Khamis, Mac 05, 2009

Dialog PPSMI

Semalam setelah habis waktu pejabat, saya turun ke UIAM. Tiba jam 7.15 malam. Terima kasih buat Puan Ainon kerana menyiarkan iklan program ini di weblognya. Jadual program dialog tentang PPSMI di Auditorium UIAM, Gombak ialah jam 8.00 malam. Maka selesai solat Maghrib, saya ke dewan. Tepat jam 8.00 malam seorang wartawan yang awal seperti saya bertanya, “Apakah pendapat saya tentang dasar ini?” Saya jawab, “Wajar dimansuhkan.” Dia bertanya mengapa? Saya berikan hujah-hujah saya tetapi menurutnya yang belajar dalam aliran sekolah Inggeris, tentulah berbeza dengan saya. Bagi saya, apa pun hujahnya masing-masing sudah melihat sejarah dan faktanya. Pasti sahaja hal itu nampaknya lebih memberat kepada pemansuhan dasar PPSMI. Nasib baiklah di akhir perbualan kami, saya tidak pernah sebut nama saya, organisasi yang saya wakili atau bertanya pula nama wartawan itu. Ya, itulah saya.

PPSMI: Building or destroying the nation.” Tajuk sahaja barangkali sudah menggerunkan. Justeru tajuknya sahaja sudah tidak berupaya memasyarakatkan universiti untuk dimanfaatkan oleh masyarakat setempat. Atau apakah audien yang disasarkan hanya golongan mahasiswa UIAM dan badan-badan NGO, yang memang dikenal sebagai elitis? Justeru tidak ramailah orang luar di kalangan masyarakat setempat yang hadir. Saya fikir, jika program ini yang mengumpulkan tokoh-tokoh hebat seperti Ketua Pemuda PAS, Ketua Angkatan Muda PKR, YB Pasir Salak dan Pengerusi GMP sudah tentu aura mereka mampu menarik lebih ramai audien yang lebih ramai. Tetapi saya kira kita berbalik kepada sangka baik, bahawa program ini khas untuk intelektual di UIAM sahaja. Saya atas peribadi saya hadir dengan kesedaran untuk menilai sejauh mana perlunya dimansuhkan PPSMI, boleh dikatakan sebagai untuk menguatkan keyakinan saya tentangnya. Sejak dahulu memang saya sudah berpendirian seperti yang dijawab kepada wartawan itu.

Majlis dimulakan dengan deklamasi sajak oleh sasterawan, budayawan dan seniman Dinsman. ‘Macam Orang Gila 2’ itulah sajak kedua beliau yang menghangatkan suasana. Sebelum ini saya sudah mendengar beliau mendeklamasikan sajak ‘Macam Orang Gila’ dan seperti selalu telinga saya lunak dan asyik mendengarnya. Mesejnya bersahaja, tegas dan menghiburkan. Kepada saudara Dinsman, usah makan hati dengan insiden yang berlaku. Ketika saudara tidak lagi berada di dalam dewan, beberapa panelis membela saudara. Ya, syabas! Saya kagum dengan keberanian saudara menyatakan yang benar dan menyampaikan setulus hati pemikiran yang pasti dimiliki oleh setiap orang yang resah dan gelisah memikirkannya. Bagi saya, laras bahasa yang digunakan itu masih lagi lembut. Jika hendak ibuat perbandingan, saya fikir perkataan yang diguna untuk menyampaikan hasrat beberapa orang yang menyokong bekas MB Terengganu lebih kesat.

Dialog ini dibuat dalam tiga pusingan. Pusingan ketiga, sesi soal jawab. Namun begitu, YB Pasir Salak beredar awal sehabis sahaja pusingan kedua beliau tepat jam 11.00 malam. Ya, kita terimalah alasan beliau untuk bertemu janji lain pula. Yang selebihnya kita serahkan kepada masing-masing untuk menilainya. Saya kasihan,
dalam pada beliau berkata, jika kita suka menghentam, kita juga perlu berani menerima kritikan; dia berlalu tanpa menunggu dahulu jawapan balas daripada Pengerusi GMP. Ya, kita terimalah alasan beliau dan berbaik sangka kepadanya. Tiada pemenang atau yang kalah di sini. Program berakhir jam 12.30 malam. Undian menunjukkan 85.16% audien bersetuju PPSMI dimansuhkan. 14.84% bersetuju PPSMI diteruskan. Jumlah respondens 384. Kemudian seperti yang diminta, pada 7 Mac 2009, jom, kita turun menyatakan bantahan. Khabarnya istana negara memberi lampu hijau.

Tiada ulasan: