Memaparkan catatan dengan label perubatan Islam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label perubatan Islam. Papar semua catatan

Ahad, September 05, 2010

Ramadhan 7: Hadiah raya sebelum pulang 9 Sept

4 September, syarikatku menganjurkan program CSR di Masjid al-Hidayah Sentul. Aku dapat hulurkan bantuan sekadar yang patut sehingga jam 3 petang sahaja. Pada sebelah pagi, kami bergotong-royong menyediakan masakan berbuka puasa. Dan mengikut tentatif program, bermula selepas solat Asar majlis meraikan Anak Yatim dan Fakir Miskin bermula. Pun begitu, aku terpaksa mengundur diri kerana mendapat undangan berbuka puasa di rumah pengasas e-Sastera di pinggir Taman Tun Dr. Ismail (TTDI).

Rumah Dr. Irwan bersebelahan tanah Pak Lah (Tun), tetapi bekas PM itu tidak mendiami tanah tersebut setelah diberikan rumah oleh kerajaan semasa beliau menjadi ketua utama kerajaan. Khabarnya rumah itu sentiasa dihadiri pegawai polis. Dan khabarnya lagi, rumah itu menjadi tempat persembuyian Saiful Bukhari ketika awal-awal kesnya meletup melibatkan DSAI. Jadi boleh dikatakan kawasan rumah Dr. Irwan itu kawasan ‘selamat’.

Pada malam selepas bersolat Isyak, kami sama-sama menunaikan solat sunat Taraweh. Aku mengimami solat ini. Selepas solat ketika sesi moreh, Dr. Irwan mengumumkan statusku. Dan beliau membuat satu kejutan. “Kami ingin menyampaikan satu hadiah dan sedikit duit raya kepada Naimisa.” Ujar beliau.

Ya Allah! Memang DIA lebih mengetahui gerak hatiku seawal bertolak, iaitu aku berhajat mendapatkan sebuah buku (tentulah dengan membelinya). Hasrat itu diilhamkan-NYA pula dalam bentuk lain. Syukur. Alhamdulillah. Kebanyakan ahli eSastera (kerana mereka jauh-jauh) berkata, “Diam diam sahaja Naim.” Bukan sengaja, bagiku kalau dijemput pun, sekadar menjemput kosong. Aku tidak fikir mereka dapat hadir kerana masing-masing tentulah punya agenda raya yang tersendiri. Lagi pula, tidak ramai ahli eSastera yang pernah bersua denganku tinggal di Terengganu kecuali seorang.

Buku ini bagiku suatu yang bagus kerana mendapat sentuhan Khusus Tuan Guru Nik Abdul Aziz, iaitu pandangan sisi beliau hasil temubual setpolnya (Setpol sebelum Setpol yang baharu ini). Dari segi kandungan dan susun atur perkataannya serta matan-matan hadis dan doa yang dimasukkan sangat meyakinkan. Bagi saya buku yang bagus mestilah buku yang memiliki fakta yang tepat di samping ketelitian pada susun atur huruf dan ejaannya. Dengan itu pembaca tidak terganggu oleh langgam bahasa yang berbelit-belit atau kesalahan ejaan di sana sini. Yang menariknya dalam buku ini ditambah satu terapi ED (mati pucuk) melalui kaedah solat yang terbukti dari segi saintifik.

Allahumma ahsin li man ahsana ilayya (Ya Allah! Berbuat baiklah kepada sesiapa yang berbuat baik kepadaku)
Selamat Berhari Raya, Maaf Salah Silap.


Sabtu, Mei 29, 2010

Petua dari "Garam penghulu lauk-pauk."

Dalam hadis nabi, ada disebutkan tentang garam. “Garam penghulu kepada lauk-pauk.”
Betapa garam asalnya dari laut, apabila disejatkan menghasilkan kristal garam. Unsur tanah terdapat di dalamnya kerana dasar laut juga adalah tanah. Sebab itu garam juga diperoleh dari bukit dan dikenal sebagai garam bukit.

Kegunaan garam

  1. Membuang busuk ikan. Ikan apabila sudah lama terdedah di darat akan menjadi busuk. Untuk menghilangkan hanyir ini, ikan diredam dalam air garam.
  2. Merendam kerang supaya hilang tahinya. Dalam kaedah perubatan Islam, sesuatu perkara yang buruk diubat dengan asalnya. Kerang berasal dari laut, dan garam digunakan untuk meneutralkan keburukannya (tahi).
  3. Mengurang tahap kemasinan ikan masin. Ikan kering yang terlalu masin boleh dikurangkan kadar kemasinannya dengan merendam dalam air garam juga.
  4. Mengubat ghout. Ghout disebabkan pemakanan makanan laut yang berlebihan. Orang yang tinggal berhampiran pantai boleh menanam badan dalam pasir laut. Bagi mereka yang tinggal di bandar, garam kasar digoreng dan didemahkan di tempat sakit ketika garam masih panas.
  5. Merawat cirit-birit. Direa boleh diubat dengan meminum air yang dicampur sedikit garam.
  6. Merawat mabuk perjalanan. Sesetengah orang akan mengalami mabuk perjalanan setelah melepasi tempoh tertentu. Untuk merawat mabuk perjalanan, garam dicampur madu dan air dan diminum sebelum memulakan permusafiran.
  7. Garam diguna untuk merawat kegatalan. Air yang dicampur garam disapukan pada kulit yang gatal.
  8. Menambah imuniti badan akibat perubahan hawa/angin. Hal ini berlaku di sesetengah tempat di negeri Arab. Misalnya pelajar Malaysia yang berkunjung ke Arab akan mengalami alahan terhadap hawa/angin tempat baharu. Air garam diminum sebagai ubatnya.
  9. Menghilangkan penat kerana kerja berat. Amalan orang-orang Melayu tradisional yang bertani, bersawah atau bertukang ialah meminum air sejuk yang dicampur garam.
  10. Mengelak sihir/gangguan jin bagi mereka yang bermalam di hutan. Garam adalah sumpahan jin. Garam yang dijampi dengan Al-Fatihah (sekali) dan ayat al-Kursi (ayat 255 surah al-Baqarah – 7 kali) ditabur di sekeliling khemah.
  11. Mengelak gangguan syaitan/jin kepada bayi. Ada ketikanya bayi menangis waktu malam disebabkan dia nampak syaitan, bukan kerana lapar. Untuk mengatasi masalah ini, garam dicampur dengan bawang merah, bawang putih dan lada hitam. Campuran itu diletak dalam gelas/cawan/bekas yang terbuka. Bekas itu diletakkan di bahagian kepala bayi.
  12. Mengelak panahan iblis bagi lelaki yang beristeri kerana bekerja di kawasan hutan. Petua Melayu tradisional apabila ke hutan mereka akan terserempak dengan jin yang menjelma sebagai perempuan bogel di sungai. Akibatnya mereka teringat-ingat kepada jelmaan makhluk itu sehingga mengabaikan isterinya. Cara mengatasinya sama seperti yang dinyatakan dalam nota 10.
  13. Mengubat orang yang diganggu jin. Bagi orang dewasa yang dikhianati (disihir) cara mengubatnya ialah dengan meletakkan garam yang dijampi dengan al-Fatihah di perdu lidah. Perdu lidah ialah bahagian bawah lidah yang apabila diangkat akan nampak urat hijau lidah.

Petua perubatan Islam, Kuliah Magrib Ust. Hanafi Bin Abd. Rahman, 28 Mei 2010. Masjid al-Hidayah, Sentul, KL.