Rabu, Ogos 02, 2006

Biadap!

Kumpulan Artikel 11.

1. All Woman Action Society (AWAM)
2. Bar Council Malaysia
3. Catholic Lawyer Society
4. Interfaith Spiritual Fellowship
5. Malaysian Civil Liberties Society, Protem Committee (MCLS)
6. Malaysian Consultative Council of Budhism, Christianity, Hinduism & Sikhism (MCCBCHS)
7. National Human Right Society (HAKAM)
8. Pure Life Society
9. Sister In Islam (SIS)
10. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
11. Vivekananda Youth Movement, Seremban
12. Woman's Aid Organisation (WAO)
13. Women's Development Collective (WDC)


Ruang kebebasan beragama dalam Perlembagaan telah diguna sebagai penguat untuk merealisasikan cita-cita mereka.

Dahulu, kecil-kecil aku diajar tentang Islam. Umur empat tahun, sudah mula kenal alif-baa-taa….

Tapi kini, generasi selepasku, bakal anak-anakku yang akan lahir dua tiga tahun ke depan nanti…..diminta supaya TIDAK DIAJAR ‘apa itu Islam’. Kononnya biarlah anak-anak yang mencapai umur 18 tahun tentukan sendiri agama anutan mereka. Yang pasti, jika mereka tidak kenal Islam sedari awal, bagaimana mungkin mereka akan memilih Islam pada ketika mereka sudah berumur 18 tahun?

Perlembagaan perlu digubal khusus untuk Islam, pindalah seperti ini; “Apabila seseorang dilahirkan dalam keluarga Islam, ibu bapa bertanggungjawab memelihara agama anutan anaknya iaitu (Islam).”

“Sekiranya seseorang telah Islam, tidak ada hak baginya menukar agama anutannya melainkan halal darahnya (dihukum mati mandatori) kecuali sekiranya dia bertaubat dalam masa tiga hari selepas didapati bersalah kerana murtad.”

Tetapi barangkali tidak akan ada peruntukan undang-undang seperti ini, kerana siistem perundangan Islam masih belum mahu didaulatkan di negara anda.

Berita bantahan forum Kumpulan Artikel 11 di JB

Jumaat, Julai 14, 2006

Bila hati berkaca



Semalam, tengah hari.
Mendapat panggilan daripada sebuah bilik di premis operasi Kumpulan karangkraf. Nombornya sudah disimpan di dalam direktori telefon bimbitku.

Dari suara pemanggil, aku sudah kenal empunya diri. Dia bertanya tentang alamatku. Aku katakan alamat di Terengganu itu boleh juga, tetapi alamat di USM lebih baik kerana terus sampai kepada saya. Maka ditanya 0.13 di hadapan alamat surat menyuratku. Aku katakan itu nombor bilikku. Itu bilik penginapan, bukan bilik dalam ruang Pejabat Am.

Khabar gembira. Aku sudah jangka.
"Tahniah! 'Menjana Generasi Celik Agama' telah dipilih," katanya.
Dia, lelaki berkaca mata. Seorang yang dipanggil ustaz di kalangan rakan sepejabatnya di Shah Alam itu.
"Terima kasih." Balasku.

Dia bertanya lagi mekanisma tuntutan hadiah. Dia memberi dua opsyen. Pertama, datang sendiri ke pejabat di Shah Alam. Kedua, pos.
"Kalau nak pergi, jauh sangat. Dulu saya dah pergi." Memang sukar nak dapat pelepasan dalam keadaan sekarang.

Dan tadi...
Ah! biarlah. Aku tiada mood apabila hatiku berkaca, tidak seperti semalam yang ceria. Ini bukan kes hati, ini kes luar biasa. Tunggukan sambungan 'Bila Hati Berkaca' dalam coretan 'Kes Luar Biasa' suatu ketika nanti....

Tunggu...........!

Rabu, Julai 12, 2006

Pelajar tak cukup

Pelajar yang ditawarkan ke USM Kejuruteraan seramai 799, namun hanya 676 yang mendaftarkan diri. Kekosongan ruang yang ditinggalkan menyebabkan Dekan Pusat Pengajian diberi kuasa menerima permohonan di luar bidang kuasa UPU. Yang saya betul-betul pasti, setakat ini yang saya tahu, 40 kekosongan di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE).


Permohonan terus melalui Dekan PPKEE boleh dibuat dengan menulis surat permohonan. Lepasan matrikulasi KPM atau yang setaraf, mempunyai PNGK 3.00 dan ke atas, layak membuat permohonan. Sebar-sebarkan kepada saudara mara anda, jika ada.

Berikut coretan dalam Mimbar Pusat Islam Julai 2006.

-------------

Warga Pusat Islam mengucapkan ahlan wasahlan wamarhaban bikum, dan tahniah kepada semua pelajar baru sidang 2006/07. Sememangnya amanah kemahasiswaan yang dipikul oleh anda merupakan agenda yang penuh dengan cabaran dan liku-liku. Selamat menjalani kehidupan sebagai pelajar bergelar mahasiswa bagi memartabatkan ketinggian nilai ilmu pengetahuan dalam bidang masing-masing.

Perubahan alam bagi menekuni bidang ilmu di universiti jauh berbeza berbanding dengan zaman-zaman persekolahan yang lalu. Justeru, cara dan pendekatan belajar mahasiswa/i juga harus berubah. Jika dahulu pelajar-pelajar berhadapan dengan konsep menerima lebih banyak daripada mencari, maka sekarang mahasiswa/i perlu menggali sendiri ilmu-ilmu sebagai menguatkan pemahaman dalam pembelajaran di dewan kuliah. Proses pencarian itu termasuklah bertanya kepada pensyarah, perbincangan dalam kumpulan, atau meminjam sumber-sumber rujukan di perpustakaan dan maklumat di internet.

Sebagai pelajar muslim, kebergantungan kepada Allah amat penting. Keghairahan menuntut ilmu tidak seharusnya melalaikan kita daripada memanjatkan kesyukuran kepada Allah. Maka niat belajar perlu diperbetulkan semata-mata kerana Allah, bukan kerana sekeping ijazah untuk dibangga-banggakan. Wacana minda mahasiswa muslim berbeza daripada pelajar bukan Islam. Ketinggian nilai ilmu yang dikuasai oleh ilmuan Islam akan menaikkan penghormatan orang bukan Islam terhadap agama Islam. Jika perkara ini difahami, mahasiswa/i Islam akan menunjukkan sikap dan watak yang selaras dengan tuntutan syariat Islam sepanjang proses menuntut ilmu.

Mahasiswa/i Islam perlu memiliki wawasan yang jelas. Hala tuju pendidikan ditetapkan sejak awal, dan boleh diguna bagi memartabatkan budaya ilmu di universiti. Penglibatan dalam aktiviti-aktiviti sampingan tidak seharusnya menjadi de factor yang merencatkan pencapaian dalam akademik. Memang tidak dinafikan, ilmu-ilmu pengurusan dalam aktiviti berpersatuan merupakan nilai tambah kepada ilmu-ilmu formal dalam bidang pengkhususan masing-masing di pusat pengajian. Justeru perancangan yang rapi mestilah dibuat supaya aktiviti berkaitan akademik dan luar seimbang, serta tidak mengganggu proses pembelajaran.

Dalam pada kita diperkenalkan dengan istilah ‘modal insan’ dalam Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9), mahasiswa/i merupakan salah satu golongan yang termasuk dalam kerangka sumber manusia ini. Alangkah hebatnya, jika modal insan itu dihayati dalam erti kata mahasiswa/i muslim mengekalkan jati diri muslim tanpa terpengaruh dengan stail dan budaya luar. Golongan yang menjadi harapan bangsa, agama, dan negara tidak seharusnya dicemari oleh anasir-ansir yang buruk. Mahasiswa/i seelok-eloknya memperbaiki padangan sesetengah masyarakat yang memandang serong ekoran penglibatan sebahagian mereka dalam aktiviti yang tidak sihat.

Ayuh! Kita gembeleng tenaga dan fikiran untuk memartabatkan nilai ilmu kerana manusia yang berilmu tidak sama dengan mereka yang jahil.



“..katakanlah (wahai Muhammad): Apakah sama orang yang mengetahui (berilmu) dengan orang yang tidak mengetahui (jahil)? Sesunggunya orang-orang yang mengambil peringatan itu adalah orang-orang yang mahu berfikir.”
(Az-Zumar: 9)

Selasa, Julai 04, 2006

Dunia terbalik


Sebelum meninggalkan kampus buat seketika,.....

Karya ini dihasilkan sebagai menyatakan bahawa keadaan dunia yang terbalik. Terbaliknya dunia sehingga orang-orang yang menzalimi dirinya sendiri dengan melanggar perintah Allah tidak mahu ditegur.
Seringkali kita terdengar ayat, ”Iman di dalam hati. Bukan pada pakaian atau penampilan diri.” Sehingga kadang-kadang kita kasihan, apabila artis yang berskirt singkat lagi ketat mengucapkan ’alhamdulillah’ sebagai tanda syukur apabila mencapai kejayaan. Sehingga kita bimbang melihat apabila pemimpin wanita, mengucapkan, ’tanda beriman bukan pada tudung.’ Walhal tudung dan pakaian yang menutup aurat itu manifestasi keimanan kepada Allah dan RasulNya.

Kepercayaan iman di dalam hati, dan tidak bersangkut paut dengan tingkah laku luaran dari segi pengucapan, perbuatan atau memberikan sokongan adalah kepercayaan golongan Murjiah. Golongan ini secara terang terkeluar daripada arus pemikiran akidah Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ).

Dunia sudah terbalik! Terdapat juga gerakan halus untuk menonjolkan pesalah-pesalah dengan menggunakan pakaian yang menunjukkan simbol agama. Syiar berpakaian ini menjadi taktik dan strategi musuh Islam untuk memburukkan golongan pendokong Islam yang tulen. Gimik yang dibuat telah banyak kita lihat. Sebagai contoh, pesalah yang dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan merogol, dipaksakan kepadanya memakai kopiah. Ini penghinaan yang total kepada pencinta agama (adakah anda sensitif terhadapnya?).

Senario semasa juga menunjukkan ramai juga di kalangan remaja dan belia Muslim ’menyorokkan’ diri di sebalik kopiah dan tudung yang dipakai. Kecelaruan identiti ini seolah-olah memakai tudung dan kopiah itu menjadi adat, bukannya pemakaian yang melambangkan tahap keimanan seseorang kepada ajaran agama. Satu lagi contoh yang barangkali memualkan, iaitu watak yang digarap oleh HM Tuah dalam novel Hati Ini Untuk Siapa? Seorang lelaki yang mempunyai penampilan sebagai ahli ibadah, tetapi dalam masa yang sama curang dan berzina.

Perkara seperti ini walaupun jarang-jarang berlaku, menjadi amat sensasi lebih-lebih lagi apabila digunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Lantas mereka dengan mudah mengambil jalan singkat, ”buat apa tutup aurat? Orang yang bertudung itu tidak semestinya baik!” Betapa buruk dan celaka orang-orang yang berfikiran demikian. Dalam keadaan dia tidak mahu tunduk dan patuh kepada perintah Allah, dia memperkecil-kecilkan pula orang membuat kebaikan dan mempertikaikan hasanah yang dilakukan oleh mereka yang betul-betul mahu mematuhi perintah Ilahi.

Mesej utama dalam karya ’Topeng Kebaikan’ ialah pendedahan kepada pembaca sikap-sikap manusia munafik. Mereka kadang-kadang dilihat mempunyai kefahaman yang jelas dalam hal-hal agama. Namun, demi kepentingan diri, mereka sanggup menyembunyikan kebenaran, malah menentang kebenaran yang cuba dibawa oleh orang lain. Mengapa kita harus berpura-pura dalam membuat kebaikan? Walhal sebijak mana pun cara yang diguna untuk menyebunyikan kejahatan daripada pengetahuan manusia, Allah sekali-kali tidak leka. DIA sentiasa tahu apa yang dizahirkan dan sebaliknya.

Justeru, saya mengajak saudara/i memikirkan satu perkara. ’Jangan jadikan diri kita sebagai agen yang mengelirukan orang lain tentang Islam yang sebenar’. Penampilan kita mestilah penampilan yang menepati tuntutan syariat. Jangan nanti ada di kalangan bukan Islam bertanya, ”Inikah orang Islam? Tidak mahu berpeleseran di taman rekreasi berdua-duaan? Tidak segan silu melakukan mungkar secara terang-terangan?”

Atau ”Inikah Islam? Berpakaian sama seperti cara kami berpakaian? Malah lebih teruk daripada kami?” (Walhal ketika itu, mereka telah menang untuk menumpaskan malah melumpuh akidah umat Islam). ”Dan tidak sekali-kali akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehingga kamu mengikut cara hidup (millah) mereka...” (120: Al-Baqarah). Dalam ayat lain, Allah berfirman, mafhumnya, ”....dan mereka tidak putus asa untuk memerangi kamu sehingga kamu berpaling daripada agama kamu (murtad).....” (217: al-Baqarah).

Jangan jadikan kita sebagai produk-produk agenda Yahudi dan Nasrani, kerana ia akan melemahkan kekuatan Islam. Jika kita mahu mengikut dan melakukan anjuran agama, lakukanlah dengan betul dan betul-betul. Kita bersedih dan merintih, melihat remaja-remaja Islam kini, yang melakukan maksiat secara berleluasa. Statistik kerosakan remaja Islam meningkat dan terus meningkat. Bilakah akan menguncup? Bilakah masa remaja-remaja Islam kemblai menghayati kehidupan beragama? Saya sudah buntu dan mati akal, mengapa mereka yang berkuasa tidak memikirkan cara untuk menyekat penularan perkara ini? Walhal mereka (pemimpin yang berkuasa) tahu, jika dilaksanakan hukum-hukum Allah, jaminan keamanan akan datang.

Karya ini? Sila klik dan baca Topeng Kebaikan di laman esasterawan saya.

Ahad, Julai 02, 2006

Jawapan buat Salam al-Ma'aji.

Wa’alaikumussalam sahabatku Salam Al-Ma’aji.
Aku sudah lama tidak mendengar khabar beritamu. Tiba-tiba engkau muncul dengan persoalan yang berat pada fikiranku. Betapa engkau lebih peka berbanding dengan diriku yang alpa ini.

Sahabatku Al-Ma’aji.

Pertama sekali, aku ingin mengucapkan ribuan kemaafan kerana lambat membalas warkahmu. Aku amat sibuk dengan urusanku. Aku amat teruja melihat kelibat rakan-rakanku yang sibuk berbicara tentang bola sepak seperti katamu. Aku malu pada diriku.

Kedua, apakah betul katamu tentang Kumpulan 11 itu? Selain kerajaan yang tidak memberi perhatian, kami sebenarnya membuat kerja juga. Baru-baru ini, aku sempat menurunkan tandatangan yang dikutip oleh wakil ABIM. Ya, NGO yang menjalankan usaha sama mengutip sejuta tandatangan ummat Islam Malaysia selain PAS, JIM, TERAS dan beberapa NGO lagi yang sayangkan Islam. Sungguh, hati ini mendidih. Pilu dan hiba terhadap kebiadaban mereka. Tandatangan itu akan diserahkan kepada Dato’ Seri Mufti, dari Perak. Memorandum bantahan sejuta umat Islam Malaysia ini apakah akan berkesan?

Berkesan atau sebaliknya, yang penting aku telah menjalankan tugasku sebagai mukmin semampunya. Aku tiada kuasa melainkan menunjukkan protes sekecil ini. Nanti bila tiba musim pilihanraya, tahulah aku siapa pemimpin yang mesti aku pilih. Kita membaca al-Quran, maka pemilihan ketua dan pemimpin itu amat penting. Aku tidak mahu nanti menjadi orang yang menyesal tidak sudah. Aku titipkan ayat yang diingat olehku, maksud ayat 166 dan 167 surah al-baqarah lebih kurang seperti ini. (Sila buka al-Quran tafsir jika kamu sangsi denganku). Aku yakin ia hampir betul dengan apa yang aku ingat.

“Ketika ketua-ketua yang menjadi ikutan itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutinya, (pada waktu itu) mereka telah melihat betapa ngerinya azab seksa. Pada ketika itu hubungan mereka telah terputus. Dan berkatalah orang yang menjadi pengikut; ‘Alangkah eloknya kalau kami dikembalikan semula ke dunia, maka (dengan itu) kami dapat berlepas diri daripada mereka (pemimpin) sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami!’. Demikianlah Allah perlihatkan kepada mereka amalan-amalan mereka (mendatangkan penyesalan yang amat sangat), dan mereka tidak dapat keluar daripada neraka.”

Dahulu aku pun memangkah calon parti nasionalis. Tapi aku ingin berubah, mahu memilih calon ISLAMIS pula pada pilihanraya ke-12 nanti. Aku tidak mahu menyesal di sana nanti, menangis air mata darah pun ketika itu, tidak ada guna lagi. Aku pasti tidak dapat kembali ke dunia untuk mengundi lagi atau melakukan amal kebajikan yang lain.

Sahabatku,

Bercakap tentang Mufti, aku amat kasihan kepadanya. Terbaru isu pluralisme yang dibimbanginya. Beliau mencadangkan agar kerajaan menilai semula budaya kongsi raya, kerana perkara ini berkait soal akidah. Berkongsi raya itu samalah seperti kamu sebagai mukmin mengiktiraf Tuhan selain daripada Allah yang menjadi anutan mereka. Beliau masih tegar, dan tetap pendirian menyatakan kebenaran. Aku tahu, Dato’ Mufti juga tidak senang duduk meski nanti dia akan dipecat. Ini kes ketiga, kontroversi yang dibuat oleh beliau. Cuma dia masih kekal, kerana Tuanku Sultan Perak baik, dan mahu beliau memegang jawatan itu lagi. Aku pasti, dia akan bertahan lagi, kerana PM tiada asas untuk memecat beliau.

Sahabatku al-Ma’aji,

Aku juga amat bimbang dengan keadaan remaja Islam, muda-mudi, belia Islam di Malaysia ini. Aku tidak faham. Mengapa penagih dadah di negara ini juga diberi keistimewaan subsidi dadah? Kata mereka dadah sintetik? Ya, bukan dadah betul, tapi itu kan tetap dadah? Apakah melampau jika aku menuduh, ada perniagaan terancang yang menguntungkan pihak tertentu di sebalik perkara ini? Hingga ada juga penagih yang tidak berpuas hati, kerana doktor yang membekalkan dadah ini kemudiannya membuat duit juga, menjual pada harga yang lebih tinggi. Itu belum lagi dikira budaya hedonisme yang berlaku.

Sahabatku,

Walau pun sekarang ini, stesen TV swasta di tempatku seperti Ansar Channel, kemudian sedikit rancangan realiti TV berbentuk agama dibuat, namun masih belum dapat mengatasi program hiburan yang ada di stetsen TV yang lain. Manusia yang masyuk dengan hiburan telah mengaburi agenda perkembangan Islam untuk membina generasi yang Islamik. Tidakkah kamu pernah katakan kepadaku, permulaan generasi bermula daripada ibu bapa. Bagaimana jika ibu bapa sudah minat kepada hiburan? Apakah itu dapat menjana generasi Islamik? Tidak guna aku menyalahkan ibu bapa, kerana persekitaran sudah tepu dengan hiburan. Tekan sahaja TV, dengar orang menyanyi. Keluar sahaja ke stadium, atau padang rakyat, atau dewan serba guna sudah terdengar bunyian alat muzik.

Jika pergi ke majlis keraian bersama pemimpin masyarakat arus perdana, mesti ada artis. Artis sudah ada aura untuk menarik peminat-peminat mendengar ceramah politik. Hingga artis pun sudah dihadiahkan produk-produk sebagai strategi promosi. Tak pasal-pasal artis dapat barang yang mahal-mahal secara percuma! Aku (dan macam kamu juga!) bilalah dapat merasa perkara yang percuma itu? Mungkin kita kena jadi artis atau model juga? (Hahahaha! Gila!) Tapi aku tidak akan terjebak dengan semua itu. Ibu bapaku amat menitikberatkan soal agama. Jangan kerana sedikit wang, kita membelakangi nilai agama. Itu pesan bondaku yang masih diingat. Kejap dalam otakku.

Al-Ma’aji,

Sekarang ini, khabarnya sudah hampir bulan Julai. Aku akan mendapat seorang kawan baru. Tetapi dia tidak akan berada di dalam. Rumahnya di luar. Cuma mungkin aku bertuah apabila kawan baru ini seorang qari. Dapatlah aku mencedok ilmu Tarannum daripadanya. Aku amat bertuah. Duduk di bilik yang ada privacy, jauh dari kebingitan desasiswa, tempat penginapan pelajar-pelajar lain. Ehhh? Aku belajar lagi ke? Aku ingat itu soalan yang tak perlu ditanya. Bagiku mencari ilmu proses sepanjang hayat. Sama ada secara formal atau tidak, aku mesti sentiasa belajar dan belajar. Kalau sudah bekerja pun, tidakkah kita masih perlu mempelajari sesuatu yang baru?

Aku sudah tidak sabar untuk mengakhiri zaman belajarku (mati?). Hahaha! Aku bergurau sahaja. Aku pun tidak tahu kenapa. Kadang-kadang tekanan demi tekanan dalam hidup membuatkan aku terasa seperti mahu mati. Apa pun, aku tidak akan membuat kerja bodoh untuk melawan hukum Allah. Tidakkah ayat terakhir surah al-Baqarah mengatakan bahawa segala ujian yang didatangkan kepada kita itu mampu ditanggung oleh kita? Apa pun, aku tidak tertekan sangat. Aku mencoret, dan setiap coretanku ada pembaca setianya. Merekalah peniup semangat untukku terus hidup. Di samping rakan-rakan seperjuanganku. Perjuangan kami, sudah tidak sama seperti kami sama-sama belajar.

Mereka sudah bekerja. Maka membuat program bersama pada hujung minggu adalah suatu perkara yang menyeronokkan. Ketika itu juga, semangat hidup kembali segar. Bukanlah maksudku, hidupku membosankan. Sebab bosan tidak ada dalam kamus kehidupanku. Jika aku rasa ‘kosong’ sahaja hidup, aku mencari teman yang paling setia. Teman ini berjaya mengamankan keresahanku. Temanku ini memberi kedamaian. Siapa lagi? Jika bukan naskhah bertulisan seperti tulisan Jawi itu? Tutur kata’nya’ dalam bahasa Arab yang tidak difahami. Tapi aku faham sikit-sikit maknanya. Jika aku mahu memahami lebih dalam, aku ambil yang ada tafsirnya.

Al-ma’aji.

Maafkan aku. Tidak banyak perkara yang dijawab sebagai respon kepada analisis kerapuhan sosial di nagaraku. Kamu juga bijak dan rajin membaca. Bacalah (aku tahu kamu sudah maklum) akhbar-akhbar alternatif di negaraku jika mahu mengetahui perkara yang tidak diberi liputan dalam media massa arus perdana.

Aku sudah mengantuk. Banyak kerja lain yang masih belum beres. Jumpa lagi.

Yang benar,

-N.A.I.M-

Taman Selesa, Nibong Tebal.

Rabu, Jun 28, 2006

Warkah dari Singapura


Assalamualaikum…..

Ke hadapan sahabat-sahabat seISLAMku.

Aku mengucap salam sejahtera buat kalian.

Barangkali kalian sudah lupa, ISLAM di negara kalian yang tercinta ini ditakrifkan sebagai agama rasmi. Ada orang berkata, rasmi itu sebagai upacara ritual dalam majlis penting sahaja. Jika buat majlis bersama rakyat, pemimpin yang beragama Islam panggil orang-orang pejabat agama atau dari jabatan mufti membaca doa.

Sahabatku,

Mungkin kalian sudah lupa, mengapa bekas Mufti Wilayah Persekutuan meletak jawatan? Beliau tidak bersetuju memenuhi pelawaan membaca doa dalam majlis Aman Malaysia, kerana selepas beliau mengaminkan doa, ada konsert. Dan kamu tahu, bagaimana senario konsert hiburan yang dibuat di Malaysia kerana kamu membesar di Malaysia.

Sahabatku,

Aku berada di Singapura. Ya! Singapura yang sebelum merdeka dahulu dikenal sebagai Temasik. Aku diceritakan oleh moyangku di Singapura ini, bahawa dahulu ada satu kes Natrah yang menggemparkan umat Melayu yang Islam di Singapura. Kendatipun ketika itu, pentadbiran dikuasai oleh oleh British, mereka memberi ruang kepada orang Melayu berpiket. Orang Islam Singapura membantah permohonan Natrah untuk murtad. Sehingga sekumpulan daripada mereka sanggup menemui Queen Elizabeth, dan pentadbiran British yang terdiri daripada orang Putih yang tidak beragama Islam menghormati kehendak mereka.

Sahabat seISLAMku.

Aku mengikut perkembangan di Malaysia. Pada tahun 1978, berlaku pemecatan Ketua Hakim. Tun Salleh Abas. Kononnya pemecatan itu bersangkut paut dengan pengislaman seorang wanita Cina Kelantan bernama Suzi Teoh. Dia yang kini bernama Aisyah Abdullah memilih agama Islam ketika berumur 16 tahun. Bapanya menyaman MAIK, dan menang apabila dibicarakan di Mahkamah Persekutuan. Sungguh! Tun Salleh Abbas amat keberatan menetapkan hukuman itu. Dia menyimpan fail kes, dan dibuka semula apabila gadis itu berumur 18 tahun. Dengan kerelaan gadis itu sendiri, dia mengisytiharkan ISLAM sebagai pilihannya. Tapi, Tun Salleh terpaksa membayar peristiwa ini dengan pemecatan setelah dicaj dengan empat pertuduhan.

Sahabatku,

Meski pertuduhan itu dibuat sebagai menutup cerita sebenar, tetapi itulah sejarah. Ia telah tersimpan dalam Arkib Negara kamu. Dalam perlembagaan negara kamu, perkara 11(2) menyatakan, “Mana-mana individu berusia 18 tahun berhak memilih agama pilihannya sendiri.” Maaf aku kata, mengapa hari ini ada golongan dajjal berkulit sawo matang, berbahasa Melayu sepertiku memperjuangkan pluralisme? Fahaman yang menyatakan agama sama tidak kira Islam, Hindu, Buddha, Shinto, Sik, Majusi, atau Kristian dan lain-lain agama. Mereka namakan Kumpulan 11.

Sahabatku,

Kumpulan 11 di negara kamu telah mengorak langlah jauh. Sedang kamu sendiri leka bersama dunia bola sepak yang hangat dengan World Cup pada ketika ini. Kumpulan ini telah mendapat ilham untuk memusuhi Islam secara terang-terang, dengan mengatakan ‘bahawa ibu bapa tidak boleh menetapkan agama kepada anak-anak sehingga mereka berumur 18 tahun.’ Sedangkan apa yang saya belajar dari guru agama Islam di Singapura ini, “Anak yang lahir itu umpama kain putih. Maka ibu bapa yang berhak mencorakkan (agama)nya, sama ada menjadikannya Islam, Yahudi, Nasrani atau Majusi.

Mereka telah mendapat sokongan yang bukan sedikit daripada musuh Islam untuk menjayakan perancangan ini. Apa tidak? Kerana pendokongnya sendiri orang yang mengaku Islam. Islamkah mereka itu?

Sahabat seISLAMku…,

Apa pula cerita kakak kamu dalam Islam. Kata orang putih dari England, Sisters in Islam? Macam mana mereka boleh pergi jauh, membingitkan hal ketidakadilan dalam Islam. Tidak adil kata mereka kerana perempuan mendapat harta pusaka separuh daripada lelaki. Mereka mahu, harta pusaka diterima oleh wanita sama banyak dengan lelaki. Mereka sudah pergi jauh, merancang untuk menghantar memorandum kepada Koffi Annan. Kononnya perundangan Syariah di negara kamu menafikan Human Right. Hak Asasi manusia yang diperjuangkan dalam keadaan mereka mencabar Hak Allah yang menetapkan hukum itu. Mereka mendapat sokongan Woman Aid Organization (WAO) untuk menjayakan misi menghantar memo kepada SU Agung PBB itu.

Sahabat seISLAMku,

Jika aku diberi pilihan menulis surat kepada mana-mana pemimpin di negara kamu, aku mahu menulis surat khusus buat pemimpin nombor wahid. Pemimpin yang kamu bangga dengan Islam Hadharinya. Aku akan tulis;

“Datuk, mengapa datuk tidak menghalang kumpulan-kumpulan ini? Adakah kerana anak Datuk berada di dalamnya? Atau apakah kerana Datuk bimbang akan ditentang oleh rakan-rakan kabinet Datuk? Mengapa Datuk tidak melihat reality kerosakan anak-anak muda belia di negara Datuk? Mengapa Datuk boleh merasa selesa dalam keadaan gejala sosial di negara Datuk semakin parah? Apakah Datuk sudah kehilangan idea? Datuk ada kuasa mengarahkan bahagian penguatkuasa Datuk untuk bertindak. Jika Datuk boleh arahkan ROS batalkan pendaftaran pertubuhan sahabat komunis Malaya, mengapa Datuk tidak boleh arahkan perkara sama untuk SIS? Mengapa?.......bla..bla…bla…(fikirkan sendiri apa lagi yang saya akan tulis!)”


Sahabatku…

Sampai di sini dulu warkah dari Singapura. Aku perlu beredar. Malam di Singapura sudah mahu di’tutup’.

Salam hormat dari saya,

Salam Al-Ma'aji.

Selasa, Jun 27, 2006

Mengertilah Kawan.


Saya mungkin kehilangan banyak kawan. Saya seorang yang tidak gemar berborak banyak-banyak. Kata orang, saya suka memerhati dan lambat memberi respon terhadap sesuatu persoalan.

Saya mungkin kehilangan banyak kawan, kata mereka bahawa saya seorang perumus. Walau bagaimana cermat saya berkata untuk bertanya, mereka menganggap itu kenyataan saya yang muktamad. Mungkin saya kena belajar gaya bercakap, ubah intonasi suara agar mereka dapat membezakan di antara soalan dan pernyataan.

Saya mungkin kehilangan banyak kawan. Kata mereka, saya seorang yang sombong. Jumpa orang tidak pernah mahu senyum atau menyapa. Bagi saya, jika saya lihat orang itu sihat, mengapa perlu lagi saya bertanya, “apa khabar?” Walhal saya pasti tahu jawapanya “khabar baik.”

Saya mungkin hilang banyak kawan. Saya memberi salam, mereka tidak mendengar. Kata mereka suara saya lekat di kerongkong. Adakah saya bersuara amat perlahan atau telinga mereka penuh dengan tahu telinga? Jika memberi salam, sekurang-kurangnya saya akan tahu, jawab salam itu. Tapi saya mahu dan tetap mengucapkan salam itu. Ucapan ini menyambung silah turrahim dan memberi pahala kepada pemberi dan penerimanya jika yang menerima menjawab.

Saya mungkin kehilangan kawan. Mungkin saya perlu menjadi seperti kawan. Suka perkara yang disukai oleh kawan. Tapi saya tegar, biarlah saya menjadi diri saya. Tidak semesti apa yang kawan suka, itulah yang mesti saya buat. Saya perlu juga jaga perkara yang perlu untuk kekalkan jati diri saya, barulah orang kenal saya seorang yang berprinsip.

Kawan. Maafkan. Maafkan. Maafkan diriku. Walau siapa pun aku, aku tidak bisa mengubah mengikut rentak kalian, kerana kita kawan. Berambut sama hitam, tapi hati lain-lain. Mungkin kamu sukakan buku, saya juga suka. Kamu suka bola, saya suka badminton. Kamu biasa berborak santai dengan perempuan, tapi aku malu segan. Biarlah aku dikatakan bodoh sombong kerana hanya tidak suka berbual kosong dengan kawan-kawan perempuan. Aku mesti jaga sesuatu yang tidak perlu kamu jaga.

Kadang-kadang diamku seperti burung hantu. Bersunyi sambil memincing mata, mengintip tikus di celahan petak sawah.


Isnin, Jun 26, 2006

Sinisme seorang pendiam.


Hari ini, saya memakai baju bercop Pidato Kemerdekaan Antara Kolej-kolej UPM 2004. Baju kenang-kenangan adik saya di UPM. Khabarnya dia akan dicalonkan untuk mewakili kolej dalam MPM UPM. Saya tahu, walau pun saya diam, tidak semestinya saya tidak pandai berhujah. Walau pun laporan akhbar menunjukkan kajian wanita lebih banyak bercakap dan pandai berhujah berbanding lelaki. Saya bukan sekadar lelaki, malah seorang yang amat pendiam pula. Jika saya menjadi bahan kajian, saya pasti markah kepetahan berhujah saya hanya 5%. Gagal ujian kepetahan sama sekali!

Hari ini, sudah ada gesaan untuk menaikkan harga gula di pasaran. RM2.20 sekilogram. Pengilang beras juga meminta kerajaan mempertimbangkan kenaikan harga 30 sen bagi setiap kilogram. Kadar inflasi yang bakal dilaporkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) seperti yang diuwar-uwarkan oleh pembaca berita Buletin Utama minggu lepas ialah dia antara 3.5-4.1%. Inflasi semakin meningkat pak!

Minggu lepas juga Proton melancarkan secara rasmi SRM: Satria Neo, selepas sedekad melakukan proses R&D. Ia nampak lebih sporty sesuai untuk jiwa anak-anak muda, tetapi tidak menarik minat saya. Bagi saya, jika mahu ciri-ciri setara dengan mengenepikan penampilan yang menawan Satria Neo, adalah lebih ekonomik jika saya mengambil Naza Sutera. Secara perbandingan, kedua-duanya menggunakan enjin DOHC, masih dalam kategori kereta kontot, sama-sama cun, tetapi Sutera lebih murah RM7 ribu berbanding Satria Neo.

Tetapi jiwa bernafsu besar seperti saya mahukan Naza Sutera kerana pintunya lebih dua. -:D. Ya, kalau saya manusia kerdil bernafsu besar, (jikalah saya mendapat ruang itu, saya akan jadi seperti itu) saya mahu menjadi pemimpin yang digeruni kawan dan musuh. Nafsu besar saya juga menjadikan saya mahu menjawat jawatan penting dalam banyak syarikat. Menjadi penasihat untuk beberapa buah perbadanan walaupun hanya dibayar elaun, bukan gaji. Kerana nafsu besar, saya mahu semua yang hebat-hebat. Terbesar, tercantik, tercanggih, tertinggi, terbaik, terberdaya saing, termaju, teristimewa. Kalau boleh semua jenis macam ter, kecuali terlanjur.

Minggu ini pula alias semalam, sudah ada suara sumbang dari gedung MBM. Presiden MBM yang menaungi 40 buah persatuan belia mahukan AUKU dipinda. Mereka mendapati AUKU membantut penjanaan pemimpin pelapis dari golongan mahasiswa. Walhal, sekian lama mereka mencampuri politik kampus untuk kepentingan sempit parti mereka. Mungkin dato’ Presiden MBM lupa PKPIM di bawah naungannya[1]. Tidakkah PKPIM itu dari kalangan mahasiswa? Atau tidakkah dia tahu, bahawa kepimpinan mahasiswa adalah orang-orang yang menjadi boneka mereka? Merekalah yang menyekat demokrasi kampus melalui campur tangan terus dari kalangan poli-tikus yang menikus di kampus-kampus?

Cerita tarif elektrik. Kenaikan 12% hanya dikenakan kepada pengguna yang menggunakan elektrik pada kadar melebihi RM43.60. Nampaknya semacam mahu membela golongan berpendapatan sederhana dan rendah. Namun sama sahaja. Golongan ini adalah golongan pengguna yang akan dihimpit hasil kenaikan produk pengilangan yang mengguna ratusan ribu ringgit elektrik sebulan. Maka inflasi akan naik lagi.

Kemudian, kita lihat pula pertandingan yang lebih hebat daripada pertandingan bola sepak @ World Cup. Siapa lagi? Pak Lah dan Tun M lah. Satu persatu yang ditimbulkan. Penjualan saham Agusta, AP, jambatan bengkok. Kemudian lagi, kononnya Pak Lah bukan calon utama PM di era Tun M. Maka dibalas oleh Pak Lah dengan isu surat layang (baca kitab layang) setebal 33 muka surat oleh bekas peguam Syed Ahmad Idid[2]. Isu rasuah. Selepas itu Pak Lah juga mungkin boleh menarik nafas panjang sedikit, apabila Tun M juga dipanggil ke mahkamah dalam kes Tun M bersama DSAI. Dan lagi, apabila Tun Daim mendedahkan rahsia peletakan jawatannya ketika era Tun M. Menurut Daim, beliau tidak bersetuju dengan penggabungan bank yang diarahkan semata-mata untuk menyelamatkan Tongkah Holding milik anak Tun M.

Kemudian PM boleh bersikap slow and steady lagi, apabila dibangkitkan isu peletakan jawatan CEO TNB yang menentang perjanjian jual beli tenaga TNB dengan IPP, iaitu consortium tenaga bebas milik lima orang korporat yang menjadi kroni Tun M. Dan apa lagi selepas ini?

Maka, kita melihat berkali-kali juga kenyataan taat setia oleh anak didik Tun M di belakang Pak Lah untuk menyokong penuh PM sekarang. Tahukah anda? The smart guy @ Mr KJ is planning to keep the ‘white dick’ outside? Biarkan dia dengan buah-buah caturnya. Apakah anda yakin, orang nombor dua sekarang akan betul-betul naik menjawat jawatan nombor wahid suatu masa nanti? Jika saya tanya Mr. KJ, mungkin jawapannya, “jangan harap!”

Ok, sudah, sudah! Saya tahu kamu sudah nak termuntah baca cerita politik saya yang tidak hebat ini. Apa kata baca cerita saintifik3 pula. Tajuk asalnya Kejadian Manusia menurut Islam Ia ditulis dalam dua siri yang bersambung, tetapi dipisahkan dalam tajuk berbeza menurut pertimbangan editorial Dewan Kosmik (DK).

Dan akhir sekali, pesan nabi kepada Said al-Khudri, "Jangan kamu takut berkata benar. Kerana berkata yang benar tidak mendekatkan ajalmu dan tidak pula menyempitkan pintu rezekimu." Ini sebagai motivasi penulisan agar saya tidak dituduh berani bodoh oleh sesetengah orang.

Nota kaki.
1. Dewan Masyarakat, Mei 2006.
2. Peguam yang terpaksa meletak jawatan dan melupakan wang pencen akibat pendedahan salah laku peguam-peguam.

Jumaat, Jun 23, 2006

Kod 19


Sesetengah orang amat terpesona dengan angka, sehingga angka di dalam al-Quran juga mahu dikaji. Jika kajian itu dibuat menepati disiplin ilmu, tidaklah mendatangkan masalah kepada sesiapa, tidak pula menyebabkan orang yang mengkaji terpesong daripada landasan sebenar.

Mungkin anda pernah terdengar Kod 19. Kod 19 ini diperkenalkan oleh seorang Arab Mesir yang dilahirkan di Amerika Syarikat pada tahun 1980. Beliau ialah Rashad Khalifa, lulusan doktor falsafah (Ph.D) dalam bidang Biokimia Tumbuh-tumbuhan (Plants Biochemistry), beliau tinggal di Tucson, Arizona, Amerika. Secara umum Kod 19 mengatakan bahawa terdapat beberapa situasi dalam al-Quran yang secara angka boleh dibahagikan tepat dengan 19.

Sebagai contoh, Rashad Khalifa mengira unit kalimah dalam wahyu pertama, surah al-‘Alaq ayat 1-5. Beliau memisahkan ayat-ayat ini dalam unit kalimah tunggal dan menjumlahkannya menjadi 19. Kajian yang dilakukan oleh ilmuan Islam mendapati sebenarnya terdapat 25 kalimah dalam ayat-ayat ini.

Usaha beliau untuk membuktikan ketepatan Kod 19 ini menyebabkan dua ayat terakhir surah At-Taubah dibuangnya. Beliau berpendapat dua ayat ini tidak diyakini kebenarannya. Hujah yang disandarkan semata-mata kerana Zaid bin Thabit hanya menemui dua ayat ini ditulis oleh Abu Khuzaimah al-Ansari dan tidak terdapat dalam catatan sahabat yang lain. Walhal, Zaid bin Thabit yang mengumpul ayat al-Quran untuk ditulis merupakan seorang hafiz.

Setelah menolak dua ayat daripada surah at-Taubah, beliau berjaya membuktikan bahawa terdapat sembilan kalimah yang jumlahnya boleh dibahagi tepat dengan 19.
Klik untuk membaca jadual sembilan kalimah.

Rashad Khalifa tidak menerangkan pula mengapa dia hanya mengambil sembilan kalimah ini, dan beberapa surah dalam al-Quran untuk membuktikan teori Kod 19 yang diasaskannya.

Dalam sejarah Malaysia, seorang penulis terkenal iaitu Kassim Ahmad mempelopori gerakan anti-Hadis dengan penubuhan Jamaah Al-Quran. Beliau juga menyokong teori Kod 19 dalam tulisannya. Dalam rencana yang ditulisnya di dalam akhbar (Utusan Malaysia), beliau menulis; “Kenapa kita hendak menolak, apa lagi mengatakan ia (Kod 19) berbahaya kepada akidah?” Penolakan dua ayat itu dengan jelas menunjukkan bahawa Kod 19 sesat dan menyesatkan.

Sebagai kesimpulan, jika anda ingin mengkaji al-Quran, buatlah pengkajian mengikut disiplin ilmu yang betul. Kita tidak perlu terpengaruh dengan idea untuk menggagaskan pemikiran yang baru. Walhal gagasan itu menjadikan kita lebih jauh terpesong daripada kemurnian ilmu Islam itu sendiri. Tidak perlu kita mentakwil dan bertanya soalan yang pelik-pelik seperti mengapa Allah mencipta langit dan bumi tujuh lapis? Mengapa dalam penciptaan bumi dan langit serta makluk di antara keduanya dibuat dalam masa enam hari di sisi Allah? Atau angka-angka lain lagi, sehingga kita terpesona dengan angka sehingga kita lupa untuk mentadabbur ayat Allah dan menghayati tuntutan al-Quran itu sendiri.

Nota kaki.
1. Angka 19 yang diambil oleh Rashad Khalifa merujuk kepada kalimah Tis’ata ‘asyar (19) di dalam ayat 30 surah al-Muddaththir. Menurutnya sembilan itu sembilan semata-mata tanpa mentafsir ayat 31 surah yang sama. Dalam ayat 31, 19 merupakan penjaga neraka Saqar.
2. Maklumat lanjut mengenai perbahasan yang menerangkan kebatilan Kod 19 boleh dibaca dalam buku ‘Kemelut Terkini Anti Hadis’.
3. Sumber penulisan: Mustafa Suhaimi, Kemelut Terkini Anti Hadis, Milia Publication Sdn. Bhd. (1996), Cetakan Pertama, ISBN 983-9351-03-6.

Khamis, Jun 22, 2006

Pentingnya sejarah

Dunia seluruhnya sibuk menumpukan perhatian kepada pertandingan bola sepak paling berprestij ketika ini; Piala Dunia. Dalam keghairahan kita melihat kejayaan Sepanyol mengatasi Tunisia beberapa hari lalu, kita mungkin terkenang Sepanyol suatu ketika dahulu. Sebelum ini, Sepanyol dalam desawarsa kegemilangan tamadun Islam dikenal sebagai Andalusia.

Siapa tidak kenal dengan kemegahan Andalusia? Kota kecemerlangan tamadun Islam dalam segenap segi, dari lapangan ilmu Islam, budaya, keunikan seni arkitek hinggalah kepada sains dan teknologi. Sejarah merupakan sesuatu yang penting dalam menentukan kegemilangan tamadun bangsa. Umat yang maju meneliti dan mengkaji sejarah lampau, mencedok strategi dan taktik kecemerlangan tamadun bangsa yang lalu untuk membina kemandirian nusa bangsa. Jatuh bangun sesuatu bangsa teretak pada sejarah, mengulangi perkara yang baik akan menjadikan tamadun bangsa terus maju. Sebaliknya mengulangi kesilapan yang sama akan memusnahkan tamadun bangsa.

Tidak memahami sejarah bererti kita tidak mengetahui hakikat sesuatu perkara yang sudah berlalu. Kelemahan ini menyebabkan kita leka, bena tidak bena terhadap unsur dan nilai sejarah. Apakah kita sedar umat Islam dihancurkan oleh musuh buat sekian kalinya pada tahun 1924? Tahun keramat ini, dunia menyaksikan kejatuhan Empayar Uthmaniah. Bermula daripada detik itu, negara Arab dipecahkan mengikut bangsa dan puak-puak yang lebih kecil. Kesatuan ummat Islam mula rapuh dan anasir penguasaan barat telah meresap ke dalam nadi perjuangan kebangsaan Arab di sebalik tabir nasionalisme. Sehingga kini ummat Islam tidak mampu bangkit bagi menyatukan kekuatan ummah dalam kesatuan amal dan fikir (wehdatul amal/fikr).

Justeru penilaian semula kepada kekuatan ummat Islam dahulu perlu dihayati dari segi prinsipnya. Prinsip dan pengamalan mereka harus dikembalikan semula dalam bentuk realiti kehidupan yang dihayati oleh kita. Sekiranya kita perhatikan, maka akan terserlahlah kepada kita sikap dan watak pemimpin, pengikut, dan pendokong tamadun bangsa yang hebat itu. Semua ini perlu dipelajari dan dihalusi supaya kita memahami asas pengamalan yang telah dibuat oleh mereka. Kita tidak seharusnya hanyut dengan usaha musuh Islam untuk menjauhkan kita daripada mengulangi kegemilangan tamadun Islam tersebut.

Kepentingan sejarah ditunjukkan kepada kita oleh Allah di dalam mukjizat agung yang diturunkan kepada nabi Muhammad S.A.W. Satu pertiga daripada kandungan al-Quran menceritakan sejarah ummat nabi yang terdahulu. Rakaman peristiwa lampau menjadi rujukan buat nabi dan para sahabat untuk mempelajari tabiat yang baik dan buruk. Mereka mengamalkan tingkah laku yang diredhai sehingga ummat mendapat kemuliaan di sisi Allah, dan menjauhi perlakuan jahat sehingga dimusnahkan oleh-Nya. Al-Quran sebagai kitab suci yang menepati semua zaman harus dijadikan rujukan kepada kita untuk mencapai kecemerlangan.

Sebab itu Allah mengingatkan kepada kita sejarah perlu dipelajari dan dihayati, mengulangi sejarah bermakna kita mengikut laluan yang sama dan mendapat natijah seperti mereka juga. Sesuailah dengan firman Allah;




“Maka tidakkah mereka mengembara di muka bumi serta memerhatikan akibat orang-orang yang kafir sebelum mereka? Allah telah menghancurkan mereka, dan orang-orang yang menurut jejak mereka (kafir) akan beroleh akibat buruk yang sama.” (Muhammad: 10)


Nota kaki:
*Makalah: Renungan dari al-Quran untuk Mimbar Pusat Islam, Jun 2006. Buletin Bulanan Pusat Islam USMKKj.

Rabu, Jun 14, 2006

Lagi Promosi HBI 3


Himpunan Bicara Ilmu Siri 3

Tentatif Program:

8.30 – 9.00 pagi
Pendaftaran Peserta

9.00 – 10.30 pagi
SLOT 1: FEQAH SEMASA
OLEH: TN. HJ. SHEIKH FAISOL B. HJ. OMAR

10.30 – 11.30 pagi
SLOT 2: TASAUR ISLAM (AKHLAK)
OLEH: TN. HJ. FADHIL B. AWANG

11.30 – 12.00 tengah hari
Sesi Soal Jawab

12.00 – 12.30 tengah hari
REHAT: JAMUAN (HI-TEA)

12.30 – 1.30 petang
SLOT 3: AKIDAH (SAINS & AL-QURAN)
OLEH: DR. JAMNUL AZHAR B. MULKAN

1.45 petang
Solat Zohor & bersurai.

Tel: 04-5995481
Faks: 04-5941032

Yuran Pendaftaran
Dewasa: RM5.00
Pelajar: RM1.00

PENDAFTARAN BOLEH DIBUAT SEKARANG.

Selasa, Jun 13, 2006

Direktori jurnal sains : Scopus.


12 Jun 2006. Jam 2.00 – 3.30 ptg.

Taklimat SCOPUS. Enjin carian jurnal penyelidikan sains. Scopus seperti juga ScienceDirect tetapi mempunyai kelebihan menghubungkan di antara satu jurnal dengan jurnal penyelidikan yang lain.

Sebagai contoh, dalam jurnal A terdapat rujukan yang diambil daripada jurnal B, maka rangkaian jurnal A akan diletakkan di bahagian cited by jurnal B. Maka tidak perlulah anda bersusah-susah untuk mencari jurnal yang dirujuk oleh seseorang penyelidik (dengan syarat jurnal tersebut ada dalam pangkalan data Scopus). Lihat gambarajah di bawah, jurnal bertajuk Industrial state-of- the-art of pervaporation and vapor water permeation in the western countries, dirujuk oleh 39 penyelidik lain.

Tak payah klik!

Kelebihan lain? Anda boleh membuka akaun sendiri dan menyimpan mana-mana jurnal seperti anda menyimpan emel di dalam mailbox. Dan pastikan anda menjadi pengguna berdaftar untuk memiliki kelebihan ini.

Sabtu, Jun 10, 2006

Penguasaan Nanoteknologi ...... [1]

PROSES pengilangan pertama dipanggil manu factus bermula sejak Zaman Pertengahan di Eropah lewat tahun 1500-an. Ia merujuk kepada pembuatan produk daripada bahan mentah menggunakan tangan atau mesin yang dilakukan secara sistematik. Setiap tugas dipecahkan kepada bahagian-bahagian kecil yang mengandungi pekerja-pekerja mahir yang khusus. Penciptaan enjin wap pada kurun ke-18 telah memacu era pemesinan dan seterusnya mengalami evolusi secara berperingkat sehingga jentera-jentera yang besar dapat dikecilkan.

Kini era pengilangan terus berkembang dalam skala pembuatan yang lebih kecil iaitu nano. Nanoteknologi yang menarik perhatian masyarakat dunia hari ini melibatkan penciptaan produk baru dengan memanipulasi skala atom atau submolekul. Menurut laporan Inisiatif Nanoteknologi Nasional Amerika Syarikat, terdapat lebih 20 ribu penyelidik di seluruh dunia terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) nanoteknologi. Bahan mentah yang digunakan bukan lagi jirim yang besar sebaliknya partikel berukuran 1 hingga 100 nanometer.

Nanoteknologi bukan suatu yang baru. Orang-orang Eropah menggunakan karbon hitam, bahan bersaiz nano sejak kurun ke-10. Begitu juga orang Rom menggunakan pigmen warna emas dan perak untuk mewarnakan gelas. Secara semulajadi bintik-bintik kecil di atas permukaan bunga teratai merupakan sistem nanoteknologi dalam alam tumbuhan. Bintik kecil ini bertindak sebagai bahan pembersihan kendiri (self-cleaning[2]) untuk menghalang air atau kotoran melakat di atas permukaan daun. Sesuai dengan perkembangan teknologi, nanoteknologi dikembangbiakkan dalam pelbagai bidang kehidupan untuk meringkas dan menambah nilai sesuatu sistem, bahan atau produk.

Kepentingan dan impak nanoteknologi pada masa hadapan turut dinilai dari aspek ekonomi. Negara-negara maju dan membangun seluruh dunia telah merangka plan pembangunan nanoteknologi masing-masing. Menurut laporan penganalisis ekonomi Roco dan Bainbridge, nanoteknologi berpotensi menjana tujuh juta peluang pekerjaan di pasaran dunia pada tahun 2015. Mereka juga membuat unjuran, USD1 trilion produk semasa akan terjejas akibat perkembangan nanoteknologi yang mapan. Hal ini bermakna pasaran kerja dalam bidang nanoteknologi dunia akan berkembang seiring dengan pertambahan pelabur baru dalam bidang pembuatan produk berskala nanometer.
 
Perkembangan nanoteknologi dunia.

Rantau Asia Pasifik (AP) sedang mengorak langkah untuk menjadi sebuah rantau nanoteknologi yang paling berdaya maju dan dinamik di dunia. Jumlah perbelanjaan awam di rantau AP berjumlah lebih kurang USD1.4 bilion (RM5.32 bilion) bagi tahun 2003 (70% daripadanya adalah dari Jepun) dan pelaburan persendirian pula semakin bertambah. Jepun, sebuah negara berteknologi maju, telah melabur dalam bidang sains dan nanoteknologi sejak pertengahan tahun 1980 dengan pelbagai program kebangsaan. Pembiayaan kerajaan-nya terhadap nanoteknologi mengikut per kapita adalah yang tertinggi di rantau AP dan dunia. Menurut data kerajaan negara Jepun, bajet R&D bagi Nanotechnology and Materials Program untuk tahun 2003 adalah lebih kurang USD900 juta (RM3.42 bilion).

Negara seperti Republik Rakyat China, Korea Selatan dan Taiwan telah meningkatkan perbelanjaan untuk nanoteknologi secara drastik sejak tahun 2001. China merancang untuk membelanjakan RMB2 hingga 2.5 bilion [USD250–300 juta (RM0.95–1.14 bilion)] dalam pelan lima tahun (2001–2005). Korea Selatan pula memperuntukkan 2.391 trilion won [USD2 bilion (RM7.6 bilion)] untuk jangka masa sepuluh tahun (2001–2010). Pertambahan dalam perbelanjaan kerajaan Korea Selatan untuk nanoteknologi bagi tahun 2002 berbanding tahun 2000 adalah lebih kurang 400%. Inisiatif Nasional Taiwan untuk Sains dan Nanoteknologi merupakan pelan enam tahun dengan jumlah perbelanjaan sebanyak USD620 juta (RM2.34 bilion) bagi tahun 2003 hingga 2008.

Negara-negara lain di rantau AP seperti Australia, Hong Kong, India, New Zealand, Singapura, Malaysia dan Thailand telah melancarkan program/inisiatif nanoteknologi masing-masing. Malaysia, yang tidak mahu ketinggalan dalam era nanoteknologi ini telah memperuntukkan sekitar USD38 juta (RM144.4 juta) bagi jangka masa lima tahun dalam Rancangan Malaysia Ke-8 (2001–2005). Bagi negara yang mempunyai populasi 20 juta orang, amaun ini adalah sedikit berbanding amaun yang diperuntukkan oleh Taiwan, iaitu USD620 juta (RM2.36 bilion) walaupun populasinya hanya 21.5 juta orang.

Perkembangan Nanoteknologi Malaysia

Selepas Inisiatif Nanoteknologi Nasional Malaysia (INN) dilancar secara rasmi oleh Timbalan Perdana Menteri dalam Asia Nano Forum (ANF) 2005 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), secara rasminya negara ini mengorak langkah serius dalam pembangunan nanoteknologi. Koordinator INN yang pertama ialah Prof. Dato’ Halimaton Hamdan yang juga Pengarah Institut Ibnu Sina UTM. Penubuhan INN disertakan dalam Rancangan Malaysia Ke-9 juga menjadi bukti komitmen Kerajaan Malaysia terhadap teknologi ulung ini.

Sebelum INN dilancarkan, Malaysia sudah mempunyai beberapa pusat penyelidikan nanoteknologi seperti Institut Ibnu Sina (UTM), Institut Nanoelektronik dan MEMS (UKM), Pusat Penyelidikan Nanokomposit dan Nanoteknologi (UPM) dan Penyelidikan Bahan Nano dan Nanokomposit (USM). Namun begitu, selepas pelancaran INN secara rasmi pada 4 Julai 2005, beberapa agensi lain turut disenaraikan sebagai penggerak nanoteknologi Malaysia seperti SIRIM, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Malaya (UM), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Kerangka pengembangan nanoteknologi Malaysia dalam INN lebih tertumpu kepada empat bidang atau disiplin ilmu:
a) Fizik – bidang nanoelektronik beredar ke arah saiz yang lebih kecil dan berada dalam lebar garis 100 nanometer.
b) Kimia – pengetahuan yang lebih mendalam terhadap sistem yang lebih kompleks telah menghasilkan mangkin, membran, penderia (sensor) dan penyalut baru yang bersandar kepada pemahaman dan kebolehan mencipta struktur pada tahap atom dan molekul.
c) Biologi – sistem kehidupan yang mempunyai sub-unit dalam skala mikron dan nanometer yang boleh digabungkan dengan bahan nanostruktur untuk mencipta sensor dan peranti.
d) Matematik – Kaedah simulasi komputer dengan algorithma baru untuk mengira sifat bahan dalam skala nanometer dan pasca pemproses yang berkuasa tinggi merupakan cara terbaru. Kaedah ini boleh diaplikasi bagi memaparkan grafik yang berkait dengan reka bentuk sistem nano.

Impak nanoteknologi kepada Malaysia

Perkembangan nanoteknologi sedunia mempengaruhi penguasaan teknologi semasa lebih-lebih lagi dalam era globalisasi. Evolusi teknologi mengikut teori Hukum Moore menyatakan pengembangan teknologi berlaku dalam keadaan yang sangat pantas. Justeru penglibatan Malaysia dalam era nanoteknologi akan memastikan negara mampu bersaing dengan dunia luar untuk menjana produk nanoteknologi tersendiri. Hal ini bermakna, dengan pertumbuhan sektor pembuatan yang baru akan mewujudkan peluang pekerjaan baru. Malaysia tidak harus ketinggalan.

Nota kaki:
[1] Mohamad Hanafi Isa, Penguasaan Nanoteknologi Mampu Tingkatkan Kemampuan Bersaing Negara, Dewan Ekonomi, Jun 2006, ms. 44-45
[2] Proses ini dikenal sebagai Lotus Effect

Jumaat, Jun 09, 2006



*Tarikh terpaksa ditunda kerana masalah penstrukturan program kampus.

Ini pula coretan sahabat yang menghuni bilik bujang saya ketika saya berada di kampung. Weblog Amirulreza, 5 Jun 2006.
Sekadar Selingan Di Subuh Hari.....

Pernah tak suatu ketika pada pagi yang sunyi.....anda berjalan di kawasan yang sunyi, tepat pada 4.00 pagi, tiba-tiba melalui kawasan sukan atau rekreasi. Dahulunya anda yakin, anda pasti anda memang seorang yang berani. Namun izin Allah demi menguji keimanan anda, anda diperlihatkan seorang lelaki tua sedang berada di gelanggang tenis. Tenang sahaja sambil membelai seorang budak.

Manakala budak itu pula bermain buaian dengan riangnya..di pagi hari....sambil berpaling memandang anda dengan perlahan-lahan.

Apa yang anda mahu buat pada masa itu...? Menjerit..? Pasti suara anda tidak mahu keluar... Mahu minta tolong ? Tapi pada masa itu sudah hampir 2 bulan tiada berpenghuni.. semuanya balik kampung sempena cuti semester...

Namun nasibnya baik.... Pak Guard membuat rondaan pada masa itu.... anda dipimpin pergi... pergi dengan bulu roma yang meremang..... Namun untuk menghilangkan kerasukan itu... 'Dia' agak kasihan.... Ustaz yang sepatutnya berada di masjid juga kebetulannya balik kampung.... baru semalam ustaz tu bertolak...

Jumaat, Jun 02, 2006

Kadang-kadang kita terpaksa.


Dan pagi ini, sungguh saya terkilan. Dahulu, katanya "saya tidak suka menolong orang jika sekejap kata begini dan sekejap kata begitu."
Saya kata, "ya. Saya betul-betul nak tumpang kamu balik."
Pagi tadi terima SMS, "Maaf. Kereta penuh. Barang-barang adik saya (PC-nya dan kawannya) sesak. Tiada ruang lagi untuk menumpang."
Aku, "Ok. -:)"

Saya mampu lagi -:) kerana saya masih waras. Jika saya mahu marah, saya kena tanya diri saya dahulu, "kenapa saya tidak sahkan semula status kepulangan itu dengan beliau kelmarin atau hari Rabu lagi?" Mungkin dia juga lupa untuk maklumkan kepada saya perkara ini lebih awal supaya saya dapat beli tiket bas. Entah, apakah nanti sekejap lagi tiket bas untuk malam ini masih ada? Doakan semoga ada. Jika ada, dapatlah saya pulang bercuti seperti yang saya janjikan dengan mudah. Jika tiada, saya akan cari jalan pusing satu Malaysia untuk sampai juga ke Terengganu dengan bas. Saya tidak gila. Saya sudah janji akan pulang pada hujung minggu ini.

Dan jika anda mahu baca cerita bergambar silalah ke weblog MyFotopages. Jika anda mahu membaca darihal kaedah bacaan dalam al-Quran, bukalah Laman AQO. Pelajaran 18 baru dimasukkan pada pagi ini. Dan lagi, sekiranya anda mahu menatap kepalsuan Teori Darwin selepas penemuan teknologi DNA, belilah Dewan Kosmik, Jun 2006. -:D -:)

Saya tinggalkan beberapa perkara ini sebelum saya pulang bercuti panjang. Doakan saya selamat pulang dan kembali semula. Jika saya mati, jangan lupa, hadiahkan al-Fatihah buat saya, walau pun sekali. Dan jika anda ada kesempatan dan kemudahan, jangan lupa siramkan air di kuburanku.

Kadang-kadang kita terpaksa menerima hakikat perancangan di luar perancangan kita. DIA lebih mengetahui hikmah aturan perjalanan hidup kita.


Jumaat, Mei 19, 2006

Mari kita doakan.

Ya Allah, aku bersyukur. Hari yang berlalu dalam kehidupanku. Ya Allah, nadi kehidupanku bergerak, detik demi detik. Pantasnya detik-detik itu, aku tidak percaya sudah 24 tahun berlalu ia. Aku tahu dan sedar, 24 tahun bukanlah singkat. Panjangkan umur ini agar dapat aku dambakan pengabdian kepadaMU. Aku memohon kekuatan demi kekuatan daripadaMU ya Rabb.

Lalu aku mendengar dalam mimpiku, "duhai jiwa yang kerdil. Kembalilah menjadi diri kamu!"
Apa maknanya? Aku sedang mencari makna dan pengertian. Pesanan keramat ini akan digali rahsianya. Aku melihat dunia sekeliling. Aku mempunyai sahabat-sahabat, rakan sekerja, rakan sepengajian, rakan sepermainan, dan rakan sepergaduhan. Rakan sepengajian dan sepergaduhan cukup membahagiakan. Rakan sepermainan cukup meletihkan, kerana bermain mengeluarkan peluh dan keringat. Rakan sehati sejiwa? Belum ketemu semula. Kerana sehati sejiwa itu cukup besar maknanya. Tidak perlu ditemukan lagi rakan sehati sejiwa, kerana parut luka hati dan jiwa belum tanggal.

Dan coretan ini, adalah teman tanpa perasaan yang boleh menjelmakan perasaan. Coretan ini adalah teman yang paling setia, ia menerima dan menyerap segala suka duka kehidupan orang yang menulisnya. (Aku meniru dan meminjam kata-kata penuh makna Anne Frank dan Zlata yang terkenal dengan diari kehidupan mereka.)

Terima kasih buat Muzam, adik Nor Asiah (adikku di MRSM KT), MyMesra Team (PETRONAS Dagangan) yang telah mengucapkan "SELAMAT HARI LAHIR" kepadaku. -:)
Buat kalian, ketahuilah, aku sudah hidup 24 tahun lamanya.

Khamis, Mei 18, 2006

Laman Al-Quran Online

Klik untuk buka Laman AQO

Laman ini diusahakan untuk manfaat semua, kerana nabi pernah bersabda: "(Antara) yang terbaik di kalangan kamu ialah mereka yang belajar al-Quran dan mengajarkannya."
Sila klik gambar di atas untuk membuka laman Al-Quran Online.

Rabu, Mei 17, 2006

Selamat Hari Ibu, Belia & Guru.

Saya sempat lagi menyiapkan folio atau kajian tempatan sejarah perjuangan nasionalisme ke arah kemerdekaan. Bukanlah bermakna saya ingin menonjolkan kehebatan mereka, bukan pula bermakna saya menyokong mereka. Folio itu sekadar kajian awal sebelum saya kemukakan pula hujah balas yang selayaknya sebagai menampakkan hala tuju dan fikrah saya. Perlu ditegaskan, bahawa saya tidak bersama-sama mereka dalam memperjuangkan idealisme, jika saya hidup pada zaman tersebut.

Ini pula coretan ringkas saya buat tatapan pembaca Mimbar Pusat Islam, dihadiahkan kepada ketua editor MPI. Bulan Mei, kita meraikan tiga hari yang cukup signifikan: Hari Ibu, Hari Belia dan Hari Guru. Ketiga-tiga hari yang bermakna ini disambut dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat sebagai cara menghargai peranan yang dimainkan oleh setiap golongan.

Golongan ibu selaku golongan yang dimuliakan dalam Islam. Islam mengiktiraf jasa dan pengorbanan ibu sehingga disebut secara khusus di dalam al-Quran. Ketinggian nilai seorang ibu disebut oleh Allah dalam ayat 14 surah Luqman, ayat 15 surah al-Ahqaaf dalam konteks kesusahannya mengandung. Ibu merupakan pengasuh dan pendidik yang lebih rapat serta menghabiskan masa yang lebih banyak bersama-sama anak. Sejak dari alam rahim sehinggalah anak itu membesar, ibu memainkan peranan yang lebih berbanding seorang bapa. Justeru, di dalam Islam ibu merupakan orang yang pertama selaku pemula generasi baru harus diletakkan pada tempat yang selayaknya. Mari kita renung firman Allah dalam surah al-Ahqaaf, mafhumnya: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan..."

Guru pula merupakan golongan yang berperanan membentuk nusa bangsa. Ketinggian tamadun bangsa terletak pada tahap ketinggian ilmu sesuatu bangsa. Bangsa yang dihormati dan dikagumi tamadunnya memiliki kelebihan ilmu. Perkara ini diceritakan oleh Allah dalam ayat 38-40 surah An-Naml. Ketinggian ilmu hanya dapat dicapai apabila terdapat golongan yang menjadi pengajar (mu'allim), mendidik tanpa jemu dan penuh ikhlas. Guru yang mengajar mencurahkan bakti yang bukan sedikit. Selain menyampaikan ilmu di dalam sillabus pengajaran, guru juga terpaksa melayan kerenah pelajar-pelajar. Jika seorang guru mempunyai 30 orang pelajar, dia terpaksa memahami 30 ragam dan fiil pelajarnya. Seorang guru mestilah dihormati selagi ilmu yang dicurahkan tidak bertentangan dengan syarak. Justeru guru yang baik bukan sahaja bertindak selaku muaddib malah menjadi murabbi yang berjaya membentuk acuan sikap dan tingkah laku pelajar-pelajar. Saya suka merumuskan puisi Allahyaham SN Usman Awang bertajuk Guru oh Guru, dalam karya ini beliau mengungkapkan apa jua kejayaan yang dicapai oleh seseorang, semuanya bermula daripada seorang guru.

Golongan belia merupakan golongan majoriti yang mendominasi populasi rakyat Malaysia. Belia didefinisikan sebagai mereka yang berumur di antara 15 hingga 40 tahun. Selaku golongan terbanyak, belia memainkan peranan ke arah pembangunan negara. Belia sering dikaitkan dengan semangat kerja yang tinggi, berkarisma, semangat juang yang kental dan seumpamanya. Belia merupakan tonggak kepada keterusan tampuk kepimpinan kerana belialah yang akan menggantikan pemimpin masyarakat yang akan pergi. Belia yang berkualiti, bebas daripada anasir jahat seperti dadah, budaya hedonisme, kongsi gelap dan kegiatan jenayah lain perlu dihasilkan. Kelompok belia ini mempunyai kesedaran untuk mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara.

Sebagai kesimpulan, ketiga-tiga golongan yang dibincangkan di atas mempunyai fungsi dan peranan masing-masing. Mereka menjadi aset yang berguna kepada negara. Sumber manusia yang berkualiti bermula daripada seorang ibu, dikembang dan dicanai oleh guru kemudian kelangsungannya pula diteruskan oleh golongan belia yang terdidik. Setiap sumbangan yang baik akan diganjarkan kebaikan oleh Allah S.W.T sesuai dengan firman-Nya

Klik untuk buka Laman Al-Quran Online

yang bermaksud:

Dan ditanya pula kepada orang-orang yang bertakwa: "Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?" Mereka menjawab: "Kebaikan". Orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi dan memanglah negeri akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertaqwa.


Masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Ibu, Selamat Hari Belia dan Selamat Hari Guru.

Jumaat, Mei 12, 2006

Modal Insan 1


Apabila saya biacarakan Modal Insan hanya nama yang Islamik, saya fikir diucapkan dengan penuh penelitian. Sebelum saya berkata, saya menekuni dengan berhati-hati teks ucapan penuh perbentangan cadangan Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9). Ucapan penuh PM dapat dibaca dalam majalah MASA (April 2006) muka surat 6 hingga 21. Enam belas halaman bercetak semuanya.

Maka suka saya selitkan bahagian modal insan yang diucapkan oleh YAB PM kita seperti berikut: Sekiranya kita ingin melangkah ke era ekonomi berpaksikan pengetahuan, jika kita mahu menjadi negara maju dan kekal pada tahap tersebut, pembangunan modal insan harus dipertingkatkan. (Langkau beberapa baris) Tiga strategi utama untuk melahirkan modal insan kelas pertama akan dilaksanakan. Pertama:Meningkatkan keupayaan dan penguasaan ilmu pengetahuan. Kedua: Memperkukuh keupayaan Sains, R&D dan Inovasi. Ketiga: Memupuk masyarakat berbudaya dan memiliki kekuatan moral.

Pasca ucapan RMK9 nampaknya sudah berlaku perkara sebaliknya.

1. Isu pengucapan kata-kata kesat di kalangan pemimpin kerajaan yang tidak menggambarkan strategi modal insan diberi penekanan.
tetapi dalam isu pengucapan kata-kata kurang sopan di kalangan pemimpin pembangkang, tetapi diselesaikan dengan permohonan maaf secara terbuka. Malah parti pembangkang secara bersama menolak keceluparan ucapan yang dibuat oleh ahli mereka. Maka dalam hal ini, mengapa PM selaku yang digelar ulul-amri tidak berbuat demikian secara terbuka pula? Strategi ketiga sudah dilanggar.

2. Di manakah kekuatan moral seorang pemimpin jika mencampuri urusan pihak berkuasa demi kepentingan perniagaan peribadi? Saya merujuk kepada kes Datuk Said. Tidakkah perkara ini kontradiksi yang jelas, jauh menyimpang daripada strategi pembangunan modal insan yang ketiga? Bagaimana masyarakat akan berbudaya dan bermoral jika pemimpin sendiri tidak bermoral?

3. Peletakan jawatan oleh Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BNBBC) menunjukkan strategi ketiga yang digariskan sekali lagi ditongsampahkan. Memang benar, dasar adalah dasar yang itulah yang harus diikuti. Tetapi jika dasar sudah melangkau prinsip, apakah pada ketika itu dasar wajib ditaati? Kita ambil contoh ketaatan kepada ibu bapa. Kita diajar mentaati ibu bapa selagi arahan seorang ibu tidak bertentangan dengan syarak.
Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau dengan fikiran sihatmu tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh).... (Luqman: 15). Begitu juga pemimpin. Ketaatan kepada ulul-amri hanya terbatas kepada perkara-perkara yang haq sahaja. Jika salah dan bertentangan dengan kehendak syarak, ia tidak wajib ditaati.

4. Perkataan modal insan sangat tidak cocok. Adalah lebih baik sekiranya istilah sumber manusia digunakan. Insan itu kalimah arab yang digunakan sebagai menampakkan Islamiknya istilah yang digunakan. Walhal perancangan ke arah pembangunan modal insan adalah sebaliknya.

Kita masih belum mengetahui perkara-perkara yang akan berlaku seterusnya khususnya yang berkaitan strategi ketiga yang disebutkan di atas. Dua perkara pertama tidak mahu diolah kerana saya melihat ruang memperbanyak pakar tempatan amat terbatas. Masih terdapat kepakaran luar yang diguna walhal saintis tempatan juga hebat-hebat. Saya juga berharap agar penyelidikan yang dibuat tidak sekadar menjadikan pensyarah di universiti syok sendiri. Syok sendiri dan merasa kepuasan sendiri-sendiri dengan memenangi anugerah penyelidikan tanpa dapat dikomersialkan. Saya sesungguhnya amat kagum dengan tahap patriot yang dimiliki oleh sebilangan saintis Malaysia yang tidak sanggup menjual teknologi mereka kepada pihak luar meski mereka ditawar ganjaran yang lumayan. Soalnya, sampai bila mereka mesti melonggokkan hasil penyeldikan dalam koleksi buku-buku penyelidikan di dalam almari atau rak buku?

Jumaat, Mei 05, 2006

Modal Insan


Apa itu modal insan? Apakah ini juga istilah seperti mana perkataan Islamik untuk menggambarkan gaya pemerintahan yang Islamik pula?

Saya pun tidak faham, mengapa diguna modal Insan? Walhal dalam prinsip modal insan yang tiga itu, disebut moral yang baik sebagai tunjang. Di mana dibuangkan akhlak Islam? Apakah kerana modal insan itu dilaksana di negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama, lantas akhlak Islam dikesampingkan?

Inikah modal insan? Modal insankah itu? Ada sebuah cerita, ceritanya macam pernah saya dengar dan baca serta perhatikan di negara saya. Ya, sebuah negara dunia ketiga di Afrika agaknya. Seingat saya, cerita ini berlaku di Afrika, macam pernah berlaku di negara saya?

Inikah modal insan?

1. Pemimpin mengutamakan kroni dalam pemberian hak. Maka berlegarlah projek pembangunan dalam kalangan mereka. Yang kaya menjadi kaya, yang miskin jatuh papa kedana.

2. Pemimpin dan beberapa pelaksana dasar di jabatan kerajaan melengahkan kerja, kononnya inilah birokrasi. Birokrasi yang hanya di'tayar'kan dengan pelincir 'ong'. Hulur bawah meja atau 'pos' ong dalam akaun bank secara dalam talian. Maka bertambah-tambah kos perkhidmatan dan barangan. Maka itulah yang dikatakan kesan penswastaan. Yang tidak swasta pun sama juga, tidak ada wang, jangan sembang kemas. kalau ada duit, cakap tak kemas atau kerja cincai, halai-balai pun tetap dikatakan ok.

3. Inikah modal insan? Hari-hari penuh sesak dengan lagu dan hiburan. Modal insan macam mana ni? Emak dan bapak tidak solat, maka ditanya kepada anak, "Kenapa tak solat?" Jawab anak, 'Macam mana nak solat? Emak bapak tak solat.' Tapi ditanya pula 'Kenapa pandai nyanyi? Apakah ibu bapa penyanyi?' Dijawab, 'Tidak!" Nah, kalau bab menyanyi ibu bapa tak perlu pandai nyanyi untuk hasilkan seorang anak yang menjadi penyanyi atau artis. Inikah modal insan?

4. Tahap kegilaan manusia di negara itu (Afrika) sudah pada tahap tepu. Umpama air gula yang sudah pekat. Ditambah gula sudah tidak larut lagi walau dikacau dalam air bersuhu 150 darjah Celcius. Amat tepu. Hingga berlapis-lapis gula di bawah. Maka berapa ramai manusia yang baik-baik dapat meneruskan agenda kebaikan walhal nisbah manusia yang mahu kebaikan kepada manusia yang mahukan keseronokan dan kefasadan ialah 1:50.

Modal insan, bukan hanya sekadar sebutan di mulut, kerana pelaksanaan dan perancangan mesti selari dengan al-Quran. Saya bimbang modal insan hanya slogan yang nampak Islamik walhal pelaksanaannya tidak Islamik. Saya mengata pada pemimpin dan orang-orang di Afrika. Jika ada berlaku di sini, sama-samalah kita fikir dan renungkan.