Jumaat, April 17, 2009

Sempena Pameran Buku Antarabangsa (KLIBF'09).


Sepatutnya mengikut jadual asal, saya ke PPMN di Ayer Keroh, Melaka. Tetapi perhimpunan itu ditunda ke 22 Mei nanti.



Satu.
18 April 2009.
Sebelum KLIBF, ada satu forum yang menarik untuk dihadiri.

Antara panelis yang tidak asing lagi, bagi merungkai topik menarik ini ialah Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hassan Ali, Dato' Ismail Kamus, Ustaz Solehin Muhyi dan Ustaz Zulkarnain.

Forum terbabit akan diadakan di Dataran Masjid Zakaria, Batu 9, Gombak dan dimulakan pada jam 9.00 malam.


Dua.

Saya ingin sekali hadir majlis pelancaran novel di bawah ini.
Seronok kalau dapat beli novel dan dapatkan autograf penulisnya.




JOm! Kita sesakkan ruang di Dewan Kedah/Johor, PWTC.

Khamis, April 16, 2009

Jalan raya kita

Semalam, kebetulan seusai kuliah maghrib saya singgah makan di kedai sebelah masjid. Salah satu topik yang dibincang dalam rancangan 360 ketika itu ialah aksi longkai. Longkai merujuk kepada orang tengah yang menunda kereta ke bengkel kereta apabila berlaku kemalangan. Satu kes kemalangan yang dipaparkan ialah sebuah kereta terbalik (turned turtle = tayarnya semua ke atas) kerana pemandunya dipercayai mengelak lopak air di tengah jalan. Betapa hal ini sangat menunjukkan betapa keadaan jalan tidak baik.



Sebelum ini saya pernah sajenkan (sajen = sajak jenaka) hal ini. Saya bandingkan kisah khalifah Usman apabila beliau bimbang kalau-kalau di akhirat nanti seekor unta mengadu kepada Allah bahawa kakinya sakit kerana melalui jalan berlubang.


Usman bin Affan

gelisahnya cukup teliti

"Jika di sana seekor unta mengadu

kerana jalan berlubang..."


Kini

sesiapa pun yang diamanahkan

jangankan jalan berlubang

belum berupa jalan pun

berlambak-lambak

mereka buat selamba sahaja


Mungkin mereka fikir

pemandu kita cekap belaka

bijak mengelak lubang berlopak

meski sampai tayar tercabut





Dan inilah respon yang diberi:

Merdu Andika 4/14/2009 10:01:36 AM

Gali lubang tutup lubang lumrah di orang tu...hehehehe salam



Naimisa 4/13/2009 5:11:30 PM

ustaz ramy :: oOOoooo telor.

ha'ah telor... saya ngerti.



ramy0722 4/12/2009 9:10:57 PM

Jangan bandingkan pemimpin kini dgn khalifah, naim..sbb mrk sebut nama nabi dan khalifah pun telor, camna nk contohi nabi dan khalifah..



Naimisa 4/12/2009 11:37:06 AM

cikgu has1mah ::: kita pun kena selamber jugak lah tolak mereka....hu3...


MB, saya pandu perlahan shj.... haha...

baru nak langgar....



ruhie isma ::: kawan saya kata, ayah dia cerita; "ada kontraktor buat jalan kambus tin yg ada duit dalamnya.
malam2 bila tiada orang, ada orang korek dan ambik duit tu, sebab tu jalan berlubang,"
hahaha...


cintranalis ::: ada, jalan baru belum berlubang.



citranalis 4/12/2009 11:23:32 AM

Jangan lalu jalan berlubang, cari jalan lain,biar jauh asalkan selamat...hehehe salam sajen



ruhie isma 4/12/2009 8:47:42 AM

Zaman la ni kambus lubang jalan ngan tanah merah dah tak main dah! dulu2 boleh la umpan ngan tanah merah , ha!ha! salam.



MB 4/12/2009 7:09:57 AM

hahaha....ni mesti dah terlanggar lubang tepi jalan niiiiii.....hati-hati,diorang tu suka-suka mereka jer gali lubang di jalanraya...salam sajen.



has1mah 4/11/2009 10:49:43 PM

Naim, orang kata pemimpin sekarang "selamba derk..." haha...




Jom bersajen!

Ahad, April 12, 2009

Isu mehdi (mehndi)


Apakah hukum bermehdi?












Bermehdi (asal perkataan mehndi) merupakan trend terbaharu yang diamalkan dalam masyarakat Melayu Islam di Malaysia. Ia merupakan lakaran inai di tapak tangan atau kaki.
Ruangkan masa untuk mengetahui apakah amalan itu dibolehkan?
Selamat mendengar.

Berikut kenyataan bertulis yang lain berkaitan isu ini.




12042009, Sentul, KL.

Jumaat, April 10, 2009

Berkisah pasal karya 'Cinta dan Penyatuan' dan slogan baru Malaysia

Ini kisah lama.


Saya adaptasikan daripada suasana benar di kampus. Sebahagian daripada insiden di kampus (baca: hostel) saya masukkan di dalamnya. Memanglah, saya dahulu lain dari yang lain. Saya hanya dapat menikmati alam dan suasana di desasiswa (nama lain bagi hostel, di USM) tidak sampai tiga semester. Pada semester kedua, kebetulan saya kurang selesa dengan karenah senior yang sebilik kerana suka merokok di meja belajar dan memperdengar lagu-lagu kegemaran beliau. Lalu saya mengadu kepada seorang senior lain yang kini menjadi pensyarah di Politeknik. Melalui senior itu, saya mendapat tahu bahawa Pusat Islam memerlukan seorang pembantu. Ketika itu Pusat Islam masih belum mantap dan belum lengkap carta organisasinya seperti sekarang. Lalu saya diterima sebagai salah seorang yang akan meringankan kerja-kerja pegawai. Bermakna di samping dua orang pegawai hal ehwal agama, saya mengambil tugas selaku bilal/imam ketika-ketika pegawai berjawatan tidak berada di pejabat. Bilik penginapan saya di sebelah pejabat utama, sekarang bilik itu sudah ditukar menjadi bilik tetamu. Bermakna itulah tugas saya mula-mulanya sehinggalah akhirnya apabila Pegawai Hal Ehwal Agama (Ketua Jabatan) bertukar, tugas saya lebih besar. Saya juga diberi peluang menyediakan teks khutbah Jumaat atau menyediakan makalah pengajaran dari al-Quran untuk Mimbar Pusat Islam. Ya, ideanya daripada tuan Penolong Pengarah sendiri (ketika tulisan ini dicoret, beliau (Tn. Hj. Md Yusof Abd. Rahim) berjawatan Pegawai Kanan Hal Ehwal Islam). Saya amat kagum dengan strategi kepimpinan yang ditunjukkan oleh beliau. Yang jelas, dia juga mewarisi gaya kepimpinan cikgu Shahnon (gelar yang beliau berikan kepada SN Shahnon). Saya dapati cara beliau mengurus permasalah, mengurus emosi kerja dan meladeni setiap orang yang berurusan dengannya seperti yang pernah dilakukan oleh SN Shahnon sendiri.


Berbalik kepada cerita saya 'Cinta dan Penyatuan' – sebenarnya sudah terlalu lama. Saya tidak pasti malahan ragu-ragu apakah cerpen itu bagus, atau sekadar boleh di'bungkus' kemudian dilempar ke bangkul sampah. Bukan apa, dua tiga kali selepas membaca karya itu, saya semacam tidak berpuas hati dengan jalan cerita dan isinya. Lalu dek kerana terlalu lama tidak mendapat maklum balas setelah menghantar hanya ke meja editor Siasah, saya fikir tentulah karya itu betul-betul tidak bagus. Kepercayaan itu menyebabkan saya membuangnya sama sekali daripada simpanan peribadi. Alhamdulillah, hari ini sahabat baik saya, yang banyak memberi galakan kepada saya untuk berkarya memaklumkan berita gembira itu. Karya itu disiarkan juga. Akhirnya, -:) Satu hal yang ingin disampaikan dalam cerita tersebut ialah betapa sukarnya untuk melakukan integrasi kaum di peringkat kampus, khususnya formula menempatkan pelajar-pelajar berbilang kaum di dalam satu bilik. Rata-rata pelajar akan bertahan hanya dua bulan dan selebihnya mereka akan membuat pertukaran sesama sendiri atau jika didenda, mereka lebih suka menyewa rumah di kawasan perumahan sekitar kampus. Ada satu tembok budaya yang tidak dapat disilangkan atau diadun kepada budaya kaum lain justeru perbezaan cara hidup, kepercayaan agama dan cara belajar. Ya, rata-rata pelajar muslim tidak selesa bersolat di bilik kalau-kalau ada rakan berlainan agama berada di bilik. Anehnya, mereka tidak pula rajin melangkah ke surau atau masjid. Tetapi lebih mengejutkan, mereka sama sekali tidak menjaga solat. Ini suatu yang mesti diakui bahawa tidak semua intelek muslim dalam waktu yang sama menjadi mukmin yang taat. Inilah senario yang berlaku, tidak sepatutnya terjadi. Manakala kaum lain, apa pun anutan mereka, tidaklah ada ritual yang mereka amalkan di hostel, malah kebanyakan mereka juga sebenarnya athies.


Namun begitu, terasa janggal juga apabila saya lakarkan satu insiden yang mustahil berlaku di dunia nyata. Saya garapkan akhirnya mereka berbaik-baik malah dapat sama-sama berkongsi rasa dan suasana belajar berkumpulan seperti itu. Walhal itu jarang-jarang berlaku kerana sikap prejudis masih menebal. Barangkali ini hanya berlaku di kampus saya, bahawa terdapat jurang yang memisah di antara kaum-kaum yang berbeza dengan sikap ananiyyah yang tersendiri. Malahan lebih menjengkelkan ialah apabila peperiksaan atau ujian penting, mereka tidak malu-malu meniru. Mungkin anda pernah dengar cerita, sebuah buku penting yang dipinjam tidak akan berada di rak buku malahan beredar di kalangan mereka sahaja. Orang lain tidak ada peluang meminjam buku tersebut. Itulah. Kadang-kadang semangat kekitaan dalam dunia ilmu ini perlu disemarakkan, tambah-tambah lagi sekarang sudah ada slogan baharu, “Satu Malaysia”.

Selamat berjumaat.
Coretan detik 12.30 pm, Jumaat, 10 April 2009.


Cerpen 'Cinta dan Penyatuan' disiar dalam Siasah, 12-18 April 2009.

Jumaat, April 03, 2009

Catatan Jumaat

Puji dan syukur buat DIA.


Detik tengah malam tadi, ketika sesi penggambaran berlangsung sempat juga saya berbicara dengan SETPOL MB Kelantan, pemilik Anbakri Publika. Beliau katakan kepada saya, “Satu buku berjudul Bidadari ….. akan dilancar oleh Tuan Guru sempena Pesta Buku KL, pertengahan April nanti.” Saya kira ini suatu yang menarik untuk diperkatakan. Bagi mereka yang biasa membaca buku Unplugged dan Unplugged 2, Belajar dari Dua Umar, atau Surat-surat Tak Terhantar pasti akan mengingati gaya penulisan yang dititikberatkan oleh saudara Anbakri ini. Iya, gayanya bersahaja dengan tataran sastera tetapi mudah dihadam oleh pembaca (orang awam). Tulisannya tidak terlalu bersifat elitis seperti karya sastera besar kerana memang tujuan kita menulis untuk memahamkan dan menyampaikan mesej kepada pembaca. Saya kira, sesiapa pun bersetuju dengan saya dalam hal ini. Dalam senarai buku yang saya sebutkan di atas, Belajar dari Dua Umar bukanlah sentuhan langsung beliau. Namun begitu, apabila beliau menjadi penerbit karya tersebut, fahamlah kita bahawa dasar editorial yang ditetapkannya telah dipenuhi. Nah, anda boleh sahaja dan harus membaca karya-karya yang saya sebutkan itu kerana sememangnya kita tahu, selaku SETPOL Tuan Guru, beliau mempunyai sentuhan atau bayangan pemikiran tuan guru di dalam karya-karyanya.

Bulan April sudah masuk hari ketiga. Awal-awal bulan begini saya pasti dahulukan bayaran-bayaran yang perlu diberesi. Syukurlah. Hutang biaya pendidikan PTPTN sudah dilunasi. Wang simpanan bulanan yang tidak seberapa sudah dipindah ke akaun berkaitan. Wang bayaran rumah sewa sudah diserahkan kepada bendahari rumah sewa. Dan perancangan kewangan bulanan juga sedang dirangka dan perlu diperhalusi sedikit, agar dapat saya optimumkan perbelanjaan. Formula saya mudah, jika terdapat baki di akhir bulan, wang itu secara automaik akan disimpan dalam akaun lain. Dan rata-ratanya tidak selalu hal itu terjadi kerana kadang-kadang berlaku hal di luar jangka seperti biaya kesihatan. Pun begitu, bulan April 2009 ini dapatlah saya menarik nafas lega. Mengapa? Pertama saya baru sahaja dikhabarkan satu karya akan disiar dalam Tunas Karya keluaran Mei 2009. Terima kasih buat Bonda Noraini Abdul Hamid kerana menghadiahkan majalah kelolaan beliau (edisi Februari 2009) kepada saya. Jarang-jarang dapat saya jumpa seorang editor seperti beliau. Bayangkan, pertama kali berjumpa beliau terus menghulur majalah itu tanpa banyak soal. Malu alah juga untuk saya terima.


Jika tuan-tuan sedang mencari maklumat berkaitan perkembangan bioteknologi Malaysia, bolehlah berbuat demikian dengan merujuk makalah saya berjudul Pascapelancaran dasar Bioteknologi di majalah Dewan Ekonomi, April 2009. Ini tulisan saya yang berkesinambungan daripada tulisan terdahulu pada tahun 2005. Menulis karya yang tidak seberapa ini sangat bererti bagi saya. Ketika Malaysia mengadakan Persidangan BIO Malaysia sekitar Ogos 2008, saya sudah mula mencari bahan dan maklumat untuk dimuatkan dalam makalah ini. Saya ikuti wawancara khas di Bernama TV bersama CEO BiotechCorp. Kemudian saya teliti juga fakta-fakta berkaitan daripada laporan akhbar sama ada berbahasa Malaysia atau Inggeris. Sehingga saya sanggup membeli sebuah majalah bisnes berbahasa Inggeris kerana terdapat input yang membantu di dalamnya. Saya emelkan makalah itu pada pertengahan Mac 2009. Memanglah durasi enam bulan untuk menyiapkan sebuah makalah seperti itu sangat lambat dan tidak 'berbaloi' bagi sesetengah pihak. Tetapi bagi saya, ada kepuasan tersendiri kerana hal yang ingin disampaikan bukan semata-mata mahu melepaskan batuk di tangga. Menjadi tabiat saya, menulis dengan mendapat fakta yang meyakinkan kerana saya bimbang sekiranya terdapat cacat cela di dalamnya dari segi fakta, hal itu sedikit sebanyak akan menyusahkan pihak-pihak yang berkaitan. Saya sedar, menulis makalah dalam majalah seperti Dewan Ekonomi adalah suatu yang berat kerana perlu 'bermain' dengan fakta. Ketelitian 'bermain' dengan figurasi dan fakta itulah membuktikan kesungguhan seseorang dalam penulisannya.


'ala kullihaal, selamat membaca.

Isnin, Mac 30, 2009

Bercakap tentang wang


Suatu hari saya makan bersama-sama staf senior, sempena meraikan kami sebagai junior-junior dalam syarikat. Saya sangat kagum dengan prinsipnya. Kata beliau, saya tiga perkara yang tidak boleh. Jika anda mahu cakap atau kongsi apa-apa, silakan. Tetapi jangan cakap atau kacau tiga hal ini. Pertama, karaoke. Kedua, soal cinta. Ketiga waktu hujung minggu. Dia juga berpesan kepada saya dan rakan-rakan dengan berkata, “Jika wang dijadikan alasan untuk tidak berkahwin, anda sebenarnya silap. Sesiapa pun, sama ada kahwin atau hidup membujang punya masalah kewangan. Setiap orang ada keperluan dan kehendak dalam hidup yang mahu dipenuhi. Keperluan dan kehendak itu semuanya perlu kepada wang.”


Benar juga telahan beliau. Jika wang bukan masalah, maka tiadalah orang yang berbelanja dengan berhutang. Jika keinginan manusia kecil, maka tiadalah manusia yang semakin kaya semakin membukit pula hutangnya. Kata ibu saya, orang kaya bukan disebabkan harta mereka, bahkan mereka sebenarnya mampu membeli semua aset dengan berhutang, dan bank memberi hutang berdasar kemampuan mereka (potensi) mereka bukan kemampuan sebenar mereka membayar hutang tersebut. Sebagai contoh, pemegang kad kredit diberi peluang oleh pihak bank berbelanja lapan kali ganda gaji bulanannya. Sebab itu ramai pemegang kad kredit akhirnya diisytiharkan muflis. Saya pernah berpengalaman melihat kepayahan seorang yang bankrap ketika berurusan di bank. Bayangkan, untuk menunaikan cek biasa pun, dia terpaksa mendapatkan perakuan daripada pegawai ARB, kemudian baharulah cek itu dapat diproses oleh pegawai bank. Bagi kita yang tidak muflis, cek dapat ditunaikan dengan mudah bergantung kepada jenis cek dan bank pembayar. Malahan kebanyakan bank yang mengaplikasi sistem perbankan Islam, sudah pun mengecualikan caj RM0.50 untuk cek luar.

Dalam al-Quran disebut bahawa kekayaan adalah suatu amanah dan ujian kepada pengendalinya. Bahkan ditekankan bahawa sebagai penguasa ke atas perbendaharaan negara, mereka dilarang sama sekali mengitarkan wang itu di kalangan puak-puak mereka sahaja. Jika kita rujuk dalam surah al-Hasy, ada difirmankan “..kailaa yakuuna dulatan baina al-aghniyaa-i min kum..” yang bermaksud, “...agar tidak berlegar harta kekayaan (perbendaharaan negara) di kalangan kamu sahaja..” Tentulah ayat ini mengajar kepada kita betapa agihan kekayaan negara mestilah dibuat dengan adil supaya orang yang miskin tidak jauh ditinggalkan di belakang oleh orang-orang kaya. Kebanyakan negara bangsa yang wujud hari ini adalah sebaliknya. Sudah wujud terma proksi iaitu jutawan segera yang disebabkan oleh tongkat, pertolongan, naungan dan sumbangan daripada tokoh politik. Kebanyakan orang yang menjadi ahli perniagaan kemudian menjadi jutawan adalah mereka yang bangun di atas dasar kurniaan bukan kepada bakat atau kepandaian perniagaan semata-mata. Saya tidak berkata, semua ahli perniagaan yang berjaya begitu, tetapi kebanyakannya begitulah. Jika ada pun ahli perniagaan tulen, nama-nama mereka boleh dibilang dengan jari. Amat sedikit yang bermula dari bawah dan naik secara perlahan-lahan dengan susah payahnya berbanding dengan mereka yang naik secara tiba-tiba kerana naungan dan payung politik.

Apa pun, dalam dunia kapitalis yang sedang merudum ini kita telah sama-sama menyaksikan zaman keruntuhannya sekali lagi. Dan raja kapitalis yang jatuh pada hari ini pun, tiga peratus daripada nilai mata wangnya dalam bentuk fizikal. Selebihnya (97%) hanya angka-angka dalam komputer yang dimanipulasi menerusi sistem riba. Sebab itu, kebelakangan ini umat muslim sedang rancak menjalankan kempen agar kita mengguna pakai sistem wang dinar (emas) kerana nilainya lebih stabil dan tidak mudah susut disebabkan mainan spekultor atau percaturan kapitalis. Selagi sistem kapitalis dikekanlan, selama itulah negera umat Islam akan terus ke belakang dan terus mundur. Selama itu, umat Islam tidak mempunyai kekuatan untuk melawan kuasa besar dunia (barat/Yahudi) terutama melalui proses boikot produk-produk mereka.

Rabu, Mac 25, 2009

Staf aset terbaik majikan

Secara psaikologi, seorang lelaki amat kecewa jika dituduh tidak serius dalam hal yang serius. Kadang-kadang orang boleh berkata yang bukan-bukan mungkin kerana keliru, atau teramat tidak yakin dengan penetapan manusia lelaki seperti di atas. Tidak dapat dipastikan apakah ia suatu hal yang biasa berlaku kepada orang yang menuduh atau memang sifatnya yang takut dan bimbangkan sesuatu tanpa asas.

Sebagai contoh, seorang pengarah urusan wanita telah diberi jaminan bahawa syarikatnya akan diberikan kontrak perniagaan jutaan ringgit. Dia pun telah membaca semua terma, malahan hal itu pun diperoleh melalui tender terbuka. Tetapi tiba-tiba sahaja, ketika hampir kepada tarikh untuk menandatangani kontrak (tender) itu pengarah urusan wanita bertanya, “Apakah kita benar-benar layak atau ini suatu gurauan?” Jika begini halnya, maka hilanglah rasa penghormatan staf lelaki yang berada di bawah pimpinan wanita itu. Hal ini tentu sekali tidak berlaku jika yang meneraju atau menghadapi situasi yang diceritakan itu lelaki. Inilah perbedaan yang jelas di antara lelaki dan wanita. Wanita tidak dapat mengawal emosi lalu menterjemah dengan mudah kebimbangan yang berkelintar dalam fikirannya. Sebaliknya lelaki walau sebesar mana pun rasa bimbangnya, dia lebih suka mengambil sikap bertindak dahulu dengan berhati-hati kemudian hadapi risiko-risiko yang mungkin timbul. Lelaki dalam hal ini lebih realistik bukan idealistik seperti wanita. Saya secara peribadi memohon maaf sekiranya hal ini seolah-olah menjatuhkan integriti wanita, tetapi inilah yang berlaku dan pernah terjadi, pernah dihadapi dan dialami oleh kebanyakan lelaki yang berada di bawah kepimpinan wanita.


Situasi yang diceritakan ini pernah berlaku dalam sebuah kompeni apabila penyedia proposal tender kebetulannya pegawai lelaki manakala pengarah urusannya wanita. Dalam hal ini adalah tidak bijaksana wanita itu mempersoalkan hal yang remeh itu walau pun dia sekadar mahu menyampaikan rasa terkejut atau teruja. Kebetulan pula pengucapan yang dibuat itu dalam keadaan yang menjengkelkan. Tidakkah dia sedar, bahawa pegawai lelaki yang bertungkus-lumus itu sudah benar-benar melakukan yang terbaik? Jika tidak, pasti proposalnya ditolak sedari awal lagi. Dalam hal ini, jika saya pun selaku pegawai lelaki tersebut secara alami akan berfikir secara spontan untuk membuat pilihan berikut:


  1. Membatalkan semula (mencadang supaya momerundum persefahaman tidak diteruskan).

  2. Meletak jawatan. Biarkan sahaja pengarah urusan itu membuat keputusan selanjutnya.


Tetapi tentulah dalam suasana gawat hari ini, pegawai lelaki itu lebih sukakan situasi selamat. Dua hal yang difikir secara spontan itu hanya merugikan beliau dalam tempoh waktu yang panjang. Jika dia meletak jawatan, apakah ada jawatan yang setaraf dengan tangga gaji yang dimilikinya kini? Itulah lelaki, mereka lebih kritikal memikirkan sesuatu tanpa melihat kesan segera. Kata orang-orang lama, fikir jauh.


Saya menulis hal ini kerana ini adalah kes kecil tetapi besar yang berlaku dalam banyak organisasi yang dipimpin wanita. Bukanlah tujuan saya mengunjing perasaan wanita, tetapi itulah sesetengah sikap tidak profesional wanita dalam memimpin. Perlulah diketahui, bahawa pemimpin wanita, walau setinggi mana pun kedudukannya, perlu juga dia memberi perhatian kepada ego lelaki. Ya, lebih-lebih lagi wanita yang sedang datang bulan; mereka perlu melatih diri supaya lebih kuat bersabar dan tidak terbawa-bawa dengan emosi/kecelaruan fikiran ketika itu. Betullah, wanita amat kecamuk apabila datang bulan. Ini fakta kesihatan. Seorang majikan yang bagus tatkala ditanya, "Apakah aset terbaik?" Maka dia akan menjawab, "Staf." Bukan yang lain-lainnya.

Selasa, Mac 24, 2009

Taman Ria Jaya.


23 Mac 2009. Saya tidak mahu bercerita darihal nasi lemak rasa sayangnya. Saya juga tidak mahu ceritakan darihal kelab golfnya, yang kebanyakan pengunjung kelab lebih suka ke Restoran Rasa Sayang. Tetapi saya mahu ulas insiden kekerasan pihak keselamatan, yang saban waktu semakin berleluasa tanpa belas.


Dahulu saya pernah menumpang teduh di salah sebuah rumah di taman perumahan ini. Taman Ria Jaya sememangnya terkenal sebagai kawasan tumpuan orang Melayu, dengan sedikit komposisi kaum Cina, India dan rakyat asing (Bangladesh, Indonesia, Myammar,Vietnam). Saya masih ingat, saudara Rosli yang menerajui Pemuda PAS pernah berseloroh kepada saya agar menyertai beliau dalam pergerakan pemuda. Saya kata, “Maaflah, saya hanya tiga bulan di sini.” Ya, tempoh praktikal saya singkat, di sebuah kilang yang tidak jauh dari kawasan perumahan. Dan saya amat berterima kasih kepada beliau dan rakan-rakan kerana sudi memberi ruang kepada saya bersama-sama dalam program mereka.


Peristiwa orang awam digempur dengan gas pemedih mata dan air kimia bukanlah yang pertama kali dalam siri ceramah pembangkang. Tetapi itulah yang kerap diulang-ulang oleh pihak berkuasa. Kebenaran yang cuba ditenggelamkan pastilah akan menambah rasa benci dan meluat rakyat kepada pemerintah. Jika tidak, masakan sampai begitu sekali halangan yang dibuat oleh mereka. 23 Mac juga nampaknya detik hitam buat pencinta ilmu dan kebenaran. Saya dahulukan ilmu kerana maklumat yang dimuatkan dalam akhbar Harakah itu sebenarnya lebih autentik dan rinci. Cubalah dibandingkan nilai ilmiah dalam artikel-artikel akhbar ini. Pasti nampak jauh bezanya dengan akhbar-akhbar lain. Dan saya letakkan kebenaran kemudiannya, kerana memanglah menjadi fungsi akhbar selaku lidah rasmi parti untuk menyatakan kebenaran. Jika terdapat isu yang memerlukan kepada penerangan, mereka tidak boleh tidak terpaksa melibatkan pihak yang bertentangan dengan mereka. Dan tentulah hal itu dilakukan dengan penuh dedikasi mengikut etika kewartawanan.


Nampaknya penggantungan yang panjang ini semacam satu usaha awal untuk memenangi siri-siri pilihanraya yang bakal berlaku. Pihak pemerintah sudah tidak berupaya menyekat kehendak rakyat untuk melihat perubahan dalam kerajaan. Kita sama-sama tunggu dan lihat sahaja apakah keputusan yang diputuskan oleh majoriti rakyat di kawasan-kawasan pilihan raya itu nanti.

Isnin, Mac 23, 2009

Mutiara ilmu 22 Mac 2009

Waktu yang diharamkan solat ada lima, iaitu


Waktu waktu yang diharamkan solat yang berhubung dengan waktu
1. Dari terbit matahari sehingga tegak dengan kadar tombak dengan pandangan mata iaitu bersamaan 16 minit.(dalam tempoh 16 minit setelah matahari terbit)

Kadar tombak adalah 4 darjah
Satu darjah bersamaan 4 minit

2. Dari istiwa (pembahagi dua) matahari sehingga zawal (gelincir). Tempohnya terlalu singkat, diharamkan solat ketika ini.

Istiwa adalah : matahari berada di tengah-tengah langit
Zawal adalah : Condongan matahari di tengah-tengah langit

3. Dari langit kelihatan kekuning-kuningan sehingga maghrib.

Waktu-waktu yang diharamkan utuk solat yang berhubung dengan perbuatan
1. Selepas melaksanakan solat subuh sehingga terbit matahari
2. Selepas melaksanakan solat asar sehingga terbenam matahari

Sumber


Suatu hari nabi terlepas solat sunat qabliyyah Zohor empat rakaat. Maka setelah bersolat zohor, baginda menunaikan (mengqadhak) solat sunat qabliyyah tersebut. Hal ini dijadikan asas bahawa solat sunat boleh diqadhakkan yakni ditunaikan pada waktu diharamkan solat. Dalam kitab Fathu Muin dibahaskan dengan panjang lebar bahawa solat sunat qabliyyah yang diqadhakkan itu dibolehkan ditunai dalam waktu yang diharamkan dengan syarat ia ditunaikan dengan tidak disengajakan. Misalnya seseorang itu mempunyai peluang (waktu) untuk menunaikan solat sunat qabliyyah, tetapi dia melakukan hal lain (seperti berbual / membaca al-Quran), dan disengajakan untuk ditunaikan selepas solat fardhu Subuh (contohnya), maka solat sunat itu tetap dikira haram.

Selain itu tidak diharamkan solat sunat dalam waktu yang diharamkan solat jika datang asbab yang terdahulu seperti solat sunat tahiyyatul masjid, sunat wudhuk (solat sunat yang dilakukan selepas berwudhuk sebelum kering air basuhan anggota wudhuk), solat janazah, solat ghaib atau solat i'adah (solat fardhu yang diulang untuk mendapat fadhilat solat berjamaah).


Salah satu syarat sah solat ialah mengetahui perkara sunat dan wajib dalam solat. Jika seseorang tidak dapat membezakan perkara sunat dan wajib dalam solatnya, maka solatnya tidak sah. Apakah perkara sunat dan wajib dalam bacaan tahiyyat akhir? Hal ini disebut dalam muka surat 91, kitab Fathu Muin. (Ketika nota ini ditulis, al-Fadhil ustaz baharu membahaskan topik di halaman 57). Bacaan yang wajib dalam tahiyyat akhir ialah “Attahiyyatu liLLAH”, “Assalaamu'alaika ayyuhan nabiyyu wa rahmatullaahi wa barakaatuh”, “Assalaamu'alainaa wa'ala ibaadillahis shaalihiin”, “
Asyhadu an laa (baca: allaa) ilaaha illallaah, wa asyhadu anna Muhammadan rasulullahh”,
dan selawat ke atas nabi dan keluarga baginda.
Maka yang selebihnya adalah bacaan sunat.


-----


-Catatan kuliah Maghrib 22 Mac 2009, Ustaz Abdul Aziz Aroff, Kitab Fathu Muin, Masjid Al-Hidayah, Sentul-


Ahad, Mac 22, 2009

Program April 2009

Alhamdulillah.

Saya semacam mendapat kekuatan untuk terus menulis. Semalam dapatlah dikirim satu karya untuk dipertimbangkan editor akhbar. Jika bermutu, karya akan disiar. Jika tidak, eloklah disimpan dalam koleksi peribadi sahaja. Seorang rakan saya yang prolifik menulis menasihatkan saya agar membiar karya yang dihantar ke meja editor selama enam bulan. Jika tidak disiarkan, baharulah boleh dibuat pertimbangan untuk dihantar kepada editor lain pula. Dalam dunia serba canggih ini, sesebuah karya jika telah disiar di media elektronik tidaklah sukar untuk dijejaki. Justeru, menyiarkan karya di blog atau mana-mana media eletronik adalah praktik yang tidak bagus untuk penulis. Maknanya jika mahu karya itu disiar di media cetak, perlulah dipastikan hanya media itu yang memiliki hak ekslusif penyiarannya.


Syukur juga, rakan penulis yang ada hari ini menjadi semacam tulang belakang yang senantiasa memberi galakan kepada saya untuk menulis. Mereka sering bertanya apakah saya ada karya terbaharu, di samping mengiklankan karya-karya mereka yang disiar. Ini suatu yang bagus, sekurang-kurang perkara itu menjadi sumber inspirasi, pembakar semangat kepada saya untuk tidak menggantung pen (berhenti mengetik papan kekunci komputer). Dan salah seorang daripada mereka jugalah yang bertanggungjawab untuk membawa saya menjadi semacam orang yang penuh dengan aktiviti penulisan untuk bulan April nanti. Ya, bulan April 2009, bermula dengan aktiviti di DBP pada 31 Mac – 2 April 2009. Tetapi syukurlah bos kami yang amat perihatin terhadap kesibukan kerja kami memberi alternatif. Kami boleh hadir untuk hanya satu hari dan hari itu dikhususkan untuk komuniti sastera kami sahaja. Maknanya akan digabungkan juga dengan peserta seminar yang terdahulu. Bagusnya seminar kali ini adalah sifat antarabangsanya. Penulis dari negara jiran turut serta. Tetapi malanglah bagi saya, kerana tidak dapat mengikuti program sepenuhnya tiga hari lantaran kekangan kerja. Apa pun, daripada tidak dapat langsung, lebih baik dapat yang sedikit. Cuti kalau dipohon sehari itu rasanya tidaklah menyukarkan ketua jabatan untuk meluluskannya.


Kemudian saya juga akan menyertai perhimpunan penulis muda di Ayer Keroh, Melaka pada 17 – 19 April 2009. Saya memang kaki jalan, ya walaupun hari ini saya tetap menaip dari pejabat. Saya suka berjalan kalau ada tujuan khusus. Jika tidak, hujung minggu hanya dihabiskan di rumah bersama-sama akhbar. Atau jika bosan, menatap satu dua bab dalam novel kemudian masuk pejabat. Bercakap soal buku, saya ingat sekarang ini beberapa buku dan novel saya sedang dipinjam oleh rakan-rakan. Sekadar catatan untuk tidak melupakan saya, berikut senarai buku/novel yang masih dalam pinjaman:


  1. Travelog Dakwah: Menanti Hari Esok

  2. Cinta Berbalas di Meja 17

  3. Ketika Cinta Bertasbih (Episod 1 dan 2)

  4. Ahli Alkimia

  5. Salju Sakinah

  6. Cerita Gelisah


Sekadar ingatan buat diriku


Sabtu, Mac 21, 2009

Lif


Apa pentingnya lif? Memang mesin seketul ini sangat diperlukan terutama jika kita mahu menaiki bangunan tinggi. Piawai untuk bangunan di Malaysia (dan dunia) ialah empat tingkat. Maknanya jika bangunan itu lebih daripada empat tingkat, perlu disediakan lif. Kawasan rumah kediaman saya kini merupakan flat 16 tingkat. Lifnya berhenti pada tingkat dalam gandaan empat. Hanya ada empat hentian (pit stop). Jika saya misalannya berada di tingkat 10, perlulah memilih sama ada untuk berhenti di tingkat lapan atau 12. Biasanya kami akan turun di tingkat 12 tetapi apabila mahu ke bawah, kami menapak ke tingkat lapan pula.

Apabila ke pejabat, bangunan yang menempatkan ruang pejabat syarikat majikan saya bernombor 11, tetapi buat masa ini saya 'singgah' sebentar di tingkat 13. Begitulah hari-hari saya akan beraktiviti (menyiapkan tugas) di tingkat 13. Blok ini setinggi 18 tingkat. Dan berbeza rekabentuknya kerana setiap aras ada hentian. Tidak seperti sistem lif di bangunan rumah flat saya. Satu tabiat yang menarik apabila saya mahu turun ke aras sifar ialah saya akan menekan butang ke atas. Orang bertanya, “Apa hal tekan ke atas?” Saya kata, “Jika lif sedang rehat di aras sifar ia akan lebih cepat respon jika butang naik ditekan.” Dan selalunya saya betul dalam hal ini.

Lif tercantik? Setakat ini saya fikir lif paling cantik yang pernah saya gunakan ialah di Suria KLCC. Kemudian barulah di Low Yat. Cumanya kalau hendak dilihat dari segi nilai, lif Low Yat lebih tinggi kerana ada coretan iklan di pintunya. Bahkan di ruang dalamnya juga begitu. Tetapi kadang-kadang ada waktu lif yang cantik akan menjadi hodoh dan jelek jika ada asap rokok atau sampah di dalamnya. Saya fikir, minda sesetengah orang daripada kita perlu diperbetul cara fikirnya. Apakah ada lagi cara terbaik untuk mencegah orang merokok atau melarang mereka menyampah (buang sampah) selain tanda amaran DILARANG MEROKOK atau DILARANG MEMBUANG SAMPAH?

Satu lagi tabiat menggunakan lif yang saya suka praktikkan ialah tidak akan memasukinya jika ada seorang perempuan. Maknanya jika katalah ada seorang perempuan sahaja, kemudian yang kedua itu adalah saya, maka saya biarkan dia masuk dahulu. Saya lebih gemar menunggu giliran lain untuk menggunakan lif itu atau mengguna lif lain pula. Ya. Sekarang ini zaman yang penuh dengan berantakan. Saya bimbang kalau-kalau berlaku hal-hal yang tidak enak lalu saya dijadikan kambing hitam (dituduh melakukannya). Tuan-tuan bukan tidak baca, ada lawak bodoh yang mempersenda agamawan dalam lif yang tiba-tiba terpadam lampunya. Carilah sendiri dan walau pun ia lawak bodoh, sebenarnya itu adalah cubaan menghina agamawan yang tidak sepatutnya berlaku.

Khamis, Mac 12, 2009

Nostalgia

Saya sedang membaca Kuras-kuras Kreatif nukilan Hj. Azizi Abdullah. Dan di dalamnya diceritakan pengalaman hidup yang kemudiannya menjadi ilham kepada penulisan beliau. Banyak yang ditulis diolah daripada hal-hal yang berlaku di sekitar kehidupan beliau. Begitu saya difahamkan dan faham melalui coretan beliau dalam proses kematangannya menjadi seorang penulis. Itulah kemudian akhir-akhir ini dinamakan sebagai andalan peristiwa.


Jika saya mahu ceritakan zaman kanak-kanak yang masih saya ingat, hal itu akan menulis begini. Sewaktu cuti sekolah, sesekali bapa membawa saya ke ladang. Lebih-lebih lagi kalau musim kelkatu keluar dari busutnya. Bolehlah sementara bapa melakukan kerja, saya duduk memancing ikan di sungai buatan dalam sistem pengairan ladang. Kadang-kadang apabila umpan mengena, saya tidak dapat mencabut mata kail. Terpaksalah diminta bapa mencabutnya. Ikan yang 'suka' menelan umpan sampai ke perut adalah haruan. Manakala keli pula memang liat dan sukar diurus kerana sengatnya. Dan sesekali puyu pula, disebabkan pekasamnya yang berduri. Tiga jenis ikan ini saya serahkan kepada bapa jika tidak dapat selesaikannya.


Satu hari, ketika rehat bapa merebahkan galah sabitnya di tanah. Dari awal dia meminta saya berhati-hati kalau-kalau melangkah ke arah mata sabit. Saya memang endah tidak endah pesanan itu. Melangkah juga dalam keadaan saya tidak sedar sama sekali mata sabit telah menyambar kaki. Hanya setelah kaki terbelah dan darah mengalir, terasa nyilu kaki itu. Padan muka. Tetapi bapa tidak bising lagi. “Orang dah pesan. Degil juga.” Khali. Bapa ambil kain tuala yang dililit di kepalanya lalu mengesat darah yang mengalir. Lalu dicapainya pucuk senduduk dan mengupur tempat luka. Terus sahaja pada hari tersebut bapa tidak menyambung kerja selepas waktu rehatnya. Barangkali itulah yang menjadikan saya liat untuk ke ladang setelah menginjak remaja. Sehingga selepas sepuluh tahun selepas itu, baharulah saya menjejak kaki ke ladang membantu meringankan kerja beliau.


Apa sebenarnya yang diperoleh daripada didikan ini? Secara tidak langsung, bapa gunakan hujah keadaan kerjanya sebagai memotivasikan kami. “Jika hari ini bapa sebagai peladang, anak-anak bapa paling tidak menjadi pegawai ladang.” (Ya. Saya abadikan satu cerita tentangnya dalam cerpen kanak-kanak: Antologi Cerpen Mangkuk Tempurung Nenek). Tetapi ternyata, sehingga kini saya lari jauh dari semua itu kerana keadaan tidak mengizinkan saya malahan adik-adik yang lain untuk berada dalam jalur pekerjaan bapa. Maknanya kami tidak menyambung pelajaran dalam bidang perladangan. Kami menjurus kepada bidang sains sahaja. Sesekali saya rasa menyesal kerana sewaktu bapa mahu saya masuk aliran agama, saya tidak menyahutnya. Kata saya, “Agama bukan untuk golongan agamawan sahaja. Sesiapa sahaja boleh menyumbang kepada pembangunan agamanya.” Kekesalan ini saya nyatakan dalam sepucuk surat. Saya mohon maaf, kemudian berharap agar ada di antara adik-adik yang diserap masuk ke aliran agama. Dan hanya selepas 15 tahun, baharulah ada seorang daripada kami yang diserap ke aliran agama. Yang lain-lain setelah melepas takah darjah enam, semuanya dihalakan ke aliran sains.

Isnin, Mac 09, 2009

Catatan pada 12 Rabiul Awwal 1430 H


Dan saya tulis satu catatan berdasarkan semangat sedekah yang diperturunkan oleh Tuan Guru Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki di dalam buku beliau, iaitu Sarana Sedekah. Hadis pertama yang beliau nukilkan ialah seafdhal-afdhal sedekah ialah mempelajari ilmu dan berkongsi dengan orang lain. Maka bertepatanlah dengan diriku yang tidak berapa kaya ini melakukan hal yang disebut itu. Saya telah siapkan catatan darihal lapan waktu solat untuk tatapan bersama. Semoga ilmu ini bermanfaat buat kita semua, insyaa-Allah.


Rumusan tulisan waktu solat seperti di bawah. Buka pautan di atas untuk membaca selengkapnya.

  1. Fadhilat
  2. Ikhtiari
  3. Jawaz yang tidak makruh
  4. Jawaz yang makruh
  5. Haram
  6. Idraak
  7. Dharurah
  8. Uzur



Sabtu, Mac 07, 2009

Biarlah kami melakar sejarah bangsa ini

Hari ini hujan. Memanglah hujan, apa hendak dihairankan? Ya. Tahukah. Sebelum ini kalau ada trak merah bitu dengan tulisan putih dan ada lambang serigala….. kerja orang-orang di dalamnya tidak lain kalau bukan menyembur air ke jalan raya.


Patutlah kalau disembur air waktu jalan berdebu sakan. Tapi hari ini, memang mereka tak perlu menyembur jalan raya. Hujan renyai-renyai sudah memadai. Syukur juga hujan tidak selebat minggu lepas sehingga menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan sekitar ibu kota ini.

Tadi pun sewaktu dalam perjalanan pulang, kami terserempak trak merah biru putih itu. Semua yang di dalamnya pun diam. Agaknya lega kerana tidak terlalu letih membersihkan jalan raya patang tadi. Begitulah ketentuan DIA. Saya pun hairan. Kami pun lagi hairan. Ramai orang hanya berjalan-jalan. Santai sahaja. Tiada pula kelihatan seperti mahu membuat sesuatu yang aneh. Apa salahnya berjalan-jalan? Bukannya mereka membuat hal yang menyebabkan kenderaan lalu lalang rosak. Kalau nak dikata, jalan sesak kerana manusia ramai, di laluan pasar minggu atau pasar malam atau pasar pagi di Sentul ini pun sentiasa sesak. Jadi apa hendak dihairankan? Biasalah kalau orang ramai, memanglah sesak.

Tapi kata orang yang menghantar trak merah itu, kononnya akan berlaku kekacauan. Kita pun hairan. Siapa nak buat kacau jika tiada provokasi. Macam kita melihat sarang tebuan, apakah tebuan akan menyerang kita jika hanya melihat-lihat? Lainlah kalau sarang itu dijolok. Memanglah tebuan akan menyerbu kita dengan sengatnya sebagai langkah mempertahan diri. Tapi kami bersyukur. Kami selamat pulang. Dan tentulah kami harapkan kami jadi sebahagian daripada sejarah. Biar suatu hari kami jadi manusia yang bermaruah. Maruah kami pada bahasa kami. Kerna pepatah ahli bahasa mengatakan “Bahasa jiwa bangsa.”


Tetapi terima kasihlah. Mungkin juga saudara-saudara dari trak mereh itu terlebih pandai untuk kononnya menghalau nyamuk. Semacam aktivti forging pula. Apa, kami ini nyamukkah? Hari ini memanglah mata kami yang pedih-pedih. Besok lusa, siapa tahu tangan brother pula yang sakit-sakit sebab didoakan sebahagian daripada kami. Masa itu mungkin saudara-saudara di atas trak merah akan menyesal tak sudah-sudah. Jika tidak pun, apakah saudara kira akan selamat menghadapi pengadilan DIA di akhirat sana?



Kami pun tidak tahu. Jika tiada perubahan, tunggulah giliran kami untuk melantik mereka yang akan melayan kami. Kami pun ada kuasa. Kuasa itu di hujung mata pensil, buat kami lorekkan tanda pangkah nanti. Jika dalam masa terdekat, Pi Em kami yang baharu mengambil tindakan yang selari dengan desakan kami, kami pun tahu itu tindakan politik. Atas kepentingan politik untuk mendapat sokongan. Tapi kami tetap tahu hal itu.



Naimisa, Sentul, KL. 07032009, Jam 1845.

Jumaat, Mac 06, 2009

Biasiswa pengajian tajaan kerajaan Jepun 2009 untuk rakyat Malaysia.



Kerajaan Jepun melalui kedutaannya di Malaysia membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk mendapat biasiswa kerajaan Jepun (Monbukagakusho MEXT). Tawaran ini dibuka bermula 2 Mac hingga 7 April untuk sesi pengajian akademik 2010. Calon pengajian Sarjana Muda dan Sarjana yang berminat bolehlah meneliti maklumat lanjut di sini. Bagi calon Sarjana Muda, calon mestilah berusia antara 17 - 22 tahun pada 1 April 2007, dan mengikuti 16 tahun pengajian formal. Manakala bagi calon Sarjana, umur minimum ialah 35 tahun pada 1 April 2009.


Khamis, Mac 05, 2009

Dialog PPSMI

Semalam setelah habis waktu pejabat, saya turun ke UIAM. Tiba jam 7.15 malam. Terima kasih buat Puan Ainon kerana menyiarkan iklan program ini di weblognya. Jadual program dialog tentang PPSMI di Auditorium UIAM, Gombak ialah jam 8.00 malam. Maka selesai solat Maghrib, saya ke dewan. Tepat jam 8.00 malam seorang wartawan yang awal seperti saya bertanya, “Apakah pendapat saya tentang dasar ini?” Saya jawab, “Wajar dimansuhkan.” Dia bertanya mengapa? Saya berikan hujah-hujah saya tetapi menurutnya yang belajar dalam aliran sekolah Inggeris, tentulah berbeza dengan saya. Bagi saya, apa pun hujahnya masing-masing sudah melihat sejarah dan faktanya. Pasti sahaja hal itu nampaknya lebih memberat kepada pemansuhan dasar PPSMI. Nasib baiklah di akhir perbualan kami, saya tidak pernah sebut nama saya, organisasi yang saya wakili atau bertanya pula nama wartawan itu. Ya, itulah saya.

“PPSMI: Building or destroying the nation.” Tajuk sahaja barangkali sudah menggerunkan. Justeru tajuknya sahaja sudah tidak berupaya memasyarakatkan universiti untuk dimanfaatkan oleh masyarakat setempat. Atau apakah audien yang disasarkan hanya golongan mahasiswa UIAM dan badan-badan NGO, yang memang dikenal sebagai elitis? Justeru tidak ramailah orang luar di kalangan masyarakat setempat yang hadir. Saya fikir, jika program ini yang mengumpulkan tokoh-tokoh hebat seperti Ketua Pemuda PAS, Ketua Angkatan Muda PKR, YB Pasir Salak dan Pengerusi GMP sudah tentu aura mereka mampu menarik lebih ramai audien yang lebih ramai. Tetapi saya kira kita berbalik kepada sangka baik, bahawa program ini khas untuk intelektual di UIAM sahaja. Saya atas peribadi saya hadir dengan kesedaran untuk menilai sejauh mana perlunya dimansuhkan PPSMI, boleh dikatakan sebagai untuk menguatkan keyakinan saya tentangnya. Sejak dahulu memang saya sudah berpendirian seperti yang dijawab kepada wartawan itu.

Majlis dimulakan dengan deklamasi sajak oleh sasterawan, budayawan dan seniman Dinsman. ‘Macam Orang Gila 2’ itulah sajak kedua beliau yang menghangatkan suasana. Sebelum ini saya sudah mendengar beliau mendeklamasikan sajak ‘Macam Orang Gila’ dan seperti selalu telinga saya lunak dan asyik mendengarnya. Mesejnya bersahaja, tegas dan menghiburkan. Kepada saudara Dinsman, usah makan hati dengan insiden yang berlaku. Ketika saudara tidak lagi berada di dalam dewan, beberapa panelis membela saudara. Ya, syabas! Saya kagum dengan keberanian saudara menyatakan yang benar dan menyampaikan setulus hati pemikiran yang pasti dimiliki oleh setiap orang yang resah dan gelisah memikirkannya. Bagi saya, laras bahasa yang digunakan itu masih lagi lembut. Jika hendak ibuat perbandingan, saya fikir perkataan yang diguna untuk menyampaikan hasrat beberapa orang yang menyokong bekas MB Terengganu lebih kesat.

Dialog ini dibuat dalam tiga pusingan. Pusingan ketiga, sesi soal jawab. Namun begitu, YB Pasir Salak beredar awal sehabis sahaja pusingan kedua beliau tepat jam 11.00 malam. Ya, kita terimalah alasan beliau untuk bertemu janji lain pula. Yang selebihnya kita serahkan kepada masing-masing untuk menilainya. Saya kasihan,
dalam pada beliau berkata, jika kita suka menghentam, kita juga perlu berani menerima kritikan; dia berlalu tanpa menunggu dahulu jawapan balas daripada Pengerusi GMP. Ya, kita terimalah alasan beliau dan berbaik sangka kepadanya. Tiada pemenang atau yang kalah di sini. Program berakhir jam 12.30 malam. Undian menunjukkan 85.16% audien bersetuju PPSMI dimansuhkan. 14.84% bersetuju PPSMI diteruskan. Jumlah respondens 384. Kemudian seperti yang diminta, pada 7 Mac 2009, jom, kita turun menyatakan bantahan. Khabarnya istana negara memberi lampu hijau.

Isnin, Mac 02, 2009

Biasiswa Pengajian Masters (Sarjana) 2009


Sekembali majlis Sejenak di Taman Ilmu bersama Alfadhil Ustaz Nuruddin Marbu al-Banjari al-makki di Masjid Wilayah Persekutuan, pada 1 Mac 2009: aku menaiki teksi untuk ke Sentul Pasar. Jarak perjalanan di antara tempat penginapanku dengan masjid Wilayah hanya 3.7 kilometer. Pemandu teksi menceritakan perihal adik iparnya yang mahu menyambung pengajian di peringkat master dalam bidang Bioteknologi. Aku tidak punya cadangan atau pandangan melainkan meminta beliau memberitahu adik iparnya itu, “Memang ada tawaran biasiswa sedang dibuka. Cuba semak di laman web shell atau Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, MOSTI.”

Aku kemudian diminta menulis alamat url laman web yang dimaksudkan. Malangnya hari ini aku kesani bahawa terdapat salah ejaan untuk laman web MOSTI seperti yang diberikan kepada beliau. Aku menulis www.moste.gov.my sedangkan yang sebetulnya www.mosti.gov.my. Ya, kataku jika di MOSTI memang ada geran IRPA yang ditawarkan menerusi kajian-kajian yang diselia oleh pensyarah. Bermakna sebelum calon sarjana betul-betul memperolehnya, dia perlu bertanya kepada pensyarah di pusat pengajian sama ada pensyarah itu memerlukan pegawai penyelidik (RO) atau pembantu penyelidik (RA). Itulah langkah awal kepada mana-mana pelajar yang baru sahaja menamatkan pengajian di peringkat sarjana muda. Kenapa saya menulis entri ini? Sekurang-kurangnya saya pasti suatu hari orang yang mencari maklumat tentang biasiswa pengajian di peringkat masters (sarjana) akan sampai jua ke laman ini. Itu berdasarkan logik kerja enjin carian (search engine) yang saya tahu dan faham.

Saya ucapkan selamat maju jaya kepada sesiapa sahaja yang memohon biasiswa itu kerana sememangnya mereka layak untuk mendapat biasiswa tersebut.

Ini pula laman web tentang biasiswa Shell untuk pengajian Masters

Lagi Biasiswa 2010Kemas kini pada 22/12/2009.

MyBrain15; Program baru penajaan biasiswa Master & PhD Kemas kini pada 30/11/2010.



Sabtu, Februari 28, 2009

Menagislah

Semalam lepas waktu pejabat, kami mengikuti majlis taklimat isu Palestin. Wakil Aman Malaysia membentangkan slaid multimedia yang sungguh menyentuh hati. Setelah sekian lama saya menangis buat Palestin, tiba-tiba semalam itu tanpa disedari saya telah menangis. Sedih dan hiba melihatkan kerosakan yang berlaku, dan air mata mengalir disayat pilu kasihankan seorang ibu buat anak kecil berusia 14 tahun. Faris 'Audah namanya. Syuhada kecil yang berjuang dengan batu bagi menghalang kemaraan tentera Zionis. Pada hari keempat puluh dia berada di kawasan 'permainannya' sebutir peluru hinggap di badannya. Dia meninggalkan rakan-rakan sebaya yang lain. Tetapi saya kagum, dalam klip video itu, ibu bapa yang kehilangan anak beryukur kepada ALLAH kerana mematikan anak-anak mereka. Itulah kemuliaan bagi mereka. Menjadi ibu bapa kepada syuhada.

Pagi tadi, saya mengikuti kuliah Subuh Ustaz Thirmizi. Saya kagum dengan al-fadhil ustaz, berkorban untuk menyampaikan ilmu buat kami. Jarak rumah beliau 48 kilometer dari masjid Al-Hidayah. Pengorbanan beliau tidak jauh hebatnya dengan Ustaz Ali di Ketereh. Dulu Ustaz Ali mengajar di Dabong, rumahnya di Ketereh. Beliau turun dari rumah seawal jam 4.00 pagi. Begitu juga bekas Pengetua Maktab Perguruan Batu Rakit, Tuan Hj. Abd. Hamid. Rumahnya di Kota Bharu, setiap pagi beliau bangun seawal jam 3.30 pagi dan turun bekerja tepat jam 4.00 pagi. Saya rasa memperihalkan kesungguhan mereka yang saya pernah jumpa (bersua muka) cukup untuk menyatakan betapa sangat ramai di kalangan kita melakukan pengorbanan untuk kebaikan sejagat. Semoga Allah merahmati kehidupan mereka. Memberkati kehidupan mereka sekeluarga.


Pagi tadi Ustaz Thirmizi menyambung bicara tentang hadis yang dibicarakan minggu lepas. Beliau menyambung empat perkara yang aneh di akhir zaman. Iaitu pembahasan yang dibuat oleh Prof. Dr. Yusof al-Qardhawi.


  • Ramai orang apabila matinya seorang muslim meraikannya dengan mengadakan jamuan malam pertama, ketiga, ketujuh, ke-40 dan ke-100. Walhal perkara ini tidak wajar dibuat memandangkan si mati mungkin meninggalkan anak-anak yang kecil. Apakah hukumnya jika jamuan itu dibuat dengan wang anak yatim? Jika mahu dibuat jamuan (tahlil), dana untuk jamuan hendaklah disumbangkan oleh jiran-jiran terdekat atau saudara-mara si mati.

  • Ramai orang pada bulan Ramadhan berlumba-lumba memuaskan nafsu, sedangkan kita dianjurkan untuk mengawal nafsu. Lihatlah sahaja gelagat sebahagian daripada kita apabila mengunjungi bazar Ramadhan. Membeli makanan untuk berbuka melebihi keperluan perut. Bahkan ada makanan yang berlebihan kemudian dibuang begitu sahaja.

  • Ramai orang suka mengunjungi pasar, tetapi sedikit yang suka ke majlis ilmu. Barang yang menyukakan nafsu mudah sahaja orang pergi walau pun terpaksa mengeluarkan duit. Orang lebih suka berhabis duit asalkan gembira. Tetapi majlis ilmu di masjid-masjid tidak pernah pun menetapkan bayaran daripada jemaahnya.

  • Ramai orang menangis kerana tidak dapat mencapai cita-cita. Tetapi sedikit sekali yang menangis kerana menyesal akan dosa-dosanya. Contohlah, saya dulu ketika nak berkawan dengan seorang perempuan.
    Saya maklumkan pada emak. Emak tanya, "Orang mana?" "Orang Kelantan." Jawabku. Tapi emak saya tidak setuju. Samalah juga di sebelah perempuan. Masa nak tetapkan hati dengan kehendak ibu, aku pun menangis juga. Nah, tapi aku pun sedar, jarang sangat aku dapat menangisi dosa-dosa yang dilakukan sepanjang hidup ini.


Rabu, Februari 25, 2009

Keajaiban perang Israel Ghazza



Ketika tentera Israel melayak bumi Palestin khususnya Ghazza, terdapat sebahagian daripada mereka terpaksa dibekalkan dengan pampes. Sesetengah daripada mereka menghadapi saat dan keadaan yang amat menakutkan.


Antara keajaiban yang berlaku:


  1. Keluar makhluk aneh dari bumi. Makhluk ini melempar pasir ke arah tentera Israel sehingga mata mereka buta.
  2. Seorang mujahid yang terselamat berkata, “Apabila api marak, aku berdoa: Wahai Tuhan yang menjadikan api. Yang sejuk dan sejahtera buat nabi Ibrahim, hapuskan api ini.” Lantas api yang marak padam dalam masa singkat. Saya dan rakan-rakan berjaya menyelamatkan diri.
  3. Terdapat kalangan orang awam ditanya, “Apakah pakaian tentera Hamas?” Mereka menjawab, “Baju hitam.” Tetapi tentera itu berkata, “Kami nampak pakaian putih.” Begitulah diulang soalan sama tetapi penduduk awam tetap memberi jawapan yang sama.
  4. Suatu keadaan berlaku hujan peluru sehingga bangunan yang menempatkan sekumpulan mujahidin tidak mempunyai jalan keluar. Mereka terperangkap. Sekonyong-konyong datang awan hitam yang mengabui pandangan tentera dan gelombang infra daripada pesawat terbang. Akhirnya mereka berjaya beredar ke tempat lain dalam naungan awan itu.
  5. Seorang mujahid lain bercerita, “Aku menggunakan pelancar roket. Seakan-akan ada sesuatu yang membetulkan arah sasaranku.” Aku merasainya beberapa kali.
  6. Seorang mujahidin yang terkorban. Mayatnya dialih selepas dua puluh hari perang. Bau kasturi menyelubungi mayatnya. Sehinggalah dia dikuburkan, bau wangi itu masih harum.


Mujahidin Hamas msaih mampu bersolat ketika perang kerana keyakinan mereka kepada pertolongan Allah. Dan memanglah apabila datang pertolongan, mereka akan mendapat ketenangan.



Selasa, Februari 24, 2009

Warkah buat nenda Rafeeda

Saya ada terima surat yang menarik dari luar Negara. (Pengirimnya dirahsiakan!)

Buat Nenda Rafeeda,

Salam buat nenda setelah sekian lama kita berpisah di tanah suci. Nenda Rafeeda, khabarnya nenda baru sahaja mendapat isyarat untuk tidak lagi mengetuai sayap kumpulan SARKIS di negara nenda. Dahulu kita bertemu dalam suasana umrah, nenda dan saya bertudung litup, berjilbab putih sesuai dengan cara pemakaian orang-orang beriman. Khabarnya nenda bergambar dalam sebuah akhbar tanpa bertudung. Terkejut saya dibuatnya. Semacam tidak percaya. Walhal dahulu kita pernah bertadarrus, dan nenda Rafeeda pernah bertanya kepada saya tentang ayat 59 surah al-Ahzab. Saya katakan, inilah perintah khusus dari Tuhan kepada wanita supaya bertudung.

Amatlah saya dukacita dengan hal itu. Tidak bertudung sedangkan al-Quran berada di hadapan semacam sengaja mempersendakan al-Quran. Nenda Rafeeda…. Barangkali kalau nenda boleh mendengar suara al-Quran atau rehal itu, nescaya nenda akan pengsan. Terkejut ketakutan. Al-Quran akan melaknat manusia yang mempersendakannya. Ia, barngkali kalau boleh didengar suara ghaib itu, akan runtuhlah bumbung-bumbung dan kerusi serta meja yang berdekatan. Tetapi hal itu hanya berlaku di alam lain, di luar batasan dan kemampuan telinga manusia biasa menangkapnya.

Buat nenda Rafeeda yang dihormati,

Maaflah saya menjadi terlalu biadap melontarkan ini warkah buat nenda. Kita sebenarnya tidak sempat bertukar-tukar alamat rumah untuk saya poskan terus ke sana. Tetapi tidak salah jika saya lontarkan ini warkah secara terbuka sebagaimana nenda Rafeeda relakan diri dirakam pemberita, kemudian dimuatkan pula berita itu di muka depan. Oh, nenda Rafeeda. Bilakah mahu berubah? Memanglah betul, perjuangan bangsa perlu seiring dan serapat mungkin dengan perjuagan agama. Kata Umar al-Khattab, “Kita bangsa yang dimuliakan kerana Islam.” Tetapi bukanlah caranya memperguna al-Quran sewenang-wenang untuk menampakkan kita berpegang kepadanya. Sungguh amat tidak cocok dengan adab Islam untuk memperlakukan al-Quran seperti itu.

Nenda Rafeeda,

Sekali lagi mohon maaf. Saya tahu ini lontaran peluru yang berbisa. Tetapi sebelum kita mati, eloklah bertaubat. Brtaubatlah selagi nenda mengaku diri sebagai wanita beriman. Tidaklah perlu kita meminta orang yang bukan Islam bertaubat kerana nilainya nihil di sisi Allah. Salam mesra, salam rindu buat nenda. Jika berkesempatan, kita jumpa lagi di Bakkah.


Sekian, terima kasih.



Dariku yang kerdil, buat memperingati mereka yang menzalimi dirinya sendiri.
(22022009, Sentul, KL.)