Rabu, Jun 28, 2006

Warkah dari Singapura


Assalamualaikum…..

Ke hadapan sahabat-sahabat seISLAMku.

Aku mengucap salam sejahtera buat kalian.

Barangkali kalian sudah lupa, ISLAM di negara kalian yang tercinta ini ditakrifkan sebagai agama rasmi. Ada orang berkata, rasmi itu sebagai upacara ritual dalam majlis penting sahaja. Jika buat majlis bersama rakyat, pemimpin yang beragama Islam panggil orang-orang pejabat agama atau dari jabatan mufti membaca doa.

Sahabatku,

Mungkin kalian sudah lupa, mengapa bekas Mufti Wilayah Persekutuan meletak jawatan? Beliau tidak bersetuju memenuhi pelawaan membaca doa dalam majlis Aman Malaysia, kerana selepas beliau mengaminkan doa, ada konsert. Dan kamu tahu, bagaimana senario konsert hiburan yang dibuat di Malaysia kerana kamu membesar di Malaysia.

Sahabatku,

Aku berada di Singapura. Ya! Singapura yang sebelum merdeka dahulu dikenal sebagai Temasik. Aku diceritakan oleh moyangku di Singapura ini, bahawa dahulu ada satu kes Natrah yang menggemparkan umat Melayu yang Islam di Singapura. Kendatipun ketika itu, pentadbiran dikuasai oleh oleh British, mereka memberi ruang kepada orang Melayu berpiket. Orang Islam Singapura membantah permohonan Natrah untuk murtad. Sehingga sekumpulan daripada mereka sanggup menemui Queen Elizabeth, dan pentadbiran British yang terdiri daripada orang Putih yang tidak beragama Islam menghormati kehendak mereka.

Sahabat seISLAMku.

Aku mengikut perkembangan di Malaysia. Pada tahun 1978, berlaku pemecatan Ketua Hakim. Tun Salleh Abas. Kononnya pemecatan itu bersangkut paut dengan pengislaman seorang wanita Cina Kelantan bernama Suzi Teoh. Dia yang kini bernama Aisyah Abdullah memilih agama Islam ketika berumur 16 tahun. Bapanya menyaman MAIK, dan menang apabila dibicarakan di Mahkamah Persekutuan. Sungguh! Tun Salleh Abbas amat keberatan menetapkan hukuman itu. Dia menyimpan fail kes, dan dibuka semula apabila gadis itu berumur 18 tahun. Dengan kerelaan gadis itu sendiri, dia mengisytiharkan ISLAM sebagai pilihannya. Tapi, Tun Salleh terpaksa membayar peristiwa ini dengan pemecatan setelah dicaj dengan empat pertuduhan.

Sahabatku,

Meski pertuduhan itu dibuat sebagai menutup cerita sebenar, tetapi itulah sejarah. Ia telah tersimpan dalam Arkib Negara kamu. Dalam perlembagaan negara kamu, perkara 11(2) menyatakan, “Mana-mana individu berusia 18 tahun berhak memilih agama pilihannya sendiri.” Maaf aku kata, mengapa hari ini ada golongan dajjal berkulit sawo matang, berbahasa Melayu sepertiku memperjuangkan pluralisme? Fahaman yang menyatakan agama sama tidak kira Islam, Hindu, Buddha, Shinto, Sik, Majusi, atau Kristian dan lain-lain agama. Mereka namakan Kumpulan 11.

Sahabatku,

Kumpulan 11 di negara kamu telah mengorak langlah jauh. Sedang kamu sendiri leka bersama dunia bola sepak yang hangat dengan World Cup pada ketika ini. Kumpulan ini telah mendapat ilham untuk memusuhi Islam secara terang-terang, dengan mengatakan ‘bahawa ibu bapa tidak boleh menetapkan agama kepada anak-anak sehingga mereka berumur 18 tahun.’ Sedangkan apa yang saya belajar dari guru agama Islam di Singapura ini, “Anak yang lahir itu umpama kain putih. Maka ibu bapa yang berhak mencorakkan (agama)nya, sama ada menjadikannya Islam, Yahudi, Nasrani atau Majusi.

Mereka telah mendapat sokongan yang bukan sedikit daripada musuh Islam untuk menjayakan perancangan ini. Apa tidak? Kerana pendokongnya sendiri orang yang mengaku Islam. Islamkah mereka itu?

Sahabat seISLAMku…,

Apa pula cerita kakak kamu dalam Islam. Kata orang putih dari England, Sisters in Islam? Macam mana mereka boleh pergi jauh, membingitkan hal ketidakadilan dalam Islam. Tidak adil kata mereka kerana perempuan mendapat harta pusaka separuh daripada lelaki. Mereka mahu, harta pusaka diterima oleh wanita sama banyak dengan lelaki. Mereka sudah pergi jauh, merancang untuk menghantar memorandum kepada Koffi Annan. Kononnya perundangan Syariah di negara kamu menafikan Human Right. Hak Asasi manusia yang diperjuangkan dalam keadaan mereka mencabar Hak Allah yang menetapkan hukum itu. Mereka mendapat sokongan Woman Aid Organization (WAO) untuk menjayakan misi menghantar memo kepada SU Agung PBB itu.

Sahabat seISLAMku,

Jika aku diberi pilihan menulis surat kepada mana-mana pemimpin di negara kamu, aku mahu menulis surat khusus buat pemimpin nombor wahid. Pemimpin yang kamu bangga dengan Islam Hadharinya. Aku akan tulis;

“Datuk, mengapa datuk tidak menghalang kumpulan-kumpulan ini? Adakah kerana anak Datuk berada di dalamnya? Atau apakah kerana Datuk bimbang akan ditentang oleh rakan-rakan kabinet Datuk? Mengapa Datuk tidak melihat reality kerosakan anak-anak muda belia di negara Datuk? Mengapa Datuk boleh merasa selesa dalam keadaan gejala sosial di negara Datuk semakin parah? Apakah Datuk sudah kehilangan idea? Datuk ada kuasa mengarahkan bahagian penguatkuasa Datuk untuk bertindak. Jika Datuk boleh arahkan ROS batalkan pendaftaran pertubuhan sahabat komunis Malaya, mengapa Datuk tidak boleh arahkan perkara sama untuk SIS? Mengapa?.......bla..bla…bla…(fikirkan sendiri apa lagi yang saya akan tulis!)”


Sahabatku…

Sampai di sini dulu warkah dari Singapura. Aku perlu beredar. Malam di Singapura sudah mahu di’tutup’.

Salam hormat dari saya,

Salam Al-Ma'aji.

2 ulasan:

jagoan berkata...

sedap dibaca :)

Tanpa Nama berkata...

Kes Natrah

• Berlaku dalam tahun 1950. Emak angkatnya Che Aminah telah membelanya daripada kecil lagi.
• Natrah dibesarkan sebagai seorang Islam dan tinggal di Kemaman, Terengganu sehingga berusia 13 tahun .
• Bapa Natrah telah membuat perancangan sehingga Che Aminah terpaksa pergi ke mahkamah Singapura. Setibanya di Singapura, Che Aminah diperintahkan oleh mahkamah untuk menyerahkan Natrah kepada Konsul Jeneral Belanda. Bagaimanapun masyarakat Islam menentang keras. Akhirnya Natrah diserahkan kembali kepada Che Aminah. Kerana takut peristiwa ini berulang, Natrah telah dikahwinkan ketika berusia 13 tahun dengan Mansor Adabi. Walaubagaimanapun, mengikut undang-undang Belanda, seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya.
• Di sini bermulanya isu, sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Akhirnya mahkamah membuat keputusan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibubapa tetapi penjaga.
• Tiba-tiba daripada isu agama bertukar bertukar kepada isu jagaan.
• Dalam kes tersebut , mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim.
• Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian ? Bapanya lebih berhak ke atasnya.
• Secara kesimpulannya Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya.
• Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dipaksa menjadi Kristian. Masyarakat orang Islam di Singapura ketika itu membantah, dan ramai yang mati syahid dalam pertempuran dengan tentera British.

-ilmu ikhlas-