Jumaat, April 23, 2010

Bila saya menulis nota bunuh diri

Kadang-kadang dalam merenung ke dalam diri, terutama ketika tertekan; manusia sampai kepada puncak meminta kematian. Apakah dengan mati, masalah akan selesai? Apakah mati itu kita sudah pasti akan bersantai di alam barzakh sana? Sudah cukupkah bekalan untuk berhadapan dengan soalan munkar nakir? Sudah mulazamahkah kita dengan al-Quran sehingga al-Quran itu menjelma sebagai pemuda yang akan menemani kita di kubur? Sudahkah? Memang menjadi fitrah manusia, apabila tidak sabar menanggapi tekanan hidup, matilah yang difikirkannya. Pertama, anak Nabi Adam seperti yang diceritakan dalam surah al-Maidah juga memilih mati sebagai penyelesaian. Apabila seorang saudara kandung anak nabi Adam itu merasakan masalahnya tidak dapat diselesai mengikut nafsunya, dia sanggup membunuh. Dan dia betul-betul menjadi pembunuh pertama dalam sejarah peradaban manusia.

Firman Allah yang bermaksud, “Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil) dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): Sesungguhnya aku akan membunuhmu! (Habil) menjawab: Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa. Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam. Sesungguhnya aku mahu supaya engkau kembali dengan (membawa) dosa (membunuhku) dan dosamu sendiri. Maka dengan itu menjadilah engkau dari ahli Neraka dan itulah dia balasan orang-orang yang zalim. Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga dia tergamak) membunuh saudaranya, lalu dia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi. Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?. Kerana itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang menyesal.” (al-Maidah: 27-31)

Kedua, badai yang melanda kehidupan puteri 'Imran iaitu Maryam. Apabila dia mengasingkan diri dari masyarakat, suatu hari dia bersungut. Peristiwa ini dirakam Allah seperti berikut, “(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!” (Maryam: 23)

Maka apabila saya menuliskan sesuatu yang kononnya menggambarkan saya terfikir untuk membunuh diri, sebahagian orang memarahi saya. Saya tidak fikir itu kemarahan melulu sebaliknya sebagai nasihat agar saya tidak melakukan perkara yang bodoh. Dan saya juga tidak mahu mengakui diri saya cukup kuat sehingga dapat lepas daripada fitrah (kelemahan diri) yang sedia ada dalam setiap jiwa manusia. Kalau manusia sehebat Maryam pun, terlintas menghendaki kematian tatkala dilanda masalah, siapalah saya yang kerdil ini? Dan itulah sebenarnya (dengan menulis), saya dapat meresap sebahagian daripada kecamukan diri sehingga saya tidak menjadi sewel. Saya seorang yang tidak pandai berceloteh panjang untuk memaksa sesiapa sahaja mendengar masalah. Saya hanya pandai menulis, setekat inilah. Mungkin nanti, kalau saya sudah beristeri – dialah tempat terbaik untuk saya kongsikan masalah saya pula. -;)

Pesan saya, jangan sesiapapun cuba membunuh diri. Itulah jalan singkat ke NERAKA.

Tiada ulasan: