Sabtu, Februari 21, 2009

Keanehan manusia akhir zaman


“Man ahdatsa fii amrina falaisa minni fahuwa raad,” maksudnya “Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu amalan/urusan agama sedangkan ia bukan daripada anjuranku, maka ia ditolak.”
Dalam membahaskan hadis ini, Prof. Dr. Yusof Al-Qardhawi dalam Fattawa Mu’asyirah (Fatwa Semasa) mengatakan bahawa umat akhir zaman ini melakukan beberapa perkara aneh dalam urusan agama. Antara yang disebutkan ialah:
1. Ramai orang berebut-rebut melakukan perkara sunat tetapi amat sedikit yang berebut-rebut melakukan kefarduan. Contohnya pada bulan Ramadhan, begitu ramai orang mengunjungi masjid untuk solat sunat Taraweh, tetapi amat sedikit yang istiqamah berjamaah untuk solat fardhu. Senario ini dapat dilihat juga dalam hal menunaikan solat sunat Idul Fithri/Adha.
2. Wanita yang pergi bekerja memakai perhiasan yang cantik tetapi comot apabila berada di rumah. Sekarang, ramai wanita bekerja memakai cantik-cantik, bersolek dan memakai wangian tetapi apabila berada di rumah, penampilannya kusam, busuk dan memakai ala kadar sahaja.
3. Orang yang memakai pakaian kemas ketika bertemu pemimpin yang disegani, tetapi mengenakan pakaian biasa (ala kadar) apabila bertemu Allah Rabbul Jalil. Kebanyakan manusia apabila menunaikan solat, memakai pakaian yang selekeh. Tidak bergosok pun. Kadang-kadang yang menyedihkan sekadar memakai kain pelekat tanpa memakai baju.
4. Orang yang masuk ke masjid lantas menunaikan solat sunat sedangkan guru agama sedang mengajarkan ilmu (kuliah). Dalam situasi ini, seharusnya orang itu terus mendengar majlis ilmu kerana menyertai majlis ilmu itu bersamaan dengan 1000 ganjaran pahala solat sunat. Imam Al-Ghazali dalam kitab Bidayatu al-Hidayah menyebut hal ini dalam bab Adab ke Masjid dengan berkata, “Tidak perlulah ditunaikan solat sunat tahiyyatul masjid. Cukuplah baginya dengan al-baaqiyaatu al-Sholihaat – iaitu membaca Subhanallah wa al-hamdulillah wa laa ilaaha illa Allahu wa Allaahu akbar (tiga kali).

 Nota kuliah Subuh, 21 Feb 2009, Al-Fadhil Ustaz Thirmizi, Masjid al-Hidayah, Sentul, KL.
 Sebahagian nota kuliah ilmu yang lain saya abadikan di sini.

Naimisa, 21022009, jam 1450, Sentul, KL.

Isnin, Februari 16, 2009

Meter nafsunya tinggi, bagaimana hendak merendahkannya?

Suatu ketika, seorang kenalan datang kepada saya. Dia nyatakan kegusarannya tidak dapat menahan gelojak jiwa. Seringkali dia terganggu dengan alamiah kedewasaan, iaitu mudah dirangsang oleh penampilan yang aneh-aneh daripada manusia yang berlawanan jantina dengannya. Bagaimana mahu dibuat? Apakah ada amalan yang dianjurkan kepada kita?


Maka saya jawab, "Jagalah pandangan mata. Dalam ayat 30 surah An-Nur Allah khususkan kepada mukmin (lelaki beriman) agar menundukkan pandangan." Ketahuilah saudaraku, merenung wanita itu panahan syaitan. Barangsiapa yang dapat meninggalkan amalan itu, dia telah merasai halawah (kemanisan) iman. Ini hadis popular yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas. Dan saya ingat kerana pada suatu hari ketika berusia tiga belas tahun, saya semacam terpaku melihat seorang wanita yang wajahnya mirip kakak saya. Kerana mata saya agak lama merenungnya, dan kebetulan dia pula perasan keadaan itu, maka dilayangkan kepada saya hadis tersebut. Saya tabik dan malu alah kepada beliau sampai bila-bila. Selepas peperiksaan PMR, saya tidak tahu lagi apakah cerita muslimah itu.


Tetapi anjuran saya itu, menurut kenalan saya amat sukar. Saya kata, "Berpuasalah." Ya, hendak mendidik nafsu perlu puasa. Itulah yang dianjurkan nabi kepada lelaki yang tidak mampu berkahwin. Berpuasalah. Tetapi dia berkata, adakah sebarang doa?


Ya, ampun! Saya tidak tahu. Sehinggalah setelah berlalu waktu sembilan tahun, baharulah saya mendapat ilmu tentang doa. Inilah doa yang diturunkan oleh Al-Fadhil Ustaz Hanafi Abdul Rahman di Masjid Al-Hidayah, Sentul tanggal 13 Feb 2009. Doa buat mengendurkan kebuasan nafsu syahwat.


Bacalah surah At-Thaariq dari ayat satu hingga ayat 10. Bacalah ayat ini berulang-ulang sehingga 'meter' nafsu anda kembali normal.
Kemudian amalkan juga doa
Allahumma inni a'uudzubika min syarri nafsi, wa min zulumaati al-Jahli, allahumaa inni a'uudzubika min syuruuri anfusina wa min sayyiaati a'maalina. (Ya Allah, aku berlindung darpada keburukan diriku, dan daripada kegelapan sifat jahilku, dan daripada keburukan diri-diri kami, dan daripada kejahatan amalan-amalan kami).


Kadang-kadang manusia apabila suka melakukan kemaksiatan, dia menjadi ketagih. Kemudian kerana manfaat kejahatan itu dirasainya dia terus-menerus melakukannya walhal itulah bisikan syaitan yang telah berjaya memprogramkan minda manusia. Sememangnya syaitan menghiasi kejahatan supaya nampak dalam pandangan manusia yang lalai sebagai suatu yang baik. Awas. Sungguh licik tipudaya syaitan laknatullah ini! Awaslah juga kepada sesiapa yang melakukan kejahatan, kemudian menceritakan kejahatan itu kepada orang lain, seolah-olah diaberbangga dengan maksiat yang dilakukannya. Manusia seperti ini sebenarnya menyerlahkan diri kepada kehinaan dunia. Bertaubatlah.





Yang menulis,


Naimisa
15 Feb 2009.
Sentul, KL.

Jumaat, Februari 13, 2009

Secebis kata



Empat bulan sudah, ketika saya mencari senarai syarikat berstatus BioNexus di Malaysia, saya dapati sebuah halaman web yang memenuhi maksud itu. Namun begitu antaramuka pengguna yang disediakan tidak menarik. Pengguna perlu memasukkan nama syarikat, pengkhususan aktiviti dan wilayah syarikat itu bertapak. Hal ini tentu sahaja menyukarkan. Malah saya juga membuat ujian terhadap sistem yang disediakan itu. Ternyata tidak memberi keputusan atau dapatan yang memuaskan. Logik yang disediakan oleh pembangun aplikasi pada borang itu memerlukan pengguna memasukkan semua perkara pada ruang kosong bahagian inputnya. Makanya saya menaip beberapa perenggan komentar kepada webmaster laman tersebut dan memberi cadangan agar dibandingkan sistem webnya dengan laman web MSC. Ya, MSC menyediakan antaramuka pengguna yang lebih 'mesra' dan memudahkan pencarian. Setelah agak lama tidak mengunjungi laman web tersebut, dan kebetulan pula saya mula menyambung tulisan kajian ilmiah tentang bioteknologi, sekali lagi saya perlu merujuk laman web tersebut. Kali ini saya dapati sudah ada perubahan seperti yang dicadangkan. Syukur, setidak-tidaknya saya sudah memberi suatu perkara yang berguna dan dimanfaatkan.


Rabu, Februari 11, 2009

Huru-hara dunia kita

Hadis ke-12, Bahr al-Mazi jilid ke-18


'an Hudzaifah ibnu Yaman anna an-nabiyya S.A.W qaal, "Wa al-lladzi nafsi biyadihi Laa taquumu as-Saa'atu hatta taqtuluu imaamakum...."

Mafhumnya: Dari Hudzaifah bin Yaman dari Nabi S.A.W katanya, "Demi Allah yang jiwaku di dalam kekuasaan--NYA, tidak berlaku qiamat sehingga kamu membunuh imam (pemimpin) kamu..."


Dalam hadis ini dinyatakan bahawa Hiudzaifah bin Yaman iaitu seorang penyimpan rahsia nabi, padanya terdapat senarai ratusan nama munafikin tetapi sekali-kali
tidak didedahkan kepada para sahabat yang lain. Hadis ini menceritakan bahawa selepas lewafatan nabi, akan berlaku huru-hara. Akan tiba zaman pemimpin Islam yang adil dibunuh oleh pengikut-pengikutnya. Dari sudut mukjizat, hadis ini terbukti benar apabila khalizah Umar, Usman bin Affan dan Ali Karramallahu wajhah ditikam sehingga mati. Malah pembunuhan juga berlaku pada zaman pemerintahan Malik bin Marwan dan bani Umayyah. Ketika zaman empayar Uthmaniah di Turki juga, pemimpin Islam yang adil dibunuh seperti Sultan Abdul Hamid II.


Maka tidak hairanlah jika akhir zaman ini, terdapat banyak mala petaka yang menimpa umat Islam apabila terdapat percaturan nyawa dalam siasah. Ugutan bunuh
atau gangguan terhadap ahli keluarga pemimpin tertentu menjadi mainan biasa dalam politik moden. Saya tidak hairan apabila melihat senario yang berlaku hari ini.
Kita sudah melihat betapa terdapat unsur pujuk rayu dengan tawaran wang berjuta. Tetapi jika hal itu tidak berjaya, ada sesetengah pemimpin itu 'diculik' kemudian
dipujuk dan kemudian diugut keselamatan diri dan keluarganya. Nah, siapa yang tidak gentar dengan taktik sebegini? Saya tidak menyebut mana-mana pihak dalam hal ini.
Cuma jika ada, kemungkinan ia berbetulan dengan teori konspirasi yang pernah saya baca seperti yang berlaku di luar Malaysia. Jika hal yang sama wujud di sini,
adalah suatu yang malang, lebih-lebih lagi politik Melayu itu rata-ratanya Melayu yang menganut agama Islam. Amat mengejutkan dan mendukacitakan!


Beberapa hari ini juga, kita ribut meladeni kisah dan sandiwara di Perak. Memanglah dalam ruang demokrasi, kita sepatutnya akur dan menjadi jantan. Demokrasi membenarkan kita melihat dan mengutip suara terbanyak. Pembubaran DUN adalah jawapan terbaik, diadakan pilihanraya sekali lagi bagi menilai apakah penerimaan rakyat Perak terhadap gaya kepimpinan yang sedang dijatuhkan itu. Saya suka mengambil petikan kata-kata A. Kadir Jasin, if they insist on voting in leaders who are nice but corrupt and ineffectual, those who gave them pocket money, took them holidays, awarded them contratcs and bestowed upon them state horific titles - then they only have themselves to blame if UMNO and BN is rejeceted in the next general election. (Rujuk A. Kadir Jasin, BN's Twin Threats, Malaysian Business, Feb 1st - Feb 15th, page 8). Berada dalam keadaan serba-salah seperti yang berlaku kepada dua ADUN pakatan itu memanglah dilihat oleh kebanyakan kita sebagai suatu yang amat salah. Walhal mereka sendiri yang mengalami ancaman itu tidak kuat untuk melawan bahkan mungkin tidak sanggup menggadaikan keselamatan diri dan keluarga mereka. Maka tidak adil juga jika kita salahkan mereka seratus peratus. Tetapi saya tabik juga, kerana terlebih dahulu dalam tahun 2006, ADUN Kemuning ditawarkan RM5 juta untuk berpaling tadah, tetapi kuat pula menghadapinya. Apakah mungkin ketika itu ugutan dan ancaman kepada keselamatan keluarga belum di'main'kan oleh mereka?



Berbalik kepada cerita Perak, nampaknya tidaklah sampai keadaan mereka kepada penderhakaan sehingga mengangkat senjata. Maka adalah amat sendih jika dihukumkan bekas MB Perak sebagai penderhaka. Apakah YB Nizar mengarahkan pengikutnya engangkat senjata? Jawapannya tidak! Amatlah keterlaluan apabila dia dituduh menderhaka. Derhaka dalam pandangan manusia tidaklah ada apa-apa kesannya jika dibanding dengan penderhakaan kepada Al-Khalik, Penguasa sekalian alam. Mereka masih demokratik dalam menjalankan siasah dan menjadi pemain siasah yang murni. Tidak salah sekiranya mempertahankan hak dan maruah kerana itulah yang dituntut dalam agama.



Catatan seorang aku, pemerhati dari jauh. Saya ingin rakamkan juga sekalung tahniah atas keteguhan prinsip perjuangan seperti yang ditunjukkan oleh Bekas ADUN Bukit Selambau. Dia lebih mementingkan rakyat daripada wang berjuta.

Selasa, Februari 10, 2009

Gerhana Bulan Penumbral :: dan gerhana sepanjang 2009


Selepas solat fardhu Isyak semalam (9 Feb 2009), imam mengajak kami sama-sama menunaikan solat gerhana. Ya, gerhana bulan berlaku lagi.
Dan selepas solat, imam naik ke mimbar dan berkhutbah. Betapa sedikit sahaja daripada banyak manusia yang bersama-sama kami. Tentu yang amat
terasa kesannya adalah imam yang membaca khutbah. Apa pun kami semua diingatkan betapa kerdilnya diri di hadapan DIA yang maha Kuasa.






Gerhana tahun 2009



  • Gerhana matahari separuh 26 Januari.

  • Gerhana bulan penumbral 9 Februari.

  • Gerhana bulan penumbral 7 Julai.

  • Gerhana matahari penuh 22 Julai.

  • Gerhana bulan penumbral 6 Ogos.

  • Gerhana bulan partisi 31 Disember.

Isnin, Februari 02, 2009

Bicara soal kerja

Bersykurlah. Kita masih punya kerja.

Minggu lepas, seorang kawan saya merungut darihal kesulitan kerja beliau. Saya kata, “Bersyukurlah, engkau tidaklah seteruk buruh kasar yang membina bangunan atau perkerja ladang.” Pekerja ladang sawit hanya mendapat bayaran sekitar RM350 untuk setiap tan buah tandan segar. Nilai yang menyusut teruk berbandng lapan bulan dahulu RM750/tan.
Setiap kerja jika tiada kesukaran bukanlah kerja namanya. Hatta berkerja sebagai tukang sapu pun, tetap ada cabaran dan kesusahan yang tersendiri. Kita jangan fakir, seorang tukang sapu yang hanya memegang penyapu dan penyodok sampah tidak ada cabaran dalam kerjayanya. Ya, mungkin kerja itu tidak membebankan sangat minda fikirnya. Ya, tetapi tukang sapu juga menghadapi cabaran ketahanan mental dan fizikal untuk menyapu sampah. Jika tidak, keadaan di sekeliling kita dengan sikap sambil lewa orang-orang kita membuang sampah di merata tempat akan menjadi tidak terurus. Bekerja dengan memerah otak, istilah popular yang dikhaskan kepada golongan pelaksana dan pembuat dasar sama ada dari kalangan profesonal atau amatur (pengurusan). Nah, jika tidak mahu berada di tempat itu, silalah lepaskan jawatan anda dan berilah peluang kepada ratusan ribu manusia yang tidak mempunyai kerjaya.
Pada 26 Januari, saya dan adik saya pulang untuk bercuti. Adik saya pulang sempena cuti semester, duduk di dalam bas di sebelah seorang jurutera pembuatan. Kasihan sungguh, jurutera ini terpaksa direhatkan dua minggu kerana produktiviti kilang kian merosot. Ya, sekarang zaman bearis dan resesi. Dunia kapitalis terejas terusk dan Malaysia juga merasai bahangnya. Dua minggu selepas pilihanraya kecil yang memulangkan semula Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Parlimen, sebanyak RM11 bilion dikeluarkan dari pasaran saham Malaysia. Namun begitu, tidak boleh disalahkan kepada beliau gara-gara penguncupan nilai dagangan saham tersebut. Dunia perniagaan mula melihat peluang yang lebih kondusif untuk dijadikan tapak operai seperti di Vietnam, Myammar, India dan China. Mengapa? Kos buruh di negara-negara ini jauh lebih rendah daripada Malaysia. Sehingga tulisan ini dicoret, seramai kira-kira 450 000 orang menghadapi dilema diberhentikan kerja. Apa beza memindahkan pusat operasi kilang dengan hanya menyerap staf tetap tetapi mengatakan opsyen Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) sebagai tidak membuang pekerja?
Sudah menjadi amalan dan tanggungjawab kerajaan bagi membantu semua pihak. Langkah mengurangkan caruman KWSP pekerja adalah untuk meringankan golongan majikan. Di samping itu, sebagai serampang dua mata untuk menjadikan rakyat terbanyak lebih ‘kaya’ dalam suasana kenaikan barangan keperlan harian. Kemudian terbaharu, kadar faedah bank untuk pinjaman peribadi, kenderaan dan perumahan turut diturunkan. Apakah kadar baharu (BLR/OPR) ini mampu melonjakkan hasil jualan kenderaan di Malaysia? Sebagai pembeli kenderaan misalnya, kita mungkin boleh bergembira sementara waktu, kerana BLR tidak statik. Mungkin dalam dua tahun pertama, kadarnya rendah tetapi tidak mustahil kadarnya kembali tinggi apabila keadaan ekonomi bertambah baik kemudiannya. Maka dalam hal ini, amatlah perlu bagi kita memberi sokongan kepada sistem ekonomi Islam walaupun sekarang ini dimomokkan bahawa sistem perbankan Islam sama teruknya dengan sistem konvensional. Ada satu qaul, jika terdapat dua pilihan pilihlah yang dapat membawa kita menuju ke arah redha Allah. Maknanya jika sistem konvensional = Islam, ia sebenarnya begini; sistem Islam > konvensional.

(1914: Feb 2, 2009. Sentul, KL)

Sabtu, Januari 31, 2009

Gerhana matahari


26 Januari 2009. Petangnya berlaku gerhana matahari. Paginya saya bertolak dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu, kerana urusan keluarga yang amat penting. Justeru saya terpaksa membatalkan perancangan ke Masjid Negara pada hari itu. Saya selesaikan solat fardhu di perhentian rehat bas ekspress di Kuantan. Apabila tiba di Kuala Terengganu, saya mengambil kesempatan menunaikan solat sunat gerhana matahari di surau terminal. Saya tiba jam 5.30 petang, dan tentunya sudah terlewat daripada agenda di masjid putih Kuala Terengganu. Tidak salah jika saya menunaikan solat sunat itu sendirian. Solat sunat ini berbezaa daripada solat sunat yang lain. Dua rakaat, tetapi dibaca surah al-Fatihah diikuti ayat lazim, kemudian rukuk dan iktidal sebanyak dua kali dalam satu rakaat. Bermakna selepas iktidal, diulangi bacaan al-Fatihah dan ayat lazim seterusnya rukuk, iktidal dan sujud untuk rakaat tersebut. Dalam kitab kuning, dicatatkan cara menunaikan solat sunat ini tetapi tidak upaya dilakukan oleh kita di akhir zaman. Iaitu tempoh rukuk, iktidal, sujud, duduk di antara dua sujud sama panjang dengan panjang bacaan ayat yang dibaca selepas al-Fatihah. Dalam sejarah akhir zaman, solat sunat gerhana yang dilakukan oleh imam Makkah pada tahun 50-an membuktikan hanya sekitar empat hingga lima orang mamkmum yang mampu bertahan bersama-sama imam; menunaikan solat sunat gerhana mengikut kaifiat yang asal.


Apabila saya turun ke kedai untuk mendapat akhbar, tiba-tiba seorang peniaga bertanya dengan keadaan hairan. Seolah-olah dia lupa dunianya. Semacam dia tidak mendengar sebarang berita atau membaca akhbar darihal gerhana matahari. Lantas dia bertanya, “Kenapa lain macam sahaja petang ni?”

Saya puisikan insiden itu. Ya, tataplah nukilanku yang tidak seberapa ini.




Manusia dan gerhana.
Sempena peristiwa gerhana matahari pada sore 26 Januari 2009

Kala bulan mencelah mentari
kelihatan bentuk cincinnya
gerhana tanda kekuasaan
Al-Khaliq Penguasa mayapada

Bukan meratap kematian Ibrahim
bukan juga petanda walang
duhai buangkan kepercayaan karutmu

Bumi nan terang menjadi mendung
sinar mentari tidak segalak
dan secerah paginya
masih ada yang leka
atau kebingungan
kiamatkah ini?
apa sebenarnya berlaku?

Dia…
terpinga-pinga mengikut yang lain
dikhabarkan “mentari dihalang bulan.”
Oh, umur dunia masih panjang!
mengurut dada merafakkan kemujuran
Dalam debar kalut pun lenyap

(Naimisa, 31012009, Sentul, KL)
Nota kaki:
Pada zaman nabi, anak baginda Ibrahim mati. Kebetulan pada waktu itu berlaku gerhana. Maka nabi bersabda menyangkal pendapat orang ramai bahawa gerhana berlaku kerana meratap kematian anak baginda itu.

Selasa, Januari 20, 2009

Ketegasan yang wajib dipuji


Berikut petikan laporan akhbar arus perdana yang suka saya baca. Suka dibaca dengan penuh kekaguman. Ya, kita wajib memberi pujian kepada ketegasan yang dipegang oleh anak muda ini.


Ahmad Nasir Darus, 27 memilih menjalani hukuman penjara selepas Majistret Tengku Amalin A'Ishah Putri memutuskan dikenakan hukuman denda RM90 atau menjalani hukuman penjara dua hari. Bagaimanapun di atas alasan memegang prinsip demi mempertahankan sunnah Rasulullah saw beliau lebih sanggup ditahan di penjara.


Kadang-kadang akta yang digubal sungguh aneh. Ketika saya di universiti, pernah suatu hari ditanya ditanya secara menyindir, "Kamu ni dah naik haji?" Pertanyaan itu dilontar oleh seorang Pakcik Jaga yang marah gara-gara saya tidak memakai helmet ketika pulang makan pagi (sekitar jam 7.30 pagi) ke bilik penginapan. Walhal dalam masa yang sama, seorang kawan sejawatnya beragama Sikh, juga memakai turban tidak pula diarahkan memakai topi keledar ketika meronda-ronda kawasan kampus. Itu baharu dalam kampus, belum lagi keluar ke jalan raya seperti yang dialami saudara Ahmad Nasir Darus. Oh, mereka tidak nampak barakah di sebalik pengamalan sunnah itu. Logik akal mereka belum sampai ke tahap bahawa serban juga lebih baik daripada topi keledar. Apakah tuan dapat memberi jaminan jika pakai topi keledar, tidak pecah kepala/patah tengkuk kalau berlaku kemalangan? Apakah tuan berpandangan bahawa topi keledar itu hakikat yang memberi bekas kepada keselamatan tuan?
Ini soalan biasa ahli ilmu hikam. Tuan-tuan fikirlah sendiri.


Kadang-kadang akta sivil perlu digubal sesuai dengan amalan dan prinsip agama. Itulah padahnya jika keutamaan pemikiran selain Islam yang difokuskan. Syabas dan tahniah buat saudara Ahmad Nasir. Saya kagum dengan ketegasan saudara. Semoga Allah merahmati kehidupan saudara. Dua hari di penjara tidak lama.


Khamis, Januari 15, 2009

Mari boikot sama-sama



Pada tahun 1909, Theodor Herdzle mencadangkan dalam seminar kaum Yahudi, bahawa mereka harus memiliki sebuah negara yang sah. Sebelum ini mereka hanya membantu kerajaan Kristian di England, Russia, dan Eropah. Ketika Renaisence, mereka telah mencedok ilmu orang Islam kemudian menterjemahkan ke dalam kehidupan mereka, sehingga mampu membentuk sistem mereka yang sangat jahat. Bahkan kejahatan mereka dari segi ekonomi riba sudah dijelaskan di dalam al-Quran ayat 161, surah An-Nisaa' ; mahfum ayat – “dan mereka menjalankan riba padahal mereka dilarang darinya, dan kerana mereka memakan harta manusia lain dengan cara bathil...”

Apabila cadangan itu diterima iaitu sebuah negara mesti ditubuhkan di sebuah negara berhampiran Palestin. Pendeta Yahudi percaya bahawa di sini terdapat kitab Haikal, yang suci. Usaha dijalankan bagi mendapat sedikit tanah di Palestin. Bagi tujuan itu, mereka menggunakan pihak kompeni (syarikat perusahaan) yang dikuasai gerakan Zionis untuk membeli tanah bagi tujuan perniagaan. Hal ini sangat rumit, dan ditentang hebat oleh Khalifah Uthmaniah ketika itu iaitu Sultan Abdul Hamid II. Maka ditawarkan kepada sultan itu hadiah berupa kereta Ford dan beberapa hadiah mewah yang lain. Tetapi Sultan Abdul Hamid II tidak mengendahkan tawaran tersebut. Yahudi mencari jalan untuk menyingkirkan Sultan Abdul Hamid II, sehingga akhirnya berjaya. Dikatakan Sultan Abdul Hamid II disingkir secara halus (diplomatik dan persekongkolan) dengan pemerintah yang kemudiannya menjadi boneka Yahudi ini.

Apabila mereka berjaya membangunkan kilang, maka dipindahkan orang Yahudi dari Eropah untuk bekerja. Mereka mula membina penempatan di atas tanah yang sempit itu. Kemudian mereka mula mengganggu-gugat sistem khalifah dengan meniup api sekularisme dan nasionalisme. Maka blok Arab yang dahulunya hanya tiga wilayah berpecah mengikut identiti bangsa menjadi lebih kepada lima belas buah negara yang kecil-kecil. Pemerintah yang diangkat juga adalah mereka yang sebulu dengan gerakan Zionis. Maka mudahlah mereka mempergunakan pemerintah ini untuk menjaga kepentingan mereka. Suatu perkara yang tidak pernah dilaporkan di dalam akhbar ialah gerakan gerila Yahudi. Setiap malam, sekumpulan sepuluh pemuda Yahudi berjalan keluar. Apabila bertemu dengan rakyat Palestin yang berjalan sendirian atau ibu yang mengendong bayi kecil, maka orang Palestin itu akan dibantai sehingga mati. Mereka tidak mengganggu kumpulan yang lebih besar. Tetapi pergerakan mereka ini akhirnya diketahui dan dendam demi dendam pun subur. Apakah orang Palestin boleh membiarkan sahaja hal ini? Jawapnya tidak.

Ketika mereka berjaya berkompromi dengan Fatah, Yahudi juga 'membantu' gerakan Hamas. Apakah nawaitu mereka? Tidak lain tidak bukan untuk menjadikan kedua-dua gerakan ini bertelingkah dan akhirnya secara alamiah menjadi lemah. Hamas pula memanfaatkan permainan politik ini dengan membina kekuatan jihad mereka. Hamas tidak sekali-kali menggadaikan perjuangan mereka untuk menegakkan Islam di Palestin. Kemudian akhirnya, setelah Zionis mendapati Hamas tidak tunduk kepada kehendak mereka, maka dilancarkan pertentangan yang keras terhadap Hamas. Sehingga kini ramai pemimpin utama Hamas telah syahid diserang dengan pelbagai cara termasuk menggunakan roket GBU 39, sebuah peluru berpandu dilengkapi sistem GPS. Jahanam, Yahudi! GBU 39 telah menggegarkan dunia Palestin apabila Asy-Syahid Sheikh Yasin yang buta hancur lulur di atas kerusi roda beliau. (Oh, Sheikh Yasin sudah mendapat tempat di syurga Allah). Betapa itulah kehebatan gerakan Hamas sehingga sangat digeruni oleh Yahudi. Mereka tidak pernah gentar menghadapi kematian.

Akhir tahun 2008, dunia sekali lagi digemparkan dengan siri perang baharu. Kali ini Yahudi laknat itu menggunakan bom berangkai (cluster bomb), yang diharamkan dalam Konvensyen Perang. Jahanam, Yahudi! Manusia lain, bangsa lain tidak lebih daripada seekor kambing. Murah sungguh nyawa bangsa lain pada pandangan mereka. Benarlah firman Allah bahawa mereka (Yahudi) adalah bangsa yang terlalu angkuh. Apa kata Allah itu? "Orang Yahudi dan Nasrani berkata: kami adalah anak-anak Allah dan kekasihNYA..." kemudian dalam ayat yang sama Allah menempelak mereka seraya berkata (berfirman), "Tidak, kamu adalah orang-orang biasa di antara manusia yang diciptakan...." (ayat 18, surah Al-Maidah).

Oh, bilakah kan berakhir kemelut ini? Kita hanya mampu berdoa kemudian melumpuhkan ekonomi Yahudi dengan memboikot produk-produk keluaran mereka. Jom, mari kita sama-sama semak produk-produk yang menyumbang terus kepada Yahudi dan mengucapkan selamat tinggal. Ingat, jika tidak kita, siapa lagi?




(Naimisa, 15012009, Sentul, KL)

Rabu, Januari 14, 2009

Jom hayati cerita ini




Ayuh, kita bercerita tentang pengembaraan hidup sahabat yang bernama Abu Dzar al-Ghiffari. Suatu hari Abu Dzar berkata kepada nabi, “Awshani Ya Rasullullah” (Wasiatlah kepadaku, wahai Rasul Allah). Lalu nabi bersabda, “Bertaqwalah.” Abu Dzar berkata lagi, “Zidni (Tambah lagi).” Lalu nabi bersabda lagi, “Hendaklah engkau istiqamah bermurattal dengan al-Quran.”

Dan saya huraikan initsari hadis ini seterusnya. Menurut nabi, pembaca al-Quran mendapat cahaya. Nur itu terpancar dari wajahnya.

Saya sebenarnya mendapat cerita ini di sebuah masjid komuniti Pakistan di Sentul, berhampiran stesen komuter Sentul. Kelompok mereka biasanya mengikut amalan yang digariskan oleh Imam Abu Hanifah. Masjid seperti ini juga wujud di Bahau, Johor Bharu (1 km dari Terminal Larkin) – sekadar menyebut nama-nama masjid seumpamanya yang pernah saya kunjungi ketika bermusafir.

Setelah dihabiskan tazkirah tentang sahabat nabi itu, imam yang membaca kitab hadis kelebihan Quran menambah kelebihan ibu bapa yang anaknya menjadi hafiz. Pada hari kiamat, mereka dikurinia mahkota, cahayanya dua belas kali cahaya matahari. Dia dimasukkan ke syurga yang mempunyai tujuh puluh ribu pintu dari emas dan perak. Jarak di antara pintu sejauh dua bulan perjalanan.


Oh! Betapa besarnya kelebihan itu. Bertuahlah ibu bapa yang mempunyai anak-anak soleh seperti itu. Saya suka sekali melayari laman ini. Kita boleh mendengar

bacaan ayat suci al-Quran dari beberapa imam terkenal serta terjemahan dalam pelbagai bahasa. Klik untuk melayari laman web Quran Explorer




Laknat engkau, hei! Yahudi.


Dan bertahun lama
lebih 60 perjanjian
hitam putihnya jadi kelabu

dilanda kabut kesombongan
dan bara dendam
Yang tak sudah-sudah


Khamis, Januari 08, 2009

Suara dari masjid




Di tengah-tengah macet kota
Berdiri gagah mencengkam bumi
Dikau subur benih ilmu
Membuahkan manusia bergelar insan
Mengeluarkan kami dari kejahilan
Pasti menyinari kehidupan kami

Dikau dikunjung saban waktu
Tanpa jemu dikau terima
Biar sesekali dikau disakiti
Tangan durjana pencoret vandalisme
Atau kaki jahat sang pencopet
Dikau diam sebagai saksi

Dikau pernah sedih
Melihat kami nan sedikit
Menekuni pengajian
Sesebal hati asatizah
Terkilan dek sedikitnya pendengar

Dikau tidak pernah menangis
Seperti tangis anak-anak kecil
Atau si siak tua yang kepayahan
Kerana dikau dirahmati
Mendapat tetamu Allah
Yang mulia

(Naimisa, 08012009, Jam 1400, Sentul, KL.)

P/S :: rakaman masjid dari tingkat pejabat saya, Plaza Sentul.

Selasa, Januari 06, 2009

Resensi buku Berkarya di Alam Siber


Judul : Berkarya di Alam Siber.

Penulis : Irwan Abu Bakar dan Hasimah Harun

Penerbit : eSastera Enterprise

ISBN : 9789675043079

Harga : RM25.00

Pengulas : Naimisa Yusof




JIKA anda mendalami ilmu kejuruteraan yang bersifat fundamental, pengaturcaraan dan kemahiran atau membaca manual pengguna, anda akan mendapati kandungan buku tersebut boleh diaplikasi ke dunia nyata. Banyak sekali buku panduan berbentuk biasanya buku motivasi yang tidak berjejak. E-sastera Enterprise tampil dengan sebuah buku dalam kategori ini melalui buku terbaharu berjudul Berkarya di Alam Siber (BdAS). Sebelum buku panduan ini ditulis, e-Sastera Enterprise telah mengasaskan komuniti sastera maya khusus buat pencinta sastera siber. Kecanggihan teknologi dimanfaatkan sepenuhnya apabila komuniti sastera siber www.esastera.com (selepas ini diringkaskan sebagai esastera.com) menyediakan hampir keseluruhan genre sastera termasuk Komsas PMR dan SPM serta Haiku, Tanka dan Senyu. Sehingga kini terdapat 22 komuniti sastera di dalam majalah elektronik e-Sastera Enterprise yang diasaskan pada Februari 2002.


Buku panduan BdAS ini mengajak para pembaca menilai semula sejarah kewujudan sastera siber, kemudian sejarah penubuhan komuniti sastera di Malaysia khususnya esastera dom com. Selain itu, pembaca juga akan didedahkan dengan manual pelayaran (surfing guideline) yang memerlukan pengguna menjadi pengguna berdaftar. Hal ini kerana esastera.com merupakan majalah sastera elektronik yang serius. Pengguna perlu menjadi ahli yang berdaftar dan bertanggungjawab penuh terhadap setiap tulisannya. Setiap ahli yang berdaftar layak menyiarkan apa-apa karya yang berkaitan mengikut komuniti yang diminati, memberi komen, kritikan, dorongan atau menyuarakan pendapat terhadap karya ahli-ahli lain. Konsep yang dipraktikkan di majalah esastera.com telah berjaya melahirkan penulis yang mantap. Siapa tidak kenal dengan Nimoiz TY? Penulis buku MENJADI PENULIS JUTAWAN yang aktif menulis di esastera.com. Namun tidak dinafikan, pengasas majalah esastera.com dan isteri beliau cikgu Hasimah Harun juga banyak menghasilkan buku sastera seperti Kursus Kepenyairan esastera, Sajen dan Semelar.


Kelebihan buku ini adalah dari segi kandungannya iaitu meletakkan grafik semacam antaramuka pengguna (user interface) yang menjadikan BdAS mesra pengguna. Paparan grafik itu adalah imej pegun laman web sebenar dalam majalah esastera.com. Hal ini memudahkan setiap pengguna meski tidak pernah memiliki pengalaman menggunakan internet. Tentunya menjadi kelebihan berkarya di alam siber apabila penulis boleh menambah elemen grafik pegun (statik) atau bergerak (animasi), bunyi, jenis, saiz dan warna huruf, latar belakang dan bentuk pemerengganan yang disukai. Terdapat juga alat bantu seperti penggunaan tag bahasa pengaturcaraan HTML yang mudah dimasukkan dalam buku ini. Kod HTML ini sedikit sebanyak dapat menambah keelokan karya siber. Selain itu, pembaca buku ini didedahkan juga dengan aspek luaran seperti aktiviti luar komuniti esastera dot com seperti bengkel penulisan dan majlis anugerah Hadiah e-Sastera dot com (HESCOM).

Selaras dengan perkembangan dunia di hujung jari, adalah tidak rugi jika setiap pencinta sastera bergiat dalam medium maya. Di samping dapat 'bertemu' dengan peminat sastera seluruh dunia, anda juga mampu mempererat jaringan rakan-rakan yang meminati sastera. Sayugia dimasukkan tagline “eSastera – Masa Depan Sastera Anda”. Selamat berkarya!

Ahad, Januari 04, 2009

Keunikan cinta dalam Surat-surat yang Tak Terhantar


Judul : Surat-surat yang tak terhantar
Penulis : Anbakri
Penerbit : kAPAS Publication
ISBN : 98328580504
Pengulas : Naimisa Yusof



Antologi surat dan puisi. Jarang-jarang kita disajikan dengan sekumpulan surat yang biasanya menjadi hal privasi bagi sesetangah orang. Surat-surat tak terhantar mengajak kita menilai erti cinta dan kehidupan. Anbakri memperkenalkan antologi beliau sebagai yang berikut: Surat-surat yang tak terhantar adalah tempias-tempias rindu yang lembut membasahi sebuah berenda. Ia merakamkan keresahan seorang aku yang cuba berindah di dalam pilu. Dari sejak memahami pengertian rasa, aku telah disentuhi cinta tanpa disengaja.
Uniknya cinta. Cinta serampang dua mata – suka dan duka. Jikalau ia secantik nilam, ia juga menyembunyikan sembilu yang amat tajam. Anbakri merakamkan bentuk dan wajah cinta yang pelbagai. Cinta kepada Rabb. Cinta sesama insan – kekasih kepada kekasih, anak kepada ayah/ibu, ayah kepada anak, kawan kepada kawan. Juga tidak dilupakan rakaman keakraban beliau dengan seni. Sebanyak 39 puisi dan sembilan surat cinta disajikan kepada pembaca. Membaca surat-surat menjadikan kita diulit keasyikan kerana kepuitisan bahasanya. Selain itu, secara tidak langsung Anbakri sedaya mungkin berlaku jujur melakarkan realiti kehidupan mereka yang benar-benar memaknakan cinta. Hal ini menjadikan seolah-olah pengalaman zaman muda Anbakri pernah dilalui oleh kebanyakan daripada kita. Misalnya titipan dalam Nota Terakhir Buat Ayahanda.
Nota Terakhir Buat Ayahanda mendedahkan kekesalan seorang aku kerana lambat berkhidmat kepada ayahnya. Ya. Setiap orang pun, apabila sudah bekerja tambah-tambah lagi yang berasal dari keluarga yang susah/sederhana mahu membantu meringankan bebanan keluarga. Ada waktu tertentu kita diuji kesempitan, maka ditulisnya: Di situlah ayah, aku hidup dalam masa yang tidak pernah mengenal sempat. Hantaran ke kampung yang biasanya berjadual telah leka bertukar dari kadang-kadang kepada jarang-jarang. Pembaca perlu tabah dan kuat untuk menghabiskan pembacaan surat ini lantaran isinya yang benar-benar menusuk kalbu. Surat ini dikategorikan sebagai surat tidak terhantar lantaran penyesalan itu dilakar ketika sang ayah sudah tidak mampu lagi membacanya. Demikian penulis menyelitkan serba sedikit punca penulisan satu-satu surat yang dikarang.
Selain surat yang disebut di atas, Anbakri juga menitipkan surat-surat lain, antaranya:


  1. Di sinikah? (Zahari)

  2. Dan... perpalinglah seorang salmah (Hadi Mustafa)

  3. Warkah Buat Pemfitnah (Anbakri)

  4. Cinta yang terbiar (Anbakri)

  5. Memori Luka dari Roni (Roni)

  6. Nota Hassan yang Tertinggal (Sulong Abd Latif)

  7. Nota Terakhir Buat Ayahanda (Anbakri)

  8. Idi Menulis Buat Bonda (Idi)

  9. Warkah dari Ayahanda (Ayahanda)

  10. Catatan Diari BuatMu Tuhan (Anbakri)

  11. Seni dan Aku (Anbakri)


Sementara itu, puisi yang dimuatkan semuanya berkisar seputar cinta. Cinta memang unik! Buku ini boleh dibeli di Kedai esastera.com (http://www.esastera.com/kedai)


(Naimisa, 04012009, Jam 0500, Sentul, KL)

Sabtu, Januari 03, 2009

Dr. Rayyan digempur. Al-Fatihah.



   Ketika umat Islam menyambut tahun baharu hijrah 1430H, mereka juga berpestaan.
Yahudi laknat itu menggayang Gaza. Lantas gegak gempitalah seluruh dunia, tanpa apa-apa kesan positif kepada
rakyat Palestin. Pelarian di Kem Jabayla kehilangan Dr. Rayyan (kini menjadi syuhada), seorang aktivis kemanusiaan yang mulia.
Tahukah kita? Orang Yahudi juga meraikan hari Asyura (10 Muharram) dengan puasa. Dan kita umat Islam, walau pun disunatkan
berpuasa Ayura, digalakkan kita tidak sama seperti mereka. Justeru kita dianjurkan berpuasa dua hari, iaitu sebelum atau selepas hari Asyura, tambah
puasa 10 Muharram itu sendiri. Pilihlah jika tuan-tuan mahu. 9 dan 10 atau 10 dan 11 Muharram untuk berpuasa pada bulan ini sempena Hari Asyura.


   
Khutbah Jumaat tengah hari tadi juga hambar. Tetapi sebelum khutbah, ustaz yang menyampai tazkirah sebelum Jumaat cukup bertenaga.
Tampak sekali dan saya menjadi saksi bahawa sang ustaz itu memiliki tanda kesempurnaan iman. Saya juga hampir-hampir menitis air mata.
Ya. Kita sedih. Kita marah. Kita gelisah. Benci membuak-buak kepada manusia binatang persis Yahudi laknatullah! (Maaf, ini memang
lukisan jiwa saya yang bara. Dalam kes ini saya tidak perlu meminta maaf.)


Al-Fatihah buat Dr. Rayyan dan rakyat Palestin yang terkorban. ALLAHUMANSHURI AL-ISLAMA WA AL-MUSLIMINA FII PALESTIN.


Catatan Peduli Palestin, Naimisa, 03012009, Jam 2.30 pagi, Sentul, KL)


Ahad, Disember 28, 2008

Sejarah Penentuan Asas Pengiraan tahun dalam Kalender Hijrah



Al-Hikmatu dhollatu mukmin aina wajada fahuwa ahaqqun biha


Maksudnya: Hikmah (kebijaksaan) orang-orang kafir adalah mutiara yang tercicir. Maka di mana sahaja kamu temui mutiara tersebut, kamu berhak ke atasnya (memanfaatkannya)



    Ketika zaman Nabi S.A.W sistem kalender yang digunakan adalah mengikut sistem jahiliyyah. Sistem ini hanya menggunakan tarikh (hari bulan) dan nama bulan tetapi tahunnya dinamakan. Masih belum ada sistem penomboran pada tahun untuk mengetahui bilangannya. Sebab itu kita baca sejarah bahawa nabi dilahirkan pada 12 Rabiul Awwal tahun Gajah. Begitu juga kita pernah dengar apabila kematian dua orang yang paling rapat dengan nabi iaitu Abhu Tholib dan Khadijah berlaku, tahun itu dinamakan sebagai 'aamu al-Huzni (baca: 'aamulhuzni) atau Tahun Kesedihan. Selain itu, sistem yang dimanfaatkan daripada sistem jahiliyah ialah suaka politik (bahasa Arabnya Haq al-Jar / Haq al-Juwar). Memandangkan nabi berada dalam kalangan Bani Hasyim, maka suaka politik yang berada di tangan Abu Tholib telah menyelamatkan baginda (dengan perancangan dan izin Allah) daripada gangguan musyrikin Mekah. Selain Abu Tholib, hartawan Abu Bakr Ash-Shiddiq juga mempunyai kuasa memberi suaka/perlindungan kepada orang Islam terutama dari kalangan hamba. Dalam sirah dicatatkan bahawa Abu Bakr Ash-Shiddiq memerdekakan beberapa orang hambar seperti Zinnirah dan Bilal bin Rabah.


    Selain itu, nabi sallahu'alaihi wasallam juga memanfaatkan sistem yang berasal di luar Islam dalam peperangan. Perang Uhud misalnya, baginda menggunakan teknik al-Quddus iaitu sistem batalion yang berasal dari Rom. Sistem batalion ini menjadikan umat Islam menang pada pusingan pertama, tetapi dek kerana tamakkan harta ghanimah (harta rampasan perang), walau pun nabi sudah memberi jaminan akan dibahagi kepada lima bahagian, kaum muslimin yang menyangka telah menang secara mutlak berebut-rebut mengerumuni ghanimah. Ahli sejarah merumuskan bahawa kelajuan kuda adalah bersamaan 60 km/j. Ketika kelekaan itu, Khalid al-Walid yang mengetuai pasukan berkuda musyrikin berpatah balik dan menyerang dari kubu pemanah di atas bukit (Jabal 'Ainain). Maka gugurlah 70 orang syuhadaa di medan Uhud. Kekalahan ini tidak memberi kesan kepada pemerintahan negera Islam di Madinah, kerana nabi berperang di medan perang di luar kota Madinah.


   Kemudian daripada itu, berlaku pula perang khandaq. Ketika ini kaum musyrikin ingin meniru sistem al-Quddus tetapi nabi sallahu'alaihi wasallam menerima cadangan Salman al-Farisi supaya kaum muslimin menggunakan kaedah parit. Maka mereka menggali parit yang luas sehingga tidak mampu dilompati kuda-kuda perang kaum musyrikin. Demikian strategi peperangan di zaman nabi yang senantiasa berubah, tidak statik. Melalui contoh-contoh pemurnian kaedah atau teknologi yang dicipta oleh orang kafir, maka dalam keadaan umat Islam hari adalah tidak salah jika kita memanfaatkan teknologi orang kafir selagi tidak bercanggah dengan kehendak dan syariat Islam. Sebab itu kita menerima sistem pemilihan (pelantikan) pemimpin melalui proses pengundian. Kita menggunakan sistem demokrasi berparlimen dalam pemerintahan negara. Dan setiap daripada kita tidak perlu skeptikal untuk mengatakan bahawa mengundi itu haram! Orang yang berpandangan (mengatakan berpilihanraya) sebagai haram adalah mereka yang jahil dan buta sejarah.


   Pada zaman Umar al-Khattab menjadi khalifah berlaku pelbagai perubahan dalam pentadbiran umat Islam. Ketika ini empayar Islam sangat luas sehingga ke Laut Sin, India dan China. Jika kita mahu mengkaji pentadbiran negara Islam, wajarlah kita mengkaji sistem pentadbiran yang dilakukan oleh Umar al-Khattab. Pada zaman beliau, diwujudkan tentera bergaji. Sebahagian yang lain tetap memilih untuk berjuang di medan perang sebagai mujahiddin (tanpa gaji). Suatu hari apabila berutus surat, Umar mendapati adalah sukar untuk mengekalkan sistem yang pernah diguna ketika hayat Ar-rasul Sallallahu 'alaihi wasallam. Maka Umar berjtihad bahawa tahun Islam mestilah menggunakan nombor. Sahabat-sahabat berbincang untuk mencari tanda aras sebagai titik mula pengiraan. Terdapat tiga cadangan yang dikemukakan:

  1. asas milaad an-nabiyyi

  2. merujuk kepada perang yang paling hebat

  3. merujuk kepada peristiwa hijrah




    Pertama: menggunakan asas kelahiran nabi bermakna meniru sistem kalender Nasrani. Orang Nasrani meggunakan tarikh kelahiran al-Masih Isa 'alaihissalam sebagai rujukan. Maka hal ini tidak baik untuk Islam dan ditolak. Cadangan kedua, menggunakan perang yang paling hebat juga tidak diterima. Hal ini kerana ia menggambarkan seolah-olah kehebatan Islam muncul hasil daripada kemenangan di medan perang. Kemudian yang terakhir, cadangan Ali KarramaLLAHU wajhah (K.W) iaitu menggunakan peristiwa hijrah ke Madinah. Hujah Ali K.W ialah selama 13 tahun nabi berdakwah di Makkah, hanya 200 orang yang memeluk Islam. Tetapi selepas hijrah, kaum muslimin berjumlah 400 000 (empat ratus ribu) orang! Ketika haji wada' seramai kira-kira 112 000 orang yang menyertai nabi sallallahu 'alaihi wasallam. Pertambahan yang begitu ramai (purata 3332 orang[1] sebulan yang menganut Islam) selepas hijrah menunjukkan bahawa peristiwa hijrah memberi kesan yang signifikan kepada perkembangan dakwah Islamiah. Maka Umar dan sahabat-sahabat yang lain bersetuju dengan cadangan Ali K.W.
    Demikianlah asal-usul penetapan kalender hijrah yang diguna pakai sehingga kini. Jika kita dengar dendangan nasyid ma'al hijrah, disebut

Awal Muharaam detik permulaan,

Perkiraan tahun Islam hijrah

Perpindahan nabi ke Kota Madinah




Sempena menyambut tahun baru 1430H, saya mengucapkan 'Kullu 'aam wa antum bikhair'. Semoga kita semua meletakkan azam untuk memperbaiki diri dan menjadi orang yang lebih baik daripada tahun sebelumnya. Selamat menyambut Ma'al Hijrah 1430H.


Nota kaki: [1] Formula: (400 000 - 200) / (10 x 12) bulan = 3332 (dibundarkan kepada sa yang terdekat).


Nota:

  • Isi kandungan artikel ini diambil daripada kuliah Maghrib, 21 Disember 2008,
    Masjid al-Hidayah, Sentul, KL.


  • Kuliah ini disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Azhar Bin Yahya.


  • Catatan mutiara ilmu koleksi Naimisa pada 22 Disember 2008, 7.15 pagi, Sentul, KL.


-----------------------------#--------------------------------------------#


Karya terbaharu.


Judul: "Manisnya Madu"

Genre:Cerpen

Majalah: Nur, Karangkraf Sdn. Bhd.

Edisi: Januari 2009.



Selamat membaca.


Terima kasih kepada editor Nur, novelis
Salina Ibrahim kerana sudi mempertimbangkan karya ini.


Selasa, Disember 23, 2008

Kepada pengguna Streamyx: Tip melajukan kadar perayauan (surfing)

Tip Untuk Melajukan Surfing Menggunakan Firefox.




kepada pengguna Streamyx... kelajuan boleh mencecah 5 kali bila surfing dan telah terbukti...


1. Buka firefox anda, dantaip kat address tu ----> about:config

2. Right click kat mana2 pastu

select New -> Integer ......

dan paste skrip berikut -----------> nglayout.initialpai nt.delay
............ .. pastu set 300

kalau tidak berpuas hati dgn 300.. boleh disetkan kepada -----> 0


kalau masih tidak suka dgn kelajuannya. .. cuba yg ini pula, taip skali lagi ----> about:config


1. tengok config tu dan scroll down sampai jumpa skrip tersebut

network.http. pipelining

network.http. proxy.pipelining

network.http. pipelining. maxrequests



2. double click kat situ utk tukar false tu kepada true, contohnya -




network.http. pipelining - true

network.http. proxy.pipelining - true

network.http. pipelining. maxrequests - 30 (sekali request 30 mai)




3. pastu type skali lg -----> about:config dan select New ->
Integer dan paste skrip tersebut --->

nglayout.initialpai nt.delay

set kepada 0




dan kita restart firefox (tutup dan buka semula)


kita boleh test... sepatutnya akan melajukan 2 hingga 3 kali lebih laju daripada biasa.. Selamat Mencuba..... .



Posting Asal: Syed Muhammad Amin, SWS Sdn. Bhd., Sentul, KL.

Rabu, Disember 17, 2008

Antologi Cerpen terbaharu dari eSastera Enterprise





Judul: Cerita Gelisah.

Penerbit: eSastera Enterprise, TTDI, KL.

Penulis: Kalamutiara, Naimisa, Roslan Jomel.

Penyelenggara: Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar Abbas.

ISBN: 978-967-5043-09-3

Harga: RM19.00


Antologi ini mengandungi 15 buah cerpen, tiga orang penulis di esastera.com

Buku ini dilancar pada 13 Dis 2008, di Hotel Mirama, KL jam 9.30 malam, sempana majlis HESCOM'08.



------------------


“Naimisa pula mengutip cerita basahan yang mudah dan meluahkannya kepada pembaca engan penceritaan yang muah. Namun di situlah terletaknya keistimewaan Naimisa. Dia berjaya menghantar mesejnya meresap jauh ke jiwa pembaca tanpa dipaksa, malah kekadang tanpa diseari pambaca. Hal ini penting, kerana rata-rata mesej yang mahu disampaikan Naimisa ialah mesej bernilai kejiwaan. Saya kutip hantaran mesejnya dari cerpen “Tali itu Masih Lurus” sebagai contoh: Sebak dadaku membaca warkah itu. Tetapi kesebakan itu tidak terlalu tebal kerana sebelum ini aku sudah menerima usul daripada seseorang yang lain, yang aku anggap sebagai pesaingku. Aku merasionalkan kesebakan yang harus aku rasai dengan rasa syukur. Syukur kerana mungkin dia telah menerima usul daripada pesaingku.


Namun tidak dapat dinafikan bahawa cerpen–cerpen Naimisa sarat fakta. Malah ada yang tepu fakta sehingga menggugat ‘kecerpenan’ karya itu. Contohnya cerpen “Aku Bercerita Tentang Al-Quran”. Di samping cerita cinta longgar antara dua remaja (“Tali itu Masih Lurus”), Naimisa mengetengahkan isu keagamaan (“Aku Bercerita Tentang Al-Quran”), penyelidikan saintifik (“Andai ini Kudratku”), cabaran hidup orang muda (“Berakhirnya Detik Graduan Tanpa Sijil”), dan kepimpinan politik tempatan (”Pentas Genba”*).


Daripada lima buah cerpen Naimisa “Tali itu Masih Lurus”alam antologi ini, saya memilih “Tali itu Masih Lurus” sebagai garapan terbaiknya. Alam cerpen ini , Naimisa mengetengahkan tema cinta remaja beremosi yang biasa namun ditulis dalam bentuk metafora yang menarik dan berkesan.”


(Dipetik dari Cerita Gelisah (Prakata Penyelenggara), eSastera Enterprise, KL, cetakan pertama (2008), laman xii-xiii)



*Al-hamdulillah…..karya “Pentas Genba” memenangi hadiah tempat kedua Anugerah Cerpenis Alam Siber (ACAS), Hadiah e-Sastera.Com (HESCOM) 2008.



-------
Terima kasih.






yang benar,


Mohamad Hanafi Isa,

SLSB, Sentul, KL.


Pembelian terus daripada penerbit buku?


Bayaran boleh dibuat dengan menggunakan salah satu daripada cara yang berikut:
Cek/kiriman wang/wang pos/LO dsb. atas nama Esastera Enterprise dan hantarkan ke alamat:


Esastera Enterprise,
96 Jalan 7/71B,
Pinggir Taman Tun Dr. Ismail,
60000 Kuala Lumpur.






Wang tunai yang dimasukkan ke dalam salah satu akaun yang berikut:


1. Esastera Enterprise

CIMB (no. akaun 1421-0008623-05-4) ATAU



2. Wan Abu Bakar Wan Abas

Maybank (no. akaun 1-6427600041-8)



Bank Muamalat (no. akaun 1205-0002127-71-9)



Bank Islam (no. akaun 12-047-02-002914-5)



RHB Bank (no. akaun 1-64384-0000557-2)



AmFinance (no. akaun 081-002-000922-3)



Bank Simpanan Nasional Giro (no. akaun 1418 0298 4515 9387)



Bayaran melalui PayPal ke akaun drirwan1@gmail.com



Pesanan akan dilayan setelah pihak kami menerima


(a) Cek/MO/PO/LO atau

(b) "Slip Wang Masuk" atau "Slip Pindahan Wang" yang perlu dihantar ke alamat e-mel kedai.eSastera@gmail.com


atau ke alamat pos yang berikut:


Esastera Enterprise,


96 Jalan 7/71B,


Pinggir Taman Tun Dr. Ismail,


60000 Kuala Lumpur.



Telefon


019-2550599 (Puan Ilya)



E-mel

kedai.eSastera@gmail.com

Ahad, November 16, 2008

Catatan dari laman taman syurga

Kala malam, fajar kazib masih berbalam. Hujan tidak henti-henti. Ada baiknya jika aku beriktikaf di masjid ini. Setelah turun dari pejabat, aku tidak mendapat tempat di dalam bas yang sesak dengan manusia. Manusia pekerja yang dikatakan berpusu-pusu pulang setelah kepenatan.
Hujan. Solat jamaah hanya satu saf. Kemudian bangkit selepas solat nawafil ustaz yang ditugas menyampaikan kuliah Maghrib. Aku toleh kiri kanan. Kiri kanan dan belakang. Lapan orang makmum masih duduk untuk mengikuti kuliah. Muqaddimah ustaz pada malam itu sinis sekali. “Maklum sahaja, hari hujan. Mungkin yang lain-lain kepayahan.”
Menurut ustaz, ada sekali Rasulullah bimbang apabila hujan. Menurut hadis yang diceritakan ustaz, nabi bimbang sekiranya hujan bukan lagi hujan rahmat. Tidakkah pada zaman Nabi Nuh, hujan diturunkan untuk menenggelamkan manusia? Hatta Jabal Judi yang disangka tinggi oleh anak Nabi Nuh juga tenggelam.
Ustaz lalu menyambung kuliahnya. “Malam ini kita sambung pengajian tafsir al-Quran kita bermula ayat 40 hingga 43, surah al-Baqarah.”
Lalu dibacakan ayat disusuli terjemahan harfiahnya. “Wahai bani Israel, ingatlah nikmat-nikmat yang Aku (Allah) kurniakan ke atas kamu dan tunaikanlah perjanjian di antara kamu dengan Allah, dan kepadaku kamu bertaqwa. Dan berimanlah apa yang diturunkan oleh-Ku yang membenarkan kandungan kitab kamu dan janganlah kamu tergolong dari kalangan orang-orang yang ingkar (kepada isi kandungannya) dan jangan kamu membeli ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit, dan kepadaku kamu bertaqwa. Dan janganlah kamu mencampurkan kebenaran dengan kebatilan, dan kamu menyembunyikan kebenaran padahal kamu mengetahuinya.”
Pertama sekali dihuraikan siapa bani Israel. Israel dalam bahasa Ibrani (Hebrew) adalah seperti berikut: ‘isra’ berakna hamba, ‘iil’ (el) bermakna Allah. Siapakah hamba Allah yang dimaksudkan? Dialah juga nama Nabi Ya'aqub alaihissalam (a.s) dalam bahasa Ibrani. Nabi Ishak mempunyai dua orang anak, pertama Ibrahim a.s yang dilahirkan oleh Siti Hajar (isteri kedua), manakala Ismail a.s dilahirkan oleh Siti Sarah. (Tambahan isi penulis: Sebab itu dalam urutan nama nabi dalam ayat Quran berbunyi ‘Ibrahiima wa Ismail wa Ishaqa wa Ya’qub wal Asbaatho’....). Manakala Ya’kub a.s adalah anak kepada nabi Ishak a.s. Kemudian ustaz berkongsi pesanan mu’allimnya di Jordan. “Maka kita tidak boleh berkata, orang-orang yang memusuhi umat Islam Palestin itu Israel, bahkan mereka al-Yahud (Yahudi). Kerana Israel itu adalah hamba Allah yang ta’at.” Hal ini bermakna dari segi konsep makna, negara Israel tidak wujud bahkan lebih cocok dengan nama negara Yahudi!
Tetapi orang Yahudi melalui gerakan Zionis tetap menamakan negara haram mereka di bumi Palestin sebagai Israel. Kenapa? Tidak lain tidak bukan kerana kepercayaan mereka akan kemuliaan kerana bersalasilah dari nabi Ya’kub a.s. Keangkuhan ini sangat jelas apabila mereka mendakwa sebagai nahnu abnaa-uLLAHu wa ahibbauhu – ‘kami anak-anak Tuhan (Allah) dan bangsa yang paling disukainya’. Walhal dalam sejarah, Yahudilah yang paling banyak membunuh nabi yang diutuskan kepada mereka.
Maka apakah nikmat yang perlu mereka ingat? Antaranya diselamatkan daripada ancaman Fir’aun. Ketika dikejar bala tentera, Allah menyelamatkan mereka dengan perintah membelah laut. Lalu Nabi Ibrahim a.s membelah laut. Mereka menyeberanginya kemudian diikuti Fir’aun tetapi Allah menenggelamkan Fir’aun yang zalim itu. Nikmat lain adalah ketika bani Israel disesatkan oleh Allah di sahara selama 40 hari 40 malam, Allah menurunkan al-manna dan salwa iaitu madu dari langit dan puyuh untuk dimakan. Seterusnya dinyatakan pula perjanjian di antara Allah dan Bani Israel. Iaitu seperti yang dinyatakan dalam surah Ash-Shof. Dikhabarkan kepada mereka bahawa akan lahir nabi akhir zaman iaitu Ahmad (Nabi Muhammad S.A.W). Tetapi mereka memungkirinya.
Bani Israel (yakni orang Yahudi) mengakui kebenaran nabi Muhammad tetapi mereka berkata, “Nabi Muhammad hanya diutuskan kepada bangsa Arab.”
Allah membalas hujah Yahudi ini dengan ayat-Nya “wa maa arsalnaaka illaa rahmatan li al-‘alamin” (Tidaklah Kami utuskanmu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada sekalian alam). Ketika orang musyrikin Makkah bimbang pengaruh nabi Muhammad tersebar ke Yathrib, mereka telah memaklumkannya kepada Yahudi. Maka pendeta Yahudi di Madinah meminta mereka memusuhi Rasulullah. Hal inilah yang dimaksudkan dengan mencampurkan kebenaran dengan kebatilan. Manakala menyembunyikan kebenaran pula merujuk kepada perbuatan Yahudi menyorok kebenaran kenabian nabi akhir zaman seperti yang dinyatakan dalam Taurat.

Dan tiba-tiba aku semacam sedar bahawa betullah, Israel merujuk kepada hamba Allah yang taat. Manakala yang derhaka digelar al-Yahud. Tidakkah di dalam satu ayat dalam surah Al-Maidah Allah berfirman, “Dilaknat bani Israel yang kafir……..” bermakna ada juga di kalangan mereka yang beriman dengan kandungan al-Kitab. Contohnya (yakni contoh yang hidup pada zaman nabi Muhammad) pendeta yang bernama Abdullah bin Salam (yang bertanya nabi darihal makanan pertama ahli syurga, bilakah berlaku kiamat dan bagaimana iras wajah seorang anak mirip wajah bapa atau ibunya) dan bapa saudara Khadijah yang buta, tetapi menjadi orang yang pertama meyakinkan Khadijah bahawa suaminya adalah nabi akhir zaman.

‘Ibrah (Pengajaran ayat)

1.Kita hendaklah sentiasa mensyukuri nikmat Allah.
Dan ustaz menambah, “Jika seorang ayah apabila berhadapan dengan anak dalam keadaan anaknya merungut. Misalnya mengeluh kerana makanan tidak sedap. Maka perlulah si ayah membandingkan keadaan mereka dengan orang-orang yang lebih teruk daripada mereka. Bayangkan, betapa di Sudan, Palestin dan mana-mana kawasan yang dilanda kebuluran, mereka sanggup mengutip kerak roti yang dibuang.
Selain itu, manusia juga kurang bersyukur kerana menyesali hari yang telah dilalui. Prof. Dr. ‘Aidh al-Qarni yang mengarang kitab La Tahzan (ketika di penjara). Katanya, “Mengapa kita perlu bersedih kerana semalam kita memakan roti basi. Sedangkan hari ini kita dapat memakan nasi yang lazat.” Kesedihan terhadap perkara yang berlalu menjadikan seseorang menyesal dan keluh kesah sedangkan masa tidak boleh dikitar semula.
2.Kita hendaklah sentiasa pegang janji.
Apabila kita membuat perjanjian dengan Allah, nescaya Allah akan menunaikan janjinya kepada kita. Menurut ustaz, “Dalam ayat yang kita bicarakan ini, janji Allah kepada bani Israel ialah keredhaan-Nya. Yakni mereka akan dimasukkan ke syurga jika patuh kepada perjanjian.”
Kata ustaz lagi, “Kita pun setiap kali solat, kita berjanji dengan Allah.”
Ketika membaca doa iftitah, kita menyebut “Sesungguhnya solatku dan amalanku, dan hidupku, dan matiku hanya kerana Allah Tuhan sekalian alam.”
Maka apakah kita berpegang pada janji ini? Malahan setiap manusia sejak alam arwah di malikul a’la (sebelum roh ditiup ke dalam rahim ibu) pernah membuat janji dengan Tuhan. “Alastu biRabbikum Qaalu bala syahidnaa...” (Tidakkah Aku Tuhan kamu, maka mereka (roh-roh) menjawab, ‘Ya. Bahkan. Kami menjadi saksi’)

------------ ------------
Secebis catatan berkuliah di Masjid Al-Hidayah, Sentul.
Nov 2008.

Sabtu, Oktober 11, 2008


BIOTEKNOLOGI menjadi bidang kompetitif di peringkat dunia. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Bioteknologi Malaysia, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, nilai pasaran bioteknologi Malaysia mencecah RM1.3 bilion.


....Maaf. Kajian ini masih dalam penilaian editorial majalah. (Akan disiarkan semula dengan kebenaran penerbit setelah disiarkan...

Keruwetan anda saya hargai.

Jumaat, Oktober 03, 2008

Satu syawal


Pagi-pagi aku bangun. Sempat juga berniat mandi sunat ‘Eid al-Fithri, kemudian melangkah ke masjid bersolat Subuh. Selesai solat, aku ke rumah sepupuku. Bersarapan di rumahnya.

Di rumah Nek Da
Solat sunat ‘Eid al-Fithri tepat jam 8.30 pagi. Masjid melimpah (tidak cukup ruang) seperti tahun lepas walau pun bahagian pili (untuk berwudhuk) di sebelah dalam sudah diubah ke sebelah luar. Selesai bersolat dan bersalam-salaman, masing-masing mengunjungi kuburan. Aku menyertai datuk dan dua orang bapa saudara menyedekahkan doa di tiga kuburan. Ketika ini bapaku dan tiga orang adik lelaki masih dalam perjalanan dari rumah kami di kampung. Bapa selaku amil zakat memanglah sentiasa begitu, akan pulang ke kampung datuk selepas menunaikan solat sunat hari raya. Manakala adik-adikku pula sengaja bermalam bersama bapa semata-mata mahu menyaksikan perlawanan bola sepak. Oh! Sekarang musim UEFA, rupanya. Setelah bapa pulang, baharulah kami (13 orang semuanya) sama-sama berkunjungan ke rumah sanak saudara. Selepas melepasi satu rumah, kami singgah di kuburan datuk dan nenek (sebelah bapa): membaca surah Yasin.

Itulah sahaja raya bagi kami. Setelah selesai mengunjungi rumah sanak-saudara (sekitar waktu zohor), maka pulanglah kami ke rumah nenek (sebelah ibu). Kemudian tiada apa-apa pergerakan lagi. Kami tidak beraya untuk beberapa hari seperti orang lain. Mungkin juga kerana kami orang biasa-biasa. Dan kebanyakan orang yang biasa-biasa seperti kami tidak meraikan hari raya santak sebulan. Aku punya sebab tersendiri. Untuk tahun ini, masih belum mampu berjalan jauh. Maklum sahaja, semua rakan sepersekolahan berada di Kelantan. Ditolak rakan-rakan senegeri (yang jumlahnya tidak sampai 10 orang), maka tiada lagi rumah yang boleh dikunjungi. Cuma sesekali, jika bernasib baik, ada sahabat senegeri yang akan mengajakku berjalan (baca kenduri kahwin) di Kelantan. Jika tidak, terjepuklah saja di rumah.

Hari ini tiga Syawal. Jumaat. Bapa dibantu dua orang adikku sudah turun ke ladang. Aduh, aku amat liat untuk berladang.