya air yang melekat pada sayapnya tidak mampu memberi kekuatan kepadanya untuk terus terbang. Ketika itu, sayap sebelah kanannya masih lagi tidak mencecah air. Justeru kitalah yang terpaksa menyelamkan lalat ke dalam air bagi memastikan racun yang terserak dineutralkan semula.

Dr. Gyath Hassan Al-Ahmad di dalam bukunya At-Tibb An-Nabawi fi Daw Al-‘Ilm Al-Hadith (Perubatan Kenabian dalam Sains Moden) melaporkan bahawa Dr. Nabih Da’ish menjalankan eksperimen di Universiti Raja Abdul Aziz, Riyadh. Dr. Nabih menyediakan sampel sepuluh kultur bakteria daripada air steril yang dimasuki lalat tanpa menyelamkan lalat. Sepuluh sampel yang ditenggelamkan lalat sekali, dua dan tiga kali masing-masing. Kemudian kesemua 40 sampel diperhatikan kandungan bakteria. Hasilnya, beliau mendapati koloni bakteria berkurang apabila jumlah selaman meningkat. Air yang tidak diselam lalat mengandungi paling banyak bakteria, manakala air yang diselam lalat sebanyak tiga kali mengandungi bilangan bakteria paling sedikit.

Selain itu, sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Dr. Jamaal Haamid dari Jabatan Mikrobiologi Perubatan, College of Science Qassim University menjalankan kajian penentuan jenis bakteria yang terdapat pada sayap lalat. Beberapa spesies lalat diambil untuk kajian. Dua piring petri diletakkan air steril, lalat dijatuhkan dalam piring kedua tanpa menenggelamkannya. Sebaliknya lalat dijatuhkan dan ditenggelam sepenuhnya dalam piring pertama. Hasil kajian mendapati lalat yang dikaji mempunyai bakteria E. Coli sp. yang diperoleh dalam piring petri kedua. Manakala dalam piring petri pertama, sejenis antibiotik Aktinomiesis (Actinomycis) diekstrak. Antibiotik ini merupakan antigen dalam sistem imun yang memusnahkan fungsi bakteria yang bertindak selaku patogen.

Penemuan yang menarik ini menentusahkan kehadiran racun dan penawar yang terdapat pada kedua-dua sayap lalat. Kajian oleh kumpulan Dr. Jamaal juga mengambil kira speasis lalat selain lalat rumah. Keputusan menujukkan walau pun jenis bakteria yang dimiliki berbeza, jenis antibiotik tetap sama. Antara jenis bakteria yang diperoleh dalam kajian ini termasuklah Staphylococcus sp., Salmonellas sp., Proteus sp., dan Coynibacterium Dephheroid.

Perkembangan teknologi perubatan akhirnya menggerakkan saintis sama ada Islam atau Barat untuk mengkaji kesasihan hadis rasulullah S.A.W ini. Dua penemuan sains yang dijalankan oleh saintis Islam mengesahkan kebenaran hadis nabi Muhammad S.A.W. Kita selaku orang yang beriman kepada kerasulan nabi Muhammad harus merasa takjub, lantas meningkatkan lagi keyakinan kita terhadap ajaran yang dibawa oleh baginda. Perkara ini sekurang-kurangnya menjadi hujah kepada orang yang beriman bagi menolak tohmahan kononnya nabi seorang ahli sihir atau seorang yang pandai mereka-reka perkara yang tidak pasti.

Bagaimana nabi Muhammad S.A.W mengetahui perkara ini sedangkan pada waktu itu belum ada teknologi yang canggih untuk mengesahkan kesahihan hadis baginda? Hal ini tidak lain melainkan nabi Muhammad S.A.W mendapat ilham daripada Allah secara langsung. Sesuailah dengan sifat baginda apabila bercakap. Allah menegaskan di dalam ayat 3 dan 4 surah an-Najm, mafhumnya;
“Dan dia (Muhammad) tidak bercakap mengikut hawa nafsunya. Melainkan apa yang diwahikan oleh pemberi wahyu (Allah)”

Glosari

Ø Antigen – Antibodi yang menjadi agen perencat kepada keaktifan virus dan bakteria yang menyerang sistem tubuh.
Ø Patogen – Bendasing yang hadir dalam bentuk bakteria atau virus yang mengganggu sistem pertahanan tubuh.
Ø Kultur – proses pembiakan bakteria yang digunakan dalam bidang biokimia, bioteknologi dan perubatan.
Ø Steril – bebas daripada sebarang bakteria atau bendasing.


-------------
*Sudah sebulan tanpa ada perkembangan terhadap coretan ini. Mungkin tidak sesuai dengan ketepan dalam dasar editorial majalah yang saya hantar itu. Maka elok juga saya siarkan di sini.
# Jika saya, saya akan minum air itu. Dan sudah terjadi kepada saya lebih daripada dua kali. (Banyak sangat lalat di kafe tempat saya makan, bila tiba musim lalat).

Ahad, Ogos 06, 2006

SDLY

Syukur, Al-Hamdulillah.....Mesej ini saya bawakan secara mentah-mentah. Saya tidak pandai mencoret ayat yang indah-indah kerana keindahan yang termat kadang-kadang menyukarkan untuk sampai kepada mesej sebenar. Saya coretkan beberapa perkara di dalam karya ini.



Sila klik untuk baca
Selamat Datang Lin Yuang.

Terima kasih.

Jumaat, Ogos 04, 2006

Salam Jumaat

Dan orang bertanya, di mana saya galak menulis?

Saya katakan di sini. Klik saja untuk membaca coretan terkini itu.

Dan sekarang saya sudah bersiap untuk menunggu penerbitan buku kompilasi Jiwa kacau 2, yang dalam proses penjilidan. Semoga ada di kalangan sahabat-sahabat yang sudi membelinya daripada saya apabila ia siap pada bulan Disember seperti yang dirancang.

Rabu, Ogos 02, 2006

Biadap!

Kumpulan Artikel 11.

1. All Woman Action Society (AWAM)
2. Bar Council Malaysia
3. Catholic Lawyer Society
4. Interfaith Spiritual Fellowship
5. Malaysian Civil Liberties Society, Protem Committee (MCLS)
6. Malaysian Consultative Council of Budhism, Christianity, Hinduism & Sikhism (MCCBCHS)
7. National Human Right Society (HAKAM)
8. Pure Life Society
9. Sister In Islam (SIS)
10. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
11. Vivekananda Youth Movement, Seremban
12. Woman's Aid Organisation (WAO)
13. Women's Development Collective (WDC)


Ruang kebebasan beragama dalam Perlembagaan telah diguna sebagai penguat untuk merealisasikan cita-cita mereka.

Dahulu, kecil-kecil aku diajar tentang Islam. Umur empat tahun, sudah mula kenal alif-baa-taa….

Tapi kini, generasi selepasku, bakal anak-anakku yang akan lahir dua tiga tahun ke depan nanti…..diminta supaya TIDAK DIAJAR ‘apa itu Islam’. Kononnya biarlah anak-anak yang mencapai umur 18 tahun tentukan sendiri agama anutan mereka. Yang pasti, jika mereka tidak kenal Islam sedari awal, bagaimana mungkin mereka akan memilih Islam pada ketika mereka sudah berumur 18 tahun?

Perlembagaan perlu digubal khusus untuk Islam, pindalah seperti ini; “Apabila seseorang dilahirkan dalam keluarga Islam, ibu bapa bertanggungjawab memelihara agama anutan anaknya iaitu (Islam).”

“Sekiranya seseorang telah Islam, tidak ada hak baginya menukar agama anutannya melainkan halal darahnya (dihukum mati mandatori) kecuali sekiranya dia bertaubat dalam masa tiga hari selepas didapati bersalah kerana murtad.”

Tetapi barangkali tidak akan ada peruntukan undang-undang seperti ini, kerana siistem perundangan Islam masih belum mahu didaulatkan di negara anda.

Berita bantahan forum Kumpulan Artikel 11 di JB

Jumaat, Julai 14, 2006

Bila hati berkaca



Semalam, tengah hari.
Mendapat panggilan daripada sebuah bilik di premis operasi Kumpulan karangkraf. Nombornya sudah disimpan di dalam direktori telefon bimbitku.

Dari suara pemanggil, aku sudah kenal empunya diri. Dia bertanya tentang alamatku. Aku katakan alamat di Terengganu itu boleh juga, tetapi alamat di USM lebih baik kerana terus sampai kepada saya. Maka ditanya 0.13 di hadapan alamat surat menyuratku. Aku katakan itu nombor bilikku. Itu bilik penginapan, bukan bilik dalam ruang Pejabat Am.

Khabar gembira. Aku sudah jangka.
"Tahniah! 'Menjana Generasi Celik Agama' telah dipilih," katanya.
Dia, lelaki berkaca mata. Seorang yang dipanggil ustaz di kalangan rakan sepejabatnya di Shah Alam itu.
"Terima kasih." Balasku.

Dia bertanya lagi mekanisma tuntutan hadiah. Dia memberi dua opsyen. Pertama, datang sendiri ke pejabat di Shah Alam. Kedua, pos.
"Kalau nak pergi, jauh sangat. Dulu saya dah pergi." Memang sukar nak dapat pelepasan dalam keadaan sekarang.

Dan tadi...
Ah! biarlah. Aku tiada mood apabila hatiku berkaca, tidak seperti semalam yang ceria. Ini bukan kes hati, ini kes luar biasa. Tunggukan sambungan 'Bila Hati Berkaca' dalam coretan 'Kes Luar Biasa' suatu ketika nanti....

Tunggu...........!

Rabu, Julai 12, 2006

Pelajar tak cukup

Pelajar yang ditawarkan ke USM Kejuruteraan seramai 799, namun hanya 676 yang mendaftarkan diri. Kekosongan ruang yang ditinggalkan menyebabkan Dekan Pusat Pengajian diberi kuasa menerima permohonan di luar bidang kuasa UPU. Yang saya betul-betul pasti, setakat ini yang saya tahu, 40 kekosongan di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE).


Permohonan terus melalui Dekan PPKEE boleh dibuat dengan menulis surat permohonan. Lepasan matrikulasi KPM atau yang setaraf, mempunyai PNGK 3.00 dan ke atas, layak membuat permohonan. Sebar-sebarkan kepada saudara mara anda, jika ada.

Berikut coretan dalam Mimbar Pusat Islam Julai 2006.

-------------

Warga Pusat Islam mengucapkan ahlan wasahlan wamarhaban bikum, dan tahniah kepada semua pelajar baru sidang 2006/07. Sememangnya amanah kemahasiswaan yang dipikul oleh anda merupakan agenda yang penuh dengan cabaran dan liku-liku. Selamat menjalani kehidupan sebagai pelajar bergelar mahasiswa bagi memartabatkan ketinggian nilai ilmu pengetahuan dalam bidang masing-masing.

Perubahan alam bagi menekuni bidang ilmu di universiti jauh berbeza berbanding dengan zaman-zaman persekolahan yang lalu. Justeru, cara dan pendekatan belajar mahasiswa/i juga harus berubah. Jika dahulu pelajar-pelajar berhadapan dengan konsep menerima lebih banyak daripada mencari, maka sekarang mahasiswa/i perlu menggali sendiri ilmu-ilmu sebagai menguatkan pemahaman dalam pembelajaran di dewan kuliah. Proses pencarian itu termasuklah bertanya kepada pensyarah, perbincangan dalam kumpulan, atau meminjam sumber-sumber rujukan di perpustakaan dan maklumat di internet.

Sebagai pelajar muslim, kebergantungan kepada Allah amat penting. Keghairahan menuntut ilmu tidak seharusnya melalaikan kita daripada memanjatkan kesyukuran kepada Allah. Maka niat belajar perlu diperbetulkan semata-mata kerana Allah, bukan kerana sekeping ijazah untuk dibangga-banggakan. Wacana minda mahasiswa muslim berbeza daripada pelajar bukan Islam. Ketinggian nilai ilmu yang dikuasai oleh ilmuan Islam akan menaikkan penghormatan orang bukan Islam terhadap agama Islam. Jika perkara ini difahami, mahasiswa/i Islam akan menunjukkan sikap dan watak yang selaras dengan tuntutan syariat Islam sepanjang proses menuntut ilmu.

Mahasiswa/i Islam perlu memiliki wawasan yang jelas. Hala tuju pendidikan ditetapkan sejak awal, dan boleh diguna bagi memartabatkan budaya ilmu di universiti. Penglibatan dalam aktiviti-aktiviti sampingan tidak seharusnya menjadi de factor yang merencatkan pencapaian dalam akademik. Memang tidak dinafikan, ilmu-ilmu pengurusan dalam aktiviti berpersatuan merupakan nilai tambah kepada ilmu-ilmu formal dalam bidang pengkhususan masing-masing di pusat pengajian. Justeru perancangan yang rapi mestilah dibuat supaya aktiviti berkaitan akademik dan luar seimbang, serta tidak mengganggu proses pembelajaran.

Dalam pada kita diperkenalkan dengan istilah ‘modal insan’ dalam Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9), mahasiswa/i merupakan salah satu golongan yang termasuk dalam kerangka sumber manusia ini. Alangkah hebatnya, jika modal insan itu dihayati dalam erti kata mahasiswa/i muslim mengekalkan jati diri muslim tanpa terpengaruh dengan stail dan budaya luar. Golongan yang menjadi harapan bangsa, agama, dan negara tidak seharusnya dicemari oleh anasir-ansir yang buruk. Mahasiswa/i seelok-eloknya memperbaiki padangan sesetengah masyarakat yang memandang serong ekoran penglibatan sebahagian mereka dalam aktiviti yang tidak sihat.

Ayuh! Kita gembeleng tenaga dan fikiran untuk memartabatkan nilai ilmu kerana manusia yang berilmu tidak sama dengan mereka yang jahil.



“..katakanlah (wahai Muhammad): Apakah sama orang yang mengetahui (berilmu) dengan orang yang tidak mengetahui (jahil)? Sesunggunya orang-orang yang mengambil peringatan itu adalah orang-orang yang mahu berfikir.”
(Az-Zumar: 9)