Sabtu, November 21, 2009

Mengulang dalam azan

133, Pada bab menyatakan tarji’ (mengulang) dalam azan.


Diriwayatkan dari Abdullah Bin Mahzurah, “Pada satu hari didudukkan aku akan Rasulullah SAW, lalu aku diajar azan.” Kata Ibrahim (cucu Abdullah Bin Mahzurah), “Dia diajar azan huruf demi huruf.” Demikianlah yang diambil dari Syibir Bin Mu’az (guru kepada Imam Tirmizi).

Abdullah Bin Mahzurah merupakan salah seorang daripada empat orang Muazzin nabi yang terkenal. Selain beliau, Bilal Bin Rabah, Abdullah Ibn Abu Maktum dan Sa’ad bin Aa-‘iz adalah bilal yang utama. Tarji’ (mengulang) dua kalimah syahadah dalam azan ialah menyebut asyhadu allaa Ilaaha Illa ALLAH (dua kali) sekadar didengar telinga sendiri dan orang yang bersebelahan sebelum mengangkat suara yang lebih kuat. Begitulah juga pengulangan untuk kalimah syahadah yang kedua.

Kata Idris al-Marbawi, hadis di atas terlalu ringkas. Ada lagi hadis lain yang lebih panjang. Suatu hari Abdullah Bin Muhairiz hendak pergi ke Syam. Lalu dia berkata kepada Abdullah Bin Mahzurah, “Aku hendak ke Syam. Ajarkan kepadaku kalimah azan kerana aku bimbang orang-orang Syam akan bertanya kepadaku darihal azan.” Lalu Abdullah bin Mahzurah bercerita tentang azan yang diperturunkan kepadanya dalam peristiwa di Hunain. “Ketika kami bertembung di Hunain (dalam peristiwa perang Hunain tahun kelapan hijrah), seseorang diarahkan azan. Apabila mendengarnya, aku (Abdullah Bin Mahzurah) mengikut muazzin itu. Sesudah itu, aku (dan beberapa orang sahabatku) dibawa menghadap nabi (seperti orang salah). Lalu Rasulullah SAW bersabda, ‘Siapakah yang mengikut orang azan tadi? Aku mendengar suaranya.’ Setiap orang yang dibawa menghadap nabi menunjuk ke arahku. Nabi mengarahkan aku azan.”

Dalam kisah yang panjang ini, Abdullah Bin Mahzurah akhirnya meminta agar nabi SAW melantiknya sebagai muazzin di Makkah. Maka baginda memberi arahan kepada Abdullah Bin Mahzurah supaya menjadi tukang bang di Makkah. Dalam hadis lain disebutkan bahawa Abdullah Bin Mahzurah menyebut kalimah azan ada 19. Jika dikira satu persatu, kita dapati hanya 15 kalimah. Maka empat kalimah lagi pada tarji’ dua kalimah syahadah. Manakala dalam iqamat terdapat 17 kalimah.


Kedudukan tarji’ dalam azan. Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Malik dan Imam Syafie sepakat bahawa tarji’ disyariatkan dalam azan. Manakala Imam Hanafi menyatakan tiada tarji’ dengan bersandarkan kepada hadis dalam peristiwa mimpi Abdullah bin Zaid. Hal ini bermakna jumhur ulama bersepakat dengan hadis Abdullah bin Mahzurah (tahun lapan hijrah), manakala Imam Hanafi berpegang pada hadis Abdullah Bin Zaid (tahun pertama hijrah). Jumhur ulama berpendapat tarji’ dalam azan adalah sunat. Pendapat yang lebih sahih di sisi ulama-ulama mazhab Imam Syafie bahawa tarji’ dalam azan adalah sunat.


- - - -

Ringkasan Kuliah Maghrib Ust. Raihan Abdul Aziz, 20 November 2009. Masjid al-Hidayah, Sentul. Perkara 133 – 137, Kitab Bahrul Mazi (Idris al-Marbawi).

1 ulasan:

Ahmad Zulfadhli Zulkefli berkata...

info yang merik.. =)